Sabtu, 10 November 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Kenyataan Izzah Dimanipulasi Supaya Nampak Teruk – Imam Muda

Posted: 10 Nov 2012 12:34 AM PST

Juara program realiti Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Ridzuan berkata, ada pihak sengaja memperbesarkan isu murtad dan kebebasan beragama supaya nampak teruk dan dijadikan topik hangat, sedangkan ia perkara biasa yang sering dibincang dalam majlis ilmu.

"Isu ini jadi menarik dan sensitif kerana ia telah dimanipulasi, dibesar-besarkan sehingga kita rasa perkara ini sangat teruk dan perlu untuk dibincangkan," katanya merujuk kenyataan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama yang diputar belit oleh Utusan dan media pro-BN.

Beliau berkata demikian dalam forum 'Kebebasan beragama atau murtad?' di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor malam tadi.

Dalam Islam, Asyraf berkata, tiada tuntutan untuk memaksa orang lain percaya dengan keyakinan dan pendapat seseorang.

"Setiap individu bebas untuk memberi pendapat, melahir dan bertukar pandangan, bebas untuk masuk agama Islam tanpa paksaan. Namun, apabila berada dalam Islam, ikutlah syariah sebetulnya," katanya.

Pendakwah, Wan Ji Wan Hussin pula berkata, dalam agama tidak perlu ada unsur memaksa untuk melahirkan penganut yang berkualiti.

"Dalam bercintapun kita kena telus apatah lagi dalam beragama, kita tidak perlu menghukum murtad, tapi berdakwahlah," katanya yang dikenali sebagai Ustaz Wan Ji.

"Ubat kepada penyakit murtad adalah keyakinan, dan keyakinan diperoleh melalui kebebasan," jelas beliau.

Wan Ji turut mempersoal tindakan pihak yang cuba mengkritik isu murtad dan agama walhal tidak mendalami isu tersebut.

"Ini yang (saya) nak komen Saifuddin Abdullah, Khairy Jamaluddin, Perkasa, jangan jadikan pemikiran rakyat itu semakin sempit," tegasnya.

Panelis lain dalam forum itu adalah penulis lirik, Hasmi Hashim dan bekas Setiausaha Akhbar Ketua Pembangkang, Eekmal Ahmad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves, Amirudin Shari pula sebagai moderator.

Umno guna agama untuk takutkan Melayu

Mengulas sama serangan terhadap Izzah, Hasmi berkata, Umno BN gunakan isu agama sejak 50 tahun lalu sebagai ancaman untuk takutkan orang Melayu.

"(Kerajaan) menggunakan elemen politik ketakutan sebagai senjata politik mereka untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Dan ketakutan itu boleh dinamakan atas nama agama, bangsa ataupun raja-raja," katanya.

Ketua Cabang KEADILAN Parit Sulong itu mempersoal sikap kerajaan yang hanya berminat menjadikan isu agama sebagai polemik dan bukan mencari jalan penyelesaian.

"Kenapa tidak diadakan debat atau forum seperti ini di media arus perdana? Hanya membesarkan isu tanpa yang dituduh diberi sedikit peluang pun untuk membela diri," tegasnya.

Justeru kata Hasmi, perbincangan seperti itu perlu diadakan di media massa dan semua pihak wajar diberi ruang.

Beliau menyeru generasi muda memikirkan semula sama ada strategi itu masih relevan untuk diaplikasi pada masa kini.

Forum itu dihadiri lebih kurang 200 hadirin dan turut mendapat sambutan golongan bukan Islam.-KD

TGNA: Izzah Tidak Bernasib Baik Kerana Dia Pembangkang

Posted: 09 Nov 2012 10:32 PM PST

Nik Aziz pertahan Nurul Izzah

Kota Bharu - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berikutan pelbagai kecaman sesetengah pihak ekoran kenyataannya dikatakan meremehkan soal akidah atau menerima orang Islam yang memilih untuk murtad.

Abdul Aziz berkata, kenyataan Nurul Izzah menjadi perkara serius dan dibincangkan oleh pelbagai pihak memandangkan beliau merupakan anggota parti pembangkang yang sememangnya sentiasa tidak sehaluan dengan pihak lawan.

Oleh itu, menurutnya setiap perkara mahupun kenyataan yang dibuat oleh pembangkang diputar belit untuk menjadikannya buruk.

"Bagi saya dalam isu ini, Izzah tidak bernasib baik kerana dia pembangkang, apabila buat benda sikit walaupun perkataannya boleh menjadi celaru juga tetapi ia menjadi 'gege gegok' (diperbesarkan)," katanya ketika menyampaikan Kuliah Mingguan di sini, semalam.

Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita selepas Kuliah Mingguan, Nik Aziz yang juga Menteri Besar menyalahkan laporan media dan katanya, tidak semestinya apa dikeluarkan media serupa dengan kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

"Izzah lain surat khabar lain.... yang Izzah bercakap mestikah serupa yang akhbar siarkan? Sebab itu kali pertama saya tengok benda ini disiarkan akhbar saya rasa bukan dia," katanya kepada media semalam.

Nik Aziz berkata, berdasarkan keterangan daripada Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang hadir bersama-sama Nurul Izzah dalam forum Islamic State: Which version? Whose responsibility? di Subang Jaya Sabtu lalu, ia tidak sama dengan kenyataan Nurul Izzah.

"Saya pembangkang dan saya juga dituduh sebagai bapa kafir, sedangkan saya ini pejuang Islam," katanya. -SH

300,000 Tiada IC Mahu Demo Depan JPN 5 Disember

Posted: 09 Nov 2012 08:06 PM PST

Himpunan Duduk Bantah akan diadakan depan bangunan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya 5 Disember ini jika Perdana Menteri gagal selesaikan permasalahan kad pengenalan melibatkan lebih 300,000 kaum India di negara ini.

"Najib (Razak) masih ada masa untuk selesaikan masalah ini dan jika tidak, himpunan tetap diteruskan sebagaimana dijadual berlangsung pada jam 10.00 pagi.

"Kami menjangkakan ribuan kaum India terutama mereka yang dinafi dari mendapatkan kad pengenalan sejak sekian lama akan hadir dalam himpunan itu yang kami namakan 'Duduk Bantah' ini," kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Menurutnya, persediaan untuk himpunan itu sudah mula digerakkan dan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), aktivis masyarakat, peguam termasuk pemimpin Pakatan Rakyat terutama berketurunan India sudah mengesahkan kehadiran.

"Kami akan terus duduk bantah dan berkhemah depan pejabat JPN hingga masalah ini diselesaikan. Kami berharap pihak berkuasa menolak dari menjadi kuda tunggakan Najib untuk menghalang himpunan ini," tegasnya.

Sementara itu, R Sarathrajan yang dinafi dari memiliki kad pengenalan walaupun sijil kelahirannya menyatakan beliau adalah warganegara, turut mengesahkan kehadiran pada himpunan itu. -KD

Gelidah Tanpa Waran, Ahmad Mahu Polis Tubuh Jawatankuasa Siasatan

Posted: 09 Nov 2012 05:53 PM PST

Juruukur bahan yang didakwa menghina Sultan Johor di laman Facebook hari ini membuat laporan polis menggesa satu siasatan dijalankan terhadap pihak polis yang bertanggungjawab dalam siasatan terhadapnya kerana dakwanya telah menyalahgunakan kuasa mereka.

Ahmad Abdul Jalil, 27 yang ditemani keluarganya, beserta peguam hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 3.30 petang hari ini turut meminta Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi tujuan tersebut dan juga demi keselematan dirinya dan keluarga.

"Ahmad menuntut pihak polis menyiasat anggota mereka yang terlibat dalam kes ini telah menyalahgunakan kuasa mereka apabila menggeledah rumah keluarganya tanpa waran serta tidak memberikan hak kepadanya untuk berjumpa peguam dan keluarga.

"Kami (juga) meminta Bukit Aman untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi memastikan keselamatan Ahmad dan keluarganya terjamin," kata peguam yang mewakili Ahmad, Fadiah Nadwa Fikri.

Sementara itu, Ahmad ketika sidang media selepas laporan polis itu dibuat berkata, dirinya mengalami tekanan emosi akibat tindakan pihak polis semasa sesi soal siasat, di samping tidak memberi kebenaran kepadanya untuk bertemu keluarga dan peguamnya.

"Saya tiada niat untuk tarik perhatian umum .... (tetapi) ketika ditahan, saya tidak diberikan hak untuk jumpa peguam dan keluarga.

"Tuduhan mereka juga tidak berasas .... bukan saya yang lakukan perkara itu (hina Sultan Johor) ....saya bukan penjenayah," kata Ahmad kepada pemberita.

Beliau juga meminta pihak polis diberikan kebebasan untuk menyiasat kes ini dan mengambil berat terhadap keselamatan dirinya.

"Bukit Aman perlu siasat dan ambil berat kes ini .... dan perlu diberikan kebebasan untuk menyiasat kes ini," katanya lagi.

Ahmad semalam telah didakwa di Mahkamah Johor Baru atas dua pertuduhan, masing-masing di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di atas dakwaan menghina Sultan Johor di laman Facebook.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah, dan telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Sebutan bagi kes ini akan didengar pada 28 November 2012 di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 Johor Bahru.

Beliau sebelum ini telah ditahan di pejabatnya di Cheras, sebelum di bawa ke Johor oleh pihak polis. -TMI

Himpunan Rakyat Desak Batal Perlaksanaan AES Dalam Tempoh Seminggu

Posted: 09 Nov 2012 03:26 PM PST


Manjung, 9 NOV : NGO 'Bantah AES' mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha untuk membatalkan perlaksanaan Sistem Penguatkuasaaan Automatik (AES) dalam tempoh seminggu.

Koordinator Bersama, Bantah AES, Saifullah Zulkifli menegaskan, sebarang usaha untuk menangani masalah kemalangan adalah disokong.

Akan tetapi pelaksanaan AES adalah meragukan dan membebankan rakyat.

"Pihak Bantah AES dengan ini memberi tempoh seminggu kepada Datuk Seri Kong Cho Ha untuk membatalkan pelaksanaan AES dan memberi respon terhadap bantahan ini.

"Jika berlaku sebaliknya, satu lagi perhimpunan 'BANTAH AES' bersama pimpinan Pakatan Rakyat (PR) akan diadakan ke Parlimen," katanya dlam satu kenyataan media.

Beliau berkata demikian selepas Himpunan Rakyat Bantah AES yang dihadiri 500 orang penyokong di Sitiawan, Perak hari ini.

Mereka mula berkumpul di Masjid An-Nasyirah, Sitiawan selepas solat Jumaat dan kemudiannya berarak ke pejabat Cho Ha yang juga Ahli Parlimen Lumut.

Memorandum bantahan terhadap AES ini mengemukakan empat faktor mengapa sistem itu ditolak.

Empat faktor yang dinyatakan dalam memorandum tersebut adalah latar belakang dua buah syarikat yang dilantik dan perjanjian penswastaaan amat mencurigakan.

Memorandum itu juga berkata kemalangan tidak disebabkan hanya kerana kelajuan semata-mata dan perlaksanaan AES menambahkan beban kewangan kepada rakyat.

"Pihak Bantah AES menyatakan kekesalan terhadap sikap penakut Ahli Parlimen Lumut, Datok Seri Kong Cho Ha untuk berhadapan dengan rakyat dan hanya menghantar kerani pejabat parlimen untuk menerima memorandum tersebut," ujarnya lagi.

Himpunan ini dihadiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat, NGO dan pimpinan masyarakat.

Antara pimpinan yang hadir dan memberi ucapan adalah wakil PKR Perak, Chang Lih Kang, Dr Raja Ahmad Iskandar yang wakili Dewan Pemuda Pas Perak, Siti Aisyah Sheik Ismail selaku wakil PKR Pusat dan beberapa pimpinan NGO lain.

[VIDEO] 20 Ahli Perkasa Berdemo Depan Balai Polis Ketika Azan Berkumandang

Posted: 09 Nov 2012 07:01 AM PST


Kerteh 9 November: Kira-kira 20 ahli Perkasa biadap dan tidak menghormati agama apabila melakukan demontrasi ketika azan berkumandang di Masjid Sultan Mizan di sini, tengah hari ini.

Mereka membawa kain rentang dan berkumpul depan balai polis Kerteh sambil terjerit-jerit menghambur kata kesat kepada rombongan bas Jelajah Merdeka Rakyat yang singgah untuk solat Jumaat.

Namun, gangguan itu tidak menghalang jemaah masjid menyambut kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun kedudukan lokasi demontrasi berkenaan hanya dipisah dengan jarak 50 meter.

Keadilan Daily yang turut menyertai siri Jelajah Merdeka Rakyat, difahamkan kumpulan ahli Perkasa yang mengadakan demontrasi itu, bukan penduduk tempatan.

Mengikut jadual, Anwar bertemu rakyat dalam jamuan di Kampung Gelugor, Kerteh, selepas solat Jumaat.

Jam 4.30 petang pula, Ketua Umum KEADILAN itu mengadakan ceramah dan bersantai di Syahbandar, Kuala Terengganu.

Selepas solat dan tazkirah Maghrib di Surau Ladang Sekolah, Kuala Terengganu, Anwar dijadual berucap pada ceramah perdana di Markas KEADILAN, Kampung Kubang Palas, Kuala Telemong, Hulu Terengganu.

Beliau juga berceramah di ceramah di tapak pasar Teluk Ketapang, Seberang Takir, antara jam 8.

30 malam hingga 12 tengah malam.

Selain Anwar, antara penceramah lain yang dijangka berucap ialah Datuk Saifuddin Nasution; Azan Ismail; Dr Alias Abdul Razak; Rafizi Ramli; Abdul Rahman Yusof;, Mahyuddin Abdul Rashid dan Ng Chai Heng.

[VIDEO] Nurul Izzah Temui JAIS, Serah Transkrip Ucapan

Posted: 09 Nov 2012 05:41 AM PST

Nurul Izzah serahkan transkrip ucapan forum kepada Jais, saman terhadap akhbar diteruskan.

SHAH ALAM, 9 Nov — Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar bertemu dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin untuk memberikan penjelasan dan menyerahkan transkrip ucapannya berhubung dengan forum yang menjadi kontroversi kerana dikatakan beliau menyokong kebebasan beragama termasuk kepada orang Melayu-Islam di negara ini.

"Saya telah memberikan aduan yang menyatakan penjelasan perkara sebenar kepada pengarah Jais, Datuk Marzuki.

"Dan Alhamdulillah Jais telah memberikan kerjasama yang baik," katanya ketika ditemui oleh pemberita selepas bertemu dengan Jais.

Nurul Izzah ditemani oleh peguamnya, Fadlina Sidik bertemu dengan pengarah dan tiga orang penguatkuasa Jais turut menyatakan kerjasamanya kepada badan penguatkuasa Islam negeri Selangor tersebut.

Fadlina memberitahu pemberita bahawa saman terhadap akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa blog akan tetap diteruskan kerana memutarbelitkan kenyataan beliau dalam sebuah forum minggu lalu.

Semalam, Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin menyatakan kesediaannya untuk menyediakan peguam kepada Utusan Malaysia jika disaman oleh Nurul Izzah.

"Saya baru berbincang dengan peguam kanan untuk mempertahankan Utusan Malaysia jika disaman.

"Saya bersedia jadi peguam untuk Utusan Malaysia tanpa bayaran ..... dan saya nak beritahu Anwar, Nurul Izzah, kamu akan terkejut beruk siapa yang akan pertahankan Utusan Malaysia," katanya dalam forum anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) itu.

Jelasnya lagi, tindakan yang dibuatnya itu bukan hanya semata-mata mempertahankan media tersebut, sebaliknya bertujuan menyelamatkan dan mempertahankan masyarakat Melayu dan Islam kerana akhbar itu tegasnya menjadi lidah rasmi perjuangan mempertahankan Islam.

"Kami bukan mempertahankan Utusan Malaysia, kami mempertahankan Melayu, Islam," katanya.

Dalam kiriman SMS kepada The Malaysian Insider sebentar tadi, Nurul Izzah menjelaskan selain daripada menyerahkan transkrip ucapannya kepada Jais, beliau turut membuat aduan kepada Jais terhadap manipulasi kenyataannya yang dilakukan oleh akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa blog.

Kenyataan yang didakwa dibuat Nurul Izzah tentang kebebasan beragama termasuk kepada orang Melayu-Islam mendapat respon negatif pelbagai pihak.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan yang dibuat Nurul Izzah tersebut. -TMI

Nurul Izzah sudah jelaskan, pemimpin Umno bagaimana?

KUALA LUMPUR: Tindakan yang dibuat oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertepatan dengan pepatah 'kembali kepada kebenaran lebih baik daripada kekal di dalam kebatilan', kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Begitupun, katanya seronok apabila lihat pemimpin Umno cuba menjadi juara pembela agama atas isu ucapan Nurul Izzah di Gereja Full Gospel Tabernacle, Subang Jaya, Sabtu lalu.

Beliau berkata, Nurul Izzah sudah menjelaskan apa maksud kenyataan beliau selepas timbulnya polemik itu.

"Beliau menjelaskan 'sekiranya seseorang itu telah memeluk Islam maka dia tertakluk dengan syariat Islam', kenapa Umno terus bising," ujarnya dalam satu kenyataan.

Baginya, Nurul bukan manusia yang degil seperti pemimpin Umno, walaupun salah dan ditegur mereka tidak menarik balik kenyataan mereka.

"Persoalannya ucapan pimpinan Umno yang jelas merbahaya kepada akidah tidak pernah ditarik balik seperti kenyataan yang memperlekehkan hukum hudud," ujarnya kepada Harakahdaily.

Terbaru Tun Dr Mahathir mengatakan Malaikat juga buat salah. Begitu juga kenyataan Najib yang mengatakan sindrom qiamullail sewaktu beliau sebagai Menteri Pelajaran.

Katanya, apabila Umno cuba hendak menunjuk juara pembela agama, semua makhluk yang waras akan ketawa dan senyum sinis.

Justeru, tanya beliau layakkah Umno hendak bercakap dan berlakon sebagai pembela agama.

Semua rakyat di negara ini maklum Umno hanya memperalatkan agama untuk kepentingan politik, justeru program agama hanya sekadar lepas batuk di tangga.

Oleh itu, katanya ceramah di televisyen hanya boleh bicara bab yang tidak menyentuh Islam yang syumul di mana penceramah yang lantang akan digam.

Begitu juga, ujarnya Umno mendirikan masjid, tetapi bukan untuk memakmurkan masjid menyebabkan masjid 'mati' sebelum ahli kariah mati kerana ahli jawatankuasa masjid dilantik bukan ahli masjid.

Baginya, Umno terpaksa menunjuk juara pembela agama untuk meraih sokongan orang Islam
.



Tiada ulasan: