Kerabu Bersuara ® |
- Protes filem hina Nabi, Duta AS ke Libya maut
- PR dan BN: Sama Tapi Berbeza
- Mursyidul Am PAS : Kefahaman Bukan Alasan Tangguh Hudud
Protes filem hina Nabi, Duta AS ke Libya maut Posted: 12 Sep 2012 07:15 AM PDT [DIKEMAS KINI] WASHINGTON - Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Christopher Stevens disahkan terbunuh dalam serangan roket ke atas pejabat konsul di Benghazi semalam, demikian menurut oleh Presiden Barack Obama hari ini. "Saya dengan keras mengutuk serangan melampau ke atas kemudahan diplomatik di Benghazi, yang meragut empat nyawa rakyat Amerika termasuk Duta Chris (Christopher) Stevens," kata Obama dalam satu kenyataan. Tiga yang lain merupakan kakitangan keselamatan AS, kata seorang pekerja kontraktor di misi tersebut, lapor CNN. Serangan ke atas pejabat konsul itu diadakan sebagai protes berhubung filem keluaran negara, yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW. Sebelum ini, Jabatan Negara AS hanya mengesahkan kematian seorang pegawai tetapi tidak mengeluarkan nama lagi. Selain di Libya, protes juga diadakan di Kedutaan AS di Kaherah. Dalam serangan di Benghazi, seorang lelaki memasuki kawasan pejabat konsul dan melepaskan tembakan, selain membaling bom. [BERITA BERKAITAN - Pengarah filem anti-Islam 'hilangkan diri'] Laporan terdahulu memetik seorang pegawai Libya berkata, Stevens meninggal dunia disebabkan sesak nafas ekoran serangan itu. Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton mengesahkan kematian seorang pegawai negara itu premis tersebut. Tindakan seorang lelaki AS berbangsa Yahudi menghasilkan sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW telah mencetuskan kemarahan orang Islam di Libya dan Mesir. Kumpulan penunjuk perasaan yang berang itu bertindak menggempur Kedutaan AS di Kaherah dan Benghazi pada hari sama sambutan ulang tahun ke-11 memperingati serangan 11 September diadakan, semalam. Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, protes di bandar timur Libya tersebut bertukar ganas selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu masuk ke dalam pejabat konsul dan membakar premis itu. "Duta AS ke Libya, Christopher Stevens bersama tiga kakitangan dilaporkan turut terkorban manakala dua lagi cedera dalam serangan roket yang disasarkan ke bangunan tersebut," kata Wanis al-Sharef. Beberapa jam sebelum insiden itu, ratusan penunjuk perasaan ultrakonservatif berarak menuju ke Kedutaan AS di Kaherah dan berhimpun di luar bangunan tersebut sambil melaungkan slogan mengutuk tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menghasilkan filem terbabit. Bagaimanapun, demontrasi itu juga bertukar menjadi ganas selepas puluhan penunjuk perasaan bertindak luar kawalan dengan memanjat tembok di luar bangunan kedutaan tersebut dan menurunkan bendera kebangsaan AS. Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa memaklumkan tiada tangkapan dibuat kerana protes tersebut dilakukan secara aman dan kumpulan itu dilaporkan bersurai menjelang tengah malam tadi. Difahamkan, treler filem selama 14 minit berjudul Innocence of Muslims dihasilkan oleh pengarah anti-Islam, Sam Bacile, 52, menerima kecaman banyak pihak terutamanya orang Islam selepas ia dimuat naik ke dalam laman Youtube. Wall Street Journal melaporkan Bacile turut menerima bantuan berjumlah AS$5 juta (RM15 juta) daripada kira-kira 100 bangsa Yahudi untuk membuat filem yang sengaja memburuk-burukkan sifat Nabi Muhammad SAW. Penerbitan sebanyak 12 karikatur Nabi Muhammad SAW dalam sebuah akhbar di Denmark pada 2005 turut mencetuskan protes di kebanyakan negara Islam. |
Posted: 11 Sep 2012 09:35 PM PDT Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional mempunyai persamaan pada perkara-perkara pokok kenegaraan. Perbezaan yang wujud adalah mengenai pendekatan prinsip pemerintahan dan soal demokrasi. Secara ringkasnya "Ada lima yang sama dan ada lima yang berbeza di antara PR dan BN." Lima Persamaan Pokok Lima persamaan yang wujud adalah dimana kedua-dua gagasan politik ini sama pendirian di dalam tiang-tiang kenegaraan iaitu: Perlembagaan Persekutuan menjadi teras demokrasi; Institusi Raja-raja Melayu sebagai Ketua Negara; Islam sebagai agama rasmi; Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan; dan Kedudukan Istimewa orang-orang Melayu dan penduduk bumiputera. Rakyat harus sedar bahawa kelima-lima tiang-tiang ini terpelihara dan tidak berubah tidak kira siapa yang memerintah di Putrajaya. Oleh demikian, tidak perlu lagi mana-mana pihak cuba menimbulkan sengketa melalui media, ceramah atau tulisan yang mahu melagakan kedua-dua gagasan politik ini mengenai lima perkara pokok yang menjadi persamaan. Malah tumpuan sebarang perbincangan atau perdebatan hendaklah berkisar kepada lima perbezaan yang memisahkan Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional. Lima Perbezaan Dasar Justeru itu, perbezaan yang wujud di antara PR dan BN adalah mengenai prinsip dan pendekatan pemerintahan. Perbezaan utama adalah prinsip pemerintahan Negara atau mengenai dimana letaknya 'kuasa memerintah' – iaitu samada kuasa di tangan rakyat atau kuasa di tangan Elit – di dalam bentuk Demokrasi atau Otokrasi. Lima perbezaan prinsip dan pendekatan pemerintahan itu atau '5P'- adalah mengenai Pentadbiran pro-Rakyat; peranan Parlimen; proses Pilihanraya; isu Perkauman dan halatuju Pembangunan Ekonomi. Dengan melihat setiap satu unsur-unsur dengan teliti akan memberikan rakyat peluang untuk menilai dan memilih apakah arah tuju dan rupa bentuk aspirasi masa depan Negara yang dimahukan. Tumpuan Perbincangan Nasional Perbincangan Nasional atau 'National Discourse' hendaklah mencari jalan terbaik untuk menjadikan negara kita sebuah negara membangun lagi berdaya-saing dalam dunia tanpa sempadan. Negara semakin merosot di dalam prestasi tangga daya-saing, aliran wang haram, penarikan pelaburan asing, kualiti pendidikan, jurang pendapatan melebar dan peningkatan kos sara hidup. Tumpuan perbincangan nasional semestinya berkisar kepada lima perbezaan pokok diantara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional dan tidak dikalihkan pandangan kepada lima persamaan yang tidak perlu lagi didebatkan. Sekiranya mahu ada perdebatan diantara kedua-dua pemimpin ia hendaklah menjawab mengapa wujudnya lima perbezaaan pokok tadi. Mengapa Pentadbiran negara pro-elit dan bukan pro-rakyat sehingga rasuah dan ketirisan ekonomi sebanyak RM1 trillion dibenarkan mengalir kepada golongan elit selama ini – atau apabila perundangan gagal melindungi hak rakyat seperti di dalam kes-kes rogol bawah umur – jentera dan agensi kerajaan digunakan untuk kepentigan elit dan menindas rakyat dengan mudah – salah-guna statistik indeks jenayah yang tidak berpijak ke bumi nyata – tiada ketelusan di dalam pembelian aset negara seperti kapal selam – tiada kawal-selia mengenai projek-projek inftrastruktur yang tinngi harganya seperti MRT yang pada awalnya dikatakan hanya berharga RM36 billion sudah pun dijangkakan akan melebihi RM100 billion sehinggakan Dewan Perniagaan Melayu mendakwa tiada satu pun syarikat ahli bumiputera diberikan kerja-kerja MRT – atau pendek kata kenapa orang-orang yang sama mendapat keuntungan daripada pentadbiran kerajaan sahaja ? Mengapa Parlimen tidak diberi hak mewakili rakyat dengan prinsip demokrasi pemisahan kuasa (separation of powers) yang memberikan kuasa memantau kementerian-kementerian dan aspek utama pentadbiran termasuk meletakkan Petronas dibawah kawal-selia Parlimen serta diberi hak merafitikasikan semua perjanjian antarabangsa seperti MAFTA yang ada kesan terhadap industri yang merbahaya seperti Lynas dan RAGM di Raub, perjanjian penyerahan Pulau Batu Putih dan Tanah KTM Tanjung Pagar ke Singapura atau perjanjian penyerahan Blok L dan M yang kaya minyak kepada Brunei? Mengapa proses Pilihanraya tidak telus lagi adil tanpa manipulasi dimana daftar pemilih bersih – wujudnya media bebas – menetapkan kerusi parlimen agar satu-satu kerusi tidak ada perbezaan jumlah pengundi melebihi 15% – waktu berkempen yang secukupnya – ada kerajaan penjaga (caretaker government) sewaktu kempen agar tiada salah-guna jentera kerajaan – kegemaran bermain nombor '11' untuk memlih tarikh pilihanraya secara serang hendap – mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan agar kota seperti Kuala Lumpur dapat memilih Dato Bandar mereka sendiri? Mengapa isu Perkauman dan agama menjadi pemecah-belah dan senjata diskriminasi perpaduan rakyat termasuk digunakan sebagai alat hasutan untuk kepentingan golongan Elit untuk kekalkan kuasa – kerana bukankah kita semua lahir daripada Nabi Adam dan Hawa di dalam keluarga besar kemanusian – dimana musuh sebenar insan adalah syaitan yang datang dalam berbagai rupa bentuk dengan menghasut dengan berbagai hujah indah yang tidak akan dapat digunakan oleh manusia sebagai alasan menyalahkan syaitan kerana berdosa di akhirat kelak apakan lagi ketika ini sudah ada yang mengaku jadi 'syaitan yang dikenali' (devil you know) telah mewajibkan kita perangi serta menjauhinya? Mengapa Pembangunan Ekonomi menggunakan dasar-dasar pengherotan pasaran dan pemusatan kuasa ekonomi kepada beberapa individu dibenarkan sehingga – tangga gaji rakyat membeku manakala kos sara hidup meningkat – harga kereta dan rumah tinggi – kos pendidikan yang tinggi memaksa rakyat berhutang besar – harga bekalan letrik, bekalan air dan tol lebuhraya hanya menguntungkan yang Elit – penswastaan berat sebelah yang merugikan rakyat dengan 'bailout' besar-besaran seperti MAS, Indah Water, Star dan LRT – pemberian syarikat strategik seperti Esso yang kini bernama Petron daripada dibeli LTAT tetapi diberikan kepada syarikat arak Filipina bernama San Miguel milik anak pemimpin – atau pendek kata kenapa yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin dengan rancangan kerajaan untuk melaksanakan GST atau cukai barang dan perkhidmatan – manakala rakyat terpaksa dibebankan dengan hutang negara yang berganda dua kali dalam tempuh tiga tahun ini kepada RM553 billion atau 53% KDNK yang bakal bangkrapkan negara? Jika ditambah dengan hutang luar jangka yang dijamin kerajaan (contingent liabilities) hutang melonjak naik kepada 65 peratus daripada KDNK! Oleh itu apabila rakyat mendengar, membaca atau melihat sesuatu berita, hujah atau ceramah – adalah menjadi tanggung-jawab untuk menilaikannya dengan kerangka 'Lima yang Sama dan Lima yang Beza di antara PR dan BN' – untuk elak terpedaya dengan bisikan syaitan dan juga agar rakyat dapat membuat pilihan terbaik demi masa depan anak-anak kita – Demokrasi atau Otokrasi? |
Mursyidul Am PAS : Kefahaman Bukan Alasan Tangguh Hudud Posted: 11 Sep 2012 09:18 PM PDT Sukacita saya merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian (23 & 24 Ogos 2012) yang membicarakan persoalan hudud, terutamanya apa yang dibangkit oleh seorang ahli parlimen PAS dan seorang lagi mantan mufti. Bagi saya tidak ada asas hukum dan keperluan atas dasar logik untuk melengah-lengah pelaksanaan kerana hudud adalah sebahagian daripada perundangan syariah yang diwajibkan dalam Islam. Ini kerana tidak ada hukum atau undang-undang di dunia ini, sama ada di bawah sistem demokrasi mahu pun komunis yang menunggu rakyat faham dan setuju dulu, baru dilaksanakan. Atas kerana itu, apa sahaja undang-undang di Malaysia, ia dibuat dan dilaksanakan tanpa menunggu semua pihak faham atau setuju. Termasuklah pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sendiri pun yang menguatkuasakan pembentukan negara Israel di bumi Palestine yang ditentang hebat oleh orang Palestine sendiri. Hatta Presiden Amerika, Barrack Obama sendiri turut bersetuju dengan perundangan 'kahwin sejenis' meskipun majoriti masyarakat dunia menolaknya. Secara faktanya, persoalan sesuatu hukum boleh dilaksana setelah ada kefahaman dan persetujuan semua pihak, ia sesuatu yang tidak tepat dalam kaedah perundangan yang ingin mengawal dan mendidik masyarakat ke arah kebaikan. Tambahan lagi, soal hukum Islam (hudud) bukannya pilihan untuk menusia menolak atau menerima. Tugas pihak berkuasa atas nama Islam adalah kewajipan dan tanggungjawab. Jadi keperluan kepada suasana kondusif bukanlah penghalang ke arah pelaksanaan hukum Allah. Atas dasar ini, pada masa Nabi Muhammad SAW sendiri umat Islam tidak mempersoalkan kewajaran perintah (hukum) Allah SWT. Apa yang utama membuktikan ketaatan dan keimanan yang tidak berbelah bahagi. Bukan sepertimana sesetengah pihak sekarang ini, ada yang sanggup rosak akidahnya atas dasar menolak mentah-mentah hudud atau mana-mana perintah Allah SWT. Tidak kurang pula berdolak dalih dan beralasan kononnya suasana belum kondusif untuk memakai hukum Allah SWT. Tidak terkecuali juga, masih ada pihak yang bersimpati kepada si-jahil, maka isu hukum hudud ini perlu dibincangkan terlebih dulu. Sampai bila? Lepas bincang, bincang dan bincang, namun si-jahil tetap beralasan. Pengalaman Negeri Kelantan dalam usaha melaksana hukum hudud ini, sebenarnya telah melalui proses memperkenal, membincang dan meluluskannya secara masak. Usia enakmen kanun jenayah syariah (termasuk hudud) kini akan genap 19 tahun pada November ini. Sejarah penggubalannya cukup matang kerana ia merupakan sumbangan cendikiawan perundangan Islam Almarhum Prof Ahmad Ibrahim, Almarhum Prof Mahmod Saedon dan Ketua Hakim Syarie Kelantan sekarang, Dato' Daud Muhammad. Selain ia turut dikongsi dengan pakar-pakar perundangan bidang syarie dan jenayah sivil. Malah tidak terkecuali poses menerima maklum balas dan perbincangan dengan pelbagai pihak, termasuk badan NGO turut dibuat di Kota Bharu dan di Kuala Lumpur. Turut serta adalah Tengku Razaleigh Hamzah selaku presiden parti Semangat 46 ketika itu telah juga menganjurkan perbincangan terbuka sebagai melebar kefahaman dan tanda sokongan serta persetujuan atas usaha Negeri Kelantan. Justeru pada persidangan dewan negeri, semua ahli dewan termasuk daripada Umno turut menyokong. Namun selepas itu, permohonan ke arah pelaksanaannya telah ditolak oleh Kerajaan Pusat. Kini berbangkit isunya, pelaksanaannya masih tertangguh meskipun telah diluluskan sejak November 1993 lagi. Bagi Kelantan, ia tertangguh bukan kerana usaha dan keperluannya masih tidak memenuhi suasana yang kondusif. Sebaliknya ia tertangguh disebabkan halangan Kerajaan Pusat, termasuk 'amaran' menerusi satu surat rasmi perdana menteri ketika itu yang masih tidak ditarik balik. Justeru persoalan yang ada di depan umat Islam hari ini, adakah ingin terus meraikan suara bangkangan seumpama suara daripada sesetengah pemimpin bukan Islam? Ataukah kita ingin terus meraikan pihak si-jahil yang sentiasa beralasan atas kefahamannya yang tidak bersandarkan nilai-nilai keimanan? Sampai bilakah segala alasan tanpa keimanan dan hujah akal sentiasa dijadikan alasan untuk menidakkan penerimaaan dan pelaksanaan hukum Allah SWT ini? Apa yang pasti, hukum Allah SWT tetap serasi dengan hukum alam dan makhluk ciptaan-Nya. Kalaulah menunggu alunan ombak reda, sampai bila nelayan akan dapat ke laut? Ketika laut berombak itulah, nelayan boleh meluncur perahunya ke laut bagi menangkap ikan. Oleh : Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan