pemuda cheh |
Ghani Bakal Lepaskan Jawatan MB Johor? Posted: 03 Dec 2012 03:25 AM PST Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dijangka tidak akan mempertahankan kerusi dewan undangan negeri Serom dalam pilihan raya umum ke 13 kelak. Ini bermakna beliau tidak akan dilantik sebagai Menteri Besar lagi.Ghani menjadi Menteri Besar Johor selepas pilihan raya umum 1990. Sumber Umno memberitahu, Ghani akan dilantik mengetuai sebuah agensi yang dilantik Putrajaya bagi projek mega petrokimia berharga RM60 bilion di Pengerang. "Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju melantik Ghani untuk mengetuai agensi itu," kata sumber Umno yang ditemui di ibu negara sempena perhimpunan agung parti itu, Sabtu lalu. "Ghani pada mulanya mahu bertanding sekali di kerusi Serom tetapi dibantah oleh pemimpin setempat dengan alasan sudah terlalu lama menjadi Adun. "Beliau juga berminat untuk bertanding di kerusi Parlimen tetapi tidak ada yang sesuai," kata sumber itu lagi. Pemimpin-pemimpin Umno Johor serta bahagian Ledang yang diketui Abdul Ghani tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan dakwaan tersebut. | ||
Posted: 02 Dec 2012 05:57 PM PST Hari ini, sudah pun masuk hari ke 337 dalam tahun 2012. Ini bermakna tinggal 29 hari sahaja lagi sebelum kita melangkah ke tahun baru 2013. Lebih signifikan lagi, ia juga bermakna tinggal sahaja 145 hari sebelum penggal Parlimen ataupun mandat kerajaan memerintah sedia ada tamat. Penggal Parlimen sedia ada akan tamat pada 27 April 2013. Hingga ke saat ini, ramai yang masih tertanya-tanya bilakah sebenarnya tarikh Pilihan Raya Umum ke-13? Cakap-cakap mengenai tarikh PRU sudah lama kedengaran sejak dari awal tahun lalu lagi. Ramai yang cuba meneka dan meneka, ibarat bermain teka-teki. Cuba cari pembayang dan maksud tetapi tidak berjaya. Cuba cari kata kunci tetapi tetap gagal! Pelbagai tarikh dinyatakan. Ada yang meramal PRU 13 akan diadakan pada pertengahan tahun ini, Ogos, September, November mahupun Disember. Semua menunggu dengan penuh antisipasi tetapi pulang kecewa. Namun, semuanya ternyata meleset. Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini bahawa PRU 13 boleh diadakan pada Disember iaitu semasa musim banjir hanyalah satu "teaser" yang mempunyai maksud tersirat. Jika diamati secara dekat, jendela peluang untuk menganjurkan PRU 13 semakin hari semakin sempit. Bulan Disember akan berlalu dengan pantas tanpa disedari kerana ramai akan menggunakan kesempatan ini untuk bercuti sempena Hari Krismas. Manakala untuk ibubapa pula, mereka perlu bersiap-sedia dengan keperluan anak-anak mereka yang dijangka memulakan persekolahan pada minggu pertama Januari. Jika Disember tidak sesuai, tempoh yang paling sesuai untuk mengadakan PRU sudah tentunya tempoh selepas sambutan Tahun Baru Cina. Memandangkan Tahun Baru Cina 2013 akan disambut pada 10 Februari, berkemungkinan besar PM boleh membubarkan Parlimen pada minggu kedua atau ketiga Februari dan seterusnya mengadakan PRU pada minggu kedua Mac dengan syarat tempoh berkempen tidak lebih daripada 10 hari. Satu lagi kemungkinan yang mungkin menjadi pertimbangan PM ialah untuk membiarkan mandat pemerintahan kerajaan sedia ada dihabiskan. Namun pada pengamatan penulis, senario ini mungkin tidak akan berlaku. Pertama, PM tidak mungkin akan membiarkan momentum positif yang dikatakan berpihak kepada BN hilang begitu sahaja. Kelewatan untuk mengadakan PRU hanya akan menyulitkan percaturan strategi parti pemerintah. Lagipun, dalam dunia politik, peluang keemasan tidak datang bergolek. Sambarlah peluang itu sebelum terlambat ! Keduanya, dalam sejarah 12 kali PRU diadakan, seingat penulis… tempoh pemerintahan kerajaan tidak pernah melebihi lima tahun. Kebiasaannya, PRU akan diadakan apabila mandat pemerintahan mencecah 4 tahun. Walau apa sahaja tarikh PRU yang diumumkan kelak, penulis percaya ianya sudah tidak penting lagi. PRU tetap perlu diadakan dan rakyat perlu menunaikan kewajipan mereka. Apa yang lebih penting ialah bagaimana negara ini akan ditadbir urus dengan baik oleh kerajaan yang dipilih nanti. Hakikatnya, rakyat lebih berminat untuk mengetahui bagaimana kerajaan yang dipilih nanti akan dapat membawa Malaysia ke satu era baru atau sebaliknya. Mereka juga sedang menanti apa bentuk penyelesaian yang boleh ditawarkan oleh kerajaan mengenai Isu-isu berbangkit seperti rasuah, jenayah, budaya politik baru, demokrasi dan hak asasi manusia. Lebih penting lagi, rakyat juga mahukan mandat yang diberikan selepas ini tidak dikhianati. Wakil-wakil rakyat yang dipilih semula perlulah menunjukkan teladan dan contoh yang baik kepada semua. Hormati dan laksanakan segala amanah yang telah diberikan oleh rakyat dengan jujur. Jangan pula ada wakil-wakil rakyat cuba berpaling tadah dan melompat parti dengan alasan hilang keyakinan terhadap pucuk kepimpinan parti yang dianggotai. Muak rasanya melihat gelagat pemimpin-pemimpin sebegini. Kepada penganalisis politik mahupun orang ramai yang ingin meneruskan permainan meneka tarikh PRU 13, boleh terus berbuat demikian. Namun hanya PM sahaja yang mengetahui bilakah tarikh sebenar PRU 13. Bagi penulis, tarikh itu mungkin jatuh pada 11 Mac ataupun 11 April. Ini kerana nombor 11 dikatakan angka kegemaran YAB PM. Anda bagaimana? |
You are subscribed to email updates from pemuda cheh To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan