Sabtu, 13 Oktober 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Pemandu Teksi Desak Syed Hamid Albar Letak Jawatan Dari SPAD

Posted: 13 Oct 2012 12:51 AM PDT

Badan Bertindak Pemandu-pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) mendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) gagal berfungsi menjalankan tanggungjawab meningkatkan mutu perkhidmatan teksi dan menggesa pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar meletak jawatan.

BBPTB menggariskan lima faktor kegagalan SPAD yang menyebabkan kemarahan pemandu teksi tidak dapat lagi dibendung dalam kenyataan oleh pengerusinya, Amran Jan kepada The Malaysian Insider.

Perkara tersebut ialah gagal mengiktiraf mahupun melantik wakil pemandu teksi di dalam jawatankuasanya, gagal memansuhkan sistem kupon, gagal mengeluarkan permit khas kepada Duta Kecil Pelancongan seperti yang diminta sendiri oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, gagal menangani kemelut perkhidmatan teksi yang berlarutan sejak berpuluh tahun dan gagal melaksanakan langkah satu warna untuk teksi bermeter walaupun cadangan itu sudah lama diutarakan.

"Kelima-lima kegagalan ini jelas membuktikan SPAD adalah sebuah badan yang gagal.

"Syed Hamid perlu meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepadanya," kata Amran.

Dalam laporan The Malaysian Insider semalam, Amran juga menyelar kenyataan presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Kuala Lumpur, Selangor (Perpekli), Datuk Aslah Abdullah yang menyokong perkhidmatan percuma bas Go-KL.

Sikap dan kecenderungan Aslah yang sering memihak kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan gagal membela kebajikan pemandu teksi menyebabkan kredibilitinya dipertikaikan rata-rata pemandu teksi.

Amran juga memberi amaran kepada SPAD untuk mengambil serius perkara ini sambil mengugut untuk menggunakan "media" terbesar di ibu kota itu untuk memberikan imej buruk kepada kerajaan.

"SPAD dan kerajaan perlu ingat, pemandu teksi adalah "media" terbesar di ibu kota.

Kalau mereka abaikan, tanggunglah akibatnya nanti.

"Kami boleh sampaikan perkara buruk dan baik mengenai kerajaan," tambah Amran lagi.

Pada Selasa minggu lalu, 250 pemandu teksi bertindak mengadakan piket di Jalan Bukit Bintang ekoran tidak puas hati dengan perkhidmatan bas percuma Go KL yang didakwa menyebabkan kemerosotan pendapatan sehingga 70 peratus.

Himpunan secara aman itu bermula kira-kira jam 2 petang hingga 7.30 malam membabitkan sekitar kawasan pusat beli-belah Pavillion hingga ke Lot 10.

Perbuatan pemandu terbabit yang kebanyakannya ahli Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur menyebabkan kawasan di sekitar Bukit Bintang sesak teruk apabila laluan digunakan untuk melakukan bantahan itu terpaksa ditutup.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat persatuan itu kelmarin, perhimpunan juga dibuat sebagai bantahan terhadap masalah ulat teksi "Arab" dan perkhidmatan teksi sapu serta beberapa tindakan SPAD yang mereka anggap menekan pemandu-pemandu teksi berlesen.

Terbukti SPRM Alat UMNO BN, Tutup Skandal RM40 juta UMNO Sabah

Posted: 12 Oct 2012 10:25 PM PDT

BN ingat rakyat senang ditipu kes RM40 juta?

Kuala Lumpur: "Adakah SPRM telah membuat siasatan penuh termasuk mengambil kenyataan Datuk Seri Musa?" tanya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Semalam, katanya kerajaan BN bangga mengumumkan pembebasan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman daripada skandal wang tunai S$16 juta (RM40 juta) ekoran tindakan SPRM untuk menggugurkannya daripada dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Menurutnya, mengikut jawapan bertulis Parlimen Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, Pejabat Ketua Peguam Negara tidak menjumpai apa-apa elemen rasuah dalam kes seorang ahli peniagaan Sabah yang ditahan di Hong Kong kerana menyeludup wang berjumlah RM40 juta dalam mata wang Singapura.

Katanya, Nazri berkata bahawa siasatan menunjukkan duit itu sebenarnya merupakan sumbangan politik kepada Umno Sabah dan bukan kepada Musa.

"Adakah BN ingat bahawa rakyat Malaysia senang tertipu dengan cerita sebegini dan menerima bahawa tidak ada masalah kerana duit yang diseludup itu adalah untuk Umno Sabah dan bukan untuk Musa?" soalnya dalam satu kenyataan.

Tanya beliau lagi, apakah syarat-syarat di sebalik sumbangan RM40 juta itu dan kenapakah ia dilakukan dengan mata wang Singapura.

Bagi Ahli Parlimen Bagan itu, sekali lagi SPRM cuba untuk menutup skandal politik wang oleh BN.

"Skandal penyeludupan RM40 juta wang tunai ini menyusul selepas dua lagi skandal yang melibatkan dua orang lagi ketua menteri BN," katanya.

Baru-baru ini, ujarnya sebuah NGO Switzerland telah mendakwa bahawa kekayaan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud dianggarkan mencecah RM46 bilion, lantas menobatkannya sebagai orang terkaya di Malaysia.

"Lepas itu, kita berhadapan dengan majlis kenduri kahwin anak Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam, di mana 130,000 orang tetamu telah dijamu dalam sambutan yang memecah rekod.

Sehingga hari ini, ujarnya Ali Rustam masih lagi gagal menjelaskan bagaimana beliau mampu menanggung kenduri yang begitu mewah yang mendakwa kosnya hanya RM600,000 dan mendapat tajaan.

Justeru, kata Lim, rakyat Malaysia sudah tidak boleh tahan dengan keangkuhan pemimpin-pemimpin BN yang bukan sahaja mengaut kekayaan yang luar biasa tetapi juga menonjolkannya di khalayak umum. -HD

Umno terlibat seludup wang ke Hong Kong
. Petaling Jaya: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengakui wujudnya wang sebanyak RM40 juta milik seorang ahli perniagaan yang diseludup melalui Hong Kong adalah untuk sumbangan kepada Umno Sabah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai hal ehwal undang-undang itu mengaku berlakunya kejadian ini di Dewan Rakyat semalam, demikian menurut Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kebangsaan, Badrul Hisham Shaharin. Badrul Hisham @ CheguBard berkata, seorang ahli pernigaan bernama Micheal Chia telah ditahan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 14 Ogos 2008 dengan matawang Singapura berjumlah RM40 juta di dalam bagasinya sebelum menaiki pesawat menghala ke Kuala Lumpur. "Namun berita ini diselindung sebaik mungkin dan tidak mendapat liputan dari media tempatan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. Menurut beliau, terbaru semalam apabila hal ini dibangkitkan semula oleh Ahli Parlimen Batu Tian Chua ekoran jawapan bertulis yang diperolehinya dari Menteri terbabit yang mengatakan ia bukan wang untuk Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman tetapi untuk Umno Sabah. Bankrap negara"Apa yang harus disedari ialah mungkin dalam keghairahan regim pertahan pemimpin mereka maka mereka tidak sedar secara tidak langsung diakui bahawa penyeludupan wang RM40 juta itu memang wujud. Makanya apa tindakan undang-undang terhadap kejadian yang diakui wujud itu? CheguBard yang juga Ketua PKR Cabang Rembau menegaskan, untuk membela Musa, Nazri mengakui wang itu bukan untuk Musa secara peribadi tetapi untuk Musa selaku Ketua Umno Sabah maka ini bermakna sahlah Umno Sabah terlibat dalam penyeludupan wang. Kata beliau, menurut satu sumber, wang tersebut ada kaitan dengan kawasan balak yang diluluskan di Sabah dan adalah amalan biasa sebahagian keuntungan harus dipulangkan sebagai dana politik untuk komponen Barisan Nasional (BN) atau terus kepada pemimpin tertentu. "Bukan sedikit wang negara diseludup keluar berkaitan kepentingan pemimpin BN," jelas CheguBard. Contoh katanya sebelum ini terbongkar bagaimana Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan dikaitkan dengan penyeludupan wang RM10 juta ke London dan setelah didapati sahih berlaku, hanya syarikat penghantaran yang dihukum dengan lesennya ditarik. "Inilah pengkhianat sebenar menjejaskan ekonomi negara. Sudahlah terlibat merompak wang rakyat terlibat pula melarikan wang keluar negara. "Yakinlah jika regim ini terus berkuasa pasti tidak akan ada antara mereka yang diambil tindakan, lebih penting kegiatan mereka ini akan pasti membankrapkan negara," ujar beliau. -FMT

Najib, Mahathir Hipokrit, Sembunyi Jumpa Soros

Posted: 12 Oct 2012 07:01 PM PDT



Tun Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak hipokrit menyalak kononnya George Soros musuh yang cuba memporak-perandakan negara dan mengaitkan spekulator mata wang itu dengan Pembangkang, tetapi dalam masa sama bertemu untuk meminta bantuan, kata Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

"Sekarang sudah terdedah topeng kedua-dua mereka. Di satu sisi mereka memainkan sentimen kononnya Soros musuh luar yang cuba huru harakan negara.

"Dalam masa sama mereka sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan Soros yang turut dijalin bersama pemimpin Umno lain.


"Kemudian dia tuduh kita (Pakatan Rakyat) pula. Sedangkan Najib dan Soros secara sembunyi-sembunyi bertemu," kata Setiausaha Agung KEADILAN itu ketika dihubungi.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah minggu lalu mendedahkan pertemuan antara Perdana Menteri dengan Soros di sebuah hotel mewah, Hotel Plaza di Manhattan, New York 27 September 2010.

Saifuddin turut menempelak pertemuan pemimpin Umno dengan agen Yahudi.

"Dalam episod boneka asing, Dr Mahathir sendiri membayar jutaan ringgit kepada pelobi Yahudi, Jack Abramoff hanya untuk bertemu Presiden Amerika.

"Terbaru Dr Mahathir mengatakan Soros akan melantik Perdana Menteri boneka, walhal beliau sendiri pernah menulis tiga pucuk surat kepada tiga Perdana Menteri Israel yang berbeza," katanya.

"Beberapa tahun sebelum itu, Menteri Luar, (ketika itu) Datuk Seri Syed Hamid Albar turut bertemu David Levy (Menteri Luar Israel)," kata Saifuddin.

Perkara itu merujuk pertemuan kedua-dua pemimpin itu pada Ogos 1999 semasa Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) bagi membincangkan pungutan dana untuk Umno dalam persediaannya menghadapi pilihan raya umum ke-10.

"Pendedahan terbaru ini akan menyebabkan rakyat lebih kenal wajah pemimpin Umno yang bermuka-muka," tegas Ahli Parlimen Machang itu lagi.

Sementara itu, Naib Presiden, Tian Chua mendedahkan pertemuan sulit tersebut adalah untuk meyakinkan Soros bahawa Najib seorang yang mengambil pendekatan sederhana dalam pentadbiran.

"Kononnya negara (Malaysia) diancam kumpulan ekstrim dan (Najib) nak dapatkan sokongan (Soros). Adakah Utusan (Malaysia) dan media arus perdana diberitahu? Kemudian beranikah media ini menyerang mereka?" soal Tian.

"Mereka serang orang lain kononnya pengkhianat. Mereka menuduh orang lain tanpa asas. Sedangkan Dr Mahathir dan Najib menipu untuk mengekalkan kuasa," tegas Ahli Parlimen Batu itu.

Najib: 'Memang saya ada jumpa Soros'


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengaku pernah mengadakan pertemuan dengan George Soros di New York dua tahun lalu.

Menurut Najib, pertemuan dua tahun lalu dibuat atas permintaan Soros sendiri dan baginya ia tidak menimbulkan sebarang masalah.

"Memang saya ada berjumpa Soros atas permintaan beliau, ini tidak jadi masalah," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Datuk Onn, malam ini.

Sambil berkata ia adalah kunjung hormat biasa antara dua pihak, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, "tak perlu dibimbangi.

" "Tidak ada isu untuk menjatuhkan kerajaan. Tak bincang pun untuk dapat kewangan. Tak ada niat jahat.

"Beliau (Soros) mahu jumpa saya. Hakikatnya, selepas Tun Mahathir datang terlebih dahulu untuk jumpa dengan dia," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Beberapa pihak mendakwa Najib dan Dr Mahathir pernah mengadakan pertemuan dengan Soros.

Sehubungan itu mereka meminta agar Najib memberi penjelasan segera di sebalik laporan media bahawa beberapa pihak menerima dana daripada institusi milik jutawan tersebut.
-SH



Ulasan GB

Demikian hukum kebenaran dan keadilan berjalan. Terdedah tembelang pemimpin-pemimpin UMNO. Menunjuk jarinya ke arah Pakatan Rakyat ada hubungan dengan Soros sedangkan mereka tidak menyedari empat jari yang lainnya menunjuk ke arah mereka sendiri.

Itulah yang dinamakan hipokrit yang tak terkata dasyatnya!

UMNO tetap binasa. Hanya menunggu detik dan ketikanya!

Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Kisah Imam Hoslan Semasa Di Penjara

Posted: 12 Oct 2012 05:33 PM PDT

Imam Hoslan Husin, 46, yang baru sahaja kembali ke pangkuan anak dan isterinya semalam selepas hampir tujuh bulan menjalani hukuman penjara akan meneruskan kehidupan biasa dengan berniaga buku dan kitab-kitab pengajian agama Islam.

Itulah sumber pendapatan beliau selain bekerja makan gaji dengan vendor alam sekitar sebagai 'water monitoring'.

Bagaimanapun, beliau akan merujuk semula dengan majikannya itu kerana difahamkan akan diberi ruang untuknya di sana selepas ini.

Malah katanya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong penuh perjuangannya.

"Saya berterima kasih dengan pegawai Jawi yang sama-sama bertugas di Masjid Ar Rahimah kerana menghulurkan sumbangan kepada keluarga selama saya dipenjara," katanya ketika ditemui.

Hoslan cukup teruja untuk menceritakan pengalaman yang baru sepanjang beliau berada di Penjara Kajang.

Menurut Hoslan yang juga bekas Imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, sepanjang berada di sana beliau mengambil tugas-tugas sebagai pendakwah di dalam Unit Halaqah.

"Saya cukup sedih, ramai banduan orang Melayu Islam di dalam sana tidak tahu apa itu syahadah apatah lagi mahu mengucap (syahadah).

"Saya juga pernah melakukan sembahyang ghaib untuk salah seorang pegawai penjara yang meninggal dunia. Walaupun ada sedikit pertikaian tetapi saya berjaya menjelaskan sebaiknya," katanya.

Selama berada di sana, beliau cukup gembira apabila berpeluang berdakwah dan memberi kata-kata nasihat kepada banduan-banduan lain.

"Saya diberi kebenaran menyampaikan nasihat oleh pegawai penjara. Antara yang saya tekankan 'jalan kehidupan Allah telah tunjuk, tugas kita hanya ikut sahaja jalan itu'," ujarnya.

Namun, beliau menyifatkan hukuman yang diterimanya sebagai pengajaran dan mengibaratkan penjara itu sebagai madrasah tarbiyah.

Sementara itu, isteri beliau Noorliza Mat Isa, 43, melahirkan kegembiraan yang teramat sangat sehingga tidak terluah dengan kata-kata sebaik sahaja melihat suami yang kini sudah berada di depan mata.

"Tidak tahu nak cakap, saya cukup gembira. Suami dan ayah kepada anak-anak saya akhirnya berada di depan mata kami," katanya dengan linangan air mata.

Jika hari raya Aidilfitri yang lalu, Noorliza berhari raya tanpa suami untuk Hari Raya Aidil Adha yang bakal disambut akhir bulan ini adalah cukup bermakna buat mereka sekeluarga.

"Bersyukur, raya nanti kami gembira sangat, baru ada mood nak raya. Macam Aidilfitri lalu kami tak ada 'mood' nak raya. Anak-anaklah yang paling gembira dan mungkin mereka tidak sabar untuk berbaju raya sedondong," katanya ketika ditemui. -Hrkh

Mahkamah Keluar Waran Pemenjaraan Terhadap Datuk Paiman

Posted: 12 Oct 2012 07:26 AM PDT

Kuala Lumpur - Mahkamah Tinggi di sini semalam mengeluarkan waran pemenjaraan terhadap ahli perniagaan Datuk Paiman Shakimon selepas beliau gagal hadir untuk perbicaraan rayuannya atas sabitan dan hukuman dalam kes menipu dan memalsukan dokumen.

Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah turut melucutkan hak penjamin Paiman, Dr Norma Ahmad ke atas wang jaminan berjumlah RM700,000 selepas perayu gagal hadir di mahkamah sejak disabitkan hukuman penjara 26 tahun pada tahun lepas.

Dalam kes rayuan, Dr Norma, yang merupakan saudara kepada Paiman, juga gagal hadir pada prosiding hari ini.

"Walaupun mahkamah pada 21 Sept lepas telah memberi peluang terakhir kepada penjamin untuk membawa perayu ke mahkamah tetapi dia (penjamin) masih tidak membawanya malahan penjamin juga tidak datang.

"Memandangkan beliau (Paiman) bersalah kerana tidak hadir ke mahkamah, mahkamah turut melucutkan hak jaminannya iaitu berjumlah RM700,000," kata hakim itu.

Terdahulu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir, memohon rayuan perayu dibatalkan dan waran pemenjaraan dikeluarkan.

"Peguam Gobind Singh Deo, yang telah menarik diri daripada mewakili Paiman pernah memberitahu pihak pendakwaan bahawa perayu pernah mengarahkannya untuk memfailkan petisyen rayuan. Ini bermakna perayu sudah sedia maklum kes ini sedang berjalan," kata Syed Faisal.

Paiman, 53, dihukum penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 19 April 2011 selepas didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua Datuk lain dalam satu kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006.

Bagaimanapun, Paiman hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 tahun selepas Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan hukuman itu berjalan serentak. - Bernama

[PAKATAN BOLEH!] Tahniah MPKB, Terima Anugerah Audit Terbaik

Posted: 12 Oct 2012 05:32 AM PDT



KKota Bharu: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), mendapat pengiktirafan sebagai Audit Kewangan Terbaik seluruh negara peringkat PBT 2011 baru-baru ini.

Sempena pengiktirafan yang diadakan di sebuah hotel itu, Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat menerima cenderahati dari Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaacob.

Pengarah Perhubungan Awamnya, Azman Mohd Daham, berkata dengan penganugerahan itu membuktikan MPKB-BRI merupakan sebuah agensi kerajaan negeri yang bersih khususnya dalam menyalurkan sumber kewangan.

Katanya, ekoran pentadbiran kerajaan negeri khususnya MPKB-BRI sendiri yang teliti dalam menjaga sumber kewangan, akhirnya hasil yang baik telah diperolehi.

"Ia juga turut membuktikan pengurusan kewangan yang cekap serta tidak boros,"ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Fauzi serta semua kakitangan MPKB-BRI kerana telah memberikan contoh yang baik kepada semua hingga ianya diakui di peringkat negara.

Baru-baru ini Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaacob, menyampaikan cenderahati kepada Fauzi yang mewakili kerajaan negeri dan MPKB sempena pengiktirafan itu. -HD

Tiada ulasan: