Jumaat, 9 November 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Si Tanggang Moden Kejar Mak Dengan Parang Dipenjara

Posted: 09 Nov 2012 01:01 AM PST

Kuala Terengganu – Tindakan biadab seorang anak yang bertindak mengejar ibunya sendiri dengan sebilah pisau mendapat pembalasan apabila dia dihukum penjara selama 8 bulan dan denda sebanyak RM3,000, semalam.

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, Muhamad Sofian A Aziz, 29, bakal berdepan dengan tambahan penjara selama tiga bulan lagi.

Keputusan itu dibuat selepas Majistret Rozianti Mohamed menerima pengakuan bersalah tertuduh yang juga pencari barang terbuang itu.

Muhamad Sofian yang tinggal di Kampung Gong Tok Nasek dituduh melakukan ugutan jenayah dengan mengejar ibunya, Siti Fatimah Seman Ahmad, 57, dengan menggunakan pisau.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 November lalu, jam 9 pagi di Kampung Gong Tok Nasek dengan niat menyebabkan rasa cemas terhadap ibunya, seorang penenun songket.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainuddin Abd Ghani.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, hanya disebabkan permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang dipercayai untuk membeli dadah tidak dipenuhi, seorang anak sanggup mengejar ibunya dengan menggunakan sebilah pisau.

Tidak cukup dengan itu, suspek juga bertindak ganas merosakkan beberapa peralatan yang ada di rumah mereka, termasuk peralatan menenun songket milik mangsa yang digunakan untuk mencari rezeki.

Kejadian pada jam 9 pagi di Kampung Gong Tok Nasek itu berlaku apabila mangsa enggan memberikan wang sebagaimana dikehendaki suspek, sebelum lelaki itu naik hantu dan mengamuk sebelum mengejar ibunya dengan pisau.

Menurut sumber, mangsa yang ketakutan melihat perlakuan agresif suspek segera keluar dari rumah kerana bimbang diapa-apakan.

"Bagaimanapun, tindakan kurang ajar suspek disedari seorang ahli keluarga yang kemudian menghubungi polis.

"Susulan laporan dibuat, polis menahan suspek di rumah keluarganya beberapa jam selepas kejadian. Suspek dilaporkan selalu meminta RM50 setiap hari daripada ibunya," katanya. -SH

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Tetap Sifatkan Nazri Sebagai Liabiliti Kepada BN

Posted: 09 Nov 2012 12:36 AM PST


JMM: 'Nazri perlu terima teguran kita, bukan cabar'

SHAH ALAM - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) tetap dengan pendiriannya menyatakan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai "liabiliti" kepada Barisan Nasional (BN) meskipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri menolak tanggapan sedemikian.

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya tetap dengan pendirian itu berdasarkan maklumat diperolehi daripada rakyat.

Sehubungan itu, Azwanddin menegaskan, reaksi Nazri kelmarin menunjukkan beliau angkuh dan hanya mengutamakan kepentingan peribadi, bukannya parti.

Tambahnya, "sepatutnya Nazri bertindak mengeluarkan kenyataan yang lebih matang, bukan mencabar saya bertanding di tempatnya."

"Kita tegur daripada pemerhatian dan kita dengar orang yang bercakap di belakang, kita tak ada niat untuk burukkan beliau, kita nak membantu parti itu.

"Tapi bila kenyataannya keluar hari ini (kelmarin), saya tengok beliau begitu angkuh dan sepatutnya beliau kena keluarkan kenyataan yang lebih matang dan menerima teguran kita sebagai wakil kepada rakyat.

"Kita tetap pendirian katakan beliau memang liabiliti BN dari segi isu rasuah," katanya kepada Sinar Harian Online.

Dalam reaksinya kelmarin, Nazri berkata, "saya aset (kepada parti), bukan liabiliti.

" "Saya rasa saya aset kepada BN, kalau tak, takkan mereka (pembangkang dan Azwanddin) nak serang saya.

"Yang buat serangan pula adalah Pengarah Strategi PKR.

Jelas itu strategi dari PR dan bimbang dengan kedudukan saya. Tapi kita tengok nanti sama ada saya ni aset atau liabiliti kepada BN," katanya.

Mengulas lanjut, Azwanddin berkata, Nazri seharusnya menerima pandangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi teguran demi kepentingan parti dan bukan mengeluarkan kenyataan mengikut emosi.

Beliau berkata, NGO hanya bertindak sebagai pemerhati bebas dan memberi teguran tanpa mempunyai agenda untuk memburukkan sesiapa terutama pemimpin-pemimpin negara.

"Kita bercakap untuk kebaikan BN, tapi beliau keluarkan kenyataan untuk kepentingan peribadi.

"Beliau sepatutnya terima pandangan kita, dan menjawab dengan baik untuk kebaikan bersama dan beliau memang bebas untuk bercakap," katanya sambil menambah, kekesalan terhadap kenyataan Nazri yang disifatkan sebagai "keanak-anakan." -SH

[VIDEO] Serbuan Ke Malaysiakini. Bermulanya Operasi Lalang II?

Posted: 08 Nov 2012 09:53 PM PST


Kenyataan Izzah: Polis ambil keterangan Malaysiakini

KUALA LUMPUR - Polis hari ini mengambil keterangan tiga pegawai portal berita pro-pembangkang Malaysiakini berhubung laporan berita berkaitan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar tentang kebebasan beragama.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata ia dilakukan atas perintah Majistret Petaling Jaya dan keterangan diperlukan untuk mengenal pasti penulis artikel itu.

"Setakat ini identiti penulis artikel belum diperolehi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Keterangan petugas Malaysiakini itu diambil di pejabat portal berita berkenaan di Bangsar di sini antara 5.15 petang dan 6.55 petang tadi.

Ia melibatkan sekumpulan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya diketuai Pegawai Penyiasat ASP Nadzri Harun serta unit forensik IPD Cheras.

Menurut Yahaya, tiada sebarang rampasan dilakukan.

Laporan portal berita pro-pembangkang pada Nov 3 itu memetik Nurul Izzah sebagai berkata, "Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu."

"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama....bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata."

Nurul Izzah dipetik berkata demikian pada forum bertajuk 'Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?' di Subang Jaya.

Pada sidang media di lobi Parlimen semalam, Nurul Izzah memberitahu beliau akan memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor di Shah Alam pagi ini. - Bernama

Polis kunjungi Malaysiakini berhubung surat pembaca


Sepasukan 15 anggota polis datang ke pejabat Malaysiakini berhubung siasatan terhadap surat pembaca berkaitan kenyataan kontroversi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Malaysiakini disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan menuturkan kata-kata dengan niat sengaja melukakan perasaan agama seseorang.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Surat yang disiasat itu ditulis oleh Steve Oh dan diterbitkan di Malaysiakini Isnin lalu dengan tajuk Nurul's watershed idea for the nation.

Pasukan dari ibupejabat polis Subang Jaya itu yang diketuai pegawai penyiasat ASP Nazri Harun iba di pejabat Malaysiakini jam 5.15 petang.

Mereka turut disertai anggota unit forensik dari ibupejabat polis Cheras.

Mereka membawa waran geledah yang dikeluarkan oleh majistret Petaling Jaya di bawah Akta Hasutan dan mengambil masa kira-kira 90 minit merakam kenyataan dari Ketua Editor Malaysiakini, Fathi Aris Omar; Pengarang Berita, Gerald Martinez serta Pengurus Sumber Manusia, A Shamini.

Mereka beredar sekitar jam 6.50 petang tanpa mengambil apa-apa dari pejabat Malaysiakini. Bagaimanapun, mereka akan kembali esok untuk siasatan lanjut.

Ketua Pengarang Kumpulan, Steven Gan menyifatkan kedatangan mereka sebagai "satu lagi kes intimidasi dan gangguan".

"Tiada apa yang dianggap menghasut dalam surat Oh. Kami sedang mendapatkan nasihat peguam kami mengenai perkara itu," katanya.

Malaysiakini diserbu pihak polis pada tahun 2003 dan 19 komputer dirampas, juga kerana sepucuk surat kepada editor yang ditulis oleh seorang pembaca.

Bagaimanapun, tiada pertuduhan difailkan dan kes itu akhirnya ditutup.
-mk





Rakyat Diseru Hadir BANTAH AES Hari Ini Selepas Solat Jumaat

Posted: 08 Nov 2012 05:47 PM PST

BANTAH AES menyeru seluruh rakyat untuk hadir di perhimpunan bagi menyerah memorandum kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha pada hari ini, 9 November selepas solat Jumaat di Masjid Nasriyah, Sitiawan, Perak.

Koordinator Bersama BANTAH AES, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, Himpunan Rakyat BANTAH AES ini mensasarkan fokus untuk mendesak Menteri Pengangkutan untuk mengkaji semula dan mengambil kira beban rakyat sebelum melaksanakan AES.

Katanya, bantahan itu juga akan digerakkan ke seluruh negara bagi memberikan kesedaran rakyat berhubung salahlaku pemberian tender kepada syarikat kroni bagi mengendalikan sistem saman ini .

Malahan ujarnya sistem yang dilaksanakan ini membebankan rakyat.

"Rakyat akan terus bangun dan membantah sistem ini," katanya.

Ujarnya, satu himpunan ke Parlimen akan diadakan lagi bagi menyatakan bantahan itu.

"Kita akan umumkan tarikhnya pada masa terdekat," ujarnya.

Sejak dilaksanakan pada 23 September 2012, dalam masa 8 hari dengan 14 kemera AES sebanyak 63,558 buah saman dikeluarkan.

Sebelum ini Adun Teja, Chang Lih Kang mencabar Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha menafikan dakwaan wujudnya unsur kronisme dalam pemberian tender pemasangan kamera Sistem Kamera Automatik (AES) kepada Beta Tegap Sdn Bhd.

Pada satu sidang media di Lobi Parlimen Chang mendakwa tender pemasangan AES dikuasai kroni Umno.

Menurutnya, Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) yang juga pemegang saham terbesar Beta Tegap Sdn Bhd, Rozana Redzuan mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno Johor.

Katanya, Rozana merupakan anak sulung Tan Sri Redzuan Salim dan Puan Sri Atikah Abdullah, dua tokoh pemimpin Umno di Johor.

Dunia Saksikan Obama Berani Debat, Tetapi Najib Penakut

Posted: 08 Nov 2012 03:29 PM PST


Blajar daripada Pilihan raya Presiden Amerika

Pilihan raya Presiden Amerika 2012 menyaksikan pertembungan sengit antara penyandangnya Barrack Obama dari Parti Demokrat dengan pencabarnya dari parti Republikan, Mitt Romney.

Dunia memberikan tumpuan khusus bagaimana perjalanan pemilihan Amerika Syarikat dan menonton penuh minat proses berkempen dan pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang berlangsung secara penuh demokratik.

Keputusan terkini menunjukkan Barrack Obama mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Amerika Syarikat buat penggal kedua berturut-turut.

Umum mengetahui bahawa Amerika Syarikat memang terkenal sebagai negara yang mengamalkan dasar luar yang keras terhadap negara-negara lain.

Amerika Syarikat memainkan peranan penting dalam menjatuh dan menaikkan pemimpin negara-negara tertentu.

Mereka jugalah yang menentukan dasar negara-negara sasarannya supaya negara-negara tersebut ikut telunjuknya.

Namun sikap angkuh Amerika Syarikat di negara luar tidak pula diterjemahkan dalam negaranya.

Rakyat di negara tersebut masih menikmati kebebasan berpolitik dan demokrasi yang sebenarnya.

Buktinya, dalam pilihan raya Presiden semalam rakyat AS berpeluang menggunakan kuasa mereka menentukan pemimpin nombor satu negara tersebut dengan penuh demokratik.

Sebagai seteru politik, meskipun Obama adalah Presiden Amerika, dalam menghadapi pemilihan presiden, kedua-dua pihak diberikan peluang dan ruang yang sama.

Obama tidak menggunakan jawatannya untuk berkempen dengan menafikan hak kepada lawan politiknya.

Pentas di mana beliau berucap di situ juga Mitt Romney berpeluang berucap.

Mitt Romney bebas mengkritik dasarnya, berdialog malah berdebat dalam ruang terbuka.

Seluruh rakyat menjadi penonton melihat kehebatan kedua-dua tokoh mengemukakan hujah balas.

Media pula tanpa berpihak memberikan liputan sama adil kepada semua penyokong.

Tidak kelihatan media menjalankan propaganda memburukkan mana-mana pihak.

Untungnya Mitt Romney kerana sedikitpun beliau tidak difitnah oleh media dengan pelbagai propaganda yang direka-reka.

Malah, tidak kedengaran juga suruhanjaya pilihanraya AS dicemuh atau dicurigai rakyatnya kerana menimbulkan penipuan dalam senarai daftar pemilih, atau menjalankan sistem pilihan raya yang pincang.


Dalam mendepani pilihan raya umum ke-13 ini, sebaiknya PM belajar daripada proses pilihanraya Amerika Syarikat. Bermuhasabahlah dan bandingkan tahap demokrasi negara ini dengan Amerika Syarikat. Terlalu banyak jurang perbezaannya, sejauh langit dengan bumi dan PM boleh melihatnya sendiri.

Isunya, jika mahu menuruti proses pilihanraya seumpama AS, sanggupkah PM meletakkan jawatannya dan menyerahkan kuasanya kepada kerajaan sementara bagi mengendalikan kerajaan tatkala PRU berlangsung.

Mampukah PM turun berkempen atas nama ketua parti tanpa menggunakan kedudukannya dalam kerajaan dengan menabur janji, projek, habuan, imbuhan mahupun ugutan seperti yang berlaku selama ini?

Sanggupkah PM menggunakan jentera parti sendiri tanpa mengerahkan jabatan kerajaan turun berkempen bagi pihaknya? Adakah PM bersedia memastikan SPR tidak dikongkong atau dipengaruhi sehingga mebimbulkan kecurigaan rakyat bahawa ada tangan-tangan hitam yang mengganggu badan tersebut?

Kuatkah iltizam PM untuk membersihkan daftar pemilih, membuang undi pos, menghalang rakyat asing menjadi penguundi bagi memberi ruang pilihan raya yang benar-benar berwibawa?

Beranikah PM membenarkan media membuat liputan yang adil dan saksama kepada semua parti dan pemimpin tanpa berat sebelah atau fitnah?

Selain itu, tergamakkah PM turun berdebat dengan Ketua Pembangkang di pentas terbuka disaksikan oleh jutaan rakyat dan disiarkan di media utama sebagaimana Obama dan Romney lakukan.

Paling utama, bersediakah PM menerima apa juga keputusan rakyat dalam PRU13 dengan hati terbuka tanpa tindakan kotor meskipun beliau dan partinya akan kalah kepada PR?



Debat dulu, baru cakap soal bertanding kerusi mana

Pemimpin Umno patut mendesak Datuk Seri Najib Razak menyahut cabaran debat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum memandai-mandai menetap kerusi mana bakal ditandingi Ketua Pembangkang itu.

Merujuk cadangan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee untuk meyaksikan Anwar dan Najib bertanding di kawasan sama, Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata sesi debat lebih utama untuk kebaikan rakyat.

"Debat pun takut, takkan Najib sanggup lawan. Jadi saya sarankan Syed Ali supaya cabar Najib debat dulu, baru fikir untuk bertanding di mana-mana.

"Kita masih tunggu Najib terima atau tidak berdebat dengan Anwar. Itu yang rakyat tunggu-tunggu untuk jadikan negara ini melalui proses demokrasi yang sihat.

"Kita tengok sahaja debat antara Obama dengan Romney. Itu yang kita juga mahukan. Ia akan beri harapan baru kepada negara," katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.

Muhammad Nur juga menyifatkan cadangan Syed Ali Alhabshee itu untuk bertanding kerusi Parlimen Pekan pada pilihan raya akan datang, tidak berasas, malah menganggap tindakan itu hanya memalukan Perdana Menteri yang gagal menyahut cabaran debat walaupun surat pelawaan beberapa kali dihantar tetapi tiada jawapan.

Semalam, Syed Ali mendakwa Anwar tidak berani bertanding di Pekan sedangkan sokongan rakyat terhadap Ketua Umum KEADILAN itu semakin hari, semakin bertambah hinggakan Najib Razak sehingga kini tidak berani membubar Parlimen.

"Isu pokok bukan bertanding di mana-mana tapi berani ke Najib nak bertanding dengan Anwar. Kita dahulukan debat, tengok macam mana, rasanya lebih 'afdal' buat apa yang rakyat mahukan," katanya.
-KD

.

Muslihat Nazri Larang Guna Ruang Akhbar Parlimen – Rafizi

Posted: 08 Nov 2012 06:50 AM PST

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa larangan menggunakan ruang sidang akhbar di Parlimen oleh bukan anggota parlimen yang berkuatkuasa serta merta sengaja dibuat untuk menghadkan pergerakannya.

"Saya memang sudah menjangka tindakan seterusnya yang akan diambil oleh Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz adalah dengan menggunakan kuasanya untuk menghalang saya dari membuat sidang media di Parlimen.

"Beliau seharusnya sedar bahawa Parlimen adalah institusi tertinggi milik rakyat di negara ini.

Ia wajar disemarakkan dengan isu rakyat baik di dalam atau luar dewan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tegas beliau, "tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dan pengurusan Parlimen menghadkan akses rakyat biasa untuk ke Parlimen dan bersuara melalui sidang media hanya akan merendahkan martabat dan kedudukan Parlimen.

"Pada fikiran saya, Nazri sekali lagi mengambil tindakan yang berunsurkan "conflict of interest" kerana sidang-sidang media yang akan datang mungkin akan berkisar mengenai beliau.

"Sebelum ini beliau tidak pernah mempunyai apa-apa halangan dengan sidang media yang dibuat di Parlimen," jelas Rafizi.

Malah katanya, ketika isu NFC dibongkarkan dan bekas rakan kabinet beliau Dato' Seri Shahrizat Jalil menjadi topik hangat sidang media, beliau langsung tidak membantah terhadap sidang-sidang media di Parlimen.

"Beliau juga dipetik berkali-kali melalui sidang media di Parlimen turut sama mendesak Shahrizat meletakkan jawatan.

"Hanya apabila beliau yang menjadi bahan sasaran sidang-sidang media kebelakangan ini ekoran persoalan mengenai hubungan beliau dengan Michael Chia, barulah timbul soal hak menggunakan Parlimen untuk sidang media.

"Sebab itu saya terus mengulangi saranan saya supaya Nazri mengambil sikap yang lebih terbuka dan tenang seperti Shahrizat dalam menghadapi persoalan mengenai integriti dan perhubungan beliau dengan ahli perniagaan yang disiasat.

"Keputusan terbaru Parlimen ini sedikit pun tidak merencatkan rancangan PKR untuk menumpukan perhatian kepada kes Nazri. Sidang media akan diteruskan dari semasa ke semasa dan pihak media akan dimaklumkan lebih awal," ujar Rafizi.

Bernama melaporkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mengisytiharkan ruang sidang akhbar di bangunan Parlimen, adalah khas dan eksklusif untuk anggota Parlimen sahaja berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata orang luar yang masuk ke Parlimen dilarang menggunakan fasiliti itu untuk membuat apa sahaja kenyataan atau sidang akhbar walaupun ditemani oleh anggota Parlimen Bebas, Barisan Nasional mahupun pembangkang. -FMT

Pembangkang Bantah Peraturan Halang Bukan MP Adakan Sidang Media Di Parlimen

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan peraturan bagi melarang selain daripada ahli Parlimen mengadakan sidang media di lobi Parlimen mendapat sambutan dingin daripada wakil rakyat pembangkang.

Menurut mereka peraturan berkenaan seolah-olah menyekat hak mereka untuk mengetengahkan isu rakyat kepada pihak media.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, peraturan itu juga dilihat seperti menghalang kebebasan media.

"Apabila kita buat sidang media, sudah pasti ada isu tertentu yang media ingin dengar bukan daripada wakil rakyat sebaliknya orang yang berkenaan.

"(Peraturan) ini adalah satu sekatan yang menghalang kita buat pendedahan.Secara tak langsung ia juga menyekat kebebasan media di mana isu-isu yang sepatutnya boleh di bawa ke Parlimen dan didedahkan kepada media akhirnya tidak dapat disampaikan," katanya di bangunan Parlimen di sini, Khamis.

Beliau mengulas mengenai penguatkuasaan peraturan bagi menghalang selain daripada ahli Parlimen daripada menggunakan kemudahan ruang sidang media yang dikhususkan untuk mereka.

Penguatkuasaan peraturan tersebut berdasarkan Peraturan Mesyuarat 93 dan 94 yang bertujuan melindungi keistimewaan dan hak-hak ahli Parlimen. Berhubung kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa kehadiran kumpulan pelawat ke Parlimen untuk mengadakan sidang media di ruang khas yang mempunyai logo Parlimen sebagai sesuatu yang memalukan, Tian bagaimanapun tidak bersetuju dengannya.

"Logo Parlimen bukan isu, ini adalah sesi Parlimen terakhir, jadi mengapa tiba-tiba perkara ini dibangkitkan?" katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh turut melahirkan pandangan yang sama membantah penguatkuasaan peraturan tersebut.

"Boleh (buat sidang media di luar Parlimen) tapi ketika ini Parlimen sedang bersidang, kami adalah wakil rakyat, kami mewakili suara rakyat... kami bawa isu rakyat," katanya
-mstar

Penyokong UMNO BN Turut Tentang AES

Posted: 08 Nov 2012 03:37 AM PST


Akar umbi Umno menyertai Pakatan dalam melawan AES Tindakan keras kerajaan untuk meneruskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) melahirkan penentangan daripada akar umbi Umno dengan satu blog dan akaun Facebook diwujudkan minggu ini untuk menentang kamera kelajuan tersebut, menandakan kamera kelajuan beralih menjadi lumpur jerlus politik bagi Barisan Nasional (BN).

Pakatan Rakyat (PR) sudah memberikan notis tentang niat mereka untuk mengeksploitasi kontroversi AES dengan pilihan raya yang perlu diadakan beberapa bulan lagi, akar umbi Umno kini beralih menyertai penentangan terhadap apa yang telah dilihat sebagai inisiatif MCA.

aes-malaysia.blogspot.com, sebuah blog yang diwujudkan oleh penyokong Umno tanpa nama minggu ini, menggunakan skrip pembangkang persekutuan dalam posting menyerang kamera AES.

Dalam tulisan terbaru, penulis blog tersebut memasukkan dua gambar – salah satunya jalan raya utama Gambang-Maran di Kuantan yang terdedah kepada kemalangan, dan satu lagi lebuh raya utama ke Putrajaya.

Jalan di Gambang-Maran tidak mempunyai kamera AES dipasang akan tetapi kamera kelajuan itu dipasang di lebuhraya Putrajaya.

"Adakah masuk akal jalan dua lorang sehala di Putrajaya kelajuannya 70KM/J, sedangkan jalan persekutuan yang dua hala dari Gambang ke Maran yang terdedah dengan pelbagai simpang, orang melintas, lembu melintas, diletakkan had laju 90KM/J? Tiada AES.

"Jalan selebar ini di Putrajaya hanya diletakkan had laju 70 KM/J dan diletakkan AES. Berapa orang telah mati di jalan ini?" Kecurigaan meluas bahawa pengenalan AES didorong oleh keuntungan dan bukan keselamatan jalan raya digunakan sebagai kempen PR dan kemarahan orang ramai semakin meningkat.

Beberapa ahli politik BN juga bimbang isu ini akan menjadi bahan kempen besar bagi pembangkang dalam pilihan raya akan datang dan menuntut kerajaan supaya menangguhkan AES.

Pada awal minggu ini, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyertai penentangan terhadap AES.

"Kita perlu mengkaji (AES) .... adalah pelaksanaan yang hanya membawa keuntungan kepada sesetengah pihak? Seolah-olah ia hanya berorientasikan keuntungan. Itu yang sedang dipertikaikan," katanya awal minggu ini.

Dua syarikat yang menerima kontrak untuk melaksanakan sistem penguatkuasaan tersebut – ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap kedua-duanya – akan membelanjakan diantara RM300 juta dan RM400 juta untuk memasang kamera trafik di 831 "lokasi hitam" di seluruh negara.

Kedua-dua Ates dan Beta Tegap berhak menerima RM16 bagi setiap saman sah bagi lima juta pertama dikeluarkan. Mereka kemudiannya akan membahagikan baki hasil sekata dengan kerajaan sehingga masing-masing mendapat sebanyak RM270 juta.

Kedua-dua syarikat akan mendapat 7.5 peratus daripada baki keuntungan dan kerajaan akan menyimpan selebihnya.

PR mengatakan syarikat berkait MCA dan Umno yang mendapat projek ini akan tetapi telah dinafikan.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa penyumberan luar kamera kelajuan dan saman kelajuan diilhamkan semasa pentadbiran Abdullah Badawi dan walaupun bantahan daripada beberapa menteri yang berhujah bahawa penguatkuasaan dan saman harus kekal dalam domain kerajaan, projek itu telah diteruskan oleh Kementerian Pengangkutan.

Projek ini dicadangkan semasa Tan Sri Chan Kong Choy – kini menghadapi perbicaraan di atas tuduhan menipu dalam isu skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) – adalah menteri, tetapi telah dimuktamadkan semasa Datuk Seri Ong Tee Keat pada menerajui kementerian tersebut.

Datuk Seri Kong Cho Ha, kini Menteri Pengangkutan, telah menjadi penyokong paling lantang AES.


Selain aes-blogspot.com, beberapa blog pro-BN lain yang mewakili kepentingan Umno telah mula menentang AES.

Sebuah laman Facebook yang dikenali sebagai Tangguh-AES juga telah diwujudkan bulan ini oleh kumpulan tanpa nama yang menggelarkan diri mereka kumpulan penyokong kerajaan.

Blog aes-malaysia.blogspot.com juga menyediakan pautan kepada berita dari Amerika Syarikat, Britain dan Australia tentang bagaimana kamera kelajuan telah menjadi bahan membuat wang bagi majlis tempatan.

Hujah-hujah dikemukakan oleh penyokong Umno menyerupai PR, menunjukkan kebimbangan bahawa kontroversi AES dapat menyatukan pengundi di belakang pembangkang persekutuan.

"Jika AES dibenarkan untuk diteruskan, akan menjadi sangat sukar bagi kita untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh pembangkang. Ini adalah salah satu isu yang berpotensi menyatukan semua kaum melawan BN," kata seorang pemimpin Umno bahagian dari Perak kepada The Malaysian Insider.

Ketika Kong dan pemimpin lain kerajaan mempertahankan AES diatas nama keselamatan jalan raya, kedua-dua syarikat berkenaan berdiam diri tentang kamera kontroversi tersebut.

Berdasarkan model perniagaan ini, kedua-dua syarikat akan mengumpul RM80 juta bagi setiap lima juta pertama saman yang dikeluarkan oleh setiap syarikat. Ini membolehkan sebanyak RM160 juta dikumpulkan.

Di bawah peringkat kedua perjanjian itu, syarikat akan mendapat sejumlah RM540 juta, menjadikan jumlah diterima kedua-dua syarikat kepada RM700 juta.

Berdasarkan pembahagian keuntungan dengan kerajaan, angka RM540 juta mewakili 3.6 juta saman RM300 setiap satu.

Untuk mencecah RM700 juta keuntungan diatas modal, sejumlah 13.6 juta saman RM300 setiap satu bagi kesalahan memandu laju perlu dikeluarkan melalui kamera AES.

Kedua-dua syarikat akan mempunyai lima tahun untuk mendapatkan 13.6 juta saman titik pulang modal sebelum keseluruhan sistem dikembalikan kepada kerajaan.

Bagi memastikan syarikat mendapat keuntungan daripada perjanjian dengan kerajaan, mereka hampir pasti perlu mengeluarkan lebih daripada 13.6 juta saman setahun.

Semua saman tambahan itu akan menyebabkan kedua-dua syarikat masing-masing menerima potongan 7.5 peratus.

Mengandaikan kedua-dua syarikat telah mensasarkan jumlah keuntungan sebanyak RM100 juta selepas lima tahun, yang akan menjadi 7.5 peratus daripada RM1.4 bilion daripada saman berjumlah RM300 setiap satu.

Ini memerlukan 4.6 juta saman lagi, menjadikan jumlah 18.2 juta saman bagi kesalahan memandu laju dan lain-lain kesalahan serius untuk kedua-dua syarikat mendapatkan RM50 juta setiap satu dalam keuntungan selepas lima tahun.

Menurut anggaran persekutuan dalam Bajet 2013, kerajaan menjangkakan untuk melihat tambahan RM1.02 bilion pendapatan daripada penguatkuasaan AES, tetapi tidak dinyatakan berapa banyak yang akan dibayar kepada kedua-dua syarikat.

Terdapat juga kebimbangan semakin meningkat di kalangan ahli-ahli politik BN yang berkeras AES boleh menyebabkan BN menanggung akibat dalam pilihan raya – perlu dipanggil dalam tempoh enam bulan akan datang.

Minggu lepas, Ahli Parlimen Umno, Datuk Bung Mokhtar Radin menyeberangi jurang politik dan menyokong pakatan pembangkang PR dalam mendesak Putrajaya untuk menggantung menguatkuasakan AES, mengatakan ia boleh digunakan sebagai bahan kempen menentang BN.

Bung Mokhtar, ahli parlimen Umno yang berpengalaman, adalah ahli parti pemerintah paling kanan selepas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan persekutuan untuk menangguhkan penguatkuasaan sistem penguatkuasaan trafik baru itu.

Kedah, Penang, Kelantan dan Selangor – kesemuanya diperintah PR – telah memutuskan untuk menagguhkan kelulusan AES yang mengesan kelajuan dan mengeluarkan saman.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang berpengaruh termasuk badan payung mewakili penjawat awam, Cuepacs, juga telah menentang penguatkuasaan, mengatakan sistem tidak sesuai buat masa ini.

Mereka juga mahu kerajaan mengkaji lokasi di mana AES akan beroperasi.

Tiada ulasan: