Ahad, 14 Oktober 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[PUN ADA] Bomba Selamatkan Lelaki ‘Anu’ Bengkak Pakai Gelang

Posted: 14 Oct 2012 12:46 AM PDT



Ipoh: Bidang tugas anggota pasukan bomba dan penyelamat kini bukan sekadar memadam kebakaran atau mengeluarkan mangsa kemalangan, malah turut meliputi kerja menyelamatkan lelaki gila seks gara-gara cincin, gelang besi atau nat skru tersangkut pada kemaluan mereka.

Dalam kes terbaru, minggu lalu khidmat anggota bomba dan penyelamat Ipoh ditagih pihak hospital bagi memotong nat besi yang tersekat pada kemaluan seorang lelaki berusia 30-an.

Lelaki terbabit berbuat demikian kerana terpengaruh dengan dakwaan kononnya pemasangan gegelang seperti cincin dan nat pada kemaluan mampu meningkatkan keupayaan seksual serta memanjangkan zakar.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Mahir Mat Saad berkata, lelaki itu dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, selepas nat besi bersaiz lebih kurang syiling 50 sen yang disarungkan pada pada kemaluannya gagal dikeluarkan.

Menurutnya, tindakan lelaki itu menyebabkan aliran darah pada kemaluannya tersumbat sehingga alat sulitnya itu membengkak dan bertukar lebam hitam. -HM

APA SUDAH JADI? Mesin ATM Di Malaysia Paling Banyak Berjaya Dipecahkan Penyamun

Posted: 13 Oct 2012 11:04 PM PDT

Kementerian Kewangan mahu pihak bank yang mempunyai mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan berisiko tinggi berlaku rompakan supaya segera memindahkannya ke kawasan lebih selamat.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, pihak bank juga diwajibkan mengadakan mesin ATM yang baru bertaraf piawaian antarabangsa yang sukar dipecahkan.

Pihak bank juga diwajibkan memasang sistem penggera yang dapat didengar dari jauh oleh pasukan keselamatan apabila ia dipecahkan, katanya.

"Di samping itu mereka juga perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan kerap mengadakan rondaan oleh pasukan keselamatan," katanya kepada pemberita selepas menyampai elaun sara hidup kepada 540 nelayan, yang keseluruhan berjumlah lebih RM100,000 di Perupuk di sini hari ini.

Awang Adek berkata, sehingga ini, sebanyak 17 kes rompakan mesin ATM telah dilaporkan dengan kerugian bernilai jutaan ringgit, yang sebilangan besarnya berlaku kerana pihak bank tidak melakukan ciri-ciri keselamatan yang mencukupi.

"Malah bangunan yang tempatkan mesin ATM itu juga tidak dibina dengan mempunyai unsur kekebalan menyebabkan ia mudah dipecahkan," katanya.

Beliau turut berkata, kes mesin ATM dipecahkan jarang berlaku di negara lain dan kes yang berlaku di negara ini menghairankan para pakar keselamatan dalam dan luar negara dengan kejadian seperti ini mesti dibendung segera. – Bernama

Minta Perhatian - Sekarang Dah Tukar: Undi Najib Bermakna Undi Soros!

Posted: 13 Oct 2012 08:08 PM PDT

MP Pakatan Rakyat berkata sekiranya dakwaan hubungan NGO Suaram dan jutawan George Soros terbukti benar, maka undi untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga merupakan undi kepada pedagang matawang tersebut.

"Saya mahu lihat bagaimana media arus perdana memainkan perkara ini. Seperti yang kita tahu ada satu pertemuan rahsia di mana Najib meminta sokongan Soros ke atas gerakan global moderat.

"Maka, jika Soros dipersalahkan, maka satu undi untuk Najib juga merupakan satu undi untuk Soros," kata MP Kuala Krai Dr Hatta Ramli kepada Malaysiakini.

Hatta menekankan bahawa Pakatan Rakyat tidak ingin membangkitkan isu tersebut.

Namun, dakwaan kaitan Soros yang ditimbulkan BN itu kini nampaknya menjadi "senjata makan tuan", kata Hatta.

Jadi, mereka perlu jelaskan kepada rakyat sekarang," katanya.

Hatta berkata demikian ketika mengulas mengenai pertemuan peribadi antara Najib dan Soros di sebuah hotel terkemuka di New York, sejurus sebelum perdana menteri menyampaikan ucapan sulungnya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dua tahun lalu.

Sementara itu MP Batu Tian Chua pula memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan Najib itu merupakan petunjuk utama kepada "hipokrasi" BN.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca



[RELOADED] Daim Kata UMNO BN Hanya Menang 3 Negeri Dalam PRU Akan Datang

Posted: 13 Oct 2012 04:23 PM PDT



Bekas Bendahari Umno, Tun Daim Zainuddin meramalkan Umno BN hanya menang di Johor, Melaka dan Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan selainnya dimenangi Pakatan Rakyat.

Daim berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama akhbar harian Cina, Nanyang Siang Pau yang diterbitkan awal tahun ini, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Daim turut dipetik sebagai berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kini umpama "jeneral tanpa askar" dalam berdepan cabaran PRU.

"Perdana Menteri dan pemimpin utama lain sudah pun melakukan lebih dari cukup. Maka situasi semasa mereka umpama 'jeneral tanpa askar'.

"Di manakah askar-askar BN? Pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian perlu lebih proaktif melibatkan diri dengan orang ramai," kata Daim.

Daim turut meramalkan agak sukar untuk Umno BN mengekalkan Sabah dan Terengganu ekoran krisis dalaman parti itu di kedua-dua negeri itu.

Mengenai Negeri Sembilan, Daim tidak menolak bahawa Pakatan Rakyat berpeluang cerah untuk menang di situ ekoran gabungan KEADILAN, PAS dan DAP hanya memerlukan sekurang-kurangnya enam kerusi untuk membentuk kerajaan.

Selain itu, kata Daim, Umno juga terpaksa mencari calon sesuai untuk menggantikan Menteri Besar Negeri Sembilan ketika ini, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dijangka bertanding kerusi Parlimen untuk dilantik sebagai menteri persekutuan.

Mengenai Perak yang dirampas Umno BN yang diketuai Najib sejak Februari 2009, Daim melihat agak sukar untuk Umno BN kekal di negeri itu.

Sementara Kelantan dan Pulau Pinang, Daim yakin Pakatan Rakyat akan terus memerintah di kedua-dua negeri itu.

Menjelang PRU 8 MAc 2008, Daim pernah meramalkan Umno BN akan kalah di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, namun tiada siapa melihat dengan serius ramalan beliau.

Sehinggalah keputusan 8 Mac diumum yang yang menyaksikan Umno bukan sahaja kalah di negeri itu, kecuali Terengganu, malah buat pertamakali dalam sejarah BN hilang 2/3 kerusi Parlimen.

Ulasan GB

Ramalan Daim di atas boleh jadi kenyataan JIKA tiada unsur penipuan dari SPR.

Berdoalah kepada Allah swt agar Dia mendedahkan dan menggagalkan segala tipu daya yang dilakukan SPR di dalam PRU akan datang ini.

Gambar Menarik Hari Ini - Isu Debat

Posted: 13 Oct 2012 08:02 AM PDT



Sehingga hari ini Najib masih takut untuk berdebat. Bukan budaya kita katanya.



Yang aneh walaupun dikatanya bukan budaya kita tetapi beliau hadir menyampaikan piala dan hadia untuk Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri dua hari lepas.



Penakut atau hipokrit? Atau kedua-duanya sekali?

Nasha Sengaja Cari Pasal Supaya Dipecat Dari PAS

Posted: 13 Oct 2012 04:03 AM PDT

Nik Aziz sifatkan Nasha 'lidah panjang'

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, yang Selasa lalu memberi peringatan agar tidak mengejar kuasa semata-mata, sebagai pemimpin 'lidah panjang' ekoran pendirian kebelakangan ini yang tidak selari dengan parti.

Kenyataan tegas Nik Aziz itu dikeluarkan ekoran tindakan Nasharudin yang juga Ahli Majlis Syura Pas mahu merencanakan perpaduan terutamanya melibatkan Umno dan Pas.

"(Rancangan perpaduan) itu mengarut, mengapa sekarang baru timbul, dia (Nasharudin) itu calon Pas di Bachok, sikap itu seperti 'lidah panjang'," kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Hari Keluarga Mawaddah di Pengkalan Chepa di sini hari ini. -SH

Nasha mahu dipecat PAS kerana tidak berani langgar 'Bai'ah'

KUALA LUMPUR, 13 Okt — Tindakan Nasharuddin Mat Isa memprovokasi hubungan diantara PAS dan DAP sejak akhir-akhir ini dalam isu Hudud dan negara Islam dipercayai mahu dipecat daripada parti tersebut kerana tidak berani melanggar "Bai'ah" dengan meninggalkan PAS secara sukarela.

"Jika kita lihat, semenjak dua menjak ni, Nasha agresif melaga-lagakan PAS dan DAP supaya Pakatan Rakyat (PR) berpecah," kata seorang pemimpin tertinggi PAS kepada The Malaysian Insider.

"Beliau lakukan semua ini dengan tujuan agar PAS memecat beliau dan bukannya beliau meninggalkan PAS.

"Meninggalkan PAS bererti melanggar sumpah 'Bai'ah' dan ini mungkin menjadi sebab besar mengapa beliau tidak tinggalkan PAS secara sukarela.

" "Bai'ah" bermaksud sumpah untuk taat kepada perjuangan Islam yang kebiasaan diamalkan oleh gerakan Islam.

Jika melanggar Bai'ah, dipercayai balasan daripada Allah akan menimpa seseorang itu.

Nasharuddin merupakan bekas timbalan presiden PAS yang gagal mempertahankan jawatannya selepas tewas ditangan Mohamad Sabu dalam Muktamar Agung PAS pada tahun 2011 dalam pertarungan tiga penjuru diantara dirinya, Mohamad dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, apa sahaja yang berlaku kepada Nasharuddin tidak akan memberikan impak yang besar kepada PAS dari sokongan.

"Pada saya, apa yang dilakukan oleh Nasha ini lebih kepada mengukuhkan orang Umno yang sudah Umno," kata penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM) itu apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.

Prof Mohamad juga menambah, jika Nasha meninggalkan PAS dan menyertai Umno sekalipun, beliau hanya akan mengulangi nasib pemimpin PAS terdahulu yang menyertai Umno seperti Datuk Mohd Asri Muda (bekas presiden) dan Nakhaie Ahmad (timbalan presiden).

"Jika Nasha menyertai Umno, beliau tidak akan mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada parti tersebut kerana semua sudah tahu hati dan sanubarinya bersama PAS," katanya sambil menjadikan Datuk Dr Hasan Ali sebagai contoh terkini.

Dr Hasan walaupun telah meninggalkan PAS tidak disambut menyertai Umno sebaliknya terpaksa menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) Jalur Tiga (Jati) yang memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mempersoalkan tentang keikhlasan Nasharuddin dalam memperjuangkan agenda Hudud seperti yang dilakukan kebelakangan ini.

"Dulu masa nak yakinkan PAS menyertai Umno tubuhkan kerajaan perpaduan, Ustaz Nasa (Nasharuddin) beritahu PAS, Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) nak beri tiga kerusi menteri jika PAS bersetuju bersama Umno.

"Saya nak tanya dia, masa Pak Lah tawar tiga kerusi menteri tu, ada tak beliau dibincangkan sekali tentang pelaksanaan hukum Hudud?" kata beliau melalui perbualan telefon bersama The Malaysian Insider beberapa hari lalu.

Tambah Husam lagi dengan sinis, jika Umno benar-benar ikhlas mahu bermuzakarah dengan PAS, Nasharuddin harus diberikan laluan untuk menang tanpa bertanding di kerusi parlimen Bachok pada pilihan raya ke 13 nanti.

"Kita nak tengok Umno letak atau tidak calon di Bachok nanti," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad di parlimen beberapa hari lalu menegaskan kenyataan-kenyataan Nasha seolah-olah mempunyai agenda politik tertentu yang menguntungkan Barisan Nasional (BN) dan cuba mewujudkan ketegangan dalam PR.

"Kebelakangan ini hubungan beliau (Nasha) dengan PAS tidak serapat berbanding hubungannya dengan kerajaan (Barisan Nasional) BN.

"Kenyataan dikeluarkan jelas bertujuan untuk menguntungkan BN dan wujudkan ketegangan antara parti PR walaupun dikeluarkan tanpa bukti," kata Khalid kepada pemberita di lobi Parlimen.

Kenyataan terbaru dikeluarkan Nasha adalah DAP cuba menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian dengan mendakwa parti komponen PR itu pernah menganjurkan majlis dan berdoa memohon negara dijadikan sebagai negara Kristian selepas DAP memenangi 12 kerusi di Sarawak tahun lalu.

Khalid turut menegaskan, perkara itu tidak pernah dibangkitkan Nasha dalam pertemuan dengan Majlis Syura Ulama sebelum ini.

Prof Mohamad bersetuju dengan kenyataan Khalid itu dengan mengatakan menjelang pilihan raya ke 13 yang semakin hampir ini, strategi Umno adalah untuk mewujudkan konflik dalam PR.

"Apabila parti dalam PR berlaga sepertimana perselisihan PAS dan DAP dalam isu Hudud, Umno dan BN yang untung.

"PR akan dilihat tidak bersatu jika terus bergaduh sesama sendiri dan inilah yang dimahukan Umno," katanya lagi.




Tiada ulasan: