Khamis, 25 Oktober 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Dewan Rakyat untuk rakyat atau main-main?

Posted: 25 Oct 2012 05:01 AM PDT

 
Penyalahgunaan dewan dan perbuatan melepaskan tanggungjawab terserlah semasa sesi Dewan Rakyat. 



Sesi Dewan Rakyat menonjol sebagai satu medan untuk ahli parlimen berpolitik dan bukannya berdebat mengenai perkara-perkara yang melibatkan kepentingan awam.

Antara yang paling ketara adalah penyalahgunaan dewan oleh ahli parlimen.

Dalam ucapan kebanyakan ahli parlimen, mereka merujuk kepada dewan ini sebagai dewan mulia namun kemuliaan dewan tersebut dinodai dalam ucapan mereka dengan penggunaan bahasa yang tidak beretika.

Contohnya, semalam semasa sesi perbincangan peruntukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan (Bebas) menggelar Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham (DAP) sebagai pondan.

Gobalakrishnan turut mempamerkan permainan politik beliau dengan membuat tawaran terbuka agar Ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him (DAP) keluar parti.

Sim menolak tawaran tersebut. "Saya mempunyai prinsip," kata beliau. Penggunaan bahasa tidak sopan bukan baru malah sudah acap kali berlaku namun sebagai seorang pemerhati, saya tidak melihat sebarang tindakan tegas diambil oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat mahupun timbalannya.

Lantas satu persoalan yang timbul. Adakah Dewan Rakyat layak dirujuk sebagai dewan yang mulia?
 
 

Pemerhatian kedua saya adalah berkenaan dengan fungsi menteri dan timbalan menteri di Dewan Rakyat.Pada hari Selasa, semasa perbincangan peruntukan Kementerian Kewangan, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussin enggan meneruskan sesi tersebut setelah diasak oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan persoalan dalam pelbagai isu.

Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution (PKR) mendedahkan butiran syarikat George Kent yang mendapat kontrak pembinaan LRT di Ampang. Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan menyoal berkenaan peruntukan pembentungan kepada syarikat Indah Water Konsortium (IWK).

Tidak mahu jawab soalan 


Apabila berdepan dengan asakan dalam bentuk persoalan, Awang terus duduk dan tidak mahu menjawab persoalan yang diutarakan.

Berlainan sekali tindakan beliau dengan tindakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Datuk Heng Seai Kie pada hari Isnin.

Heng juga menerima asakan soalan dari ahli parlimen Pakatan namun menjawab setiap satu soalan tersebut yang dilontarkan.

Jika perbandingan dibuat di antara Heng dan Awang, tindakan Awang bersamaan dengan melepaskan tanggungjawabnya sebagai timbalan menteri.



Bukankah tanggungjawab beliau yang mewakili eksekutif ialah untuk menjawab soalan pihak perundangan di Dewan Rakyat?

Satu lagi pengamatan saya ialah ketidakhadiran Menteri Kewangan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sesi Dewan sedang berlangsung.

Namun yang lebih menghairankan saya ialah beliau masih hadir dalam upacara perasmian IBO pada minggu lepas oleh Agensi Inovasi dan juga majlis penyerahan sumbangan kuih dan edaran kad raya Aidiladha untuk jemaah haji Malaysia oleh syarikat 1MDB pada hari Selasa.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut dihadiri oleh isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Kedua-dua acara ini berlangsung di dalam pekarangan kawasan Parlimen semasa sidang Dewan Rakyat sedang berlangsung.

Adakah tindakan Perdana Menteri bersamaan dengan melepaskan tanggungjawab sebagai menteri untuk portfolio-portfolio? Tepuk dada tanya selera.

Lima aset komersil kekal milik PKNS

Posted: 25 Oct 2012 04:55 AM PDT

 
PKNS sekarang ini sedang dalam proses menyelaraskan aktiviti-aktiviti teras Kumpulannya.



PETALING JAYA: Lima aset komersil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) iaitu SACC Mall, Shah Alam; Menara PKNS, Petaling Jaya; Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi, serta Wisma Yakin, Kuala Lumpur masih kekal milik PKNS.

Timbalan Pengurus Besar (Korporat) PKNS, Datin Paduka Hajah Norazlina Zakaria, dalam satu kenyataan media hari ini berkata, PKNS sekarang ini sedang dalam proses menyelaraskan aktiviti-aktiviti teras Kumpulannya.

"Salah satu daripada inisiatif korporat yang sedang dilaksanakan adalah penubuhan sebuah syarikat milik penuh PKNS, Private Real Estate Company (PREC), yang akan memfokuskan kepada pelaburan dan pengurusan hartanah," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa sebagai menepati tadbir urus korporat yang telus, penubuhan anak syarikat ini (PREC) dan pindah milik aset -aset komersil PKNS kepada PREC telah mendapat kelulusan dari Jawatankuasa Kewangan dan Lembaga Pengarah PKNS yang turut diwakili oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri.

"Pihak Kementerian Kewangan juga telah memberikan kelulusan bertulis bagi maksud di atas," terang beliau.

Pada masa yang sama katanya, PKNS ingin mengesahkan pelaburannya di dalam saham Genting Sanyen Power Sdn Bhd dan KESAS Bhd masih kekal.

"Namun begitu, PKNS akan senantiasa menilai portfolio pelaburan dari masa ke semasa dan bersedia mempertimbangkan sebarang tawaran yang memberikan pulangan yang munasabah kepada PKNS," jelas Norazlina.

Semalam Ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Seri Noh Omar mencabar Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar menafikan dakwaan bahawa Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah bersetuju menjual lima aset bangunan milik PKNS.

"Saya mahu Menteri Besar Selangor tampil ke depan dan menafikan dakwaan bahawa lima bangunan PKNS akan dijual," kata Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam satu sidang media di lobi Parlimen.

Umno belum bercadang umum awal calon PRU, kata Ahmad Maslan

Posted: 25 Oct 2012 04:52 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Umno belum bercadang untuk mengumumkan lebih awal calon yang layak bertanding pada pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Penerangan parti Datuk Ahmad Maslan.
Katanya  langkah itu bagi mengelak perbuatan sabotaj termasuk mereka yang tidak dipilih mewujudkan 'pasukan' bagi menjatuhkan calon yang dipilih.

"Dalam satu kawasan ada sekurang-kurangnya tiga nama yang dicadang tapi hanya satu akan dipilih. Mereka ini dipilih kerana parti percaya mereka adalah 'winnable candidate' (calon boleh menang).

"Segalanya belum berakhir kepada mereka yang tidak dipilih. Mereka seharusnya mengutamakan parti dan bukan diri sendiri, bukan berdiam diri berkecil hati dan cuba sabotaj parti," katanya kepada pemberita selepas program turun padang mengedarkan risalah 'Bajet 2013' di sekitar Pasar Borong Selayang, di sini hari ini.

Ahmad (gambar) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mengulas gesaan daripada beberapa pemimpin Barisan Nasional agar calon yang akan bertanding diumum lebih awal untuk menangani kemungkinan wujud perbuatan sabotaj.

Ahmad bagaimanapun mengakui ada kebaikan jika pengumuman calon dibuat lebih awal termasuk membolehkan calon berkenaan membuat persiapan dan promosi awal.

"Namun kepimpinan parti belum ada lagi komitmen mengenai cadangan itu," katanya.

Terdahulu, Ahmad mengedarkan kira-kira 3,000 risalah penerangan mengenai Bajet 2013 di sekitar kawasan tersebut. Beliau turut menemui peniaga dan pembeli barangan basah dan menjelaskan mengenai inti pati belanjawan tersebut.

Mengulas mengenai program hari ini, Ahmad berkata pemimpin dan wakil rakyat yang dipilih perlu turun padang dan beri penjelasan dan penerangan khusus tentang inti pati Belanjawan 2013.

Katanya rata-rata masyarakat gembira apabila ada pemimpin turun padang dan jelaskan mengenai program yang dilakukan kerajaan termasuk belanjawan.     "Mereka mahu bersemuka dan bertanyakan soalan selain bertukar pandangan dan pendapat dengan pemimpin. Dengan cara ini mereka akan dapat maklumat secara terus dan lebih tepat lagi," katanya. — Bernama

Rafizi: Saya sendiri akan ke Hong Kong bertemu ICAC

Posted: 25 Oct 2012 04:44 AM PDT

TERKINI

Rafizi berkata beliau sendiri akan ke Hong Kong bertemu ICAC. — Gambar oleh Saw Siow Feng
 
KUALA LUMPUR—  Sekiranya masih gagal mendapatkan penjelasan daripada Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) mengenai status kes berhubung sumbangan dana RM40 juta kepada Umno Sabah, Rafizi Ramli berkata beliau sendiri akan Hong Kong bagi mengemukakan bukti baru terhadap kes tersebut kepada badan berkenaan.

Menurut Rafizi yang sudah menghubungi ICAC, sehingga kini badan tersebut masih gagal memberikan penjelasan sama ada kes tersebut telah ditutup atau masih berjalan.

"Jika masih gagal mendapatkan sebarang jawapan dan penjelasan daripada ICAC mungkin saya sendiri terpaksa pergi ke Hong Kong.

"Berdasarkan kenyataan dan bukti baru yang diperoleh menerusi kenyataan pemimpin Umno dan di Parlimen, saya berpendapat terdapat asas untuk ICAC menyiasat terutamanya dibawah Seksyen 16 (3), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 memandangkan terdapat keraguan ke atas sumber wang tersebut," kata Rafizi semasa ditemui di Bank Negara Malaysia (BNM) pagi ini.

Namun, Rafizi berkata terdapat statut dalam ICAC yang menjelaskan bahawa sekiranya siasatan kes tersebut sudah melebihi tempoh tiga tahun maka ia tidak akan diteruskan.

"Kami sudah menghubungi ICAC dan tidak terdapat satu pengesahan pun daripada mereka yang mengatakan kes tersebut telah ditutup atas alasan tiada elemen rasuah telah dikenalpasti.

"Walaubagaimanapun seperti yang dilaporkan oleh Sarawak Report menyatakan terdapat statut dalam ICAC yang menghadkan tempoh siasatan hingga tiga tahun. Jika tiada maklum balas daripada negara yang disiasat terbabit, maka kes tersebut tidak akan disiasat lagi," kata Rafizi.

Rafizi menerangkan dia juga akan cuba mendapatkan jawapan daripada ICAC untuk mengesahkan samaada kes tersebut telah ditutup kerana pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enggan memberikan kerjasama dalam siasatan kes tersebut.

Sebelum itu, Rafizi pagi tadi telah menyerahkan kertas laporan kepada BNM bagi menggesa badan pusat terbabit untuk menyiasat sumbangan dana RM40 juta kepada Umno Sabah dibawah peruntukkan Akta Kawalan Tukaran Wang 1953 dan Notis Kawalan Tukaran Wang, ECM 4 dan Seksyen 16 (3), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Dalam sidang Parlimen lalu, Putrajaya telah mengesahkan bahawa Datuk Musa Aman hanya dibersihkan daripada rasuah selepas SPRM memberitahu pihak berkuasa Hong Kong bahawa sumbangan tunai RM40 juta yang didakwa untuk Ketua Menteri Sabah adalah "derma politik" kepada Umno.

Putrajaya mengesahkan bahawa Musa hanya dibersihkan daripada rasuah selepas SPRM memberitahu pihak berkuasa Hong Kong bahawa sumbangan tunai RM40 juta yang didakwa untuk Ketua Menteri Sabah adalah "derma politik" kepada Umno.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahu The Malaysian Insider bahawa SPRM mula menyiasat Musa selepas ICAC ingin mendapatkan maklumat mengenai isu itu.

Beliau berkata ICAC telah meminta kerjasama SPRM selepas peniaga kayu Sabah, Michael Chia telah ditahan dan didakwa dengan pengubahan wang haram pada tahun 2008 kerana cuba menyeludup S$16 juta (RM40 juta) daripada Hong Kong.

Menurut laporan media, Chia pada masa itu memberitahu pihak berkuasa Hong Kong bahawa wang yang beliau bawa adalah milik Musa.

Jamuan laksa kutip dana lebuh raya rakyat

Posted: 25 Oct 2012 04:39 AM PDT

Yakub Dasan,

PASIR  MAS: Biar pun Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor meminta kerajaan Kelantan menghentikan kutipan derma dana lebuh raya rakyat, sebaliknya orang ramai tetap tampil menghulurkan sumbangan.

Semalam Masjid An-Nur Kubang Bemban menganjurkan jamuan laksa bagi mengutip derma dana lebuh raya rakyat menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai yang dirancang kerajaan negeri.

Pengerusi program tersebut, Che Pa Che Jid berkata, kira-kira 200 kilogram laksa disediakan bagi jamuan lebih kurang 1,000 orang untuk mengisi dana wakaf projek berkenaan.

"Program bermula selepas solat Zohor sehingga waktu Isya. Sambutan orang ramai Alhamdulillah begitu menggalakkan sekali.

"Adun Pengkalan Pasir, Haji Hanifa Ahmad, penghulu-penghulu mukim dan orang ramai hadir memberi sokongan terhadap usaha kerajaan negeri menyediakan kemudahan untuk rakyat.

"Orang ramai tidak putus-putus datang. Mungkin kami masjid mukim pertama di Kelantan menganjurkan program seumpama ini," katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Menteri Kerjaraya sebelum ini dilapor meminta kerajaan Kelantan memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah bekalan air bersih, berbanding mengutip derma membina lebuh raya rakyat.

Sebelum ini wat-wat Siam di seluruh Kelantan menganjurkan kutipan derma bagi mengisi dana wakaf lebuh raya rakyat. Majlis penyampaian sumbangan itu diadakan di Wat Machimmaran, Tumpat.

Lebih RM60,000 dikumpul masyarakat Siam dalam bentuk pokok duit. Wakil-wakil wat kemudian menyerahkan pokok duit tersebut kepada Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Che Pa berkata, usaha dilakukan itu sebagai aspirasi kepada pihak-pihak lain untuk turut sama mengadakan program serupa bagi sama-sama mengisi dana wakaf lebuh raya rakyat.

"Sedekah jariah digalakkan Islam terutamanya perkara yang memberi manfaat kepada orang ramai seperti lebuh raya. Projek itu dinafikan kerajaan pusat jadi kita sebagai rakyat perlu mengambil inisiatif sendiri," ujarnya.

Menurutnya jumlah kutipan disasarkan kira-kira RM20,000. Kutipan juga akan dilakukan secara berterusan selepas ini.

Kata beliau juga wang kutipan derma itu akan diserah kepada kerajaan negeri.

Penghulu Mukim Kubang Bemban, Abdul Aziz Che Yusoff berkata, biar pun keadaan hujan dan cuaca mendung, namun orang ramai tetap datang menjamu selera sambil menderma.

Sejuk hati bila pemimpin DAP pertahan PAS

Posted: 25 Oct 2012 04:37 AM PDT

Ahmad Lutfi Othman,

Panik. Gelabah. Meracau-racau. Mungkin itu istilah sesuai dapat dirumuskan tentang situasi Umno-BN berdepan tsunami politik Mac 2008, lebih empat tahun lalu, yang menyaksikan BN kalah mengejut lima negeri dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Nampak jelas, sekali Umno dirundung malang, hilang segera kewarasan berpolitik, juga kebijaksanaan mengatur strategi. Segala yang tercapai dek tangan digapai bagi menyelamatkan diri daripada terus tenggelam.

Sentimen dan api perkauman dinyalakan. Media dan alat propaganda yang dikuasai Umno, misalnya Utusan Malaysia dan TV3, bebas memercikkan bahang panas  menggugat sensitiviti. Jika saingan politiknya, seperti PAS ataupun DAP, berbuat demikian, pemimpin dan aktivisnya pasti diserkup pelbagai akta. Apa pun, rakyat semakin matang dan cermat memerhati aksi golongan terdesak itu.

Memikirkan pengundi masih bermentaliti lapuk, mudah dikelirukan isu-isu sensasi dan cepat melupakan persoalan kritikal  -- seperti korupsi, salahguna kuasa, peningkatan kadar jenayah, kenaikan kos hidup -- Umno dan kembarnya, MCA, mencari jalan pintas demi mempertahankan Putrajaya.

Kepada audien Melayu-Islam, Umno ghairah menggambarkan PAS begitu kemaruk kuasa, sanggup menggadai prinsip perjuangan dan rela memeluk rakan barunya, DAP, yang dipersepsikan sebagai musuh agama dan bangsa. DAP pula diunjurkan  menjadi parti paling dominan dan mempunyai kuasa penentu dalam Pakatan Rakyat. Segalanya bertujuan untuk menakutkan pengundi Melayu terhadap usaha Pakatan membentuk kerajaan alternatif.

MCA, yang kalah  pada kebanyakan kerusi majoriti pengundi Cina, menggunakan lenggok bahasa dan penekanan isu berbeda. PAS yang disifatkan Umno sebagai kuda tunggangan DAP, telah diangkat Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek -- ketika berdepan masyarakat Tionghua -- menjadi parti paling berpengaruh dan bakal menerajui kerajaan Pakatan di peringkat persekutuan.

Untuk mengusik emosi penyokong tradisinya, konsep Negara Berkebajikan dikritik hebat media Umno, dan PAS ditohmah sanggup melupakan cita-cita menubuhkan Negara Islam, sekali gus meremehkan Hudud. Bekas pemimpin PAS, seperti Dr Hasan Ali dan dua tiga kerat ulamak tertentu diperalatkan bagi memalitkan imej buruk ke wajah Parti Islam itu.

Dalam masa sama, lidah pemimpin MCA terutama Soi Lek, semakin fasih mencerca Hudud dan membayangkan satu undi kepada Pakatan bermakna satu undi kepada pelaksanaan undang-undang Islam, yang sengaja digambarkan sebagai peraturan kolot, menindas dan zalim.

Bukanlah isu besar jika MCA menolak Hudud, memandangkan Umno turut mengambil pendirian hampir sama. Malah sekutu rasminya dalam Perikatan sejak 1953 -- Umno -- melalui pemimpin utamanya kerap melemparkan ungkapan mempersenda dan menghina Islam.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu merumuskan dengan baik situasi ini: "Dulu ketika Umno tidak pandai lagi menggunakan hujah dalam ilmu-ilmu Islam seperti maqasid syariah untuk menolak perlaksanaan hukum Islam, para pemimpin dan pengikutnya mencaci dan mencerca hukum Islam habis-habisan dan menuduh hukum Islam primitif, menimbulkan huru hara dan sebagainya.

"Kerja jahat itulah yang kini disambung oleh Chua sekarang dengan restu Umno yang sengaja berdiam diri dengan perbuatan Presiden MCA itu menghina Islam."

Ketika Soi Lek memberikan gambaran salah terhadap apa yang didakwanya perlaksanaan Hudud di negara-negara yang dianggap "paling korup, tidak stabil dan tidak selamat", dalam perhimpunan agung MCA baru-baru ini, banyak pihak mengecam sikap membisu Perdana Menteri, Najib Razak yang merasmikan majlis berkenaan. Soi Lek juga tidak menyokong tohmahannya itu dengan fakta dan data sahih.

Dalam perhimpunan itu,  Naib Pengerusi Wanita MCA, Senator Heng Seai Kie, yang juga seorang timbalan menteri, memutarbelitkan ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis kempen menutup aurat di Kelantan, dengan mendakwa Mursyidul Am PAS itu menggalakkan orang Islam merogol wanita bukan Islam kerana mendedahkan aurat. Satu kenyataan paling biadab, kurang ajar dan cukup celupar!

Najib sebelum itu turut enggan mengulas dakwaan Soi Lek (yang hanya bersumberkan satu SMS diterimanya daripada individu yang tidak dikenali)  bahawa 1.2 juta rakyat akan hilang pekerjaan jika Hudud dilaksanakan. Presiden MCA menyenaraikan pelbagai industri yang terjejas dengan kehilangan pekerjaan yang didakwanya itu, antaranya, pekerjaan di resort perjudian Genting Highlands, pusat pertaruhan dan juga rumah urut.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam satu majlis ceramah membidas Najib: "Presiden MCA boleh berucap menyerang Islam begitu biadap sekali dan dia  boleh duduk senyum. Kemudian bila berucap tak tegur pun. Mana dia maruah  sebagai umat?"

Namun apa yang ditunjukkan Soi Lek bukan lagi sekadar penolakan Hudud (sesuatu yang boleh dianggap lazim bagi seorang bukan Islam), tetapi ia usaha terancang dan bermotif untuk menghina dan merendahkan Islam bagi meraih sokongan. Menyedari MCA mungkin menjadi sejarah selepas PRU13, Soi Lek cuba menampilkan imejnya sebagai "pembela dan penyelamat" bagi masyarakat Cina daripada "kezaliman Hudud".

(Dalam satu paditonya, Mat Sabu menyindir: "Sekarang orang ramai bukan lagi bertanya berapa banyak kerusi MCA yang dimenanginya dalam PRU13 nanti, tapi mereka bercakap berapa ramai ahli MCA yang tinggal.")

Soi Lek secara terbuka pernah melafazkan: "Kita orang Cina berani menentang dan melawan Umno terutama dalam bab Hudud, adakah DAP berani dalam hal ini." Saya perhatikan banyak posting dalam internet menggandingkan kenyataan Soi Lek itu dengan ucapan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng: "Kita orang DAP tidak boleh menghalang kepercayaan orang Islam dalam hal agama mereka, begitu juga orang PAS tidak pernah menghalang dalam bab agama kita."  Masyarakat dapat menilai siapa sebenarnya yang memperlekehkan Hudud.

Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke Siew Fook selepas dilaporkan menepuk meja dalam sidang Parlimen menyokong Tok Guru Nik Aziz yang difitnah Senator MCA, memberi respons penuh hikmah: "Dalam politik kita berbeza pendapat, itu perkara biasa. Umpamanya, kita dalam DAP juga punyai pendapat berbeza dengan PAS dalam soal hukum Hudud. Tetapi kita tidak pergi sampai ke tahap memburuk-burukkan dan menghina Islam."

Gaya politik Soi Lek  -- yang kerap diingati dengan pengakuan rakaman rahsia hubungan seksnya pada 2007 di sebuah hotel di Johor -- dan pemimpin MCA mutakhir ini cukup berbahaya. Ia semakin menjadi-jadi apabila kenyataan menghina Islam oleh Soi Lek  sejak awal dulu tidak pernah ditegur pemimpin Umno. Seharusnya diperbetulkan, apatah lagi jika ia berpunca dari kejahilan, memandangkan Umno juga mempunyai ilmuan Islam dan ulamak!

Saya tertarik dengan ingatan Anthony Loke, Ketua Pembangkang dalam Dun Negeri Sembilan dan ahli Parlimen Rasah, tanda kewarasan dan kebijaksanaan pemimpin Pakatan tidak pernah pudar. Masyarakat Islam tentunya mendapat pengajaran bermakna dalam episod ini, sekurang-kurangnya dapat membantu membuat penilaian menyeluruh dan adil terhadap gelagat aktor-aktor politik yang gelisah berdepan hukuman rakyat.     

Sejuk dada saya membaca kenyataan dan reaksi pemimpin DAP terhadap fitnah MCA itu. Kalau dulu kita terpaksa mengharapkan sanggahan daripada pemimpin PAS tetapi kini cukuplah dengan sokongan sekutunya dalam DAP.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit turut melahirkan rasa terkejut dengan tindakan Soi Lek mempertahankan tuduhan liar Timbalan Menteri Wanita MCA yang mendakwa Tok Guru Nik Aziz membenarkan wanita bukan Islam yang tidak menuruti kod pemakaian Islam dirogol.

"Perasan terkejut kepada ucapan Chua bertukar menjadi kasihan dan sedih melihatkan Presiden MCA sanggup menjadi sebegitu hina untuk menghamburkan pembohongan-pembohongan dan penipuan kerana terdesak memikirkan prospek PRU13," tegas Kit Siang.

"Adalah jelas MCA dan Umno telah mengadakan 'perjanjian syaitan' supaya masing-masing menyebarkan pembohongan dan penipuan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan Melayu, kerana mereka menyimpulkan bahawa politik kebencian sedemikian adalah satu-satunya cara untuk melindungi dan memelihara kuasa Umno-BN  pada PRU13," tambahnya.

Setiausaha Agung DAP, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataannya  menyifatkan fitnah terhadap Tok Guru Nik Aziz sebagai "satu pembohongan besar".

"Ini satu pembohongan besar sama dengan pembohongan Utusan Malaysia apabila mendakwa saya anti-Melayu dan anti-Islam kerana Nik Aziz tidak pernah berkata begitu," kata  Guan Eng dalam kenyataannya.

"MCA adalah versi Cina untuk akhbar Utusan Malaysia yang bertenggek di atas kepalsuan, ketakutan dan kebencian untuk hidup. MCA umpama lelaki curang yang mendakwa dirinya bermoral dan bermaruah," ujarnya.

Saya segera teringat bisikan Guan Eng semasa bertemunya di Lapangan Terbang LCTT, Sepang ketika saya masih keuzuran selepas menjalani pembedahan pintasan jantung. Beliau yakin hubungan PAS dengan DAP tidak mudah diputuskan disebabkan persefahaman pemimpin kedua-dua parti, terutama Tok Guru Nik Aziz dan Kit Siang, yang pernah melalui pelbagai penderitaan dan tekanan yang sama dalam memperjuangkan kebenaran dan hak rakyat.

Selamat hari raya Aidil Adha dan melaksanakan ibadah korban serta menghayati pengertian pengorbanan setulusnya seperti ditunjukkan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

Kemunculan semula bekas ketua bahagian dihalang

Posted: 25 Oct 2012 04:36 AM PDT

Fuad HadiNata,

PASIR PUTEH: Kemunculan semula bekas ketua Umno bahagian Pasir Puteh, Datuk Kamaruddin Mohd Noor dengan agenda keluar masuk kampung difahamkan tidak disenangi kepimpinan Umno sekarang.

Malah mereka dikatakan cuba menghalang pergerakan Kamaruddin dengan menghantar "orang suruhan"  mengganggu bekas pemimpin terbabit.

Pada 12 Oktober lalu rombongan Kamaruddin cuba dihalang empat lelaki ketika menziarahi penduduk di Kampung Panggong, Dun Limbongan Pasir Puteh.

Pada kejadian itu beberapa saksi memberitahu pembantu bekas Adun Semerak itu didatangi empat lelaki ketika Kamaruddin makan pagi bersama penduduk kampung di sebuah kedai kopi.

"Salah seorang terus mendekati pembantunya dan cuba menarik tangan supaya masuk ke dalam sebuah kereta jenis Perdana V6 dengan alasan untuk berbincang.

"Saya mendengar pembantu itu menolak dengan baik pelawaan tersebut. Bagaimanapun salah seorang lelaki berteriak dengan keras supaya pembantu itu pergi juga berbincang dalam kereta.

"Tiba-tiba lelaki itu menendang di bahagian depan kaki pembantu berkenaan sambil menghamburkan pelbagai cemuhan. Dia juga mengeluar kata-kata kesat kepada Kamaruddin," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau yang enggan dikenali berkata, ekoran insiden itu Kamaruddin bersama isterinya Datin Siti Fatimah Iskandar dan pembantunya beredar meneruskan ziarah warga emas di Kampung Bukit Tanah, Selising.

Bagaimanapun menurutnya tidak lama kemudian empat lelaki tadi sampai di mana seorang daripadanya cuba merampas kamera dipegang pembantu tadi, namun gagal.

"Bila dia gagal merampas kamera lelaki itu mahu menumbuk pembantu Kamaruddin tetapi gagal kerana sempat ditepis beberapa kali," dakwa beliau.

Bagaimanapun pembantu terbabit yang juga enggan dikenali ketika dihubungi berkata, kejadian itu tidak dilaporkan kepada polis.

Beliau juga memberitahu sebelum kejadian berlaku Kamaruddin dan isteri menziarahi seorang penduduk yang hendak menunaikan ibadat haji di Kampung Gong Serai.

Kamaruddin difahamkan mempunyai hubungan rapat dengan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, disebut-sebut bakal calon BN di kerusi parlimen Pasir Puteh.

Bagaimanapun kelibat Kamaruddin dikatakan tidak disenangi ketua bahagian sekarang, Zawawi Othman, seorang bekas guru yang dianggap  mencabar kedudukannya.

Menurut sumber lain pula kemunculan semula Kamaruddin yang dilihat ramai lebih rapat dengan akar umbi membuatkan Umno Pasir Puteh sekarang bergolak semula.

Selamatkan segera etnik Rohingya sebelum terlambat

Posted: 25 Oct 2012 04:09 AM PDT

Harakahdaily,

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) dan Union of World  Rohingya Organzation - UWRO (Kesatuan Organisasi Rohingya Seduia ) mendesak semua organisasi antarabangsa UN, OIC, EU dan ASEAN mengambil tindakan segera ke atas perkembangan terbaru yang berlaku di Arakan, Myanmar.

Perkembangan terkini telah menunjukkan pembunuhan, pembakaran ribuan rumah dan serangan bertalu-talu yang amat dahsyat masih berlaku di serata Arakan. Oleh kerana itu badan-badan antarabangsa tidak mempunyai pilihan lain melainkan  menempatkan tentera pengaman untuk mengawal keganasan dengan serta-merta.

Gerakan 'ethnic cleansing' yang dijalankan sudah mencapai tahap maksima. Kerajaan Myanmar mengambil kesempatan untuk meneruskan dasar mereka untuk menghapuskan etnik Rohingya Muslim di Arakan.

 Presiden Thein Sein berjaya mengaburkan mata dunia dengan berjanji untuk mencari penyelesaian bagi konflik ini ketika berucap dalam perhimpunan agung PBB yang lalu.

Laporan membuktikan keganasan yang dilakukan di kawasan minoriti Muslim terutama di Arakan terus giat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Myanmar tempatan sejak 21 Oktober.

Ketika pemenang anugerah Nobel Suu Kyi disanjung , beliau nampak buntu dan tidak bersuara, adalah tidak rasional bagi organisasi bertaraf dunia seperti UN dan negara-negara ahlinya untuk berpeluk tubuh apabila jelas isu "ethnic cleansing" yang berlaku ini dibiarkan.  Walhal  suatu angkara kejam terus menerus dilakukan terhadap kaum Rohingya  oleh pihak berkuasa di bawah perkenan badan pemerintahan Myanmar itu sendiri.

Laporan yang diterima daripada perkampungan Kyauktaw and Maungdaw , menunjukkan seramai 150,000 penduduk hilang tempat tinggal dan kini terkandas di kem-kem pelarian di sekitar lapan buah kawasan dalam Arakan sejak lebih daripada empat bulan yang lalu.

Hampir sejuta penduduk yang terdiri daripada Rohingya, Kaman dan muslim Rakhine yang lainnya bukan sahaja terus terperangkap malah terpaksa hidup dalam ketakutan dek kerana ancaman yang mereka terima saban hari.

Situasi terbaru melaporkan pekan Taht Minbya dan Mrauk U adalah antara kawasan yang paling teruk dimusnahkan. Rumah-rumah milik Rohingya muslim di kampung Yainetay (Zula Fara)  di pekan Mrauk U dan kampung Nagara Pauktaw di pekan Minbya habis musnah dibakar.

Ada sumber dalaman dari Arakan  yang melapurkan pihak tentera dan polis tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menghentikan kekejaman oleh kaum Rakhine dan mereka masih menghalau penduduk muslim keluar dari kampung.

Melalui kerjasama UWRO kami telahpun menerima laporan yang menggambarkan jumlah serangan yang kian meningkat. Kesemua laporan diteliti mengikut tarikh, masa, lokasi dan nama mangsa. Sebahagian daripada laporan adalah seperti berikut:

1) Kampung Parein yang mempunyai lebih daripada 500 buah rumah musnah terbakar pada 22 Oktober.

2) Paiketay Rwa (perkampungan nelayan) yang mengandungi sekitar 300 buah rumah, 50 daripadanya dibakar pada 21 Oktober.

3) Tharak Rwa di kampung Pann Mraung yang mempunyai hampir 190 rumah di dalam kawasan yang didominasi orang Rakhine, telah habis rentung  dibakar pada 22 Oktober; dan

4) Kampung Sudaine Rwa turut dibakar dan kesemua rumah rentung dibakar pada 22 Oktober

Untuk kedua-dua bandar tersebut, sumber menyatakan anggaran kematian menghampiri 100 orang, namun buat masa ini lebih daripada sepuluh yang dijumpai mati termasuk 3 orang Rakhine.

Di bandar Kyaukpyu, dua buah masjid, Anauk Paikseik (kampung nelayan barat) dan Arashi Quarter telah diserang.

Kini, penculikan, penyiksaan and rampasan harta Rohingya oleh orang Rakhine berkembang di seluruh Arakan yang turut dibantu oleh pihak polis dan sami-sami.

Rumah-rumah orang Rohingya, Kaman dan Rakhine Muslim yang berada di kampung Parien di bandar Mrauk U dan Paiketay Rwa (perkampungan nelayan), Tharak Rwa di kampung Pann Mraung, kampung Sudaine Rwa di bandar Minbya semuanya diserang dengan teruk.

Situasi di Yangon juga tidak dapat dipastikan memandangkan sami-sami telah menyebarkan risalah-risalah yang menyalahkan orang-orang Islam yang didakwa mendominasi perniagaan, pembangunan dan kepimpinan. Sumber maklumat mengesahkan ratusan sami-sami palsu bersedia untuk menyerang orang Islam di bandar Mingaladon dan Tinngangyuan.

Di samping Myanmar kini menikmati pengiktirafan dari negara-negara membangun kerana kononnya ia telah mengubah polisi dari penindasan ke atas rakyatnya sendiri. Namun Presiden Thein Sein masih sewenang-wenangnya meneruskan pelan penghapusannya terhadap etnik Rohingya.

Walaupun diplomat PBB, Nambia dan Quintana baru sahaja mengunjungi Myanmar untuk meninjau krisis ini, PBB tetap membiarkan situasi ini berterusan dan sekadar merujuk kepada boneka Pengurusan Hak Asasi Manusia Myanmar untuk membuat siasatan lanjut.  Sehingga hari ini masih tiada apa-apa usaha yang dijalankan untuk menghentikan kekejaman yang berlaku.

Krisis semasa ini mendesak OIC dan PBB untuk mengambil tindakan segera. Tiada kunjungan diplomatik setakat ini yang mampu meredakan krisis yang berterusan di Myanmar.

Kami menyeru Tentera Pengaman Khas  PBB diwujudkan segera dan dihatar segera ke Myanamr demi melindungi komuniti Rohingya.

Pengumuman baru-baru ini oleh ketua Muslim di Yangon yang menyatakan keputusan untuk tidak melaksanakan Qurban mencerminkan keterdesakan dan kerumitan yang dihadapi oleh Muslim di Myanmar.

Oleh itu, kami menyeru Muslim di seluruh dunia untuk menunjukkan sokongan kepada orang Rohingya dan mendesak OIC untuk menghantar delegasi khas pada hari Raya Aidul Adha dan menuntut Kerajaan Myanmar untuk melindungi orang Rohingya dari serangan yang berterusan ini.

Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi SHURA

Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiusaha Agung MAPIM

Ghiyathudeen Abdul Salam
Setiausha Agung UWRO

Laporan rasuah pada CEO S'wak Energy dibuat di Norway

Posted: 25 Oct 2012 04:01 AM PDT


MALAYSIA KINI


 
Bruno Manser Fund (BMF) membuat aduan dakwaan rasuah terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Energy Bhd Torstein Dale Sjotveit dengan badan antirasuah Norway Okokrim berhubung projek empangan Murum dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

NONELaporan itu dilaporkan oleh akhbar Norway Dagbladet berjudul "Natives furious with Norwegian dambuilder" (Orang Asal berang dengan pembina empangan Norway), kata BMF, NGO yang berpangkalan di Switzerland dalam kenyataannya minggu lalu.

BMF mendakwa mendapat maklumat pada 2010 bahawa syarikat Sjotveit (kanan) dianugerahi kontrak talian kuasa lebih RM99 juta yang mana anak Ketua Menteri Sarawak Abu Bekir Taib didakwa sebagai pemegang saham utama.

NGO itu juga mendakwa, pada tahun yang sama, Sarawak Energy menjual sebahagian daripada anak syarikat pembinaan yang menguntungkan itu kepada syarikat yang sama.

"Tambahan pula, pada Januari 2012, bank-bank di Malaysia mengeluarkan bon Islamik bernilai RM2.5 juta bagi pihak Sarawak Energy," kata BMF sambil mendakwa salah sebuahnya anak syarikat kerjasama yang dikaitkan dengan keluarga Taib.

"Aduan Bruno Manser Fund pada masa ini disokong oleh siasatan syarikat penyelidikan Belanda Profundo."

Pelajar buang anak baru lahir dalam tali air ditahan

Posted: 25 Oct 2012 03:59 AM PDT




 
Polis menahan seorang pelajar berusia 17 tahun kerana dipercayai membuang bayi perempuan yang baru dilahirkannya ke dalam sebatang tali air di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat, di Kangar awal hari ini.
  
Polis turut menahan tiga lagi individu termasuk teman lelaki pelajar berkenaan selepas mayat bayi itu ditemui mati kira-kira pukul 1 pagi dalam tali air yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah pelajar itu.

Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron berkata siasatan masih dijalankan bagi memastikan sama ada bayi itu masih hidup semasa dibuang atau dibunuh sebelum dicampak ke dalam tali air itu.

Katanya polis menerima laporan seorang pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang curiga dengan pendarahan seorang pelajar perempuan yang telah dirujuk ke hospital itu kira-kira pukul 9.20 malam tadi.

Hasil laporan itu, polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menjalankan gerakan mencari dan menyelamat bayi berkenaan setelah mendapat maklumat bayi itu dibuang ke dalam tali air.

Zull Aznam berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.- Bernama

Perumahan di S'gor, MP Pakatan bukti Donald Lim silap

Posted: 25 Oct 2012 03:58 AM PDT


MALAYSIA KINI


 
Ahli Parlimen DAP Tony Pua dan Teo Nie Ching hari ini menyangkal dakwaan Pengerusi MCA Selangor Datuk Donald Lim, dengan menunjukkan kepadanya bahawa bukan satu peratus, tetapi 25 peratus rumah kos rendah dan sederhana yang dirancang di negeri itu, telah pun disiapkan.

Wakil rakyat DAP itu berkata jawapan Selangor di Dewan Undangan Negeri menyatakan dengan jelas bahawa 5,526 unit perumahan kos sederhana rendah dan sederhana, telah siap.

NONEIni adalah kira-kira 25 peratus daripada 23,637 yang dirancang oleh
kerajaan negeri Selangor, dan ianya bercanggah dengan dakwaan Lim di Dewan Rakyat bahawa "tidak sebuah pun rumah kos rendah atau sederhana telah dibina" oleh Selangor sejak Mac 2008.

Menurut mereka, Lim nampaknya hanya membaca separuh daripada jawapan kerajaan negeri.

Mereka memberitahu demikan dalam satu kenyataan ekoran lawatan ke tapak sebuah projek perumahan mampu milik di Bangi yang akan siap tidak lama lagi.

Menurut mereka lagi, sebagai seorang jurutera sivil, Lim harus tahu bahawa 25 peratus siap dalam tempoh empat tahun adalah "terpuji" kerana "merancang, meluluskan dan membina rumah bukan seperti memesan sepinggan char koay teow".

Selain projek Bangi, kerajaan negeri juga membina 135 unit rumah mampu milik di Sungai Long yang dijadual siap tahun depan, dan 563 unit di Shah Alam, kata mereka.

Mereka menambah rumah tersebut dibina oleh kerajaan negeri Selangor, walaupun menyediakan rumah mampu milik, menjadi kewajipan kementerian perumahan dan kerajan tempatan.

Dana RM40 juta: K'jaan tetapkan duluan luar biasa

Posted: 25 Oct 2012 03:55 AM PDT

MALAYSIA KINI


 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan akan menetap duluan (precedent) yang luar biasa jika tiada ketelusan terhadap sumbangan RM40juta yang disalurkan kepada Umno Sabah.

Jika tidak ditangani dengan baik, perdana menteri akan dianggap membiarkan perbuatan itu, kata bekas penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Robert Phang.

NONE"Ia bermaksud bahawa jika seseorang ditangkap (menyalurkan) dana, ia dianggap sebagai sumbangan politik, dan jika dia tidak ditangkap, maka ia dikira 'sendirian berhad'," kata Phang berkata dengan sinis.

"Ini akan memudarkan usaha kerajaan membanteras rasuah dan membawa Program Transformasi Kerajaan ke arah sia-sia jika perkara ini tidak dilakukan dengan telus.

"Ia akan menetapkan duluan yang buruk dan membahayakan BN kerana membenarkannya."

Semasa persidangan Persatuan Antarabangsa Pihak Berkuasa Antirasuah (IAACA), isu sumbangan politik dibangkitkan dan panel bersetuju ia boleh dianggap sebagai rasuah jika ia tidak dilakukan secara telus.

Semalam, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno yang kini ahli parlimen Bebas Lajim Ukin berkata, beliau tidak pernah tahu Umno Sabah mempunyai begitu banyak wang.

Penganalisis: Pakatan belum mampu tewaskan BN Sabah

Posted: 25 Oct 2012 03:53 AM PDT

Lu Wei Hoong


 
Pakatan Rakyat tidak cukup kuat untuk menewaskan BN di Sabah walaupun gabungan pembangkang dari Semenanjung itu telah dapat menembusi negeri di Malaysia Timur itu, kata seorang penganalisis politik.

Bercakap dalam satu forum di Kuala Lumpur malam tadi, penganalisis tersebut yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata parti-parti dalam Pakatan Rakyat tidak bekerjasama dengan baik dengan parti-parti di Sabah.

NONE"Saya fikir (bagi) pembangkang untuk menumbangkan BN di Sabah, ia
mesti bersatu dan membentuk pakatan pembangkang yang sangat kuat.

"(Bagaimanapun) saya tidak fikir ia sedang berlaku sekarang," katanya di forum yang diadakan untuk menandakan pelancaran buku Democracy at stake? Examining 16 By-election in Malaysia, 2008-2011 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Ahli akademik itu berkata kemungkinan berlaku pertandingan banyak penjuru di kalangan parti-parti pembangkang akan mengurangkan sebarang peluang mereka untuk menang.

Masalah ini mungkin dapat diselesaikan jika Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memujuk orang kuat Sabah seperti Jeffrey Kitingan untuk bersama Pakatan.

NONEBagaimanapun, beliau merasakan adalah sangat sukar bagi Pakatan
untuk memujuk orang yang berfikiran bebas seperti Jeffrey (kanan).

"Jeffrey kata partinya (State Reform Party) mahu bertanding semua 60 negeri kerusi di Sabah dan empat hingga lima kerusi (parlimen) majoriti Kadasan Dusun," kata penganalisis lagi.

Jika perancangan Jeffrey itu diteruskan, maka ia akan menjejaskan peruntukan kerusi di kalangan parti-parti pembangkang yang mahukan pertandingan satu lawan satu dengan BN.

Beliau juga berkata tindakan dua ahli Parlimen (MP) BN Sabah keluar BN baru-baru ini tidak banyak menguntungkan Pakatan.

Katanya, Anwar sedang cuba menggunakan Wilfred Bumburing dan Datuk Lajim Ukin, tetapi beliau tidak fikir yang pengaruh mereka akan melampaui Tuaran.

Beliau menasihatkan Anwar supaya memberi perhatian yang lebih kepada isu-isu tempatan untuk meningkatkan peluang Pakatan Rakyat menang ke atas Sabah.

Pada bulan Ogos, MP Tuaran Bumburing dan MP Beaufort Lajim keluar dari BN untuk menyertai Pakatan.

Syed Husin: Anwar beritahu Zul minta bayaran

Posted: 25 Oct 2012 03:50 AM PDT

Ahmad Fadli KC


 
Senator PKR Dr Syed Husin Ali berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkannya kepadanya bahawa anggota parlimen Kulim Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin meminta bayaran bagi mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada ketua pembangkang itu bertanding.

NONE"Yang mula-mula beritahu saya adalah Anwar Ibrahim ketua umum PKR," kata Syed Husin sewaktu menjawab soalan peguam, Hasnal Rezua yang mewakili Zulkifli dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Syed Husin pada 27 Januari lalu menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif yang dirasakan wajar oleh mahkamah.

Tuntutan itu dibuat terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, ketua pengarang Utusan Malaysia Datuk Aziz Ishak dan Zulkifli.

Dalam kenyataan tuntutannya, Syed Husin berkata Utusan Melayu dan Abdul Aziz dengan niat jahat dalam akhbar Utusan bertarikh 20 November 2011 menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadap beliau dalam berita bertajuk "Zul Noordin nafi dakwaan Syed Husin".

Menurutnya, Zulkifli menerbitkan perkara sama dalam blog beliau dengan tajuk "Anjing-anjing Pencen".

Syed Husin turut memohon injunksi menghalang semua defendan daripada menerbitkan sebarang kata-kata bersifat fitnah tersebut.

Menurut Syed Husin lagi, Anwar memberitahunya, Zulkifli meminta bayaran RM60,000 sebagai balasan untuk mengosongkan kerusi parlimennya.

Perkara yang sama katanya turut dinyatakan Anwar kepada ahli-ahli biro politik PKR.

"Perkara itu bukan sahaja diberitahu pada saya tetapi juga kepada biro politik," katanya.

Justeru, beliau percaya Anwar bercakap benar tentangnya.

Beliau turut percaya kepada Anwar kerana beliau telah mengenali Anwar buat masa yang lama.

"Beliau adalah pelajar saya (di Universiti Malaya), rakan tahanan saya (dalam penjara) dan kemudiannya pemimpin saya.

"Jadi apabila beliau beritahu (perkara itu), saya percayakannya," kata Syed Husin.

Bercakap lanjut, Syed Husin berkata Zulkifli berbohong dalam tulisan blognya yang menjadi tumpuan utama saman itu.

Menurutnya, beliau tidak pernah menemui Zulkifli sebagai wakil Anwar dan menawarkan jawatan dalam anak syarikat Selangor sebagai balasan mengosongkan kerusi parlimen yang disandangnya.

"Apa yang beliau sebutkan adalah bohong sepenuhnya apabila mendakwa saya mewakili Anwar.

"Beliau juga berbohong tentang dakwaan saya memberitahunya saya dijanjikan jawatan senator jika melepaskan jawatan timbalan presiden PKR," kata Syed Husin.

Tambahnya lagi, kesediaan Zulkifli melepaskan kerusinya walaupun belum bersetuju berbuat demikian jika syaratnya tidak dipenuhi memberikan gambaran salah kepada orang ramai.

"Kepada orang ramai, beliau akan kelihatan seperti malaikat apabila menarik diri (daripada kerusinya).

Syed Husin diwakili peguam N Surendran dan Latheefa Koya sementara Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Utusan dan Aziz.

Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera itu akan disambung semula pada 5 November depan.

Batu besar dibaling ke pejabat DAP Perak

Posted: 25 Oct 2012 03:48 AM PDT

 
Koh Jun Lin


 
Dua ketul batu besar dilempar di pejabat DAP Perak di Ipoh hari ini menyebabkan beberapa tingkap kaca pecah, kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning Wong Kah Woh.

Beliau percaya batu itu dibaling semasa waktu rehat tengah hari dan disedari ketika kakitangan pejabat pulang daripada makan kira-kira jam 1.30 petang.

NONELaporan polis dibuat di ibu pejabat polis daerah di Ipoh, tambahnya.

"Kami sedang cuba menyemak rakaman CCTV, termasuk milik jiran, untuk melihat sama ada kita boleh dapatkan sesuatu untuk diserahkan kepada polis," kata Wong kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Beliau tidak mengesyaki mana-mana individu atau kumpulan tetapi percaya insiden itu dilakukan oleh "seorang yang kuat" kerana walaupun mengenai dinding, batu yang dibaling pergi sejauh tiga meter ke dalam pejabat.

Pendedahan mahkamah mengenai kekayaan anak Taib Mahmud perlu disiasat

Posted: 24 Oct 2012 10:01 PM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat kemewahan Tan Sri Taib Mahmud ekoran pendedahan anak lelaki Ketua Menteri Sarawak itu berbelanja tiga suka juta ringgit dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Sarawak, Voon Shiak Ni, berkata perbelanjaan mewah Datuk Seri Mahmud Abu Bekir menggunakan kad caj itu dikhuatiri hasil kemewahan luar biasa keluarga Taib Mahmud melalui rasuah dan penyelewengan kuasa.



Bercakap kepada Keadilan Daily, beliau berkata, banyak laporan sudah dibuat rakyat negeri itu tetapi SPRM sehingga kini  enggan menyiasat, malah berdolak-dalik.

"Keengganan SPRM menyiasat kekayaan luar biasa Taib juga memberi petanda ketua menteri paling lama di Bumi Kenyalang itu mengamal rasuah dan salah guna kuasa.

"Lebih 30 tahun memerintah, kekayaan negeri hanya dibolot keluarga dan kroni. Majoriti rakyat Sarawak kekal miskin, malah antara termiskin di Malaysia," katanya.

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur semalam diberitahu bil terperinci dari kad caj Platinum American Express mendedahkan perbelanjaan itu dibuat di kedai mewah seperti Harrods dan kedai Ferrari di London dan perjalanan ke Dusseldorf di Jerman serta ke Perancis.

Penyata dari Januari hingga Jun tahun ini bagi kad caj American Express dari Maybank, pula menunjukkan perbelanjaan RM782,520.55 dikemukakan di mahkamah.



Ia juga mendedahkan bahawa Bekir mempunyai RM5 juta dalam akaun CIMB dan RM3 juta lagi deposit tetap dengan bank berkenaan.

Ini didedahkan bekas isteri Bekir, Shahnaz A Majid, 49, ketika memberi keterangan di mahkamah berhubung dokumen perbankan itu, dalam tuntutan RM400 juta sebagai harta sepencarian dan hibah.

Pada 2 Oktober lalu, Shahnaz memberi keterangan mengenai kira-kira RM700 juta dalam akaun asing atas nama Bekir di Amerika Syarikat, negara Caribbean, Switzerland dan Hong Kong.

Mengikut keterangan Shahnaz, Bekir dikatakan bernilai lebih RM1 bilion.

SPAD tak cadang tarik permit teksi sedia ada

Posted: 24 Oct 2012 09:54 PM PDT

 
Abdul Rahim Sabri


 
Timbalan menteri di jabatan perdana menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) tidak bercadang untuk menarik balik permit teksi yang sedia ada.

Sebaliknya akan menarik balik surat tawaran kelulusan (STK) yang gagal dilesenkan dalam tempoh yang diberikan, katanya

MP Pontian itu berkata sebanyak 6,602 surat tawaran kelulusan yang gagal dilesenkan dalam tempoh setahun yang diberikan.

"Salah satu tujuan STK yang gagal dilesan ditarik balik adalah untuk mengawal keseimbangan permintaaan dan penawaran, serta mengurangkan jumkah teksi di seluruh negara.

"Ini sekaligus memberi peluang kepada pemandu teksi yang sedia ada untuk memperoleh pendapatan yang lebih memuaskan," katanya.

Ahmad Maslan menjawab soalan Ahmad Kassim (PKR-Kuala Kedah) yang meminta penjelasan sama ada SPAD akan menarik semula kira-kira 7,000 permit teksi yang dikenali sebagai tidak aktif dan memberi kepada pemandu teksi persendirian.

Ahmad Maslan yang juga ketua penerangan Umno menjelaskan notis pembatalan surat tawaran kelulusan telah dihantar kepada 1,130 pemilik teksi.

Menurutnya lagi, SPAD turut membatalkan permit teksi terhadap pemilik yang didapati bersalah yang melanggar syarat permit atau atau tidak memiliki lesen memandu yang sah.

"Salah satu justifikasi memberi permit kepada individu, adalah memberi peluang kepada pemandu teksi, yang pada masa ini menyewa kepada syarikat, untuk memiliki permit teksi sendiri, dan syarat-syaratnya sedang dirangka oleh SPAD," katanya.

PKR tangkis dakwaan Anwar gagalkan 'agenda Melayu'

Posted: 24 Oct 2012 09:52 PM PDT

MALAYSIA KINI


 
Pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menangkis dakwaan bekas menteri kabinet Tan Sri Sanusi Junid bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menggagalkan "agenda Melayu" dengan memberi lesen perbankan kepada golongan bukan Melayu.

Nik Nazmi berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana pemimpin Melayu, termasuk bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin juga mempunyai kepentingan besar dalam bank yang didakwa dimiliki kumpulan bukan Melayu – Alliance Finance Group Bhd (AFG).

NONE"Mungkin agenda Melayu yang dimaksudkan Sanusi adalah untuk menjaga kepentingan saham kroni Umno-BN seperti bagaimana Petronas ditekan untuk menyelamatkan syarikat milik anak Mahathir, Mirzan iaitu Konsortium Perkapalan Berhad sewaktu krisis ekonomi 1997 dengan harga melebihi kadar pasaran.

"Namun yang menghalang usaha tersebut ialah Anwar," katanya Nik Nazmi yang merujuk kepada penyelamatan Petronas ke atas Konsortium Perkapalan Berhad yang menanggung kerugian RM2 bilion semasa krisis kewangan Asia 1997.

Konsortium Perkapalan Berhad pada masa itu dimiliki Datuk Mirzan Mahathir yang merupakan anak kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

ADUN Seri Setia itu berkata, hubungan Daim dan AFG bermula sejak 1982 apabila bekas menteri itu membeli Malaysian French Bank, yang dikemudiannya dinamakan sebagai Multi-Purpose Bank.

Menurutnya lagi, Daim dikatakan memiliki 14.8 peratus kepentingan dalam Langkah Bahagia Sdn Bhd, yang turut memiliki kepentingan dalam AFG bersama syarikat pelaburan Singapura Temasek Holdings Ltd.

Multi-Purpose kemudiannya digabungkan dengan enam lagi institusi kewangan lain, termasuk International Bank Malaysia Bhd yang dimiliki Langkah Bahagia untuk membentuk AFG, katanya.

"Nyata sekali kenyataan Sanusi adalah fitnah semata-mata yang tidak berasas. Ketaksuban beliau di dalam menyerang Anwar dan mempertahankan Mahathir dan Daim membuatkan beliau tidak nampak penyelewengan ekonomi yang telah menjadikan rakyat Malaysia umumnya dan Melayu umumnya sebagai mangsa," kata Nik Nazmi.

sanusi junid 050608Nik Nazmi bagaimanapun tidak membangkitkan mengenai satu lagi kumpulan perbankan yang turut disebut Sanusi – Hong Leong Group.

Bekas menteri itu semalam dipetik laman The Malaysian Insider sebagai berkata, Anwar menggagalkan agenda Melayu Mahathir dengan memberi lesen kepada Hong Leong dan AFG.

Menurut laporan itu, Sanusi mendakwa Mahathir dan Daim mengangkat dasar anti-Yahudi Jerman dengan tidak memberikan lesen perbankan kepada masyarakat bukan Melayu bagi mengawal ekonomi.

Mahathir bagaimanapun menjelaskan, ia "mungkin dianggap anti-Yahudi tetapi ia bertujuan membangunkan Malaysia."

'Projek selenggara rumah tak wujud tak dikemuka pada exco'

Posted: 24 Oct 2012 09:49 PM PDT

Zulaikha Zulkifli


Satu sumber dalaman kerajaan negeri Kedah mendakwa, kerajaan negeri tidak wajar dipersalahkan berhubung projek penyelenggaraan rumah kos rendah yang menelan kos RM2.55 juta seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011

Pegawai yang enggan namanya disiarkan itu mengakui bahawa penyelenggaraan berkenaan, seperti dinyatakan dalam laporan ketua audit, sememangnya dibuat untuk rumah yang tidak wujud.

Namun, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak tahu menahu mengenai perkara itu kerana tidak dimaklumkan mengenainya sebelum ini.
Dakwanya, pegawai yang bertanggungjawab ke atas perkara itu tidak membincangkannya dengan exco kerajaan negeri.

NONESumber mendakwa, pegawai yang dimaksudkannya itu ialah bekas pengarah urusan Permodalan Kedah Berhad (PKB) Abdul Rahman Mohd Saad yang kini masih bertugas di pejabat setiausaha kerajaan negeri.

"Tak ada siapa yang boleh jawab isu ini. Dia sahaja yang boleh jawab," katanya.

NONEBeliau berkata lagi, kerajaan negeri akan akan menyerahkan isu itu untuk siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita serah pada polis, SPRM dan pihak bertanggungjawab untuk siasat isu ini," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman ketika dihubungi pula enggan memberi kebenaran kepada Malaysiakini untuk menyiarkan kenyataannya bagi mengulas dakwaan terbabit.

Laporan berkenaan, yang dilaporkan Malaysiakini pada hari Rabu lalu menyebut, kerajaan Kedah membayar kontraktor untuk kerja pembaikan rumah kos rendah yang tidak wujud.

Semakan audit turut mendapati lima kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan berjumlah RM2.55 juta pada tahun 2010 dan 2011 di dua Program Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Taman Seri Gemilang dan Flat Seberang Terus serta lima PAKR lain tidak berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

Menurut laporan itu  lagi, pengarah bagi lima syarikat kontraktor tersebut mempunyai hubungan antara satu sama lain serta satu daripada lima kontraktor tersebut tidak wujud dalam rekod pendaftaran syarikat.

Cukai rokok dan AES cara pantas jana hasil

Posted: 24 Oct 2012 09:44 PM PDT

A Kadir Jasin

SAYA merokok ikut-ikutan selama dua tahun apabila mula bekerja pada tahun 1969. Selepas itu berhenti terus. Saya nasihati orang yang rapat dengan saya jangan merokok, berhenti merokok atau kalau tak tahan sangat, cuba kurangkan merokok.

Saya benci sikap penghisap rokok yang tidak bertanggungjawab dan tidak sopan. Mereka tidak peduli orang yang tidak merokok. Mereka buang puntung rokok yang masih menyala sesuka hati.

Pengotor.

Jadi, saya sepatutnya mengalu-alukan kenaikan tiba-tiba harga rokok dan tembakau mulai 22 Oktober yang diumumkan oleh syarikat pengeluar rokok dengan persetujuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

British American Tobacco Malaysia (BAT Malaysia), pengeluar terbesar, menaikkan harga semua produk sebanyak 20 sen. Ia berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 18 Oktober mengenai kebenaran menaikkan harga kilang rokoknya antara 26 peratus hingga 58 peratus bermula 19 Oktober.

Saya terus mengalu-alukan usaha mengurangkan tabiat yang merosakkan kesihatan itu, tetapi langkah menaikkan cukai melalui kenaikan harga itu "menceritakan" sikap kerajaan, khasnya Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Mohd Najib Abdul Razak selain kemungkinan bahawa Perbendaharaan memerlukan pendapat segera.

Lazimnya, pengumuman kenaikan cukai rokok dan arak dibuat ketika pembentangan belanjawan negara. Tetapi, Mohd Najib tidak melakukannya ketika membentangkan Belanjawan 2013 pada 28 September lalu.

Jadi, kenapa agaknya beliau berbuat begitu?

Saya hanya berani dan boleh membuat andaian. Yang terlintas dalam fikiran adalah Mohd Najib mahu membentangkan belanjawan pilihan raya yang menyenangkan semua orang dan pihak. Beliau sendiri tidak menaikkan cukai rokok sebab beliau tahu banyak pengundi adalah perokok.

Tetapi, kenapa selepas 20 hari cukai rokok dinaikkan secara tidak langsung melalui kebenaran kenaikan harga oleh Kastam dan Eksais? Perokok lagi marah kerana mereka berasa tertipu. Dalam Belanjawan tak naik, tapi melalui prosedur Kastam dan Eksais naik.

Ada dua kemungkinan. Pertama, kerajaan memang hendak menaikkan harga dan cukai rokok, tetapi bukan melalui pengumuman belanjawan. Kedua, Perbendaharaan kekurangan wang atau kehabisan wang untuk tahun semasa (2012).

Dan ketiga, dengan membenarkan kenaikan harga dan dengan itu kenaikan cukai di luar belanjawan, kerajaan boleh memungut cukai serta-merta. Kalau dibuat melalui belanjawan, ia hanya boleh dilaksanakan apabila belanjawan diluluskan oleh Parlimen, diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan arahan-arahan kewangan tertentu dikeluarkan.

Perbendaharaan Kesuntukan Duit?

Melihatkan kenaikan pintu belakang cukai rokok dan betapa cepatnya Sistem Penguatkuasaan Automatik (Automated Enforcment System- AES) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilaksanakan serta saman dikeluarkan, nampaknya Perbendaharaan mungkin kesuntukan wang atau kekeringan wang untuk tahun semasa.

Saya dapat merasakan kemungkinan bahawa Perbendaharaan mengalami kesuntukan wang setelah secara kebetulan, bercakap dengan tiga orang bekas Menteri Kewangan, yang semua bimbang dengan kedudukan kewangan kerajaan.

Hari ini, dalam akhbar The Star tersiar surat Mohd Zakry Omar, Ketua Unit Perhubungan Korporat dan Awam, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia bertajuk "AES Cameras Smart Enough" (kepintaran kamera AES memadai" dalam ruangan surat pembaca.

Setelah melihat saman yang dikeluarkan berikutan pelaksanaan AES, saya kurang yakin dengan kenyataan beliau. Sebaliknya, saya rasa sistem itu "is not smart enough" (tidak cukup pintar) apatah lagi meyakinkan.

Gambar yang disertakan hanya mempamerkan bahagian hadapan kenderaan dengan pelat nombornya sahaja. Gambar seperti itu boleh diambil di mana-mana pun. Kamera yang dikatakan pintar itu tidak mempamerkan dalam gambar tempat tangkapan, waktu dan tarikh tangkapan dan kelajuan (dalam kes melanggar had laju).

Kalau inilah hasil kamera AES, saya rasa kamera digital RM500 lebih "smart" kerana boleh pamerkan banyak maklumat atas gambar.

Terima kasih kepada Pakatan Rakyat kerana membangkitkan ketidaksenangan dan keraguan umum terhadap sistem ini. Daripada apa yang saya lihat, sistem itu bukan sahaja tidak meyakinkan, tetapi kesilapan boleh berlaku ketika menulis saman kerana bukti bergambar seperti yang saya sebutkan di atas tidak ada atau tidak disertakan.

Tetapi, seperti lampu isyarat yang dipasang di tempat-tempat yang tidak diperlukan dan tidak dinyalakan, kemungkinan berlaku pakatan dan persekongkolan antara pembekal sistem dengan pembeli (JPJ) tidak boleh ditolak bulat-bulat.

Namun begitu, jelaslah sistem ini boleh menjana hasil yang lumayan dan "cost effective" kepada Perbendaharaan berbanding tangkapan laju dan sekatan jalan raya oleh pihak polis. AES tidak memerlukan tenaga manusia, tidak tidur malam dan beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

* Dipetik dari blog A. Kadir Jasin

Pelajar tingkatan dua maut dalam pergaduhan

Posted: 24 Oct 2012 09:35 PM PDT


MALAYSIA KINI


 
Seorang pelajar sekolah maut dipercayai ditumbuk dua lagi pelajar dalam satu pergaduhan disaksikan kira-kira 30 pelajar lain di perhentian bas Pulau Sebang di Alir Gajah semalam.
  
Mangsa, K. Saravanan, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Sebang sebelum itu dipercayai berperang mulut dan cabar mencabar dengan dua pelajar sekolah berhampiran ketika berada di dalam bas sebelum persekolahan sesi pagi bermula.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata pergaduhan berkenaan berlarutan selepas sesi persekolahan berakhir kira-kira 2.30 petang ketika kesemua pelajar sedang menunggu bas di tingkat satu perhentian bas tersebut.
  
"Mangsa kemudian ditumbuk oleh seorang pelajar terbabit sebelum seorang lagi turut melakukan tindakan sama menyebabkan mangsa jatuh dan pengsan," katanya dalam sidang akhbar.
  
Katanya kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor Shah berusia 14 tahun terbabit yang melihat mangsa tidak sedarkan diri kemudian menghubungi ambulans.

Bagaimanapun Raja Shahrom berkata orang awam yang berada di kawasan tersebut bertindak membawa mangsa ke Hospital Tampin dekat sini sebelum ambulans tiba.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Katanya kedua-dua pelajar yang terbabit dalam kejadian itu ditahan polis ketika sedang bermain bola di Taman Sebang Gemilang di sini pada 6 petang bagi membantu siasatan.
  
Lima lagi pelajar yang menyaksikan kejadian tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan, katanya.
  
Sehubungan itu, Raja Shahrom mengingatkan orang ramai khususnya keluarga pelajar terlibat agar tidak mengambil tindakan di luar undang-undang dan menyerahkan siasatan kepada polis.- Bernama

MAIPS terima RM630,000 tanpa keluarkan resit rasmi

Posted: 24 Oct 2012 09:32 PM PDT

 
Abdul Rahim Sabri


 
Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendapati Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) menerima sejumlah wang sebanyak RM630,000 tanpa mengeluarkan resit rasmi.

Laporan itu juga menemukan "kelemahan" daripada majlis itu apabila cek berjumlah RM720,000 juta dan wang tunai berjumlah RM3,964 tidak dimasukkan ke dalam bank dengan segera.

Hasil penemuan itu dinyatakan dalam pemeriksaan audit secara mengejut Jabatan Audit Negara terhadap MAIPS - antara lapan agensi kerajaan yang terlibat dalam pemeriksaan itu.

Empat lagi kelemahan yang dikenalpasti daripada badan yang menguruskan hal ehwal Islam negeri itu antaranya:
  • Buku tunai dan daftar mel tidak diselenggara dengan lengkap dan kemas kini.
  • Baki panjar wang runcit tidak bersamaan dengan wang tunai di tangan.
  • Buku tunai tidak disemak setiap hari.
  • Baki wang yang tidak dapat diagihkan selepas tempoh 21 hari tidak dikembalikan untuk diakaunkan dengan segera.
Antara semua enam agensi dan jabatan kerajaan di negeri Perlis, MAIPS berada di tahap paling rendah
memuaskan dengan penarafan sebanyak dua bintang.

"Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis walaupun berjaya meningkatkan tahap prestasi pengurusan kewangannya tetapi masih di tahap memuaskan buat kali ke-5 berturut-turut," laporan itu dipetik.

Bagaimanapun, laporan itu menjelaskan prestasi kewangannya mencatatkan peningkatan apabila mengumpul pendapatan kedua terbanyak selepas Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs).

MAIPS mencatat pendapatan sebanyak RM39.34 juta, manakala PKENPs memperolehi RM39.92 juta.

Jemaah haji mula bergerak ke Arafah

Posted: 24 Oct 2012 09:23 PM PDT

SINAR HARIAN

Selamat Hari Raya Aidiladha dari Sinar Harian Online
Selamat Hari Raya Aidiladha dari Sinar Harian Online
 
MAKKAH - Seramai 28,000 jemaah haji Malaysia adalah antara dua juta jemaah haji dari seluruh dunia yang mula bergerak ke Mina dan Padang Arafah untuk berwukuf esok, menyebabkan jalan-jalan utama di kota Makkah sesak teruk.
  
Pergerakan jemaah haji Malaysia bermula pukul 12.30 tengah hari (pukul 5.30 petang waktu Malaysia), melalui perjalanan sejauh 20 kilometer dengan bas dan dijangka berakhir pada pukul 12 tengah malam.
  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata jemaah haji Malaysia berada dalam semangat yang tinggi kerana inilah kemuncak ibadah haji mereka.
  
"Saya dapat merasai kegembiraan dan penantian mereka sepanjang 30 hari, ada yang 20 hari lebih, menanti saat-saat berwukuf kerana inilah kemuncak penyempuraan ibadat haji bagi para jemaah kita," katanya kepada pemberita semasa meninjau persiapan jemaah haji Malaysia di beberapa buah petempatan di sini.
  
Beliau berharap rakyat Malaysia mendoakan agar semua pergerakan dan aktiviti ibadah jemaah haji di Padang Arafah dan Mina berjalan baik dan lancar.

Sementara itu, Pengurus Media Tabung Haji, Mohamad Naser Jaffar berkata 800 petugas Tabung Haji digerakkan secara berperingkat seawal jam 7.30 pagi bagi memastikan segala persedian awal untuk menerima ketibaan jemaah haji Malaysia sudah disempurnakan.
  
"Cuaca masih panas walaupun hujan mula turun di Makkah sejak dua tiga hari lepas. Kita berdoa supaya hujan tidak turun dengan lebat di Padang Arafah nanti kerana akan menyukarkan pergerakan jemaah," katanya.
  
Tinjauan Bernama mendapati, ribuan jemaah dalam berihram menaiki bas dan jemaah yang kurang mampu menaiki apa sahaja kenderaan untuk bergerak ke Mina sambil melaungkan "Labbaik Allah Humma Labbaik".
  
Kawasan lapang di Arafah sudah dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk negara-negara yang menghantar jemaah dan antara perkhemahan terbesar adalah milik Turki, Iran, Indonesia, Pakistan dan Mesir.
  
Dalam pada itu, kerajaan Arab Saudi juga menempatkan beribu-ribu anggota keselamatan di Makkah, Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi memastikan keselamatan seluruh jemaah haji terjamin. - Bernama

Noh: Khalid Ibrahim cemerlang habiskan harta era BN

Posted: 24 Oct 2012 09:21 PM PDT

JAMILAH HAMZAH

Noh Omar
Datuk Seri Noh Omar 
 
KUALA LUMPUR - Sambil menyangkal kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melabel Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar paling cemerlang, Datuk Seri Noh Omar mendakwa pemimpin Pakatan Rakyat itu hanya cemerlang dalam menghabiskan harta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kenyataan dibuat Anwar kelmarin sesuatu yang melucukan.

Beliau berkata, Khalid hanya cemerlang dalam menghabiskan harta yang dikumpul oleh kerajaan negeri Selangor semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

 Tambah beliau, "bagaimana Anwar boleh menyifatkan Khalid sebagai Menteri  Besar yang cemerlang, saya lihat kenyataan itu melucukan dan beliau hanya cemerlang untuk menghabiskan harta dan lain-lain."

"Di mana saya lihat rekod Khalid yang pada kebanyakkan isu yang ditanyakan kepada beliau, beliau tak boleh jawab contohnya kerugian yang dialami Unisel dalam tempoh tiga tahun sejak 2008 sehingga 2011

"Beliau kata nak maklumkan pada Sepetember lalu, tapi tak ada sebarang kenyataan dibuat, namun Laporan Audit yang telah dibentangkan dalam Parlimen adalah sama dengan kenyataan yang saya buat sebelum ini dan dinafikan Menteri Besar," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Baru-baru ini, Anwar dilapor  menyifatkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor paling berjaya kerana kekuatan integriti beliau, sepanjang hampir lima tahun menerajui negeri itu.

Anwar berkata, tuduhan bahawa sesetengah individu yang terlibat dalam bidang politik mengundang kekayaan untuk kepentingan peribadi diakui berlaku di negara ini, namun kebanyakannya dikaitkan dengan pemimpin BN.

"Bagi saya, ukuran pertama yang penting (sebagai pemimpin) ialah integriti. Ada jawatan, dia tidak akan ambil tanah, balak, syarikat dan komisen daripada projek negeri. Orang boleh kritik dia (Abdul Khalid) kedekut, itu saya setuju, tetapi kekuatannya ialah integriti. Selangor mempunyai lebihan wang negeri RM2 bilion.

"Sebab itu integriti moral perlu ada dalam politik negara dan antarabangsa. Masalah kita dalam negara apabila orang masuk politik untuk cari kekayaan. Bila pemimpin ada integriti, dia mampu mentadbir negara," katanya pada majlis Makan Malam Keadilan Selangor 2012, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Noh menggesa Khalid menafikan berhubung isu sebanyak lima harta kepunyaan kerajaan negeri itu telah dipersetujui oleh Lembaga Pengarah Pembangunan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk dijual.

Antara aset yang didapati akan dijual beli ialah Menara PKNS Petaling Jaya yang berharga RM90 juta, SACC Mall berharga RM97 juta, Kompleks PKNS Shah Alam berharga RM88 juta, Kompleks PKNS Bangi berharga RM42 juta dan Wisma Yakin di Masjid India berharga RM7 juta.

Tambahnya, "saya tidak menuduh beliau (Khalid) tetapi saya nak beliau tampil menafikan, esok atau lusa bahawa Lembaga Pengarah PKNS bersetuju akan menjual lima harta negeri.

"Saya cabar beliau untuk nafikannya mahu menjual harta PKNS sebanyak RM321 juta.

"Sekali lagi, saya bukan nak tuduh, tapi saya nak Menteri Besar nafikan dakwaan saya, ini maklumat saya dapat, bukan lagi rahsia," katanya lagi.

Azizan kata beliau berjaya tadbir Kedah

Posted: 24 Oct 2012 09:18 PM PDT

SINAR HARIAN

Azizan Abdul Razak
Azizan Abdul Razak
 
ALOR SETAR - Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau telah berjaya mentadbir Kedah tanpa banyak masalah dan berharap untuk terus mentadbir negeri ini sehingga pilihan raya akan datang.
  
"Syukur kerana saya dah pertahan Kedah tanpa sebarang kegagalan. Saya dapat ketuai bala tentera saya untuk memerangi musuh, musuh politik saya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
  
Azizan berkata Kedah juga merupakan negeri dikuasai pembangkang yang paling kurang "diganggu".
  
"Saya tengok surat khabar, di Kelantan, Selangor hampir setiap hari orang dok usik. Di Pulau Pinang dulu pun selalu. Saya takde masalah. Saya harap semua projek kerajaan negeri terlaksana dengan baik," katanya yang akan berusia 68 tahun esok.
  
Sementara itu, Azizan berkata kerajaan negeri akan membina lebih banyak projek perumahan selain projek perumahan oleh kerajaan pusat yang merancang membina 2,000 rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu 1,000 di Changlun dan 1,000 lagi di Kota Setar.
  
"Di peringkat negeri BDB (anak syarikat kerajaan negeri Bina Darulaman Berhad) akan mula bina (rumah) di Sungai Petani dan Kuala Ketil. Di Pokok Sena pula oleh Seri Temin (satu lagi anak syarikat). Di Kubang Pasu pun ada tetapi lambat sikit kerana kita kena buat perancangan baharu," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: