NGO Tukar mahu MB Pahang minta maaf
Sedutan paparan pertemuan Adnan dan salah seorang peserta demonstrasi Orang Asli, Rabu lalu, didakwa berakhir dengan cabaran Menteri Besar Pahang itu.
 
KUANTAN – Gabungan Tukar MB Pahang (Tukar) tidak bersetuju dengan tindakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob yang didakwa menghina Orang Asli ketika berhimpun di pekarangan Wisma Sri Pahang, tiga hari lalu.

Penyelarasnya, Lee Chean Chung berkata, sebagai pemimpin, beliau seharusnya lebih terbuka serta tidak mengeluarkan kata-kata negatif yang boleh menyinggung perasaan orang lain.

"Jika beliau (Adnan) marah sekalipun, tidak perlulah mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya. Tindakannya itu seolah-olah tidak menghormati golongan bawahan.

"Mereka juga sebahagian daripada rakyat Pahang dan mungkin juga salah seorang daripada pengundi beliau. Jadi, mereka sepatutnya mendapat layanan yang sebaiknya," katanya pada sidang media semalam.