Ahad, 11 November 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Veteran UMNO Dilarang Mati Dulu, Saluran Satu Penentu Hidup Mati UMNO (?)

Posted: 11 Nov 2012 01:06 AM PST

VVeteran Umno digesa bersedia bantu parti menangi PRU 13

KUALA TERENGGANU, 10 Nov — Anggota Veteran Umno Malaysia harus sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk membantu parti menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa. Pemangku Pengerusi Veteran Umno Malaysia Datuk Mohd Zahid Sirat berkata ini kerana pilihan raya umum akan datang bukan sahaja menentukan 'hidup mati' Umno tetapi juga hala tuju bangsa Melayu.

"Pembangkang yang diterajui DAP beria-ia untuk menumbangkan kerajaan BN dan merampas Putrajaya seterusnya mengambil alih pemerintahan di negara ini. "Kalau ini berlaku, segala yang dinikmati kaum pribumi selama ini dikhuatiri akan terjejas dan terhapus sama sekali," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Veteran Umno Malaysia ke-5, di sini hari ini.

Untuk itu katanya, seluruh anggota veteran perlu bersatu dan memperkuatkan barisan bagi menghadapi satu pemilihan yang paling getir bagi Umno dan Barisan Nasional.

"Matlamat kita untuk membantu pucuk pimpinan bagi memartabatkan bangsa Melayu dan mencapai kejayaan cemerlang di dalam dan luar negara," katanya.

Mohd Zahid juga berkata bangsa Melayu akan terus teguh dan digeruni jika bersatu padu walaupun berbeza ideologi dan perjuangan.

"Melayu dan bumiputera mesti bersatu dengan mengenepikan segala fahaman atau ideologi demi mengekalkan pemerintahan dan ketuanan Melayu, mendukung tonggak kedaulatan raja-raja serta mempertahankan kesucian agama Islam," katanya. Beliau turut meluahkan rasa bimbang dengan pelbagai gejala negatif termasuk tindakan cuba menodai kesucian agama Islam oleh pihak tertentu.

Sebanyak 545 anggota Veteran Umno dari seluruh negara menghadiri perhimpunan tersebut yang berakhir hari ini. — Bernama

Nafsu Tak Mengira Siapa: Berzina Dengan Lelaki Ketika Suami Di Mekah

Posted: 10 Nov 2012 11:57 PM PST

Dia seorang ustazah bertudung labuh yang berkelulusan dalam bidang agama dari sebuah universiti di Timur Tengah, sebelum ini mengajar di sebuah masjid dan sebuah sekolah rendah di Kota Tinggi, Johor, serta bersuamikan seorang ustaz yang disegani di daerah itu.

Bagaimanapun, di sebalik perwatakan lembut dan alim, ustazah berusia 35 tahun itu sanggup menconteng arang di muka keluarga dan suaminya, apabila ditangkap khalwat bersama seorang duda sebayanya, yang juga bekas rakan sekolahnya dan suami.

Ustazah yang memiliki latar belakang yang kuat berpegang kepada ajaran agama itu memberi alasan kononnya dia tertekan akibat suaminya berpoligami sehingga sanggup menjalinkan hubungan cinta dengan duda terbabit dan lebih mengejutkan, mereka dipercayai pernah beberapa kali terlanjur.

Tembelang ustazah terbabit pecah apabila dia ditangkap khalwat ketika berdua-duaan dengan duda itu baru-baru ini dan mereka dilaporkan mengambil masa hampir setengah jam sebelum membuka pintu rumah kedai yang didiami dengan kedua-duanya dalam keadaan berpakaian lengkap.

Menurut sumber, lebih menyedihkan, ketika kejadian, suami ustazah terbabit berada di Makkah untuk menunaikan haji.

Katanya, sejurus ditangkap berkhalwat, ustazah terbabit menghubungi suaminya untuk memaklumkan kejadian dan terus meminta cerai.

Menurutnya, ustazah terbabit dan suaminya berkahwin pada 1997, tetapi tidak dikurniakan cahaya mata menyebabkan mereka mengambil dua anak angkat termasuk seorang daripadanya dipelihara sejak kecil.

"Wanita itu bertemu dengan duda yang juga bekas rakan sekolahnya ketika perlawanan boling pada awal tahun lalu dan sejak itu hubungan mereka semakin rapat apabila lelaki itu menjadi tempatnya mencurah perasaan dan menagih simpati.

"Ustazah itu memberitahu duda terbabit kononnya dia tertekan kerana suami berkahwin lain sedangkan sebelum ini, dia sendiri bersetuju serta membenarkan suaminya berpoligami dan mereka sama-sama ke mahkamah untuk menguruskan perkahwinan itu.

"Tetapi, sebagai seorang yang ada latar belakang agama, hubungan dengan lelaki lain bukan cara untuk mengatasi tekanan lebih-lebih lagi dia masih berstatus isteri orang dan perhubungan itu mendekatkan mereka dengan maksiat," katanya.

Sumber itu berkata, selepas ditangkap, duda itu pula mengaku dia pernah terlanjur dengan wanita berkenaan, tetapi di pihak ustazah terbabit, dia masih mahu 'menegakkan benang basah' dan menyebarkan berita kononnya dia dianiaya.

Menurutnya, demi menjaga nama baik keluarga dan maruah isteri, suami ustazah terbabit membuat pengakuan kononnya membenarkan duda terbabit menjemput isterinya yang baru pulang daripada rombongan sekolah, sebelum mereka ditangkap khalwat.

Katanya, ketika ditangkap, pasangan terbabit memberi alasan duda terbabit datang untuk menghantarnya pulang ke rumah dan membantu mengangkat beg.

Umno Guna Agama Untuk Raih Keuntungan Politik – Anwar

Posted: 10 Nov 2012 09:03 PM PST

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Umno BN menggunakan agama untuk mencari keuntungan politik dengan kali ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah menjadi mangsa.

Menyifatkan serangan fitnah terhadap anaknya itu sebagai bermotif dendam, beliau percaya perjuangan Nurul Izzah bukan terletak di tangan kerajaan sebaliknya dihakimi rakyat biasa.

"Satu kerajaan datang hentam dia, tapi saya nak kata bukan kerajaan penentunya, tapi rakyat yang akan menghakimi segala-galanya.

"Mereka nak kalahkan Izzah, nak angkat Raja Nong Chik. Apa mereka lupa isu tanah di Kampung Baru pun tak selesai, anak dia pula dapat kontrak tender berbilion ringgit.

"Saya pesan dekat Izzah, ini ujian. Kita kena hadapi," kata Ketua Pembangkang itu.

Pada pilihan raya umum lalu, Nurul Izzah membuat kejutan apabila menewas Datuk Seri Shahrizat Jalil bagi menawan kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Kini, ada ura-ura kerusi itu bakal ditandingi Raja Nong Chik sekalipun terpalit dengan isu rampasan tanah Kampung Baru dan skandal anaknya.

"Perlawanan ini antara rakyat dengan kerajaan yang korup. Inilah masanya untuk rakyat mengatakan tidak, kepada mereka," katanya depan 700 orang pada ceramah perdana Jelajah Merdeka Rakyat di Bulatan Little India, Brickfields, di sini malam kelmarin.

Depan 2,000 orang di padang Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak dalam Jelajah Merdeka Rakyat pada malam samapula, Anwar berkata tidak ada maknanya Islam seseorang itu jika agama diperalat untuk kezaliman dan menindas.

"Walkaramah itu keadilan, kita sebagai umat Islam dituntut memberi keadilan untuk semua dan angkat darjat manusia.

"Ini disebut Ketua Ulama SeDunia, Sheikh Yusuf al-Qaradawi dalam buku terbarunya (Kebangkitan Rakyat).

"Di Mesir, ada minoriti Kristian. Semasa berlaku serangan ke atas gereja oleh pelampau Mesir, anak-anak muda Islam bina benteng pertahankan penganut Kristian.

"Kerana apa? Kerana mereka mahu pertahankan umat manusia dari kezaliman. Semasa serangan gereja di Petaling Jaya dulu, Ustaz Haji Hadi Awang juga tolak kekerasan terhadap agama lain dan minta gereja tidak dirosakkan.

"Kalau orang Melayu dengan Cina bergaduh, yang untung Umno.Islam dengan Kristian gaduh, yang untung Umno," katanya.

[UMNO DEMAM] Selangor Catat Nilai Pelaburan RM6.9 Bilion Tertinggi Di Malaysia

Posted: 10 Nov 2012 06:41 PM PST

Perkembangan ekonomi Selangor dijangka terus berkembang pesat setelah negeri itu berjaya menarik jumlah pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan dengan nilai RM6.9 bilion berbanding negeri-negeri lain.

Angka yang diperolehi dari statistik terbaru, sehingga Ogos 2012 itu diperolehi dari MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) semalam.

Statistik pelaburan itu juga menunjukkan Selangor berjaya mencatat jumlah pelaburan dalam negeri tertinggi yang bernilai RM5.23 bilion dan pelaburan asing bernilai RM1.66 bilion dengan jumlah projek perindustrian tertinggi, 170 projek.

Jumlah tersebut berjaya dicapai disebabkan kemampuan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) negeri ini berjaya mewujudkan suasana yang kondusif untuk perniagaan sekaligus menarik minat pelabur-pelabur baru untuk melabur.

Demikian menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam upacara perasmian 'Selangor Healthy Lifestyle Expo 2012′ yang diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC) hari ini.

"Kita terus konsisten mengekalkan kedudukan tiga negeri teratas yang berjaya menarik pelaburan tertinggi di Malaysia disebabkan kemampuan kita mewujudkan persekitaran kondusif dan sihat untuk aktiviti perniagaan dan pelaburan.

"Mungkin kalau anda melabur RM1 di Selangor, ia mempunyai nilai lebih tinggi berbanding melabur RM1 berbanding negeri lain," kata Abdul Khalid.

Menurut Abdul Khalid, langkah mengadakan ekspo juga merupakan langkah yang berkesan bagi menjana aktiviti perniagaan seperti aktiviti pemasaran produk dan memperolehi pelabur baru.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam majlis sama turut menggesa masyarakat negeri Selangor mengamalkan gaya hidup yang sihat dan menjaga pemakanan mereka.

Dalam program Selangor Healthy Lifestyle Expo 2012 yang berlangsung dari 9 hingga 11 November di SACC, sebanyak 132 syarikat yang memasarkan produk penjagaan kesihatan dan kecantikkan mengambil bahagian.

Selain itu, dianggarkan lebih 300 produk penjagaan kesihatan dan kecantikan dari dalam dan luar negeri turut dipamerkan di sepanjang ekspo sama.

Ekspo tersebut dianjurkan oleh Multi Mutual Resources dan mendapat sokongan Selangor State Investment Centre (SSIC) dan Selangor Times.

Van TV3 Terbalik Kerana "Flash" Kamera AES (?)

Posted: 10 Nov 2012 04:23 PM PST

Sebuah van tv3 telah terbalik hari ini kerana media propaganda Barisan Nasional ini adalah media penfitnah nombor 1 bagi negara malaysia, kejadian berlaku kerana dalam keadaan hujan yang menyebabkan tayar van tv3 ini tergelincir lalu menyembah bumi.

Ini mungkin kerana tv3 sudah tidak mempunyai kewangan yang cukup kerana rating mereka kini jatuh dari 3.2 juta penonton kepada hanya 900 ribu penonton saja buat masa ini, dijangkakan akan turun lagi kepada hanya 500 ribu dalam masa beberapa bulan lagi.

Untuk pengetahuan umum sebuah tayar untuk di lekapkan pada van tv3 ini adalah rm 300 sebuah dan rm 1200 jika penukaran keempat empat tayar sekaligus, budjet tv3 sudah tidak lagi mencukupi untuk menukar tayar kerana pendapatan mereka semakin merosot dan bakal muflis kerana tiada siapa lagi generasi masakini mahu menonton media penfitnah nombor 1 ini.

Pendapatan tv3 semakin merosot kerana media penfitnah untuk Barisan Nasional ini di dapati hanya membuat ulasan ulasan yang berkepentingan pada pemerintah Barisan Nasional.

Oleh kerana itu ianya di boikot oleh hampir 80% anak muda malaysia.

Mengikut saksi di tempat kejadian, dalam keadaan hujan lebat, van yang di pandu ini telah di flash oleh kamera AES yang berada di tempat kejadian, ini menyebabkan pemandu panik kerana menyangkakan ianya adalah kilat atau petir dari langit yang mungkin telah menyambar van tv3 tersebut.

Lalu telah mengelapkan seketika pandangan matanya, hilang kawalan dan seterusnya terbalik akibat daripada rasa takut kepada cahaya kamera AES yang menyilaukan mata itu.


by @tiewnama - jalanraya pun tak terima van media penfitnah no 1 negara. kahkahkahkah

1,000 Sertai Demo Bantah Chua Soi Lek Hina Hudud

Posted: 10 Nov 2012 07:37 AM PST


Marang: Hampir 1,000 umat Islam yang selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Rusila, semalam mengadakan bantahan secara aman terhadap kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang disifatkan menghina hudud serta hukum Islam.

Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali berkata Presiden MCA itu tidak mengetahui perundangan Islam tetapi bersikap kurang ajar kerana menghina hukum hudud dan Islam amnya.

Menurutnya, pemimpin MCA tersebut juga biadap kerana mempertikai agama Islam dengan mempersoalkan hudud yang telah digubal di Kelantan dan Terengganu sebagai hudud versi PAS.

"Tunjukkan contoh, di mana lemahnya (hudud), di mana kurang atau pun tempat tidak kena undang-undang hudud yang digubalkan khususnya di Terengganu dan Kelantan yang telah mengubalkan undang-undang di bawah Kanun Jenayah Syariah," ujarnya.

Antara pimpinan PAS yang hadir dan berucap iaitu Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Dr Alias Razak, Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Ahmad Faizul Wan Abas dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu, Syeikh Muhammad Hanafi.

Yahaya selaku Yang Dipertua PAS Marang menegaskan perhimpunan secara aman tersebut bagi menyatakan sikap serta pendirian PAS mempertahankan Islam.

Ini kerana, kata beliau, hati umat Islam di negara ini terguris, terkilan dan marah dengan kenyataan dibuat oleh mereka yang tidak faham serta membenci Islam.

"Ini (demontrasi) adalah untuk menyatakan sikap dan pendirian kita membela Islam.

Hati umat Islam terguris, terkilan dan marah dengan kenyataan-kenyataan dibuat oleh mereka yang tidak faham dan dilihat seperti membenci agama Islam.

"Kita sendiri juga diajar oleh agama (Islam) agar kita tidak menghina agama-agama lain walau pun kita tidak bersetuju dengan agama-agama lain (namun) kita tidak sampai menghina agama-agama mereka," jelasnya. -HD

Lagi Kes Polis Didakwa Merogol Di Balai Polis

Posted: 10 Nov 2012 06:30 AM PST

Bukit Mertajam - Seorang pekerja kedai makan warga Indonesia mendakwa dia dirogol tiga anggota polis di sebuah balai polis dekat sini semalam.

Mangsa berusia 25 tahun mendakwa ditahan tiga anggota polis berusia lingkungan 20-an sehingga 30-an pada jam 6.20 pagi berhampiran pasar raya Pacific, Perai dan dibawa ke balai polis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Hanafi yang dihubungi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut lunas perundangan jika benar dakwaan itu.

Beliau juga mengesahkan tiga anggota terbabit direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Menurut mangsa, ketika ditahan dia berada dalam kereta sewa bersama seorang pemandu teksi tempatan selepas menghantar seorang rakan perempuannya yang tinggal di kawasan itu .

"Tidak lama selepas itu, sebuah kereta peronda polis jenis proton Wira menahan kereta yang kami naiki dan dua anggota polis yang memakai uniform polis meminta kami menunjukkan kad pengenalan.

"Ketika itu, saya hanya membawa salinan pasport. Jadi, anggota polis itu tidak mahu menerima salinan pasport dan mengatakan akan membawa kami ke balai polis.

"Bagaimanapun, saya merayu kepada dua anggota polis ini dan meminta mereka melepaskan pemandu teksi yang ketika itu digari," katanya yang ditemui di Pejabat MCA Bukit Mertajam, pagi tadi.

Turut hadir, Penyelaras Barisan Nasional (BN) Bukit Mertajam, Lau Chiek Tuan dan Pengerusi Wanita MCA Bukit Mertajam, Goh Swee Gim.

Ulasan GB

Sebelum ini GB sudah ulas di dalam kes seorang anggota polis ditahan kerana merogol pelajar tingkatan 5 di dalam balai polis. Petikan:

Semakin banyak kita temui kisah polis merompak, mengugut, membunuh, merogol dan melakukan hal-hal mengejutkan yang menyebabkan jenayah terus berleluasa kerana ia dilakukan oleh orang yang ada pistol...

Dalam balai polis pun boleh berlaku kejadian rogol. Apakah ini juga bererti perempuan jangan dekati balai polis?

Atau semua balai polis perlu letak signboard besar-besar, "KAMI JAMIN TIADA PEROGOL & PENJENAYAH DISINI!" supaya orangramai berani ke Balai Polis?

Sekali lagi ingin GB tegaskan, kita tidak bermaksud untuk orang membenci polis, tetapi perbuatan polis itu sendiri mengundang kebencian rakyat terhadap mereka.

Saham FELDA Ditimpa "Haramjadah", Apa Langkah Najib Seterusnya?

Posted: 10 Nov 2012 04:33 AM PST


Saham Felda menjunam, apa tanggungjawab Najib?

KUALA LUMPUR: Kerajaan mestilah mengemukakan pelan tindakan untuk menangani kejatuhan saham Felda yang telah menghampiri rekod terendah, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Orang yang dilihat paling beria-ia hendak menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) sebelum ini ialah (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sendiri.

"Pandangan dan bantahan yang bertentangan dengan keserakahannya hendak menyenaraikan FGVH tidak dipedulikan langsung," katanya.

Beliau meminta rakyat khususnya para peneroka beramai-ramai mendesak Najib mengambil tanggungjawab ke atas apa yang terjadi ke atas saham Felda kini.

Salahuddin juga kesal kerana kerajaan pimpinan Najib langsung tidak memperlihatkan sebarang daya usaha yang diyakini umum untuk menangani kejatuhan saham Felda itu.

"Rakyat hendak melihat apa perancangan, pelan tindakan dan usaha yang diyakini dari pihak kerajaan untuk menangani kejatuhan saham Felda itu," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Saham FGVH, tawaran awal awam (IPO) kedua terbesar di dunia tahun ini, dilaporkan telah merosot dalam minggu lepas atas keraguan terhadap pendapatan lemah syarikat perladangan tersebut.

Saham gergasi perladangan itu, yang sepatutnya menjadi durian runtuh kewangan kepada peneroka Felda, diniagakan serendah RM4.59 semalam, sedikit lagi menghampiri rekod terendah RM4.57 yang dicatatkan pada 11 September.

FGVH ditutup pada RM4.63, tujuh sen lebih rendah berbanding pada 1 November dan hanya lapan sen di atas harga IPO.

Bimbang dengan perkembangan yang akhirnya pasti akan memangsakan para peneroka Felda itu, Salahuddin menggesa kerajaan menubuhkan satu panel bebas yang terdiri dari pakar-pakar berkaitan untuk menangani masalah itu.

"Jika panel tersebut ditubuhkan, kita meggesa kerajaan menerima cadangan panel tersebut walaupun merombak pengurusan Felda sekalipun.

"Kita lihat apa yang berlaku itu berpunca dari masalah ketiadaan keyakinan pelabur terhadap saham FGVH," katanya sambil menekankan supaya kerajaan khususnya Perdana Menteri tidak bersikap lepas tangan atas apa yang berlaku itu.

Ramai peneroka mengambil pinjaman untuk membeli saham FGVH dan trend umum penurunan harga saham tersebut sejak penyenaraiannya pada 28 Jun apabila ia mencecah rekod tinggi RM5.46, dijangka akan memangsakan mereka walaupun beberapa langkah diambil oleh Felda untuk menguruskan hutang para peneroka yang terlibat.

Tiada ulasan: