Pahang Daily Online |
MB: Lebih 80% Peneroka Pahang Langgan Saham FGV Posted: 12 Dec 2012 12:12 AM PST KUANTAN, 12 Dis - Persidangan Ketiga Penggal Kelima DUN Pahang ke-12 semalam diberitahu bahawa lebih 80 peratus peneroka di seluruh Pahang melanggan saham Felda Global Ventures (FGV). Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob (foto) berkata, peratusan itu mewakili 34,730 peneroka yang melanggan saham FGV melalui pembiayaan bank dan hanya lima peneroka sahaja yang melanggan saham melalui pembiayaan sendiri. "Daripada jumlah keseluruhan peneroka Felda di Pahang hanya 8,388 (19.45 peratus) peneroka sahaja yang tidak melanggan saham berkenaan. "Saham FGV bertujuan memberi peluang peneroka mendapat keuntungan secara berterusan, selain pendapatan hasil kerja ladang saja," katanya menjawab soalan Datuk Abu Bakar Harun (BN-Chini). Abu Bakar ingin tahu berapakah jumlah peneroka Felda yang melanggan saham FGV di Pahang. Adnan dalam pada itu berkata, penerbitan saham itu merupakan salah satu usaha bagi menambah pendapatan peneroka. BERNAMA |
Panas: Masih Ada Mandi "Air Gunung" Di Negeri PM, Ke Mana Hilangnya Ahli Parlimen Rompin (Dato' JJ) Posted: 11 Dec 2012 11:41 PM PST KUANTAN, 12 Dis - Apa sudah jadi dengan negeri Perdana Menteri?. Baru semalam NGO Solidariti Hijau menghantar memorandum berkenaan "Krisis Air Di Pahang" ke pejabat Menteri Besar di Wisma Sri Pahang, tiba-tiba hari ini rakyat dikejutkan dengan berita masih ada rakyat Pahang yang menggunakan air yang disalurkan dari gunung untuk kegunaan harian mereka. Kes berlaku di pulau peranginan terkenal di negara ini iaitu Pulau Tioman. Laporan tersebut telah disiarkan oleh akhbar Sinar Harian edisi Pahang hari ini. Paling menarik keyataan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman sendiri, Dato' Mohd Johari Hussain. Beliau mengemukakan keluhan penduduk Pulau Tioman yang mempersoalkan usaha Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menyelesaikan isu ini. "Masih ramai penduduk Pulau Tioman yang menggunakan bekalan air gunung. Hingga kini bekalan air bersih belum dapat dibekalkan dengan sempurna kerana ada laluan paip membabitkan kawasan penduduk", katanya dalam Persidangan Ketiga Penggal Kelima DUN Pahang ke-12 yang berakhir semalam. Mengulas lanjut mengenai perkara itu, kami sempat dihubungi Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Razali Alias (foto). Beliau berkata senario ini sungguh memalukan. "Mana mungkin di negeri PM ada rakyat Pahang yang masih mandi air gunung... sedangkan PM sering menuding jari kononnya negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat tidak pandai menguruskan air. Akhirya bagai terkena batang hidung sendiri.. kini seluruh dunia tahu bahawa negeri Pahang lebih teruk dari apa yang disangka. Paling menyedihkan ialah ia berlaku kepada Pulau Tioman yang merupakan salah satu dari sepuluh buah pulau tercantik di dunia...", kata Razali. Beliau turut mempersoalkan kewajaran rakyat Rompin untuk memilih Dato' Seri Jamaluddin Jarjis (JJ) sebagai Ahli Parlimen kawasan itu lagi pada Pilihanraya Umum akan datang. Ini kerana Datuk JJ ternyata gagal menjaga kebajikan rakyatnya. "Di mana Datuk JJ sekarang... dia seronok menjadi Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.. sedangkan rakyat di kawasannya masih mandi air dari gunung.... saya juga dengar UMNO Rompin sibuk menjaja nama Datuk JJ akan diangkat oleh PM Najib Razak bagi menggantikan Dato' Sri Adnan Yaakob sebagai Menteri Besar sekiranya BN masih terus berkuasa di Pahang selepas PRU-13 nanti... Jika kawasan Parlimen Rompin yang kecil sebegitu pun Datuk JJ gagal jaga kebajikan rakyat.. mana mungkin boleh jaga seluruh negeri Pahang... Saya rasa eloklah MB Sekarang dikekalkan kalau BN masih memerintah dari diberikan kepada beliau (Dato' JJ).. Itu pun kalau BN masih berkuasa, tapi kalau kerajaan bertukar dan Pakatan Rakyat (PR) pula memerintah.. lain ceritanya", tambah Razali Alias lagi. [Apa yang berlaku ini seolah-olah mengesahkan lagi memorandum "Krisis Air Pahang" yang dihantar oleh NGO Solidariti Hijau ke Pejabat Menteri Besar Pahang semalam. Mungkin, ketika rombongan NGO terbabit yang diketuai oleh Zulkefly Mohamad Omar menghantar memorandum itu dalam masa yang sama juga isu air turut diperdebatkan di Sidang DUN Pahang. Ini bermakna apa yang disuarakan oleh Solidariti Hijau itu ada asasnya dan bukan sekadar omongan kosong semata-mata. Laporan Sinar Harian dipetik, Kerajaan Negeri Pahang memaklumkan gangguan bekalan air di kawasan tertentu termasuk kampung dan bandar adalah disebabkan kejadian paip pecah atau gangguan di loji rawatan air. Kenyataan itu dibuat oleh Exco Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan Pahang iaitu Dato' Ir.Mohd Soffi Abdul Razak. Beliau turut berkata Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) kini sedang merancang projek menaiktaraf loji rawatan secara berperingkat. Itulah jawapan biasa yang sudah didengar oleh rakyat sejak 40 tahun lalu. Soalnya, kenapa dalam Bajet 2013 yang diumumkan oleh Najib baru-baru ini, peruntukan besar untuk isu air tidak dibuat?. Air adalah hak rakyat, maka sepatutnya ia lebih diutamakan dari lain-lain bantuan yang diberikakan seperti sekarang. Semoga isu ini dapat diselesaikan segera menjelangnya PRU Ke-13 ini!]. |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan