Kerabu Bersuara ® |
- BN ‘sapu’ tanah: Selangor sedang kumpul bukti – MB
- Menziarahi kembali –(Revisiting)– Muktamar PAS dan PAU.
- Insiden berdarah Gombak: Najib suburkan budaya samseng – Azmin
BN ‘sapu’ tanah: Selangor sedang kumpul bukti – MB Posted: 05 Dec 2012 11:14 PM PST KUALA LUMPUR 6 Dis: Kerajaan Selangor sedang giat kumpul maklumat berhubung dakwaan ‘projek sapu tanah’ oleh kerajaan BN sebelum ini. Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan pegawai-pegawai daerah bagi mendapatkan pandangan berhubung isu itu. “Kita masih dalam proses semak dan tambah maklumat kerana kita juga perlu turun padang untuk ambil gambar tanah dan jenis pembangunan yang dilakukan di atas tanah tersebut. “Kemudian kita juga akan berbincang dengan Pegawai-pegawai Daerah untuk mendengar pandangan mereka berkenaan hal ini,” jelasnya, dipetik Media Selangorku. Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sebelum ini mendedahkan berlakunya ‘projek sapu tanah’ oleh kerajaan BN di Selangor yang melibatkan 23 keping tanah yang mempunyai keluasan 33.5 ekar di negeri berkenaan. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim, tanah-tanah dengan keluasan satu hingga tujuh ekar itu dianggarkan bernilai lebih daripada RM20 juta, dan merupakan tanah yang bernilai tinggi kerana merupakan tanah untuk tujuan perniagaan komersial, rumah kedai, dan bangunan perniagaan. Katanya, tanah-tanah tersebut diperolehi dengan harga bayaran premium sekaki nominal hanya RM1. Jelas beliau, perkara itu berlaku antara 2000 hingga 2008, yang ketika itu Selangor diketuai oleh Dr Khir Toyo selaku Menteri Besar, sebelum negeri berkenaan tewas pada Pilihan Raya 2008 kepada Pakatan Rakyat. |
Menziarahi kembali –(Revisiting)– Muktamar PAS dan PAU. Posted: 05 Dec 2012 11:04 PM PST
Kedua-dua Muktamar Tahunan PAS (MTP) dan Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru sahaja selesai dianjurkan. PAU yang baru beberapa hari melabuhkan tirainya tentunya mempunyai ‘advantage tertentu’ berbanding MTP yang diadakan dua minggu lebih awal. Pelbagai analisis telah mula terbit dalam segenap media cetak, elektronik serta media sosial, dari sisi-sisi pandang yang serba rencam dan menarik. Tentunya setiap pandangan dan analisis mewakili sesuatu anutan dan kepercayaan politik meskipun yang melontarkan ide-ide tersebut adalah orang akademik atau pihak ‘think-tank’ yang lazim mendakwa mereka bebas dan tidak partisan atau berpihak. Penulisan ini tidak mendakwa analisis ini bebas kepentingan politik. Tentunya tidak. Namun penulis berharap bacaan sehingga kehujung nanti jelas mempamirkan cita-citanya memupuk pencerahan minda tanpa ‘fear atau favour’ dengan izin, atau rasa takut dan gentar kepada cemuhan dan kritik dari mana pun datangnya. Justeru kerana had dan ruang yang terbatas pilihan tajuk adalah diakui ‘selektif’. Tidak semua yang akan dapat disebut dan tentunya ada yang berasa tidak puas. Dari hal Muktamar (MTP) da Perhimpunan (PAU) Kedua-dua MTP dan PAU didahului oleh Pemuda dan Wanitanya. Bezanya, sementara PAS mempunyai Dewan Ulama’ yang turut bermuktamar, Umno memilikki Puteri yang juga bersidang sebagai dewan. PAS belum lagi mengangkat ‘Amirah’nya untuk bersidang sebagai dewan lagi seperti ‘Puteri’. Meskipun banyak perkara menarik yang harus dirakamkan, ada baiknya ia tidak mendahului analisis Ucapan Dasar kedua-dua Presiden PAS dan Umno. Dari hal Ucapan Dasar kedua-dua Presiden Tidak wajar bagi penulis menyatakan bahawa di segi Ucapan Dasar; Presiden PAS boleh diberi markah yang lebih baik dari Presiden Umno. Anda boleh sahaja memilikki penilaian yang berbeza, namun hati kecil anda tetap akan mengakui bahawa Presiden PAS, yang diakui umum kehebatan berpidatonya, tidak perlu meninggikan suaranya dan berteriak lebih dari yang diperlukan. Emosinya lebih terkawal meskipun membuat ucapan muktamar terakhir sebelum ‘perang besar’ bertempur lawan. Sukar bagi penulis untuk memberikan komentar yang sama kepada Presiden Umno yang tampaknya sangat tertekan dan desperate sekali untuk ‘tenteranya’ faham benar-benar ucapannya. Semacam itu penentu segala kalah menang, hidup-mati partinya. Namu peleknya, ‘ancaman’ akhirnya tidak bersabit seteru atau lawan tapi dari hal ‘tentera’nya sendiri yang beliau kata ‘lebih saya takuti’. Maka, sementara Presiden PAS menerangkan ‘road-map’nya ke Putrajaya dan bagaimana untuk berjaya ke situ, Presiden Umno membelasah lawannya cukup-cukup pada awalnya tetapi berakhir dengan memberi ‘kata-dua’ serta mengancam yang bakal belot kerana ‘tidak dipilih bertanding’. Beliau tegaskan bukan sahaja mahu menang tapi menang dengan 2/3 majoriti di parlimen. Mengapa dan juga bagaimana untuk menggapai cita-citanya, tidak sangat dihuraikan. Dua ucapan yang sangat berbeza dari sudut gaya, isi dan penekanan. Ucapan Dasar Presiden PAS disambut baik oleh pelbagai pihak. Mantap, menyeluruh dan jelas, kata mereka. Penulis kesempatan menerima ucapan tahniah buat Tuan Guru Presiden dari kawan-kawan merentasi kaum dan agama, pihak awam, swasta, usahawan dan golongan korporat bahkan sms dan tweets dari dekat dan jauh. Ucapan Presiden Umno juga menarik dianalisis dengan lebih mendalam. Anda berhak memberi penilaian secara jujur dan terbuka. Menyebutkan bahawa “Umno lebih tertib dari PAS, lebih demokratik dari PKR dan lebih inklusif dari DAP” merupakan dakwaan yang begitu berani oleh Presiden Umno. Ramai yang mungkin kurang senang dengan cubaannya itu. Amat mengejutkan apabila beliau mendakwa dirinya penyelamat negara dari kemelut ekonomi global, berjaya mengeluar negara dari ‘perangkap pendapatan sederhana’ dan kini kea rah pacuan ekonomi berprestasi tinggi. Lebih mengejutkan apabila beliau mendakwa lebih baik dari seteru ketatnya sebagai seorang Menteri Kewangan yakni Ketua Pembangkang itu. Umum juga mahu tahu kalau-kalau statistik di segi i. defisit fiskal negara, ii. hutang kerajaan Pusat dan iii. kadar pertumbuhan, boleh beliau utarakan bersama. Malang, statistik membuktikan sebaliknya! Presiden Umno itu tidak melepaskan peluang menghubungkan perjuangan parti itu dengan Islam bahkan mendakwa ‘Umno lebih Islamik dari PAS’. Cubaannya amat ganjil dan tidak enak didegar kerana umum sukar mendamaikan tuntutan Islam dengan perbuatan dan tabiat penguasa dan elit tertingginya parti itu. Tentunya sukar. Sukar juga memahami kalau Islamlah yang dijadikan dasar dan ikutan Umno yang dipimpinnya, maka apakah Islam juga yang patut dipersalahkan umum dengan saratnya rasuah dan salah guna kuasa oleh partinya – ‘penagihan-addiction’ kronik yang telah menjadi sinonim dengan gelagat dan tabiat elit pemimpin parti Melayu itu di seluruh peringkat sampai ke pemimpin bahagaian dan cawangan parti. Dalam suasana serba ‘desperate’ itu, mahu saja Presiden Umno ini memadam hakikat bahawa dasar partinya ‘Ketuanan Melayu’ (Malay Supremacy) dan slogannya ‘Hidup Melayu’ dan ideologinya Nasionalisme Melayu. Tidak dinafikan Umno cuba berubah, mentelahan berhadapan dengan satu pilihanraya yang mengancam kesinambungan kuasa dan kerajaannya. Tetapi itukan satu cita-cita, lebih tepat lagi omongan dalam situasi terdesak seperti hari ini, yang belum lagi berupa realiti. Permohonan maafnya dalam bahasa kiasannya tentang ‘bumi mana tidak ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak..’ diharapkan beliau akan menimbulkan ihsan-belas rakyat kepadanya dan pemimpin partinya untuk mereka di’ampuni’ oleh rakyat. Apakah ‘dosa-dosa’ dan ‘jenayah’ mereka tidak pula disebut oleh Presiden Umno itu. Keputusan PRU nanti akan menentukan apakah semudah itu untuk rakyat memaafkan penguasa politik yang kini hanya bergantung harap kepada sokongan orang Melayu. Paling tidak sopan apabila Presidennya tidak melepaskan peluang mengancam rakyat, khasnya orang Melayu supaya tidak menjalankan ‘uji-kaji’ atau ‘mencuba-cuba’ dengan pertukaran kerajaan. 5 tahun masa yang lama tegas beliau. Ancaman sama dibuat oleh Timbalan dan Ketua Wanitanya terlebih dahulu. Ketua Wanita langsung menyebutkan tentang 13 Mei sebagai ‘hantu’ atau ‘bogey’ menakutkan rakyat supaya ‘tidak berubah’ dan kekal dengan Umno-BN. Apakah slogan ‘Katakan Tidak kepada Pakatan’ bakal menerima nasib yang sama kepada katakan ‘Tidak’ kepada kempen anti-rokok? Kalau rokok yang buruk itu pun gagal, apatah lagi Pakatan yang rakyat ‘kecapi nikmat’nya di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Aduhai Presiden Umno…. Dari hal perbahasan Perhimpunan dan Muktamar Penulis juga akan berterus terang tentang hal muktamar dan perhimpunan. Tidak ada baiknya kalau penulis sekadar ‘bermanis mulut’ atau cuba untuk ‘spin’ satu yang tidak benar. Demi perjuangan dan pencerahan minda rakyat, penulis akan menyatakan ‘qaulan sadida’ – ‘perkataan yang benar’ tentuya dari sisi pandangnya yang sifatnya ‘nisby atau relatif’ dan ‘tidak absolute’. Jangan melenting..relaks dan terima sebagai ‘input luar’ yang tidak menuntut bayaran ‘intellectual property’ ini. Perbandingan perbahasan MTP dan PAU menyerlahkan perbezaan ketara. Sementara perwakilan PAS dalam MTP bebas menyuarakan apa jua yang dirasakan dekat dihati pengucap dari negeri-negeri dan dewan-dewan, termasuk dari Dewan Perhimpunan PAS Pusat (DHPP) yang mewakili mereka, ternyata pada kali ini, Umno telah ‘stage-managed’ atau ‘menyusun-atur’ ucapan perwakilan2nya dalam PAU itu. Jelas PAU mempunyai ‘advantage’ di segi, ini kerana dapat mengambil iktibar dari pengalaman MTP yang berlangsung lebih awal. Umno kelihatan ‘mengawal’ isi serta fokas pengucapnya. Tidak seperti lazim, contohnya seperti PAU lalu, perwakilan bebas mengangkat isu NFC dan rasuah pelbagai pihak. Tidak pelik kalau tidak ada sesiapa pun yang berani menyinggung isu-isu kepincangan tadbir-urus kerajaan BN dan hal-hal dalaman parti tersebut. Keseluruhan perbahasan baik di peringkat Dewan Pemuda, Wanita atau Puteri adalah menjuruskan serangan kepada seteru dan musuh sekaligus mengalih pandangan umum terhadap ‘kepincangan’ lawan politiknya. Umno sangat licik menggunakan kaedah itu sehingga dilihat mereka semacam ‘berpadu dan bersatu hati’. Nyawa Umno di hujug tanduk Amat luar biasa emosi dan tenaga mereka seolah-olah keesokan itu akan terus berperang. Teriakan Hidup Umno!,Hidup Malaysia!, kini ditambah dengan slogan Hidup Rakyat dan Allahu Akbar! Terasa akan janggalnya tetapi itulah perubahan Umno pada saat-saat nyawa dan kuasa sudah di hujung khalkum. Umno kelihatan sangat berkehendak untuk menang justeru tidak mempedulikan isu-isu yang minta diselesaikan oleh rakyat. Tampak PWTC itu agak ‘terpisah’ (aloof-divorced) dari denyut-nadi rakyat teramai. Tidak hairan kalau Presiden menggunakan kalimat ‘sudah sampai masanya kita kembali kepada rakyat’ dalam awal ucapan beliau. Penulis ini spontan mengicaukan tweetya ‘Oops..selama ini di mana ya?’. Sukar untuk menghubung ucapan perbahasan dengan realiti kecuali kalau yang dikatakan adalah apa yang hendak dibuat pemimpin itu dan bukan kerja yang telah dibuat. Kalau mahu diukur ‘kerja buat’ Umno, sangat sukar untuk dipadankan dengan ucapan perwakilan. Kewujudan jurang kaya-miskin yang terus melebar khasnya dalam etnik Melayu, pembolotan kekayaan secara rakus oleh segelintir manusia kaya-superkaya (rich-super rich) di kalangan elit bisnes-politik, kelompok besar yang layak terima BRIM serta masih ramai pendapatan di bawah RM1,500 sebulan, mendahulukan kepentingan bisnes dari keselamatan-kesihatan rakyat seperti projek Lynas, penularan rasuah-salah guna kuasa dan pelbagai kebejatan tadbir-urus kewangan negara khasnya hutang kritikal kerajaan Pusat, hutang isi-rumah dan korporat-GLCs, merompak hak rakyat seperti royalti Kelantan, adalah lambang kepincangan tadbir-urus kewangan dan pembangunan Umno-BN (UBN) untuk kesekian lamanya. Justeru, perbahasan dalam PAU, kerana telah ‘disusun-atur’ tidak langsung diizikan menyebut kelemahan pentadbiran UBN. Ia gagal menyuntik keyakinan bahawa Umno ada perancangan serta agenda bertindak untuk menangani gejala dan kepincangan ini. Ini yang ditunggu-tunggu orang Melayu-Islam bukan retorika dan lagu lama bahawa Melayu akan terancam apabila Pakatan mengambil alih kuasa. Perbahasan MTP lain pula halnya. Benar bagai dek kata. Demokrasi hidup subur dalam PAS dan muktamarnya membuktik hakikat tersebut. Syabas! Namun MTP jelas membuktikan bahawa tidak semua perwakilan ‘berjaya’ mengangkat agenda perubahan yang dihajati Presiden parti itu. Ucapan yang menyeluruh dan terperinci di segi ‘pengarahan’ dan ‘strategi umum’ bagi menghadapi PRU ke-13 tidak disambut dengan perbahasan yang menjurus kea rah memfokas ‘pertarungan’ PRU ke-13. Sebaliknya sebahagian besar perbahasan MTP bersifat ‘dalaman’ yang tidak ‘konstruktif-produktif’ untuk PRU ke-13, kerana sentiasa mencari kelompok ‘yang bersalah’ (witch-hunting). Penjelasan fenomena ini akan dihuraikan nanti. Penulis perhatikan bahawa perwakilan ‘kurang berjaya’ mencerap dan menggarap mesej utama Presiden bahawa PAS berada di kedudukan paling baik dalam jatuh-bangun perjuanganya di persada politik nasional. Tawaran “Negara Berkebajikan – Teras Perpaduan” tidak digarap dan terus dimaknakan oleh perbahasan perwakilan dalam pengalaman pemeritahan atau ‘tajribah siasah’ ketika mengecapi sedikit kuasa dalam parlimen ke-12 dalam mentadbir 4 buah negeri Pakatan, khasnya dengan Kelantan yang sudah melepasi dua dekad. Ternyata, sesungguhnya bahawa perwakilan ‘terperangkap’ dengan serangan musuh-musuh politik luaran dan ‘dalaman’ yang kerap merobek kepercayaan ahli bahkan mungkin juga segelintir kepimpinan bahawa kononya PAS telah menyeleweng dengan Negara Berkebajikan dan meninggalkan Negara Islam. Serangan bahawa PAS telah luntur, tergelincir dan ‘tidak dominan’ sebenar mengesani psikologi perwakilan dan parti. Bahkan di perhatikan bahawa Majlis Syura Ulama sendiri terpaksa menjawab serangan kuncu-kuncu jahat Umno dengan pernyataan “PAS masih di atas landasan asal perjuangannya”. Pemerhatian penulis juga disokongan sesetengah pengamat politik; ‘Mengapa sampai begini tertekannya PAS?’. Pasca Muktamar, PAS wajar meninggalkan polemik ini kerana penulis dapati sehingga keluaran mutakhir Harakah, masih melayan serangan UBN ini. Ini sangat merugikan masa dan sumber parti kerana bentuk penerangan yang PAS wajar dayakan seterusnya adalah mengertikan dan memaknakan Negara Berkebajikan- Baldatun Taiyyibah- dalam bentuk polisi dan progam kerajaan yang kita sedang pimpin dan bakal terus ditadbir. PAS-Pakatan Alternatif Viable dan Lebih Baik PAS tidak perlu mengulang-ulang bahawa ‘PAS komited kepada Tahaaluf Siyasi’ kerana tiada siapa yang sangsi kecuali kalau-kalau ada di kalangan ahli dan kepimpinan yang masih curiga dan tidak puas diterangkan oleh kepimpinan tertinggi parti sendiri. Di ambang PRU ke-13 MTP sepatutnya terus meyakinkan bahawa PAS dan Pakatan adalah alternatif lebih baik dan mampu membawa Negara keluar dari pelbagai kebejatan moral, ekonomi dan kewangan akibat dari tadbir-urus yang bobrok oleh segelintir kepimpinan UBN yang rakus dan tamak. Namun perwakilan tetap PAS berjaya menonjolkan kepimpinan Umno sebagai tidak mempedulikan perhitungan pahala-dosa, syurga-neraka dan baik-buruk keatas rakyat seluruhnya. Cukup untuk menyerlahkan lambang kebobrokan Umno dengan NFC dan kebobrokan perpaduan BN merompak Negara dengan PKFZ. Bagi membuktikan PAS tetap dominan dan ‘bukan melukut tepi gantang’ terdapat perwakilan yang secara tidak menghitung kesan baik-buruk politik pilihanraya, dengan tidak dibawa melalui usul, spontan mengesyorkan sesuatu yang ditanggapi umum sebagai ‘menembak di kaki sendiri’. Peringatan sopan dan penuh berhemah Presiden PAS wajar diulangi acapkali. Penulis memerhatikan kesemua ini sebagai usaha menjawab-balas serangan musuh dan seteru politik PAS yang menceburui kedudukan PAS yang memposisi perjuangan Islam yang ditengah-tengah persada politik nasional. Sesungguhya, ‘Slogan PAS for All’ dan kini ‘Islam for All’ adalah sangat digeruni seteru politik PAS yakni Umno dan kuncu-kuncunya. PAS terus menempah pelebaran sokongan hasil penerangan yang menampilkan ISLAM sebagai “Rahmah ke atas Semua” (Islam – A Mercy unto All Mankind and the Universe). Sokongan Melayu-Islam ‘pertengahan’, sebagai tambahan penting kepada segmen Melayu-Islam tegar di ‘Malay belt’, sokongan kaum Cina-India, khasnya terbukti dengan keterlibatan DHPP, adalah antara perkembangan ‘Political Islam” paling menarik dalam pengalaman Gerakan Islam Kontemporari dalam dekad mutakhir ini. Barat dan medianya juga sangat waspada akan perkembangan ini. Kekuatan PAS ini harus segera difahami dan dihayati oleh kesemua pimpinan dan ahli serta pendokong PAS, lantas terus mengukuhkan posisi dan pelebaran sokongan parti Islam itu. Melakukan kesilapan berulangkali bakal mencetuskan kesangsian bahkan ketakutan di kalangan pelbagai segmen pengundi yang baru berjinak dengan PAS termasuk DHPP itu sendiri. MTP dan PAU telah berlalu dan membawa pengalaman dan naratifnya tersendiri. Hanya kelompok yang terus memperbaikki dirinya akan bersedia dan mampu memerintah. Adapun kelompok yang hidup dalam alam khayalannya akan mendapati dirinya diperintah. PAS dan Pakatan kini bersedia memunggah segala sumber dan kekuatan hingga ke garis penamat. Benar, kemenangan bukan segala-galanya, tetapi segala cita-cita menegakkan Keadilan-Kebenaran serta merakyatkan kemakmuran negara berteraskan ‘UbudiyyatilLah’ akan hanya mampu diusahakan setelah kemenangan dan sedikit kuasa dianugerahkan Allah disyukuri dan dizahirkan….Ingat doa Nabi Yusuf di dalam Al-Quran….Rabbi, qad aataitani minal mulki…..Tuhanku, sesugguhnya kalau telah augerahkanku sedikit dari Kuasa KerajaanMu…. PAS dan rakan-rakan Pakatannya bersedia untuk menunaikan Amanah besar ini dengan izin Allah jua! Takbir! Allahu Akbar! Dr Dzulkefly Ahmad, AJK Pas Pusat |
Insiden berdarah Gombak: Najib suburkan budaya samseng – Azmin Posted: 05 Dec 2012 10:51 PM PST (Oleh Masdar Wahid) KUALA LUMPUR 6 Dis: Serangan Pemuda Umno pada Ceramah Merdeka Rakyat Gombak bukti budaya samseng di negara ini disuburkan oleh presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali. “Tindakan samseng Umno menikam rakyat dan membaling batu, pasu bunga dan pelbagai objek keras membuktikan Najib menyuburkan budaya samseng sedangkan mereka datang hanya untuk mendengar ceramah,” kata Ahli Parlimen Gombak itu. Dalam serangan samseng Umno di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2, Gombak malam semalam, sekurang-kurangnya dua penyokong Pakatan Rakyat cedera. Mangsa pertama, seorang lelaki cedera di bahu kiri dipercayai ditikam dengan objek tajam manakala seorang lagi Haider “Mereka ini bersifat kebinatangan apabila melontar kayu, batu-bata dan pasu bunga kepada penduduk yang tidak berdosa dan ia pertama kali berlaku di kampung ini. “Mereka menjerit, memaki, bertindak ganas dan biadab termasuk membawa objek tajam dan menikam petugas. Kalau mereka hendak naikkan bendera, kita tak ada masalah, tetapi jangan biadab dan ganggu rakyat,” kata Azmin pada sidang media sejurus selepas program itu. Provokasi dimulakan Pemuda Umno yang berlagak mat rempit dengan berkonvoi pada 8.30 malam menuju ke lokasi ceramah Pakatan. Mereka yang membuat provokasi ke hulu ke hilir tanpa helmet sambil mengibar bendera BN menyebabkan jalan menuju ke tapak ceramah sesak. Pemandu kenderaan terpaksa membunyikan hon bagi meminta laluan, namun suasana bertambah kecoh. Sebaik Azmin mengambil tempat ceramah, samseng Umno menjerit-jerit menganggu program, namun rakyat tidak menghiraukannya. Pujian juga harus diberikan kepada petugas keselamatan Pakatan yang sabar melayan karenah samseng itu. Anwar tiba kira-kira 11 malam dan rakyat berpusu-pusu memenuhi setiap ruang tapak ceramah untuk mendengar ucapan bakal Perdana Menteri itu. Umno yang tertekan dengan situasi tersebut bertindak biadab memasang pembesar suara dan menghalakannya ke tapak ceramah. Anwar memulakan ceramah dengan ayat suci al-Quran dan berbicara mengenai Hijrah Rasulullah SAW, namun disambut makian dan kata-kata lucah oleh samseng Umno. Jeritan samseng Umno yang tidak sampai 100 orang itu akhirnya tenggelam oleh laungan reformasi hampir 4,000 penyokong Pakatan. Sementara itu, beberapa peniaga Melayu Muslim terpaksa menutup kedai kerana khemah mereka bocor dan beberapa peralatan rosak akibat serangan samseng Umno ketika cuba merempuh dan memasuki tapak ceramah. |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan