Ahad, 11 November 2012

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


AES - Kong Cho Ha bermain wayang tongkol

Posted: 10 Nov 2012 10:30 PM PST

Perdebatan di dalam dan luar Parlimen mengenai pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang menurut Menteri Pengangkutan Kong Cho Ha (MCA) telah dijadikan isu politik oleh parti pembangkang (Pakatan Rakyat) sebaliknya menunjukkan bahawa Cho Ha sendiri bermain 'wayang tongkol' atas pentas yang bakal roboh.

Dakwaan atau tuduhan Cho Ha yang cuba mempersalahkan 'musuh politik' Barisan Nasional jelas jauh menyimpang daripada kebenaran.

Ini kerana agensi berita nasional, BERNAMA, yang terletak bawah seliaan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sendiri melaporkan rata-rata anggota Parlimen, saya ulang rata-rata anggota Parlimen, bersetuju dengan desakan pelbagai pihak supaya pelaksanaan AES ditangguhkan.


Mereka, iaitu anggota Parlimen, berpendapat kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sistem itu dilaksanakan.

Saya tak nampak di mana permainan politik parti pembangkang seperti yang dituduh Cho Ha yang tidak hadir menjawab isu AES ketika dibangkitkan di Dewan Rakyat. Kenapa Cho Ha berbuat demikian hanya dia yang tahu, mungkin dia takut berhadapan dengan kenyataan.

Saya ingin mengutip laporan BERNAMA yang menyatakan bahawa Anggota Parlimen mewakili Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, seorang mantan anggota Kabinet, berkata pelaksanaan AES dibuat secara mendadak tanpa mendapat pandangan orang ramai dan pakar berkaitan keselamatan jalan raya.

Radzi mahu kerajaan meneliti semula pelaksanaan AES dan mendapatkan pandangan pakar sebelum meneruskannya pada masa depan.

Saya ingin bertanya Cho Ha sama ada Radzi bermain politik atau menyata sesuatu yang ada kebenarannya?

Ketua Pemuda UMNO yang juga Anggota Parlimen mewakili Rembau, Khairy Jamaluddin telah menyarankan agar kerajaan menangguh pelaksanaan AES yang menurut beliau terdapat terlalu banyak kelemahan dalam pelan pelaksanaannya. Khairy juga tidak bermain politik tetapi menyatakan sesuatu yang benar.

Datuk Bung Mokhtar Radin, Anggota Parlimen mewakili Kinabatangan yang terkenal dengan keceluparan hujahnya di Dewan Rakyat, berkata penangguhan AES perlu bagi membolehkan Kementerian Pengangkutan memberi penjelasan sepenuhnya kepada rakyat berhubung kepentingan melaksanakannya.

Parti GERAKAN yang merupakan sekutu dalam BN pula menuntut kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES dan menjalankan kajian lanjut memandangkan banyak aduan diterima daripada masyarakat. Mungkin Cho Ha dan rakan-rakannya dalam MCA tidak menerima aduan atau maklum balas daripada masyarakat.

Seorang pemimpin akar umbi GERAKAN, Cheah Soon Hai memberitahu portal berita popular Malaysiakini bahawa AES mengalami banyak kecacatan dan ia tidak harus dilaksana tergesa-gesa walaupun sistem berkenaan bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.

Beliau menyifatkan langkah kerajaan untuk terus melaksana AES merupakan langkah 'tidak popular' dan parti itu (GERAKAN) menerima banyak aduan daripada orang ramai.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung AES sehingga mendapat penjelasan daripada syarikat yang dipertangungjawabkan untuk melaksanakannya.

Beliau dipetik oleh BERNAMA sebagai berkata bahawa "Selangor ada beberapa cadangan buat mereka (dua syarikat konsesi) untuk diteliti jika kami bersetuju dengan pelaksanaannya, bagi menunjukkan projek itu lebih adil bagi kedua belah pihak."

Adakah Khalid bermain politik seperti yang dituduh oleh Cho Ha? Tentu tidak.

Umum sedia maklum bahawa negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat memutuskan untuk menangguh pelaksanaan AES. Mereka tidak bermain politik tetapi bertindak atas kepentingan awam sama seperti yang disuarakan oleh anggota-anggota Parlimen mewakili BN.

Yang bersandiwara dan bermain politik adalah Cho Ha dan MCA, sebuh parti yang ditolak oleh pengundi terutama masyarakat Cina Malaysia pada pilihan raya lepas dan yang besar kemungkinan akan dikuburkan buat selama-lamanya pada pilihan raya ke-13 tidak lama lagi.

MCA bukan lagi satu aset kepada BN tetapi satu beban kerana majoriti masyarakat Cina telah menolak parti itu sebagai wadah untuk menyuarakan kepentingan mereka.

Cho Ha boleh terus 'berlakon' atas pentasnya yang bakal roboh itu.

http://kudaranggi.blogspot.com

Hudud Dan Masyarakat Cina

Posted: 10 Nov 2012 08:30 PM PST

Pendedahan tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, UMCEDEL mengenai pemahaman masyarakat Cina terhadap hudud baru-baru ini, nyata membuka mata ramai pihak. Tinjauan tersebut mendapati, terdapat peningkatan sokongan masyarakat Cina terhadap pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.

Lebih signifikan, bilangan peratusan mereka yang menerima pelaksanaan hukum hudud di negara ini meningkat dari 12 peratus dalam tinjauan terdahulu kepada 24 peratus dalam tinjauan terbaru.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 12 peratus. Manakala peratusan masyarakat Cina yang tidak pasti dengan hudud telah menurun daripada 38 peratus sebelum ini kepada hanya 25 peratus.


Apa yang menarik mengenai tinjauan pendapat tersebut ialah generasi muda Cina telah mempamerkan kecenderungan untuk memahami pelaksanaan hudud berbanding golongan yang lanjut usia.

Kesemua hasil tinjauan pendapat UMCEDEL itu jelas menidakkan tanggapan selama ini bahawa masyarakat Cina mempunyai persepsi serong terhadap hudud. Pastinya, pendedahan ini bakal mengundang perasaan gundah-gulana kepada parti MCA yang begitu lantang membantah pelaksanaan hudud.

Persoalannya, apakah pucuk pimpinan MCA di bawah kendalian Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek akan memberi perhatian kepada kajian ini, atau meneruskan agenda untuk menentang hudud dan menolak bulat-bulat kajian itu?

Sekalipun bilangan responden Cina yang ditemuramah tidak sebanyak mana, namun bilangan kecil responden juga mewakili suara hati akar umbi.

Nyata, beberapa mesej tersirat dapat disimpulkan menerusi tinjauan pendapat itu. Antaranya, masyarakat Cina kini sudah makin celik dan berpengetahuan. Berbekalkan pengetahuan yang dimiliki dan ditambah pula dengan pendedahan terhadap ICT, maka tidak mustahil orang Cina tidak akan menerima sebarang propaganda secara membuta-tuli.

Orang Cina juga menghantar mesej kepada MCA bahawa hudud bukanlah isu utama yang dibimbangi mereka. Sebaliknya, isu-isu yang bersifat seharian seperti jenayah, rasuah, kos sara hidup dan keselamatan yang mendominasi pemikiran mereka.

Dalam keadaan ekonomi global yang masih terumbang-ambing, soal kelangsungan hidup makin kuat kedengaran. Jika kita meneliti kembali isu-isu yang mendominasi pada PRU ke-12 lalu, kebanyakan isu yang menjadi tumpuan masyarakat Cina bukannya hudud.

Malah sebagai seorang pengundi, isu-isu yang bersifat seharian inilah yang akan mempengaruhi pertimbangan parti politik yang akan disokong penulis kelak.

Apabila MCA baru-baru ini beria-ia menghentam pelaksanaan hukum hudud atas dasar ia akan mengheret negara ke kancah kemunduran, ada baiknya isu berkenaan tidak dipanaskan sebegitu rupa.

Walaupun bukan beragama Islam, penulis yakin dan percaya ada manfaatnya jika segala kekeliruan dan kecelaruan pihak berkaitan terhadap hudud diperjelaskan dengan sebaik-baiknya.

Oleh itu, penjelasan yang diberikan oleh tokoh-tokoh agama sedikit sebanyak dapat membantu meleraikan kekeliruan yang berbangkit. Walaupun secara prinsipnya MCA tidak akan berkompromi dalam isu hudud, tetapi sekurang-kurangnya dengarlah penjelasan oleh tokoh-tokoh agama terlebih dahulu.

Usahlah membuat tanggapan atau persepsi melulu bahawa hudud adalah negatif dan memudaratkan. Isu agama bukanlah sesuatu yang boleh dibangkitkan secara sewenang-wenangnya. Apa faedahnya isu ini terus digembar-gemburkan hingga kecoh jadinya di seluruh negara? Mengapa tidak MCA mengambil pendirian yang lebih pragmatik dalam mendidik masyarakat Cina dalam isu hudud?

Di manakah kewajaran untuk terus bertegas tetapi pada masa yang sama, kefahaman masyarakat Cina terhadap isu itu semakin meningkat? Tidakkah strategi sedemikian hanya memakan diri? Bukankah ini juga bercanggah dengan realiti semasa?

Hidup dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia, menuntut kita semua untuk bertoleransi antara satu sama lain. Apa yang tidak difahami dan tidak jelas, maka diperjelaskan kepada golongan yang terbabit.

Tidak rugi untuk MCA mendengar penjelasan tokoh-tokoh agama mengenai hudud. Tidak rugi juga untuk masyarakat Cina mendengar perkara yang sebenarnya. Soal untuk menerima atau membantah hukum hudud, itu soal kedua tetapi kesediaan mendengar itu adalah langkah permulaan yang baik.

Sama ada masyarakat Cina menerima pelaksanaan hudud atau tidak, masih terlalu awal untuk menentukannya. Tetapi apa yang pasti, masyarakat Cina perlu diberi kebebasan untuk menilai apa yang baik dan apa yang tidak baik.

Sebarang bentuk paksaan atau amaran yang dilakukan parti tertentu mungkin memberi kesan yang sebaliknya. Tidak semestinya semua strategi yang digunapakai akan memberi kesan yang dimahukan. - MalaysianInsider

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=1042

Kemarahan umat Islam terhadap kebiadapan rakan sebantal UMNO tidak dapat dibendung lagi

Posted: 10 Nov 2012 06:30 PM PST

MARANG: Hampir 1,000 umat Islam yang selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Rusila, semalam mengadakan bantahan secara aman terhadap kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang disifatkan menghina hudud serta hukum Islam.

Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali (gambar kiri) berkata Presiden MCA itu tidak mengetahui perundangan Islam tetapi bersikap kurang ajar kerana menghina hukum hudud dan Islam amnya.

Menurutnya, pemimpin MCA tersebut juga biadap kerana mempertikai agama Islam dengan mempersoalkan hudud yang telah digubal di Kelantan dan Terengganu sebagai hudud versi PAS.


"Tunjukkan contoh, di mana lemahnya (hudud), di mana kurang atau pun tempat tidak kena undang-undang hudud yang digubalkan khususnya di Terengganu dan Kelantan yang telah mengubalkan undang-undang di bawah Kanun Jenayah Syariah," ujarnya.


Antara pemimpin PAS yang hadir dan berucap iaitu Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Dr Alias Razak, Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Ahmad Faizul Wan Abas dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu, Syeikh Muhammad Hanafi.

Yahaya selaku Yang Dipertua PAS Marang menegaskan perhimpunan secara aman tersebut bagi menyatakan sikap serta pendirian PAS mempertahankan Islam.

Ini kerana, kata beliau, hati umat Islam di negara ini terguris, terkilan dan marah dengan kenyataan dibuat oleh mereka yang tidak faham serta membenci Islam.

"Ini (demontrasi) adalah untuk menyatakan sikap dan pendirian kita membela Islam. Hati umat Islam terguris, terkilan dan marah dengan kenyataan-kenyataan dibuat oleh mereka yang tidak faham dan dilihat seperti membenci agama Islam.

"Kita sendiri juga diajar oleh agama (Islam) agar kita tidak menghina agama-agama lain walau pun kita tidak bersetuju dengan agama-agama lain (namun) kita tidak sampai menghina agama-agama mereka," jelasnya.

http://kedahla.blogspot.com/2012/11/kemarahan-umat-islam-terhadap.html

Umno Sedang Gali Kubur Sendiri

Posted: 10 Nov 2012 05:00 PM PST

mno-BN sedang menggali kuburnya sendiri. Begitulah perkembangan politik mutakhir ini. Dalam beberapa isu besar yang berlaku akhir-akhirnya, Umno-BN dilihat lebih banyak bertahan daripada menyerang.

Ada beberapa isu yang dilihat bakal menyusahkan Umno-BN mengekalkan kuasanya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan tamat tempohnya pada 24 April 2013.

1. Isu hudud Datuk Seri Chua Soi Lek. Dalam persidangan agung MCA yang lalu, presidennya Datuk Sri Chua Soi Lek buat kesekian kalinya menyerang hudud dan kenyataan menghina Islam. Beliau sebelum ini telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan menghina Islam dan Umno dilihat seolah-olah merestuinya.


Dari sudut politik, MCA mungkin bertujuan menarik kembali sokongan masyarakat Cina daripada DAP. Pada masa yang sama Umno berharap akan berlaku pertelingkahan antara PAS dan DAP. Namun, isu ini bukan sahaja tidak berupaya memecahkan tali persahabatan PAS dan DAP, malah menjadi senjata makan tuan.

Walaupun isu ini tidak menjejaskan sokongan penyokong setianya dalam pertarungan politik. Namun, memberi peluru kepada musuh bukanlah sesuatu yang dimahukan oleh Umno.

2. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Isu PTPTN boleh menjadi salah satu pemangkin terkuburnya Umno-BN. Tawaran Pakatan Rakyat untuk melupuskan hutang PTPTN adalah sesuatu yang sukar ditolak oleh mahasiswa yang waras dan mengikuti perkembangan politik serta ekonomi semasa.

Berpuluh ribu graduan sama ada yang telah bekerja mahupun yang masih menganggur terikat dengan pinjaman tersebut. Ada yang mampu membayarnya, ada yang tidak mampu dan ada yang sengaja tidak mahu bayar.

Orang yang berhutang wajib melunaskan hutangnya, tetapi orang yang memberikan hutang boleh melupuskan hutang orang yang berhutang. Oleh itu, jika tawaran PR ini menjadi pilihan para peminjam PTPTN, nyawa Umno-BN bakal berakhir.

3. Gelombang Sabah. Sabah sebelum ini pernah diwar-warkan Sabah sebagai simpanan tetap Umno-BN. Namun, perkembangan politik Sabah akhir-akhir ini tidak boleh dipandang ringan. Pengunduran beberapa tokoh pemimpin Sabah daripada Umn-BN dan menyertai PR merupakan sesuatu yang amat menarik. Perkara ini berlaku kerana banyak sebab. Salah satunya, ramai rakyat Sabah yang sudah mula menyedari bahawa negeri mereka terpinggir daripada pembangunan fizikal walaupun hasil buminya yang banyak, namun hasil tersebut tidak sampai kepada mereka. Oleh itu, harapan diletakkan kepada pemerintah yang baru, jika berjaya menguasai kerajaan pusat.

Hakikatnya, Sabah pernah beberapa kali bertukar kerajaan antara Usno, Berjaya, PBS dan Umno. Salah satu kaedah pertukaran kerajaan ialah akibat pemimpin parti keluar parti dan menyertai parti lain atau menubuhkan parti baru. "Ini Kalilah", Sabah bakal melakar satu lagi sejarah dalam politik tanah air. Pada kali ini, Sabah bukan sahaja mungkin menukar kerajaan negerinya sekali lagi, bahkan tidak mustahil membantu menukar kerajaan pusat sekali gus.

4. Isu Felda. Kewujudan Felda merupakan suatu tapak yang paling baik bagi Umno-BN mengekalkan kuasanya. Hal ini kerana, Felda berada hampir di seluruh negara. Secara umumnya, peneroka Felda ialah penyokong tegar Umno-BN. Namun, dengan pelbagai perkembangan akhir-akhir ini menjadikan Felda bukan lagi simpanan tetap Umno-BN.

Warga Felda sudah mula bangkit, sudah berani menyaman kerajaan dan menuntut hak. Apatah lagi sudah ramai generasi keduanya yang berpendidikan tinggi dan tinggal di luar Felda. Generasi kedua ini menjadi lebih terbuka pemikirannya kerana banyak bercampur gaul dengan masyarakat luar dan terdedah dengan pelbagai maklumat.

Apatah lagi dengan isu Felda Global Ventures (FGV) yang menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. Semakin lama isu ini berlangsung semakin banyak tembelang Umno-BN terlondeh dan semakin kurang penyokong Umno-BN.

5. Warga pendidik. Jumlah warga pendidik hampir 500 ribu. Jumlahnya agak besar dan mempunyai kesan yang bukan sedikit terhadap keseimbangan politik negara. Walalupun isu yang membaitkan guru tidak sehebat isu FGV, namun perlu diingat, mereka merupakan golongan terpelajar. Berbanding warga Felda, mereka tentunya tidak mudah dibeli dengan sehelai kain batik atau RM50 atau sejumlah saham.

Oleh itu, sikap tidak prihatin Umno-BN terhadap beberapa isu pendidikan mungkin membawa padah. Salah satunya ialah perubahan status sekolah vokasional yang turut mengubah waktu bekerja daripada waktu biasa kepada waktu baru yang lebih panjang iaitu dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Bahkan pengenalan sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) bukanlah sesuatu yang membuatkan warga pendidik menjadi semakin intim dengan Umno-BN. Sudahlah isu PPSMI sebelum ini masih belum kebah sepenuhnya.

Dengan dasar yang sering berubah-ubah dan bebanan tugas yang semakin bertambah, saya tidak fikir Umno-BN semakin popular dalam kalangan guru.

PR menawarkan imbuhan secara bulanan jika berjaya membentuk kerajaan. Hal ini kerana, PR amat sedar bahawa golongan ini melakukan pekerjaan yang paling mulia iaitu menyampaikan ilmu kepada anak bangsanya. Mereka merupakan barisan paling hadapan dalam menentukan masa depan negara.

6. Penyelewangan dana awam. Kemuncak kepada penyelewengan dana awam ialah kes yang membabitkan National Feedlot Corporation (NFC), syarikat milik suami Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Kes ini bukan semata-mata membabitkan menyalahgunaan dana awam yang banyak, tetapi pendedahan oleh laporan audit negara adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan dengan mudah oleh Umno-BN.

Dalam kes ini, Perdana Menteri langsung tiada hujah untuk mempertahankannya, sehinggakan Datuk Seri Shahrizat terpaksa diturunkan daripada kerusi senatornya sekaligus jawatan menteri yang dipangkunya.

Namun, rakyat tidak mudah untuk melupakan isu ini begitu sahaja. Penyelewangan dana awam sebanyak RM250 juta bukanlah sesuatu yang kecil anak. Banyak perkara yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat jika wang sebanyak berada ditangan pemimpin yang jujur.

Jika rakyat mahukan duit ini dikembalikan atau isu ini diselesaikan, mereka tiada pilihan melainkan memberikan kuasa kepada PR pada PRU13 nanti.

7. Automated Enforcement System (AES). Pelaksanaan sistem ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan rakyat, malah turut tidak dipersetujui oleh ahli parlimen dan penyokong Umno-BN sendiri. Hal ini kerana, sistem ini lebih banyak menyusahkan rakyat berbanding tujuan asalnya yang dikatakan untuk mendidik pengguna jalan raya.

Dalam hal ini, pelaksanaan AES dilihat sebagai satu usaha kerajaan memeras duit rakyat dengan cara yang lebih mudah dan tersusun – atas nama kesalahan lalu lintas. Dalam hal ini rakyat bakal terbeban dengan saman dan tiada cara lain untuk menghentikan kegilaan ini melainkan memenangkan PR dalam PRU13 nanti.

8. Penurunan harga kenderaan. Sekali imbas isu penurunan harga kenderaan tidak akan menggugat Umno-BN. Namun dalam senyap isu ini telah menjalar dalam kalangan rakyat.

Ayat, "Kalau nak beli kereta, tunggu selepas pilihan raya umum ke-13." Biasa didengar di mana-mana. Hal ini menunjukkan bahawa perkara ini bukanlah sesuatu yang kecil. Hal ini kerana, sudah diketauhi umum bahawa harga kereta di Malaysia amat mahal berbanding dengan nisbah pendapatan dan kos hidup. Umum juga mengetahui bahawa cukai yang dikenakan begitu mahal terhadap kereta import demi menyelamatkan kereta nasional yang mempunyai kepentingan kroni padanya.

Jadi, tawaran PR bahawa akan menurunkan harga kereta apabila memenangi PRU13 nanti sememangnya sesuatu yang ditunggu oleh rakyat.

9. Cukai barangan dan perkhidmatan (Good and Service Tax – GST). Kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan bukanlah sesuatu yang menjadi sebutan umum. Namun, apabila nilai wang menjadi semakin kecil, dan rakyat pula terdesak untuk memenuhi keperluan asas yang semakin tinggi nilainya berbanding pendapatan.

Keperluan asas seperti tanah/rumah, kenderaan, kos pendidikan, kos makan minum dan kos perubatan semakin meningkat. Pada masa yang sama rakyat dilaungkan oleh pemimpin supaya berjimat cermat. Padahal rakyat dengan mata kepala sendiri melihat pemimipin negara dan konco-konconya hidup dalam suasana yang mewah.

Akhirnya, rakyat mula berfikir bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk mengubah keadaan ini. Pemimpin cakap tidak serupa bikin. Rakyat bersusah payah membayar cukai tetapi pemimpin senang-senang sahaja membelanjakan dana awam tanpa mengambil kira kesusahan rakyat.

Pada masa yang sama mereka mula membandingkan, negeri-negeri yang diperintah oleh PR terutamanya Kelantan lebih telus dalam membelanjakan wang rakyat atau sekurang-kurangnya tidak membebankan dengan pelbagai cukai.

Kesimpulannya. Selain faktor di atas, banyak lagi kemungkinan yang bakal menamatkan riwayat Umno-BN. Senarai itu hanyalah sebahagian daripada senarai panjang kesilapan dan keangkuhan Umno-BN dalam melayan kehendak rakyat. Jika Umno-BN terus tidak berubah nescaya mereka akan rebah!

Namun, walaupun Umno-BN dilihat tertekan dengan pelbagai isu, tetapi perlu diingat, mereka masih menguasai media dan pelbagai agensi kerajaan. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku terutama apabila PR tersilap strategi pada saat akhir menjelang pilihan raya.

Oleh Majdan Dagang

Jom Layan Ceramah Orang Gila..

Posted: 10 Nov 2012 03:52 AM PST

Semasa Chua Soi Lek hina Islan hari tu babi bangsat ni menyorok kat mana ek??


Tiada ulasan: