Proses antara hari Parlimen dibubar-mengundi
PRU13 selepas Aidilfitri?
SHAH ALAM - Spekulasi tarikh Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU13) berterusan! Sementara bulan Ramadan akan bermula dalam lima minggu manakala Bajet 2013 pula akan dibentangkan akhir September ini, spekulasi sebelum ini bahawa PRU kemungkinan besar dipanggil awal bulan depan dilihat 'terpaksa' dilupakan banyak pihak.

Ahli-ahli politik, pemerhati dan anggota panel Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai pertimbangan dan perkiraan sendiri mengapa tarikh PRU13 sebelum Ramadan hanya tinggal ramalan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, mengambil kira perkembangan sejak kebelakangan ke arah persiapan mengadakan pilihan
raya, pihaknya memerlukan masa dalam lingkungan sebulan untuk menuju hari pengundian.

Sehubungan itu, beliau mengakui bahawa jika hari pengundian PRU13 mahu diadakan sebelum bermulanya Ramadan, Parlimen sewajarnya dibubarkan dalam beberapa hari.

"Nampak gaya begitulah (tidak mungkin pilihan raya sebelum Ramadan)," kata beliau ketika ditanya sama ada SPR mempunyai masa yang selesa untuk memanggil pilihan raya jika Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) tidak dibubarkan awal minggu depan.

Sebelum ini, beliau pernah memberitahu Sinar Harian Online bahawa SPR akan selesai 99.9 peratus persiapan mengadakan pilihan raya pada akhir bulan ini.

Taklimat pusingan kedua kepada pengurus pilihan raya akan selesai awal minggu akhir bulan ini.

"Kita tidak tahu bila Parlimen akan dibubarkan, tetapi apabila Parlimen dibubarkan, kami memerlukan masa untuk menyelesaikan siri proses ke arah pengundian," katanya.

Kerja-kerja itu termasuklah mengemaskinikan daftar pemilih, yang akan dihantar ke seluruh negara; menyediakan writ dan notis pilihan raya, memanggil mesyuarat khas yang akan menetapkan tarikh penamaan calon, menyediakan kertas undi termasuk bagi pengundian pos dan awal serta normal, dan menentukan hari mengundi.

Apabila Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen, menjadi tanggungjawab SPR dalam menetapkan tarikh-tarikh berkaitan dengan pilihan raya iaitu tarikh keluar writ dan notis, hari penamaan calon, tempoh berkempen dan hari pengundian.

SPR diperuntukkan 60 hari untuk memanggil pilihan raya jika Parlimen dan Dun dibubarkan. Wan Ahmad berkata, proses-proses itu memerlukan masa antara tiga hingga empat minggu.

Bulan Ramadan akan bermula pada 20 atau 21 Julai iaitu Jumaat atau Sabtu. Jika mengikut tradisi hari pengundian PRU ditetapkan Sabtu atau Ahad, pengundian PRU13 perlu dilangsungkan
pada 14 atau 15 Julai supaya pengundi beragama Islam membuat persiapan menyambut Ramadan pada minggu berikutnya.

Jika mengambil kira kemungkinan itu, bagi membolehkan SPR mengadakan hari pengundian pada 14 atau 15 Julai, Parlimen perlu dibubarkan Isnin atau Selasa ini. Parlimen juga sedang bersidang sekarang.

"Apa pun, sama ada hendak bubar Parlimen atau tidak, itu adalah hak Perdana Menteri. Jika dibubarkan, kami akan mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari bermula daripada tarikh kekosongan (Parlimen)," kata Wan Ahmad lagi.

Mengambil kira keadaan itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian juga mengakui bahawa spekulasi bahawa PRU13 akan berlangsung awal bulan depan akan meleset sekali lagi.

"Setakat ini pun saya tidak nampak apa-apa 'keghairahan akan ada PRU dalam beberapa minggu ini. Nampak gaya, kita kena menunggu sehingga selepas Aidilfitri," katanya lagi.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembubaran Parlimen "adalah keputusan politik" yang hanya akan diputuskan oleh Perdana Menteri dengan mengambil
kira pelbagai faktor yang beliau rasakan sesuai.

"Sebagaimana saya telah katakan sebelum ini, ia keputusan politik. Parlimen boleh dibubarkan bila-bila masa, sekarang, bulan depan ataupun sebagainya. Tiada halangan kepada
Perdana Menteri dalam undang-undang," katanya lagi.

"Pastinya beliau akan mengambil kira sama ada kesemua agenda dan program sudah dilaksanakan ataupun belum. Jika beliau merasakan sesuai, beliau boleh membubarkan," kata Ahli Parlimen ini.

Sehubungan itu katanya, mengambil kira perkembangan dalam masa lima minggu akan datang, "satu-satunya halangan yang ada hanyalah bulan Ramadan."

"Masyarakat Islam, orang Melayu tidak mahu pilihan raya diadakan pada bulan Ramadan. Sambutan Gawai dan Pesta Kaamatan baru selesai, sekarang bulan Ramadan," katanya - SH