Khamis, 6 Disember 2012

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Azmin Dedah Pemimpin UMNO Peroleh RM19.9 Juta Hasil Jual Tanah PKNS

Posted: 06 Dec 2012 01:52 AM PST


[KD] KUALA LUMPUR 6 Dis: Pengerusi KEADILAN Selangor, Mohamed Azmin Ali mendedahkan, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman mendapat RM19.9 juta hasil daripada penjualan 80 ekar tanah kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Katanya, urusniaga itu berlaku semasa Selangor di bawah pemerintahan Umno BN.

Menurut Azmin, tanah tersebut pada mulanya dibeli oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang itu dengan harga RM1 sekaki persegi melalui dua syarikat – Nikmat Inai dan Supreme Precious Sdn Bhd.

"Satim memiliki kepentingan sebanyak 30 peratus dalam Nikmat Inai dan beliau juga mempunyai saham dalam Supreme Precious Sdn Bhd," kata Timbalan Presiden KEADILAN itu ketika membacakan dokumen berkaitan di hadapan 4,000 penduduk pada Ceramah Merdeka Rakyat di Gombak malam semalam.

Azmin yang merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah PKNS meletak jawatan tersebut pada 23 Jun 2010 kerana mahu memberi laluan kepada tokoh lain dalam memberi sumbangan kepada anak syarikat kerajaan negeri itu.

Sambung Ahli Parlimen Gombak itu pada ceramah tersebut, beliau berkata, rakyat perlu pastikan Umno BN tumbang pada Pilihan Raya Umum kali ini bagi memastikan kezaliman dihapuskan.

"Kami tekad jika diberi mandat sebagai kerajaan, tidak akan ambil tanah walau seincipun kerana tanah adalah milik rakyat, bukan hak pemimpin.

"Bukti ini anda boleh lihat di Selangor di mana kita bukan sahaja tidak mengambil tanah, malah masalah tanah rakyat yang diabai Umno BN sekian lama kita selesaikan sebaik diberi mandat mentadbir negeri," kata Azmin lagi.
 
 
 

Bantu Anak Wartawan MalaysiaKini, Jimadie

Posted: 05 Dec 2012 11:40 PM PST


[MK] Selepas 13 kali menjalani rawatan radioterapi, anak sulung kesayangan Penolong Pengarang Meja Bahasa Melayu Malaysiakini, Mohd Jimadie Shah Othman - Adam Azfar setakat ini, hanya mampu menggerakkan dua kelopak mata dan kaki kanannya sahaja.

Anak sulung manja pasangan Mohd Jimadie Shah Othman, 32, dan Emme Nurelyana Sazali, 31, dimasukkan ke Hospital Serdang pada 3 November lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas disahkan mengidap ketumbuhan.

Ketumbuhan yang dikenali sebagai 'Pontine Glioma' sepanjang 2.5cm itu dikesan berada di tengah-tengah bahagian otak Adam Azfar.

Adam Azfar dibenarkan pulang ke rumah pada 30 November lalu, selepas tiga minggu dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Adam turut menyambut ulang tahunnya ke-6 kelahirannya pada 23 November lalu di hospital itu.

Berbanding dahulu, anak kecil itu yang ceria, aktif dan tidak kekok bermain-main dengan rakan-rakannya, kini terlantar di katil di rumahnya dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

"Keadaannya masih tidak bagus... Tetapi dia masih sedar. Hanya dia tak boleh bercakap dan tidak boleh makan melainkan susu bernutrien tinggi melalui tiub.

"Semua anggota tidak boleh bergerak, kecuali kaki kanan dan dua kelopak mata," kata Mohd Jimadie Shah kepada Malaysiakini.

Menurutnya, anaknya itu - yang ada kala menangis dan ada kala ketawa - hanya diberi susu bernutrien tinggi bernilai RM136 dan disediakan sebanyak 100 mililiter bagi setiap empat jam setiap hari.

 

Tabah mengasuh anaknya setiap hari, Mohd Jimadie mengakui takut melihat timbunan ubat bagi menahan kesakitan anaknya, bagaimanapun menerima hakikat keperitan yang ditanggungnya adalah kehendak dan ketentuan Allah terhadap diri dan keluarganya.

"Ubat-ubat itu dihancurkan dan dimasukkan ke dalam susu. Steroid pula diberikan untuk mengelak bengkak selepas rawatan radioterapi," katanya.

Kadang-kadang Adam Azfar akan mengalami muntah dengan kekerapan sekali dalam tempoh dua hari, katanya.

Mohd Jimadie berkata antibodi anak lelakinya itu kini lemah dan Adam tidak boleh berada di tempat awam bagi mengelakkan sebarang jangkitan untuk mengelak selsema dan batuk.

Katanya, Adam Azfar masih perlu berulang-alik setiap hari dari Puchong ke HKL untuk menjalani baki rawatan radioterapi sebanyak 17 kali dan hari ini anaknya menjalani rawatan ke-14.

Akhbar Sinar Harian sebelum ini menyediakan satu tabung untuk membolehkan orang ramai menghulurkan sumbangan.

Mengikut jurucakap akhbar berkenaan tabung sumbangan telah mencukupi dan pihaknya akan menyampaikan kepada Mohd Jimadie dalam masa terdekat.

Sumbangan juga boleh disalurkan melalui akaun Jimadie Shah bernombor 164717019142 (Maybank).

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini Adam Azfar di laman sosial Facebook 'We Love Adam Azfar'.




Susulan Kes Khalwat: Dr Hasan Bukan Lagi KP Kesihatan - SPA

Posted: 05 Dec 2012 04:43 PM PST

 
[Bernama] PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman yang diturunkan satu gred susulan kes khalwat bulan lalu, kini bukan lagi Ketua Pengarah Kesihatan, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam.

Menjawab status Dr Hasan yang menjadi tanda tanya, beliau berkata Mesyuarat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 26 November lalu memutuskan untuk menggantung kerja Dr Hasan sebagai ketua pengarah kesihatan berkuat kuasa 14 November lepas.

"Dr Hasan telah digantung kerja dan sejak itu beliau bukan lagi Ketua Pengarah Kesihatan. Namun, beliau masih seorang penjawat awam," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Isnin lepas, dalam satu kenyataan, Mahmood berkata mesyuarat SPA telah memutuskan Dr Hasan yang merupakan Pegawai Perubatan Gred Utama Turus II, Kementerian Kesihatan itu diturunkan pangkat ke satu gred yang lebih rendah daripada jawatan yang disandang sekarang dan ia dibuat mengikut Peraturan 33(1), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Sementara itu, Mahmood berkata Dr Hasan belum mengemukakan surat rayuan atau persaraan awal berikutan penurunan pangkat beliau.

"Kalau beliau (Dr Hasan) mahu merayu atau bersara awal, beliau kena membuat permohonan melalui Kementerian Kesihatan," katanya.

Pada 14 November lepas Dr Hasan, 56, dan pasangannya Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan, 36, juga petugas kementerian, masing-masing didenda RM3,000 dan RM2,900 oleh Mahkamah Tinggi Syariah setelah mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah bilik Hotel Pullman Putrajaya, di sini, pada 2.18 pagi hari yang sama.
 
 
 
 

Tiada ulasan: