DIALOG RAKYAT |
- DAP lancar versi penuh video 'Ubah Rocket Style'
- Sesi tinjauan DAP di Bentong dicemari pergelutan kecil
- Dua lagi korban banjir di Negeri Sembilan dan T'ganu
- PAS: Siasat dakwaan Deepak atau kami hantar memo pada Agong
- Rumah pegawai khas Ahmad Maslan disimbah cat merah
- SU Agung Pas: Saya optimistik PR akan kekal
- Derita Pelakon 80-an Radi Kerdil
- PRU13: Mendapatkan kerajaan yang adil
- PAS cadang serah memo kepada Agong
- Naraza serah kepada peguam
- Banjir: 21,800 dipindah di Terengganu dan Kelantan
- 2 pekerja maut timbus tanah
- 3 lagi maut banjir di Terengganu
- Gaji minimum: Stesen minyak tuntut tambah komisen
- Jurukamera rugi RM20,000
DAP lancar versi penuh video 'Ubah Rocket Style' Posted: 27 Dec 2012 03:35 PM PST DAP akan menyambut tahun baru dengan pelancaran rasmi versi penuh video berunsur jenaka dan sindirin 'Ubah Rocket Style' dalam empat bahasa di konsert parti itu pada 1 Januari ini, jam 8 malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor. Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata pelancaran video, dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil, adalah dalam konteks budaya bahasa-bahasa berkenaan. Beliau berkata akan ada rakaman tambahan yang telah disunting ketika ia ditayangkan semasa kongres kebangsaan parti itu, dan senarionya akan sedikit berbeza, selaras dengan lirik yang berbeza. "Terutamanya versi Mandarin, kerana liriknya telah diubah lebih," kata Pua (kanan) kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam. DAP pertama kali mempersembahkan video gaya 'Oppa Gangnam Style' yang popular, semasa kongres kebangsaan parti itu dua minggu lalu, yang penuh dengan jenaka dan sindirin terhadap BN. Bintang lagu tersebut yang digelar 'Ubah Rocket Style' adalah maskot DAP burung enggang. Selain Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Ketua Pemuda Sosialis DAP, Teo Kok Seong dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan berucap pada malam tersebut. Pua berkata, juga terdapat cabutan bertuah dan pemenang berpeluang makan tengahari dengan pemimpin tertinggi DAP. |
Sesi tinjauan DAP di Bentong dicemari pergelutan kecil Posted: 27 Dec 2012 03:33 PM PST Ahli MCA, Lee Shu Hwa pergi menemui kumpulan yang diketuai pengerusi DAP Negri Sembilan, Anthony Loke DAP, dengan membawa keratan akhbar yang menyiarkan isu-isu yang membabitkan kawasan parlimen Rasah. Shu Hwa menuntut penjelasan Loke mengenai rancangan ahli parlimen DAP itu untuk menyelesaikan beberapa isu-isu tertunggak di kawasan Parlimen Rasah yang diwakilinya. Apabila Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah cuba campurtangan, abang Shu Hwa - Ah Kaw yang merupakan ketua MCA Kampung Manchis - didakwa mula bertindak kasar. Satu klip video insiden yang dimuat naik oleh penyokong DAP memaparkan Ah Kaw menarik lengan baju Leong dari belakang. Satu pergelutan pendek tercetus apabila ketua DAP Bentong, Ching See Tai cuba menghalang Ah Kaw. Shu Hwa bertindak balas dengan menolak Ching. Ketika dihubungi petang semalam, Ah Kaw menafikan dakwaan pemimpin DAP bahawa adiknya Shu Hwa cuba menolak Ching ke tanah dan telah merosakkan mikrofon DAP. Katanya, beliau mempunyai bukti fotografi untuk menyokong dakwaannya. |
Dua lagi korban banjir di Negeri Sembilan dan T'ganu Posted: 27 Dec 2012 03:30 PM PST Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), seorang maut akibat lemas di Jelebu, Negeri Sembilan dan seorang lagi di Setiu, Terengganu. Di Terengganu, setakat petang tadi telah meragut enam nyawa iaitu tiga di Kemaman, dua di Setiu dan seorang di Kuala Terengganu. Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu bertambah buruk malam ini apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di dua negeri Pantai Timur itu meningkat kepada 22,609 orang berbanding 21,800 petang tadi. Menurut portal itu, mangsa banjir di Pahang malam ini meningkat kepada 448 orang berbanding 435 petang tadi. Mangsa banjir di Johor kini kekal seramai 13 orang. Sementara itu di KELANTAN, keadaan banjir pada malam ini tidak banyak berubah apabila jumlah mangsa banjir berkurangan sedikit kepada 6,809 orang. Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jumlah itu merangkumi 2,145 buah keluarga yang telah ditempatkan di 28 buah pusat pemindahan. Jumlah yang dipindahkan di Pasir Mas adalah seramai 4,265 orang, Tumpat (2,329), Kota Baharu (197) dan Pasir Puteh (18). Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya namun ia semakin menyusut termasuk sungai-sungai utama yang lain. Keadaan cuaca pada malam ini adalah baik. Manakala di TERENGGANU, mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 15,800 orang berbanding 14,894 petang tadi.- Bernama |
PAS: Siasat dakwaan Deepak atau kami hantar memo pada Agong Posted: 27 Dec 2012 03:29 PM PST PAS mengulangi gesaannya supaya pihak berkuasa menyiasat dakwaan peniaga permaidani Deepak Jaikishin terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib serta ahli keluarganya berhubung kontroversi kes pembunuhan warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu. "Jika tidak, saya akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong," kata Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar (kiri). Bercakap dalam sidang akhbar di ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini, Mahfuz mengecam Jabatan Peguam Negarak, Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa berdiam terhadap tuduhan yang serius itu. Perkara itu, tegasnya, membabit maruah perdana menteri, keluarga beliau, negara dan juga Yang di-Pertuan Agong. Deepak sebelum ini dalam temuramahnya dengan beberapa media antaranya Malaysiakini mendakwa Najib mempunyai peranan dalam isu penarikan balik pengakuan berkanun (SD) pertama penyiasat persendirian P Balasubramaniam pada tahun 2008 yang mengaitkan Najib dengan Altantuya. Deepak juga sebelum ini mendedahkan beberapa perkara antaranya melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor serta adiknya Datuk Nazim Razak. |
Rumah pegawai khas Ahmad Maslan disimbah cat merah Posted: 27 Dec 2012 03:25 PM PST dikemaskini Rumah pegawai khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan disimbah cat merah pada pagi Selasa lalu. Pegawai tersebut, Ab Halim Tuah Rahmat perkara itu disedari jirannya kerana beliau bersama keluarga berada di Melaka ketika kejadian itu. Menurut Ab Halim, cat tersebut disimbah di bahagian pintu depan rumahnya serta di bahagian tepi rumah, yang turut terkena rumah jirannya kerana ia merupakan rumah jenis 'town house' "Pada hari Jumaat sehingga Selasa saya ke Melaka bersama keluarga kerana ada kursus. "Saya mendapat mesej daripada jiran saya pada jam 8 pagi hari Selasa yang beritahu rumah saya disimbah cat. "Tetapi saya baru buka mesej itu pada jam 4 petang. Bila saya balik, memang rumah disimbah cat merah dan saya terus membuat laporan polis," katanya. Ab Halim berkata demikian pada sidang media yang dibuat diperkarangan rumahnya di Seksyen 5, Wangsa Maju. Beliau baru berpindah ke kawasan perumahan tersebut pada awal November lalu. Ditanya mengenai kemungkinan punca kejadian tersebut, Ab Halim yang juga merupakan pegawai penerangan Umno berkata sebelum ini, beliau membuat dua laporan polis terhadap penceramah di surau yang terletak di hadapan rumahnya. Menurutnya, beliau membuat laporan polis terhadap penceramah tersebut kerana mendakwa menyampaikan kuliah maghrib di surau berkenaan pada 15 November dan 20 Disember lalu yang menyentuh beberapa isu berhubung pemimpin negara. "Saya jarang berada di rumah. Bila berkesempatan saya pergi ke surau. Pada 15 November lalu, masa tengah kuliah selepas maghrib, ada seorang penceramah yang berceramah dan sebut nama pemimpin seperti Najib, Rosmah. "Masa saya tegur saya sebut jangan sebut nama Najib, Rosmah tapi sebutlah juga pemimpin lain macam Anwar Ibrahim, Nik Aziz, Khalid Ibrahim. Cakaplah pasal semua. Jangan cakap mengenai sebelah pihak sahaja," katanya. Ab Halim berkata, pada Khamis lalu (20 Disember), penceramah itu datang lagi untuk beri kuliah maghrib dan kali ini beliau mendakwa, penceramah itu menyentuh tentang bapa Yang di-Pertuan Agong. "Saya terus tegur dan berlaku juga tikam lidah antara saya dengan pengerusi surau itu," katanya. Ab Halim mendakwa, setelah bertanya kepada orang ramai, penceramah yang dipanggil "ustaz" itu bukan seorang ustaz tetapi merupakan bekas tentara dan polis. "Orang ini bukan ustaz tapi bekas polis dan tentera dan diangkat oleh pembangkang menjadi ustaz," katanya lagi. Sehubungan itu, Ab Halim berkata, beliau tidak akan membersihkan kesan cat tersebut dan memberi masa selama tujuh hari supaya individu yang melakukan perkara tersebut tampil meminta maaf. Beliau juga berkata, selepas tujuh hari jika tiada individu yang tampil, beliau bersama NGO pro Melayu, PERKASA bersama Persatuan Silat Gayung Malaysia akan membawa perkara itu kepada Yang di-Petuan Agong. "Kalau tak tampil, saya akan biar cat sehingga menghadap Yang di-Petuan Agong. "Sebelum itu saya mohon polis dan pihak JAWI segera siasat supaya dapat dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya. |
SU Agung Pas: Saya optimistik PR akan kekal Posted: 27 Dec 2012 03:18 PM PST SHAH ALAM - Cakap-cakap bahawa Pakatan Rakyat (PR) sebuah perikatan longgar yang berada dalam keadaan retak menanti belah disanggah keras oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali sambil berkata, perikatan itu tidak akan "berpatah arang berkerat rotan" dalam apa jua keadaan sekali pun selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Mengakui bahawa kerjasama ketiga-tiga parti menguntungkan mereka dalam situasi "menang-menang", kata beliau, tidak timbul soal gabungan itu hanya bersama kerana cita-cita politik untuk menakluk Putrajaya. "Tidak. Saya optimistik bahawa kita bersama, kita bersatu, tubuh kerajaan pun bersama, kita akan bersatu, Insya-ALLAH. Itu keyakinan saya. "Persefahaman di antara ketiga-tiga parti ini yang memahami bahawa kita mesti bergerak sebagai satu. Realiti politik di Malaysia, tidak ada satu parti yang boleh menang sendiri untuk perintah. Tidak ada," katanya dalam satu wawancara khas baru-baru ini. Walaupun tidak menafikan adakalanya berlaku perbedaan pendapat dalam hal-hal tertentu, namun ujarnya, lebih banyak kebersamaan yang menyatukan perikatan itu selepas ia dibentuk pada 2008. "Saya sebut acapkali perkara ini. Kita bukan seratus peratus sama," tegas beliau. Pada pilihan raya lalu, pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga kerajaan Umno-Barisan Nasional sekali gus menzahirkan rekod terburuk parti itu sejak mentadbir negara ini. Namun perkembangan politik semasa didendangkan bahawa tsunami politik 2008 telah berlalu dan tidak mungkin berulang. Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengepalai teraju Umno-Barisan Nasional dilihat berjaya menarik semula sokongan rakyat terhadap parti pemerintah. Di sebalik itu dilaporkan pula PR berhadapan dengan krisis dalaman yang boleh membawa kepada perpecahan gabungan itu. Pas, parti paling lama dalam perikatan itu disifatkan sudah lari daripada landasan asal perjuangannya dan dilaporkan sudah hilang taji apabila berhadapan dengan PKR dan DAP. DAP pula digambarkan sebagai parti perkauman yang sering meminggirkan masyarakat Melayu sementara PKR dibelit dengan krisis identiti dan isu moral Ketua Umumnya. Isu jawatan Perdana Menteri yang meletus dalam muktamar Pas baru-baru ini dilihat penganalisis sebagai gambaran paling jelas kepada perpaduan yang rapuh dalam gabungan parti yang baru setahun jagung itu. Pas mahu presiden mereka dilantik sebagai Perdana Menteri, sementara DAP bertegas, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu paling layak. Anwar selaku Ketua Pembangkang pula berkata, jawatan PM bukan "satu masalah" dan "boleh bincang" katanya. Mustafa yang menafikan perkara-perkara seperti itu mampu menggugat perpaduan dalam PR menegaskan, perikatan itu punya iltizam dan arah tuju yang cukup jelas. "Persamaan yang saya sering sebut kita sedang menghadapi situasi di mana kita sedang berhadapan dengan rasuah yang melampau, kezaliman, ketidakadilan... "Jadi sebab itu kita sekarang ini hendak perjuangkan untuk keadilan, keadilan ini adalah asas kepada pejuangan kita dan bila tadbir ini kita mahukan tadbir urus yang baik, kita tidak mahu lagi rasuah seperti yang berlaku sekarang ini," katanya. |
Derita Pelakon 80-an Radi Kerdil Posted: 27 Dec 2012 07:03 AM PST SELAMA (Perak): Pelakon kerdil yang popular sekitar tahun 80-an, Radi merayu bantuan pelbagai pihak selepas daging pada kedua-dua belah punggungnya terpaksa dipotong berpunca daripada masalah saraf yang dialaminya sejak empat tahun lalu. Radi atau nama sebenarnya Matrazhid Isa, 50, berkata, lebih malang lagi dia tidak dapat buang air besar secara normal kerana kesan penyakit berkenaan menyebabkan pihak hospital terpaksa menyalurkan usus pada bahagian perut yang ditebuk bagi mengeluarkan najis. "Sejak empat tahun lalu hidup saya amat derita kerana penyakit ini sehingga membuatkan saya terpaksa meminta bantuan pelbagai pihak bagi meringankan beban yang saya tanggung," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di hospital daerah di sini. Radi berkata, segala-galanya berpunca ketika dia mengambil kesempatan untuk pulang ke kampungnya di Bagan Baharu di sini dari Kuala Lumpur pada tahun 2008 dengan hanya menaiki motosikal kapcai beroda empat untuk orang kelainan upaya (OKU). Katanya, ketika tiba di kampung yang mengambil masa selama sembilan jam itu, dia tiba-tiba jatuh sakit yang menyebabkan seluruh tubuhnya menjadi kebas. "Ketika itu saya ingatkan masalah ini tidak serius sehinggalah saya melakukan rawatan secara tradisional iaitu dengan membakar batu bagi tujuan memanaskan bahagian punggung saya untuk menghilangkan rasa kebas. "Malangnya, batu yang saya bakar itu terlalu panas dan apabila saya duduk, saya tidak menyedari daging pada kedua-dua belah punggung saya itu telah "masak" seperti dipanggang," katanya yang memberitahu tidak merasai kesan panas tersebut kerana kebas. Jelasnya, tidak beberapa lama kemudian daging berkenaan menjadi lebam dan mula membusuk sehingga dinasihatkan oleh doktor agar melakukan pembedahan. Akibat daripada penyakit itu, dia yang sebelum ini membuka kedai menjual kad prabayar dan telefon bimbit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur hanya bergantung hidup kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal masing-masing sebanyak RM300 sebulan. Katanya, jumlah itu tidak mencukupi untuk dia membeli plastik sarung najis yang perlu digunakan kira-kira lima kali sehari serta urusan makan minum dan kelengkapan lain yang mencecah lebih RM300 sebulan. Dia juga terpaksa menyara dua orang anaknya yang berusia 12 dan 17 tahun. Salah seorang anaknya tinggal dengan bekas isterinya dekat sini. Kata Radi, dia tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana persatuan seni dan juga Pertubuhan Kebajikan Orang-Orang Kerdil Malaysia walaupun merupakan antara pengasas pertubuhan tersebut dengan memegang kad keahlian nombor empat. "Saya agak sedih dengan penderitaan yang saya tanggung ini dan berharap ada pihak yang bersimpati dengan nasib saya. "Bagaimanapun saya amat berterima kasih kepada kakitangan hospital yang menjaga saya dengan baik seperti keluarga mereka sendiri sepanjang saya dirawat di sini," katanya. Dalam bidang seni, Radi yang mula berlakon di pentas-pentas Felda pada tahun 1974 pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Tuan Badul, Panglima Badul dan filem Hongkong iaitu Angle Two pada awal 1980-an. Rakan-rakan seangkatannya adalah Amran Kerdil, Kamal Kerdil, Param, AR Badul, Zami Ismail dan juga Ahmad B. Dia juga pernah diberi penganugerahan Bapa Wiraku oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun 2006 serta anugerah kerana menjadi Pengasas Pertubuhan Orang-Orang Kerdil Malaysia. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Radi bolehlah menyalurkan sumbangan menerusi Maybank Islamic miliknya menerusi nombor akaun 1583-0533-5259. |
PRU13: Mendapatkan kerajaan yang adil Posted: 27 Dec 2012 06:56 AM PST 1. Allah beri petunjuk dalam kitab suci Al-Qur'an, surah An-Nissa, 4:58. Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat. 2.Perlembagaan Negara memberi kuasa, hak dan kebebasan kepada rakyat mengundi dalam pilihan raya umum untuk memilih atau menukar kerajaan. Mengundi kerajaan yang amanah, berhak dan adil. Sebaliknya, menulak kerajaan tidak amanah, berhak dan adil. 3.Kepimpinnan Perdana Menteri pertama, kedua dan ketiga, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak bin Datuk Hussein dan Tun Hussein Onn adalah model atau contoh kepada rakyat Malayisa, kepimpinan yang amanah, berhak dan adil. Amanah maksudnya, tidak rasuah atau salahguna kuasa, utamakan kepentingan diri, keluarga atau kroni. Berhak maksudnya, berkualiti meritokrasi seperti Barack Obama, iaitu lebih berkebolehan berbanding dengan kepimpinan kulit puteh. Adil maksudnya, tidak zalim atau berat sebelah apabila menetapkan hukum atau memberi bantuan kepada rakyat, tidak kira penyokong atau bukan menyokong. Kerajaan yang membeza-bezakan bantuan kepada penyokong dan bukan penyokong ialah prinsip kerajaan komunis. 1. Kepimpinan Perdana Menteri ke-empat, kelima dan ke-enam, Dr. Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak menyeleweng daripada perintah Allah, dalam kitab suci Al-Qur'an surah 4:58 yang saya sebutkan tadi. 2. Kerajaan ke-empat, kelima dan ke-enam bercanggah dengan Perlembagaan Negara kerana majoriti pengundi dalam negara ialah ahli-ahli Barisan Nasional atau BN. Sisterm politik BN sama seperti sistem politik komunis. Sungguh pun pilihan raya umum diadakan tetapi kerajaan BN atau komunis tidak tertakluk kepada perubahan (not subject to regime change) kerana majoriti pengundi ialah ahli-ahli BN iaitu sama seperti prinsip kerajaan komunis. Justeru itu, pilihan raya umum diadakan bukan untuk menukar kerajaan. Sebaliknya, pilihan raya umum diadakan ialah untuk menghalalkan pemerintahan seterusnya dan membayangkan kepada dunia, kerajaan komunis juga mengadakan pilihan raya umum seperti prinsip demokrasi. 3. Sistem politik BN yang sama seperti sistem politik komunis diamalkan selepas UMNO diharamkan dalam tahun 1987. Dr. Mahathir Mohamad tubuhkan UMNO BARU dalam tahun 1988. No. Pendaftaran UMNO BARU ialah 676/88. UMNO BARU ialah pertubuhan politik ahli-ahli. UMNO BARU membezakan bangsa Melayu ahli-ahli UMNO BARU dan bangsa Melayu bukan ahli UMNO BARU. Justeru itu, UMNO BARU tidak sama seperti UMNO yang telah diharamkan. UMNO yang telah diharamkan, ditubuhan dalam tahun 1946. UMNO yang telah diharamkan ialah pertubuhan politik bangsa Melayu. Berikutan daripada itu, BN ialah sistem politik ahli-ahli anggota komponen. Ahli-ahli BN ialah pengundi majoriti dalam negara. Justeru itu, sistem politik BN sama seperti sistem politik komunis. Majoriti pengundi dalam Negara komunis ialah ahli-ahli parti kerajaan komunis. Majoriti pengundi dalam Negara juga ahli-ahli BN. Buktinya, pada 9hb September, 2010, Adnan Mansor, Setiausaha Agong BN, membuat kenyataan dalam akhbar, The New straits Times, bahawa ahli-ahli BN berjumlah 7,000,000. Dalam pilihan raya umum tahun 2008, jumlah pengundi dalam Negara ialah 10,922,139 (SPR). Justeru itu, majoriti pengundi dalam Negara ialah ahli-ahli BN. Maka tidak syak lagi bahawa BN ialah sama seperti sistem politik komunis. Sebelum itu, Presiden UMNO, Mohd. Majib bin Tun Abdul Razak, membuat kenyataan dalam akhbar yang sama pada 28hb Mei, 2010 bahawa ahli-ahli UMNO berjumlah 3,159,484. Allah sahaja yang mengetahui sebab Adnan Mansor dan Mohd. Najib membuat kenyataan tersebut di atas. Pertama, sebelum itu, rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa BN mengamalkan sistem politik komunis atau sistem politik totalitarian (berkuasa secara total atau berkuasa mutlak). Kedua, rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa ahli-ahli UMNO ialah minoriti dalam BN. Apabila ditulak ahli-ahli UMNO daripada 7,000,000, maka ahli-ahli anggota komponen bukan ahli-ahli UMNO berjumlah 3,840,516, iaitu majoriti. Sekarang, rakyat keseluruhan nya, termasuk ahli-ahli BN bukan UMNO, sudah mengetahui bahawa sistem politik BN adalah sama seperti sistem politik kerajaan komunis, adakah rakyat dan ahli-ahli BN bukan UMNO akan mengundi BN dalam pilihan raya umum akan datang? Rakyat keseluruhannya, termasuk ahli-ahli BN bukan UMNO adalah pengundi majoriti. Apabila pilihan raya umum ke 13 diadakan, BN akan kehilangan kuasa kerana ahli-ahli BN hanya minoriti. Justeru itu, Dewan Rakyat belum dibubarkan sehingga kini kerana Perdana Menteri takut rakyat sudah mengetahui bahawa ahli-ahli BN ialah minoriti. BN tidak lagi berupaya mengamalkan sistem politik komunis atau sistem politik totalitarian (berkuasa secara total seperti kerajaan komunis). *Penulis adalah bekas timbalan menteri kerajaan pusat. Beliau meletakkan jawatan ketika PM Dr Mahathir dan baru-baru ini mengisytiharkan keluar dari Umno untuk bersama Pakatan Rakyat. |
PAS cadang serah memo kepada Agong Posted: 27 Dec 2012 06:51 AM PST KUALA LUMPUR: PAS bercadang menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung pendedahan usahawan Deepak Jaikishan. Penyerahan itu akan dilakukan jika agensi berkaitan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara terus membisu dengan pendedahan Deepak tersebut. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata pihaknya memberi masa sehingga dua minggu untuk agensi-agensi terbabit memulakan siasatan terhadap pendedahan yang dilakukan usahawan karpet berkenaan. "Kita memberi tempoh sehingga dua minggu untuk SPRM, polis dan Jabatan Peguam Negara memberikan respons berhubung pendedahan Deepak ini. "Jika tidak, kita tidak teragak-agak untuk menyerahkan memorandum ke bawah Yang Dipertuan Agong terhadap ketiga-tiga agensi," tegas beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini. Mahfuz berkata pendedahan Deepak itu merupakan satu pendedahan yang bukan sahaja menyentuh maruah perdana menteri, dan keluarga, sebaliknya turut menyentuh maruah negara dan Yang Dipertuan Agong itu sendiri. Mana siasatan Beliau turut membangkitkan persoalan mengapa tiada sebarang respons atau siasatan segera dilakukan terhadap pendedahan Deepak walaupun banyak pihak mendesak untuk melakukannya (siasatan). "Saya hairan mengapa di saat kita dikatakan memiliki anggota polis yang cekap, SPRM yang telus, peguam negara yang hebat, dalam hal Deepak ini mereka ini seolah-olahnya telah 'disemadikan'. "Saya tidak kata apa yang didedahkan Deepak itu benar atau tidak. Sebaliknya ia perlu disiasat segera memandangkan ia bukan satu perkara kecil," kata beliau lagi. Dalam pada itu, Mahfuz meminta Deepak membuktikan hubungan rapat yang didakwanya bersama Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi pengetahuan umum. Katanya, Deepak boleh mendedahkan nombor telefon Najib, mahupun Rosmah kepada umum dan pihak polis agar disiasat segera. "Deepak mengakui dia mempunyai hubungan yang rapat dengan Najib, Rosmah. Boleh telefon bila-bila masa. Jadi, saya minta Deepak buktikan dengan memberi nombor telefon kepada mereka kepada polis dan kemudiannya meminta syarikat telekomunikasi mendapatkan rekod perbualan antara mereka selama ini," tegas Mahfuz lagi. Deepak, sebelum ini membuat pendedahan kepada media alternatif mengaitkan penglibatan Najib, Rosmah dan adik Najib berkaitan akaun bersumpah kedua penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam. |
Posted: 27 Dec 2012 06:47 AM PST KUALA TERENGGANU – Ketua Penerangan Persatuan Felda Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Naraza Muda menyerahkan kepada peguamnya untuk bertindak berhubung insiden beliau ditahan dan diikat semasa konvoi Kembara Oren di Felda Kampung Awah, Sabtu lalu. "Hal itu saya sudah serahkan kepada peguam," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Dalam kejadian tersebut, Naraza, merujuk pada kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Maran, Shamsuri Hussin dikatakan telah ditahan dan diikat pihak yang menghalang laluan konvoi berkenaan ketika mereka berada di Felda Kampung Awah. Beliau dilaporkan turut dipukul ketika konvoi dalam perjalanan ke Felda Bukit Rokan Utara, Tampin, Negeri Sembilan pada hari berikutnya. Menurut Naraza, apa jua yang berlaku, Anak akan tetap meneruskan perjuangan membela kepentingan warga Felda. "Kami jelajah ke tanah rancangan edar risalah dan juga menggunakan kaedah rundingan menyatakan mesej perjuangan kami untuk kepentingan peneroka Felda dan juga waris mereka. Kami minta izin dahulu. Jika tidak dibenarkan, kami tak akan masuk." katanya. Namun apa yang berlaku dalam perjalanan ke Felda Bukit Rokan Utara, kata Naraza, beliau dipukul hingga cedera di bahagian kepala dan jatuh pengsan. "Pada hari itu, konvoi bermula kira-kira jam 9 pagi, dengan destinasi pertama, Felda Kepis, Kuala Pilah diikuti Felda Bukit Rokan Barat di Jempol. Di Felda Kepis, kami dihalang hingga jadi kecoh. Kami cuba berunding tetapi gagal lalu meneruskan konvoi ke Bukit Rokan Barat di mana kami dihalang sekali lagi." Ketika cuba memasuki kawasan Felda Bukit Rokan Utara pula, kata Naraza, rombongannya dihalang lagi. "Sebuah kenderaan pacuan empat roda kami cuba dirosakkan dan ketika saya cuba halang tindakan pihak berkenaan, topi saya terjatuh. Semasa tunduk untuk ambil topi itu, terasa ada benda tajam cucuk kepala, dua kali. Selepas itu, saya tak sedar apa-apa. Difahamkan, saya jatuh pengsan, dibawa ke klinik, kemudian ke Hospital Jempol," katanya. Naraza mengakui sudah buat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol. Menurutnya, misi pihaknya adalah untuk menghantar memorandum kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada 28 Disember. "Sudah banyak kali kami cuba nak hantar memo tetapi dihalang. Kali ini, jika dihalang juga, kami akan berkampung di situ," katanya. Sementara itu, Timbalan Presiden Anak, Aris Fezol dalam satu kenyataan sebelum ini tidak menafikan serangan terhadap konvoi itu dilakukan di Negeri Sembilan kerana kedua-dua pengerusi dan Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad berasal dari negeri itu. |
Banjir: 21,800 dipindah di Terengganu dan Kelantan Posted: 27 Dec 2012 06:40 AM PST SINAR HARIAN Pagi tadi keadaan banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang dilihat semakin pulih apabila lebih 4,000 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Banjir di Terengganu setakat petang ini telah meragut enam nyawa iaitu tiga di Kemaman, dua di Setiu dan seorang di Kuala Terengganu. Menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Terengganu telah melebihi paras bahaya setakat pukul 5 petang ini. Mangsa banjir di Pahang petang ini pula berkurangan kepada 435 orang berbanding 994 orang pagi tadi. Mangsa banjir di Johor kini seramai 13 orang di mana tiada mangsa banjir dicatatkan pagi tadi di negeri itu. Di TERENGGANU, keseluruhan mangsa banjir yang berada di pusat penempatan banjir sehingga pukul 5 petang ini meningkat kepada 14,894 orang berbanding 8,173 orang pagi tadi. Menurut portal banjir negeri, sebanyak lima pusat pemindahan baharu dibuka petang ini menjadikan keseluruhan 76 pusat pemindahan telah dibuka di negeri itu. Di Kemaman jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan petang ini ialah seramai 9,601, Dungun (4,026) , Kuala Terengganu (935), Setiu (185), Hulu Terengganu (104), Besut (31) dan Marang (12). Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir mencatatkan peningkatan walaupun pusat pemindahan di tiga jajahan iaitu di Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai ditutup tengah hari tadi. Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jumlah yang ditempatkan di 28 buah pusat pemindahan di empat jajahan ketika ini adalah seramai 7,000 orang berbanding 6,757 orang pada sebelah pagi tadi. Peningkatan ketara jumlah mangsa yang berpindah itu adalah di Tumpat berikutan limpahan air Sungai Golok yang kini masih berada di paras bahaya. Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa banjir terbanyak dengan 4,279 orang diikuti Tumpat (2,329), Kota Baharu (247) dan Pasir Puteh (145). Kesemua mangsa perpindahan itu membabitkan 2,197 buah keluarga. Kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang yang masih berlegar di paras bahaya, sungai utama yang lain kini surut ke paras berjaga-jaga manakala semua jalan utama menghubungi Kelantan tidak terjejas. Cuaca di Kelantan sejak semalam adalah baik. Di PAHANG, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata keadaan banjir beransur pulih dengan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Kuantan dan Pekan semakin berkurangan. "Mangsa banjir di Kuantan telah menurun kepada 391 orang daripada 92 keluarga di empat pusat pemindahan yang masih dibuka iaitu SK Galing, Balai Raya Kampung Soi, Balai Raya Kampung Pahang dan SMK Gudang Rasau. "Bagi daerah Pekan pula satu-satunya pusat pemindahan yang masih dibuka di SK Sinar Mutiara, menempatkan seramai 44 orang daripada sembilan keluarga yang dipindahkan dari tiga perkampungan iaitu Kampung Cenderawasih, Kalong dan Sungai Miang," katanya. Katanya, semua jalan utama di negeri itu boleh dilalui oleh semua kenderaan. - Bernama |
Posted: 27 Dec 2012 06:36 AM PST SUNGAI PETANI– Dua pekerja kontrak maut manakala seorang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Ambangan Heights dekat Sungai Lalang di simi ketika sedang melakukan kerja-kerja pemasangan saluran kumbahan kira-kira jam 10.30 pagi tadi. Mangsa, P Morgan, 39, dari Taman Seri Bedong dan S Saravanan, 25, dari Taman Permai Bestari, Sungai Lalang maut di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa dikenali Ng Jun Chuan, dipercayai majikan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan lanjut. Saksi kejadian, Ming Wei Toh, 51, berkata, ketika kejadian, empat pekerja termasuk dirinya sedang melakukan kerja-kerja memasukkan saluran kumbahan ke dalam tanah yang telah dikorek 10 meter. |
3 lagi maut banjir di Terengganu Posted: 27 Dec 2012 06:35 AM PST KEMAMAN - Keadaan banjir di Terengganu khususnya di Kemaman kian buruk dengan tiga lagi terkorban, menjadikan mangsa lemas di negeri itu meningkat kepada enam orang. Dalam kejadian di Kampung Hilir Pasir Gajah, Air Putih, mayat dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dadong, Mohd Ezami Hakim Mohamad, 15, dan rakannya, Muhammad Hafiz Mohd Nasir, 14, yang lemas ditemui kira-kira jam 10.30 malam tadi. Kedua-dua mangsa lemas kira-kira jam 4.30 petang semalam semasa cuba menyelamatkan tiga rakan mereka yang dihanyutkan arus deras ketika mereka sekumpulan bermain air. Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, namun begitu sewaktu mahu menyelamatkan rakan, kedua-dua mereka pula dihanyutkan arus dan hilang sementara tiga rakan mereka pula selamat kerana sempat berpaut pada pokok. "Tempat mereka mengharung air sedalam kira-kira 0.5 meter dan berdekatannya terdapat parit. "Susulan itu, usaha mencari dan menyelamat dilakukan polis dan bomba dengan kerjasama penduduk. Mayat Mohd Ezami Hakim dan Muhammad Hafiz ditemui kira-kira jam 10.30 malam, tidak jauh dari lokasi tempat mereka lemas," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Menurut Che Suza, air di kawasan mangsa ditemui sedalam kira-kira dua meter dan berarus deras. Jenazah kedua-duanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Laut Pasir Gajah, hari ini. Difahamkan, pada awalnya 10 orang yang bermain air tetapi lima daripadanya pulang awal. Kematian dua mangsa berkenaan menjadikan seramai tiga remaja maut kerana lemas di daerah ini setakat ini. Dalam pada itu, keriangan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun menemani bapanya menahan pukat ikan darat di Kampung Kederang, Permaisuri, Setiu di sini berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di kampung itu petang semalam. Dalam kejadian 6.30 petang itu, mangsa Nik Mohd Al Fahmi Jailani, 6, terjatuh ke dalam parit tali air sebelum mayatnya ditemui kira-kira jam 12.45 tengah malam. Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menemani bapanya Jailani Mat Isa, 37, memukat ikan darat di kawasan sawah padi di kampung tersebut. Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama bapanya berjalan kaki di tepi longkang parit tali air tiba-tiba mangsa berlari mendahului bapanya. "Mangsa telah berada di atas penutup parit kemudian tergelincir jatuh ke dalam parit tersebut sebelum dihanyutkan arus deras. Bapa mangsa berusaha menyelamatkan anaknya tetapi gagal ekoran arus deras," katanya. Ab Rahman berkata, pasukan penyelamat terdiri daripada bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan agensi lain melakukan gerakan mencari selepas usaha penduduk kampung gagal mengesan mangsa. Menurutnya, akhirnya mangsa ditemui tersangkut pada lumpur di dasar parit tali air itu kira-kira 200 meter dari tempat dia terjatuh kemudian mayatnya dihantar ke Hospital Besar Setiu untuk bedah siasat. Siasatan mendapati mangsa mati akibat lemas dan tiada unsur jenayah. Mayat mangsa kemudian dituntut keluarganya kira-kira jam 4 pagi tadi sebelum dibawa pulang ke kampung mereka di Kampung Permatang Sungkai, Pasir Putih, Kelantan. "Mangsa bersama bapa dan ibunya datang ke kampung itu melawat saudara ibu mangsa yang tinggal kampung itu sebelum bapa mangsa mengambil peluang untuk memukat ikan memandangkan air banuak di kawasan tersebut," katanya. Sementara itu, Ab Rahman menasihatkan orang ramai agar tidak bermain air atau menahan pukat jika tidak memakai jaket keselamatan kerana ia boleh mengundang kejadian tidak diingini. |
Gaji minimum: Stesen minyak tuntut tambah komisen Posted: 27 Dec 2012 06:32 AM PST Presidennya, Datuk Hashim Othman berkata, lazimnya kerajaan akan mengkaji semula kadar komisen setiap lima tahun. "Kali terakhir kadar itu dikaji semula pada 2008," kata beliau pada sidang media di sini, hari ini. Kadar komisen yang diluluskan pada tahun 2008 ialah 12.19 sen seliter bagi petrol RON95 dan tuju sen seliter bagi diesel. Oleh itu katanya, kerajaan sepatutnya berbuat demikian kerana sudah cukup tempoh kadar komisen dikaji semula. Tambah beliau, PDAM mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan mereka dengan memberi kenaikan keuntungan sebanyak 20 hingga 30 peratus. "Keuntungan sebenar kami hanya bergantung pada jualan RON97 dengan keuntungan sebanyak tujuh sen seliter," katanya. Mengulas lanjut kadar keuntungan tersebut, beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan memorandum kepada Kementerian Kewangan bulan lalu supaya kadar komisen dikaji semula dengan segera. "Sehingga kini, kami masih belum mendapat sebarang jawapan daripada kerajaan berhubung kadar komisen. "Kami harap kerajaan dapat pertimbangkan permohonan kami memandangkan pelaksaan gaji minimum nanti akan membebankan kami," katanya. Ditanya jika kerajaan enggan mengkaji semula kadar tersebut, beliau berkata, pelaksanaan gaji minimum tetap akan diteruskan. Sebanyak 3,640 stesen minyak di seluruh negara akan melaksanakan peraturan gaji minimum berkuat kuasa 1 Januari. Beliau berkata, kadar gaji minimum antara RM600 dan RM700 akan ditingkatkan sebanyak RM900 bagi Semenanjung, manakala bagi Sabah dan Sabah adalah sebanyak RM800. Katanya, pelaksanaan gaji minimum akan menyumbang kepada peningkatan kos pengurusan sebanyak 30 peratus. Kerajaan sebelum ini menetapkan kadar gaji minimum sektor swasta di mana, bagi Semenanjung Malaysia sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam, manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan atau RM3.85 sejam. Dalam pada itu, beliau juga meminta semua pengusaha stesen melaksanakan sistem khidmat layan diri sepenuhnya di stesen masing-masing mulai tarikh yang sama bagi mengurangkan bebanan kos itu. "Peraturan ini telah sedia ada dan arahan untuk melaksanakannya telah dikeluarkan sejak 2006 tetapi pelaksanaannya terlalu longgar dan ada pengusaha yang tidak mematuhi arahan tersebut," katanya. Hashim berkata, melalui pelaksanaan sistem layan diri itu, PDAM turut menjangka pengurangan pekerja asing sebanyak 50 peratus. Sehingga kini, kira-kira 70 peratus daripada 50,000 pekerja di stesen minyak seluruh negara adalah terdiri daripada warga asing. |
Posted: 27 Dec 2012 06:27 AM PST SEREMBAN – Jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM) terpaksa menanggung kerugian sehingga RM20,000 apabila rumahnya di Taman Telawi Paroi dipecah masuk, petang kelmarin. Abd Rahman Ibrahim, 50-an berkata, kejadian disedari kira-kira jam 5.30 petang kelmarin, sewaktu dia dan isterinya baru pulang dari bercuti di Kedah tiga hari lalu. Katanya, sewaktu kejadian, tiada sesiapa di rumah kerana mereka sekeluarga pulang bercuti di kampung pada hari Ahad. "Setibanya di rumah, saya dapati keadaan berselerak dan bertaburan tidak seperti asal. "Beberapa barang berharga milik saya hilang, antaranya dua komputer riba, tiga kamera video dan lapan telefon bimbit. "Kesemua barangan berharga ini berjaya diambil pencuri tersebut walau pun disorokkan di tempat yang difikirkan selamat dalam rumah itu," katanya kepada Sinar Harian. Katanya, penjenayah tersebut dipercayai masuk melalui pintu belakang berikutan terdapat kesan pecah di bahagian tombol pintu dan selak. Jelasnya, ini merupakan kejadian pertama berlaku, bagaimanapun tiga tahun lalu, kereta yang diparkir di depan rumahnya juga pernah dipecah masuk. Berikutan insiden tersebut, Abd Rahman membuat laporan di Balai Polis Paroi dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan