Sabtu, 15 Disember 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Rakyat Malaysia dipercayai pengganas ditembak mati di Filipina

Posted: 15 Dec 2012 03:37 PM PST

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Seorang rakyat Malaysia, dipercayai pengganas, ditembak mati oleh polis Filipina di sebuah hotel di Davao kelmarin.

Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/ Anti Pengganas) Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, dikatakan bergelut dengan pihak polis yang ingin memeriksa beg sandang berisi bom buatan sendiri dibawa isterinya sebelum ditembak.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam (waktu Filipina) (8.40 malam waktu Malaysia) tadi, suspek bersama isterinya, Annabel Nieva Lee warga Filipina sedang mendaftar keluar dari hotel penginapannya sebelum didatangi anggota polis," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, isteri suspek turut ditahan pihak berkuasa Filipina untuk diambil keterangan.

"Pihak Polis Diraja Malaysia akan bekerjasama dengan polis Filipina untuk mengesan identiti sebenar suspek," katanya.

Difahamkan Mohd Noor Fikrie, yang berasal dari Kedah, berada di Filipina sejak beberapa bulan lepas dan menganggotai kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI).

Suspek dipercayai ke bandar itu bagi meletupkan bom yang diperbuat daripada mortar 60mm. - Bernama

PRU13: DAP mahu tambah 13 kerusi

Posted: 15 Dec 2012 03:35 PM PST

SINAR HARIAN

PRU13: DAP mahu tambah 13 kerusi
Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dengan diiringi barisan Jawatankuasa Eksekutif Pusat masuk ke dalam dewan persidangan pagi tadi.
 
GEORGETOWN - DAP mahu tambahan 13 kerusi iaitu tiga bagi kawasan Parlimen dan 10 bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
  
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pertambahan 13 kerusi adalah atas dasar semangat setiakawan dan tulus kepada PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
  
"Kita (DAP) telah terbukti menjadi rakan yang setia dan tulus kepada Pas dan PKR. DAP berharap bahawa kesetiaan kita ini diiktiraf dengan membenarkan DAP bertanding lebih banyak kerusi pada PRU nanti.
  
"Kita menyasarkan tiga tambahan kerusi untuk Parlimen dan 10 kerusi untuk Dun di Semenanjung Malaysia manakala Sabah dan Sarawak sedang mengendalikan rundingan kerusi mereka sendiri," katanya.
  
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar bertajuk 'Perubahan Di tangan Mu' pada kongres ke-16 DAP di Pusat Sukan Antarabangsa Pulau Pinang di sini hari ini.
 
Pada pilihan raya umum 2008, DAP bertanding bagi 47 kerusi Parlimen dan 102 kerusi Dun.
  
Guan Eng berkata, mandat yang dicari oleh DAP daripada pengundi adalah untuk berkhidmat sebagai rakan kongsi gabungan kerajaan bersama-sama dengan PKR dan Pas.
  
Katanya mandat itu penting dalam rangka kerja pakatan pembangkang untuk merealisasikan agenda bersama yang ditetapkan dalam 'Common Framework' dan Buku Jingga.
  
Selain itu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mengakui terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi untuk melakukan perubahan.
  
"Saya tahu terdapat banyak -- yang Islam dan bukan Islam -- yang mempersoalkan sama ada kita mampu menjalin permulaan baru ini.
  
"Terdapat banyak ketakutan dan ketidakpercayaan terhadap satu sama lain seperti juga halnya terhadap perubahan," katanya.

Sejumlah 1,823 daripada 2,576 perwakilan hadir pada kongres parti itu untuk memilih 20 anggota jawatankuasa tertinggi pusat yang bertanding hari ini. - Bernama

Remaja hilang di Cheras, jumpa di Melaka

Posted: 15 Dec 2012 03:33 PM PST

IZWAN ROZLIN

Hilang Cheras
Rahim (tiga, kanan) menunjukkan belukar tempat anaknya didakwa 'disembunyikan' kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Kiat (kanan).
 
KUALA LUMPUR – Sebuah keluarga kebingungan apabila anak lelaki mereka yang didakwa hilang sejak tiga hari lalu selepas masuk ke kawasan belukar di belakang rumahnya di Flat Taman Bukit Segar 1, Cheras akhirnya ditemui di sebuah surau di Melaka.

Mangsa Mohd Shukri Rahim, 15, menghubungi keluarganya menerusi telefon bimbit kira-kira jam 11 pagi semalam selepas pelbagai ikhtiar dilakukan untuk menjejaki remaja malang itu.

Remaja itu sebelum ini disedari tiada di rumah pada jam 6.30 pagi, Rabu lalu.

Bapa mangsa Rahim Jamuri, 40, berkata, dia mengesyaki sesuatu yang tidak baik berlaku kerana anaknya itu sebelum ini tidak pernah langsung keluar rumah tanpa memberitahunya apatah lagi keluar senyap-senyap pada awal pagi.

Menurutnya tambah memelikkan apabila seliparnya tidak terusik malah dia turut mengunci pagar rumah dengan mangga tetapi kuncinya dibawa sekali.

"Dia hanya memakai baju t dan berseluar pendek, puas saya bertanyakan rakan-rakannya yang tinggal di kawasan ini tetapi masing-masing tidak tahu di mana anak saya berada," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Menurutnya, telefon bimbit cuba dihubungi banyak kali namun gagal menyebabkan dia terpaksa membuat laporan polis selepas usaha menjejakinya gagal.

"Saya diberitahu oleh beberapa ustaz yang mengatakan anak saya masih berada berhampiran kawasan rumah iaitu di belukar berhampiran blok A3 menyebabkan pasukan bomba dan Gerakan Am dipanggil untuk membantu mengesan anak saya," katanya.

Difahamkan anggota bomba terpaksa menjalankan operasi mencari menggunakan khidmat anjing pengesan namun gagal menemui sebarang petunjuk menyebabkan operasi dihentikan pada hari kedua.

"Kami sekeluarga tidak pernah berselisih faham dengan Mohd Shukri dan apa yang berlaku memang di luar dugaan. Saya sendiri tidak sangka perkara seperti ini boleh berlaku," katanya.

Sembahyang hajat tepi belukar

USAHA berterusan dilakukan termasuk mengadakan sembahyang hajat dan bacaan Yasin oleh kariah Surau Yusof Al-Amin telah dilakukan beramai-ramai di satu kawasan lapang berhampiran kawasan belukar yang dikatakan menjadi laluan terakhir remaja itu sebelum hilang.

Pengerusi Suraunya Mahmud Abas berkata usaha yang dibuat bagi memohon kepada ALLAH SWT memberikan petunjuk terakhir selain usaha mencari mangsa terus dilakukan.

"Penempatan ini dahulunya bersambung dengan hutan simpan, jadi kami di sini memang akui lokasi ini agak keras kerana ada penduduk pernah terserempak dengan lembaga wanita menakutkan melintas di blok A 2 minggu lalu," katanya

Tambahnya lagi, kejadian kehilangan yang berlaku sedikit sebanyak ada kena mengena dengan beberapa insiden pelik yang berlaku ketika pembinaan kawasan itu dijalankan.

"Ketika pembinaan rumah ini dahulu ada enam kes buruh binaan tergelincir jatuh dan ke semuanya menemui ajal," katanya.

Dijaga harimau putih

SEMENTARA ibu remaja berkenaan Sharifah Rahimah Syed Sharif,40, berkata, melalui perbualan telefon Mohd Shukri ada memberitahu dia seperti mahu mencari seseorang dalam kawasan belukar tetapi tidak ingat siapa.

"Dia juga terdengar bunyi suara orang memanggil namanya berkali-kali berserta dengan laungan azan namun cubaannya melarikan diri dihalang sebelum dijaga seekor harimau putih.

"Sekarang dia berada di sebuah surau di Melaka, kami tidak tahu di mana tetapi kami akan ke sana mengambilnya dalam waktu terdekat," katanya.

Gerakan: Ibrahim Ali malukan diri sendiri dakwa masyarakat Cina ancaman

Posted: 15 Dec 2012 05:43 AM PST


KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali memalukan diri sendiri apabila mengeluarkan kenyataan komuniti Cina di negara ini sebagai ancaman sekiranya mereka menguasai politik dan ekonomi.

Naib Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong turut menyelar Ibrahim kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian yang menurutnya akan menyemai "benih kebencian di hati rakyat dan menimbulkan ketegangan kaum" di Malaysia.

"Orang seperti Ibrahim Ali (gambar) adalah pihak yang bertanggungjawab menggagalkan usaha 1 Malaysia ... Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berusaha keras untuk menyatukan semua bangsa di Malaysia dan kita patut komited membantu usaha perdana menteri," kata Mah.

Beliau menjelaskan ahli politik tidak seharusnya memainkan sentimen perkauman untuk mendapatkan sokongan politik yang mana akan menghancurkan negara.

"Masa depan negara lebih penting daripada mengejar undi," kata Mah dalam satu kenyataan hari ini.

Ibrahim yang merupakan ahli Parlimen Mas semalam mengeluarkan kenyataan berkata komuniti Cina akan menjadi ancaman kepada keselamatan negara sekiranya mereka berkuasa dalam politik dan ekonomi, yang mana menurutnya akan mengulangi sejarah peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Beliau turut menafikan dirinya dan Perkasa sebagai rasis kerana mendakwa mereka hanya mempertahankan apa yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Saya perjuangkan agenda Melayu dan agenda Bumiputera, mengikut Perlembagaan, saya mempertahankan asas Perlembagaan dan Perkara 153 hak keistimewaan orang Melayu.

"Ada pihak menuntut pada sesuatu perkara yang pada pandangan saya secara tidak langsung bertentangan dengan Perlembagaan, atau tuntutan yang bertentangan dengan dasar-dasar nasional," kata beliau dalam wawancara eksklusifnya dipetik Sinar Harian Online.
 
Tambah Ibrahim, jika benar beliau adalah seorang rasis, mengapa sepanjang beliau menjadi pemimpin semenjak 1986 sehingga menjawat jawatan timbalan menteri, beliau tidak pernah dituduh rasis.

Ibrahim turut mempersoalkan mengapa orang tidak mengatakan apa-apa kepada pertubuhan Dong Zong dan Hindraf sedangkan menurutnya pertubuhan-pertubuhan tersebut lebih rasis kerana membuat tuntutan bertentangan dengan perlembagaan.

"Tidak pernah dalam sejarah sejak saya tubuhkan Perkasa, pernahkah saya mengeluarkan kenyataan yang menyuruh jangan bantu orang India, jangan bantu orang Cina?," tambah beliau.

Menurut Ibrahim, dalam mempertahankan Perlembagaan negara, mereka bukan sahaja mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, kedaulatan Raja Melayu, hak Melayu termasuk juga hak kerakyatan semua warganegara.

Ibrahim memenangi kerusi parlimen Pasir Mas dibawah tiket PAS pada pilihan raya umum 2008.

Beliau bagaimanapun mengisytiharkan dirinya sebagai ahli parlimen bebas dan menubuhkan NGO yang digelar Perkasa.

Perkasa aktif dalam memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan seringkali mengkritik Pakatan Rakyat (PR) – gabungan PKR, PAS dan DAP yang dikatakan menggugat kepentingan Melayu dan bumiputera sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

Kehadiran Perkasa tidak disenangi oleh sesetengah pihak terutamanya dari PR yang menggangap pertubuhan tersebut sebagai perkauman dan tidak menghormati Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Sebelum berjaya Putrajaya, Pakatan sudah menang di mahkamah

Posted: 15 Dec 2012 05:35 AM PST

Mohd Sabri Said,


BAYAN BARU: Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti PAS kena lajukan lagi larian ke Putrajaya dengan merangka aktiviti  menarik pengundi.

Penasihat DAP Kebangsaan, Karpal Singh berkata, terlalu banyak isu yang boleh dimainkan seperti kes Antantuya Shariibuu yang boleh memusnahkan harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib kekal kuasa di Putrajaya.

Jika Najib kekal di situ tambahnya, negara pasti bangkrap dan tidak maju ke hadapan ekoran pengeluaran wang negara yang terlalu banyak ke luar negara serta pembaziran hasil ketidak kecekapan kepimpinan Malaysia.

"DAP, PKR dan PAS sudah sebati dalam perjuangan menegakan kebenarn dan keadilan.
Maka, jangan putus asa sebaliknya teruskan langkah dengan laju lagi bagi memastikan Barisan Nasional (BN) jatuh dalam piihanraya ke 13 nanti, " ujarya dalam ucapan aluan sempena Kongres ke 16 DAP Kebangsaan di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), Bayan Baru sebentar tadi.

Sudah banyak kemenangan dikecapi ekoran serangan musuh menerusi akhbar Utusan Malaysia apabila ramai kepimpinan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan dalam kes masing-masing.

Contohnya, Ketua Menteri Pulau,Pinang, Lim Guan Eng yang menang terhadap kes fitnah yang dilemparkan kepadanya selama ini.

Begitu juga Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub yang menang kes Bersih.

Ini bermakna tindakan pasukan Polis pada perhimpunan Bersih salah dan melanggari etika

"Sebelum mendaki Putrajaya secara sah kita telahpun menunjuk prestasi yang memberangsangkan apabila menang banyak kes mahkamah, " katanya dalam Kongres bertemakan 'Perubahan Di tanganmu'.

Selain kimpinan DAP  yang hadir ialah  Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PKR, Datuk Mansor Orhman, Setiausaha Agung PAS, Datuk Haji Mustafa Ali dan wakil parti Sosialis Rakyat Malaysia dan Badan Bukan Kerajaan ((NGO).

Saya hadir kerana didakwa sakit berat -TG Nik Aziz

Posted: 15 Dec 2012 05:28 AM PST

Harakahdaily,


DUNGUN: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dia gagahkan dirinya datang ke himpunan PAS Ganti Umno (PGU) di sini kerana didakwa 'sakit berat' oleh Umno.

"Saya hadir di PGU Terengganu sebab ada orang telefon setiausaha saya kata Umno kata Nik Aziz sakit berat.

"Saya kata, 'Ini kena pergi ini'. Alhamdulilah saya dapat hadir," kata Tuan Guru Nik Aziz ketika berucap merasmikan perhimpunan ini pagi tadi.

PGU ke 6 berjalan di Kuala Paka mulai pagi tadi hingga malam ini.

Semalam Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) peringkat negeri Terengganu berjalan di tempat yang sama.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan  Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu antara tertamu utama yang berucap dalam himpunan malam tadi.

Malam ini, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Abdul Hadi Awang dan bekas timbalan menteri, Datuk Yahya Lampong antara tetamu utama yang akan berucap.

Hanya Islam penyelamat Melayu

Posted: 15 Dec 2012 05:25 AM PST

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) tidak dapat menerima bahawa survival Melayu hanya bergantung kepada politik kuasa semata-mata terutama dakwaan bahawa hanya Umno sahaja yang membela Melayu.

"Sesungguhnya pemikiran ini adalah pemikiran yang sangat dangkal, ketinggalan dan sangat sempit berbaur asobiyyah yang tidak membantu membina bangsa Melayu yang berfikiran matang dan dewasa dalam menghadapi realiti semasa," ujar Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, jauh sekali jika dikaitkan dengan prinsip perjuangan Islam, membela nasib sesuatu kaum itu hanya akan diterima berasaskan prinsip keadilan dan kebenaran yang dituntut oleh Islam.

Justeru, tegasnya Teras berpendirian bahawa dengan mengapi-apikan sikap fanatik bangsa yang bercanggah dengan Islam akan berakhir dengan kesatuan yang sangat rapuh dan lemah sebaliknya ia boleh mencetuskan ketegangan dan saling mencurigai  antara kaum yang tidak menguntungkan dan berbahaya.

Beliau menambah, jika hanya perpaduan Melayu semata-mata menjadi paksi bagaimana pula perpaduan dengan kaum lain yang beragama Islam.

"Umumnya kaum lain yang beragama Islam terutama kaum Tionghua merasa bahawa menganut Islam tidak sama dengan menjadi Melayu kerana bangsa Melayu sendiri banyak yang tidak menunjukkan contoh sebagai Muslim yang baik," ujarnya.

Tambahnya, persoalan Melayu didefinisikan mengikut Perlembagaan yang menetapkan bahawa Melayu adalah beragama Islam harus dilihat sebagai pernyataan untuk menyatukan pelbagai rumpun Melayu.

Namun, ujarnya bangsa lain tetap dengan bangsanya walaupun beragama Islam.

Lantaran itu, kata beliau asas perpaduan yang hanya merujuk kepada bangsa tidak akan mengukuhkan bangsa Melayu .

"Hanya berasaskan  Islam sahajalah perpaduan dan kuasa politik akan membawa makna untuk mengukuhkan sesuatu bangsa," ujarnya lagi.

Kit Siang, Guan Eng dapat undi tertinggi

Posted: 15 Dec 2012 05:21 AM PST

Harakahdaily,


PULAU PINANG: Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mendapat undi tertinggi pada Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP 2012 yang diadakan di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Pisa), hari ini.

Masing-masing mendapat 1,607 dan 1,576 undi pada pemilihan sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-16.

Berikut ialah keputusan penuh 20 Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP 2012.

1 Lim Kit Siang  1607 undi
2 Lim Guan Eng 1576
3 Karpal Singh 1411
4 Chong Chieng Jen 1211
5 Loke Siew Fook (Anthony) 1202
6 Wu Him Ven (Vincent) 1202
7 Tan Kok Wai 1199
8 Gobind Singh Deo 1197
9 Pua Kiam Wee (Tony) 1162
10 Teng Chang Khim 1152
11 Fong Kui Lun 1137
12 Nga Kor Ming 1075
13 Chong Eng 1006
14 Chow Kon Yeow 986
15 Liew Chin Tong 984
16 M. Kula 984
17 Boo Cheng Hau 958
18 Kok Suh Sim (Teresa) 925
19 Teo Nie Ching 903
20 Ngeh Koo Ham 824

‘R’ dakwa Pahang ada telaga 'lebih besar'

Posted: 15 Dec 2012 05:17 AM PST

Khairil Abdul Rahim,
 

(Kawasan telaga minyak baru yang lebih besar dari Bertam)

TEMERLOH: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan terdapat sebuah telaga minyak baru ditemui yang lebih besar di perairan Pahang, berbanding telaga minyak di Bertam yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Gabungan Profesional Menuntut Royalti Minyak atau 'R' Pahang, pihaknya mempunyai bukti telaga minyak di medan 'Rhu' Blok PM-308 di dalam sempadan Pahang adalah enam kali lebih besar berbanding telaga minyak di Blok 307 Bertam, dalam perairan Terengganu.

Pengerusi NGO berkenaan, Nordin Majid, dalam kenyataan medianya berkata, malangnya, Kerajaan Pusat tidak mendedahkan penemuan blok itu kepada umum hingga menimbulkan persoalan, khususnya kepada mereka yang mengetahui mengenai perkara tersebut.

"Pahang sebenarnya mempunyai blok telaga minyak enam kali lebih besar daripada Bertam, tetapi tidak didedahkan.

"Kami harap Kerajaan Pusat dapat menjawab persoalan, mengapa Kerajaan Pusat tidak mendedahkan kepada umum penemuan telaga minyak di Blok 308 Rhu ini?" katanya.

Nordin berkata, pihaknya juga mahukan Kerajaan Pusat memberikan royalti lima peratus kepada Kerajaan Negeri dan bukannya wang ihsan bagi setiap penemuan minyak di perairan negeri ditemui.

Beliau berkata, sumber mengenai penemuan minyak di Blok PM-308 'Rhu' berkeluasan 5,500 dan 8,600 kilometer persegi itu diperoleh hasil kajian dibuat 'R' Malaysia serta 'R' Pahang.

Menurutnya, rakyat Pahang secara umumnya perlu tahu sekiranya wujud blok lain selain Blok 307 Bertam yang diumumkan Kerajaan Pusat sebelum ini.

"Kerajaan Pusat juga perlu mengumumkan jumlah hasil Blok PM-308 Medan Rhu dan tarikh pengeluarannya bermula seperti mana pernah diumumkan kepada rakyat Pahang mengenai Blok PM-307 Bertam.

"Apabila medan minyak Rhu yang berada di dalam perairan Pahang mengeluarkan hasil, adakah rakyat Pahang akan dibayar royalti atau wang ihsan?" soalnya.

Nordin berkata, 'R' Pahang adalah sebuah NGO gabungan 100 NGO profesional lain bertindak bagi mencapai tujuan berkaitan tuntutan royalti mengikut perjanjian Akta Pembangunan Petroleum 1974 serta Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Pahang.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan, pada Oktober lalu mengumumkan negeri Pahang dijangka menerima wang ihsan sekitar RM100 juta setahun, berikutan Petronas Carigali Sdn Bhd dan Lundin Oil menemui rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam, yang terletak di Blok PM 307.

Medan minyak itu terletak kira-kira 160km di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

Namun begitu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, mendakwa telaga minyak berkenaan merupakan hak Terengganu.

CAPTION - Peta yang ditunjukkan oleh NGO 'R' Pahang

10 Taktik Kotor UMNO/BN Yang Rakyat Wajib Ketahui

Posted: 15 Dec 2012 04:59 AM PST

 
KELAB GREENBOC

Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon membongkarkan 10 taktik kotor UMNO/BN untuk terus berkuasa di tanahair kita. Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) merupakan satu persimpangan sejarah penting bagi semua rakyat Malaysia yang sedang berdepan dengan keangkuhan kuasa UMNO/BN lebih daripada 55 tahun.

Keinginan rakyat berjuang untuk perubahan di Malaysia semakin kuat. Rakyat mahu selamatkan Malaysia daripada masalah politik, ekonomi, sosial serta pendidikan yang kian hari kian serius. Kehidupan rakyat juga dalam keadaan yang susah di mana beban yang semakin berat.

Dalam PRU13, sebanyak 13,052,374 pengundi yang akan menentukan masa depan negara kita. Samada negara kita akan mengembalikan hak kepada rakyat, banteras rasuah dan menubuhkan Malaysia yang baru yang berasaskan dengan prinsip kebebasan, demokrasi dan hak asasi manusia.

Sebagai seorang pengundi yang bijak maka perlu didedahkan dengan pelbagai maklumat yang tepat. Oleh itu, semua pengundi perlu mengetahui 10 taktik kotor yang seringkali dipergunakan oleh UMNO/BN sejak dulu lagi agar tidak tertipu lagi.

Taktik KOTOR 1: Tidak Berupaya Bezakan Negara dan Parti.
Sebagai balasan perjuangan kemerdekaan, UMNO/BN telah rampas tanah rakyat dengan terang-terang. 24 keping tanah komersial di Selangor telah dijual dengan RM1 persegi menunjukkan keangkuhan kuasa yang ada pada UMNO/BN.

Taktik KOTOR 2: Salahguna Kuasa Untuk Kepentingan Politik.
Bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan menuduh Menteri Dalam Negeri campur tangan politik ke atas pasukan polis. Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dipergunakan untuk menyiasat badan bukan kerajaan NGO SUARAM yang menfailkan kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene di Mahkamah Perancis. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menukar dan memindah kakitangan awam di negeri-negeri pentadbiran Pakatan Rakyat untuk menjejaskan urus tadbir kerajaan negeri. Semua adalah contoh salahguna kuasa yang bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Taktik KOTOR 3: Politik Perkauman.
Walupun negara telah merdeka lebih 55 tahun, tetapi UMNO/BN masih mewarisi politik 'pecah dan perintah' yang diamalkan oleh penjajah British. Dengan politik perkauman sempit seperti kuasa orang Melayu tergugat dan Insiden Mei 13 mungkin berulang yang dibawa oleh PERKASA dan Pemuda UMNO, maka konsep 1 Malaysia hanya menjadi satu slogan kosong yang tidak bermakna sahaja.

Taktik KOTOR 4: Politik Wang.
Presiden MCA Chua Soi Lek menyatakan bahawa politik wang bukan rasuah. Keluarga PM Najib Razak terlibat dalam projek Kementerian Pertahanan yang melibatkan sebanyak RM100 juta. Ketua Menteri Musa Aman yang terlibat secara langsung dalam RM40 juta wang seludup. Kesemua ini hanya merupakan sebahagian kecil politik wang dan rasuah UMNO/BN. Kredibiiti dan kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bankrap.

Taktik KOTOR 5: Penipuan dalam Pilihanraya.
Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) didapati adalah ahli UMNO. Senarai pengundi yang tidak bersih serta mempunyai pengundi hantu. Media tidak bebas, masa kempen terlalu singkat serta peraturan yang berat sebelah. Walaupun BERSIH 2.0 telah mendesak kerajaan untuk menjalankan reformasi sistem pilihanraya tetapi tiada perkembangan yang positif.

Taktik KOTOR 6: Akta Zalim Menindas Hak Asasi.
Walaupun PM Najib Razak berjanji untuk mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO), tetapi diganti dengan dua akta yang terus membenarkan kerajaan membuat penahanan tanpa perbicaraan. Akta Hasutan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Perhimpunan Aman adalah akta-akta zalim yang dijadikan alat kepada UMNO/BN untuk mencabuli hak asasi rakyat.

Taktik KOTOR 7: Menguasai Media dan Putar-Belit.
Utusan Malaysia, TV3 dan RTM yang dikuasai oleh UMNO/BN telah menjadi alat politik untuk menyerang Pakatan Rakyat. Liputan yang berat sebelah serta putar-belitkan sesuatu isu telah menyebabkan media massa tersebut hilang kredibiliti dan profesionalisme. Media massa tersebut juga tidak berupaya membuka minda masyarakat umum.

Taktik KOTOR 8: Fitnah dan Aibkan Pembangkang.
Tuduhan fitnah yang sering dibuat oleh UMNO/BN ke atas Pakatan Rakyat seperti hasut rakyat guling kerajaan melalui demonstrasi atau belajar dari Arab Spring, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan sebagainya. Peserta demonstrasi didakwa membawa senjata atau menyerang polis adalah taktik kotor UMNO/BN yang tipikal.

Taktik KOTOR 9: Budaya politk samseng dan ganas.
Banyak ceramah umum Pakatan Rakyat telah diganggu dan diserang oleh penyokong UMNO/BN. Politik samseng seperti baling batu, rosakkan banner, bakar bendara parti serta SMS ugutan sering diamalkan oleh UMNO/BN yang tidak berani untuk berdebat atau berhujah. Puak samseng tersebut masih bermaharajarela sampai hari ini.

Taktik KOTOR 10 Alih Fokus dan Tipu Helah.
Apabila ditentang kuat oleh masyarakat sivil seperti BERSIH 2.0 dan Himpunan Hijau, UMNO/BN akan mengalih fokus untuk meredakan bantahan daripada masyarakat umum. Dalam isu Lynas, kerajaan UMNO/BN sanggup menipu rakyat dengan menyatakan produk sisa radioaktif akan dihantar keluar ke luar negera walaupun dilarang oleh Waigani Convention. Kesemua ini adalah tipu helah UMNO/BN.

Oleh itu, AMK menyeru kepada semua pengundi khasnya pengundi baru mesti mengetahui 10 taktik KOTOR UMNO/BN. Jangan kita terpedaya dengan manfaat segera yang berjangka masa pendek atau terperangkap oleh UMNO/BN yang telah pecah amanah yang diberikan oleh rakyat.

Marilah kita bersatu untuk menolak politik perkauman dan UMNO/BN untuk mendirikan sebuah Malaysia Baru yang bebas, adil dan demokrasi.
LEE KHAI LOON

LEE KHAI LOON Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

IPTS perlu bayar yuran perlindungan penuntut

Posted: 15 Dec 2012 04:56 AM PST

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Bermula tahun depan, universiti swasta, kolej universiti dan kampus cawangan universiti luar negara perlu membayar RM100,000 manakala kolej swasta RM10,000 sebagai yuran perlindungan penuntut.
  
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata yuran itu adalah jaminan perlindungan penuntut sekiranya institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berhadapan risiko ditutup dan menjejaskan penuntut menamatkan pengajian mereka.
  
"Oleh itu, penuntut-penuntut ini memerlukan satu bentuk perlindungan terhadap keadaan itu. Kami memutuskan untuk mengumpul sejumlah wang sebagai yuran perlindungan dari IPTS dalam bentuk bon jaminan, insurans dan deposit," katanya ketika melancarkan Pameran Pendidikan Star 2012 di sini hari ini.
  
Beliau berkata IPTS diharap dapat membayar jumlah yang ditetapkan untuk memastikan penuntut terlibat akan mendapat bayaran balik jika institusi berkenaan ditutup secara tiba-tiba bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian di tempat lain sekaligus melindungi penuntut daripada isntitusi yang tidak bertanggungjawab.
  
"Semua institusi pengajian tinggi swasta perlu membayar yuran perlindungan setiap lima tahun, setiap kali mereka mahu memperbaharui lesen. Maklumat terperinci mengenai pelaksanaan itu akan diumum kemudian," katanya.

Mohamed Khaled berkata tahun ini, sebanyak 33 IPTS dalam pertimbangan untuk ditutup atas pelbagai sebab.
  
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pengajian Komunikasi Bahasa Melayu dan Malaysia akan menjadi mata pelajaran wajib untuk penuntut antarabangsa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
  
Beliau berkata mata pelajaran itu akan membolehkan penuntut antarabangsa berinteraksi dengan penduduk tempatan dan pihak berkuasa serta mereka boleh belajar budaya Malaysia dan bagaimana negara ini membangun.
  
Sementara itu, beliau berkata IPTS digalak untuk menawarkan lebih banyak program lepasan ijazah untuk membangunkan bakat intelektual pringkat tinggi bagi merangsang pertumbuhan penyelidikan dan inovasi di negara ini.
  
"Jumlah penuntut graduan di institusi pengajian tinggi swasta masih kecil. Berdasarkan statistik tahun ini, terdapat hanya 203 dan 2,841 penuntut graduan masing-masing untuk program PhD (Doktor Falsafah) dan Sarjana.
  
"Sebaliknya, institusi pengajian tinggi awam mempunyai jumlah yang lebih besar iaitu masing-masing 2,169 dan 14,813 untuk Sarjana dan PhD," katanya.
  
Pameran pendidikan dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai hari ini mempamerkan pelbagai pilihan dan peluang pendidikan dalam dan luar negara. - Bernama

Hampir 20,000 Ibu Tunggal Sudah Terima Bantuan Kerajaan Selangor

Posted: 15 Dec 2012 04:55 AM PST




SHAH ALAM : Seramai 19,454 ibu tunggal di Selangor telah mendapat manfaat dan kemudahan daripada berbagai skim yang dimulakan Kerajaan Selangor antaranya bantuan kewangan dan program keusahawanan.

Mereka adala daripada 24,009 ibu tunggal yang disahkan layak menerima skim-skim tersebut, berdasarkan statistik yang dikeluarkan portal rasmi ibu tunggal, e-bu.selangor.gov.my sehingga November.

Daripada 24,009, sebanyak 75.01 peratus didominasi kaum Melayu, diikuti India seramai 6.5 peratus, Cina 3.3 peratus, Orang Asal 0.01 peratus, dan kaum lain 15.12 peratus.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknnologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri komited dalam mengendalikan serta menawarkan pelbagai skim serta kemudahan kepada ibu tunggal yang tidak pernah diberikan Kerajaan Umno-BN sebelum ini.

Beliau berkata, skim itu antaranya ialah Skim Mikrokredit Luar Bandar (SkimSel), Skim Mikrokredit Bandar (MiMBAR), Skim Mikrokredit Wanita Ladang (Wala), Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKembar) dan Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas).

"Selain itu, ia turut merangkumi program Pemberdayaan Wanita Selangor menerusi Pusat Wanita Berdaya (PWB), program Pemberdayaan Ibu Tunggal SOHO Selangor (PET-SOHO-S), Skim wanita kerja dari rumah, Bantuan Am sebanyak RM250, Laman Dapur, Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor dan Lembaga Zakat Selangor.

"Skim-skim yang ditawarkan adalah berkonsepkan mentor-mentee di mana seramai 19,454 ibu tunggal telah mendapat skim dan kemudahan yang ditawarkan," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, kesemua skim yang ditawarkan memberi peluang kepada ibu tunggal berpendapatan kurang RM1,500 mendapat kemudahan dengan hanya mendaftar.

Dalam pada itu, Rodzuah turut menyarankan mana-mana ibu tunggal yang layak tetapi belum menerima bantuan untuk merujuk kepada Kerajaan Negeri.

"Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersifat terbuka terhadap kritikan dan bersedia mendengar idea yang bernas dan konstruktif kerana Kerajaan Pakatan Rakyat adalah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab.

"Berkaitan saman terhadap Kerajaan Selangor oleh pihak yang berkenaan, segalanya akan dijawab di dalam mahkamah. Penegasan lengkap dan menyeluruh akan dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor sebaik ketetapan mahkamah diperolehi," katanya lagi.

Siti: 'Alhamdulillah saya di sisi Datuk K sekarang'

Posted: 15 Dec 2012 04:53 AM PST

RAZIATUL HANUM A. RAJAK

Siti Nurhaliza
Datuk Siti Nurhaliza 
 
SUSULAN kemalangan yang menimpa  Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa kelmarin, Datuk Siti Nurhaliza sudah tiba di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand yang merawat suaminya itu, pagi ini.

"Alhamdulillah... bersyukur sampai dengan selamat untuk perjalanan 27 jam... tak dapat menahan apabila suami asyik bertanya bila nak sampai... akhirnya... alhamdullillah Me di sisi B...," kata Siti dalam laman Twitter kira-kira 10.40 pagi tadi.

Terdahulu, beliau yang memaklumkan perkembangan perjalanan dari semasa ke semasa berkata telah tiba di  Dunedin awal pagi tadi.

Penyanyi itu menaiki kereta selama dua jam untuk ke hospital.

"Alhamdulillah sudah berada di Dunedin, New Zealand... sekarang menempuh perjalanan dua jam dengan kereta untuk ke hospital... semoga selamat sampai," katanya dalam mesej sekitar jam 4.26 pagi tadi.

Penyanyi nombor satu negara itu berangkat ke New Zealand tengah hari semalam dengan ditemani kakak iparnya, Datin Zaiton dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Kelmarin, Khalid yang turut dikenali sebagai Datuk K terlibat dalam kemalangan motosikal di Queenstown, New Zealand.

Melalui Twitter, anak lelakinya, Muhammad Azief berkata, Datuk K mengalami patah bahu dan kaki serta patah tiga batang gigi.

Anak Datuk K akan berangkat ke New Zealand hari ini untuk menziarah beliau.

Shabery: Rajagobal tidak harus dipecat

Posted: 15 Dec 2012 04:46 AM PST

SINAR HARIAN

K Rajagobal
Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K.Rajagopal
 
KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal tidak harus dipecat atas kekalahan skuad kebangsaan Harimau Malaya pada separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012, Khamis lepas, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukuman terhadap jurulatih itu malah beliau perlu diberi peluang melakukan penambaikan dan pembaharuan dalam skuad bimbingannya dalam menghadapi kejohanan seterusnya.

"Kita tidak harus lupa Rajagobal yang bertanggungjawab mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap pasukan negara dan menaikkan imej pemain sehingga dikenali ramai... tidak seperti sebelum ini.

"Bagaimanapun beliau harus mencari jalan dalam meningkatkan lagi prestasi skuad kebangsaan," katanya kepada pemberita pada majlis perkahwinan anak perempuannya Nurkhalida dan pasangannya, Qaiyum Hasnul, kedua-dua berusia 25 tahun, di Stadium Juara Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga bertanggungjawab untuk melihat pembangunan mutu sukan itu secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata, FAM perlu memberi perhatian untuk meningkatkan status Liga Malaysia yang kini berada dalam kategori D berbanding kategori B oleh Liga Vietnam dan Indonesia dalam ranking Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Dalam saingan separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012, Malaysia, selaku juara bertahan, dikecewakan oleh Thailand dengan agregat 1-3.

Thailand akan menentang Singapura pada perlawanan akhir timbal balik pada 19 dan 22 Disember ini.

Selepas gagal mempertahankan kejuaraan itu, Rajagobal berkata beliau mahu memenuhi kontraknya sehingga Disember 2013 bersama FAM dengan misi utama membantu skuad negara melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan Piala Asia 2015 di Australia.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 56 tahun itu menegaskan bahawa kedudukannya selepas ini diserahkan kepada FAM.

Pasukan negara akan memulakan kempen kelayakan Piala Asia 2015 pada Februari depan dengan menentang Qatar sebelum berdepan dengan Bahrain dan Yemen dalam saingan Kumpulan D. - Bernama

Pelakon Malaysia cabul rakan pelakon

Posted: 15 Dec 2012 02:56 AM PST

KL TODAY

 

"Dia menyuruh saya melakonkan watak dicabul sebelum dia benar-benar mencabul saya," kata seorang gadis berusia 21 tahun yang membuat laporan polis selepas mendakwa dicabul seorang pelakon tambahan ketika menjalani sesi uji bakat dikendalikan lelaki itu.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di ibu kota kira-kira jam 5 petang kelmarin dan mangsa yang meminta identitinya dirahsiakan mendakwa, empat lagi gadis turut menjadi mangsa pelakon berusia 40-an itu.

Menurutnya, dia tertarik untuk menyertai sesi uji bakat itu selepas terbaca iklan dibuat pelakon lelaki terbabit di laman sosial Facebook untuk mencari pelakon wanita baru bagi memegang watak heroin dalam satu filem yang bakal diusahakan.

Gadis itu berkata, selepas menghubungi pelakon terbabit, dia diarahkan datang ke sesi uji bakat berkenaan di sebuah rumah di ibu kota.

"Pelakon itu bagaimanapun mengarahkan saya supaya hadir ke sesi uji bakat bersendirian dan tidak boleh ditemani sesiapa. Biarpun agak pelik dengan arahan itu, tapi saya langsung tidak mengesyaki sesuatu yang buruk," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, sebaik saja tiba di rumah yang dimaklumkan, pelakon itu membawanya ke sebuah bilik kosong di dalam rumah.

"Sebaik saja masuk ke dalam bilik, saya mula curiga apabila mendapati tiada kamera ataupun peralatan penggambaran dipasang bagaimana biasa dilakukan untuk sesi uji bakat.

"Saya tambah curiga apabila dia memberitahu sesi uji bakat itu hanya membabitkan kami berdua dan babak yang perlu dilakonkan ialah saya dicabul olehnya," kata mangsa.

Menurutnya, belum pun sempat dia bertanya lebih mengenai aksi yang dimahukan, pelakon lelaki itu terus menghampirinya sebelum memeluk, mencium dan meraba bahagian sulitnya.

"Tersentak dengan kejadian itu, saya mempersoalkan tindakannya, namun berulang-kali dia mendakwa itu semua hanya aksi untuk uji bakat," katanya.

Bagaimanapun, katanya, menyedari lelaki itu berniat jahat dan mahu mengambil kesempatan ke atasnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, kira-kira jam 10 malam, kelmarin.
Mangsa difahamkan sebelum ini ada wanita yang datang ke sesi uji bakat itu dihalau pelakon lelaki terbabit selepas mencabul mereka dengan alasan mereka tidak sesuai dengan watak heroin filem yang akan dibuat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).

Khairi turut meminta supaya wanita lain yang pernah menjadi mangsa lelaki itu tampil membuat laporan untuk memudahkan polis melakukan siasatan.

Mufti Perak Harussani dapat anugerah tertinggi Perkasa

Posted: 15 Dec 2012 02:49 AM PST

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menyampaikan anugerah tersebut yang dinamakan bintang pribumi Perkasa negara sempena persidangan agung tahunan Perkasa di Tasik Titiwangsa hari 
ini.



KUALA LUMPUR: Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria diberi anugerah tertinggi Perkasa dalam satu majlis di ibu negara.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menyampaikan anugerah tersebut yang dinamakan bintang pribumi Perkasa negara  sempena persidangan agung tahunan  Perkasa di Tasik Titiwangsa hari ini.

Harussani merupakan penerima anugerah keempat selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Rahim Nor (bekas ketua polis negara) dan tokoh pendidikan Tan Sri Arshad Ayub.

Hadir sama di majlis tersebut ialah presiden Jalur Tiga Datuk Hasan Ali, Rahim, presiden MUIP Datuk S Nallakarupan serta 32 NGO Melayu.

Perkasa turut mengisytiharkan 10 resolusi membabitkan mengenai perpaduan bangsa: kebebasan beragama; pluralime; LGBT, pelan tindakan pendidikan negara;  ekonomi; isu Gaza dan jenayah perang; campur tangan kuasa asing; perkara 153 dan 87 perlembagaan negara serta kestabilan politik, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu Harussani dalam ucapan perasmian persidangan itu mempertahankan jumlah orang lslam yang murtad memeluk Kristian pada tahun 2008 ialah seramai 230, 000 orang.

Bagaimanapun, menurut mufti Perak itu  kerajaan tidak percaya dengan angka yang diberikan itu.

"Kerajaan mengingatkan saya supaya jangan  bercakap tanpa bukti. Mereka kata ada lima orang sahaja.
"Saya bawa bukti yang diberikan oleh persatuan peguam Islam iaitu seramai 231, 636 yang berjaya dikristiankan.

"Angka ini disahkan oleh pemimpin Kristian yang bangga kerana berjaya mengkristiankan orang Islam," katanya.

PR terus konsisten walau difitnah, DAP pertahan Islam sebagai agama Persekutuan

Posted: 15 Dec 2012 02:43 AM PST

 Roketkini.com

GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengulangi pendirian DAP untuk menjadi rakan kongsi yang bertanggungjawab dalam Pakatan Rakyat (PR) membentuk kerajaan baru Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Justeru, katanya, PR perlu terus konsisten dalam rangka kerjanya untuk merealisasikan agenda bersama yang ditetapkan dalam Common Policy Framewok dan Buku Jingga yang antara lain menyimpulkan hanya ada satu jalan tengah dalam politik Malaysia.

"Kita perlu memberi tumpuan bagi memenangi hati majoriti 2.9 juta pengundi kali pertama serta pengundi atas pagar. Tanpa memenangi empat juta pengundi jalan tengah ini, tidak akan ada Kerajaan Persekutuan baru pimpinan Pakatan Rakyat,

"Untuk itu pelbagai langkah dan gerak kerja harus berhati-hati kerana wujud banyak cubaan untuk memecah-belah pakatan dan kesepaduan kerjasama PR oleh Barisan Nasional (BN) melalui permainan
politik perkauman dan agama," katanya.



Beliau memberi contoh pelbagai isu sengaja ditimbulkan BN untuk menggoyahkan PR antaranya isu melibatkan penggunaan kalimah Allah, isu berjabat tangan ketika pilihan raya kecil DUN Tenang, isu khalwat, isu Islamisasi dan peruntukan Kerajaan Pulau Pinang terhadap hal ehwal Islam pada masa sama DAP juga berhadapan tuduhan berat dan tidak berasas dengan dakwaan anti-Islam dan anti-Melayu.

"DAP tidak akan mengambil pendirian melampau seperti BN. Pakatan Rakyat mesti dilihat sebagai sederhana dan inklusif, menjarak dan membezakan diri kita daripada lawan yang eksklusif, rasis dan pelampau," jelasnya.

Deklarasi Shah Alam jelaskan semua kekeliruan

Oleh itu beliau mengesyorkan adalah penting agar semua melihat kembali Deklarasi Shah Alam yang disepakati pada Persidangan Kebangsaan DAP di Shah Alam pada 8 Januari lau antaranya mempertahankan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dan komited mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan menghormatinya sesuai dengan semangat Perlembagaan Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.

* Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di samping melindungi hak kaum lain seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

* Melindungi kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sambil memelihara kebebasan agama lain untuk diamalkan secara aman dan harmoni seperti termaktub dalam Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.

*. Memuliakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, di samping menggalakkan penggunaan dan pembelajaran bahasa Inggeris dan bahasa ibunda dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang cemerlang melalui kepelbagaian bahasa.

*. Mengiktiraf semangat perkongsian sama rata yang wujud dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan memperjuangkan hak rakyat Sabah dan Sarawak.

Menegaskan hasrat DAP itu, Guan Eng berkata, misi PR bukan saja untuk mengalahkan BN yang korup tetapi juga UMNO yang mengamalkan politik perkauman melampau, MCA yang tidak bermoral dan tidak beretika, Gerakan yang tidak mempunyai apa-apa keberanian atau pendirian, dan MIC yang tidak mempunyai arah tuju dan hanya memimpin dari belakang.

"Rakyat tidak lagi bodoh untuk dipermainkan. Misi kita adalah untuk mendemokrasikan sistem politik dan mencipta keteraturan ekonomi yang berkhidmat untuk rakyat biasa." ujar beliau. –  Roketkini.com

Pelajar Jepun Sertai Program Penanaman Pokok MPSP

Posted: 15 Dec 2012 02:40 AM PST




CYBERJAYA  : Seramai 120 pelajar daripada Nagasaki Nichidai High School, Jepun menyertai program penanaman pokok anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPSP) di Taman Hutan Bandar minggu lalu.

Rombongan tersebut merupakan kali ketiga para pelajar daripada sekolah berkenaan hadir
menyempurnakan upacara penanaman pokok di samping meninjau pokok-pokok yang ditanam sebelum ini.

"Dua tahun berturut-turut sebelum ini iaitu pada 2010 dan 2011, mereka telah datang menanam pokok dan kita juga ada meletakkan 'pledge' (ikrar) mereka.

"Program sihat ini ternyata telah menjadi program tahunan kita (MPSP) dan pihak sekolah (Nagasaki Nichidai High School) kerana kami mempunyai kepercayaan yang sama.

"Iaitu pokok hijau yang banyak adalah baik untuk menangani perubahan iklim khususnya di Cyberjaya ini," jelas Penolong Pengarah, Jabatan Perancangan Bandar MPSP, Mohd Adham Mahmood berkata di program itu pada 8 Dis.

Program penanaman pokok tersebut dilancarkan pada 8 November 2009 oleh Ahli Majlis MPSP, Lau Weng Chan yang turut merasmikan program tersebut pagi itu.

Sehingga kini, hampir 2,000 batang pokok ditanam di kawasan seluas 9.67 ekar itu yang terletak bersebelahan Universiti Limkokwing di sini.

Selain para pelajar daripada Jepun, program itu turut mendapat sokongan komuniti tempatan selain syarikat-syarikat korporat seperti Prima Properties Management Sdn Bhd, Univeristi Limkokwing dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Diharap dengan penglibatan pihak pelajar dari Jepun, pihak swasta dan komuniti di sini, matlamat meningkatkan kesedaran akan kepentingan tumbuhan hijau dapat ditingkatkan di kalangan masyarakat," ujar Adham.

Pendedahan Deepak : NGO Desak Najib, Rosmah, Nazim Disiasat

Posted: 15 Dec 2012 02:38 AM PST




KUALA LUMPUR: NGO Jingga 13 mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta adiknya Datuk Mohammad Nazim Razak disiasat mengenai pendedahan terbaru yang dibuat ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Ini kerana Deepak dilaporkan mendakwa ketiga-tiga individu tersebut terlibat dalam usaha merangka Akuan Bersumpah Kedua (SD2) yang dilakukan penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

SD2 merupakan satu dokumen yang berkait rapat dengan kes pembunahan wanita Mongolia Altantuya Sharibuu pada Oktober 2006.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, satu siasatan wajar dilakukan berkaitan pendedahan Deepak mengenai penglibatannya untuk membuat SD2 yang bertujuan untuk menyekat pendedahan yang lebih besar.

Oleh itu Fariz berkata Polis dan Peguam Negara didesak supaya membuka balik kes pembunuhan yang ternyata wujud saksi baru di dalam kes itu.

"Penglibatan Najib dan Rosmah dalam kes tersebut perlu diambil tindakan dengan serius oleh pihak polis.

"Satu tindakan salah guna kuasa dan rasuah bagi tujuan perbuatan menutup jenayah yang dilakukan oleh mereka," katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Beberapa portal berita telah menyiarkan pendedahan terperinci Deepak yang mengatakan beliau mengaku bercakap dan bertemu Najib dan Rosmah di kediamannya bagi mencari jalan untuk berjumpa Balasubramaniam.

Perjumpaan tersebut bertujuan membatalkan pengakuan bersumpahnya yang pertama (SD1).

Deepak mendakwa Nazim dihantar bagi mewakili Najib dan perbincangan dilakukan termasuk merasuah Balasubramaniam bagi membatalkan SD1 dan membuat SD2 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Selain itu, Deepak turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil beliau untuk disiasat namun beliau menyatakan SPRM lebih berminat untuk menutup kes tersebut dan tiada tindakan diambil.


Kejayaan DAP Pulau Pinang membanggakan

Posted: 15 Dec 2012 02:26 AM PST

 Roketkini.com

GEORGE TOWN: Kejayaan cemerlang DAP mentadbir Pulau Pinang tidak dapat disangkal malah dicemburui UMNO-Barisan nasional (BN).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, walaupun DAP tidak berpengalaman memerintah tetapi terbukti parti itu berkelayakan dan berkemampuan sehingga mendapat pujian Ketua Audit Negara.

Setiausaha Agung DAP itu dalam ucapan dasarnya pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16 berkata,

DAP kini boleh berbangga dengan rekod cemerlang kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor yang mendahului carta pelaburan di Malaysia yang berjumlah RM50 bilion antara 2009 dan 2011.

Katanya, pelaburan sebanyak 36 peratus atau lebih daripada satu pertiga jumlah pelaburan di seluruh negara dalam tempoh berkenaan adalah bukti yang tidak boleh disangkal.

"DAP juga berbangga dengan kejayaan kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Selangor memperkenalkan reformasi undang-undang yang penting serta langkah urus tadbir yang baik, antaranya Akta Kebebasan Maklumat yang membolehkan akses lebih meluas kepada dokumen kerajaan negeri," tambahnya

Beliau berkata, kini Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang giat untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dengan meluluskan Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan yang bersejarah, manakala kerajaan negeri Selangor sudah bereksperimen mengadakan pilihan raya untuk jawatan 'Ketua kampung' di tiga kampung baru Cina.

"Pulau Pinang baru-baru ini juga memperkenalkan rang undang-undang pindaan perlembagaan anti lompat parti untuk mencegah perdagangan wakil rakyat dan Selangor menjadi badan perundangan negeri pertama untuk menamakan wakil pembangkang BN negeri sebagai ketua Jawatankuasa Kira-kira Awam,

"Selain itu, Pulau Pinang dinobatkan bandar paling sesuai didiami di Malaysia sejak 2011 dan baru-baru ini berjaya menarik pembangunan dua Pusat Pameran dan Konvensyen dan sebuah taman tema buat pertama kalinya dalam tempoh 50 tahun." kata Guan Eng.

Menurutnya lagi, Pulau Pinang dan Selangor turut melabur untuk membina rumah mampu milik membabitkan pelaburan sebanyak RM500 juta untuk pembinaan rumah mampu milik oleh syarikat terbaik HDB Singapura.

Selain itu, katanya, banyak lagi dasar yang dilaksanakan kerajaan PR Pulau Pinang seperti insentif RM100 kepada warga emas, Program Anak Emas dan insentif pelajar cemerlang yang kini ditiru Kerajaan BN Persekutuan sebagai gula-gula pilihan raya. – Roketkini.com

PAS rakan penting dalam Pakatan Rakyat – Karpal Singh

Posted: 15 Dec 2012 02:24 AM PST

 Roketkini.com

GEORGE TOWN-  Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa PAS adalah rakan penting dalam Pakatan Rakyat.

"Kita mungkin mempunyai beberapa perbezaan, tetapi ianya 'solid' sebagai sebuah parti yang mempunyai ideologi dan prinsip," jelas beliau diikuti tepukan gemuruh perwakilan dan tetamu yang hadir.

Menegaskan kenyataannya, Karpal berkata "Bagi DAP, tidak ada rakan yang tetap atau musuh selamanya, tetapi yang kekal hanyalah prinsip." (No permanent friends or enemies, only permanent principles)

Ujarnya, apa yang penting, Pakatan Rakyat (PR) tidak boleh lalai dengan musuh yang sentiasa mahu memecahbelahkan persefahaman dilkalangan parti-parti dalam PR yang terbina selama ini.

"Sebelum ini tiada siapa yang menyangka DAP boleh bekerjasama dengan PAS, tetapi kini senario politik Malaysia telah berubah,

"Sekiranya kita tidak berubah mengikut masa, kita akan diubah oleh masa." ujar beliau dengan penuh keyakinan.

Dengan merujuk Pulau Pinang sebagai contoh yang baik, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor menaruh keyakinan tinggi bahawa PR mampu memberikan khidmat cemerlang sekiranya berjaya menakluk Putrajaya.

"Pulau Pinang telah terbukti  mencapai kejayaan cemerlang di bawah PR, apa yang telah dicapai di Pulau Pinang akan juga tercapai di Putrajaya. Ia adalah satu contoh baik yang boleh diikuti."

Tidak dilupakan, Karpal menyeru agar golongan veteran yang banyak berkorban dan melalui saat getir selama ini agar dihargai dan tidak dilupakan.

"Tanpa golongan veteran, anda tidak akan berada disini." ujar beliau.

Beliau juga sekali lagi mengulangi pendirian parti memberi sokongan penuh kepada  Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah Malaysia.

Biarpun ucapannya serius dan bersemangat, Karpal sempat berseloroh mengenai saman fitnah terhadap Utusan Malaysia yang dimenanginya dengan ganti rugi sebanyak RM70,0000.

"Nampaknya angka 70,000 ini angka bertuah. Mahfuz dan Salahuddin Ayub juga menang RM70,000 saman terhadap Utusan Malaysia. Mahfuz kata boleh sembelih kambing. Saya kata jangan sembelih kambing, sembelih Barisan Nasional," katanya. – Roketkini.com

Karpal: 'Saya tak takut cubaan nak guling saya'

Posted: 14 Dec 2012 03:59 PM PST

Wartawan Sinar Harian

Karpal Singh
Karpal Singh
 
PETALING JAYA – Konvensyen DAP ke-16 yang bermula hari ini, yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, dijangka menjadi medan pertemuan tahunan yang paling 'panas', helah dan dipercayai akan ada beberapa pendedahan mengejutkan.

Menurut Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh, beberapa ahli berjanji akan mendedahkan 'kekotoran' dan perkara ini dijangka dilakukan semasa sesi perbahasan perwakilan.

"Bagaimanapun, saya boleh beri jaminan kepada anda bahawa keseluruhan prosiding akan dijalankan dengan demokratik," kata pemimpin veteran ini.

Ahli Parlimen ini seterusnya berkata: "Saya juga mengetahui rancangan untuk menggulingkan saya."
"Tetapi saya tidak takut, saya telah membuktikan diri saya dan rekod saya bercakap untuk dirinya sendiri," kata beliau lagi.

"Selain itu, konvensyen itu tidak membuat keputusan parti. Keputusan hanya dibuat oleh jawatankuasa eksekutif pusat (CEC). Konvensyen ini adalah semata-mata mengenai siapa yang mendapat dipilih ke CEC,'' katanya.

Ditanya dakwaan 'keluarga dinasti' dalam DAP yang akan dibangkitkan pada konvensyen kali ini, Karpal hanya ketawa.

"Kami mempunyai banyak bakat muda dalam parti, ramai sedang menunggu untuk menjadi Adun, manakala berharap untuk bergerak sehingga menjadi Ahli Parlimen. Ia adalah masa untuk beberapa muka lama untuk bergerak ke atas, tidak ada isu dinasti keluarga di sini," katanya.

Pada perbahasan kali ini, beliau menjangkakan beberapa isu panas, termasuklah isu pencalonan kerusi satu lawan satu, hubungan parti itu dengan PKR dan Pas serta undang-undang hudud.

"Perwakilan berminat menilai prestasi pemimpin sejak pilihan raya umum 2008 dan ini menjadi platform terbaik bagi mereka untuk melakukannya," katanya.

Beliau mengulangi bahawa parti itu amat diamalkan kesaksamaan dan bahawa semua pemimpin yang telah dipilih berdasarkan kekuatan mereka dan keupayaan peribadi.

Lebih 2,500 perwakilan dari seluruh negara dijangka menghadiri konvensyen yang berlangsung di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Pisa).

'Perang' Zed Zaidi-Julia, hiburan hingga politik

Posted: 14 Dec 2012 03:58 PM PST

RAZIATUL HANUM A. RAJAK

Zed Zaidi
Zed Zaidi
 
PRESIDEN Persatuan Seniman, Zed Zaidi hari ini mengesahkan bahawa kemasukan pelakon Indonesia, Julia Perez ke negara ini untuk menjalani penggambaran adalah tanpa permit sah.

Menurut Zed Zaidi, perkara itu sudah dirujuk kepada bahagian pelesenan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Saya telah semak dengan bahagian pelesenan Finas untuk pengesahan permit Julia Perez.

"Jawapan Finas, ada permohonan SPP atas tajuk filem 'Sentuhan Malam Pertama' tetapi tiada permohonan Pekerja Filem Asing (PFA) atas nama Julia Perez," katanya melalui akaun Twitter.

Beliau menjelaskan bahawa di bawah syarat Padu Citra, Julia wajib menjadi ahli bagi salah satu daripada tiga persatuan yang diiktiraf oleh Finas.

"Dalam Persatuan Seniman, nama Julia Perez tidak berdaftar sedangkan ia syarat wajib bagi kelulusan permit SPP," katanya.

Menurut pelakon utama Sembilu itu, pihak Finas juga bakal mengambil tindakan berhubung perkara itu.
"Finas sedang menjalankan siasatan di lokasi penggambaran melalui pasukan penguatkuasaan bahagian utara untuk tindakan.

"Insya-ALLAH Finas akan datang ke lokasi untuk membuat serbuan di Padang Kota Lama," katanya.

Isnin lalu, Julia atau Jupe yang sedang menjalani penggambaran filem arahan Murali Abdullah, Sumpahan Malam Pertama di Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan di akaun Twitter yang menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

"Nunggu giliran take... sambil nonton sinetron Malaysia... oh my GOD... Indonesia kita jauuh majuuu... kita mahuu sekaliii... bangga jadi orang Indonesia (tunggu giliran penggambaran... sambil menonton drama Malaysia. Oh tuhan... Indonesia kita jauh maju... kita maju sekali. Bangga jadi orang Indonesia)," katanya.

Namun, tajuk drama yang ditontonnya masih belum diketahui.

Kenyataan itu mendapat respons daripada Zed Zaidi yang menyedari tentang kenyataan pelakon Indonesia itu tiga hari kemudiannya.

"Gampang Julia Prez hina industri seni Malaysia! Pemain sinetron Indonesia yang 'shooting' di Malaysia ini sangat biadab! Jupe nama manusia ke?" katanya, pagi semalam.

Kenyataan Zed Zaidi itu mendapat maklum balas daripada dua pelakon tempatan iaitu Fauziah Nawi dan Noorkhiriah.

Fauziah menulis, "memang kita asyik sanjung dia orang sekarang pada muka 'Malaysian'. 'Nothing great about their sinetron'. Tepuk dada tanya selera."

Noorkhiriah pula menulis, "ajak ramai lagi 'shooting' si sini... lepas itu apa jadi... tolonglah ambil tindakan... dah lah bayar mahal. Kita ini melukut tepi gantang nak bayaran tinggi."

Julia juga tidak terlepas membalas kenyataan Zed Zaidi itu dengan nada berang.

"Woi! Kau yang biadab!" katanya.

Dalam pada itu, Zed Zaidi menyentuh soal kemasukan Julia berlakon di Malaysia bakal disiasat sama ada secara sah atau tidak.

Beliau juga mempersoalkan tatu kalimah al-Quran di badan Julia.

Kenyataan Zed Zaidi nyata disedari Julia yang membalas kenyataannya.

"Kamu sangat jahat! Ingat banyak artis Malaysia juga di Indonesia," balasnya.

Julia nyata tidak berpuas hati dengan kenyataan Zed Zaidi yang dikeluarkan jam 10.37 pagi semalam itu.

Jam 12.18 tengah hari semalam, Jupe mengeluarkan kenyataan balas yang mengait-ngaitkan isu penghinaan ke atas bekas Presiden Indonseia, BJ Habibie.

"Gara-gara bilang sinetron malay kurang bagus ane di haram-haram ke Malaysia. OK, semua politikus Malaysia harus keluar dari Indonesia kerana menghina BJ Habibie! Puas pas (Gara-gara kata drama Malaysia kurang bagus, saya diharam-haramkan ke Malaysia. Okey semua ahli politik Malaysia harus keluar dari Indonesia kerana menghina BJ Habibie," katanya.

Pelakon Indonesia yang sinonim dengan jolokan seksi itu sering dipalit kontroversi baik di Indonesia mahupun di Malaysia.

Perwakilan guna dakwat kekal

Posted: 14 Dec 2012 03:51 PM PST

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Perwakilan guna dakwat kekal
Kon Yeow (dua, kiri) menunjukkan plan berhubung persiapan Kongres Kebangsaan DAP di Pisa kepada Guan Eng (tiga, kiri) semalam.
 
BAYAN BARU - Dakwat kekal akan digunakan dalam pengundian 20 jawatankuasa tertinggi DAP yang bermula hari ini dalam Kongres Kebangsaan DAP hari ini.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, teknik pengundian itu adalah isyarat simbolik dalam menyiapkan anggota parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Kita mahu menunjukkan bahawa tindakan itu (mengundi menggunakan dakwat kekal) boleh dilakukan di dalam sistem mengundi.

"Ini juga sebagai isyarat simbolik untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Seperti yang diwartakan pada 13 Februari lalu, dakwat kekal akan digunakan pada pilihan raya umum akan datang iaitu pengundi akan menggunakan dakwat kekal pada jari telunjuk kiri mereka di pusat mengundi kelak," katanya ketika mengiringi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melawat persiapan kongres di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Pisa), semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kongres Kebangsaan DAP, Teresa Kok, Adun Komtar, Ng Wei Aik dan Setiausaha Publisiti, Tony Pua dan Liew Chin Tong (Bukit Bendera).

Kon Yeow berkata, dengan pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah untuk kongres itu, pihaknya merasakan amat bertuah apabila diberi peluang untuk menganjurkan dan mengambil bahagian dalam program sebesar itu.

"Ini adalah kali pertama dalam sejarah parti (DAP), selama 46 tahun, parti telah memilih Pulau Pinang untuk penganjuran majlis sebesar ini.

"Dijangkakan, kira-kira 2,000 delegasi serta beratus-ratus pemerhati, kakitangan media dan tetamu khas akan hadir," katanya.

Menurutnya, ramai telah menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan dan ramai telah direkrut untuk memastikan bahawa segala-galanya berjalan lancar semasa program pembukaan iaitu pendaftaran perwakilan pada jam 8 pagi, hari ini dan berakhir pada Ahad, kira-kira jam 1 petang.

"Seramai 2,576 perwakilan dari 730 bahagian telah dijemput untuk mengundi bagi jawatankuasa eksekutif baru pusat, iaitu 66 calon akan bersaing untuk 20 jawatan. Jemputan juga terdiri daripada kira-kira 700 pemerhati dan 50 tetamu istimewa dari Pakatan Rakyat (PR) dan wakil-wakil kedutaan," katanya.

Bualan panjang tanda ibu pergi, mangsa nahas 27 Nov meninggal dunia

Posted: 14 Dec 2012 03:50 PM PST

Wartawan Sinar Harian

Bualan panjang tanda ibu pergi, mangsa nahas 27 Nov meninggal dunia
Mayat mendiang Goik Hong selamat tiba ke rumahnya di Kampung Bagan Selatan lebih kurang jam 5 petang, kelmarin.
 
Boo Goik Hong
Boo Goik Hong
 
TANJUNG PIANDANG - Seorang lagi mangsa kemalangan di Slim River, 27 November lalu meninggal dunia pada malam 11 Disember lepas setelah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang, Selangor, menjadikan keseluruhannya enam mangsa korban.

Mangsa, Boo Goik Hong, 55, dari Kampung Bagan Selatan, di sini meninggal dunia jam 11.45 malam setelah dipindahkan ke wad biasa akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Anak mangsa yang hanya dikenali Ah Heng berkata, ibunya dipindahkan ke Hospital Serdang dari Hospital Slim River dan berada di sisi ayahnya di sepanjang hari.

Menurutnya, ketika itu ibunya berada dalam keadaan sedar dan mampu bercakap dengan ayahnya sebelum ditinggalkan bersendirian sekitar jam 8 malam pada hari kejadian kerana ayahnya pulang ke rumah.

"Ibu mengalami muntah darah secara tiba-tiba sejam selepas itu dan meninggal dunia lebih kurang jam 11.45 malam setelah doktor gagal menyelamatkan keadaan," katanya.
Mayat mendiang Goik Hong tiba di rumah keluarga malam kelmarin dan akan dikebumikan di tanah perkuburan bukan Islam di Bukit Mertajam, esok.

Ah Heng berkata, bapanya hanya mengetahui berita kematian itu sehari selepas hari kejadian dan terkilan kerana tidak menyangka tindakannya pulang ke rumah untuk berehat menyebabkan tidak berpeluang berada di sisi isterinya.

"Ayah amat sedih sehingga kini dan pernah memberitahu kami bahawa perbualan terakhir di antara ibu dengannya merupakan perbualan paling panjang.

"Sepanjang hidup, mendiang ibu merupakan seorang insan penyayang dan sangat disenangi ahli keluarga," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan 12 tahun antara lima maut dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori 12 tan di Kilometer 372.1 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan.

Kenderaan MPV jenis Hyundai Strex itu membawa 11 penumpang terdiri daripada pemuzik dan penari untuk ke Muar, Johor bagi membuat persembahan di sana.

Mangsa yang maut adalah Poh Hock Huat, 61, dari Transkrian, Nibong Tebal; Pang Lee Si, 35, dari Taman Serdang, Serdang, Kedah; Daphne Eng Yuik Yee, 14, Bagan Selatan, Tanjung Piandang; Juvien Chim Yu Xuan, 12 dan Hong Choon Pee, 33, dari Prai, Pulau Pinang.

Tiada ulasan: