Kelab Greenboc |
- Kerajaan Takut Pemerhati Luar Kerana Pilihanraya Kotor - MAFREL
- MURSHID Juga Kata Tak Salah Doa Hancurkan Organisasi
- Doa Kehancuran Dibolehkan Jika Dizalimi - Dr.Asri
- Mahkamah Perintah Blogger Bayar Gantirugi Kepada Husam
- Adam AF2 Berdoa Ditunjukkan Jalan Yang Benar
- [LAGI GAMBAR & VIDEO] Bukti Perhimpunan Hijau Anti-Lynas Aman Bila Tiada Provokasi
- [BERGAMBAR & VIDEO] 20,000 Aktivis Himpunan Hijau Ke Dataran Merdeka (updated)
- Ibu Tergamam Anak Kena Cabul Dengan Polis
Kerajaan Takut Pemerhati Luar Kerana Pilihanraya Kotor - MAFREL Posted: 26 Nov 2012 12:10 AM PST Kerajaan Umno BN tidak perlu takut dengan kehadiran pemerhati antarabangsa dalam pilihan raya umum (PRU) jika yakin sistem pilihan raya di negara bersih, kata Pengerusi Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh. "Kalau kita yakin proses demokrasi kita baik, tak perlu takut dan bimbang untuk benarkan pemerhati luar (memantau PRU). "Dari dulu lagi Mafrel konsisten tentang isu ini. Ia perlu dilihat dengan positif kerana pemerhati luar boleh beri perspektif dan cadangan yang baik. "Jadi, (kerajaan) patut alu-alukan kedatangan mereka. Seolah-olah nak takutkan orang ramai, bahawa 'ini negara kita, orang lain jangan terlibat'," katanya ketika dihubungi. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan kehadiran pemerhati antarabangsa pada PRU ke-13 akan memalukan negara. Najib turut menuduh pemerhati luar sebagai 'campur tangan asing' dan kononnya merosakkan masa depan negara. Menyangkal tuduhan itu, Syed Ibrahim menjelaskan, peranan pemerhati luar semasa pilihan raya di mana-mana negara biasanya berpandukan prosedur dan peraturan yang ditetapkan. "Mereka bukan sewenang-wenangnya buat laporan (untuk burukkan negara). Jadi tak perlulah takut sangat untuk benarkan pihak lain beri pandangan tentang negara kita," kata beliau. Menurutnya, Mafrel akan menjadi pemerhati dalam PRU 13 untuk memantau sebarang cubaan penipuan dan penyelewengan. "Mungkin dalam masa terdekat, kami akan umumkan (penubuhan) gabungan dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk buat pemerhatian yang lebih baik dan meluas," jelasnya. Sejak 2005, Mafrel menjadi pemerhati di beberapa pilihan raya kecil, Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2006, termasuk PRU 2008. Mafrel juga mengambil bahagian sebagai pemerhati antarabangsa di beberapa negara, antaranya Hong Kong, Pakistan, Thailand dan Bangladesh. SPR sendiri jadi pemerhati negara lain – Bersih klik untuk baca |
MURSHID Juga Kata Tak Salah Doa Hancurkan Organisasi Posted: 25 Nov 2012 09:55 PM PST Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid) berpandangan berdoa untuk menghancurkan sesebuah organisasi tidak salah, jika ia membawa kebaikan. Pengerusinya Dr Zaharuddin Abdul Rahman (gambar) berkata, doa yang menjurus kepada organisasi, bukan individu, tidak melanggar adat berdoa. "Sekiranya doa itu dari individu yang dizalimi, maka doa untuk menghancurkan organisasi tertentu (yang bertanggungjawab) dibenarkan. "Doa seperti menunjukkan mangsa meluahkan kekecewaan yang sudah sampai ke puncak akibat sering dizalimi," katanya dipetik Sinar Harian. Bagaimanapun, katanya, lebih baik mendoakan agar individu atau sesebuah organisasi itu mendapat petunjuk, dan ampunkan kesalahan mereka. Isu doa sebelum ini timbul ekoran doa pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Mohamad ke IV sempena Muktamar PAS ke-58 baru-baru ini. Doa yang dibaca Nik Razi Nik Mat semasa mengimamkan solat hajat itu antara lain menyebut 'Hancur BN' dan 'KO BN' pada pilihan raya akan datang. Sementara itu, akhbar berbahasa Melayu itu juga turut memetik pandangan Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa umat Islam boleh memohon doa kehancuran jika merasa diri mereka ditindas dan juga dizalimi. Beliau berkata, secara umumnya sesiapa sahaja boleh memohon doa kehancuran sekiranya merasakan diri dizalimi. "Misal kata ada orang menganiaya atau menzalimi kita, boleh ke kita berdoa kepada mereka? "Jawapannya boleh, tidak timbul isu tidak boleh mendoakan kehancuran sesama Islam," katanya dipetik akhbar itu lagi. Asri berkata, doa memohon kehancuran ini bukan suatu yang baru, malah wujud sejak zaman Rasulullah lagi apabila terjadi kepada para sahabat, tetapi dilakukan secara berkias (berlapik). klik untuk baca |
Doa Kehancuran Dibolehkan Jika Dizalimi - Dr.Asri Posted: 25 Nov 2012 07:11 PM PST Kota Bharu - Umat Islam boleh memohon doa kehancuran jika merasa diri mereka ditindas dan juga dizalimi. Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, secara umumnya sesiapa sahaja boleh memohon doa kehancuran sekiranya merasakan diri dizalimi. "Kita ada beberapa perkara yang perlu dipisahkan, isu politik dan fakta, jangan kerana kerana kita berpolitik, kita menafikan fakta. "Pertama, persoalannya, adakah boleh kita mendoakan orang yang menzalimi kita agar ALLAH SWT mengambil tindakan kepadanya, itu persoalan yang biasa, jangan letak pada Pas atau Umno. "Misal kata ada orang menganiaya atau menzalimi kita, boleh ke kita berdoa kepada mereka? "Jawapannya boleh, tidak timbul isu tidak boleh mendoakan kehancuran sesama Islam," katanya kepada Sinar Harian pada Program Kembara Ilmu Bersama Dr Maza di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam. Beliau berkata demikian ketika mengulas isu doa kehancuran yang dibacakan adik Mursyidul Am Pas, Nik Razi Nik Mat semasa mengimamkan solat hajat sempena muktamar tahunan parti itu minggu lalu. Asri berkata, doa memohon kehancuran ini bukan suatu yang baru, malah wujud sejak zaman Rasulullah lagi apabila terjadi kepada para sahabat, tetapi dilakukan secara berkias (berlapik). Bagaimanapun mengakui kurang bersetuju dengan pendekatan doa tersebut yang dilihat keluar dari kesantunan, Asri berkata, ia sepatutnya mengikut adab- adab berdoa dan mengetepikan rasa amarah. "Kadang-kadang tak nampak macam doa, dari segi adab-adab yang lain seperti terlalu menjerit, nampak macam terkeluar dari kesantunannya, kita boleh berdoa kepada orang yang menzalimi, bukan doa kerana marah perbezaan parti, tetapi doa kerana kezaliman," katanya. Dalam pada itu, mengulas mengenai ulama Umno, Asri berkata, parti itu memerlukan suatu panduan untuk memandu pergerakan dan perjuangannya, dan satu majlis yang terdiri daripada golongan ulama perlu diwujudkan. "Pas sebenarnya antara benda yang meletakkan kepercayaan orang ramai terhadapnya adalah Majlis Syura Ulama yang memandunya dalam banyak perkara," katanya. "Ulama tidak semestinya menjadi pemimpin atau presiden, jadi ahli dewan yang memandu, itu perlu diambil kira supaya Umno juga ada pemandu dari satu majlis yang bukan untuk mempolitikkan agama tetapi membimbingnya supaya semua parti dikawal oleh elemen agama," katanya. klik untuk baca |
Mahkamah Perintah Blogger Bayar Gantirugi Kepada Husam Posted: 25 Nov 2012 05:25 PM PST Kota Bharu: Seorang blogger, Salahuddin Hisham diarah Mahkamah Tinggi di sini membayar gantirugi kepada Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar) berhubung satu artikel yang diangggap memfitnahnya. Tulisan tersebut dimuatkan dalam blog www.anotherbrickinwall.blogspot.com yang bertajuk "Husam: A moral for PAS delegates" diterbitkan pada l Jun 2011, yang mana secara jelas menyebut berita tidak benar dan tak berasas dikaitkan terhadap plaintif. Penghakiman tersebut dikeluarkan setelah blogger terbabit gagal hadir pada perbicaraan kesnya. Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, blogger berkenaan gagal hadir walaupun saman dan tuntutan ke atas beliau telah diserah dengan berbagai cara termasuk melalui iklan dalam suratkhabar harian. Husam dalam tuntutan samannya menuntut gantirugi sebanyak RM5 juta, bagaimanapun mahkamah mengarahkan agar gantirugi ditaksirkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Salahuddin, 52 yang tinggal Taman Setiawangsa merupakan pemilik dan penulis ruangan blog http://anotherbrickinwall.blogspot.com. Dalam blog berkenaan defendan antara lain menulis, "Husam secara terbuka mengkritik pemimpin-pemimpin parti tertentu dan menyalahkan mereka bagi idea UG. Ini tidak berjalan secara baik dengan perwakilan. Apa-apa pun, UG adalah secara halus subjek perbincangan di Muktamar 2008 dan dalam jawatankuasa parti politik. "Akibatnya beliau telah dibiarkan di padang belantara politik. Pada tahun yang sama, calon Kelantan sepenuhnya dihapuskan dalam pemilihan parti." Husam dalam tuntutannya menyifatkan tulisan tersebut tidak benar sama sekali, bertujuan memburuk-burukkan plaintif sebagai pimpinan PAS. |
Adam AF2 Berdoa Ditunjukkan Jalan Yang Benar Posted: 25 Nov 2012 03:29 PM PST Kuala Lumpur – Nama penyanyi lelaki, Mohd Aizam Mat Saman atau dikenali dengan nama Adam seakan-akan senyap seketika dari dunia nyanyian jika di bandingkan sewaktu di awal kemunculannya. Penyanyi yang berasal dari negeri Sabah itu dilihat kurang menonjol di kaca televisyen mahu pun acara anugerah yang dianjurkan industri seni tempatan. Adam yang mengakui kurang menonjol di khalayak ramai kerana sedang menjalani kehidupan secara sederhana. Bagi jejaka yang masih muda itu, dirinya ketika ini sedang mendalami ilmu agama dan ilmu perubatan Islam. Pun begitu, Adam masih lagi menerima undangan untuk melakukan persembahan asalkan waktu untuk dirinya mengabdikan diri kepada Tuhan tidak terganggu. "Apapun saya masih menyanyi. Islam tidak menghalang kita melakukan perkara yang disukai asalkan tidak melanggar perintahnya seperti meninggalkan solat lima waktu," kata Adam yang dipetik dari laporan MyMetro. Bukan itu sahaja, untuk memastikan niatnya untuk berubah sejajar dengan tuntutan Islam, Adam banyak membataskan dirinya dari melakukan perkara yang ditegah dalam Islam. "Saya juga menjaga batas pergaulan dengan peminat perempuan dan tidak lagi bersalaman, tetapi kalau nak bergambar dengan saya tiada masalah. Perubahan ini berlaku secara perlahan-lahan kerana tidak mahu menimbulkan rasa riak," katanya. Walaupun Adam masih lagi mendalami ilmu agama, dia tidak mahu dirinya kelihatan riak dengan ilmu yang didapati. Pun begitu, Adam mempunyai pegangan tentang perangai manusia yang dia tidak gemari kerana kemungkinan sikap itu mampu mempamerkan imej umat Islam yang tidak baik. Justeru, Adam akan sentiasa berdoa agar Tuhan sentiasa membimbing dirinya ke arah dan jalan yang benar. "Saya tak berapa berkenan melihat mereka yang baru memakai kopiah dan bertudung terus menjatuhkan hukum kepada orang lain. Janganlah terlalu drastik kerana setiap orang ada bahagian masing-masing dan yang sebaiknya kita doakan agar dia juga turut berubah. "Dalam solat saya mohon petunjuk daripada Allah dan inilah jawapan yang diberikan kepada saya iaitu memandu arah saya belajar perubatan Islam," luah Adam. -mynewshub |
[LAGI GAMBAR & VIDEO] Bukti Perhimpunan Hijau Anti-Lynas Aman Bila Tiada Provokasi Posted: 25 Nov 2012 07:36 AM PST 20,000 sertai Anti Lynas di Dataran Merdeka KUALA LUMPUR: Himpunan Hijau Anti Lynas mencapai matlamat apabila kumpulan pejalan kaki Stop Lynas berjaya tiba di Dataran Merdeka kira-kira jam lima petang tadi. Hampir 20,000 orang berjaya tiba di hadapan Dataran Merdeka. Mereka duduk di atas jalan raya mendengar ucapan Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack. Wong Tack dalam ucapannya berkata, kumpulan yang berjalan kaki dari Kuantan, Pahang akan duduk di Dataran Merdeka sehingga pagi esok bagi menunjukkan bantahan mereka. "Kita berada di sini kerana sayangkan negara kita. "Kita akan tidur di sini dan kita minta ahli parlimen datang jenguk kita kerana mereka menaiki kenderaan, cuma tiga minit sahaja sedangkan kita sudah jalan jauh," katanya. Perjalanan sejauh 300 kilometer itu bermula sejak 13 November lalu. Mereka tiba di Tol Gombak, jam 3 petang semalam sebelum berarak ke Kolej Universiti Islam Dr. Zulkifli Mohamed ((KUIZM), di Taman Melewar pada jam 4 petang. Ketibaan mereka disambut PAS kawasan Batu dengan Yang DiPertua PAS Batu, Cikgu Ishak Surin yang turut bersama-sama berjlan kaki dari Tol Gombak ke Taman Melewar. Pagi tadi, kumpulan tersebut bergabung dengan kumpulan dari Kuala Lumpur mula berarak dari KUISM ke Sentul Pasar. Mereka seterusnya berarak ke Maju Junction sebelum bergabung dan berarak ke Dataran Merdeka. Cikgu Ishak turut bersama-sama ke Dataran Merdeka bersama kaum Cina, Melayu dan India dari pelbagai peringkat umur. Mereka duduk di Dataran Merdeka kira-kira sejam sebelum sebahagiannya beransur pulang. Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang turut serta ialah Presiden PKR, Datuk Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden, Tian Chua dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh. Tiada kejadian yang tidak diingini sepanjang perarakan. -HD
klik untuk baca |
[BERGAMBAR & VIDEO] 20,000 Aktivis Himpunan Hijau Ke Dataran Merdeka (updated) Posted: 25 Nov 2012 05:14 AM PST Wong Tack: 'Kami akan duduk hingga esok pagi' Pemimpin aktivis Himpunan Hijau Wong Tack bertegas untuk terus berhimpun di hadapan sekatan pihak berkuasa di Dataran Merdeka apabila pihak berkuasa berkeras untuk tidak membenarkan seramai 20,000 orang itu memasuki kawasan tersebut. Dalam ucapannya kepada peserta berkenaan, Wong yang berucap dari atas bumbung sebuah kereta berkata, beliau akan tetap duduk di kawasan berkenaan sehingga esok pagi. Katanya, terpulang kepada orang ramai untuk mahu kekal di Dataran atau tidak. "Ini (himpunan) bukan di atur oleh mana-mana organisasi. Saya disini sebagai orang persendirian. Anda semua pun hadir sebagai individu. "Jadi saya bertanggunggjawab terhadap diri saya dan akan tetap duduk di sini. Dan anda semua boleh buat pilihan sama ada hendak duduk sini atau tidak," kata Wong. Sebahagian daripada peserta berkenaan dilihat meninggalkan kawasan persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman – Jalan Perak itu untuk mencari tempat berteduh apabila hujan kembali turun pada petang ini. Sementara itu, seorang penguasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Nasarudin Daharun berkata, kawasan Dataran Merdeka tidak boleh dimasuki kerana sedang dinaiktaraf. Katanya, Datuk Bandar berhak melarang sesiap daripada memasuki kawasan tersebut mengikut undang-undang kecil yang dikuatkuasa DBKL. "Dataran Merdeka kini dalam ubahsuai. Dan kita tidak akan benarkan Wong Tat masuk. "Dataran Merdeka dibawah DBKL dan Datuk Bandar. Dan di bawah Undang-undang Kecil Dataran Merdeka, Datuk Bandar berhak melarang sesiapa masuk Dataran Merdeka. "Permohonan pun tiada. Jadi kami memang melarang," kata Nasaruddin. -mk LAPORAN SEBELUM INI: Dianggarkan 15,000 aktivis meneruskan perarakan jalan kaki menuju Dataran Merdeka walau pihak berkuasa melakukan sekatan di kawasan tumpuan popular itu. Perarakan hari ini melibatkan jarak terakhir sejauh 42 kilometer daripada kawasan bekas ibu pejabat PAS di Gombak – tempat mereka bermalam pada malam tadi. Ia dimulakan dengan penyertaan seramai 2,000 aktivis, termasuk beberapa keluarga, dikawal anggota unit amal PAS dengan pemerhatian anggota polis. Seorang peserta, BC Tan, 30, dari Pulau Pinang yang menginap di Markaz Tarbiyah PAS, Taman Melewar malam tadi, beliau berasa terharu apabila mereka disambut baik untuk bermalam di sana. "Bagus. Tempat itu semua kemudahan ada. Kita juga Disambut baik. "Saya terharu dapat duduk sana sebab jarang pergi," katanya yang mula mengikuti perarakan ini dari Taman Rimba, Gombak. Kumpulan itu mengibarkan bendera Himpunan Hijau dan melaungkan slogan "Hentikan Lynas" sepanjang perjalanan melalui Lebuhraya DUKE, Kampung Railway dan Sentul Pasar. Antara yang menarik perhatian orang ramai ialah seorang peserta dari Pahang, yang memulai perarakan dari Kampung Awah di Pahang dengan memusingkan gegelung hula hoop di badannya. Katanya, beliau akan berhenti memusingkan ketika berhenti rehat. "Saya tak berhenti dari Kampung Awah. Saya pusingkan benda ini. Bila makan baru saya berhenti," katanya. Ketika berhenti rehat di Kampung Railway, ketua kumpulan berkenaan Wong Tack dalam ucapannya memberi pesanan bahawa Dataran Merdeka bukanlah destinasi mereka yang terakhir. "Kita akan bermalam di sana dan menunggu matahari terbit esok," katanya. Beberapa kumpulan lagi menyertai kumpulan besar itu beberapa lokasi sekitar laluan perarakan - menjadikan jumlah peserta bertambah kepada 5,000 orang. Kumpulan berkenaan seterusnya melalui Jalan Sentul, Jalan Ipoh dan Jalan Tun Razak dengan disambut dengan bunyi hon oleh pengguna kenderaan di jalan berkenaan. Kumpulan seramai 5,000 orang itu kemudiannya dianggarkan bertambah menjadi 10,000 orang apabila bergabung dengan satu kumpulan lagi di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Sultan Ismail di pusat Bandar Kuala Lumpur. Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada 15,000 orang apabila kumpulan berkenaan tiba di persimpangan Jalan Perak - Jalan Tuanku Abdul Rahman pada kira-kira jam 4.50 petang. Kumpulan berkenaan seterusnnya membanjiri sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kawasan sekitar kawasan Dataran Merdeka memandkan lokasi berkenaan ditutup pihak berkuasa. Turut dilihat dalam perarakan itu ialah dua MP PKR Tian Chua serta Nurul Izzah Anwar dan juga pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga. -mk 15,000 aktivis Himpunan Hijau hampiri Dataran |
Ibu Tergamam Anak Kena Cabul Dengan Polis Posted: 25 Nov 2012 01:18 AM PST Georgetown – Seorang ibu tergamam seketika, selepas anak perempuan bongsunya menceritakan dia dicabul jirannya yang merupakan anggota polis di Air Itam, tahun lalu. Gambar: Mohd Aziri cuba menutup mukanya dengan jaket yang dibawanya.Ibu kepada lima orang anak berkata demikian ketika memberikan keterangan dari kandang saksi di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam. Menurut wanita itu, insiden itu diceritakan anaknya pada suatu malam. Iaitu lima hari selepas seorang jiran wanita di situ memaklumkan bahawa melihat anggota polis itu memeluk mangsa dengan begitu erat. "Ketika jiran menceritakan hal itu, pada awalnya saya beranggapan, lelaki itu memeluk anak saya kerana dia seorang penyayang dan suka pada kanak-kanak. "Perkara sebenar terbongkar selepas anaknya sendiri menceritakan tindakan anggota polis itu. "Kira-kira jam 9.30 malam, pada 12 Jun tahun lalu, anak perempuan dan saya berada di rumah. Masa itu, kami mendengar bunyi bising dari luar seperti kemalangan. Kami pergi untuk tengok dan melihat sebuah kereta yang dipandu Koperal Mohd Aziri Sahid," katanya pada hari pertama perbicaraan kes itu dimulakan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam. Menurutnya, selepas itu, dia dan anak perempuannya kembali untuk menonton televisyen. "Kira-kira jam 10.30 malam, saya kata kepada anak sekarang masa untuk tidur. Kami masuk tidur di bilik yang sama. "Masa itulah, anak perempuan saya memberitahu kepada saya bahawa 'pak cik' (Mohd Aziri) memeluk dan mencabulnya. "Saya terkejut dan tergamam selama lima minit memikirkan sesuatu telah berlaku kepada anak saya," katanya. Mohd Aziri yang didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu kesalahan luar tabii dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa, di Lebuhraya Thean Teik, Bandar Baru, di sini, di antara 28 Mei hingga 21 Jun, tahun lalu. Mohd Aziri yang merupakan penjawat awam, kini berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan. Dalam keterangan ibu mangsa, pada 14 Jun tahun lalu, Mohd Aziri datang ke rumahnya dan memegang tangan suaminya dan memohon maaf. "Lelaki itu berkata, dia hanya mendukung anak saya di tangga dan dengan tidak sengaja dia tersentuh tempat sulit anaknya. "Beliau turut memohon maaf dengan saya dan mengatakan sekiranya saya memaafkan dia, saya adalah insan yang paling baik di dunia ini. Dia turut mengambil pistol dan meletakkan di kepalanya menyatakan dia akan mengancam nyawanya sendiri, sekiranya saya membuat laporan polis. "Beliau berkata saya harus bersyukur kepada ALLAH mempunyai seorang anak perempuan cantik," katanya. Sebelum itu, Mohd Aziri dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret dari tuduhan mencabul kehormatan mangsa yang sama. Majistret Noor Aini, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim. Untuk kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mengenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana daripada itu, jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, kegembiraan anggota polis itu tidak kekal lama, apabila dia dikejutkan dengan satu lagi tuduhan baru di Mahkamah Sesyen untuk tuduhan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur itu. Hakim Mahkamah Sesyen, Zanol Rashid Hussain menetapkan 11 Januari tahun depan untuk mendengar keterangan saksi yang seterusnya. Mohd Aziri telah diwakili peguam, Rosli Ismail manakala kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar. -SH |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan