Ahad, 9 Disember 2012

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


"Himpunan Kebangkitan Rakyat", Pakatan Pahang Tawar 6+3 Tawaran Untuk Selamatkan Negeri Ini

Posted: 09 Dec 2012 06:44 AM PST

TEMERLOH, 9 Dis - Dengan mood perubahan yang memuncak di Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Negeri Pahang, Pakatan Rakyat menawarkan enam tawaran negeri bersama tiga tawaran pusat untuk menyelamatkan negeri terbesar di Semenanjung daripada kezaliman UMNO-BN. Dalam tawaran peringkat negeri PR Pahang yang ditandatangani Pesuruhjaya PAS Pahang Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi DAP Pahang YB Leong Ngah Ngah dan Pengerusi PKR Pahang Dato' Fauzi Abdul Rahman, PR berjanji akan menyelesaikan masalah tanah di negeri Pahang. Mereka berjanji akan menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menstruktur semula Kampung-kampung Baru dan Kampung Tersusun. Selain itu, PR Pahang juga berjanji untuk menyelesaikan permohonan tanah yang tertunda sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat. Untuk kebajikan Orang Asli, PR Pahang turut menawarkan untuk mewartakan tanah komuniti Orang Asal agar tidak dicerobohi sewenang-wenang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Terdapat juga berita baik untuk para pemilik tanah pertanian di mana PR Pahang berjanji akan memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada lot perumahan atau bangunan. Sekiranya BN ditumbangkan, rakyat Pahang turut bakal menikmati penurunan cukai pintu dengan mengambil kira peningkatan hasil  hutan dan maneral setelah perlaksanaan konsep 'bebas rasuah' dalam pentadbiran kerajaan. PR Pahang turut berjanji untuk melaksanakan sistem tender terbuka bagi semua hasil utama negeri. Tawaran PR Pusat pula berkisar kepada nasib generasi kedua dan ketiga Felda, royalti minyak kepada Pahang dan perhatian khusus kepada pembangunan prasarana kemudahan asas di kawasan pedalaman Pahang.  Sekiranya menjadi kerajaan selepas PRU13, PR bakal menempatkan peserta Felda Plantation di kalangan warga Generasi Kedua, ketiga Felda, anak Pahang, bekas staf Felda, bekas anggota Polis dan Tentera serta mengembalikan fungsi asal penubuhan Felda.   PR juga berjanji akan memberikan royalti minyak sebanyak 20% setahun kepada kerajaan Pahang setelah pengeluaran minyak beroperasi nanti berbanding dengan tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang hanya memulangkan sejumlah wang ehsan kepada negeri. 


PR juga berjanji untuk memberi perhatian yang serius dalam meningkatkan prasarana kemudahan asas yang berkaitan dengan perhubungan darat antara bandar dengan menyempurnakan kerja-kerja menaiktaraf jalan yang terbengkalai. Antara jalan yang disebut dalam tawaran yang ditandatangani Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS ialah Jalan Jerantut – Benta, Jerantut – Maran, serta membina jalan yang menghubungkan antara 2 negeri seperti Kuantan – Jerantut – Kuala Lipis – Gua Musang, Kuantan – Segamat dan Kuala Lipis – Raub - Bentong – Seremban dan Jerantut – Ulu Tembeling – Dungun. Jalan-jalan tersebut akan dibangunkan dengan perlaksanaan mengikut keutamaan demi memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang. HARAKAH

Tiada ulasan: