Rabu, 12 September 2012

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Serah diri atau kami 'buru' amaran Polis buat Blogger UMNO

Posted: 12 Sep 2012 10:39 PM PDT



Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin menggesa suspek kes simbah cat kepada bas Jelajah Merdeka PKR di Melaka agar segera menyerah diri untuk membantu siasatan.

Menurutnya, polis sudah berjaya mengenalpasti suspek terbabit selepas menjalankan siasatan.
"Saya minta individu berkenaan tampil ke hadapan membantu siasatan kita. 
"Adalah lebih baik untuk beliau menyerah dahulu sebelum kami cari beliau," kata Bakri pada sidang media di Bukit Aman pagi tadi.
Semalam, Setiausaha Wanita PKR, Maisuri Zainal berkata beliau berjaya mengecam seorang saspek dalam kejadian simbah cat kepada bas jelajah Merdeka Rakyat di Jasin selepas dipanggil polis untuk kawad cam saspek kejadian.

Kejadian itu merupakan kejadian kedua selepas bas yang sama dipecahkan cerminnya dan turut disimbah cat sewaktu singgah di Kota Bharu pada 1 September lalu.

Dalam sidang medianya pagi ini, Bakri Zinin turut menggesa supaya suspek dalam menghina gambar pemimpin PAS supaya tampil membantu siasatan polis.

Wajah tiga suspek berkenaan, yang didapati membuang air kecil ke atas poster menteri besar Kelantan dan presiden PAS dalam satu kejadian, dimuatkan di laman Facebook PDRM hari ini.

Bakri juga berkata polis setakat ini telah mengambil keterangan daripada sekurang-kurangnya lapan individu berhubung kes melibatkan seorang pengawal peribadi ketua umum PKR yang didakwa mengeluarkan pistol dikhalayak umum dalam satu kejadian di Melaka Sabtu lalu.
"Siasatan masih berjalan. Kita masih giat menyiasat kes berkenaan,"katanya.
- Malaysiakini

Kes liwat: DSAI tarik balik saman ke atas Saiful

Posted: 12 Sep 2012 07:00 PM PDT




12 September 2012
KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menarik balik samannya terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana berniat jahat dengan membuat laporan polis bahawa beliau meliwat Mohd Saiful.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam membatalkan saman itu di dalam kamar semasa kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes.
Peguam Ranjit Singh mewakili Anwar manakala peguam Zamri Idrus bagi pihak Mohd Saiful.
Ranjit memberitahu pemberita, Anwar menarik balik saman itu atas asas bahawa  reputasi beliau telah dijustifikasikan dengan pembebasannya daripada pertuduhan meliwat itu.
Beliau berkata Anwar menarik balik saman itu dan tidak berhasrat memfailkan saman baharu dan hakim juga menetapkan 9 Okt untuk mendengar isu berkaitan kos perundangan.
Pada 9 Jan tahun ini, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 27, di unit Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar, 65, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketua Pembangkang itu memfailkan saman terhadap Mohd Saiful pada 30 Jun, 2008, mendakwa bekas pembantunya itu membuat laporan polis dengan niat jahat dan untuk mencemarkan reputasinya sebagai seorang ahli politik.
Dalam kenyataan tuntutannya, Anwar berkata Mohd Saiful tahu bahawa pertuduhan liwat itu adalah tidak benar tetapi tetap membuat laporan polis pada 28 Jun, 2008.
Beliau mendakwa akibat daripada laporan polis itu, reputasi beliau telah tercemar dan beliau mengalami penderitaan teruk dan telah diaibkan.
Mohd Saiful, dalam kenyataan pembelaannya yang difailkan pada Mei 2009, berkata laporan polis itu adalah wajar dan sekiranya ia tidak benar, pihak pendakwaan tidak akan mendakwa Anwar dengan pertuduhan meliwat.- Bernama

Krisis Syria : Pelakon Angelina Jolie minta dunia "buka mata"

Posted: 12 Sep 2012 08:20 AM PDT


ZAATARI, Jordan - Pelakon terkenal Hollywood, yang juga Duta Kebajikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Angelina Jolie berharap statusnya sebagai selebriti dapat membantu rakyat Syria dengan dunia "membuka mata" menyelesaikan krisis pelarian.

Menurutnya, dia sendiri telah menyaksikan serta menyelami situasi yang dilalui kanak-kanak di Syria, di mana kebanyakan daripada mereka kini hidup sebagai yatim piatu dan sebatang kara.

"Seorang budak perempuan sembilan tahun bercerita kepada saya bahawa menjadi pemandangan biasa untuk melihat anggota badan berselerak dan mayat orang mati dibakar, diratah macam ayam oleh binatang di sini," kata Jolie semasa membuat lawatan ke kem pelarian di Jordan berdekatan dengan sempadan Syria.

Menurut agensi pelarian PBB, setiap hari dianggarkan lebih kurang 2,000 penduduk Syria mati akibat pergolakan politik melanda negara itu sejak 18 bulan yang lalu.

Selain itu, hingga kini, sebanyak 253,000 pelarian Syria dilaporkan mendapat perlindungan dengan hidup dalam kem pelarian dan rumah sementara di negara berdekatan seperti Jordan, Turki, Lebanon dan Iraq.

Menempuh kehidupan di kem pelarian Zaatari, Jordan bukanlah semudah yang disangka, di mana kebanyakan mereka hilang segala harta benda selepas meninggalkan rumah di Syria.

Salah seorang pelarian menceritakan pengalamannya kepada CNN.

Katanya, dia sekeluarga merentasi sempadan dengan bayi yang hanya baru dilahirkan empat hari sebelum itu, dengan semua pakaian dikendong di belakang.

Mereka juga merungut mengenai ketiadaan bekalan minuman dan makanan yang dapat menampung kehidupan pelarian.

Jolie ditemani tentera Jordan membuat lawatan sehari ke sempadan, menyaksikan sendiri pelarian dari Syria bergerak ke Jordan dalam usaha mencari perlindungan.

Aktres yang mempunyai enam orang anak bersama pasangannya, Brad Pitt menyatakan dia berasa sangat tersentuh dengan situasi itu dan tidak dapat membayangkan  perkara itu terjadi kepada ibu-ibu dan anak-anak mereka terutamanya.

"Dengan jumlah kanak-kanak yang tidak bersalah menjadi mangsa, seperti ada yang meninggal dunia, cedera parah dan hidup sebatang kara, dengan ibu bapa mereka pula dibunuh, kita harus berbuat sesuatu agar perkara ini akan dapat dibanteras," kata Jolie.

Jolie sebelum ini telah banyak mengembara ke negara-negara bergolak untuk melihat sendiri kedaifan hidup mereka dan sememangnya terkenal dengan kerja-kerja kemanusiaan sejagat sejajar dengan tugasnya sebagai Duta Kebajikan PBB.

Sementara itu, menurut Menteri Luar Jordan, Nasser Judeh, negaranya sedang membina lebih banyak khemah pelarian untuk menampung pelarian Syria yang kini sudah terlebih muatan di sesetengah khemah pelarian.

Jolie pula menggesa negara-negara lain untuk turut sama membantu pelarian di sini.

"Saya sangat terharu dengan usaha Jordan dan negara sempadannya yang lain dalam usaha menyelamatkan nyawa pelarian Syria.  Ini adalah satu perkara murni dan sangat luar biasa.

"Oleh itu, saya menggesa semua pihak menyokong projek ini dan berharap kehidupan penduduk di  Syria akan kembali normal seperti dulu semula," kata Jolie.

Protes filem hina Nabi : Duta US ke Libya maut

Posted: 12 Sep 2012 05:20 AM PDT

WARTAWAN SINAR HARIAN

12 September 2012
Protes filem hina Nabi, Duta AS ke Libya antara 4 maut


Protes yang diadakan di pejabat konsul Amerika Syarikat semalam.
TRIPOLI - Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya terbunuh dalam serangan ke atas pejabat konsul negara itu di bandar Benghazi, semalam.


Duta Christopher Stevens merupakan salah seorang daripada empat pegawai AS terbunuh dalam protes berhubung filem keluaran negara, yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.

Jabatan Negara AS hanya mengesahkan kematian seorang pegawai tetapi tidak mengeluarkan nama lagi.
Selain di Libya, protes juga diadakan di Keduataan AS di Kaherah.
Dalam serangan di Benghazi, seorang lelaki memasuki kawasan pejabat konsul dan melepaskan tembakan, selain membaling bom.
Seorang pegawai Libya berkata, Stevens meninggal dunia disebabkan sesak nafas ekoran serangan itu.
Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton mengesahkan kematian seorang pegawai negara itu premis tersebut.
Tindakan seorang lelaki AS berbangsa Yahudi menghasilkan sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW telah mencetuskan kemarahan orang Islam di Libya dan Mesir.
Kumpulan penunjuk perasaan yang berang itu bertindak menggempur Kedutaan AS di Kaherah dan Benghazi pada hari sama sambutan ulang tahun ke-11 serangan 11 September, semalam.
Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, protes di bandar timur Libya tersebut bertukar ganas selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu masuk ke dalam pejabat konsul dan membakar premis itu.
"Duta AS ke Libya, Christopher Stevens bersama tiga kakitangan dilaporkan turut terkorban manakala dua lagi cedera dalam serangan roket yang disasarkan ke bangunan tersebut," kata Wanis al-Sharef. 
Beberapa jam sebelum insiden itu, ratusan penunjuk perasaan ultrakonservatif berarak menuju ke Kedutaan AS di Kaherah dan berhimpun di luar bangunan tersebut sambil melaungkan slogan mengutuk tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menghasilkan filem terbabit.
Bagaimanapun, demontrasi itu juga bertukar menjadi ganas selepas puluhan penunjuk perasaan bertindak luar kawalan dengan memanjat tembok di luar bangunan kedutaan tersebut dan menurunkan bendera kebangsaan AS.
Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa memaklumkan tiada tangkapan dibuat kerana protes tersebut dilakukan secara aman dan kumpulan itu dilaporkan bersurai menjelang tengah malam.
Difahamkan, treler filem selama 14 minit berjudul Innocence of Muslims dihasilkan oleh pengarah anti-Islam, Sam Bacile, 52, menerima kecaman banyak pihak terutamanya orang Islam selepas ia dimuat naik ke dalam laman Youtube.
Wall Street Journal melaporkan Bacile turut menerima bantuan berjumlah AS$5 juta (RM15 juta) daripada kira-kira 100 bangsa Yahudi untuk membuat filem yang sengaja memburuk-burukkan sifat Nabi Muhammad SAW.
Penerbitan sebanyak 12 karikatur Nabi Muhammad SAW dalam sebuah akhbar di Denmark pada 2005 turut mencetuskan protes di kebanyakan negara Islam. - Sinar

Ning Baizura tarik diri dari Konsert Arak

Posted: 11 Sep 2012 11:12 PM PDT

Wartawan Sinar Harian
12 September 2012
Ning Baizura tarik diri persembahan Souled Out
Poster promosi persembahan Guinness Arthur's Day di Souled Out.


PENYANYI bersuara soprano, Ning Baizura menarik diri daripada mengadakan persembahan di Souled Out 28 September ini.

"Kami ingin memaklumkan kepada semua pihak bahawa Ning Baizura telah menarik diri daripada persembahan di Souled Out yang bertarikh pada 28 September 2012," kata pihak pengurusan Ning, HappenNINGS (M) Sdn Bhd dalam satu kenyataan akhbar yang disiarkan di laman webnya.

Penyanyi itu dukacita di atas penyalahgunaan gambarnya pada poster promosi mengenai penglibatannya dalam persembahan  acara 'Guinness Arthur's Day' yang akan berlangsung di Bukit Kiara.


Ning berkata dia tidak terlibat langsung dalam promosi jenama arak itu dan gambarnya telah digunakan tanpa mendapat persetujuan daripada pihaknya.

Pihaknya turut menjelaskan bahawa Ning telah ditempah oleh pihak pengurusan Souled Out untuk membuat persembahan pada tarikh itu dan bukannya didampingi oleh Guinness Anchor Berhad.

Pengurusan penyanyi itu turut berkata, pihaknya sentiasa berhati-hati supaya tidak mengaitkan persembahan Ning dengan mana-mana syarikat yang mempromosikan minuman keras.- SINAR

Tiada ulasan: