Jumaat, 21 Disember 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Nizar Minta Zambry Jelaskan Kes Sebuah Syarikat Perolehi Tanah 606 Ekar

Posted: 21 Dec 2012 12:17 AM PST

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin memohon penjelasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Kadir berhubung pemberian 606 ekar tanah di Hutan Simpang Belukar Semang, Pengkalan Hulu, Gerik.

"Saya hendak tanya kenapa diberikan kepada satu orang, walaupun satu syarikat 202 hektar tapi (ketiga-tiga) syarikat itu beralamat yang sama dan mempunyai satu pengarah yang sama," katanya ketika berbahas dalam persidangan Dun Perak.

Adun Pasir Panjang itu mempersoalkan kenapa diberikan kepada tiga syarikat yang dimiliki oleh seorang individu itu.

"Inilah syarikat yang bukan Bumiputera tetapi dinyatakan oleh Umno Hidup Melayu, Hidup Melayu.

"Mana pergi Melayu hari ini? Ini satu penganiayaan kepada Melayu kerana diberikan kepada syarikat bukan Melayu untuk menguruskan tukul besi ini," tegasnya lagi.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu memohon Dr Zambry menjelaskan kenapa tidak diberikan kepada syarikat bumiputera yang majoriti orang Melayu tinggal di situ.

Beliau ingin mengetahui apakah keistimewaan individu terbabit sehingga mudah mendapat tanah dalam jumlah yang sangat besar itu. -HD

Robert Phang Saman Musa Hassan RM100 Juta Untuk Bersihkan Menteri KDN & KPN?

Posted: 20 Dec 2012 10:11 PM PST

Musa Hassan berhadapan saman RM100j kerana menfitnah

KUALA LUMPUR, 20 Dis — Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan mempunyai tempoh seminggu untuk menjawab surat tuntutan daripada dermawan Tan Sri Robert Phang atau berdepan saman fitnah RM100 juta.

Phang menuduh bekas pemimpin tertinggi pasukan polis tersebut telah menjatuhkan reputasinya semasa memegang jawatan panel jawatankuasa penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya sudah menghantar surat tuntutan RM100 juta kepada Musa Hassan dan beliau telah menerimanya. Ditandatangani beliau sendiri," beritahu pengerusi Social Care Foundation kepada wartawan hari ini.

Tokoh terkenal tersebut berkata Musa telah mencalarkan imejnya dengan menuduh beliau menyalahguna kuasa untuk memindahkan seorang pegawai polis lama bertujuan mempercepatkan projek yang dikatakan mempunyai kepentingan dengannya.

Beliau berkata Musa mempunyai tujuh hari untuk membalas, jika gagal beliau akan menfailkan tindakan undang-undang ke Mahkamah.

Musa menjadi perhatian umum kebelakangan ini kerana pendedahan terhadap penyalahgunaan kuasa di dalam badan polis, menuduh Phang mengarahkan seorang pegawai polis senior dengan berkata: "(Phang) mengugut pegawai tersebut, jika tidak meluluskan (projek tersebut), beliau akan dipindahkan dalam masa 24 jam."

"Jika seseorang rakyat biasa boleh mengugut anggota polis, beliau mesti mempunyai kuasa dalam polis.".

Projek pada tahun 2009 yang didakwa untuk meningkatkan sistem komunikasi analog yang digunakan PDRM kepada sistem digital Motorola, menurut Musa bernilai jutaan ringgit.

Beliau berkata pegawai yang dipindahkan itu adalah pakar dalam bidang komunikasi, yang jawatannya "lebih tinggi" dari Penolong Ketua Polis (ACP), seorang datuk dan masih lagi anggota polis.

Apabila membuat dakwaan tersebut, Musa mengatakan beliau cuma mahu mendedahkan penyalahgunaan kuasa itu setelah Phang mendakwa bekas KPN tersebut bersekongkol dengan sindiket jenayah.

"Saya tidak mahu malukan sesiapa, tetapi orang yang memalukan saya, tetapi ini bukan balas dendam," katanya lagi.

Tetapi Phang berkata, berdasarkan penghakiman oleh Hakim Supang Lian di Mahkamah Kota Kinabalu semasa perbicaraan Datuk Ramli Yusuff, hakim itu berkata menurut Phang, Musa adalah seorang yang tidak boleh dipercayai.

"Kalau mahkamah pun dulu kata macam tu, saya nak kata apa lagi?" kata Phang pula.

Menurut Phang, seorang lagi bekas KPN, Tun Haniff Omar, juga sudah menjawab dan menafikan tuduhan Musa bahawa Phang merupakan penasihat beliau.

Ulasan GB

Seperti terlalu ketara, saman RM100 juta oleh Tan Sri Robert Phang terhadap Musa Hassan sebagai usahanya untuk "membersihkan" nama menteri KDN dan KPN terhadap perbuatan salahlaku mereka.

Musa sebelum ini telah mendedahkan bahawa beberapa pegawai polis di Bukit Aman telah dipindahkan apabila tidak memberi kelulusan untuk projek pembekalan alat komunikasi mudah alih yang gagal bernilai RM1 bilion sekitar penghujung tahun 2008.

Beliau turut mendedahkan bahawa Phang menjadi juru runding di dalam projek dan bertindak sebagai orang tengah di antara pihak polis dan syarikat telekomunikasi tersebut.

Musa juga mendakwa bahawa Phang mengugut untuk memindahkan pasukan teknikal polis dalam usaha mendapatkan kelulusan dan Phang juga menawarkan dirinya sebagai penasihat tetapi tawaran itu ditolak.

[SAH] Himpunan 1 Juta Rakyat 12-01-13 Stadium Merdeka

Posted: 20 Dec 2012 07:22 PM PST


Himpunan 1 Juta Rakyat, 12 Jan di Stadium Merdeka.!!!

Sekretariat Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) secara rasmi mengumumkan, Himpunan 1 juta rakyat pada 12 Januari tahun hadapan akan diadakan di Stadium Merdeka.

Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR), Mohamad Sabu berkata, ia sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu rakyat berhimpun di stadium jika ingin menyatakan sebarang tuntutan terhadap kerajaan.

Saranan tersebut dibuat Najib sebelum Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan perhimpunan pada 28 April lalu.

"Kita mohon (adakan perhimpunan) dibuat di Stadium Merdeka kerana itulah cadangan Perdana Menteri yang kita sayangi," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), dekat sini hari ini.

Timbalan Presiden PAS itu juga berkata, permohonan menggunakan stadium dibuat atas nama Sasterawan Negara.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama Sasterawan Negara yang dimaksudkan.

"Permohonan stadium atas nama Sasterawan Negara yang terkenal," katanya.

Ujar Mohamad juga, perhimpunan dengan empat warna tema iaitu kuning, hijau, oren dan merah akan bermula jam dua petang dan dijangka akan berakhir jam lima petang tanpa sebarang kekecohan.

"Saya yakin melalui himpunan-himpunan sebelum ini, akan berlaku kerjasama yang baik di semua jabatan termasuk pihak polis untuk menjaga keamanan.

"Kita akan berhimpun tanpa menyerahkan apa-apa memorandum kerana memorandum lapan tuntutan Bersih sudah diserahkan dalam perhimpunan sebelum ini," katanya.

Warna kuning mewakili Bersih, Merah untuk R yang menuntut royalti Petroleum Kelantan, Hijau mewakili Anti Lynas manakala oren mewakili Anak Persatuan Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Antara NGO lain yang akan turut serta dalam perhimpunan ialah Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Sekretariat Prihatin OKU, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Jeritan Rakyat Tertindas (Jerit) dan beberapa NGO lain.

Dalam sidang media sama, wakil-wakil NGO turut menyatakan komitmen menggerakkan seramai mungkin anggota ke himpunan tersebut.

"Mana-mana individu yang tak sertai mana-mana NGO pun mesti hadir bagi menyatakan kemarahan secara aman," kata Ahli Jawatankuasa Bersih, Hishamuddin Rais.

Mat Sabu: Kemuncak Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka

KUALA LUMPUR - Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung lebih sebulan di seluruh negara sampai ke program kemuncaknya - dirancang diadakan di Stadium Merdeka, 12 Januari ini.

Pengarah himpunan, Mohamad Sabu berkata, lebih 25 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk parti politik terlibat dalam penganjuran perhimpunan terbesar menjelang Pilihan Raya Umu ke-13 (PRU13) itu nanti.

"Semuanya bergabung berkumpul secara aman untuk menuntut pilihan raya adil dan demokrasi berjalan serta hak rakyat dapat ditunaikan oleh sesiapa terutamanya yang memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-13," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, Himpunan Kebangkitan Rakyat ini akan bermula jam 2 petang dan bersurai pada 5 petang.

Mengulas lanjut lokasi himpunan kali ini, Mohamad berkata, sekretariat memilih Stadium Merdeka sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang pernah mencadangkannya ketika himpunan Bersih 2.0 lalu jika hendak berhimpun.

"Kita mohon Stadium Merdeka atas nama Datuk A.Samad Said.

"Kita tahu muatannya, kalau lebih, kita akan berada di sekitar stadium itu memenuhi bandar raya Kuala Lumpur," katanya.

Bagaimanapun katanya, sekiranya permohonan itu tidak diluluskan, mereka akan berhimpun di sekitar stadium bersejarah itu.

"Kalau tidak ada kebenaran (pemilik stadium), kita akan berkumpul di tengah antara stadium itu dengan jalan raya," katanya.

"Himpunan Kebangkitan Rakyat untuk menuntut antaranya menyokong tuntutan lapan perkara Bersih supaya pilihan raya adil dan saksama serta tuntutan yang lain seperti tuntutan royalti," katanya.

Selain itu, Mohamad mensyaratkan sesiapa yang ingin mengambil bahagian dalam perhimpunan itu, mereka hendaklah memakai baju daripada empat warna iaitu kuning, merah, hijau dan oren.

"Segala bentuk slogan dan sebagainya akan dibuat oleh pihak Sekretariat Pakatan Rakyat dan kita yakin penuh himpunan ini akan berlangsung dengan baik," katanya.

Ditanya sama ada perhimpunan kali ini melibatkan memorandum, beliau berkata, ia tidak melibatkan penyerahan memorandum, hanya berkumpul secara aman sahaja.

"Memorandum dah hantar dulu, hendak berkumpul dan mungkin ada ucapan-ucapan daripada pelbagai pihak sehingga bersurai jam 5 petang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pihak polis dapat memberikan kerjasama yang baik untuk menjaga keselamatan dan menjamin keamanan pada perhimupunan itu nanti.

Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung sebulan lalu melibatkan beberapa negeri yang bermula di Seremban, Negeri Sembilan pada 3 November lalu.

Kemudian ia diikuti di Kota Bharu (14 November), Johor (1 Disember), Kedah (7 Disember), Melaka (8 Disember), Pahang (9 Disember), Terengganu (14 Disember), Pulau Pinang (15 Disember) dan Perak (16 Disember), Perlis (17 Disember).

Antara NGO yang terlibat dalam penganjuran himpunan gergasi itu ialah Royalti, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Himpunan Hijau, Muafakat, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM); Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Gerakan Demokratik Mahasiswa (Denma); Jeritan Rakyat Tertindas (Jerit), 11) Gerakan Mansuh PPSMI dan Kempen Anti Saman Ekor (Kase)
-SH
.

Bakso Tidak Ditanggung Halal

Posted: 20 Dec 2012 03:48 PM PST


Jakarta: Majlis Ulama Indonesia (MUI) sukar menentukan status halal bakso di pasaran negara itu kerana urusan jual beli daging di pasar terdedah kepada percampuran daging lembu dan babi.

Ketua Hariannya, Maruf Amin, berkata kemungkinan itu berlaku kerana tidak semua pasar menyediakan lot khas yang memisahkan daging halal dan haram.

"Kami sukar menentukan status halal itu kerana aliran proses daging lembu tidak dikawal.

"Peralatan digunakan peniaga juga tidak boleh dipastikan sama ada benar-benar terpisah atau tidak," katanya.

Turut menjadi pertimbangan, kata Maruf, adalah mesin pengisar yang digunakan untuk semua jenis daging.

"Keadaan itu menyebabkan ada kemungkinan berlaku percampuran antara daging lembu dan babi," katanya. Menurut Maruf, isu percampuran daging lembu dan babi memang merugikan peniaga.

Bagaimanapun, katanya, tanggungjawab memisahkan jual beli daging halal dan haram di pasar terletak pada pihak berkuasa tempatan.

Justeru, kata Maruf, pihak berkenaan sepatutnya mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi isu berkenaan.

"MUI tidak ada kuasa mengatur urusan jual beli daging di pasar," katanya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Penyelidikan Makanan, Ubat-ubatan dan Kosmetik MUI, Lukmanul Hakim, berkata daripada kira-kira 50,000 produk bakso, hanya 100 mendapat sijil halal daripada badan itu. Katanya, sijil dikeluarkan selepas seluruh proses pengeluaran berkenaan diselidik.

Menurut Lukmanul Hakim, banyak yang tidak lulus kerana diberi makanan yang mungkin terdedah kepada percampuran daging lembu dan babi.

"Daging babi juga direndam dengan darah lembu bagi mengurangkan warna pucat, sekali gus menjadikan ia kelihatan seperti daging lembu," katanya. – Kompas

36 Ditahan Terlibat Kes Gaduh Di Sg Petani

Posted: 20 Dec 2012 06:30 AM PST

Alor Setar: Polis Kedah menahan 36 orang yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di Sungai Petani bagi membantu siasatan, kata Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim.

Katanya semua tahanan yang berumur antara 18 hingga 30-an itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di Sungai Petani.

Beliau berkata tangkapan terakhir dibuat pada 4.30 pagi tadi di sekitar Sungai Petani dan akan menahan beberapa lagi suspek berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi soal siasat ke atas tahanan.

"Kita tangkap semua yang terlibat. Polis tak akan berkompromi dengan sesiapa yang melakukan provokasi sehingga mencetuskan keadaan hura-hara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Mengenai pihak yang menyebarkan maklumat palsu menerusi media sosial, blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa berlakunya rusuhan di daerah Kuala Muda terutama Sungai Petani, Ahmad berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri akan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak yang menyebarkan maklumat yang tidak benar berkaitan situasi di daerah berkenaan.

Katanya polis turut mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebar maklumat palsu dan mencetuskan keadaan yang kurang menyenangkan.

Ahmad berkata semalam pihaknya mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua agama, pemimpin politik dan wakil rakyat daerah Kuala Muda di IPD Kuala Muda bagi menerangkan situasi sebenar supaya mereka boleh menyampaikan maklumat yang betul kepada masyarakat setempat.

Katanya apa yang berlaku hanyalah pergaduhan kecil antara kumpulan anak muda dan bukannya rusuhan seperti yang digambarkan dalam blog dan media sosial.

Beliau juga menegaskan kepada golongan muda agar tidak melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang kerana perkara tersebut membabitkan soal keselamatan.

"Kita mampu untuk tenteramkan keadaan tersebut jika masyarakat memberi kerjasama untuk mengharmonikan situasi ini. Kita juga sebarkan maklumat tepat dalam laman sosial Facebook kepada masyarakat dan kita tak sembunyikan apa-apa fakta," katanya.

Ahmad turut memberi amaran keras kepada penyebar maklumat palsu agar segera menghentikan perbuatan itu kerana katanya maklumat yang berbentuk provokasi dan sensasi berupaya untuk mencetuskan masalah perkauman sekali gus mengugat ketenteraman awam.

Katanya dakwaan kematian akibat pergaduhan antara kaum juga tidak wujud seperti yang digambarkan dalam berita di laman sosial dan pihak polis kini giat melakukan kawalan di daerah itu.

"Saya dah pantau keadaan di Sungai Petani dan saya lihat keadaan normal, masyarakat melakukan aktiviti harian dan kedai buka macam biasa. Tak ada kuil atau rumah ibadah lain terbakar seperti yang dilapor oleh blogger," kata Ahmad.-Bernama

Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Apabila HIDUP TAK SEDAR DIRI, inilah yang jadi .....

Posted: 20 Dec 2012 04:30 AM PST


Apabila berkata, bercakap, menulis, menaip tak guna akal fikiran, maka akan terserlahlah kebodohan. Allah itu Maha Segala-galanya .... UMNO hanya penyampainya sahaja .... 'Tak Tahu Malu' itu yang hanya boleh dikata Kita org ramai bukan kutuk kerajaan tapi kutuk UMNO. Org ramai kutuk UMNO pasal polisi yang dibuat tidak berdasarkan tuntutan Islam. Halal haram tolak tepi janji dapat duit. Yang haram itu sedikit berbanding yang halal tetapi yang haram itu yang dipilih. Terimakasih Umar Abdul Aziz Khalifah -fb

Tiada ulasan: