Ahad, 23 Disember 2012

.

.


Belajarlah Sesuatu Dari Ng Suee Lim

Posted: 23 Dec 2012 01:55 AM PST

PERIBADI YB                                                                                    

Saya tidak mengenali secara mendalam mengenai dirinya dan siapa dia. Sering juga saya konfius apakah dia wakil rakyat atau tidak, dan selalu juga bertukar apakah dia orang PKR ataupun DAP. Yang  saya tahu dia seorang yang mudah mesra dengan sesiapa saja. Wajah familiar dalam program-program besar Pakatan Rakyat.

Papan iklan Ng Swee Lim, ringkas dan tidak menunjukkan lagak.
Bila ada demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur dia sering muncul. Dan selalu pula terserempak dengan saya dan pernah berjalan seiringan bersama demostran Melayu lain sama-sama melaungkan slogan mengubar semangat untuk menjatuhkan UBN. Kadang-kadang berlari sama-sama dari curahan water cannon oleh 'polis cis.' Dia tidak kekok berada dalam kelompok Melayu.

Sehinggalah semalam, baru saya mengenali lebih dekat sosok ini. Mengenali mengenai perjuangan dan kerajinannya dalam perjuangan. Dia yang saya maksudkan oleh Ng Swee Lim, 43 Adun Sekinchan Selangor. Ng begitulah panggil rakan-rakannya, dia merupakan wakil rakyat DAP kawasan Sekinchan. Memenangi kawasan itu dua penggal -  2004 dan 2008.


Menterjemahkan diri Ng dia seorang yang ringkas dan selamba saja. Kalau dia tidak menghulurkan kad namanya atau diberi tahu, orang tidak percaya bahawa dia wakil rakyat. Watak dan cara berbual seperti orang biasa, tidak ada belang dan rupa sebagai wakil rakyat. Wakil rakyat selalunya akan cuba seberapa boleh menunjukkan dirinya adalah wakil rakyat baik menerusi pakaian, gaya bercakap dan juga muncul di khalayak.

Begitu juga melihat kepada iklan-iklannya yang terpacak di sekitar pekan Sekinchan orang tidak menyangka dia wakil rakyat, tetapi akan menganggap dia adalah seorang petani muda yang sedang mempromosikan sawah padi di Sekinchan. Begitulah ringkasnya cara hidup Ng selaku wakil rakyat.

Semalam saya duduk semeja dan berdepan dengan Ng di sebuah meja makan di restoran eksotik di Sekinchan Selangor. Pertemuan itu tidak dirancang ia kebetulan saja. Saya diajak oleh bekas MP Jeli Apandi Mohamad untuk makan tengah hari. Dia bertanya saya, nak makan ikan tawar dengan budu atau makanan eksotik. Tentulah jawab saya masakan eksotik. Tanpa memberi tahu saya Apandi memandu menuju ke Sekinchan.

Sampai di Selayang Apandi menelefon seseorang. "YB.. apa khabar, ini sayalah Apandi Jeli.. bersama MSO, nak ke Sekinchan, dia nak makan rusa, la...," begitulah kata Apandi menjual murah nama saya menyebabkan saya terkejut. Kenapa harus jual nama saya? Saya tidak tahu YB mana dimaksudkan itu. Saya hanya dengar perbualan secara pandir saja walaupun di dalam hati terasa seronok.

Mendengar cara mereka berkomunikasi seakan ada masalah. Semacam YB itu tidak sempat kerana kesibukan tugas berjumpa rakyat. "Ok...ok... nanti saya sampai saya call balik,YB... terima kasih," Apandi mengakhir percakapan. Lepas itu baru saya tahu dengan siapa dia bercakap, rupa-rupanya YB Ng Swee Lim. Ketika itu juga wajah dan sosok Ng terbayang dalam mata saya. Saya cukup arif wajahnya kerana kerajinan dia turun ke KL bila ada acara demonstrasi.

Perjalanan untuk sampai ke Sekinchan menghadapi sedikit masalah, jalan jam. Ng menelefon bertanya kami sudah sampai di mana. Dia sudah sedia menanti di sebuah stesen minyak berhampiran dengan jarit (jalan) untuk menuju ke restoran dimaksudkan. Ruapnya dia membatalkan acaranya untuk berjumpa rakyat semata-mata menanti kedatangan kami. Apandi juga kenal rapat dengan Ng dan pernah membawa Ng berceramah di kawasannya di Jeli.

Menurut Apandi pendengar Melayu seronok mengikut ceramah Ng kerana beliau pandai bergurau dan tentulah juga kerana sesekali beliau menyelitkan perkataan Jawa yang mana orang Melayu sendiri tidak berapa memahaminya. Ada cerita kenapa Ng fasih berbahasa Jawa. Nanti saya ceritakan kemudian.

Ng ketika melayani kami makan di restoran eksotik.
Sebaik sampai di restoran dimaksudkan, masakan sudah terhidang; wah memang eksotik sungguh. Ada landak goreng, ayam hutan goreng, rusa gulai lemak, ikan baung, ikan puyu, burung wak-wak dan segala macam ulam-ulaman. Tidak sampai lima minit duduk kami menjamu selera. "MSO datang ke kawasan saya, saya kena jaga...," gurau Ng penuh mesra sambil mengakui dia adalah pengikut tegar blog saya. Sambil makan sambil berbual dan di sinilah mendedahkan maklumat kepada saya siapa dia Ng sebenarnya.

Saya teruja dengan YB bertubuh gempal dan dengan ketinggian sedarhana ini. Rupanya dia wakil rakyat DAP yang telah melalui berbagai rintangan sebelum berjaya di tempatnya kini. Ng bukan seorang hebat mana dari segi profesyennya. Dia bukan peguam, guru sekolah atau doktor. Ng hanya seorang rakyat cina berbahasa Cina biasa saja di Selangor. Kehidupan masa kecilnya agak tragis kerana terpaksa menjadi pembungkus air di kedai seorang Jawa untuk hidup.

"Saya orang susah, dan duduk pula dalam masyarakat Jawa di Kapar. Jadi untuk tambah pendapatan keluarga terpaksa membantu seorang pakcik Jawa menjual air. Kerja saya bungkus air saja," ceritanya sambil tidak habis-habis menyuruh saya merasai segala makanan dalam hidangan.

Biasalah keadaan itu beliau diejek dan dihina ataupun dipersendakan, maklumlah anak Cina menjadi pembantu orang Jawa. Namun beliau tidak menghiraukan segala macam penghinaan itu. Bahkan kata dia anggap sebagai cabaran buatnya. Ternyata apa yang berlaku itu ada hikmahnya, dari kerja dan pergaulan serta mengenali budaya orang Jawa itulah menyebabkan dia fasih berbahasa Jawa dan bermanfaat pula untuk kerjayanya hari ini.

Hari ini kalau Ng memasuki ke kampung Jawa dia tidak berbahasa Melayu sebaliknya berbahasa Jawa. Katanya bahasa Jawanya pula sangat baik. 

Ng pertama kali bertanding di kerusi Sekinchan atas tikit DAP pada tahun 1998. Percubaan pertama beliau itu tidak membuahkan hasil. Dia kalah ditangan calon MCA dengan majoriti besar juga. Namun itu tidak menghalang cita-citanya dan menawarkan semangat untuk terus menjadi pemimpin kecil. Mungkin Ng menyedari untuk mencapai cita-citanya menjadi pemimpin, membangunkan masa depannya satu-satu jalan ialah menjadi pemimpin - wakil rakyat. Disebabkan dia sedar beliau tidak mempunyai latar belakang pendidikan profesional, maka dia harus menguasi dari aspek lain.

Tahun 2004 dia mencuba nasib sekali lagi. Percubaan kedua ini berjaya. Ng mengalahkan calon MCA dengan majoriti 344.  Kejayaan Ng tahun 2004 ini menyebabkan namanya mula terukir dan menjadi sebutan. Paling mengejutkan beliau boleh menang dalam keadaan UBN ketika itu kuat. PIlihan raya 2004 hanya dua orang saja calon DAP menang antara beliau.

Mencerita macam mana beliau boleh bangkit tahun 2004 ia resipi yang sangat menarik. Ng mempelajar dan membuat postmortem dari kekalahan itu. Beliau sedar beliau kalah kerana orang Cina tidak mengundi beliau. MCA ada 7,000 ahli di Sekinchan sedangkan partinya tidak mempunyai ramai ahli. Dia juga faham bahawa orang Melayu tidak mudah menyokongnya. Jadi jalan terbaik beliau perlu memberi kesedaran kepada orang Cina.

Orang Cina yang terpengaruh dengan momokan dan propaganda Umno yang memburukkan kerajaan Kelantan agak skeptikal dengannya. Ini mendatangkan masalah buatnya kerana DAP berbaik dengan PAS. Kerajaan PAS Kelantan diberi gambaran buruk. Diceritakan MB Nik Abdul Aziz  hidupnya mewah dan kaya raya. Sedikit sebanyak cerita keburukan Kelantan dan Nik Aziz itu mempengaruhi masyarakat Cina di Sekinchan dan menolak DAP.

Apa yang dilakukan?  Beliau harus memberi maklumat tepat kepada orang Cina. Jalan yang diambil ialah dengan membawa orang Cina melawat Kelantan dan berjumpa dengan Nik Aziz. Dari perjumpaan itu akhirnya memberi maklumat sebenar kepada orang Cina di Sekinchan mengenai kerajaan Kelantan dan gaya hidup Nik Aziz. Mereka mengetahui kehidupan Nik Aziz sebenarnya dan bukan seperti mana yang ditokok tambah oleh Umno dan juga MCA.

Ng dan Apandi dan lain bergambar di tepi sawah.
Ternyata menurut Ng usahanya itu berjaya. Akhirnya masyarakat Cina tahu dan melihat sendiri apa yang dihumbankan kepadanya. Setelah masyarakat Cina tahu akan masalah di Kelantan dan kezuhudan Nik Aziz itu akhirnya menyebabkan orang Cina berubah angin kemudian menyokongnya. Hasilnya dalam pilihan 2008 Ng sekali lagi berjaya mengekalkan kerusi Sekinchan dengan majoriti 190, di mana beliau merupakan wakil rakyat DAP yang mendapat undi paling kecil.

Itu antara strategi yang diaturkan Ng untuk memastikan orang Cina menyokongnya. Selain itu beliau juga tidak pernah meninggalkan kawasan. Katanya semasa dia kalah tahun 1998, beliau tidak tinggal Sekinchan. Walaupun dengan tenaga kewangan kurang namun senantiasa mendekati rakyat dan sesekali mengadakan majlis makan malam dan himpunan kecil.

Bagaimana dengan pilihan raya akan datang? Ng yakin sokongan semakin padu. Kali ini katanya dia ada sedikit kelebihan berbanding dulu kerana DAP bersama PKR dan PAS kini menerajui Selangor. "Dulu kita bersalam tangan kosong dengan rakyat dan setakat melemparkan senyuman tetapi hari ini adalah sikit peruntukan kerana kita sudah jadi kerajaan," balas Ng sambil tersenyum dan membuat kelakar.

Menceritakan pengalaman awalnya untuk mengembangkan DAP di Sekinchan sesuatu yang memeritkan. "Kalau tidak tahan kita akan mengaku kalah, bang. Saya masih ingat ketika saya mengembangkan DAP bersama Pakatan Rakyat, orang Cina mengejek dan menghina saya. Bila saya nak jual tikit untuk adakan dinner, mereka hina, sambil kata tak payah juallah, tak laku..." cerita Ng. Tetapi kita kuatkan semangat juga melawan ejekan mereka.  Namun keadaan itu kini berlainan katanya, kalau dulu nak jual tikit RM25 orang tidak nak, tetapi tikit berharga RM50 pun orang sudah berebut," ujarnya.

Apa yang dapat disimpulkan dengan kejayaan Ng sebagai wakil rakyat ialah kerana kegigihan dan kerajinan beliau mendekati rakyat. Dia tidak mudah berputus asa dan mudah meninggalkan rakyat walaupun kalah. Kekalahan bukan bererti ketewasan buatnya. Dalam pada itu menurut Ng lagi...apa yang menjadi falsfahnya, mesti baik dengan semua orang tidak kira mereka dari parti mana, kaum apa dan bangsa apa. Falsafah ini saya nampak benar-benar diamalkan oleh Ng yang akhirnya menjadikan dia salah seorang wakil rakyat popular.

Semasa dalam restoran itu, Ng berjalan dan bersalaman dengan semua pelangan yang ada sama ada dia kenal atau tidak. Sikap dan sifat dilakukan itulah menyebabkan dia mudah dikenali oleh sesiapa saja. Dan penilaian saya atas kejayaan Ng juga ialah kerana dia adalah benar-benar menjadi wakil rakyat bukannya Yang Berhormat! [wm.kl.5:12 pm 23/12/12]

PERHATIAN

Posted: 22 Dec 2012 07:15 PM PST

Assamualaikum...

Didoakan semuanya sihat dan selamat. Untuk pengetahuan saya buat sedikit perubahan ke atas blog saya dengan menukar template baru. Harap pembaca senang dengan template ini.

Sehubungan itu saya juga bersetuju untuk membuka ruang komen seluasnya. Tindakan ini mungkin ada risko tetapi demi memenuhi permintaan para penjengok yang bermasalah untuk membuat komen kerana gagal memenuhi syarat-syarat tertentu yang diminta untuk membuat pengeposan komen.

Bagaimana pun diingatkan semua komen-komen perlu beradab, bertanggungjawab dan TIDAK dibenar sama sekali memberi komen yang tidak relevan atau pun menyebabkan anda diambil tindakan.


Hendaknya para penjenguk memberi kerjasama sepenuhnya demi melihat blog ini dapat berfungsi seperti dihasratkan. Salam Mso. [wm.kl. 23/12/12]

Pas Perlu Istiqamah Dengan Formula Asal

Posted: 22 Dec 2012 06:53 PM PST

KOREK AHAD                                                                                                        

Beberapa hari lalu presiden Pas Abdul Hadi Awang bersama timbalan Mursyidul Am Pas khabanrya telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pertemuan itu berlaku di Kota Bharu dan ia agak sulit. Pertemuan ini tidak terhidu oleh media massa PB, dan hanya kalangan tertentu saja menyedari akan pertemuan itu.  

Mungkin media melihat pertemuan itu biasa saja, rutin bila mana presiden mengunjungi Nik Aziz sebagai Mursyidul Am Pas dan juga menteri besar Kelantan. Namun apa jelasnya kunjungan itu bukan setakat itu saja. Mungkin ia adalah satu kunjungan mustahak, kerana kebiasaannya kalau ketiga sosok ini bertemu adalah perkara penting. 

Pimpinan-pimpinan lain seperti timbalan presiden, dan naib-naib presiden tidak sesuai ataupun padan kalau mereka hendak menyampaikan sesuatu yang besar kepada Nik Aziz? Muhamad Sabu, Sallahuddin Ayub, Mahfuz Omar atau Husam Musa sendiri tidak akan tergamak atau berani untuk mengemukakan apa-apa idea yang berat untuk Pas.


Mereka sangat malu atau serba salah untuk mengemukakan apa-apa pandangan kepada Nik Aziz apa lagi kalau perkara itu sudah dijelas beberapa kali. Nik Aziz seorang yang tegas dengan pendiriannya dan tidak mudah untuk diubah.

Lantas itu, selalunya Abdul Hadi dan Haron Din lah yang selalu menjadi duta menyampaikan apa-apa yang dianggap penting khususnya berhubung hala tuju parti. walaupun dari segi usia mereka lebih muda dari Nik Aziz tetapi kedudukan mereka dalam hierarki parti adalah bertepatan. 

Jadi apakah mauduk pertemuan mereka bertiga tempoh hari? Apakah ia mengenai formula baru yang akan dilaksanakan? Atau pun apa? Inilah yang cuba diteka rahsianya dan dicari jawabannya? Mungkin ia adalah hal peribadi Pas. Tetapi kerana Pas itu sebuah parti politik besar, hal-hal peribadi begitu juga perlu diktehui bagi mengelakkan timbul kekeliruan di peringkatan bawahan.

Tidak dapat dielakkan pertemuan itu menimbulkan spekulasi. Spekulasi paling kuat diitmbulkan kononnya pertemuan itu mengenai senarai pilihan raya umum ke -13. Kononnya Abdul Hadi dan Haron Din datang untuk meminta pengesahan (tanda tangan) dari Nik Aziz terhadap senarai calon yang disediakan.

Apakah ini menjadi amalan Pas ke belakangan ini, bahawa Mursyidul Am Pas akan menanda tangani senarai nama-nama calon yang dipersetujui. Bukankah Pas telah ada jawatankuasa khas mengenai pemilihan calon. Tidakkah apabila jawatankuasa itu sudah sahkan, maka ia secara automatik nama-nama calon itu diterima?

Saya tidak fikir kalau kedatangan mereka itu tujuan utamanya untuk hendak mendapat restui nama-nama calon itu. Ataupun kalau itu dibawa atau dikemukakan ia hanya sampingan saja. Rasanya ada mauduk lagi yang lebih besar dari itu. Apakah gerangannya?

Dari maklumat satu sumber Nik Aziz katanya kurang senang dengan kehadiran Abdul Hadi bersama Dr Haron Din itu. Katanya, Nik Aziz selepas bersurai dari pertemuan itu tidak melepaskan senyuman seperti biasa. Menjadi kebiasaan Nik Aziz kalau sesuatu pertemuan itu menyenangkan beliau akan melemparkan senyuman. Serba sedikit saya memahami akan mantik Nik Aziz.

Sedikit sebanyak saya dapat mengagak apakah tujuan dan matlamat pertemuan itu. Biarlah saya rahsiakan dulu buat sementara. Tetapi apa yang hendak diperingkatkan di sini Pas perlu istiqamah dengan pendirian dan pandangannya selama ini. Pas jangan ubah pendirian dalam menyokong Pakatan Rakyat apa lagi terikut dengan perkembangan-perkembangan terbaru yang sengaja direkakan oleh golongan tertentu yang niatnya hendak memecah belahkan Pas.

Apa yang penting kini baik Pas, PKR atau DAP ialah menghadapi pilihan raya secara bersepadu bagi memastikan UBN tumbang. Unsur-unsur baru yang cuba disebarkan atau menjadi propagnda UBN jangan dipedulikan. Kalau Pas menerima semua itu ia merbahaya kepada Pakatan rakyat seluruhnya. 

Apa yang dipersetiakan, dijanjikan selama ini hendaklah diteruskan. Jangan mengubah haluan dan nekad nanti yang dikejar tidak dapat yang dikendur pula keciciran. [wm.kl.10:52 am 23/12/12]

Tiada ulasan: