Kelab Greenboc |
- [VIDEO] Perhimpunan Di Seremban Esok Tetap Diteruskan
- Kediktatoran Mahathir Telah Dekatkan PAS, DAP
- Masyarakat Cina Mula Terima Hudud - Kajian UMCEDEL
- Awal-awal Kroni Sudah Besar Kepala, Syarikat Konsesi AES Menyamar Pegawai JPJ
- Aziz Bari Bertanding Di Sabak Bernam Atas Tiket PKR
- Tuduhan "Creative Accounting" MP Kota Belud Hina Jabatan Audit Negara
[VIDEO] Perhimpunan Di Seremban Esok Tetap Diteruskan Posted: 02 Nov 2012 01:19 AM PDT PPra-Himpunan Kebangkitan Rakyat di Seremban esok (Sabtu) tetap diteruskan walaupun tiada kebenaran permit daripada polis, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu. Beliau berkata, tidak timbul isu permit kerana tapak himpunan itu nanti akan diadakan di tanah lapang milik persendirian di Taman Seremban Jaya, kira-kira 2 kilometer dari Plaza Tol Senawang, Seremban. "Tak perlu permit. Kalau di Dataran Merdeka sebelum ni tiada permit pun boleh berjalan, inikan pula tempat persendirian," katanya ketika dihubungi FMT. Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin kelmarin dilaporkan berkata, pihaknya tidak boleh mengeluarkan permit kerana penganjur gagal mengisi maklumat permohonan dengan lengkap. Sekaligus perhimpunan itu dianggap sebagai melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dikenakan tindakan sewajarnya. Namun Mat Sabu berkata beliau mengharapkan kerjasama sepenuhnya daripada polis bagi memastikan program pada hari itu berjalan lancar. Beliau juga optimis himpunan itu nanti akan mendapat sambutan sekurang-kurangnya 50,000 penyokong. Ini merupakan kali ketiga lokasi berubah selepas usaha untuk menganjurkan himpunan di Majlis Perbandaran Seremban terpaksa ditukar kerana gagal mendapat kebenaran daripada pihak perbandaran dan polis. Penganjur juga pada awalnya merancang untuk mengadakan himpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil namun dalam sidang media mengumumkan terpaksa ditunda atas alasan mahu memberi laluan kepada perlawanan bolasepak Piala Suzuki AFF 2012. Namun, FMT mendapati tiada sebarang perlawanan berlangsung di Bukit Jalil pada hari berkenaan, sebaliknya Piala Suzuki bermula pada 24 November depan di Stadium Rajamangala, Bangkok. Manakala Stadium Nasional hanya digunakan untuk perlawanan antara Harimau Malaya menentang Singapura pada 25 November ini. Himpunan besar-besaran bagi mengumpul kekuatan sejuta penyokong di Bukit Jalil katanya akan diteruskan pada satu tarikh yang akan ditetapkan pada tahun depan. |
Kediktatoran Mahathir Telah Dekatkan PAS, DAP Posted: 01 Nov 2012 11:18 PM PDT Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui dalam memoirnya, "Doktor Umum" (2012), bahawa Operasi Lalang, Oktober 1987 "menjadi titik hitam dalam sejarah pentadbiran Malaysia dan sepanjang tempoh saya menjadi Perdana Menteri". Mahathir, yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, turut menarik balik lesen penerbitan tiga akhbar berpengaruh, dalam tiga bahasa utama, The Star (muka depannya pada hari pertama tangkapan yang membawa kepada pengharamannya, simple tapi menarik dan mudah diingati), Sin Chew Jit Poh dan Watan, atas alasan menyemarakkan api perkauman (yang sebenarnya didalangi Umno-MCA). Serentak dengan itu, majlis ceramah politik tidak dibenarkan dan Malaysia bagaikan bertukar menjadi sebuah "negara polis". Saya, yang baru memulakan kerjaya -- pada Mac 1987 -- sebagai pemberita Harakah (dan turut terbabit dalam edisi sulungnya) di bawah tunjuk ajar tokoh wartawan tersohor, Subky Abd Latiff, merasai sendiri situasi sulit cemas-takut sehingga setiap orang gelisah menjangkakan mereka juga boleh diserkup bila-bila masa. Mendengar nama-nama tahanan yang tidak begitu dikenali dicekup dari hari ke hari (tangkapan tidak dibuat serentak tapi berperingkat-peringkat) membuatkan hampir semua yang pernah "berseteru" dengan pemerintah gerun dan merasakan gerak-geri mereka diintip serta menjadi target. Bakal disumbat Bersama hampir 20 rakan serumah yang masih bujang di Kg Datuk Keramat, Kuala Lumpur, kami menanti khabar dengan penuh debar tahanan-tahanan baru yang bakal disumbat. Sepuluh hari sebelum itu, pada 18 Oktober, kejadian amuk Prebet Adam menggunakan senjata M16 di Chow Kit dan Kg Baru mengemparkan tanahair, selain merancakkan lagi pasaran berita angin terutama mengaitkan dengan isu-isu perkauman. Umno pula memukul gendang mahu mengadakan perhimpunan raksasa sebagai tindak balas terhadap isu-isu pendidikan Cina. Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai beraksi garang memanipulasinya. DAP, MCA dan Gerakan digambarkan bersatu menangani isu berkenaan. Kebetulan saya baru saja menyiapkan satu makalah khas mengenai Peristiwa Memali, diusahakan oleh Jabatan Penerangan PAS Pusat, yang juga menerbitkan Harakah, dengan judul "Percikan Darah Syuhada". Saya bermalam di kampung penuh bersejarah itu, dan mendapat layanan istimewa penduduk setempat, kunjungan kedua saya selepas menziarahinya dua bulan selepas tragedi berdarah pada hujung 1985. Bimbang turut sama menjadi mangsa ISA yang menggila, helaian pertama majalah tanpa permit itu, terpaksa digunting dan dibuang sebelum diedarkan, dengan penuh hati-hati. Memang benar-benar terasa suasana takut, risau dan penuh curiga. Tidak pencetak berani Saya juga merakamkan getar Ops Lalang dalam makalah one-off, berjudul "Demokrasi Zaman Mahathir", diusahakan syarikat sendiri, Penerbitan Pemuda. Tidak pencetak berani mengambil risiko menyebabkan saya -- yang berhutang modal pembelian kertas -- berpindah-randah mencari rakan-rakan yang bersimpati. Bayangkan, proses binding makalah berkenaan dijalankan di rumah sewa secara manual, dengan bantuan lebih 12 rakan-rakan! Tragedi penahanan tanpa bicara menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membabitkan lebih 100 aktivis masyarakat, pemimpin parti politik, penggerak pertubuhan alam sekitar dan tokoh pendidikan Cina itu kerap dikaitkan dengan "era kediktatoran melalui undang-undang" Mahathir. Antara tokoh-tokoh yang dikurung ialah Mohamad Sabu, Ustaz Halim Arshat, Khalid Samad, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Dr Chandra Muzaffar, Dr Nasir Hashim dan Dr Kua Kia Soong. Ramai lagi tahanan yang tidak pernah dikenali menjadikan Ops Lalang itu bagaikan lembaga hitam yang cukup menakutkan. Kini genap 25 tahun Hujung November lalu, genap 25 tahun peristiwa itu berlalu. Biarpun jelas ia sarat dengan motif politik, terutama bagi menyelamatkan kedudukannya yang cukup terancam, termasuk cabaran dalaman Umno yang begitu sengit dan tajam, namun hingga kini, Mahathir masih cuba untuk merasionalkan tindakan zalimnya itu dengan daleh-daleh longgar. Beliau juga dilihat tidak dapat menyembunyikan rasa bersalahnya terhadap satu lagi aksi brutalnya, iaitu pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua Hakim Mahkamah Agung serta satu kempen terancang untuk memusnahkan kebebasan badan kehakiman. Sampai saat ini, kewibawaan dan integriti hakim-hakim di Malaysia tetap dipersoal, manakala cabang eksekutif masih dilihat campur tangan dalam kes-kes kritikal mahkamah. PAS, DAP saling mengenal di Kamunting Apa pun, saya tertarik dengan komentar beberapa pemimpin kanan DAP, khususnya Lim Guan Eng, terhadap episod gelita suku abad yang lalu itu: "Pemimpin PAS dan DAP mendapat peluang untuk saling kenal-mengenali lantas memecahkan fitnah yang ditaburkan Umno untuk memomokkan masyarakat bukan Melayu tentang PAS dan masyarakat Melayu tentang DAP. "Hubungan yang dijalin dalam tahanan 25 tahun lalu telah menjadi batu asas kepada hubungan kerjasama antara dua parti itu pada hari ini." Ya, isu dan krisis yang menyelubungi Umno waktu itu begitu kritikal dan cukup dahsyat sekali. Cabaran Tengku Razaleigh bersama Musa Hitam pada April 1987, yang kemudiannya membawa kes ke mahkamah, sehingga Hakim Harun Hashim tida pilihan lain dan "terpaksa" mengharamkan Umno (atas kemahuan Presidennya, Mahathir sendiri) seterusnya mengakibatkan Tun Salleh dipecat bagi mengelak keputusan Mahkamah Agung yang boleh "menjahanamkan" kerjaya politik Mahathir. Bagaimanapun, disebabkan parti-parti pembangkang, khususnya PAS dan DAP, gagal membentuk persefahaman politik dan seringkali bercanggah pendapat -- meskipun mempunyai tujuan murni yang sama -- elit Umno telah menyambar kesempatan itu untuk terus bertakhta, merampok harta rakyat dan mencuri khazanah negara. Dalam keadaan serba sulit diasak segenap penjuru itu, Mahathir terselamatkan disebabkan saingan politiknya turut berpecah. Laluan bentuk kerajaan alternatif dirintis Azab di Kamunting 25 tahun lalu itu rupanya cukup berbaloi. Kesengsaraan dipisahkan daripada anak isteri memang pedih tetapi ia berupaya mendekatkan diri sesama pejuang keadilan, daripada pelbagai kumpulan dan berjaya meletakkan asas persefahaman yang kukuh serta mantap untuk satu proses agak panjang membebaskan negara daripada cengkaman sebuah parti dominan. Pengalaman di saat sukar itu mahal harganya. Pemimpin muda DAP, Liew Chin Tong, yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, merumuskan: "Keakraban yang terbentuk dalam kesusahan akan berterusan mengukuhkan pergerakan bagi mendirikan Malaysia yang baru dan lebih baik untuk semua." Mohamad Sabu yang dikurung satu kawasan dengan Guan Eng mengingati "detik-detik manis" itu: "Kami yang duduk bersama-sama di Kamunting berpeluang bertukar pandangan mengenai pendirian parti masing-masing terhadap isu-isu rejim Mahathir. Ini termasuklah prinsip DAP yang tidak menolak usaha membantu Bumiputera miskin sebaliknya menentang kecenderungan nasionalisme Melayu yang dieksploitasi hanya untuk mengkayakan pemimpin dan kroni Melayu tertentu sahaja." Ketika budaya politik baru -- yang menolak sentimen perkauman dan memandang tinggi isu-isu good governance -- makin tumbuh subur di kalangan rakyat Malaysia, Umno dan kerabatnya dalam BN seperti MCA masih ghairah memainkan lagu lama bagi melaga-lagakan parti pembangkang. Pelbagai jerat cuba dipasang, misalnya melalui kontroversi Hudud mutakhir ini, namun banyak pihak yakin, persefahaman PAS-DAP yang menempuh jalan berliku dan onak berduri tidak semudah itu dapat digoyang. Perangkap Umno-MCA hanya akan memakan tuan sendiri! Membilang hari-hari akhir Umno-BN yang hampir kehilangan kuasa dan mungkin membilang hari-hari akhirnya masih tidak berputus asa untuk mengadu-domba parti-parti dalam Pakatan, khususnya PAS dan DAP. Jika kedua-dua parti pembangkang yang berkongsi kepedihan dan keperitan panjang itu dapat dipisahkan, seperti Barisan Alternatif pernah dihancurkan selepas pilihan raya 1999, ekoran isu Negara Islam, nescaya Najib tidak ragu-ragu lagi untuk menghadap Agong bagi membubarkan Parlimen. Ops Lalang 1987 merakamkan sejarah hitam yang pastinya terus menganggu hari-hari tua Mahathir, namun ia menjadi penyambung ikatan berpanjangan buat PAS dan DAP melakarkan sejarah gemilang dalam PRU13 nanti, dibantu KeADILan, dengan teraju utamanya, Anwar Ibrahim, yang turut menerima pendidikan terbaik, bukan saja dari Kamunting di usia mudanya tetapi juga mendekam dalam lokap dan penjara. -Ahmad Lutfi Othman |
Masyarakat Cina Mula Terima Hudud - Kajian UMCEDEL Posted: 01 Nov 2012 07:12 PM PDT Masyarakat Cina kini mula menerima dan memahami pelaksanaan hukum hudud, menurut kaji selidik terbaru Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL). Walaupun Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dilihat bekerja keras menentang pelaksanaan hukum Islam tersebut, kaji selidik kedua berkenaan hudud yang dijalankan antara 1 September hingga 16 Sept 2012 itu menunjukkan peningkatan sekali ganda sokongan masyarakat Cina iaitu kepada 24 peratus, berbanding 12 peratus dalam kaji selidik sebelum ini pada 25 Oktober hingga 15 Disember tahun lalu. Daripada sejumlah 385 responden berbangsa Cina, hanya satu peratus peningkatan menentang pelaksanaan hukum hudud, berbanding kaji selidik sebelumnya, iaitu sejumlah 51 peratus. Sementara kumpulan yang tidak pasti sama ada hudud boleh dilaksanakan di Malaysia walaupun mempunyai masyarakat berbilang kaum menurun kepada 25 peratus berbanding 38 peratus dalam kaji selidik sebelum ini. "Terdapat peningkatan sokongan masuarakat Cina terhadap pelaksanaan hudud. "Perbezaan sembilan bulan antara kedua-dua kajian juga menyaksikan peningkatan 12 peratus; menjadikan peratusan menerima hudud meningkat kepada 24 peratus, dengan peningkatan (hanya) satu peratus tentangan terhadap pelaksanaan hudud. " "Ini menjelaskan pengundi Cina semakin memahami isu tersebut," kata UMCEDEL dalam satu kenyataan hari ini. Malah, UMCEDEL turut mendapati generasi muda masyarakat Cina berkeinginan untuk mengetahui dengan lebih lanjut berbanding kumpulan responden yang lebih berumur. "Generasi muda Cina menunjukkan kecenderungan untuk memahami pelaksanaan hudud berbanding dengan mereka yang lebih berumur," jelas kenyataan berkenaan. Kajian yang turut dijalankan terhadap 1041 responden Melayu itu juga mendapati majoriti responden yakin hudud akan memberikan keadilan kepada semua pihak dengan 55 peratus responden Cina berusia lingkungan 41 hingga 50 tahun yakin hudud akan memberikan keadilan. Walaubagaimanapun, 53 peratus masyarakat Cina yang berusia 61 tahun ke atas menunjukkan keyakinan pelaksanaan hudud akan menggugat kesepakatan parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR). Dari aspek lokaliti responden, masyarakat Cina di kawasan kampung dan kampung baru percaya hudud akan memberikan keadilan kepada semua mencecah sehingga 59 peratus, manakala masyarakat Cina bandar berada dalam kelompok 30 peratus menyokong. Hudud telah sekian lama menjadi polemik politik tanah air apabila parti politik daripada Barisan Nasional (BN) dan PR masing-masing cuba menarik sokongan pengundi melalui isu hudud tersebut. Presiden MCA dalam perhimpunan parti komponen BN ke-59 itu bulan lalu dilihat begitu agresif menentang hudud, malah mengeluarkan kenyataan negara yang melaksanakan hudud akan menjadi lebih korup, serta pelaksanaan hudud akan menyebabkan 1.2 juta rakyat negara ini kehilangan pekerjaan. Selain pemimpin daripada BN, terdapat juga tentangan daripada DAP, apabila Pengerusi DAP, Karpal Sing menegaskan Malaysia tidak boleh melaksanakan hudud kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Justeru, banyak pihak mula berdebat berhubung isu hudud yang nyata telah dipolitikkan demi kepentingan politik parti masing-masing. Dewan Pemuda PAS Pusat juga telah mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan MCA ekoran kenyataan-kenyataan Dr Chua terhadap hudud. Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa juga telah menggesa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta maaf kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan berikutan pendirian parti itu menolak hudud. -TMI |
Awal-awal Kroni Sudah Besar Kepala, Syarikat Konsesi AES Menyamar Pegawai JPJ Posted: 01 Nov 2012 04:00 PM PDT Kempen Anti Saman Ekor (KASE) menuntut penjelasan daripada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung kejadian penyamaran sebagai pihak berkuasa oleh syarikat konsesi Sistem Kamera Automatik (AES). Penasihat Undang-undang KASE, Zulhazmi Shariff berkata, berdasarkan sumber yang diperolehi, Syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd mewarnakan kenderaan mereka seakan-akan pacuan empat roda Toyota Fortuner milik JPJ. "Apa yang berlaku sekarang, maklumat yang kami terima, ATES dan Beta Tegap mewarnakan kenderaan milik syarikat sebagai warna seakan-akan warna JPJ. "Letak logo JPJ, nama 'Automated Enforcement System' sedangkan kenderaan tersebut bukan kenderaan JPJ. Ini apa cerita?" katanya di lobi Parlimen. Tegasnya, penyamaran sebagai pihak berkuasa ini merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Dalam sidang media sama, Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar menggesa semua penerima saman AES agar tidak membuat bayaran kompaun sebaliknya hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan perkara berkenaan. Ini kerana KASE akan menyediakan peguam kepada mereka selain penggunaan peruntukkan undang-undang yang salah seperti dinyatakan dalam surat saman. Tegasnya, kerajaan sepatutnya membatalkan semua saman yang mula dikeluarkan pada 13 Oktober lalu dan penangguhkan perlaksanaan AES seperti yang didesak sebelum ini. "Kalau kerajaan masih tidak menarik balik saman ini, KASE menyeru kepada semua penerima saman ini agar tidak membayar kompaun. "Sebaliknya ikut arahan ini (dalam surat saman) ke mahkamah. Kami bersedia menyediakan beberapa peguam bagi membantu mereka yang bersedia ke mahkamah. "Peguam ini hanya untuk saman AES dan bukannya saman trafik," katanya. Surat saman AES yang dikeluarkan menyatakan kesalahan melanggar had kelajuan berada di bawah Seksyen 79 (2). Seksyen berkenaan sebenarnya bukan berkaitan perlanggaran had kelajuan sebaliknya merujuk pada perlanggaran kepada mengabaikan terhadap arahan dan isyarat lalu lintas. Dari segi hukuman pula, tidak ada kompaun minimum RM300 sebaliknya tidak melebihi RM 500. "Undang-undang disini (dalam surat saman) yang digunakan pun pelik. Dia (surat saman) kata miinta kita hadir ke mahkamah sendiri atau diwakil peguam. "Mana boleh pertuduhan yang ingin disebut di mahkamah diwakili peguam," jelasnya. Ujar beliau lagi, kesalahan AES ini tidak akan melibatkan kesan disenarai hitam sebaliknya penerima boleh membuat saman balas seandainya mereka dikenakan tindakan sedemikian. Beliau menambah, langkah penyelesaian di mahkamah ini dapat mengurangkan peluang kepada syarikat konsesi memperoleh keuntungan RM16 dari setiap saman yang dikeluarkan. -selangorku |
Aziz Bari Bertanding Di Sabak Bernam Atas Tiket PKR Posted: 01 Nov 2012 07:09 AM PDT PKR yakin dapat merampas semula kerusi Parlimen Sabak Bernam pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selepas mengumumkan calon baru bagi kerusi tersebut iaitu bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Aziz Bari. Difahamkan, sebelum ini, Ketua PKR Cabang Sabak Bernam, Dr Badrolamin Baharon dicalonkan bertanding bagi kerusi itu. Abdul Aziz berkata, pemilihannya sebagai calon bagi kerusi berkenaan adalah atas arahan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya, beliau yakin dapat merampas semula kerusi Parlimen Sabak Bernam memandangkan terdapat beberapa penambahbaikan dilakukan Kerajaan Negeri sebelum ini. Pada 2008, kerusi Sabak Bernama dimenangi oleh calon BN dari Umno, Abd Rahman Bakri, yang menewaskan Badrolamin. "Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam memastikan hak rakyat tidak diabaikan dan ini adalah kekuatan kita bagi merampas kembali kerusi Parlimen di sini," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Beliau berkata, dia tidak berasa tergugat dengan kekuatan dimiliki Umno memandangkan pihaknya mempunyai kekuatan tersendiri bagi menawan kerusi di Parlimen Sabak Bernam. "Saya yakin ini adalah masa tepat bagi kami merampas kerusi di Parlimen ini memandangkan sokongan rakyat juga dilihat semakin kuat terhadap PKR," katanya. Abdul Aziz berkata, menerusi ceramah-ceramah yang dijalankan di sekitar daerah ini, jelas menunjukkan rakyat semakin matang dalam memilih pemimpin bersih serta mahukan pucuk pimpinan amanah. Beliau berkata, ia dapat dibuktikan dengan sesi ceramah yang diadakan di Bagan Terap di mana rakyat sudah bijak dalam menilai sesebuah parti politik dengan turut sama turun padang memberi sokongan ketika program dijalankan. "Bagan Terap merupakan kawasan hitam satu masa dulu memandangkan PKR pernah kalah teruk pada 2008, namun menerusi beberapa ceramah yang dijalankan kini, jelas menunjukkan penglibatan daripada ramai penduduk yang turut turun bagi memberi sokongan," katanya. Menurutnya, disebabkan faktor itu, Umno semakin takut menghadapi PRU13 memandangkan sokongan dilihat semakin tipis. Katanya, kajian dijalankannya sejak 2004 jelas menunjukkan kadar peningkatan sokongan rakyat terhadap parti itu semakin meningkat memandangkan pucuk pimpinan yang dianggap telus dalam membantu mendapatkan hak rakyat. "Saya yakin PKR akan menang berdasarkan kajian yang saya jalankan menunjukkan pertambahan sokongan bagi parti ini," katanya. Menurutnya, pada PRU13 nanti PKR mungkin akan kalah dalam beberapa kerusi namun peratusan undian penduduk dijangka akan meningkat sebanyak lima peratus bagi setiap peti undi. Katanya, pada PRU lalu, kebanyakan disuarakan PKR dilihat retorik namun kini parti berkenaan dapat membuktikan ia menjadi realiti di samping membuka mata rakyat. "Ini merupakan salah satu kekuatan kita dalam memastikan kerusi Parlimen berkenaan dapat dirampas," katanya. Dalam pada itu Abdul Aziz berkata, sebelum ini, beliau turut menerima pelawaan daripada Pas dan DAP yang memintanya untuk bertanding di beberapa kawasan lain. Katanya, bagaimanapun pelawaan tersebut ditolaknya kerana mahu memberi perkhidmatan terbaik di kampung halamannya. "Saya berasal dari sini dan saya mahukan perubahan terhadap pucuk pimpinan di samping memberi perkhidmatan adil kepada penduduk setempat," katanya. Beliau berharap rakyat dapat memberi peluang kepada PKR membuktikan kemampuan mereka dalam menguruskan daerah tersebut. Sementara itu, Badrolamin enggan memberi sebarang komen berhubung perkara tersebut. |
Tuduhan "Creative Accounting" MP Kota Belud Hina Jabatan Audit Negara Posted: 01 Nov 2012 03:42 AM PDT DAP: Nak percaya ketua audit atau Rahman Dahlan? Anggota parlimen DAP hari ini menyelar tindakan Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC) yang mendakwa Pakatan Rakyat memanipulasikan perakaunan kreatif dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011. "Mereka mempersoalkan kebijaksanaan dan ketelusan Ketua Audit Negara (Ambrin Buang)," kata wakil rakyat Bukit Bendera Liew Chin Tong (kanan). Liew berkata, menuduh negeri Pakatan memindah dana akaun amanah bermaksud seolah-olah ketua audit negara dan kakitangannya tidak mampu melakukan semakan menyeluruh dan mengesan amalan yang dipersoalkan. "Siapa yang kita hendak percaya? MP Kota Belud (Abdul Rahman Dahlan) atau ketua audit negara?" soalnya. BNBBC semalam mendakwa, Pakatan terlibat dengan perakaunan kreatif untuk menjadikan negeri pimpinan mereka nampak elok dalam Laporan Ketua Audit Negara. Abdul Rahman sebagai timbalan ketua BNBBC mendakwa, perkara itu dilakukan dengan memindahkan dana daripada akaun amanah negeri kepada akaun yang disatukan dan menjadikannya sebagai hasil. Tuduhan 'Creative Accounting' Di Selangor Tidak Berasas |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan