Sabtu, 16 Jun 2012

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


HAJI HADI GESA RAKYAT JOHOR BERUBAH...KALAU HANGPA NAK BERUBAH...TAK BERUBAH PUN LANTAK HANGPA LA...

Posted: 16 Jun 2012 05:01 PM PDT

Abdul Hadi juga menggesa supaya rakyat negeri ini tidak menjadi seperti "ekor cicak" dalam usaha untuk menuju perubahan supaya tidak ketinggalan.







"Kita berharap orang Johor juga ikut buat perubahan. Kita tidak mahu orang negeri lain berubah, Johor tak berubah.

"Johor jadi ekor cicak. Ekor cicak kita tahu lah, putus ekor dia... (bunyi ekor menggelepar) tinggal situ saja. Jangan!. Johor mesti buat perubahan sama," katanya yang diiringi ketawa para hadirin.

Dengan memberi contoh Abdul Hadi berkata rakyat Amerika menolak presiden Nixon yang didakwanya menipu dalam pilihan raya selepas mahkamah membuktikannya dan rakyat Perancis menolak bekas presiden negara itu Sarkozy yang didakwanya menerima wang daripada Muaamar Gadafi.








BAGI KAIN PELIKAT DAN RM10

"Tempat kita (lagi) dapat duit, lagi sokong. Tetapi di barat walaupun pentingkan kebendaan, tetapi mahu sistem (pentadbiran) negara yang baik," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Abdul Hadi berkata peluang PAS  untuk menang dalam pilihan raya "tidak mudah tetapi tidak mustahil" untuk mencapainya.



YANG CERDIK SUDAH SERTAI PAKATAN...YANG TAK CERDIKSOONG Umno...MAHATHIR MOHAMAD,BAPAK PENIPU.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Mazlan Aliman yang ditemui Malaysiakini selepas sidang media berkata PAS Johor bertanding 28 hingga 31 kerusi DUN dan lapan kerusi parlimen.

Menurutnya lagi, pada kemuncak himpunan Hijau peringkat negeri itu pada 29 Jun ini, beberapa tokoh pemimpin, bekas pegawai polis dan tentera serta  selebriti akan menyertai parti itu.

Defisit meningkat pasca perbekalan tambahan 2012

Posted: 16 Jun 2012 04:56 PM PDT

Loceng penggera peningkatan defisit negara sekali lagi dibunyikan berikutan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2012) 2012 di Dewan Rakyat semalam.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membentang RUU Perbekalan Tambahan (2012) 2012 untuk memohon dana tambahan mencecah sejumlah RM15,295,345,000, di mana RM13,795,345,000 merupakan perbelanjaan bekalan manakala RM1,500,000,000 adalah bagi perbelanjaan tanggungan.  Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat, perbekalan tambahan ini membebankan Negara dari segi kewangan dengan peningkatan hutang Negara yang setakat ini telahpun mencapai RM470,760juta <1>dan turut menyeret defisit fiscal secara keseluruhan ke suatu tahap yang memerlukan pengawasan yang ketara.

Dalam penulisan KPRU bersama William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen Selayang sebelum itu berjudul "Anwar vs Najib: Siapa lebih bijak dalam tadbir urus hutang kerajaan?"<2>, statistik KPRU telah menunjukkan dengan jelas trend defisit fiskal secara keseluruhan Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menampakkan perbezaan bermakna samada semasa ekonomi berkembang dengan baik atau semasa ekonomi meleset.

Kini, setelah membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2011) 2012 untuk mendapatkan tambahan peruntukan sebanyak RM10,290,243,800 bagi menampung perbelanjaan kerajaan tahun 2011 pada bulan Mac 2012, dalam tempoh masa yang singkat, Kerajaan BN sekali lagi membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2012) 2012 untuk mendapatkan tambahan peruntukan sebanyak RM15,295,345,000 bagi menampung perbelanjaan kerajaan tahun 2012.

RUU tersebut dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek Hussin untuk bacaan kali pertama kali ini dengan jumlah paling besar - RM11.2 bilion -diperuntukkan bagi "perkhidmatan perbendaharaan am".

Berikut ialah senarai kementerian/jabatan kerajaan dengan peruntukan masing-masing:

Jadual 1: Peruntukan Perbekalan Tambahan Berdasarkan Kementerian
Kementerian/Jabatan   Peruntukan  (RM)
Perkhidmatan Am Perbendaharaan  11,232,000,000
Kementerian Kerja Raya  445,800,000
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan  404,000,000
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)   360,000,000
Kementerian Dalam Negeri   353,520,000
Perbendaharaan  300,000,000
Kementerian Pertahanan  210,000,000
Jabatan Perdana Menteri  112,900,000
Kementerian Pelajaran  195,000,000
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri  60,000,000
Kementerian Kesihatan  40,000,000
Kementerian Sumber Manusia   23,000,000
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar  16,028,000
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah  16,028,000
Kementerian Pelancongan   15,000,000
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani   10,000,000
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi   10,000,000
Kementerian Pengangkutan   2,000,000

Sesungguhnya, kekurangan disiplin dan kehematan dalam pengendalian kewangan yang diamalkan oleh Kerajaan BN di bawah pimpinan Najib telah menyaksikan pemborosan yang begitu menonjol serta penuh dengan pelbagai tuduhan penyelewengan.  Biarpun Perdana Menteri telah berjanji berulang-ulang kali bahawa kerajaan akan mengambil insentif dan langkah bagi mengurangkan defisit fiskal, namun tiada pun kelihatan apa-apa usaha yang nyata, bah kata pepatah, apa payahnya menaupkan bibir atas bawah.

Kini, tambahan pula dengan pembentangan perbekalan tambahan, jangkaan bahawa defisit fiscal Negara akan terus terjunam ke paras yang membimbangkan selepas 15 tahun berturut-turut mengalami defisit. 

Menurut Laporan Ekonomi 2011/2012 Kementerian Kewangan Malaysia, unjuran defisit yang dialami oleh Malaysia pada tahun 2012 adalah masing-masing berada pada kedudukan 4.8 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK, atau Gross National Product (GNP)) dan 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK, atau Gross Domestic Product (GDP)) seperti yang ditunjukkan dalam Jadual2.

Jadual 2: Kedudukan Kewangan Kerajaan Persekutuan 2012 (RM Juta)

Dikemaskini pada April 2012     2012  (Unjuran)
Hasil                         186,906
Perbelanjaan Mengurus          181,584
Perbelanjaan Pembangunan Bersih   48,343
Defisit/Lebihan Keseluruhan   -43,021
% dari KNK    -4.8
% dari KDNK   -4.7
KNK (harga semasa)  890,347
KDNK (harga semasa)  918,322

Sumber: Laporan Ekonomi Kementerian Kewangan <3>

Memandangkan kerajaan memohon peruntukan tambahan yang berjumlah setinggi RM15,295,345,000 - suatu angka yang lebih tinggi daripada bajat tambahan sebanyak RM10,290,243,800 bagi menampung perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan untuk beberapa kementerian dan jabatan bagi perkhidmatan tahun 2011. Lantas, perbelanjaan kerajaan memecut dan memberi tekanan kepada defisit belanjawan Negara.

Dengan mengguna pakai data yang dibekalkan oleh Kementerian Kewangan dalam pengiraan defisit terbaru dengan menambah perbekalan tambahan yang baru dibentangkan dan mengekalkan faktor lain termasuk jumlah hasil pendapatan, adalah nyata bahawa defisit fiskal Negara kini telah mencecah 6.4 peratus daripada KDNK seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3.

Secara amnya, perkembangan ekonomi Negara adalah senantiasa dalam arus yang dinamik, ada kalanya dilandai kemelesatan dan ada kala pula meraikan peningkatan; data dan maklumat berkenaan turut akan mengalami perubahan dari semasa ke semasa.  Maka, pengiraan tersebut sekadar suatu anggaran dan dikemukakan sebagai rujukan.  Faktor lain seperti hasil pendapatan kerajaan mungkin berubah.  Misalnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya meningkatkan kutipan hasil tahun 2011 hampir 27 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, iaitu mencatat jumlah kutipan RM109.7 billion.<4>

Secara teori, peningkatan hasil Negara sememangnya dapat mengurangkan atau sekurang-kurangnya menstabilkan defisit fiskal Negara, atas premis perbelanjaan yang berhemat.  Permasalahannya, pengurusan kewangan oleh pihak kerajaan Malaysia yang menampakkan defisit fiscal berlarutan telah menimbulkan keraguan tentang kemampuan kerajaan semasa dalam menangani hutang Negara yang kian memuncak dan dalam merangka perbelanjaan Negara secara berhemat.

*Rujukan
<1> http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=statistic_nsdp
<2> http://kpru2010.wordpress.com/2011/10/25/the-auditor-general%E2%80%99s-report-and-debt-management-anwar-vs-najib/;http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12612
<3> http://www.treasury.gov.my/pdf/ekonomi/dataekonomi/2012/forecast/FGFP2012.pdf
<4> http://1malaysia.com.my/my/news_archive/peningkatan-kutipan-lhdn-tahun-lepas-pencapaian-luar-biasa-najib/
**Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU – Political Studies for Change) merupakan sebuah pusat kajian yang baru dan kritikal.  KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada rakyat Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.

KPRU merupakan institusi pertama yang melibatkan diri dalam kajian parlimen dan menyokong reformasi parlimen.  KPRU mengutamakan isu belanjawan tahunan negara, rancangan jangka panjang, demokrasi parlimen dan lain-lain. Untuk mencapai matlamat tersebut, KPRU bekerjasama secara rapat dengan agensi kerajaan, parti politik, pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan khidmat nasihat strategik, program pengunjungan spesifik dan menghasilkan dasar yang berasaskan fakta.

KABINET TERUS FITNAH BERSIH

Posted: 16 Jun 2012 04:45 PM PDT

Bukan satu kejutan tiada Menteri yang berani menyoal Kabinet semalam dalam mesyuarat mingguan mereka supaya memohon maaf secara terbuka bagi pihak Perdana Menteri, Najib Razak dalam dakwaan yang liar dan tidak berasas bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.

Jika tidak, kerajaan Barisan Nasional dan Kabinet Najib tidak akan menghadapi satu situasi di mana mereka kini menjadi bahan jenaka rakyat Malaysia terutamanya yang menyentuh kredibiliti mereka berbanding dengan kelima-lima Perdana Menteri sebelum ini dan barisan Kabinet mereka.

Menteri-menteri Najib akan bersetuju secara sulit bahawa Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein tidak dapat menunjukkan sekelumit pun bukti untuk mengesahkan dakwaan karut yang tidak munasabah terhadap dakwaan tersebut, walaupun telah diberi sokongan padu oleh tiga bekas Ketua Polis Negara, Haniff Omar, Rahim Noor dan Musa Hassan dan apabila diasak lagi oleh Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz pada hari Rabu yang lepas di Parlimen yang juga tidak dapat menghasilkan apa-apa bukti dalam jawapannya kepada soalan saya berkenaan dengan dakwaan melulu itu.

Tetapi di khalayak ramai, tidak ada seorang pun Menteri yang berani untuk menyatakan bahawa Najib yang hanya pentingkan imejnya dan takut kepada persepsi umum, dalam dakwaan beliau yang tidak berasas berhubung perhimpunan BERSIH 3.0 sebagai satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.

Malangnya, Najib telah gagal untuk menggunakan minggu pertama dalam sidang Parlimen untuk membaiki, membetulkan dan berdamai dengan ratusan ribu rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kelas, kawasan, jantina dan umur yang telah berhimpun secara aman di Kuala Lumpur pada 28 April untuk menyahut seruan untuk proses pilihanraya yang bersih.

Sebaliknya, dalam tiga hari pertama sidang Parlimen bermula minggu ini, Menteri-menteri Najib dan penyokong-penyokong tegar BN terus memfitnah dan mencemuh ratusan ribu peserta BERSIH 3.0 terutama sekali dengan kenyataan Nazri bahawa "garam dan air berbotol" boleh digunakan untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional.

Najib mesti sedar bahawa tindak-tanduk beliau sekarang sedang membawa padah kepada Barisan Nasional dengan lemparan tohmahan yang karut dan tidak munasabah terhadap perhimpunan BERSIH 3.0 dan bahawa beliau sendiri termasuklah UMNO dan Barisan Nasional terpaksa menghadapi hakikat sebenar daripada pengamalan taktik politik kotor yang tidak bertanggungjawab dalam pilihanraya yang akan datang, pada bila-bila masa.
*Kenyataan media oleh Lim Kit Siang (gambar kanan) selaku Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Strategi 6+23 BN di Kelantan

Posted: 16 Jun 2012 04:43 PM PDT

Sekali lagi, Kelantan sebagai negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, bakal menjadi tumpuan negara menjelang Pilihan Raya Umum 13.  Bagaimanapun, jikalau dibandingkan dengan negeri PR yang lain, kesukaran PAS untuk memerintah Kelantan buat penggal keenam selepas tahun 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008 - adalah lebih rendah.

Negeri Kelantan mempunyai 14 kerusi parlimen dan 45 kerusi DUN.  PAS menawan 38 kerusi DUN dan PKR memenangi 1 kerusi semasa PRU 12.  BN memenangi 6 kerusi DUN (dengan satu kerusi tambahan DUN Galas dalam PRK kemudiannya).  Untuk kerusi parlimen pula, PAS merampas 9 kerusi, dengan PKR menawan 3 kerusi dan BN 2 kerusi.

Kelantan adalah kubu PAS yang kukuh.  Ketika PRU 12 pada Mac 2008, PAS meletakkan pimpinan tinggi partinya di Kelantan untuk memastikan suara mereka dibawa ke parlimen.  Antaranya Timbalan Presiden ketika itu Nasharudin Mat Isa di Bachok, Bendahari Agung Hatta Ramli di Kuala Krai dan Ketua Dewan Pemuda ketika itu, Salahuddin Ayub di Kubang Kerian.

Dalam PRU akan datang, PAS telah mengumumkan bahawa 30% daripada calonnya adalah muka baru.  Sesetengah pimpinan yang menang dalam PRU 12 mungkin tidak lagi menyarung jersi kali ini lantaran tersungkur dalam pemilihan parti.  Pemimpin seperti Salahuddin Ayub misalnya, bakal bertanding di negeri asalnya, Johor, malah dikatakan seandainya PR berjaya menawan Johor, maka beliaulah calon Menteri Besar.

Dalam 30% muka baru yang dikatakan, anak Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat, iaitu Nik Abduh Nik Abdul Aziz, antara yang paling menarik perhatian.  Beliau adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS.  Beliau dikhabarkan akan bertanding di Kubang Kerian yang ditinggalkan Salahuddin Ayub, ataupun Pasir Mas yang dimenangi Ibrahim Ali atas tiket PAS.  Ibrahim Ali dijangka gugur dari senarai PAS, lantaran kecenderungannya menjadi ahli parlimen pro-BN selepas menang dan kenyataan berbau rasis yang dikeluarkan sejak beberapa tahun kebelakangan.

Perang tiga penjuru di Kota bahru

UMNO hanya menang dua kerusi parlimen daripada 14 yang ditandinginya melalui Tengku Razaleigh di Gua Musang (dengan rekod 10 kemenangan tanpa kekalahan); dan Mustapa Mohamed (Menteri Pengajian Tinggi ketika itu) di Jeli.  BN menerima tamparan hebat, sehingga hampir dicabut akarnya dari tanah Kelantan.

Tengku Razaleigh Hamzah, atau lebih dikenali dengan nama Kuli, berbeza pandangan dengan kerajaan persekutuan dalam isu royalti minyak di Kelantan.  Ketika menyandang jawatan Menteri Kewangan, Kuli terlibat dengan rundingan Petronas dan negeri yang mempunyai sumber petroluem, malah merangka Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Justeru itu, persoalan sama ada Kuli bakal bertanding atas tiket UMNO masih sarat dengan pelbagai kemungkinan.

Daripada 14 kerusi parlimen, Kota Bharu akan menjadi tumpuan.  Ia dijangka bakal mempertembungkan Setiausaha Politik Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Mohamad Fatmi Che Salleh dengan Zaid Ibrahim (daripada parti KITA, gambar kanan) dan calon PAS.  PAS dijangka meletakkan EXCO Kelantan, Takiyuddin Hassan, dan ahli parlimen sekarang, Wan Abdul Rahim, dijangka bakal digugurkan.

BN mula menjana jentera kempennya di kawasan ini, malah mengajak Presiden MCA Chua Soi Lek untuk berkempen di situ, dengan semangat yang berkobar-kobar untuk merampas kembali kerusi yang ditawan PAS.  BN menganggap wujudnya petanda-petanda bahawa undi mula kembali ke pangkuannya.  Lebih-lebih lagi sesetengah wakil rakyat PR "hilang begitu sahaja" selepas PRU.  Rakyat mula merungut kerana tiada perkhidmatan di tempatan.  Kebanyakan ini adalah kawasan yang mana akar umbi PAS adalah lemah, atau kawasan PKR.

Mustapa MB yang direstui BN


Dari segi DUN, BN menggunakan strategi 6+23, iaitu mengekalkan 6 kerusi yang dimenangi dalam PRU 12, ditambah dengan 12 kerusi yang mana undi majoriti PAS tidak melebihi 500 undi; dan 11 kerusi yang mana undi majoriti tidak melebihi 1000 undi.  BN melihat kawasan ini sebagai kawasan "kelabu", yang mungkin berpeluang untuk ditembusi, dan menawan kerajaan negeri Kelantan seterusnya.  BN Kelantan bertunjangkan UMNO yang bertanding di 44 kerusi, dan satu lagi kerusi Kota Lama ditandingi calon MCA.

BN Kelantan kini diketuai Mustapha Mohamad, (gambar kiri) Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia.  Seandainya berjaya menawan kerajaan negeri Kelantan, maka beliau adalah calon Menteri Besar yang direstui.  Sebelum ini, Mustapha tidak menafikan bahawa beliau mungkin akan bertanding kedua-dua kerusi parlimen dan DUN, dan strategi ini dilihat untuk mengangkatnya  sebagai MB.

Kali ini, UMNO menunjukkan perpaduan yang utuh, berbanding dengan keadaan berselerak, dengan puak-puak masing-masing pada zaman dahulu.  PAS tidak boleh memperlekehkan musuhnya kali ini, lebih-lebih lagi pengganti untuk Nik Aziz yang umurnya telah lanjut, belum lagi kelihatan.  Oleh itu, PAS perlu mengambil kesempatan untuk menonjolkan calon pengganti Nik Aziz dalam pilihan raya ini.  Ia untuk menstabilkan keadaan, dan mengelakkan pembaziran tenaga ekoran daripada pergelutan kuasa dalaman.

Kelantan adalah negeri yang mana majoritinya pengundi Melayu.  Pengundi biasanya mempertimbangkan parti politik dan bukan calonnya.  Semangat "kepartian" generasi tua amat menebal.  Hasrat undinya telah ditetapkan sejak awal lagi - dengan pendirian yang jelas untuk menyebelahi sama ada hijau atau biru.  Apa yang direbut BN dan PR adalah pengundi baru yang berdaftar selepas 308 - yang biasanya sukar diketahui hasrat yang terpendam dalam hati mereka.

Retorik "pembangunan" oleh BN kurang mujarab di Kelantan, dan gagal memikat hati pengundi.  Walaupun ramai pemuda bekerja di kota raya, tetapi mereka berharap kampung mereka tidak mengalami urbanisasi, sehingga mengundang masalah sosial.  Mereka berharap kejatian sedia ada dikekalkan.  Dari segi ini, PAS bertunjangkan semangat agama, mengutamakan ajaran agama, di samping pembangunan tempatan.

Baru-baru ini, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan pembinaan lebuhraya antara Kota Bharu dengan Kuala Krai dengan RM1.8 bilion, malah menyeru derma dari masyarakat.  Jelas, kerajaan negeri cuba meraih simpati dalam isu ini.  Kerajaan negeri membina sendiri lebuh raya ini untuk kepentingan rakyatnya, jikalau kerajaan persekutuan enggan berbuat demikian.  Ini kerana projek ini telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia kelima hingga kesembilan, dan dikeluarkan dalam Rancangan Malaysia ke-10.  Kini, tiada apa-apa kelihatan.

Perang bermula.  Namun, kesudahannya hanya akan diketahui pada saat-saat akhir.

Suaram: Pegawai Kanan Abdul Razak Baginda Akan Beri Keterangan Kes Scorpene

Posted: 16 Jun 2012 04:36 PM PDT


PETALING JAYA, 16 JUN: Seorang bekas pegawai kanan Abdul Razak Baginda, akan tampil di mahkamah Perancis bagi memberikan keterangan berhubung skandal pembelian kapal selam Scorpene.
Jasbir Singh Chahl, yang merupakan pegawai Perimekar, sebuah syarikat kepunyaan Abdul Razak, telah disapina oleh mahkamah negara itu supaya hadir untuk memberi keterangan.
Pengarah SUARAM Cynthia Gabriel berkata Jasbir mempunyai banyak maklumat untuk dikongsikan dan beliau telah sahkan kehadiran beliau pada pendengaran kes tersebut.
Pengumuman ini yang dibuat di Majlis Makan Malam Kutipan Dana Ops Scorpene semalam, disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh hadirin.
Jasbir merupakan antara saksi yang disenaraikan oleh Suaram untuk disapina oleh mahkamah Perancis bagi kes Scorpene yang akan dibicarakan di negara tersebut.
Saksi lain yang telah dipanggil oleh mahkamah tersebut adalah Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Abdul Razak yang merupakan bekas pembantu kanan Najib, turut dipanggil mahkamah tersebut.
Turut tersenarai adalah Bapa mendiang juru bahasa Altantuya Shaaribu, Dr Setev Shaaribu, pengarah pengurusan Boustead Tan Sri Lodin Wok Kamarudin, penyiasat persendirian, P.Balasubramaniam dan isteri Abdul Razak, Mazlinda.
Cynthia turut memberitahu, walaupun pihaknya menghadapi pelbagai rintangan untuk membawakan kes ini di Mahkamah Perancis, tetapi ianya semakin berjalan lancar.
Beliau juga berkata walaupun kes ini cuba disisihkan oleh media pro-Umno-BN, ia semakin mendapat liputan meluas di seluruh dunia.
Makan malam di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya itu juga dihadiri beberapa Ahli Parlimen termasuk Tony Pua, Nurul Izzah Anwar dan Sivarasa Rasiah.
Juga hadir Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu dan ADUN Kota Damansara Dr Nasir Hashim.
Di dalam ucapannya, Tony menyelar sikap menteri Umno-BN yang tidak mahu menjawab soalan berkaitan skandal ini di Parlimen dengan alasan dokumen berkaitan kes itu di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
"Di Parlimen tak boleh dedahkan kononnya dokumen sulit itu tertakluk di bawah OSA, tetapi bila jual pada firma negara asing RM142 juta, 'kaw tim'," kata beliau.
Sebelum ini, seorang peguam Perancis, Joseph Breham, mendedahkan dokumen sulit Tentera Laut Diraja Malaysia dijual kepada syarikat pembina kapal Perancis, DCNS.
Dokumen tersebut didakwa dijual dengan harga RM 142 juta oleh oleh syarikat Terasasi (Hong Kong) Limited yang dimiliki oleh Abdul Razak dan bapanya, Abdul Malim Baginda.
Sementara itu, Makan Malam tersebut berjaya mengumpul RM 200,000 bagi membiayai perbelanjaan pengurusan kes itu di Perancis.
Jumlah tersebut diperolehi dari hasil jualan tiket bagi setiap meja makan yang bernilai dari RM10,000 hingga RM1,000, lelongan kemeja-t bertandatangan Cynthia dan lakaran kartun oleh kartunis terkenal, Zunar.
Sebanyak 10 helai kemeja-t bertandatangan itu dilelong dengan format 'tender terbuka' dengan bidaan tertinggi bernilai RM2,000 sehelai.
Lelongan lakaran kartun yang memaparkan kapal selam scorpene membawa 'rakyat Malaysia' sambil memegang 'C4′ dan sedang cuba merempuh lelaki berlabel 'Najib' pula telah mendapat bidaan tertinggi bernilai RM5,000.

Khalid Samad : Umno Mesti Terima Kekalahan Dalam Pilihanraya

Posted: 16 Jun 2012 04:35 PM PDT


SHAH ALAM,  JUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta memberikan jaminan peralihan kuasa akan berlaku secara aman sekiranya rakyat memilih untuk membuat perubahan pada Pilihanraya Umum ke-13.
Menurut MP Shah Alam, Khalid Samad, permintaan ini relevan kerana sejak kebelakangan ini banyak pimpinan Umno-BN mengakui mereka akan berhadapan dengan satu pilihanraya sengit kali ini.
"Ini menunjukkan satu kesedaran bahawa suasana dalam masyarakat telah banyak berubah dan sokongan kepada Barisan Nasional telah menurun dan ada kemungkinan berlakunya peralihan kuasa dimana mereka kalah dalam pilihanraya," katanya.
Katanya, situasi ini merupakan satu perkara biasa dalam mana-mana sistem demokrasi dan tidak ada jaminan mana-mana parti akan berkuasa selamanya.
Jelas Khalid, Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno sepatutnya menyediakan rakyat dan penyokong mereka sendiri untuk berhadapan kemungkinan sedemikian.
"Umno-BN perlu menyempurnakan ayat-ayat mereka itu dengan sekiranya kalah maka kita akan akur dan patuh kepada kehendak rakyat," katanya di dalam satu tembual dalam program Terus Terang bersama editor TVSelangor Mat Zahari Ali.
"Dan kita memohon semua penyokong-penyokong kita juga menunjukkan sikap yang terbuka menghormati sokongan rakyat dan menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Jangan bertindak ganas, ini demokrasi," katanya.
Beliau menambah, Pakatan Rakyat sebelum ini sudah menghadapi banyak kekalahan terutama sekali PAS dan telah menunjukkan kesanggupan untuk menerima kekalahan.

Tiada ulasan: