Isnin, 15 Oktober 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Laporan Audit 2011: Kewangan Selangor Sekali Lagi Perolehi Penarafan Baik

Posted: 15 Oct 2012 03:24 AM PDT




SHAH ALAM: Kedudukan kewangan Kerajaan Selangor diklasfikasikan sebagai "baik" oleh Jabatan Audit Negara dengan peningkatan dari segi wang simpanan, hasil, pelaburan dan pengurusan kewangan.

Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2011 mencatatkan peningkatan baki Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM1.944 bilion.

 Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak RM 357.13 juta berbanding RM1.58 bilion pada tahun 2010.

Kerajaan Negara berjaya meningkatkan simpanan walaupun terus melaksanakan pelbagai program meringankan beban rakyat seperti diskaun cukai pintu rumah kos rendah, pemberian air pecuma 20 metre padu dan Jom Shopping.

Kerajaan Negeri turut mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM 62.50 juta dari RM 1.571 bilion pada 2010 kepada RM 1.634 bilion pada 2011.

Akaun Hasil Disatukan Kerajaan Negeri telah mencatatkan surplus sejumlah RM 180.50 juta berbanding surplus RM 124.24 juta pada tahun 2010.

Demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara, Tan Sri Amrin Buang yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

"Prestasi kewangan Kerajaan Negeri pada tahun 2011 meningkat daripada tahun 2010 dengan peningkatan lebihan hasil berbanding jumlah perbelanjaan mengurus dan pembangunan," menurut laporan tahunan itu


Dari segi pelaburan, Kerajaan Negeri berjaya mencatatkan peningkatan sangat ketara pada 2011 sebanyak RM 1.55 bilion berbanding tahun sebelumnya, RM 928.61 juta.

Ianya merupakan peningkatan berterusan untuk tahun ke lima berturut-turut.

Tahap prestasi Pengurusan Kewangan Jabatan dan Agensi Negeri pula mendapati lapan darinya diiktiraf sebagai sangat baik dan sepuluh lagi diiktiraf baik bagi tahun 2011.

Antara jabatan dan agensi yang menerima penarafan sangat baik adalah Pejabat Menteri Besar & Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Perbendaharaan Negeri dan Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor.

Pejabat Daerah & Tanah Sabak Bernam, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Perbandaran Subang Jaya turut diklasifikasikan sebagai "sangat baik".

Dalam Laporan Ketua Audit Negara sebelumnya, empat jabatan dan agensi Kerajaan Negeri diiktiraf sangat baik dan 11 yang lain diiktiraf baik.


Kerajaan Negeri Peruntuk RM5 Juta Untuk Kerja Mitigasi Banjir di Klang

Posted: 15 Oct 2012 03:21 AM PDT




SHAH ALAM : Sejumlah RM 5 juta telah diperuntukan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk kerja mitigasi banjir yang bakal terjadi disebabkan fenomena 'Astronomical Tide' yang dijangka bermula 15 hingga 18 Oktober ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, peruntukan itu tertumpu kepada kerja-kerja pembersihan longkang, penyelenggaran kunci air dan pembinaan lebih banyak kolam tadahan.

"Kita juga meminta semua rakyat yang tinggal di kawasan rezab sungai untuk membuat persediaan secukupnya sebelum menghadapi musim banjir yang dijangka berlaku dalam masa terdekat."

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Negeri Selangor, dekat sini pagi tadi.

Penduduk di kawasan Klang diminta bersedia berikutan fenomena 'Astronomical Tide' yang dilaporkan akan membawa kadar hujan yang agak mendadak.

Fenomena itu dijangka akan menyebabkan kejadian ribut dan berkemungkinan air sungai akan mencecah 5.6 meter serta menyebabkan banjir kilat di kawasan Klang.

Tanah: Rakyat miskin, wakil rakyat yang dapat

Posted: 15 Oct 2012 03:12 AM PDT



 DR.SYED AZMAN SYED AHMAD

Percayakah anda, dalam suasana rata-rata rakyat Terengganu tidak mempunyai tanah untuk tempat kediaman mereka serta sedang bergelumang dengan bebanan kemiskinan dan kos sara hidup yang tinggi, kerajaan negeri 'Darul Iman' di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Sri Ahmad Said telah secara berani dan terbuka 'menganugerahkan' tanah yang istimewa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen dari UMNO/Barisan Nasional (BN).

Antara exco dan wakil rakyat UMNO yang telah diluluskan permohonan tanah itu adalah Adun Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail; Adun Kuala Besut, Dr. A Rahman Mokhtar; Adun Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera; Adun Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh; Ahli Parlimen Besut, Datuk Dr Abdullah Mat Zain; Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad; Adun Batu Rakit, Khazan Che Mat; Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman; Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid dan Adun Kemasik, Ir. Rosli Othman.

Kesemua mereka telah dianugerahkan tanah sekurang-kurangnya satu hektar setiap seorang dan ia merupakan tanah-tanah strategik yang mempunyai nilai yang amat tinggi.

Yang lebih menarik lagi adalah penjelasan dari Menteri Besar Terengganu, Datuk Sri Ahmad Said dalam hal 'anugerah' tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO ini? Setelah diasak bertubi-tubi di dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, beliau memberi jawapan selamba bahawa anugerah tanah kepada wakil-wakil rakyat Umno itu 'adalah amalan biasa dan tidak sedikitpun menyalahi etika dan prosedur kerajaan'.

Beliau berkata; 'Sebagai rakyat Terengganu, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) juga berhak mendapat tanah yang dipohon daripada kerajaan negeri jika mematuhi syarat yang ditetapkan'.

Malah Ahmad Said turut memberi justifikasi bahawa setiap rakyat Terengganu yang tidak mempunyai sebarang tanah dan mahu memohon tanah adalah dialu-alukan kerana mereka berhak untuk memohon tanah dan mendapatkan tanah-tanah kerajaan.

Bagi beliau; "Kita beri rakyat Terengganu untuk pohon tapak rumah ataupun tanah pertanian. Kalau tanah pertanian kita beri sampai dua hektar, kalau tapak rumah satu lot, tiada salahnya,"

Persoalannya, apakah ini jawapan yang munasabah dari seorang pemimpin yang telah diberikan tanggungjawab dan amanah besar oleh rakyat Terengganu ini? Apakah benar anugerah tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO ini merupakan amalan biasa dan tidak menyalahi sebarang etika?

Apakah rata-rata rakyat Terengganu yang hanya hidup 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' sudah pun memiliki tanah yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri?

Atau, apakah wakil-wakil rakyat UMNO Terengganu adalah terdiri dari golongan 'miskin' dan tidak memiliki sebarang tapak tanah untuk kediaman mereka?

Atau mungkin, apakah Ahmad Said sudah merasakan bahawa Umno Terengganu kini sudah 'terlalu kebal' dan tidak mungkin akan kalah dalam pilihanraya akan datang, beliau boleh berbuatlah apa sahaja; Stadium Sultan Mizan yang bernilai hampir RM300 juta mahu runtuh ke, mahu membina Zoo di Bukit Takal bernilai hampir RM100 juta ke, mahu membazirkan duit rakyat ratusan juta pun, rakyat Terengganu tidak akan ambil peduli dan akan tetap bersama menyokong beliau dan Umno di Terengganu.

Ramai kalangan yang tertanya-tanya, apakah benar rakyat Terengganu sendiri juga tidak sensitif dan tidak mahu ambil kisah sedikit pun terhadap isu-isu besar seperti anugerah tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO ini?

Berikanlah apa sahaja kepada wakil-wakil rakyat UMNO, tanah berhektar-hektar ke, kawasan pembalakan ke, projek lebuhraya ke, semua ini rakyat Terengganu sudah tidak kisah dan tidak mahu ambil peduli.

Asalkan rakyat yang miskin terus dapat makan dengan mendapat 'Wang ihsan' samada dalam bentuk 'bantuan pakaian sekolah', bantuan hari raya, bantuan kurma dan air zam-zam, maupun bantuan atap biru.

Namun inilah realiti yang sedang berlaku di negeri yang bergelar 'Kuwait Malaysia' yang kaya dengan hasil mahsul sumber gas asli dan minyak ini. Slogan 'rakyat didahulukan' tampaknya tidak menunjukkan hakikat itu.

Nampaknya slogan ini sudah bertukar kepada 'wakil rakyat didahulukan' dalam mereka mentadbir negeri Terengganu yang tercinta ini. 'Rakyat tidak didahulukan tetapi wakil rakyat yang diutamakan'. Malang, sungguh malang nasib rakyat negeri 'Penyu Bertelur ini'.

* Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS. Beliau boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk twitter: @syedazman.

Kelantan juga bagi bonus sebulan setengah gaji

Posted: 15 Oct 2012 03:09 AM PDT

Mohd Nor Yahya,

KOTA BHARU: Kelantan hari ini mengumumkan membayar bonus satu bulan setengah gaji kepada semua kakitangan awam negeri, di mana setengah bulan gaji dibayar Ogos lalu.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan perkara itu ketika membentang Bajet Kelantan 2013.

Teks belanjawannya dibaca Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa.

Menteri Besar berkata, baki selebihnya akan dibayar pada bulan Disember ini dan Januari 2013.

Katanya juga budaya Kerja Berprestasi Tinggi yang berpegang Ubuddiyyah, Masuliyyah dan Itqan membolehkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) memperolehi empat bintang dalam penilaian "Star Rating" dan menduduki tangga ke empat daripada 13 pejabat SUK di negara ini pada 2011.

Manakala dalam bidang ICT Pejabat SUK juga mencapai taraf lima bintang bagi persembahan Portal Rasmi Kerajaan Negeri dua tahun berturut-turut.

Kerajaan negeri juga melalui bahagian ICT mewujudkan RTV Kelantan membabitkan kos sejumlah RM257,000 bagi menyalur maklumat kerajaan kepada orang ramai.

Menteri Besar juga berkata, bagi memberi keselesaan kepada anggota perkhidmatan awam peruntukan sebanyak RM42.5 juta disediakan bagi membina bangunan Blok 8 dan ia kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap tempoh tiga tahun.

Mengenai pencapaian dalam bidang pendidikan katanya, kecemerlangan pelajar di bawah kelolaan Yik memberangsangkan, di mana pada 2011 seramai 379 pelajar berjaya mendapat keputusan 9A dalam PMR, 1,384 mendapat pangkat Mumtaz dalam Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMU).

Manakala tiga pelajar mendapat 12A, 49 orang (11A) dan 43 (10A) dalam peperiksaan SPM pada 2011.

Pada 2012 Yik mengurus seramai 364 pelajar menyambung pengajian ke luar negara iaitu Mesir, Jordan, Kuwait, Maghribi dan Arab Saudi.

"Kerajaan juga menyediakan RM2 juta kepada Yayasan Kelantan Darulnaim bagi meneruskan kesinambungan menyalurkan penajaan dan bantuan kepada anak-anak Kelantan," katanya.

PAS tidak setuju ubah sukatan pelajaran SAR

Posted: 15 Oct 2012 03:08 AM PDT

Hazayani Zakaria,
 
KUALA LUMPUR: PAS tidak bersetuju kemungkinan kerajaan mengubah sukatan pelajaran yang digunakan oleh Sekolah Agama Rakyat (SAR) jika status sekolah tersebut ditukar kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Che Uda Che Nik (PAS-Sik) berkata, tenaga pengajar SAR mula menyuarakan kebimbangan mereka jika kerajaan mengubah sukatan dan tradisi pengajaran kitab lama yang diwarisi turun temurun daripada ulama terdahulu.

"Bila tukar status, silibusnya perlu diubah. Ini yang kita tidak setuju, kerana apa? Kerana pusaka datuk nenek kita yang membaca kitab lama ini adalah penting. Kalau kita mendaftar, tradisi itu kita buang. Yang ini para ustaz tak mahu terima.  

"Adakah menteri akan menteri pelajaran boleh memberi jaminan jika didaftarkan, kita boleh kekalkan silibus itu. Soalnya silibus, bukannya soal kuasa, tanah dan lain-lain, itu soal yang kedua," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mencelah ucapan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga berkata, SAR bersedia ditukar kepada SABK jika kerajaan dapat memberi jaminan tidak akan mengubah silibus pengajaran.

Sebelum itu, Che Uda menyentuh mengenai keadaan sekolah di luar bandar yang masih daif dan kekurangan fasilitu berbanding sekolah di kawasan bandar.

"Sekolah di luar bandar masih tertinggal dari segi kemudahan fasiliti.

"Guru-guru di sekolah luar bandar sedih kerana tumpuan kepada sekolah yang cemerlang di bandar sahaja tapi tidak kepada sekolah biasa sehingga berlaku perbezaan taraf. Sekolah yang tinggi benar-benar tinggi tapi yang rendah terus rendah," katanya.

Norizan, mangsa tembakan fail saman ke atas kerajaan Malaysia dan PDRM

Posted: 15 Oct 2012 03:01 AM PDT

TERKINI

Norizan Salleh (kanan) bersama peguam, Latheefah Koya di Mahkamah Jalan Duta. - Gambar oleh Md Izwan

LUMPUR— Norizan Salleh, 32 menfailkan tuntutan saman dengan menamakan kerajaan Malaysia, ketua polis daerah Sentul, ketua polis negara dan seorang pegawai polis sebagai defendan selepas mangsa tembakan polis tersebut gagal mendapat pembelaan hampir tiga tahun.

Norizan mendakwa dia telah menerima lima tembakan dan dalam tuntutannya menuduh pihak polis telah melanggar garis panduan operasi (SOP) apabila menembak dari belakang kereta dalam kejadian pada 30 Oktober 2009 lalu.

Kejadian tersebut menyebabkan ibu tunggal itu kini mengalami masalah pada pergelangan tangan dan sering sakit di bahagian jantung akibat daripada pembedahan yang dijalaninya di Hospital Kuala Lumpur dan Institut Jantung Negara selepas insiden tembakan tersebut.

"Saya kini sering menggeletar di bahagian tangan dan jantung sering sakit terutamanya apabila cuaca sejuk.
"Saya masih trauma dengan insiden ini hinggakan setiap kali terlihat kereta peronda saya akan teringat peristiwa tiga tahun lalu itu," kata Norizan.

Disamping itu, Norizan juga melahirkan kekesalannya terhadap pihak polis dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang gagal menunaikan janji untuk memberikan keadilan kepadanya hingga sekarang.

Dalam saman yang difailkan, antara tuntutan tersebut ialah gantirugi am, gantirugi khas sebanyak RM18,326 (kos perubatan di IJN), gantirugi teruk/teladan, faedah atas penghakiman keseluruhan pada kadar 8 peratus setahun sejak dari tarikh tindakan ini difailkan sehingga tarikh penyelesaian penuh, kos dan apa jua perintah dan kerugian lain yang difikirkan patut dan sesuai wajar ditentukan oleh pihak mahkamah.

Ibu kepada plaintif, Siti Alimah Amin kecewa dengan tindakan pihak polis yang bukan sahaja tidak bertanggungjawab malahan tidak memberikan keadilan kepada anaknya tersebut.

 "Mereka (polis) bukan sahaja tidak melawat malahan mengambil sikap lepas tangan. Hishammuddin pun sama, mana janjinya untuk memberikan keadilan anak saya ini?

"Sudah hampir tiga tahun, pelbagai janji yang dibuat hingga kini belum ditunaikan. Kini anak saya kena tanggung perubatan sendiri, hospital sudah menghantar surat ke rumah untuk menuntut pembayaran," kata Siti Alimah.

Peguam yang mewakili Norizan, N. Surendran dan Latheefah Koya juga mencabar untuk kerajaan dan PDRM tampil untuk bertanggungjawab ke atas cubaan membunuh yang dilakukan oleh pegawai polis yang menembak dan mencederakan Norizan.

"Saya cabar kerajaan dan polis untuk bertanggungjawab ke atas cubaan membunuh. Ini adalah cubaan membunuh. Saya mahu mereka bertanggungjawab!" kata Surendran.

Dalam kejadian sekitar jam 3.00 pagi, Norizan duduk di kerusi belakang kereta Proton Waja bersama empat orang rakannya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Segambut, Kuala Lumpur.

Ketika melalui lebuh raya MRR2, sebuah kereta MPV memintas dari sebelah kiri dan melepaskan tembakan dengan pistol ke arah keretanya.

Peluru menembusi kereta yang dinaikinya dengan lima tembakan mengenai dirinya, salah satunya terkena pada dada sehingga darah mengalir tanpa berhenti. 

Norizan cuba meminta tolong tetapi dibalas pula dengan tendangan polis dan kemudiaan belakangnya dipijak hingga mengakibatkan dua tulung rusuknya retaknya.

Norizan kemudiaan dihantar ke HKL untuk dirawat dan empat hari kemudian (4 November 2009) dihantar ke Institut Jantung Negara.

Setelah keluar, Norizan dikehendaki membayar RM20,000 kos rawatan tetapi bukan pegawai polis yang mencederakannya atas alasan Norizan ditimpa kemalangan jalan raya.

Norizan pada April 2010 juga telah menyerahkan memorandum kepada Hishammuddin mendesak supaya tindakan diambil terhadap anggota polis yang didakwanya bertindak tidak mengikut undang-undang dengan menembak dan mengasarinya.

Memorandum berkenaan juga menyifatkan kes tersebut sebagai "cubaan membunuh" dan "serangan kejam" ke atas Norizan.

Malangnya hingga kini mangsa tersebut masih belum mendapat pengadilan malahan penolong pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Mohd Kamaruddin Md Din pada Jun dalam satu kenyataan memutuskan tiada sebarang pertuduhan terhadap pegawai polis yang terbabit dalam kejadian tersebut.

Pengurusan Kewangan 2011 lebih baik, kata Ambrin

Posted: 15 Oct 2012 02:56 AM PDT


KUALA LUMPUR — Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang hari ini berkata pengurusan kewangan agensi kerajaan telah mencatatkan prestasi yang lebih baik pada 2011, berbanding tahun sebelumnya.

Pada tahun lepas, Ambrin berkata kutipan hasil Kerajaan Persekutuan turut menunjukkan peningkatan RM25.77 bilion dengan jumlah keseluruhan kutipan sebanyak RM185.42 bilion berbanding tahun 2010 iaitu sebanyak RM159.65 bilion.

"Kenaikan harga petroleum mentah dunia, perkembangan ekonomi domestik yang kukuh serta aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan berterusan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam menyumbang kepada peningkatan hasil," katanya

Ambrin berkata pengurusan kewangan pada tahun 2011 lebih baik dari 2010. - Foto Fail
Dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada pemberita di Parlimen hari ini, beliau berkata daripada keseluruhan agensi kerajaan yang telah dinilai pada tahun 2011, 111 buah (31.4 peratus) daripadanya mendapat penarafan 'Sangat Baik'(Empat Bintang), berbanding 77 buah (21.6 peratus) pada tahun 2010 dan 48 (12 peratus) pada tahun 2009.    
 Jelas Ambrin, Jabatan Audit Negara telah melaksanakan sistem penarafan yang berasaskan kepada IA 2007 yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Wajib dan Kategori Giliran, bagi menilai sejauh mana pengurusan kewangan kerajaan dan agensi dibawahnya telah mematuhi undang-undang dan peraturan kewangan kerajaan.

"Pencapaian ketara ini menunjukkan pelaksanaan Indeks Akauntabiliti(IA) telah memberi dorongan kepada Pegawai Pengawal untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap pengurusan kewangan," katanya dalam kenyataan tersebut.

Ambrin berkata berdasarkan kepada pengauditan terhadap 456 Penyata Kewangan tahun 2011 terhadap kerajaan dan agensi dibawahnya, sebanyak 388 daripadanya telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran.

"Manakala 25 penyata kewangan telah diberikan Sijil Audit Berteguran kerana terdapat beberapa piawaian perakaunan yang tidak dipatuhi sepenuhnya dan baki 43 penyata kewangan masih dalam proses pengauditan," katanya lagi.

Berbanding 2010, sebanyak 368 penyata kewangan telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran dan 33 penyata kewangan diberi Sijil Audit Berteguran.

Selain itu, seperti tahun-tahun sebelumnya, beliau berkata setiap ketua jabatan yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu tentang perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk tujuan pengesahan.

 "Jabatan Audit Negara juga telah mengemukakan 547 syor memperbaiki kelemahan kepada Kerajaan Persekutuan, 97 Badan Berkanun Persekutuan dan 534 Kerajaan Negeri bagi tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil."

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2011 itu juga akan diedarkan kepada anggota Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dibentangkan tahun lalu menyaksikan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) didedahkan apabila laporan tersebut mengatakan projek lembu fidlot yang diusahakan keluarga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil "tidak menepati piawaian."

Projek Rapid: Pas tidak tolak pembangunan

Posted: 15 Oct 2012 02:53 AM PDT

HASLINA KAMALUDIN, ARHIZA AHMAD
Foto: AZMI ARYANTO


Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
 
BARU-BARU ini Ketua PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng memberitahu pakatan pembangkang akan memansuhkan Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid) di Pengerang, Johor jika mereka dapat membentuk Kerajaan Pusat. Menurutnya, projek itu tidak memanfaatkan ramai orang dan merosakkan alam sekitar. Namun berbeza pula pendapat Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang mengatakan projek tersebut tidak boleh ditolak asalkan mengambil kira kepentingan rakyat. Wartawan HASLINA KAMALUDIN, ARHIZA AHMAD dan jurufoto, AZMI ARYANTO bertemu pemimpin yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Rakyat menguasai negeri itu bagi mendapatkanpandangan mengenai isu ini.

Mengapa Pas dan PKR bercanggah pendapat mengenai isu Rapid di Pengerang?
Pas tidak pernah menolak pembangunan (Rapid Pengerang) asalkan ia mengambil kira kepentingan, masa depan dan juga sumber pendapatan penduduk. Pas dan PKR tidak bertentangan daripada segi prinsip. Sama ada ia akan dikekalkan atau dipindahkan ke tempat lain, perkara itu masih lagi fleksibel. Tetapi mengambil tanah hampir 10 kampung, kami memang tidak bersetuju. Asasnya, jangan diambil tanah rakyat itu. Pembangunan boleh dibuat di mana-mana pun di negara ini asalkan boleh memberi manfaat kepada rakyat, bukan menyusahkan mereka.

Apakah kelebihan dan kekurangan projek mega ini bagi Pas?
Kelebihan projek ini ialah ia akan menggalakkan lagi pelaburan di negeri Johor. Rapid boleh membangunkan industri hab minyak dan gas di negara ini. Itu tidak menjadi masalah sebagaimana di Bintulu, Kerteh dan Paka. Perkara itu tidak kami persoalkan. Saya mendapat maklumat secukupnya, tidak pernah lagi berlaku sejarah Petronas membangunkan industri mereka di atas perkampungan tradisi rakyat. Saya membuat semakan di Paka dan Kerteh, ada melibatkan sedikit pengambilan tanah kebun kelapa, tetapi bukan penempatan atau kampung tradisi. Kalau begitulah rekod Petronas, kita mahu tahu siapa yang membuat keputusan hampir 10 kampung mahu diambil. Itulah isunya.

Bagaimana pula dengan standard piawaian pembangunan projek tersebut?
Mengikut standard piawaian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tentang industri minyak dan gas, tidak boleh mengambil tanah atau perkampungan tradisi. Itu tidak akan berlaku. Perkara ini perlu jelas. Memberi manfaat dan pelaburan di negeri Johor, itu kita tidak tolak tetapi jangan sesekali mengambil tanah perkampungan di kawasan Pengerang itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menyebut isu Rapid Pengerang sengaja dipolitikkan selepas isu Lynas mula diterima rakyat, adakah benar?
Rapid Pengerang dan Lynas adalah dua isu yang berbeza. Lynas melibatkan isu alam sekitar yang memang difahami dan menimbulkan satu kontroversi cukup besar impaknya bagi negara kita termasuk masyarakat antarabangsa. Berbeza dengan isu di Pengerang, tidak boleh disamakan dengan Lynas. Beliau (Muhyiddin) perlu berfikir pada tahap seorang Timbalan Perdana Menteri dan mungkin bakal Perdana Menteri. Seharusnya beliau melihat isu tersebut sebagai isu rakyat. Kita tidak bermaksud untuk mempolitikkan apa-apa isu bagi kepentingan mana-mana pihak. Contohnya, jika saya tidak dituduh mempolitikkan isu itu dan bertanding di Pengerang, adakah saya ada jaminan menang? Jika ada pemimpin hanya berjuang di atas dasar untuk mendapatkan habuan dan kepentingan politik, mereka perlu ingat bahawa pemimpin datang dan pergi.

Apakah ini kerana YB disebut-sebut sebagai Menteri Besar Johor jika pembangkang menang di negeri itu?
Pilihan raya akan datang belum tentu saya berada di Parlimen atau Dun (Dewan Undangan Negeri) dengan menjawat apa-apa jawatan dalam parti. Kebangkitan rakyat adalah memperjuangkan hak mereka sama ada di Pengerang atau di mana-mana sahaja. Saya tampil hari ini di Johor untuk memberikan sedikit sumbangan terhadap isu ini dan paling panas apabila saya terlibat secara serius dengan Jawatankuasa Majlis Tugas-tugas Khas berkenaan pengambilan tanah di Pengerang yang dipanggil 'Mantap' adalah semata-mata untuk manfaat rakyat. Manfaat itu bukan untuk saya.

Sebaliknya, Tan Sri Muhyiddin terus mendendangkan lagu lama. Saya rasa dimensi pemikiran beliau harus berubah dengan melihat apa juga yang berlaku ini, rakyat harus mendapat manfaat daripada mana-mana pembangunan yang didirikan di dalam negara kita.  Apabila saya membuat keputusan untuk balik dan bertanding di Johor pada kali ini, tidak timbul isu siapa mahu jadi menteri besar. Isu itu hanya disensasikan media. Kami masih belum berbincang siapa akan menjadi menteri besar. Adakah saya atau sesiapapun akan menerajui PR di Johor, perbincangan kami buat masa ini adalah bersedia untuk bertanding di negeri kelahiran saya.

Sudah sampai masanya saya bersama rakan-rakan PR dapat melihat Johor hari ini adalah satu gelanggang politik yang menarik dan meyakinkan untuk berlaku satu perubahan. Kerana itu, saya rasakan tanggungjawab untuk kembali ke Johor. Dengan amanah sebagai Naib Presiden Pas paling kanan, sudah tiba masanya saya memberi dan menunjukkan pengorbanan untuk bersama-sama dengan kepimpinan PR di Johor bagi mencipta sejarah baru. Itulah niat saya. Siapa menteri besar, apa jawatan yang diberikan itu cerita kemudian selepas pilihan raya nanti.

Adakah perbezaan pendapat antara Pas dan PKR akan jejaskan PR Johor?
Pembangunan yang lestari dan memberi manfaat kepada rakyat itu tidak pernah dipertikaikan. Isu Lynas jelas mendapat tentangan kerana melibatkan isu alam sekitar yang serius. Isu Pengerang pula melibatkan pengambilan tanah kampung tradisi jelas menjadi prinsip asas dalam kami memberikan pandangan.

Tetapi untuk pembangunan, ia tidak ada masalah bagi mana-mana kerajaan. Isu berbeza daripada segi kita menangani perkara-perkara yang saya lihat daripada segi pendekatan sama ada lokasi pembangunan tersebut. Itu bukan percanggahan dari segi prinsip. Kita bersandarkan pemahaman bersama iaitu kelestarian pembangunan itu tidak bercanggah di mana 'jangan diambil tanah itu' adalah asas bersama.

Yang lain, mungkin kita boleh berbeza pandangan. Itu perkara biasa di dalam mana-mana parti menilai tentang mana-mana projek yang dirasakan sangat memberi impak kepada masa depan rakyat.

  Adakah PR yakin dapat menawan negeri yang dilabel sebagai kubu kuat Umno dan Barisan Nasional?
Pertamanya, apabila kita berani bertanding di kubu musuh, itulah nilai kita. Tak akan selamanya saya bertanding di tempat yang selesa. Sebelum ini, saya bertanding di Kelantan sebagai Ketua Pemuda Pas kerana parti merasakan saya perlu berada di Parlimen memandangkan pada masa sama, agak sukar untuk kita meraih kemenangan di Johor. Saya ambil peluang itu sebaiknya untuk menimba pengalaman di dalam dan luar Parlimen untuk menjadi wakil rakyat. Sepanjang dua penggal, sedikit sebanyak saya belajar dan seharusnya pengalaman itu dibawa ke Johor.

Ada pihak berpandangan YB begitu asing di Johor, bagaimana YB mahu membiasakan dengan keadaan itu?
Untuk pengetahuan, saya memulakan kerjaya saya di Johor pada tahun 1981. Sudah 30 tahun saya bersama Pas. Saya memegang jawatan pertama saya di Pontian, Johor sebagai Ketua Pemuda Pas kawasan Pontian. 10 tahun saya memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Pas Johor bermula 1989 hingga 1999. Daripada situlah, satu asas saya naik hingga menjadi Ketua Pemuda Pas Pusat. Jadi, saya tidak asing daripada segi komitmen di Johor.

Cuma saya dianggap terpisah kerana saya menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian. Saya tidak nampak apa yang pelik atau terasing untuk balik ke Johor kerana di situ merupakan gelanggang yang sangat dinamik dan meyakinkan untuk hadir bagi melakukan sesuatu.

Ada dakwaan mengatakan wujud dua team di Johor sejak nama YB dikaitkan dengan jawatan menteri besar. Benarkah dakwaan itu?
Saya tidak pernah mendengar wujud team A atau team B. Saya diminta oleh Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfuz Mohamad dengan persetujuan mesyuarat Badan Perhubungan Pas Johor dan juga kesepakatan PR Johor untuk mereka berjumpa saya lebih kurang setahun lalu bagi membincangkan perkara ini. Saya rasa tidak ada apa-apa agenda untuk saya balik ke Johor untuk  berpolitik atau untuk mengecewakan mana-mana pihak.

Saya juga diminta pesuruhjaya sendiri dan rakan-rakan PR Johor seperti Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau dan Ketua PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng untuk bersama-sama rakyat Johor pada kali ini.  

YB sanggup meninggalkan kerusi selesa di Kubang Kerian dan menghadapi risiko di Johor?
Saya tidak ada apa-apa masalah untuk terus bertanding di Kelantan. Saya selesa bertanding di sana. Pas Pusat sendiri memutuskan pada tahun lalu untuk saya terus kekal di Kelantan. Malahan selepas Allahyarhamah Dr Lo'Lo meninggal dunia,  Pas kawasan Titiwangsa telah meminang saya untuk bertanding di kawasan tersebut.

Namun selepas berfikir panjang, inilah masanya untuk saya memberikan komitmen tinggi terhadap perkembangan yang baik di Johor serta bersama rakan-rakan di sana. Kalau saya fikir tentang keselesaan dan mahu mengekalkan elaun serta kehidupan yang agak terjamin dengan tempat yang pasti menang, itu juga saya boleh buat keputusan.

Tapi saya fikir, saya mahu balik ke Johor walaupun risikonya cukup tinggi. Yang penting, kita akan buat satu perubahan di Johor.

YB akan bertanding di Parlimen atau Dun?
Buat masa ini, saya boleh bertanding di mana-mana. Saya boleh memilih sama ada di Parlimen atau Dun atau kemungkinan untuk bertanding kedua-duanya. Tiada apa-apa masalah untuk saya.

Apakah modal terbaik untuk menawan Johor?
Saya rasa kita harus menerokai satu sejarah baru di Johor kerana tidak mungkin PR akan sampai ke Putrajaya tanpa negeri itu. Johor, Sabah dan Sarawak dianggap sebagai negeri 'deposit tetap' oleh Barisan Nasional sehingga hari ini. Mereka cukup selesa di tiga negeri itu.

Namun gelanggang politik di Johor telah berubah dan saya sudah faham dengan senario politik di sana kerana saya orang sana dan memulakan kerjaya saya di sana sejak 30 tahun lalu. Jadi apabila ada perubahan politik, saya nampak sinar yang sangat cerah untuk berlaku. Jadi penting bagi saya menjanjikan sesuatu kepada politik khususnya kepada rakyat Johor. Tanpa ada satu perubahan landskap politik di Johor itu saya rasa sukar untuk PR melangkah ke Putrajaya. Tapi Johor mesti menyumbang sebilangan kerusi Parlimen untuk kita sampai ke Putrajaya.

Dengan keadaan semasa, keyakinan Pas untuk tawan Putrajaya?
Saya punya suatu iltizam bahawa berdasarkan kepada senario politik yang berlaku pada ketika ini. PR mampu memberikan dan meletakkan posisi dirinya kepada suatu tahap di mana rakyat sudah boleh menerima kehadiran PR. Saya tidak menyatakan kita sudah sampai kepada negara yang benar-benar wujud sistem dua parti. Tapi saya melihat, inilah satu era di mana rakyat Malaysia bersedia ke arah itu. Dulu mereka tiada suatu keyakinan untuk pilih kerana tiada satu komponen yang benar-benar boleh bersaing dengan BN.

Tapi berdasarkan kepada senario selepas PRU12, apabila kita serius menubuhkan PR, rakyat dilihat sudah ada pilihan hari ini. Sama ada mereka mahu terus memberikan keyakinan terhadap BN ataupun mereka nampak satu komponen lagi iaitu PR yang dari segi kepimpinan, kredibiliti dan integriti, rakyat boleh memberikan harapan untuk berlaku satu pasukan baru dalam politik negara kita menjelang PRU13.

Bagaimana Pas menangani krisis dalaman atau membabitkan rakan komponen dalam pakatan pembangkang khususnya DAP?
Pas sebuah parti yang sangat berpengalaman kerana pemimpin boleh datang dan pergi. Tetapi parti tidak terjejas. Pas pernah kehilangan orang nombor satu, presidennya, timbalannya, naibnya, setiausaha agungnya. Ini sejarah yang pernah dilalui. Jadi, Pas tidak tersentuh dengan hal-hal seperti ini. Nak datang dengan seribu kehendak, sama dengan parti mereka akan diberikan tempat dan kepercayaan. Nak pergi, pergilah. Parti tidak rugi apa-apa. Yang rugi adalah individu yang datang dan pergi itu. Jadi bagi saya, apa yang berlaku ini, Pas belajar daripada sejarah.

Allahyarham Datuk Asri Muda pernah meninggalkan Pas. Datuk Nakhaei Ahmad juga. Bukan dari jawatan yang kecil termasuklah Datuk Dr Hasan Mohamed Ali. Riuhlah seminggu dua, tetapi Pas tidak goyah dengan mereka ini. Bagi saya, apa yang penting, rekod kita. Amanah yang diberikan itu yakin atau tidak. Yang penting adalah, Pas terus melangkah ke hadapan walaupun datang ujian sepanjang perjalanan.

Selama saya bersama Pas, saya melihat Pas tidak akan terjejas atau tergugat dengan isu kecil begini. Ada beberapa isu tidak perlu dijawab oleh parti kerana pandangan tersebut lahir daripada pandangan individu sendiri, di mana suatu ketika dulu pernah berada di tempat pemenang utama parti. Tiba-tiba apabila tiada di posisi itu, dan mengatakan perkara yang lain. Sebab itu, Pas berpengalaman menghadapi orang-orang seperti ini. Dewan tertinggi dalam parti adalah Majlis Syura yang sentiasa mengawal parti dan memastikan parti tidak tergelincir atau tersasar daripada perjuangan asal.

Selagi mana Majlis Syura yang mana saya antara pimpinan tertinggi hari ini dalam badan eksekutif, tidak menerima apa-apa syarat daripada Majlis Syura, saya tidak bimbang. Selagi Majlis Syura terus memberi keizinan untuk kita melakukan tahaluf siyasi (keputusan politik pada hari ini), maka kita akan terus laksanakan. Pandangan individu boleh diberikan tetapi yang menentukan ianya boleh atau tidak, hanya Majlis Syura. Kita hanya boleh memberi penerangan kepada seluruh ahli.

Apa komen YB terhadap bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa yang sering memberi kenyataan berbeza?
Majlis Syura sudah memanggil beliau bulan lalu. Beliau hadir pada mesyuarat itu. Segala keputusan tidak boleh dibuat oleh individu sebaliknya biarlah parti yang menentukan. Jika mahu berbeza pandangan, perlu melalui saluran parti yang boleh digunakan. Walaupun hak dan suara adalah hak individu. Jika melanggar disiplin, hadapilah risikonya. Walaupun tidak ada arahan bertulis, namun sebagai anggota parti, mereka harus faham.

Teknologi kesan ketulenan ijazah

Posted: 15 Oct 2012 02:50 AM PDT

AZLINA OTHMAN

Dari kiri Muhammad Zaly Shah, Zaini dan Rose Alinda menunjukkan kecanggihan Imbas Arqis.
Dari kiri Muhammad Zaly Shah, Zaini dan Rose Alinda menunjukkan kecanggihan Imbas Arqis.
 
SKUDAI – Imbas Arqis (Academic Record QR Information System) yang dibangunkan melibatkan kos RM100,000 di bawah geran penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk kesan ketulenan ijazah adalah  perisian pertama seumpamanya di dunia.

Bukan sahaja bakal dipasarkan di dalam negara, malah ciptaan terkini seorang penyelidik UTM, mampu takluki pasaran antarabangsa apabila dikomersialkan nanti.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Zaini Ujang berkata, setakat ini, sebanyak empat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) sudah menunjukkan minat untuk mengguna pakai perisian tersebut di universiti masing-masing.

"Menerusi ciptaan ini, ia dapat mengesan kesahihan setiap sijil dengan mudah sekali. Kita juga yakin perisian ini mampu menarik minat khususnya kepada majikan yang khuatir dalam mencari pekerja baru.

"Dengan kredibilitinya, ia juga diyakini menjadi salah satu alternatif kepada penyelesaian isu ijazah palsu seperti yang pernah dilaporkan berlaku baru-baru ini," katanya kepada media, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Dr Rose Alinda Alias dan Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah, Dr Muhammad Zaly Shah Muhammmad Hussein yang mencipta perisian itu.

Sementara itu, buat pertama kalinya, UTM telah mengaplikasikan inovasi tersebut pada majlis konvokesyennya yang berlangsung pada 13 sehingga 16 Oktober ini melibatkan 5,304 pelajar.

Mengulas tentang ciptaan itu, Muhammad Zaly Shah berkata, perisian berkenaan menggunakan kod bertindak cepat (QR) yang dicetak pada ijazah graduan dan dibangunkan bersama 'Imbas Pembaca'.

"Para majikan yang berminat boleh mendapatkan perisian 'Imbas Pembaca' yang mempunyai versi bahasa Melayu dan Inggeris itu dengan memuat turunnya secara percuma di laman web www.imbas.my/download mulai Selasa depan.

Dirasuk jin, peserta cabar berlawan

Posted: 15 Oct 2012 02:49 AM PDT

IZWAN ROZLIN

Seorang peserta wanita yang dirasuki jin cuba berlawan dengan Pak Engku (kiri).
Seorang peserta wanita yang dirasuki jin cuba berlawan dengan Pak Engku (kiri).
 
AMPANG – Sesi kedua Seminar Pembinaan Ketahanan Dalaman anjuran Pengasas Rawatan Komplimentari Yashfien, Datuk Engku Ansaruddin Agus (Pak Engku) yang berlangsung di Kelab Darul Ehsan, semalam tergendala selama lebih kurang sejam apabila tiga peserta dipercayai dirasuk jin.

Kejadian itu berlaku apabila seorang remaja lelaki tiba-tiba bangun dan mencabar ahli panel untuk berlawan diikuti selang 10 minit kemudian seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an dan seorang wanita warga emas bangun turut memperkatakan hal sama.

Perkara aneh itu disaksikan lebih 100 peserta yang sedang mengikuti tajuk kedua program 'Apa Itu Sihir' bersama Imam Masjid Putra Perdana Puchong, Dr Abdullah Qurtubi.

Pak Engku ketika ditemui tidak terkejut dengan apa yang berlaku kerana perkara itu sudah diduganya sejak awal lagi.

"Perkara ini dilakukan oleh jin, jin sememangnya mahu menggagalkan seminar ini, jadi dia akan gunakan apa cara sekalipun untuk membuat tumpuan peserta dan ahli panel terganggu," katanya yang sudah mengendalikan tiga siri seminar sebelum ini.

Menurutnya, peristiwa yang berlaku semalam adalah kali pertama sepanjang penganjuran seminar itu.

"Saya memang sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan seperti ini, ini semua kuasa ALLAH SWT, kita hanya berikhtiar untuk menyembuhkan sahaja," katanya. 

Beliau berkata, kesemua peserta dibacakan ayat suci al-Quran sebelum masing-masing beransur pulih.

Mengulas lanjut mengenai seminar diadakan, beliau berkata, ia lebih kepada aspek teknikal untuk menghalang sihir termasuk gangguan jin melalui kekuatan yang ada pada diri setiap orang.

"Setiap orang mempunyai kelebihan cuma ramai yang tidak tahu gunakan, jadi melalui seminar ini kita terangkan menerusi teori dan praktikal bagaimana tenaga dalaman yang kita ada ini boleh digunakan untuk mengelakkan diri daripada gangguan halus," katanya.

Kos jambatan kedua Sultan Yahya Petra meningkat RM34.76 juta

Posted: 15 Oct 2012 02:40 AM PDT


KUALA LUMPUR — Kos pembinaan jambatan kedua Sultan Yahya Petra meningkat sebanyak RM34.76 juta daripada kos asal yang bernilai RM143 juta sejak diluluskan di bawah Rancangan Malaysian Ke-9 pada 2007 lalu, menurut Laporan Ketua Audit Negara pada hari ini.

Laporan tersebut mengenalpasti peningkatan didapati berpunca daripada kegagalan Konsortium I.S Resourcers Sdn. Bhd. dan RIS Capital Sdn. Bhd. yang telah dilantik secara rundingan terus oleh agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) menyiapkan projek tersebut mengikut jadual yang sepatutnya disiapkan pada Disember 2009 lalu.

Projek pembinaan jambatan ini kemudiaannya telah diserah kepada Aneka Prestij Sdn. Bhd pada bulan Mac 2010 untuk menyiapkan baki pembinaan yang gagal disiapkan menerusi persetujuan pihak JKR.

Meskipun kontraktor tersebut telah ditukar, laporan audit negara masih mendapati kontraktor baru masih gagal menyiapkan kerja dalam tempoh yang telah ditetapkan sehinggakan 4 Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa selama 891 hari iaitu sehingga 30 Ogos 2012 terpaksa diluluskan.

Jumlah keseluruhan projek ketika ini adalah RM177.76 (peningkatan sebanyak 24.3 peratus) dengan mengambil kira Arahan Perubahan Kerja berjumlah RM20.61 juta yang masih belum diluluskan.

Selain itu, laporan oleh audit negara turut mengambilkira masalah reka bentuk sistem cerucuk yang mengambil masa sehingga 2 tahun untuk diselesaikan telah menjadi antara punca kelewatan penyiapan projek dan kenaikan kos, kelewatan membina jambatan sementara menyebabkan kerja-kerja dalam sungai tidak dapat dijalankan mengikut jadual dan pelantikkan kontraktor yang tidak berpengalaman sebagai antara faktor penyumbang kepada peningkatan kos dan kelewatan projek ini disiapkan.

Hasil daripada laporan ini, pihak audit telah mengesyorkan JKR untuk mengambil tindakan seperti memastikan masalah di tapak projek diselesaikan terlebih dahulu supaya kerja dapat dilaksanakan mengikut jadual, mempertingkatkan koordinasi antara pihak berkuasa tempatan, pihak utiliti dan agensi- agensi lain yang terlibat di tapak pembinaan supaya masalah dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan, memastikan masalah reka bentuk sistem cerucuk diselesaikan terlebih dahulu bagi mengelakkan kelewatan pembinaan, melantik perunding utama bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek dan memastikan pihak kontraktor membina jambatan sementara mengikut jadual yang telah ditetapkan kerana kerja-kerja dalam sungai adalah bahagian paling kritikal bagi projek ini.

Jambatan Sultan Yahya Petra merupakan penghubung utama antara Bandar Kota Bharu dengan Tumpat.
Kegiatan ekonomi dan sosial di Tumpat serta sebahagian Bandar Pasir Mas banyak bergantung kepada jambatan ini yang dibina pada tahun 1967 hanya direka bentuk untuk menanggung beban seberat 11 tan sahaja.

Projek jambatan kedua Sultan Yahya Petra telah diluluskan di bawah RMK-9 sebagai alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dan menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.

Curi logam: Gadai nyawa demi wang

Posted: 15 Oct 2012 02:38 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

Lakonan semula Team Sinar Harian.
Lakonan semula Team Sinar Harian.

CURI logam bukan satu cerita baru. Mungkin kerana besi, timah, keluli atau tembaga yang berharga 'bersepah' di mana-mana 'tukang curi' kelabu mata untuk mendapatkan wang segera.

Tanpa peduli impak kepada orang lain, waima keselamatan diri sendiri. Bukan setakat penutup longkang, penghadang jalan, pagar rumah yang dicuri, malah ada yang mengangkut besi rel kereta api. Paling tragis sanggup menggadai nyawa jadi 'super hero' memanjat pencawang elektrik untuk mencuri kabel bagi mendapatkan tembaga untuk ditukar menjadi duit.

Rentung terkena gencatan ketika ghairah memotong kabel, badan putus tersepit di atas pencawang antara padah yang menimpa si pencuri logam. Walaupun sudah banyak kes ngeri sebegini berlaku, tetapi kejadian curi logam masih berleluasa.

Sinar Harian minggu ini mengupas kes curi logam untuk kita bincangkan bersama.

Budak lelaki 2 tahun maut dihempap televisyen

Posted: 15 Oct 2012 02:36 AM PDT

SINAR HARIAN

Halif Hariz yang maut selepas dihempap televisyen.
Halif Hariz yang maut selepas dihempap televisyen.
 
KUALA LUMPUR - Seorang budak lelaki berumur dua tahun mati dihempap televisyen di rumahnya di Jalan Saujana 1, Taman Ampang Saujana di Ampang dekat sini hari ini.
  
Kejadian kira-kira 1.50 petang itu berlaku ketika Halif Hariz Khairil Anuar menarik sebuah laci rak televisyen dalam bilik tidur, yang menyebabkan televisyen 29 inci condong ke depan dan menghempap mangsa.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintenden Md Nazri Zawawi berkata semasa kejadian, ibu mangsa, Nor Azlin Mohd Ali, 31, yang berada di bilik itu terdengar bunyi benda jatuh.
  
"Apabila menoleh ke arah anaknya, beliau mendapati anaknya dihempap televisyen," katanya ketika dihubungi hari ini.
  
Beliau berkata Halif Hariz mengalami kecederaan teruk dan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Ampang.
  
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut. - Bernama

Pemegang konsesi AES bakal untung RM700 juta setahun, kata DAP

Posted: 14 Oct 2012 04:54 PM PDT


KUALA LUMPUR — DAP hari ini menyeru agar Kementerian Pengangkutan menggantung sementara pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kerana ia hanya akan memberikan keuntungan kepada pemegang konsesi, dan bakal membebankan rakyat negara ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata melalui pemasangan 831 kamera di seluruh negara, syarikat konsesi berkenaan - ATES Sdn Bhd dan Betap Tega Sdn Bhd – mampu mendapatkan balik modal mereka melalui pengagihan keuntungan daripada saman yang dibayar sehingga RM700 juta.

"Sekiranya RM5 bilion dikutip setiap tahun, kedua-dua pemegang konsesi akan beroleh keuntungan RM80 juta di bawah peringkat pertama, RM270 juta di bawah peringkat kedua dan RM350 juta di bawah peringkat ketiga – jumlah lumayan sebanyak RM700 juta untuk kerja setahun," kata Lim (gambar) ketika Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan di Ibu Pejabat DAP di sini.

Jelas Ahli Parlimen Bagan ini lagi, daripada skim pembayaran yang diberikan kepada pemegang konsesi tersebut menunjukkan terdapatnya tiga peringkat kaedah bayaran dengan peringkat pertama, untuk setiap lima juta saman pertama, RM16 setiap saman akan dikutip oleh konsesi dengan kadar RM80 juta.

Bagi peringkat kedua pembayaran, sejumlah RM540 juta kutipan seterusnya dikongsi 50 peratus, iaitu berjumlah RM270 juta, dan kerajaan bakal mendapat jumlah yang sama.

Peringkat ketiga pula, sejumlah 7.5 peratus akan dikutip daripada keuntungan seterusnya, dengan kerajaan akan mengutip jumlah yang berlebihan.

Media sebelum ini melaporkan sejumlah 63,558 kesalahan trafik telah dicatatkan bagi lapan hari pertama sejak pelancaran AES pada 23 September lalu, dengan 14 kamera dipasang di kawasan-kawasan kerap berlakunya kemalangan.

"Selain daripada keuntungan RM700 setahun, terdapat juga tanda tanya tentang kos besar yang didakwa oleh kedua-dua pemegang konsesi untuk pemasangan 831 kamera.

"Adakah ia bernilai RM600 - RM800 juta seperti yang didakwa oleh kedua-dua syarikat tersebut untuk pemasangan 831 kamera yang bersamaan dengan RM722,000 - RM962,000 setiap kamera?" soal Lim lagi.

Justeru, beliau mengharapkan agar Kementerian Pengangkutan harus menunaikan kebertanggungjawaban umum dengan menjelaskan soalan-soalan ini dan sama ada ia dilakukan melalui tender terbuka.

"Jika isu-isu ini tidak dijelaskan, pemandu-pemandu Malaysia berhak marah kerana sekali lagi kroni-kroni Barisan Nasional (BN) untung sementara rakyat rugi.

 "DAP menyeru agar pelaksanaan AES digantung dengan serta merta sehingga isu-isu ini dapat diperjelaskan dengan penuh demi kepentingan umum," katanya lagi.

Selangor temui kaedah baru rawat air lebih murah sebagai alternatif

Posted: 14 Oct 2012 04:49 PM PDT


Menteri Besar Selangor, Tan Sir Abdul Khalid Ibrahim memberitahu Selangor mempunya pilihan rawatan air yang lebih murah yang menelan belanja lebih rendah daripada pembinaan Langat 2. — Gambar oleh Choo Choo May
 
SHAH ALAM,15 Okt — Selangor mempunyai pilihan rawatan air yang lebih murah tanpa keperluan untuk menaikkan tarif untuk pembinaan Langat 2, kaedah rawatan air yang dicadangkan oleh Putrajaya untuk menangani masalah kekurangan bekalan air yang diramalkan akan berlaku, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 Menteri Besar Selangor itu mendakwa telah menemui satu kaedah alternatif yang berdaya maju daripada sebuah syarikat Kanada dengan menggunakan teknologi membran bagi mengeluarkan air daripada loji sedia ada dan menjadikan ia sesuai untuk kegunaan isi rumah.

"Jumlah kosnya adalah dalam lingkungan RM 500 juta sehingga RM 750 juta berbanding RM 3 hingga 5 bilion untuk membina Langat 2," kata Abdul Khalid dalam satu temuramah eksklusif bersama The Malaysian Insider minggu lalu.

Beliau menjelaskan bahawa teknologi syarikat Kanada terlibat mengambil air dari beberapa loji rawatan dan merawat mereka secara berasingan untuk menghasilkan satu bilion liter air setiap hari, bukannya melakukan semua kerja-kerja dari satu loji utama, seperti Langat 2.

"Tetapi anda mempunyai beberapa loji rawatan supaya anda menambah 50 juta liter sehari dan lagi 3 juta dari tempat lain, 100 juta dan semua itu anda tambahkan, anda akan mendapat 1 bilion liter sehari.

"Jadi, kesimpulannya ialah, kita boleh mempunyai sumber air yang lebih murah pada harga yang sangat-sangat rendah," katanya.

Perebutan untuk mengawal bekalan air terawat di negeri termaju dalam negara ini telah menjadi isu utama menjelang pilihan raya umum (PRU) yang akan diadakan tidak lama lagi disebabkan selepas pengedar air tunggal di negeri ini, Syarikat Bekalan udara Selangor (Syabas), membangkitkan penggera awal tahun ini tentang krisis air yang mungkin berlaku dalam masa terdekat kerana tidak mempunyai rizab di loji rawatan air negeri.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) itu dengan sabar menentang projek kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN), dengan mengatakan kos tinggi yang terlibat akan memaksa mereka untuk meningkatkan tarif untuk air dan menyebabkan mereka terpaksa mungkir janji untuk menyediakan harga murah, satu dasar yang diperkenalkan selepas memenangi kuasa dalam PRU 2008.

"Ia akan menelan belanja sekurang-kurangnya RM3 bilion kepada RM5 bilion hanya untuk membina Langat 2, sebuah loji rawatan yang mampu menyimpan air dari Pahang dan untuk merawat sebelum ia diedarkan, tanpa mengambil kira kos menggali terowong dan semua itu,"kata Abdul Khalid.

Walaupun begitu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilaporkan mencadangkan bahawa kerajaan persekutuan boleh meneruskan projek Langat 2 tanpa mendapat persetujuan kerajaan negeri terlebih dahulu.

Muhyiddin, yang telah telah ditugaskan untuk mempengerusikan satu panel persekutuan untuk menyelesaikan isu air berkata beliau telah meminta Pejabat Peguam Negara sama ada yang Kod Tanah Negara atau yang Akta Tanah Perolehan akan membenarkan satu projek disifatkan mempunyai kepentingan nasional dibina, tanpa kelulusan negeri dan tidak menjejaskan apa-apa terhadap Putrajaya.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin rakyat Selangor bersamanya dalam isu harga air di negeri tersebut.
"Pejabat Peguam Negara masih belum memberikan maklum balas, rundingan dengan kerajaan negeri berterusan dalam usaha untuk mendapatkan mereka mengeluarkan suatu perintah pembangunan untuk pembinaan Langat 2," katanya kepada pemberita hujung minggu lalu.
 Langat 2 dikatakan akan mempunyai kapasiti 1,130 juta liter sehari (MLD) dapat diteruskan untuk membekalkan air kepada penduduk di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Abdul Khalid yakin rakyat Selangor bersamanya berbanding dengan syarikat konsesi yang hanya mahu menaikkan harga air demi menjana keutungan besar.

"Rakyat Selangor sudah memahaminya
(isu air). Mereka tahu bahawa, jika bersama dengan syarikat konsesi, mereka perlu membayar harga yang sangat tinggi.

"Kedua, halangan terbesar saya adalah, untuk menjelaskan kepada orang daripada kerajaan pusat yang tidak memahami isu ini.

"Kerana kebanyakan orang-orang ini, tidak terlibat dalam penyediaan Akta Air (Wasiah). Menteri yang paling penting pada masa itu ialah Tun Dr Lim Keng Yeik. Tetapi beliau telah bersara.

"Itulah sebabnya hanya segelintir orang boleh memahami dan yang tahu takut untuk menjelaskan kepada menteri kerana mereka tidak berani mengatakan kepada menteri anda tidak faham dan anda salah.

Perlawanan panjang dan tuding-menuding jari antara PR dan Barisan Nasional (BN) dalam rangka untuk mengawal sumber air di Selangor, negeri terkaya di Malaysia telah membuka mata ramai pihak tentang berapa banyak jumlah wang yang bakal dipertaruhkan dan berpotensi menjadi satu lagi contoh kegagalan projek penswastaan era Mahathir.

Krisis ini juga boleh mempengaruhi undi dalam pilihan raya akan datang di Selangor dan Kuala Lumpur, bergantung kepada siapa yang bakal disalahkan sekiranya bekalan air mereka terputus. PR sekarang ini memerintah Selangor dan memenangi 10 daripada 11 kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Puncak Niaga yang mengoperasikan majoriti loji rawatan air Selangor, 29 daripada 34-40 peratus daripada sahamnya dipegang oleh Tan Sri Rozali Ismail, yang pernah menjadi bendahari Umno Selangor dan orang ke 31 terkaya di Malaysia menurut Forbes.

Sementara Puncak Niaga memegang 70 peratus daripada saham SYABAS yang mana kerajaan negeri hanya memiliki 30 peratus saham menyebabkan pemimpin Umno itu berkuasa terhadap rawatan air dan distribusi air di negeri yang dikuasai PR itu.

Puncak Niaga dan Syabas juga dilaporkan meminta wang lebih dari kerajaan negeri, menolak dua tawaran dari kerajaan negeri kerana dikatakan terlalu rendah, termasuk tawaran untuk membeli dua syarikat dengan harga RM9.2 bilion termasuk dua lagi pemegang konsesi Splash dan Konsortium Abbas walaupun Splash dan Konsortium Abbas menerima tawaran tersebut.

Kira-kira 30 peratus daripada air yang dirawat di Selangor adalah sia-sia atau non-revenue water (NRW) dimana kerajaan negeri Selangor telah digunakan sebagai alasan menghalang Syabas dan menafikan hak mereka untuk menaikkan tarif yang kononnya kos akan tetapi merupakan hasil pendapatan berjuta-juta ringgit.

Orang muda yakin Kepala Batas jatuh

Posted: 14 Oct 2012 04:39 PM PDT

MALAYSIA CHRONICLE

KEPALA BATAS- Para pemuda sekitar Kepala Batas yakin parlimen kawasan itu akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum ke 13 kerana kredibili mantan perdana menteri dan anak tok guru, Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan lagi sandaran sebagaimana dahulu.

Ketika diminta pandangan tentang pergolakan politik dalaman Umno Bahagian Kepala Batas mereka berkata, Barisan Nasional (BN) akan tumbang walaupun Pak Lah sendiri yang bertanding sebagai calun.

Mohd Faiz Ahmad, 20, berkata senario sekarang bukan lagi menyebelahi Umno sebagaimana dulu jika BN letak kayu atau tunggul sekalipun parti mereka akan mengecapi kemenangan.

"Sekarang orang dah celik tidak macam dulu walaupun Pak Lah pernah jadi perdana menteri dan merupakan anak kepada Tok Guru Abdullah Haji Fahim sekalipun ia bukan lagi sandaran sepertimana dulu," katanya.

Rakannya, Yusof Othman, 22, meminta para pemuda yang sayangkan bangsa dan agama agar melakukan perubahan demi menyelamatkan negara daripada terus manuju kebangkrapan.

Malaysia tiada boleh lari daripada bangkrap jika rakyat masih mempercayai BN memerintah kerana kewangan negara akan berkurangan ekoran terdapatnya ketirisan.

"Bila tiris semuanya menuju kerugian. Bahkan terdapat pula penyelewengan yang besar menyebabkan kehilangan wang rakyat," ujar beliau.

Seorang lagi pemuda yang sempat ditemui Sri Ganesan, 25, menambah, pemimpin yang korups patut dijatuhkan dan diganti dengan kepimpinan yang bersih.

"Buat apa mempertahankan kepimpinan BN yang nyata tidak layak lagi menjadi wakil rakyat, " jelas beliau.
-harakahdaily

Rais: Menjamin kedaulatan negara dalam dunia Internet

Posted: 14 Oct 2012 04:31 PM PDT

Bernama


 
Kepentingan untuk menjamin kedaulatan sesebuah negara dalam perkembangan dunia internet dan teknologi maklumat adalah antara fokus Malaysia di Persidangan dan Pameran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2012, yang bermula di Dubai pada hari Ahad.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata dalam menekankan soal kedaulatan negara, perkembangan hebat hubungan komunikasi seperti internet perlu dititik berat dan dilihat sebagai satu kuasa yang mungkin boleh mencabul kedaulatan sesebuah negara.

"Mereka ini (penjenayah siber) tidak menggunakan senapang, meriam, torpedo atau jet pejuang tetapi (menggunakan) internet sebagai alasan atau alat untuk menembusi kedaulatan sesebuah negara.

"Ini sangat mustahak... kita akan cuba timbulkan isu ini dalam kontek perjuangan antarabangsa," katanya kepada pemberita Malaysia selepas majlis pelancaran persidangan itu di Dubai semalam.
  
Rais mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai delegasi Malaysia pada persidangan lima hari itu di Pusat Dagangan Dunia Dubai.

Rais berkata bagi Malaysia, faktor tadbir urus amat penting sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa supaya tidak berlaku pertembungan undang-undang dari aspek pendekatan undang-undang jenayah di internet (siber) dengan jenayah biasa.

"Kita mahu pastikan kalau seseorang itu pencuri di dunia biasa, jika perkara sama dilakukan di ruang siber, dia juga tetap dilihat pencuri dari aspek perundangannya," katanya.

Menurutnya isu sama telah disuarakan oleh Malaysia ketika beliau menghadiri persidangan mengenai ruang siber di London awal tahun ini.

Perkara itu wajar terus dibincangkan oleh sektor berkenaan, khususnya di peringkat antarabangsa bagi memastikan adanya persefahaman yang boleh menjurus kepada pembentukan undang-undang sejagat berhubung internet dan ICT.

"Hal-hal seperti ini belum lagi dibincangkan secara mendalam dan kita ingin mendapatkan penelitian dan reaksi sama ada daripada negara anggota ITU atau pihak yang mentadbir perundangan di negara masing-masing," katanya.

Rais memaklumkan topik masa depan internet dan bidang ICT serta peluang perniagaan pada pelabur antarabangsa turut menjadi fokus Malaysia pada sidang itu.

Persidangan tersebut melibatkan 193 negara anggota serta menghimpunkan lebih 300 peserta termasuk ketua-ketua negara, kerajaan, pakar-pakar informasi dan teknologi serta ahli akademik dari seluruh dunia.  
- Bernama

DAP: Apa faedah BR1M jika dapat saman AES?

Posted: 14 Oct 2012 04:28 PM PDT

Zulaikha Zulkifli


 
Setiausaha DAP Lim Guan Eng berkata rakyat berpendapatan rendah perlu membayar lebih daripada apa yang diterima melalui skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sekiranya dikenakan saman melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, kerajaan menyalurkan RM500 kepada golongan berkenaan, yang perlu membayar RM300 setiap kali disaman melalui sistem AES.

"Apa yang bagusnya kalau kerajaan beri kepada anda RM500? Dengan ada dua saman, sama seperti mereka ambil semuanya balik dengan untung yang lebih mereka dapat," katanya ketika berucap di Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan hari ini.

Sistem AES dikuatkuasakan pada 23 September lalu. Pada lapan hari pertama pelancarannya, sebanyak 63,558 kesalahan trafik telah dicatatkan dan sebanyak 170 juta saman akan dikeluarkan.

Lim mendakwa, ramai pengguna yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan sistem berkenaan dan menjadi tanggungjawab DAP untuk membangkitkannya.

"Adakah masyarakat marah? Kalau marah, ini adalah peluang (kerajaan) memberi penerangan kepada rakyat," katanya lagi.

Menurut Lim projek AES mendapat tentangan kerana pemegang konsesinya, ATES Sdn Bhd dan Betap Tega Sdn Bhd mampu mendapat balik modal mereka melalui pengagihan keuntungan daripada saman yang dibayar.

"Sekiranya RM5 bilion dikutip setiap tahun, kedua-dua pemegang konsesi akan untung RM80 juta di bawah peringkat pertama, RM270 juta di bawah peringkat kedua dan RM350 juta pada peringkat ketiga.

"(Ini memberi pulangan) lumayan sebanyak RM700 juta untuk kerja setahun," katanya lagi.
Dalam satu sesi perbahasan di Dewan Rakyat Penyokong minggu lalu, penyokong kerajaan dan pembangkang juga sama-sama menyuarakan tentangan ke atas pelaksanaan AES.

MP DAP Kota Melaka Sim Tong Him berkata kerajaan perlu meminda had laju di lebuh raya kerana menurutnya had laju itu tidak seragam dan akan menjadikan orang ramai mangsa dengan pelaksanaan AES.

MP BN Sri Gading Datuk Mohamad Aziz pula berkata pelaksanaan sistem itu patut ditangguhkan kerana syarikat terbabit menurutnya mungkin hanya mahu membuat duit.

Najib: K'jaan BN 'munafik' jika tak tepati janji

Posted: 14 Oct 2012 04:25 PM PDT

MALAYSIA KINI


 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kerajaan hari ini yang diterajui BN menjanjikan sesuatu perkara yang mampu dilaksanakan untuk faedah rakyat kerana jika tidak menepati janji, ia tergolong dalam kalangan munafik.

Menurut Najib kegagalan menepati janji yang diberikan kepada rakyat bukan sahaja menyalahi perintah agama dan berdosa besar malah dianggap sebagai berbohong dan pihak yang suka menabur janji kosong berkenaan akan dihukum oleh rakyat.

"Jangan sekali-sekali kita menjadi orang munafik. Sebab itulah kita menggunakan ungkapan janji ditepati supaya sebagai sebuah kerajaan, bila kita bercakap, kita bercakap yang benar dan bukan kita bohong. Bila kita janji, kita jangan mungkir janji sebab peribahasa menyebut 'binatang dipegang pada ekornya manusia dipegang pada janjinya.

"Kalau kita menggalas amanah, jangan kita khianati amanah. Sebab itulah saya bagi jaminan (kepada) tuan-tuan, setiap ayat, setiap perkataan yang kita luahkan kepada rakyat, kita dasarkan kepada kemampuan kita. Kalau kita tak mampu, kita tidak akan sebut kerana kalau berjanji kita tidak tunaikan, dosa itu adalah amat besar.

"Tuhan akan laknat kita, rakyat akan hukum kita, mereka (rakyat) akan hukum pemimpin yang tidak melakukan apa yang dia janjikan ataupun dia menipu rakyat," katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Janji Ditepati di Kompleks Sukan Kudat, hari ini.

Program yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman itu dibanjiri kira-kira 50,000 rakyat yang datang dari pelbagai kawasan berhampiran Kudat seperti Pitas, Matunggong, Kota Belud, Tandek dan Pulau Banggi.

Najib juga berkata sambutan rakyat di Sabah dalam beberapa siri lawatannya ke negeri ini seperti di Sandakan, Sipitang, Kota Belud, Penampang dan Kudat yang mendapat sambutan cukup menggalakkan, menggambarkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN.

Katanya kehadiran beramai-ramai rakyat juga menggambarkan keyakinan bahawa rakyat hanya boleh menyandarkan harapan masa depan mereka kepada kerajaan BN dan bukan kepada orang lain, sekaligus melambangkan sokongan padu rakyat kepada kerajaan sekarang.

Najib juga memberi jaminan bahawa semua yang dijanjikan kerajaan BN akan ditunaikan tanpa mengambil kira bila pilihan raya umum akan diadakan.

Perdana Menteri juga menyifatkan Sabah sebagai cerminan masa depan rakyat 1Malaysia kerana di samping kepelbagaian kaum dan kepercayaan, rakyat negeri ini masih mampu bersatu padu dan hidup dalam suasana harmoni sejak kemerdekaan Sabah 49 tahun lalu menerusi pembentukan Persekutuan Malaysia.             

Mengenai pemilihan Kudat sebagai lokasi program Jelajah Janji Depati, Najib berkata ia bukan semata-mata disebabkan sentimen nostalgia Kudat sebagai bekas ibu negeri Sabah serta tempat kelahiran pemimpin agung Tun Datu Mustapha Datu Harun tetapi ia melambangkan iltizam kerajaan BN untuk terus membawa pembangunan kepada daerah itu.

Najib berkata sebagai seorang pemimpin, beliau perlu memahami keluh-kesah rakyat serta memahami denyut nadi mereka dan mesti mampu dan sanggup memenuhi aspirasi atau kehendak rakyat.

"Salah satu aspirasi rakyat, khususnya di Kudat ialah supaya bertitik tolak daripada pelancaran Jelajah Janji Ditepati ini, Kudat akan melalui zaman pemulihannya, Kudat dapat kembali kepada suatu ketika ianya merupakan ibu negeri Sabah dan kalau kita tidak boleh kembalikan ibu negeri Sabah kepada Kudat, sekurang-kurangnya kita dapat terus membangunkan Kudat ini seperti mana kehendak masyarakat di sini," katanya.

Selepas pelancaran Jelajah Janji Ditepati, Najib melawat kediaman bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun. Sebelum itu, Najib turut mengadakan tinjauan rakyat di sekitar Kampung Air dekat Kudat sejurus tiba dari Kundasang. - Bernama

DAP: Sekat dana asing cadangan 'hipokrit' Umno

Posted: 14 Oct 2012 04:24 PM PDT

MALAYSIA KINI


 
Setiausaha publisiti DAP Tony Pua berkata, pemimpin Umno bertindak hipokrit apabila merancang untuk untuk menggubal undang-undang baru bagi menyekat penerimaan dana asing.

Sedangkan, Umno sendiri menerima dana asing bernilai RM40 juta yang diragui, kata MP Petaling Jaya Utara itu.

"Cadangan oleh menteri itu bukan sahaja tidak praktikal tetapi ia benar-benar satu tindakan Umno yang juga pemerintah yang hipokrit.

"Apa yang menimbulkan keraguan ialah apabila (menteri hal ehwal undang-undang) Datuk Nazri (Abdul Aziz) dengan tidak rasa bersalah ingin menggubal undang-undang apabila Umno sendiri menerima dana asing.

"Datuk Nazri sendiri mengakui bahawa wang RM40 juta dalam matawang Singapura yang cuba diseludup masuk ke Sabah dari Hong Kong oleh Michael Chia adalah bertujuan untuk Umno dan bukan untuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman," kata Pua dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nazri, seperti dilaporkan media semalam, yang menyebut bahawa undang-undang tersebut perlu untuk menghalang campur tangan asing ke atas keselamatan negara.

Katanya lagi, Nazri sendiri dalam satu jawapan di Parlimen menyebut bahawa wang berjumlah RM40 juta yang cuba diseludup ke Malaysia melalui Hong Kong itu merupakan sumbangan kepada Umno negeri dan bukannya kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Selain itu, Tony berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pula pada Jumaat lalu mengakui bahawa wang yang tidak diketahui asal usul itu merupakan sumbangan politik.

Presiden Umno itu enggan mendedahkan pihak yang menyumbang wang tersebut kepada Umno kerana menurutnnya, pembangkang juga tidak mendedahkan sumbangan mereka.

"Sebelum Datuk Nazri memperolehi sebarang sebarang locus standi untuk mencadangkan mana-mana undang-undang mengenai pembiayaan asing tersebut, dia terlebih dahulu perlu mendedahkan sumber pembiayaan asing yang diterima Umno.

"Jika wang pembiayaan itu sah, kenapa wang (kepada Umno Sabah) yang hendak diimport dalam bentuk wang tunai itu di dalam mata wang Dolar Singapura?" soalnya.

Katanya, beliau khuatir jumlah sumbangan yang banyak itu akan menjejaskan kestabilan negara.

"Atau kita takut jumlah sumbangan yang besar daripada sumber asing itu akan menyebabkan kita menjadi agen kepada kuasa asing dan kita akan dipaksa untuk melakukan pembohongan sehingga menjejaskan kestabilan negara," katanya.

K'jaan setuju bina jalan baru Tuaran-Kudat, kata Najib

Posted: 14 Oct 2012 04:18 PM PDT


Bernama


 
Kerajaan Persekutuan bersetuju pada prinsipnya untuk melaksanakan projek pembinaan jalan pesisir menghubungkan Tuaran, Kota Marudu hingga Kudat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata jalan pesisir berkenaan perlu dibina bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di laluan jalan berkenaan seterusnya membantu meningkatkan ekonomi penduduk di ketiga-tiga kawasan yang dilalui jalan berkenaan kelak.  

"Saya difahamkan bahawa jalan pesisir melalui Tuaran, Kota Marudu ke Kudat perlu kita laksanakan sebab apabila ada jalan pesisir yang besar dan luas maka banyaklah kawasan dapat dibuka dan dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

"Cuma saya nak tentukan peruntukan yang diperlukan dan bila saya dapat tentukan peruntukan, maka projek ini akan saya umumkan secara rasmi. Tetapi percayalah ianya akan dilaksanakan oleh kerajaan BN,"  katanya ketika merasmikan program Jelajah Janji Ditepati di Kompleks Sukan Kudat
di Kudat, hari ini.

Najib juga berkata bahawa beliau secara prinsipnya bersetuju supaya sebuah pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) diwujudkan di Kudat memandangkan kedudukan daerah itu yang bersempadan dengan Pulau Palawan, Selatan Filipina dan sebagai pintu masuk utara negeri Sabah.

Katanya keperluan berkenaan juga bersesuaian dengan persetujuan kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) untuk menandatangani Rangka Kerja Perjanjian damai bagi mengakhiri konflik 40 tahun mereka, yang akan disaksikan Perdana Menteri hari ini.

"Bila Filipina Selatan aman, mereka boleh melakukan pembangunan dan bila berlaku pembangunan kuranglah orang yang akan masuk (ke Sabah) secara haram dan Kawasan Pertumbuhan Asia Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) akan lebih maju, perdagangan dapat ditingkatkan dan pelaburan juga dapat ditambah bagi kawasan itu," katanya.

Menurut Najib, satu kajian terperinci akan dilakukan mengenai segala keperluan pewujudan CIQ berkenaan dan peruntukan bagi pembinaannya akan diumumkan apabila tiba masanya.

Najib juga berkata Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah bagi menentukan lokasi pembinaan rumah mampu milik di seluruh negeri Sabah untuk memenuhi permintaan rumah bagi rakyat di negeri ini.

Selain itu, kata Najib, pusat PERMATA Negara juga akan diwujudkan di setiap kawasan Parlimen di Sabah melalui peruntukan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.- Bernama

Tiada ulasan: