Jumaat, 23 November 2012

bumiperak

bumiperak


Bekas KPN tidak setuju dengan saman AES

Posted: 23 Nov 2012 08:31 AM PST

KUALA LUMPUR, 23 Nov (M'Insider) Penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya diswastakan kerana ia hanya akan menimbulkan persepsi bahawa kerajaan hanya mahu membuat keuntungan ke atas rakyat, kata bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan, selepas Parlimen meluluskan sistem penguatkuasaan automatik tersebut untuk mendenda pengguna jalan raya yang memandu melebihi had laju.

Beliau mengulas tentang isu kontroversi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dibantah orang ramai dan ahli parlimen pembangkang kerana motif keuntungan dalam perjanjian konsesi kepada dua syarikat swasta yang dilantik untuk memasang dan menguruskan kamera berkelajuan tinggi itu dalam masa lima tahun.

"Bagi saya, penguatkuasaan tidak boleh diswastakan.

"Ia hanya akan menimbulkan persepsi bahawa kerajaan hanya mahu membuat keuntungan keatas rakyat," kata Musa (gambar) apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.
Musa bersetuju dengan kritikan bahawa terdapat banyak kelemahan pelaksanaan AES ini, termasuk keuntungan sebanyak 17 peratus kepada dua pemegang konsesi — ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap — yang memerlukan 2.72 juta saman setiap satu untuk lima tahun akan datang untuk memberi pulangan modal kepada pelaburan RM700 juta mereka.

Beliau memberitahu terdapat kesukaran dari penguatkuasaan dan denda yang dilaksanakan oleh syarikat swasta, jika orang ramai mencabar saman mereka di mahkamah.
Kata beliau lagi, terdapat dua jenis saman, pertama saman yang tidak boleh dikompaun dan yang kedua adalah saman yang boleh dikompaun.

Musa berkata saman yang kedua seharusnya diseliakan oleh badan penguatkuasaan kerajaan seperti polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Tetapi AES hanya perlu dibayar ke JPJ dan bukan polis, dari apa yang saya tahu. Orang ramai mempunyai dua cara, yang pertama bayar di kaunter JPJ, dan kedua, hadapi perbicaraan di mahkamah dan biar mahkamah yang putuskan," katanya lagi.

Walaupun begitu, Musa berkata AES adalah "sistem yang bagus" dan boleh digunakan untuk meningkatkan pemantauan keselamatan negara, tidak hanya sekadar untuk mengawal kesalahan trafik.

"AES adalah sistem yang bagus, tapi sepatutnya ia tidak hanya terhad pada trafik.
"Saya berharap ia dapat diperluaskan ke pelbagai sektor, seperti keselamatan," dengan menyenaraikan tempat seperti di lapangan terbang dan stesen keretapi untuk memantau keadaan di kawasan strategik.

Bagaimanapun, ahli parlimen BN mengundi untuk menyokong AES Rabu lalu apabila Kementerian Pengangkutan membentangkan anggaran perbelanjaan Bajet 2013 diluluskan parlimen, dimana ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) mengatakan ia adalah undi untuk sistem kamera yang tidak popular.

Sebanyak 831 kamera AES akan dipasang oleh dua syarikat swasta di seluruh negara dengan pengurusannya akan diserahkan kepada JPJ dalam masa lima tahun.
Awal bulan ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop dilaporkan memberitahu Parlimen bahawa polis akan meneruskan kamera perangkap laju bergerak walaupun AES diperkenalkan.

Kamera AES yang dibantah orang ramai, dalam fasa percubaan, dengan 14 dipasang di Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dan juga di Selangor walaupun kerajaan negeri PR mengatakan mereka menentang sistem denda yang diswastakan itu.

Tiada ulasan: