PAS meramalkan Pakatan Rakyat mampu merampas tidak kurang daripada tujuh kerusi Parlimen di Johor dalam pilihan raya umum akan datang, berdasarkan dakwaan peralihan sokongan pengundi muda, kumpulan kelas pertengahan dan perubahan sokongan pengundi Cina di negeri itu.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Zuhdi Marzuki mendakwa penemuan tersebut "hampir selari" dengan penemuan kajian Majlis Profesor Negara (MPN) yang menyatakan sembilan kerusi parlimen di Johor dikategorikan sebagai kawasan hitam bagi BN.

youth leaders wacana ekonomi 120611 mohd zuhdi marzuki.JPG"Sepertimana yang disebut oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh sebuah kumpulan kajian politik dari sebuah universiti awam, sokongan pengundi Melayu di Johor meningkat antara tiga hingga lima peratus.

"Berdasarkan analisis PPP pula, sokongan pengundi Melayu di Johor meningkat dua hingga tiga peratus, yang kebanyakannya pengundi muda dan golongan kelas pertengahan.

"Peningkatan sokongan pengundi Melayu ini, ditambah pula dengan perubahan besar sokongan pengundi Cina, akan menjana peralihan undi yang amat signifikan, sehingga dijangka tidak kurang tujuh lagi kerusi Parlimen boleh jatuh kepada Pakatan di samping kerusi Pakatan yang sedia ada," katanya.

Dalam kenyataannya semalam, Dr Zuhdi mendakwa berdasarkan analisis pusat itu, sokongan akar umbi BN di 13 kerusi parlimen di Johor berada bawah 50 peratus iaitu di Segamat, Labis, Ledang, Bakri, Muar, Batu Pahat, Kluang, Gelang Patah, Tebrau, Pasir Gudang, Johor Baharu, Pulai dan Kulai.