Khamis, 20 Disember 2012

MiLo SuaM

MiLo SuaM


Aliran keluar wang haram: kedudukan Malaysia bukti lemahnya tatakelola dan berleluasa rasuah

Posted: 20 Dec 2012 12:22 AM PST

LAPORAN terbaru oleh Global Financial Integrity (GFI) meletakkan Malaysia sebagai negara kedua paling teruk dalam senarai aliran keluar wang haram (illicit financial flows) di kalangan negara-negara membangun di seluruh dunia bagi tahun 2010. Walaupun ini sudah diduga, namun jumlah besar wang haram yang dipindahkan keluar dari Malaysia di antara tahun 2000 hingga 2010 tetap mengejutkan negara.

GFI memantau aliran keluar wang haram dengan menggunakan kaedah ekonomi yang diterimapakai di seluruh dunia. Kajian GFI adalah satu-satunya kajian seumpamanya yang dijadikan kayu ukur di seluruh dunia. Makanya, dapatan kajian GFI yang meletakkan Malaysia di kedudukan tercorot sewajarnya diambil serius oleh semua pihak di Malaysia.
Malaysia adalah sebuah negara yang ekonominya bergantung kepada perdagangan antarabangsa. Kegiatan eksport dan import melibatkan aliran wang keluar masuk dan perpindahan dana pelaburan yang saban hari menjadi lebih rumit. Oleh itu, dapatan kajian GFI ini memberi gambaran besarnya ketirisan ekonomi dalam negara dipindahkan ke luar negara yang akhirnya merugikan rakyat.
Sebab itu saya memulakan siri sidang akhbar mingguan saya menjelang Pilihanraya Umum 13 (PRU13) ini dengan memberi fokus kepada krisis aliran keluar wang haram. Ia menjadi bukti bahawa rasuah, penyelewengan dan tiadanya disiplin tata kelola yang telus akhirnya akan meranapkan kedudukan ekonomi Malaysia yang dibina selama ini.

Dalam laporannya, GFI menggariskan tiga aspek utama yang mempengaruhi jumlah aliran keluar wang haram sesebuah negara, iaitu:

1. Isu-isu makroekonomi sesebuah negara yang bersabit rapat dengan persepsi rasuah dan berleluasanya rasuah;

2. Saiz ekonomi haram dari kegiatan-kegiatan haram seperti kongsi gelap, perjudian tanpa lesen dan lain-lain; dan

3.Penguatkuasaan undang-undang yang lemah oleh institusi yang dipertanggungjawabkan menyebabkan tiadanya disiplin tata kelola pentadbiran ekonomi yang baik
Oleh itu, jumlah aliran keluar wang haram yang meningkat 111% dari angka US$30.41 bilion (bersamaan RM94.27 bilion) pada tahun 2009 kepada US$64.38 (bersamaan RM199.58 bilion) dalam tahun 2010 adalah bukti kegagalan Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam menguruskan ekonomi negara.

Jika dibandingkan dengan negara-negara yang sama-sama menduduki tempat tercorot dari segi jumlah aliran keluar wang haram iaitu China, Mexico dan Arab Saudi (selain Malaysia), Malaysia adalah satu-satunya negara yang menyaksikan jumlah aliran keluar wang haramnya meningkat satu kali ganda dalam tempoh setahun antara 2009 hingga 2010.

Tempoh 2009 dan 2010 ini adalah tempoh kritikal pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak yang menggambarkan dasar dan pendekatan ekonomi yang beliau laksanakan. Justeru, peningkatan satu kali ganda aliran keluar wang haram di dalam tempoh ini membuktikan bahawa dasar dan pendekatan ekonomi beliau gagal membanteras rasuah, gagal menyekat aktiviti jenayah yang menjadi dalang ekonomi haram dan gagal memperkuatkan institusi negara untuk membudayakan tata kelola yang baik.
Oleh sebab itu, saya melontarkan jemputan yang tidak putus-putus kepada beliau untuk berdebat mengenai pengurusan ekonomi negara demi kebajikan rakyat.

Saya yakin isu yang paling menarik minat rakyat dalam PRU13 ini adalah tata kelola pengurusan ekonomi yang baik, makanya Dato' Seri Najib Tun Razak harus mempertahankan rekod pengurusan ekonomi beliau.
Setakat ini, rekod pengurusan ekonomi beliau tidak memberangsangkan. Selepas empat tahun menjadi Menteri Kewangan, beliau masih belum menyelesaikan masalah pokok ekonomi rakyat seperti kenaikan harga barang, perumahan rakyat yang tidak mencukupi, gaji yang tidak meningkat dan rasuah yang berleluasa.

Pada peringkat pengurusan ekonomi makro pula, beliau masih gagal menyelesaikan masalah hutang negara, defisit belanjawan yang berpanjangan dan terkini, aliran keluar wang haram yang meningkat satu kali ganda di bawah pentadbiran beliau.

Jika prestasi ini tidak berubah, ia akan membawa musibah besar kepada ekonomi negara dan kebajikan rakyat.
Sebab itu, saya memandang serius sikap acuh tidak acuh Dato' Seri Najib Tun Razak dan pentadbiran beliau dalam menangani masalah aliran keluar wang haram ini. Sehingga kini, masih belum ada jawapan dari beliau mengenai kegagalan dasar ekonomi beliau hingga melonjakkan Malaysia ke tempat kedua paling corot dalam tahun 2010 dari segi jumlah wang haram.
Saya dan rakan-rakan Pakatan Rakyat akan mengambil inisiatif untuk membawa pihak-pihak terbabit ke meja rundingan untuk mendalami masalah ini dan memuktamadkan pelan tindakan membanteras aliran keluar wang haram.

Hari ini, saya akan menulis kepada Tan Sri Zeti Akhtar, Gabenor Bank Negara, GFI dan Menteri-menteri Besar/Ketua Menteri Pakatan Rakyat untuk menjemput mereka menganggotai wacana membanteras aliran keluar wang haram yang dijangka diadakan dalam bulan Januari 2013.

Saya percaya negara memerlukan pendekatan membina untuk menyelesaikan masalah ini. Langkah segera perlu diambil dengan memuktamadkan pelan tindakan yang perlu dilaksanakan, bukannya dengan mengelak dari menjawab isu seperti mana gelagat Dato' Seri Najib Tun Razak setakat ini.
 
ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
20 DISEMBER 2012
Sent from my BlackBerry®

Tiada ulasan: