Selasa, 9 Oktober 2012

Muslimeen United

Muslimeen United


Janji Bandar Baru Dabong jadi kenyataan

Posted: 09 Oct 2012 06:56 AM PDT



KUALA KRAI: Bukan sekadar mengingatkan rakyat terhadap tuntutan agama, sebaliknya ulama juga berjaya membawa Kelantan ke era baru dengan kemunculan bandar-bandar baru yang semakin bertambah.

Hampir semua jajahan di Kelantan memiliki kawasan pertumbuhan baru dengan pembangunan yang lebih terancangan dan tersusun.

Bermula dari Tumpat sehingga ke Gua Musang bandar-bandar baru boleh dilihat di merata tempat.

Tidak ketinggalan juga Dabong yang suatu ketika dahulu tempat buangan bagi guru-guru yang menyokong pembangkang, sekarang sudah jauh berubah.

Tidak lama lagi lanskap Dabong juga bakal berubah dengan pembangunan bandar baru yang terletak di Kampung Stong.

Kawasan seluas 45.6 hektar bakal dibangunkan taman perumahan yang lengkap dengan bangunan pejabat, rumah kedai, masjid, tadika, dewan orang ramai, taman permainan, pasar raya dan stesen minyak.

Kedudukannya di hadapan kilang papan Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK), di tengah-tengah perjalanan Jeli-Gua Musang. Berlatarbelakangkan banjaran Gunung Stong yang menempatkan air terjun yang tertinggi di Asia Tenggara.

Suasana persekitarannya begitu nyaman, awam yang kedudukan agak rendah seumpama berada di Tanah Tinggi Lojing.

Bandar Baru Dabong bakal menjadi kenyataan apabila majlis perletakan batu asas disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.

Bandar baru itu akan menempatkan 48 unit rumah teres kos sederhana rendah, 196 unit rumah teres kos sederhana, 56 unit rumah berkembar, 106 (banglow) dan 20 unit (rumah kedai).

Fasa pertama melibatkan pembinaan 12 unit rumah teres kos sederhana rendah, 29 unit (kos sederhana) dan seunit rumah banglow akan dibangunkan tidak lama lagi.

Projek tersebut dilaksanakan KPK dengan kerjasama DPS Group of Companies dibangunkan tiga fasa. Projek berkenaan membabitkan pelaburan lebih RM40 juta.

DPS sebuah syarikat yang berpangkalan di Melaka juga akan membina sebuah kilang perabot dengan pelaburan sebanyak RM15 juta, bakal menyediakan 100 peluang pekerjaan.

Pengerusi KPK, Zulkifli Mamat berkata, Bandar Baru Dabong dibangunkan mengambil masa kira-kira lima tahun.

"Bandar Baru Dabong di Stong akan menjadi bandar berkembar dengan pekan Dabong yang sedia ada. Dabong lama yang menempat stesen kereta api tidak lagi dapat menampung pembangunan baru memandangkan kawasannya agak terhad.

"Pekan lama mempunyai keistimewaan tersendiri dengan stesen kereta api yang menjadi tumpuan pelancong untuk mengunjungi Taman Negeri Stong," katanya selepas majlis perletakan batu asas dan perasmian pejabat baru KPK.

Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim berkata, janji kerajaan negeri untuk membangunkan sebuah Bandar baru di Dabong akhirnya menjadi kenyataan.

Kata beliau perkara itu terkandung dalam manifesto pilihan raya PAS Kelantan 2008.

"Saya antara orang yang paling gembira kerana janji-janji kita kepada rakyat pada pilihan raya umum lalu kini semakin menjadi kenyataan.

"Inilah yang dinamakan sebagai janji yang ditetapi. Kita juga mampu menepati janji-janji yang dibuat bagi manfaat rakyat," katanya. -Hrkh

Selangor Umum Ambil Alih Syarikat Tol Minggu Depan, Tol Percuma Bermula Januari?

Posted: 09 Oct 2012 06:55 AM PDT


Ini berita yang dterima dari sumber yang dekat dengan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor. Kerajaan Selangor khabarnya akan membuat pengumuman untuk mengambil alih beberapa syarikat konsesi lebuhraya (tidak dinamakan) yang beroperasi dalam negeri Selangor, minggu hadapan.

Sumber yang sama juga memaklumkan bahawa pengambilalihan ini akan membuka satu jalan kepada perlaksanaan salah satu janji begitu ditekankan dalam Buku Jingga iaitu tol percuma di laluan yang dikendalikan semua syarikat konsesi terbabit, bermula pada Januari 2013.

Sama seperti orang lain, maklumat ini agak mengejutkan dan nampak tidak masuk akal pada mulanya.

Tapi dengan mengambil kira pegangan kerajaan negeri dalam beberapa syarikat konsesi pengendali lebuhraya sekarang, tidak nampak kenapa kita perlu menolak kesahihan maklumat ini.

Untuk makluman, setakat yang dimaklumkan, kerajaan negeri mempunyai kepentingan melebihi 30% dalam syarikat pengendali lebuhraya KESAS (melalui PKNS), Grand Saga (Taliworks, Kumpulan Peransang Selangor - KPS) dan SPRINT (KPS).

Ditambah dengan syarat baru yang ditetapkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat negeri Mei lalu, agar semua projek lebuhraya yang mahu dijalankan di Selangor pada masa hadapan memerlukan exit clause, keyakinan ini bertambah.

Exit clause yang dimaksudkan adalah, pengurusan lebuhraya akan diserah semula kepada kerajaan negeri setelah syarikat pengendali konsesi mencapai keuntungan, tanpa mengambil kira tempoh keseluruhan konsesi. Sumber boleh dirujuk disini
Tanpa dapat disangkal sesiapa, berita ini mampu melonjakkan semula sokongan penduduk Selangor terhadap Pakatan Rakyat.

Tol dalam bandar adalah kos tambahan yang diketahui sangat membebankan rakyat bandar, Tidak kira peringkat, berbanding tol antara negeri yang dikendalikan PLUS sekarang. Sudahlah dibebankan dengan bayaran meletak kereta yang tinggi, terpaksa pula membayar tol untuk sampai ke tempat kerja.

Semua inilah yang meningkatkan kos kehidupan rakyat dan Pakatan Rakyat kelihatannya sangat faham dengan keadaan tersebut.

Cuma yang sedikit menimbulkan persoalan ialah kenapa sekarang, kenapa tidak 3 atau 4 tahun dahulu? Bukankah kalau dilaksanakan lebih awal, ia akan memudahkan lagi kehidupan rakyat dan seterusnya mengesahkan peluang untuk berkuasa semula, bukan sahaja di Selangor tapi silap-silap menawan Putrajaya.

Tak perlulah kita berceramah hampir di setiap ceruk tempat meyakinkan rakyat untuk menerima dasar dan polisi baru Pakatan Rakyat yang jauh lebih baik dari BN sekarang.

Bagaimanapun, yang penting ia dapat dilakukan, bak kata peribasa Mat Salleh, better late than never. ~pemudacheh

Pengerang Oh Pengerang! Ikan Sudah Banyak Mati Terapung Di Pantai

Posted: 09 Oct 2012 06:54 AM PDT




Pengerang, 8 Oktober - Pada lebih kurang pukul 3 petang semalam, AJK Gabungan NGO Pengerang, Hong Thian Hwa telah menerima panggilan dari penduduk Sungai Buntu, bahawa terdapat sebilangan besar bangkai ikan bertaburan di persisiran pantai.

Salah seorang nelayan Melayu berkata, lebih kurang pukul 1 petang, ketika mereka sedang menjalani aktiviti perikanan, didapati sekelompok besar bangkai ikan terapung di laut. Para nelayan kebingungan kerana situasi ini tidak pernah berlaku.

Hari ini, Hong Thian Hwa membuat pemerhatian di persisiran Sungai Buntu dan Sungai Kapal dan mendapati bangkai ikan yang terapung semalam telah hanyut ke persisiran pantai. Hong Thian Hwa juga terjumpa bangkai seekor anjing di pantai Sungai Kapal. Menurut penduduk, anjing tersebut masih bekeliaran di tepi pantai pada sebelah pagi. Penduduk mengesyaki anjing tersebut mati selepas termakan bangkai ikan.




"Fenomena ini amatlah ganjil. Pada tahun 2010, pernah berlaku kumpulan ikan mati disebabkan oleh tumpahan minyak di lautan berdekatan, tetapi jika dibandingkan dengan kejadian kumpulan ikan mati kali ini, kejadian kali ini jauh lebih serius!" kata Hong Thian Hwa.

Berdasarkan maklumat daripada nelayan, Pegawai Jabatan Perikanan telah membuat pemeriksaan terhadap tempat kejadian petang tadi.

Setakat ini, Hong Thian Hwa masih menerima panggilan berkenaan kumpulan bangkai ikan di pantai sekitar kawasan penambakan Sungai Buntu yang belum hanyut ke persisiran.

Gabungan NGO Pengerang berharap pihak Jabatan Perikanan boleh mengemukakan hasil penyiasatan kejadian ini, supaya nelayan tempatan boleh mengetahui sebab kematian kumpulan ikan, dan mebolehkan mereka mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya. -nusajayakini

Isu perbicaraan helah untuk tutup penglibatan Najib dalam Scorpene

Posted: 09 Oct 2012 12:06 AM PDT

KUALA LUMPUR 9 Oktober: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin percaya, dakwaan mengatakan tiada perbicaraan di Perancis bertujuan untuk menutup penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam skandal rasuah pembelian kapal selam Scorpene.

"Kalau betul dakwaan pendakwa Perancis itu, kenapa Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor melantik peguam Umno, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah untuk tugasan sulit di luar negara daripada 2 hingga 25 April lalu didakwa melibatkan skandal Scorpene.

"Atas kapasiti apa beliau ke sana, sedangkan kerajaan ada kumpulan peguam sendiri. Ini yang menambahkan kemusykilan," katanya ketika dihubungi.

Pendakwa Perancis, Yves Charpenel mendakwa tiada perbicaraan kes Scorpene di Perancis seperti dihebohkan media, tetapi memberitahu semua siasatan dibuat sepenuhnya secara rahsia.

Shamsul menyifatkan kenyataan itu mengelirukan, malah gagal meyakinkan rakyat bahawa Najib tidak terlibat dalam skandal itu.

"Kes yang dikendalikan peguam Suaram di Perancis menuntut penjelasan berhubung penglibatan Najib, kalau beliau tidak terlibat kenapa William Bourdon dihantar pulang, sedangkan kedatangan beliau hanya untuk memberi taklimat.

"Kenapa Najib takut sangat? Najib patut beri peluang kepada Bourdan sekurang-kurangnya untuk buktikan beliau tidak terlibat," ujar Pengerusi KEADILAN Melaka itu.
April lalu, Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan di Parlimen, surat yang didakwa ditulis oleh Shafee yang mendakwa bahawa dia telah dihantar oleh Najib dan Rosmah untuk "tugasan undang-undang yang sensitif" di luar negara dan "mesti dilengkapkan sebelum pilihan raya umum".

Menurut Saifuddin, surat itu juga menyatakan bahawa "tugasan" tersebut memerlukan Shafee pergi ke beberapa bandar raya di luar negara termasuk New York, London, Dubai, Paris dan Basel.

Membidas laporan itu sekeras-kerasnya, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata, kenyataan itu bercanggah sedangkan siasatan kes sedang berjalan di mahkamah Perancis.
"Untuk pengetahuan, pendakwa semasa dalam pertuduhan kes tidak membuat apa-apa kenyataan seperti yang dicadangkan oleh Charpenel.

"Dua Hakim, Roger Le Loire dan Serge Tournaire meneruskan siasatan mereka mengenai siasatan Scorpene," kata Suaram dalam kenyataan.

Orang Cina Sokong PAS, Tak Hairan Dengan Bayaran "One-Off" Najib

Posted: 08 Oct 2012 11:57 PM PDT




Bajet 2013: Sekadar ambik, sokong tidak

KUALA LUMPUR: Di Johor, orang tidak tanya MCA akan tinggal berapa kerusi sahaja lagi tetapi orang tanya tinggal berapa orang sahaja lagi di dalam MCA, kata Mohamad Sabu.

"Itu baru di Johor, tempat lain pun sama atau mungkin lebih teruk untuk Umno BN (Barisan Nasional)," katanya lagi.

Timbalan Presiden PAS itu menyatakan demikian merujuk kepada kesan Bajet 2013 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak yang disifatkan tidak memberi kesan besar kepada perubahan sokongan rakyat untuk menyokong BN.

Di Johor katanta, MCA dalam keadaan nazak, dan bajet BN itu tidak mungkin akan memberi nyawa baru untuk menyelamatkan parti itu.

Menjelaskan lebih lanjut apa yang dimaksudkannya itu, Mohamad berkata, rata-rata orang Cina tidak peduli pun belanjawan itu kerana yang lebih penting bagi mereka ialah tarikh pilihan raya kerana mereka sudah tidak sabar hendak menamatkan cengkaman kuasa Umno Barisan BN.

"Itu belanjawan untuk menyasarkan sebahagian orang Melayu, sebab orang Cina tidak hairan dengan duit RM250 sekali bagi itu," katanya.

Malah, katanya, orang-orang Cina rata-ratanya tidak mengendahkan umpan yang bertujuan memancing undi mereka itu.


Mohamad berkata, kerajaan Umno BN terus merosakkan orang-orang Melayu apabila meneruskan amalan 'memberi ikan dan bukan kail' kepada mereka melalui pemberian duit sekali bagi dan pemberian-pemberian lain seumpamanya.

"Ketika bangsa lain boleh diumpamakan sudah maju dengan peralatan canggih untuk menangkap ikan di laut dalam, kerajaan Umno BN terus merosakkan orang-orang Melayu dengan memberikan ikan kepada mereka dan bukan memberi kail," katanya lagi.

Mohamad berharap orang-orang Melayu menolak perbuatan menghinakan mereka dengan duit sekali bagi seperti itu dan menuntut penyelesaian jangka masa panjang terhadap masalah asas mereka.

Umpamanya, kata beliau, masalah pengangguran yang sebahagian besarnya melibatkan orang-orang Melayu.

"Belum kira lagi yang tidak graduan, yang bertaraf siswazah pun sehingga 40,000 orang menganggur kebanyakannya berbangsa Melayu," katanya.

Beliau meminta orang-orang Melayu berfikir, adakah duit sekali bagi RM250 boleh menyelesaikan masalah mereka? "Jangan biarkan kerajaan Umno BN hina kita dengan gula-gula murahan seperti itu," kata Mohamad.

Sifu M. Nasir Sertai Parti Pembangkang?

Posted: 08 Oct 2012 05:36 PM PDT


Sekian lama kita tidak mendengar kisah selebriti menyertai parti politik. Terbaru ini kisah sifu industri muzik Malaysia,Datuk M. Nasir yang kini dikatakan semakin aktif dalam aktiviti berpolitik bersama-sama barisan parti pembangkang.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi akaun Youtube Azmin Ali telah memuatnaik sebuah video bagi lagu berjudul Panji Keadilan yang dinyanyikan oleh M. Nasir.

Walaupun tidak dinyatakan pada penerangan video, ianya jelas merupakan suara ikonik M. Nasir serta lagu tersebut dicipta oleh Buddhi Hekayat, rakan kepada pencipta bagi lagu Awan Nano.

Kita sendiri tidak mengetahui tahu sama ada benar M. Nasir terlibat secara langsung bersama Parti Keadilan Rakyat atau lagu Panji Keadilan ini hanya sekadar projek seni beliau yang lainnya. ~forblogger
Lihat video di sini.

Ust Idris: Hishamuddin Seperti Pencuri Yang Menjerit "Pencuri"

Posted: 08 Oct 2012 05:33 PM PDT


Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyifatkan tindakan pembangkang yang menggembar-gemburkan isu agama dan perkauman sejak akhir-akhir ini seperti pencuri menjerit pencuri.

"Hakikat yang berlaku Umno dan rakan sejawat mereka yang sering memainkan isu ini," kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad dalam satu kenyataan.

Buktinya, kata beliau kenyataan Ketua Umno Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail yang membangkitkan kenyataan bahawa India dan Cina adalah kaum pendatang.

Selain itu, ujarnya bekas Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Nasir Safar dalam seminar 1Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka telah menimbulkan isu perkauman iaitu orang Cina dan India sekarang kekal sebagai pendatang di bumi Malaysia.

Justeru, katanya Hishammuddin jangan pura-pura tidak tahu.

Menurutnya, sekarang guru-guru dipanggil dengan diberi taklimat keselamatan, isinya penuh dengan menanamkan perasaan kebencian kepada Pakatan Rakyat, kononnya jikalau BN kalah negara tidak tenteram.

Katanya, bukankah pemimpin Umno dan MCA yang bersikap lidah bercabang yang memainkan isu perkauman dan agama.

Katanya lagi, pemimpin Umno berjumpa dengan orang Melayu mengatakan bahawa PAS sudah tidak pejuangkan Islam sejak berkawan dengan DAP, apabila berjumpa dengan orang bukan Islam, mereka memberi amaran jangan pangkah Pakatan Rakyat nanti PAS akan berkuasa.

Begitulah, ujar beliau dengan MCA apabila berjumpa dengan pengundi Cina, Presidennya memberi amaran jangan undi Pakatan Rakyat nanti PAS yang dominan.

"Siapakah yang beri keranda kepada Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng sempena ulang tahun pemerintahan tiga tahun Pakatan Rakyat di Pulau Pinang?" tanya beliau.

Menurutnya, media Umno membuat fitnah kononnya agama rasmi akan ditukar kepada agama Kristian jika Pakatan Rakyat menang.

Tegasnya, tidak logik langsung laporan itu sedangkan ia memerlukan 2/3 untuk pinda Perlembagaan, iaitu 148 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.

Jelasnya, kerusi majoriti bukan Islam di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak hanya 69 kerusi, lebih-lebih lagi persepakatan bertulis telah bersetuju bahawa Islam Agama Persekutuan di Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama pada 19 Disember 2019 di Shah Alam.

Katanya, Datuk Zaini Hasan orang kuat Utusan Malaysia di dalam ruangan cuitnya telah menggagaskan "1Melayu 1Bumi", jadi apakah maknanya itu kepada Hishammuddin.

"Adakah kenyataan ini dikeluarkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat? "Adakah beliau selaku Naib Presiden Umno buta mata atas kenyataan ini?" tany beliau.

Katanya, akhbar Utusan Malaysia yang dimiliki oleh Umno telah membangkitkan sentimen agama dan perkauman.

"Walaupun beberapa kali kalah di mahkamah mengenai fitnah yang dibangkitkan namun tidak memberi keinsafan untuk menghentikan budaya fitnah ini, asalkan matlamat politik mereka tercapai," katanya lagi. -HD

Sebab Kenapa Datuk Sri Lajim Ukin Tinggalkan Umno

Posted: 08 Oct 2012 05:31 PM PDT

DATUK SERI LAJIM UKIN( gambar ) sebagai pemimpin veteran Sabah, mengejutkan dunia politik negara apabila beliau bertindak keluar parti ketika rakyat negara ini ternanti-nanti tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Dengan Pakatan Rakyat (PR) tidak berhenti-henti berkempen di Negeri Bawah Bayu ini, ramai penganalisis melihat pembangkang mampu membuat kejutan di negeri ini sekali gus mencerahkan peluang PR merampas Putrajaya.
Persoalannya sekarang, adakah Lajim mampu memberi daya tujah tambahan kepada usaha PR? Ikuti wawancara khas Sinar Harian, MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN dan jurugambar, SAFWAN MANSOR menyingkap tindakan Lajim.

Kenapa Datuk memilih keluar Umno dan Barisan Nasional (BN) sekarang?

Saya keluar kerana Umno terutamanya di Sabah bukan lagi seperti Umno dahulu. Umno Sabah sudah dikuasai oleh Pengerusi Perhubungan Umno Negeri sendiri, Datuk Seri Musa Aman. Apa sahaja yang beliau lakukan adalah monopoli dan tiada orang lain boleh menegur. Selain itu, tiada dasar konkrit Umno di Sabah untuk mengatasi masalah yang dihadapi rakyat termasuklah di kawasan saya.

Jadi Datuk keluar dari Umno kerana masalah dengan Ketua Menteri?
Dalam parti, saya hormatinya sebagai Ketua Perhubungan Umno Negeri, tetapi dalam soal peribadi, mungkin beliau mengambil hati dengan saya kerana saya terlalu lantang dalam menyuarakan masalah rakyat dan soal perpaduan dalam parti.
Saya sering berkata dalam parti jangan ada cantas-mencantas, letak calon sendiri untuk jatuhkan Ketua Bahagian Umno sendiri. Sebagai contoh saya sendiri, Pada tahun 2008, Ketua Wanita Umno Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun melawan saya, sedangkan pada waktu itu Musa sebagai Ketua Perhubungan dan Ketua Menteri. Jika beliau rasa bertanggungjawab yang tinggi, sepatutnya beliau boleh menasihatkan Ketua Wanita itu supaya tidak bertanding.

Saya berkata begini kerana pertama, beliau sudah menang menjadi Ketua Wanita. Keduanya, tiada kedengaran rakyat di kawasan Beaufort yang mahu saya turun dari menjadi wakil rakyat. Selain itu, tiada keadilan kepada pemimpin-pemimpin tertentu. Ada pemimpin yang dapat lebih, ada pemimpin yang tidak dapat apa-apa. Umno sepatutnya adalah milik semua orang.

Apakah tiada sebab-sebab lain? Seperti pembangunan, contohnya.
Masalah utama adalah masih ramai lagi rakyat tidak mendapat bekalan elektrik dan air sejak 49 tahun pembentukan Malaysia.
Rakyat masih meronta-ronta mahu mendapatkan bekalan air bersih. Malah ada kawasan sudah dipasang paip namun airnya masih tiada.
Perkara ini sudah disuarakan saya sejak menjadi Adun lagi. Ketika saya menjadi Timbalan Ketua Menteri pun saya sudah bawa isu ini ke hadapan. Namun masalah air tetap berlaku
Saya juga melihat tahap pembangunan di Sabah masih tidak menyeluruh, tidak sekata kerana masih banyak lagi kawasan masih belum menerima pembangunan, tidak seperti di kawasan negeri lain. Sepatutnya pembangunan dibawa ke kawasan ini.

Apakah penyelesaian yang Datuk cuba bawa?
Antara penyelesaian yang saya cuba bawa adalah projek tambatan banjir di kawasan saya. Beaufort adalah daerah  yang terkenal sejak setengah abad dahulu kerana setiap tahun mesti tiga empat kali banjir. Perkara ini sudah pun dibangkitkan tetapi sehingga hari ini tiada langkah yang diambil oleh kerajaan negeri atau pusat.
Saya juga pernah bangkitkan isu banjir ini kepada kerajaan pusat. Akhirnya saya diberitahu usul tersebut sedang dipertimbangkan. Hingga hari ini tiada apa-apa lagi jawapan. Jadi, apabila begitu, sedangkan saya menjadi wakil rakyat, maka saya tahu rakyat di kawasan saya akan melihat saya tidak berkemampuan untuk menyelesaikan masalah ini.
Walaupun saya sebelum ini sebahagian dari kerajaan, namun saya masih perlukan surat menyurat yang rasmi sama ada kepada kerajaan negeri atau persekutuan agar projek-projek ini dapat direalisasikan.

Jadi adakah faktor tiada bekalan asas ini mendorong Ahli Parlimen atau Adun lain keluar parti?
Saya tidak boleh bercakap bagi pihak mereka, tetapi saya ada bertemu dengan pemimpin-pemimpin ini. Ramai dari pemimpin Sabah hanya menunggu masa. Sama ada mereka akan menyertai mana-mana parti, itu terpulang kepada mereka.
Saya mahu pemimpin Sabah sedar apa yang sedang berlaku sekarang. Mengenai kepimpinan Ketua Menteri yang suka cantas-mencantas. Ramai pemimpin Umno sejak dari 2008 sudah dicantas oleh beliau termasuklah bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Yusoff  Yaakob sedangkan beliau termasuk dalam winnable candidate hanya kerana tidak sehaluan dengannya.
Begitu juga dengan Speaker Dun Sabah, Datuk Seri Salleh Said, dulu menteri, dibuang oleh Musa. Sedikit contoh ini membuktikan bahawa kepimpinan Sabah adalah kepimpinan one man show.  Beliau sering bertindak secara sendirian.
Selain itu, contoh cantas mencantas, Ketua Pemuda Umno Negeri, Azman Ruslan, beliau tiada apa-apa masalah, hanya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah sebuah anak syarikat di bawah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Afdal. Shafie ini pun tidak sehaluan dengan Musa. Hanya kerana tidak sehaluan, Azman menjadi mangsa.

Azman adalah pemimpin yang cukup berwibawa, dengan kelayakan sebagai seorang peguam syariah, beliau amat sesuai menjadi pemimpin namun tetap juga dicantas. Kenapa ia berlaku?
Kerana ada konflik antara Musa dan Shafie maka akhirnya Ketua Pemuda Negeri menjadi mangsa. Sepatutnya perkara seperti ini tidak berlaku.
Begitu juga yang berlaku kepada saya, saya dibuang pada tahun 2004 sebagai Timbalan Ketua Menteri. Saya menang tanpa bertanding. Hanya kerana calon BN kalah di Dun Kuala Penyu. Pada ketika itu saya hanyalah Ketua Bahagian dan saya dituduh mensabotaj calon BN itu.
Kekalahan calon BN di Dun Kuala Penyu itu besar, dengan majoriti lebih dua ribu. Kalau benar saya sabotaj, tidak mungkin saya dapat membawa lebih dua ribu pengundi tidak mengundi calon BN. Saya menjadi mangsa.
Sejak dahulu lagi, memang ramai yang mahu menukarkan saya. Malah menjelang PRU13, ada berkata saya tidak akan menjadi calon lagi. Saya tidak tahu apa silap saya. Memang saya tidak nafikan ada juga yang tidak menyokong saya, tapi saya berani katakan di kawasan Beaufort, majoriti masih memilih saya menjadi calon.

Adakah Datuk sebelum ini memang mahu keluar dari Umno kerana krisis yang sama atau yang berlainan?
Pada saya, apabila saya menyertai Umno, saya harap Umno berkemampuan untuk melakukan perkara yang lebih baik dari kerajaan yang dahulu. Jadi saya sanggup berkorban dengan keluar dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan berfikir Umno mampu selesaikan masalah rakyat.
Masalah-masalah utama pada ketika itu adalah pendatang tanpa izin, masalah pembangunan, ekonomi dan mencari cara mengeluarkan rakyat dari kemiskinan tegar, itu yang saya harapkan.
Tetapi selepas 18 tahun BN mengambil alih dan sistem penggiliran Ketua Menteri diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Sistem ini cukup rosak dan teruk sehingga ekonomi Sabah pada ketika itu jatuh merudum.

Datuk menyebut bahawa Datuk adalah calon winnable candidate, adakah Datuk Seri Najib Tun Razak ada berkata sesuatu semasa Datuk mahu letak jawatan?
Perdana Menteri minta saya bersabar, tetapi saya ada alasan yang baik diberikan kepada Perdana Menteri. Saya berjumpa dengan Perdana Menteri pada 20 Disember 2011, saya letak jatawan pada 29 Julai 2012. Maknanya saya sudah bersabar untuk lapan bulan.
Maknanya laporan yang saya hantarkan kepadanya langsung tidak mendapat apa-apa tindakan. Saya juga amat malu sebagai seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno dan salah seorang dipertanggungjawabkan memantau keadaan di Sabah. Laporan yang saya hantar langsung tidak diterima walaupun saya memberikan fakta. Jadi untuk apa saya tunggu lagi?

Bila agaknya masa pemimpin  Sabah yang lain dijangka keluar dari BN?
Kemungkinan besar selepas Parlimen dibubarkan dan pemimpin ini tidak dicalonkan, kerana sebahagian besar dari pemimpin ini adalah winnable candidate.

Sekiranya ada perubahan yang dibuat Umno, adakah Datuk akan kembali semula kepada parti itu?
Bagi saya sukar bagi Najib untuk mengubah Umno buat masa ini, jika beliau cuba untuk mengubah Umno, saya yakin keadaan akan menjadi lebih kecoh. Dalam keadaan PRU13 hampir sekarang, tidak akan ada perubahan besar berlaku.
Mungkin selepas PRU13 nanti barulah ada perubahan. Bagi saya, jika saya gagal dalam perjuangan saya, sekurang-kurangnya saya memberi landasan kepada rakyat untuk berfikir sama ada mereka mahu 20 peratus atau lima peratus royalti minyak? Mahu wilayah autonomi atau tidak.

Selepas PRU13, faktor yang memungkinkan Datuk kembali kepada Umno?
Dalam politik apa-apa pun boleh terjadi, saya tidak mahu meramal awal dari sekarang. Jika ekonomi negara, kita boleh ramal tetapi politik... tidak.

Bagaimana Datuk melihat politik sekarang dan masa depan politik Umno dan BN pada PRU13?
Bagi saya, untuk PRU13, agak sukar bagi BN untuk menang di Semenanjung, mereka cuma mengharapkan calon-calon di Sabah dan Sarawak boleh menang. Jika PR boleh dapat 20 Parlimen di Sabah dan 20 Parlimen di Sarawak, maka BN akan tumbang pada PRU13.

Bagaimana reaksi rakyat Sabah mengenai NGO Pakatan Perikatan Sabah yang ditubuhkan Datuk?
Setakat ini reaksi yang saya dapat cukup baik. Di luar jangkaan saya.

Apakah kelebihan PR di mata Datuk?
Dalam PR, mereka ada dasar yang boleh menyelesaikan masalah rakyat, sebagai contoh mengenai royalti minyak 20 peratus. Katakan setiap tahun Sabah akan memperoleh RM6 bilion dari hasil minyak keseluruhan RM30 bilion di Sabah.
Untuk bajet negeri, RM4 bilion digunakan, maknanya dari hasil minyak sahaja Sabah ada lebihan bajet sebanyak RM2 bilion. Hasil ini tidak masuk dengan hasil negeri lain sebanyak RM4 bilion.Maka hasil negeri dan royalti minyak ada RM10 bilion.
Dari lebihan ini, maka gaji boleh ditingkatkan dan boleh memajukan infrastruktur seluruh negeri Sabah. Selain itu, air percuma juga boleh diberikan dan pelbagai insentif lain. Dengan bajet ini, bagi saya tiga tahun sahaja, maka macam-macam perubahan yang boleh saya buat.

Adakah Datuk akan bertanding di kawasan Dun atau Parlimen?
Itu belum tentu lagi, Mungkin saya boleh bertanding di kedua-dua peringkat. Tetapi, apa yang penting, saya tidak boleh tamak kerana orang yang tamak selalu rugi.
Bagi saya yang sudah berpengalaman lebih 20 tahun dalam Kabinet Sabah, Insya-ALLAH saya boleh lakukan perubahan di negeri ini.

Adakah Datuk pernah berasa kesal kerana keluar dari Umno dan BN?
Tidak, kerana saya membuat keputusan ini sebab semangat rakyat yang berkobar-kobar. Dahulu semasa saya dalam kerajaan, ketika saya mengadakan lawatan ke kawasan-kawasan, mereka yang turun hanyalah individu yang berjawatan sahaja.
Tetapi pada hari ini, apabila saya datang semula ke kawasan-kawasan itu, sokongan rakyat adalah lebih dari apa yang saya jangkakan. Dorongan ini yang membuatkan saya lebih kuat untuk berjuang.

Adakah Datuk yakin BN Sabah akan tumbang pada PRU13?
Saya yakin untuk Dun, pembangkang akan menguasai sekurang-kurangnya 35 kerusi dan sekali gus BN Sabah tumbang.

Jika PR memperoleh Sabah, adakah Datuk calon Ketua Menteri?

Belum tahu lagi. Bagi saya apa pun peranan saya tiada masalah. Bagi saya jawatan tidak penting. Apa yang paling penting adalah rakyat.
Bagi saya, saya tiada masalah dengan kepimpinan tertinggi Umno, saya cuma bermasalah dengan dasar parti. Perkara ini yang tidak boleh diterjemahkan oleh Perdana Menteri. -SH

Tiada ulasan: