Jumaat, 7 Disember 2012

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Abdul Hadi: Sebanyak 11 Buah Kem PLKN Telah Pun Di Tutup Sejak Tahun 2004 Atas Pelbagai Kesalahan

Posted: 07 Dec 2012 12:59 AM PST

KUANTAN, 7 Dis - Sebanyak 11 kem yang mengendalikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ditutup sejak PLKN diperkenal pada 2004, atas pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha kem terbabit. Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil (foto) berkata tindakan itu bagi memberi ingatan kepada pengusaha lain agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan JLKN dalam mengendalikan kem dan pelatih. "Ia juga sebagai mesej kepada pengusaha kem bahawa JLKN tegas dan tidak sesekali berkompromi dalam isu keselamatan dan kebajikan para pelatih yang mengikuti latihan PLKN di seluruh negara. "Kita juga mahu menunjukkan kepada masyarakat, khususnya ibu bapa para pelatih bahawa keselamatan anak-anak mereka di kem-kem latihan sentiasa diutamakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Komandan Kem PLKN 2012 di Cherating, dekat sini, Jumaat Katanya dua daripada kem yang ditutup adalah di Pahang iaitu di Rompin dan Bentong, manakala kes terbaharu ialah di Kuala Kangsar, Perak selepas kem berkenaan didapati melanggar terma dan syarat yang ditetapkan JLKN. Mengulas mengenai aktiviti air yang akan dilaksana di kolam renang mulai tahun depan, Abdul Hadi berkata pengusaha diberi pilihan sama ada membina sendiri kolam berkenaan di kem masing-masing atau menyewa kolam renang berdekatan kem mereka. "Ini kerana pembinaan sebuah kolam renang bagi memuatkan semua pelatih PLK Ndalam satu-satu masa akan melibatkan kos yang tinggi iaitu kira-kira RM1.5 juta untuk sebuah kolam," katanya. Aktiviti air di kolam semula jadi terpaksa dihentikan seketika bagi menjaga keselamatan pelatih PLKN berikutan insiden kematian seorang pelatih, R.Vinoth dari kem Terkok, Sungai Siput, Perak, akibat kencing tikus pada 12 Mac lepas. Abdul Hadi juga berkata sebanyak 42,000 pelatih yang lahir pada 1995 dari seluruh negara akan dipanggil menjalani PLKN Kumpulan 1 Siri 10/2013 mulai 3 Januari ini. "Bakal-bakal pelatih boleh mula membuat semakan bermula hari ini menerusi laman web Khidmat Negara iaitu di www.khidmatnegara.gov.my atau hubungi talian 03-40274000," katanya. Pada majlis itu, Abdul Hadi mewakili seluruh PLKN turut menyampaikan cek sumbangan bernilai RM20,000 kepada Pengerusi Sekretariat Aqsa Syarif, Mohd Isa Maaroff untuk disalurkan kepada rakyat Palestin. BERNAMA


[Rakyat sebenarnya naik hairan dengan keputusan penutupan kem PLKN terbabit. Masalahnya kenapa di awalnya begitu mudah JLKN meluluskan pembinaannya tanpa melihat keupayaan pihak terbabit. Malah ada juga maklumat ada individu yang mendapat lesen di dua tiga tempat untuk membuat kem terbabit sedangkan mereka langsung tiada pengalaman untuk menguruskannya. Inilah yang menyebabkan banyak kem akhirnya ditutup sedangkan duit kerajaan sudah mengalir berjuta ringgit untuk dibayar kepada pihak berkenaan. Bayangkan kalau satu kem bernilai RM1 juta, makna RM11 juta wang rakyat hilang begitu saja akibat kealpaan pihak berkenaan. Justeru itulah, rakyat menyatakan bantahan terhadap kewujudan PLKN ini kerana ia jelas satu program yang mengayakan kroni semata-mata, sedangkan hasilnya untuk rakyat tidak jelas. Semoga kerajaan lebih berhati-hati dalam merangka program-program seperti ini pada masa yang akan datang].

MCA Mendakwa "Masyarakat Cina Kuantan" Kini Mula Terima Lynas Dan Tolak Dakyah Parti Pembangkang !

Posted: 06 Dec 2012 11:46 PM PST

KUANTAN, 7 Dis - Ketika kebenaran diberi kepada projek nadir bumi oleh Lynas Advanced Materia Plant (LAMP) beroperasi di kawasan Perindustrian Gebeng, ]awal November, rata-rata masyarakat sebenarnya telah menerima kewujudan kilang itu. Ramai yang menentang pada awalnya terutama kaum bukan Melayu, kini dilihat mula berlembut. Hakikatnya, LAMP yang disahkan tidak melanggar mana-mana peraturan di dalam mahupun di luar negara sebelum ini, dibenarkan beroperasi pada 8 November selepas Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) oleh tiga penduduk Kuantan. Menurut anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Datuk Chang Hong Seong, hanya segelintir sahaja dalam kalangan masyarakat Cina yang dilihat masih keliru dengan projek berkenaan akibat terpengaruh dengan dakyah pihak pembangkang. "Majoriti masyarakat Cina tidak lagi menentang, namun mereka memilih untuk berdiam diri. "Bagaimanapun ramai juga yang berharap agar kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi memantau cara kerja dan operasi kilang terbabit," katanya. Mereka berharap jawatankuasa penjadi pemerhati supaya operasi mengikut kaedah yang betul dan selamat, pakar-pakar yang dipilih juga mestilah benar-benar berpengetahuan untuk mengendalikan sisa buangan kilang berkenaan. "Sisa buangan kilang memproses nadir bumi itu mestilah dipindahkan ke lokasi lain yang jauh dari petempatan penduduk," katanya.  Pengerusi MCA Kuantan Datuk Ti Lian Ker berkata usaha badan-badan bukan kerajaan yang kebanyakannya bukan orang tempatan, selain manipulasi politik oleh parti pembangkang, dilihat sebagai sebab mengapa masyarakat Cina terpengaruh dengan fakta yang salah sebelum ini. "Kini rakyat khususnya kaum Cina di sini, sudah mula akur dan yakin dengan ketetapan yang dibuat. Pembangkang diminta jangan terus mempolitikkan isu Lynas untuk menjatuhkan imej kerajaan semata-mata bagi mengaut undi," katanya. Berdasarkan maklum balas yang diterimanya, masyarakat kini semakin yakin bahawa projek nadir bumi itu selain tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk, ianya juga dapat menjana ekonomi.

Masyarakat semakin sedar bahawa industri nadir bumi boleh menjadi sektor pembangunan baharu negara bagi melonjakkan Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. "Kilang itu juga akan menjadi hab untuk aktiviti hiliran nadir bumi seperti televisyen, skrin komputer, telefon bimbit hinggalah kepada lampu yang menjimatkan tenaga, mesin imbasan magnetik dan juga komponen kenderaan," katanya. Alangkah ruginya Malaysia jika projek besar seperti ini terhenti kerana manipulasi politik semata-mata.  Menteri Besar Pahang Dato' Sri Adnan Yaakob dalam reaksinya selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan itu berkata syarikat memproses nadir bumi itu perlu diberi peluang sebagai sebuah syarikat yang melabur dalam bidang yang penting bagi menjana ekonomi negara. Beliau berkata Lynas adalah sebuah syarikat yang selain memberi pendapatan kepada ekonomi negara ia turut memberi peluang ekonomi dan pekerjaan kepada penduduk setempat dan negeri Pahang.  Berdasarkan fakta, projek itu telah menarik ramai pembeli dan juga rakan niaga termasuk satu dari Jerman yang menjanjikan pelaburan lebih RM1.5 bilion untuk uruskan sebuah kilang yang akan memerlukan sekitar 1,200 pekerja. Selain itu, syarikat-syarikat pembekal juga telah membina kilang mereka lebih dekat dengan tapak LAMP antaranya dua syarikat pembekal asid yang melaburkan RM300 juta dan menggaji sekitar 100 orang petugas.

Berikutan hasil bumi, minyak dan sumber lain yang semakin berkurangan, Malaysia sememangnya perlu meneroka ke dalam sektor ekonomi baharu. Loji nadir bumi di Gebeng dijangka mampu memproses 22,000 tan nadir bumi setahun iaitu bersamaan satu perlima permintaan global seterusnya menjana pendapatan tahunan sebanyak RM4 bilion Pakar runding Dudley Kingsnorth of Industrial Minerals Co of Australia (IMCOA) menjangkakan permintaan untuk bahan nadir bumi akan mencecah 160,000 tan menjelang 2016 berbanding 105,000 tan pada 2011. Sehingga kini, para pengeluar dari China telah memonopoli industri itu tetapi menjelang 2016, dijangkakan sekitar 60,000 tan bekalan nadir bumi dunia akan diperoleh daripada pengeluar di luar China termasuk Malaysia. Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pahang, Leong Ngah Ngah dari DAP ketika hadir pada taklimat untuk wakil-wakil rakyat berkenaan pembinaan kilang itu pada 2009, juga bersetuju dengan pembinaan kilang berkenaan. Beliau telah pun mengulas dalam sebuah akhbar berbahasa Cina bahawa kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan besar dari luar negara hasil cadangan projek ini. Dengan bermulanya projek LAMP ini tanpa halangan lagi, Pahang kini boleh menantikan pulangan ekonomi yang besar dan manfaatnya akan dinikmati semua pihak. BERNAMA
[Kenyataan MCA ini pasti akan membuatkan ramai masyarakat Cina di Kuantan semakin "sakit hati" kepada mereka agaknya. Tambahan bagi NGO Cina yang selama ini berjuang menolak kemasukan Lynas ke sini. Apapun, MCA dan Kerajaan UMNO BN juga ada alasan tersendiri untuk mempertahankan projek berkenaa. Walau pun kini mereka dilihat tewas dalam memperjuangkan isu berkenaan apabila Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan Lynas beroperasi dan kini bahan nadir bumi terbabit sudah mula dibawa masuk ke kilang berkenaan di kawasan perindustrian Gebeng, namun terdapat suara-suara bangkangan yang mahu terus mengajar kerajaan dengan mengundi pembangkang pada Pilihanraya Umum Ke-13 tidak lama agi. Bagi mereka, hanya itu saja jalan terakhir untuk membolehkan Lynas di bawa keluar dari negara ini. Soalnya, jika BN tumbang di Pahang tetapi tidak di peringkat pusat apakah semua ini boleh menjadi kenyataan. Justeru, sama-samaah kita lihat perkembangan kes ini 10 hingga 20 tahun akan datang. Apakah ia akan menjadi seperti di Perak gamaknya. Segalanya terletak di tangan rakyat!].

Tiada ulasan: