pemuda cheh |
Jangan percaya kiamat pada 21/12/12 Posted: 09 Dec 2012 06:33 AM PST Umat Islam di negara ini digesa tidak terpedaya dengan ramalan berlakunya hari kiamat pada 21 Disember 2012 oleh segelintir musuh Islam bagi mengelakkan akidah mereka tercemar. Imam Masjid Batu 2, Shamsul Bahrin Din dalam khutbah Jumaatnya, berkata, dakwaan musuh Islam mendakwa terdapat bukti kononnya menjurus kepada kepercayaan itu adalah tidak berasas memandangkan pengetahuan hari kiamat hanya diketahui Allah SWT. Menurutnya, segelintir media massa turut memainkan peranan negatif dalam menyebarkan iklan satu jenama shampu yang menggunakan isu itu sebagai jalan cerita sehingga menyebabkan ada umat Islam terpedaya, menggambarkan keadaan musuh Islam yang cuba merosakkan akidah mereka secara halus. "Lebih membimbangkan, saban hari ada sahaja hadis palsu yang dimuat turun menggunakan medium internet kononnya untuk membuktikan hari kiamat berlaku pada 21/12/12 adalah sahih. "Biar pun orang Islam wajib mempercayai adanya hari kiamat, tetapi kita harus menyedari Allah SWT tidak menjelaskan bilakah tarikh hari itu berlaku walaupun terhadap Pesuruh Allah, Nabi Muhammad SAW," katanya sewaktu menyampai khutbah Jumaat kepada lebih 700 jemaah, di sini, semalam. Shamsul Bahrin berkata, kerahsiaan hari kiamat bukan hanya melampaui pengetahuan Nabi Muhammad SAW, bahkan malaikat Israfil yang bertugas meniup sangkakala juga tidak mengetahui bilakah tarikh sebenar. "Jadi, malaikat Israfil hanya bersiap-sedia menunggu arahan daripada Allah SWT untuk menjalankan tugas sebagai peniup sangkakala. "Bagaimana mungkin manusia biasa boleh menerima bahawa tarikh kiamat mampu diramalkan pihak tertentu yang mendakwa diri mereka cerdik pandai," katanya. Shamsul Bahrin berkata, kedangkalan musuh Islam terbukti pada sekitar tahun 80-an di mana terdapat segelintir saintis barat menjangkakan berlakunya perlanggaran bumi dengan komet Haley yang bakal menyebabkan kiamat. Bagaimanapun, beliau menegaskan ramalan itu meleset, sebaliknya dunia menjadi semakin maju hasil kurniaan nikmat pemberian Allah SWT. "Kita tidak boleh memandang ringan perkara ini dan jika momokan atau dakyah mengenai berlakunya kiamat pada 21/12/12 terus diperkatakan, dibimbangi umat Islam yang kurang mantap asas agama akan terpengaruh. "Golongan yang membuat ramalan hari kiamat itu mempunyai motif tertentu, bahkan pada hakikatnya perkara dilakukan mereka turut memberi saham kemenangan kepada syaitan untuk menyesatkan manusia," katanya. |
Sultan S'gor benci dituduh 'orang Umno' Posted: 08 Dec 2012 10:03 PM PST Dalam satu wawancara disiarkan Mingguan Malaysia hari ini, Sultan Sharafuddin berkata tuduhan itu timbul akibat salah faham ke atas seruannya supaya golongan Melayu bersatu. "Saya beritahu kepada kakitangan istana, apa saja dalam blog dan portal yang berkaitan dengan Selangor, cetak dan beri pada saya untuk dibaca. "Tapi malangnya dalam blog dan portal ini, semua yang mereka katakan adalah saya orang Umno, sedangkan saya tidak menyebelahi mana-mana parti politik," titahnya. Turut ditimbulkan adalah tuduhan bahawa ucapannya disediakan oleh orang Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. "Hakikatnya, Najib ada banyak kerja lain yang hendak dibuat. Ini seolah-olah mereka cuba menyatakan saya tidak berotak dan tidak tahu buat ucapan sendiri," katanya. Sultan Sharafuddin berkata, isu berkenaan juga ditimbulkan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim. "Saya ada sebutkan kepada Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim), 'apa ni sikit-sikit saya dikatakan orang Umno di dalam blog'," katanya. Katanya lagi, beliau juga menjangka akan dituduh sebagai "orang Utusan" kerana memberi wawancara kepada akhbar berkenaan. "Padahal, Utusan yang minta jumpa," katanya lagi yang menambah beliau akan mengkritik secara terbuka apabila melibatkan isu perpecahan Melayu. Bagaimanapun, beliau akan menegur menteri besar melalui surat atau perjumpaan apabila melibatkan isu pentadbiran. "Malangnya terdapat mereka yang salah faham apabila saya menegur tentang Melayu bersatu, maka ada pihak yang kata saya orang Umno. "Itu adalah sesuatu yang saya sangat benci mendengarnya. Pihak ini ikut sedap mulut bercakap tetapi tidak mahu memahami nasihat saya yang ikhlas," katanya. |
You are subscribed to email updates from pemuda cheh To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan