MIMPI SENJA |
Sistem Kamera AES : Pemuda UMNO juga minta ditangguh Posted: 30 Oct 2012 02:09 PM PDT Pemuda Umno desak AES ditangguh 30 Oktober 2012 SHAH ALAM – Pemuda Umno hari ini sebulat suara mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sehingga kajian menyeluruh dilakukan. Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya juga berharap mesyuarat Kabinet minggu ini dapat membuat keputusan berhubung perkara itu. "Pemuda desak kerajaan tangguh AES. Kaji semula," kata beliau, yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), menerusi Twitternya petang ini. Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Kuala Lumpur. Dalam pada itu, beliau dipetik Bernama berkata, kajian semula itu perlu bagi mengatasi kelemahan pada pelan pelaksanaan AES sekarang dan memastikan sistem itu mampu berfungsi sempurna mengesan pesalah trafik di negara ini. "Sistem AES itu sendiri merupakan sistem amat baik, namun hasil maklum balas akar umbi kami dapati terlalu banyak kelemahan pada pelan pelaksanaan AES yang perlu diatasi antaranya lokasi dan had laju praktikal bagi sesebuah kawasan," katanya. Khairy berkata kerajaan juga perlu mengadakan publisiti dan pendidikan umum bagi memberikan informasi yang lebih jelas kepada rakyat. "Adalah penting untuk rakyat memahami dengan jelas sistem AES ini kerana ia mampu menyelamatkan nyawa mereka selain mengelakkan AES menjadi 'alat mainan' pembangkang untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda. Semalam, empat Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan pemasangan AES. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 331 kamera AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan. "Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES termasuk kos dan syarikat pengendali," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini. Guan Eng berkata, pemasangan AES itu seharusnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu. AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan selain bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta mampu mengurangkan kemalangan maut. Ia merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah. Dalam pada itu, laporan Bernama berasingan menyebut Kementerian Pengangkutan akan menghantar pasukan teknikal untuk memberi penerangan mengenai AES kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor seperti dipohon. Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, setakat ini hanya kerajaan negeri berkenaan meminta penjelasan berkaitan pelaksanaan AES itu. | ||
Bekas Timb. Menteri jangka BN tewas dalam PRU 13 ... Posted: 30 Oct 2012 02:55 AM PDT
KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Yahya Lampong meletakkan keyakinan yang sangat kuat bahawa BN akan gagal mengekalkan kuasanya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang. Menurutnya, daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen di seluruh negara, beliau menjangkakan 118 kerusi akan dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13 kali ini dan 104 kerusi sahaja akan diperoleh BN. Beliau yang telah keluar BN dan mengumumkan menyertai PKR baru-baru ini berkata, asas pengiraannya adalah dengan formula (82 + 20 + 16 = 118) 82 katanya adalah jumlah kerusi yang telah dimenangi oleh gabungan PAS,PKR dan DAP pada PRU12, 2008 yang lalu dan dijangka jumlah itu akan kekal pada PRU akan datang. 20 pula adalah jumlah kerusi parlimen yang majoritinya adalah pengundi Cina dan India yang dimenangi BN dalam PRU12 yang sudah tentu pada jangkaannya akan menolak BN pada PRU akan datang. Asas kekalahan BN itu juga jelasnya, turut disandarkan pada keyakinan bahawa lebih separuh kerusi parlimen Sabah - selama ini menjadi 'tempat berpaut' BN untuk mengekalkan kuasa termasuk pada PRU12 lalu - akan 'swing' kepada Pakatan Rakyat. Kata Yahya, sekurang-kurangnya 16 dari 25 kawasan parlimen di Sabah bakal dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13 akan datang. Kawasan itu masing-masing adalah 13 kerusi dari kawasan majoriti pengundi Kadazan, Dusun, Murut (KDM) dan Cina (KDM-C) dan tiga lagi dari kawasan campuran KDM-C dengan pengundi Islam. Tiga kawasan campuran KDM-C dengan pengundi Islam adalah di Beaufort, Papar dan Kota Belud. Di Papar dan Kota Belud katanya, jumlah peratusan pengundi KDM-C adalah 40 peratus dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya 15 peratus sahaja lagi sokongan pengundi Islam bagi memenangi kedua-dua parlimen tersebut. Bagi Beaufort pula, parlimen itu diyakini akan dimenangi Pakatan Rakyat apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga bekas Ketua Umno Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin disebut-sebut bertanding di situ. Lajim juga adalah timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan. Dan jika benar jangkaan Yahya ini berlaku, bermakna Pakatan Rakyat sudah boleh menguasai Putrajaya dengan 118 kerusi tidak termasuk kerusi perlimen dari Sarawak. "Pakatan hanya memerlukan 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. "Justeru, Pakatan Rakyat sudah berupaya membentuk kerajaan dengan sokongan rakyat Semenanjung dan Sabah. Maka kawasan parlimen Sarawak adalah Bonus," katanya - Harakah Daily |
You are subscribed to email updates from MIMPI SENJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan