Ahad, 9 September 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Gara-gara BerSMS, Pelajar 15 Tahun Dirogol Bergilir-gilir

Posted: 08 Sep 2012 11:51 PM PDT

Tapah - Perkenalan singkat melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang baru menjangkau tiga hari mengundang padah buat seorang calon Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) di salah sebuah sekolah di Bidor apabila dia menjadi mangsa rogol secara bergilir-gilir tiga pemuda.

Gambar: Som Sak menunjukkan gambar dua lelaki yang dipercayai boleh membantu kes rogol melibatkan seorang pelajar tingkatan tiga, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa berusia 15 tahun itu baru berkenalan dengan salah seorang suspek dan diajak keluar untuk beraya di rumah rakan suspek di sekitar Tapah sebelum makan malam bersama.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak a/l Din Keliaw berkata, setelah selesai makan, suspek pertama tidak membawa mangsa pulang sebaliknya memberitahu mangsa, dia mahu mengambil dua rakannya.

"Kereta yang dipandu suspek kepunyaan bapa saudaranya dan mereka menuju ke rumah milik salah seorang suspek di Kampung Muhibbah, Batu 33, Tapah.

"Mangsa dibawa masuk ke dalam rumah sebelum dirogol oleh tiga orang suspek bergilir-gilir dan pihak kami juga percaya, perbuatan itu dilakukan dari lewat malam sehingga awal pagi," kata dalamsidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah, Asisten Superitenden Md Nasri Fadzir

Tambahnya, ketika suspek pertama cuba mengulangi perbuatannya sekali lagi terhadap pelajar terbabit, mangsa berjaya mengunci pintu bilik sebelum melarikan diri daripada rumah tersebut.

"Ketika mangsa cuba melarikan diri, mangsa telah membuat panggilan 999 dan meminta bantuan daripada pihak polis.

"Mangsa berjaya diselamatkan sepasukan polis daripada IPD Tapah dan dibawa ke balai polis sebelum dihantar ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan pakar di sana dan satu laporan polis dibuat.

"Mangsa juga dapat mengecam dua daripada tiga suspek iaitu Mohd Shahril Kamaruddin , 23 daripada Kampung Rebai, Jalan Pahang, Tapah, dan Musa Shaharum, 38, Kampung Bermin, Jalan Pahang, Tapah dan pihak kami sedang dikesan suspek bagi membantu siasatan.

"Kami juga sedang mengesan seorang lagi suspek yang hanya dikenali sebagai 'Mok' dan dipercayai terlibat dalam kes ini bagi membantu siasatan," katanya.

Suspek yang dikenali sebagai Musa bekerja sebagai mekanik di salah sebuah bengkel di sini, mempunyai isteri dan anak turut mempunyai dua rekod jenayah iaitu pecah rumah dan curi kenderaan manakala Mohd Shahril masih dalam siasatan pihaknya.

"Pihak kami sedang giat mencari ketiga-tiga suspek yang dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu dan menyedari mangsa membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat kejadian jenayah serta lain-lain maklumat boleh berhubung terus di hotline IPD Tapah 05-4015222 atau SMS Rakan Cops 32728 ataupun balai-balai polis berdekatan," katanya. -SH

Ulasan GB

Signal awal sudah ada, tetapi apakah Kementerian Pelajaran membuka mata terhadap cadangan mereka untuk membenarkan pelajar sekolah membawa telefon bimbit ke sekolah?



PBT Diselar, Turunkan Bendera PAS Biarkan Bendera BN

Posted: 08 Sep 2012 09:40 PM PDT


Seremban – Pas sifatkan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) menurunkan bendera parti itu yang dipasang sempena Majlis Rumah Terbuka Pas Negeri Sembilan, di Dataran Senawang, dekat sini sebagai tidak adil.

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, sekiranya pemasangan bendera parti di kawasan tersebut merupakan satu kesalahan, tindakan sama juga perlu dilakukan terhadap bendera Barisan Nasional (BN) di situ.

"Jika hari biasa memang kita tidak pasang bendera Pas di kawasan terbuka seperti ini. Tetapi, kita pasang kerana kita anjurkan majlis rumah terbuka.

"Kita tiada masalah jika pihak berkuasa menjalankan tugas, tapi menjadi persoalan mengapa bendera BN dipasang di hampir keseluruhan pokok palma di Dataran Senawang tidak diturunkan," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mohd Taufek yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi berkata, Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sewajarnya bertindak secara profesional dalam menjalankan undang-undang berhubung pemasangan bendera parti.

"Saya juga musykil kerana kawasan Dataran Senawang yang dimenangi pakatan pembangkang tidak dibenarkan memasang bendera parti, sedangkan BN diberi ruang sebebasnya di sini. Malah bendera BN juga sudah berbulan-bulan dibiarkan tergantung tanpa tindakan pihak berkuasa," katanya.

Semalam, kira-kira 40 bendera Pas yang dipasang di sekitar Dataran Senawang sehari sebelum majlis, diturunkan penguat kuasa MPS kira-kira 9.30 pagi. -SH

UMNO Tidak Akan Menang Dengan Kejahatan - MSO

Posted: 08 Sep 2012 07:22 PM PDT

Berbagai-bagai kejadian buruk dilaporkan berlaku dalam dunia politik negara kita ke belakangan ini. Kejadian-kejadian ini seperti satu strategi pula oleh pihak tertentu untuk mendapatkan kuasa.

Walaupun perbuatan jahat dan keji itu dilarang agama tetapi ia tidak dipedulikan. Cara mereka mengolahkan kejahatan ini seakan mereka sudah tidak mempunyai adat dan nilai-nilai kemanusiaan beragama lagi yang mementingkan soal hormat menghormati di antara satu sama lain.

Apakah kerana keadaan begitu terdesak maka cara tidak halal itu digunakan?

Barang kali tidak disenangi kalau dikatakan yang acap melakukan kejahatan ini adalah di pihak parti kerajaan sendiri. Maksudnya parti Umno dan sekutunya dalam BN. Sesuatu yang menghairankan kenapa sampai begitu sekali. Tidakkah parti kerajaan mempunyai berbagai kemudahan untuk membantu mereka mengekalkan kuasa. Jadi kejahatan dan kekejaman langsung dari mereka tidak diperlukan lagi dan jika dilakukan juga memburukkan parti pemerintah sendiri. Kejahatan dan kekejaman menjatuhkan marudah bukannya menaikkan martabat parti itu sebagai parti pemerintah.

Parti kerajaan ada tentera, ada polis hatta Rela, yang menjaga keselamatan parti itu. Walaupun tugas pasukan keselamatan ini untuk umum tetapi dalam tindak tanduk pasukan-pasukan keselamatan ini mereka seolah-olah bekerja untuk parti pemerintahan. Apakah tidak cukup dengan polis dan tentera maka Umno terpaksa menggunakan samseng?

Kejadian-kejadian buruk dan keji yang dilaporkan setiap hari tidak dapat dipisahkan dari perbuatan parti pemerintah UBN. Penglibatan ini tidak boleh disembunyikan lagi. UBN khasnya Umno menjelama dalam pelbagai rupa untuk melakukan pengkhinatan-pengkhianatan itu.

Dalam masa terdekat ini dua kejadian yang sangat keji dan tidak beradat. Satu kejadian menyerang bas dua tingkat PKR di Kelantan dan satu lagi menyerang masjid di kampung Pumpong Kedah. Ini adalah kesenimbungan kejahatan yang dilakukan ke atas pembangkang sejak zaman berzaman. Sebelum ini bermacam-macam kejahatan telah berlaku dan dilaporkan.

Makin hari nampaknya makin banyak dan kerap kejahatan dengan menyerang pihak Pakatan Rakyat. Apakah UBN sudah benar-benar terdesak sehingga hilang akal meninggalkan politik secara sihat dan berfikiran terbuka dan diambilnya politik mafia?

Di sini saya hendak menarik perharian para pemimpin UBN berhubung siri-siri kejahatan yang mereka cita dan lakukan dengan bersembunyi di sebalik puak-puak atau individu tertentu. Bahawa kejahatan tidak pernah memberi kemenangan kepada sesiapa atau mana-mana puak sekali pun. Atas apa juga tindakan jahat, kejahatan tidak akan disokong sebaliknya akan dikutuk.

Apakah Umno fikir dengan melakukan kejahatan, ugutan, tekanan itu mereka akan menang? Silap kalau itulah anggapan dan kepecayaan yang ada kepada Umno. Saya ambil contoh yang berlaku di hadapan mata saya sendiri bagaimana kejahatan dan kekejaman tidak membantu memenangkan Umno. Politik jahat tidak pernah menjanjikan kemenangan.

Di Kelantan Umno berlaku sadis dan kejam ke atas orang Pas sejak tahun 60-an lagi. Apa yang tidak dilakukan oleh Umno menerusi pemuda tahan lasak atau kumpulan samseng yang diupahnya terhadap ahli dan penyokong Pas. Apa yang dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin semuanya dilakukan oleh UMNO di Kelantan. Ugut, tangkap, penjara pemimpin Pas, pukul, tampar, sepak, teranjang dan segala macam dilakukan. Lebih dahsyat dari itu ada pemimpion Pas dibunuh. Ini menggambarkan akan kebobrokan politik negara ini.

Permis parti Pas dirobohkan dan dibakar. Orang Umno bertindak lebih kejam dari tentera Jepun yang menakluk Kelantan tahun 1942 dulu. Tetapi apakah hasil dari kejahatan dan kesadisan itu. Umno tidak menang rakyat tidak pernah takut dengan kejahatan sebalik kerja-kerja jahat itu dimurkai rakyat. Rakyat membalas kejahatan itu dengan tidak memangkah Umno. Kekalahan dan kegagalan Umno untuk menguasai Kelantan sejak 22 tahun lampau adalah disebabkan Umno mengamalkan politik jahat dan kejam.

Hari ini kejahatan yang berlaku dan dilakukan di hampir seluruh negara oleh Umno menerusi berbagai agensi samseng itu hampir menyamai kejahatan dilakukan di Kelantan dulu. Nampaknya kejahatan ini menjadi permainan dan senjata utama Umno dalam mempertahankan kuasa. Ingatalah dengan menoleh kepada apa yang berlaku di Kelantan Umno sepatutnya insaf; bahawa kejahatan tidak akan membawa kemenangan.

UBN harus kembali kepada politik secara sihat. Politik yang menyenangkan jiwa rakyat. Betapa pun Umno menabur wang dan berjasa kepada rakyat tetapi dalam masa sama kejam terhadap lawan dilakukan, rakyat akan marah dan tidak akan bersama Umno. Sebagai parti unggul menjadi kerajaan Umno sepatutnya mempelopori politik harmonis dan profesional bukannya menyuburkan bibit-bibit kejahatan.

Hari ini dunia semakin maju dan generasi semakin cerdik dan bebas berfikir dan memikir. Apa yang dicari oleh rakyat dan ana-anak muda kini ialah sesuatu yang logik pada akal mereka. Mereka mahukan kepada fakta di dalam politik bukan retorik. Kejahatan sama sekali mereka akan tolak. Kejahatan fizikal tidak pernah ada dalam minda politik moden. Kejahatan fizikal hanya akan laku sekiranya negara ini masih belum tamadun.

Makanya kalau Umno ingin mengekalkan kuasa serta dihormati rakyat jelata mereka harus hentikan politik jahat menggunakan fizikal yang merugikan semua pihak dan menjatuhkan martabat negara. Kejadian serang masjid, serang bas, serang rumah terbuka ataupun melemparkan kata-kata keji dan perbuatan jahat kencing gambar pemimpin, hendaklah dihentikan segera.

Ingin ditegaskan bahawa kejahatan tidak akan menjamin dan membawa kemenangan melainkan ianya dibenci sampai ke dalam hati. -msomelayu

Polis Dibayar Gaji Oleh Rakyat, Bukannya Umno Dan BN

Posted: 08 Sep 2012 04:46 PM PDT

Warga Aman beri masa 48 jam untuk polis tangkap mereka yang kencing gambar pemimpin Pakatan

Warga Aman hari ini memberi amaran kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) agar mengambil tindakan terhadap mereka yang bertindak kencing gambar menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam masa 48 jam untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab, atau mereka akan turun ke jalan raya.

Pengerusinya, Raja Ratnam Arumugam berkata, polis seharusnya adil dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan perkara sedemikian seperti yang dilakukan terhadap mereka yang menunjuk punggung kepada gambar perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Polis seharusnya bekerja untuk rakyat, bukan untuk Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Kerajaan boleh bertukar, tapi polis tidak boleh ditukar,"
katanya lagi.

Menurut Raja Ratnam, mereka tidak menyokong tindakan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar yang menunjukkan punggung dan memijak gambar perdana menteri, tetapi menuntut agar tindakan sama kepada mereka yang memijak gambar pemimpin pembangkang.

"Perdana menteri juga telah menggunakan bahasa kesat seperti haram jadah, apakah ini budi bahasa seorang pemimpin tertinggi negara?

"Mengapakah pihak polis tidak menangkap Najib sedangkan dia juga melaungkan kata-kata berunsur kesat?"
kata Raja Ratnam lagi.

Sementara itu, Senator S. Ratmakrishnan berkata, mereka sudah turun ke Bukit Aman sebulan yang lalu untuk membuat aduan terhadap kes ini, tetapi tidak ada tindakan susulan dibuat.

"Polis dibayar gaji oleh rakyat, bukannya Umno dan BN.

"Jadi kami menuntut agar polis berlaku adil sebelum rakyat hilang kepercayaan dengan polis," kata Ratmakrishnan dalam sidang media hari ini.

Raja Ratnam mengetuai Warga Aman menghantar memorandum tersebut kepada ASP Mohd Fouzi Halim, yang mewakili Pusat Kawalan Malaysia (MCC) Bukit Aman.

Pihak polis baru-baru ini telah menubuhkan skuad khas untuk memburu mereka yang menunjuk punggung kepada gambar perdana menteri semasa himpunan Janji Demokrasi pada malam ambang merdeka yang lalu. -TMI

Ulasan GB

Itulah hukum kebenaran dan keadilan.

Apabila polis telah secara terang-terangan dan keterlaluan bersikap berpihak di dalam menjalankan tugas, maka rakyat dengan sendirinya akan bangun memperingatkan mereka.

Jika masih tiada juga perubahan, MAKA ia petanda satu kehancuran. Rakyat akan bangun semula menurunkan kerajaan yang sedia ada supaya selepas itu polis akan terbeliak matanya.

"Tiada yang lebih berkuasa selain dari rakyat." - meminjam kata-kata Presiden Mesir yang baru Dr.Mursi sebaik beliau menang di dalam pilihanraya presiden Mesir baru-baru ini.

[PANAS] Adun Kuala Perlis Cedera Ditumbuk Lelaki Kerana Isu Pasar

Posted: 08 Sep 2012 08:34 AM PDT

Kangar - Gara-gara tidak puas hati dengan isu pasar, seorang lelaki yang ada rekod ditahan polis, menumbuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis, Mat Hassan (gambar) di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, wakil rakyat itu bersama isterinya ketika kejadian berada di Kampung Seberang Tok Pi untuk menziarahi kematian.

Katanya, semasa beliau mahu pulang, datang seorang lelaki berusia 36 tahun, memaklumkan peniaga-peniaga pasar di Kuala Perlis ada mengadu kepadanya bahawa mengenai jumlah pelanggan terjejas semenjak Pasar Burma dibuka.

Menurutnya, Mat Hassan kemudiannya memberitahu lelaki berkenaan agar memaklumkan peniaga-peniaga pasar terbabit supaya datang berbincang mengenai masalah itu dengannya.

Walaupun Adun itu meminta lelaki berkenaan memaklumkan perkara tersebut kepada para peniaga, lelaki terbabit masih bercakap mengenai masalah tersebut, tambah beliau.

"Semasa pengadu ingin bergerak pulang suspek masih bising-bising dan tiba-tiba meluru ke arah pengadu dan melepaskan satu tumbukan di muka sehingga menyebabkan pengadu mengalami luka dan sakit di bawah mata pipi kirinya," kata beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.Bagaimanapun katanya, suspek buat masa ini tidak ditahan reman tetapi diambil keterangan untuk siasatan.

Difahamkan, kematian yang diziarahi pengadu dan isteri merupakan emak saudara kepada suspek yang turut tinggal di kampung yang sama.

Sementara itu, Mat Hassan ketika dihubungi berkata, beliau tidak mahu membesar-besarkan kes tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut. -SH

1 Malaysia 2 Undang-undang

Posted: 08 Sep 2012 06:22 AM PDT

Seremban: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan negara mengamalkan dua undang-undang yang berbeza ketikamengulas tindakan pantas pihak berkuasa ke atas individu-individu yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Malaysia mengamalkan konsep '1 Malaysia 2 undang-undang'," katanya pada majlis ceramah 'Jelajah Merdeka Rakyat' di Rantau dekat sini malam tadi.

Tegas beliau, "saya tidak setuju tindakan anak muda yang memijak gambar Najib. Tapi kalau orang lain kencing gambar Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, tak apa? Tunjuk punggung kepada Pengerusi Bersih, Dato' S Ambiga tak apa?

"Baling batu di ceramah saya dan Nurul Izzah (Ahli Parlimen Lembah Pantai) di Lembah Pantai. Pecah cermin kereta saya….pasal apa?

Apa jenis manusia macam ini? Kamu ingat kamu orang besar hukum lain?," soal Ketua Umum PKR itu.

"Hukum ini tidak kenal pangkat. Ini 1 Malaysia! 1 Malaysia apa? Satu undang-undang untuk orang kaya, satu undang-undang untuk orang miskin.

"Satu undang-undang untuk menteri Umno, rasuah pun tidak apa, tutup semua. Satu undang-undang untuk orang dibawah. Polis ambil 100 ringgit, 'charge',' katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata sepatutnya undang-undang ini tidak kenal keturunan dan pangkat.

"Seperti saya kata rasuah 200 ringgit polis, tangkap! Rasuah setengah bilion ringgit kapal selam, lepas!

"Orang kecil dan miskin namanya 'corruption' (rasuah). Orang besar curi namanya 'komisyen'. Komisyen halal. 'Corruption' haram.

"Pemimpin yang tidak sanggup laksanakan ilmu 'rule of law' tetapi ikut 'law of the jungle' mesti diturunkan ke bawah dan ditumbangkan", kata Anwar.

Anwar juga berkata perangai pemimpin Umno ibarat 'baling batu sembunyi tangan' dan seterusnya rakaman video perbahasan di parlimen ditayangkan kepada orang ramai.

Beliau menegaskan, "mereka menfitnah saya memiliki RM3 bilion, ketika saya berbahas di parlimen ada di antara mereka menjerit tiga bilion!

Sebar fitnah

"Saya beri laluan kepada mereka untuk berbahas atas tuduhan itu, tetapi mereka tidak berani dan tidak mahu berbahas.

"Itulah cara mereka menyebarkan fitnah. Bila kita cabar dia bangun dan dia tidak berani bangun. Inilah satu contoh gambaran yang berlaku di parlimen.

Anwar turut menyentuh isu hutang negara apabila mendakwa Najib mewarisi hutang lebih daripada RM500 bilion dewasa ini.

"Ketika saya menjadi Menteri Kewangan dari tahun 1993 hingga 1997, negara tidak menambah hutang, kita hanya bayar hutang lama.

"1997 sampai sekarang kita berhutang. Rekod hutang negara paling banyak ialah di bawah Najib. Ada cerita isu ini di dalam Utusan Malaysia, tidak ada! Ada cerita di dalam TV3? Tidak ada! Ada cerita di dalam RTM? Tidak ada!," ujar Anwar.

Lebih seribu penyokong hadir di ceramah tersebut dan komposisi kaum yang hadir pada malam tadi adalah seimbang. -FMT

[BERGAMBAR] Bas Jelajah Merdeka Diserang Lagi, Kali Ini Di Jasin Melaka

Posted: 08 Sep 2012 04:07 AM PDT

Jasin: Selepas kejadian di Kelantan yang pelakunya masih bebas hingga kini, bas yang digunakan bagi program Jelajah Merdeka Rakyat sekali lagi disimbah cat di Kampung Kelubi di sini, hari ini.

Bas itu disimbah cat merah kira-kira jam 3.30 petang ketika dalam perjalanan menghadiri jamuan Aidilfitri di Kampung kelubi, Jasin kira-kira jam 3.30 petang – dilakukan pada siang hari secara terang-terangan.

Kejadian itu dilakukan kira-kira 30 samseng Umno yang turut menghalang laluan bas, selain menayangkan kain rentang yang penuh dengan kata-kata penghinaan kepada pemimpin KEADILAN.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin ketika dihubungi Malaysia Kini percaya perbuatan tidak bertamadun itu didalangi Pemuda Umno.

"Kami tahu kerana ada salah seorang ahli jawatankuasa Umno Jasin berada bersama mereka," katanya.

Minggu lalu, bas itu turut disimbah cat merah sekitar jam 4.20 pagi manakala cermin depan retak dilontar batu di Pasar Khadijah, Kelantan.

Sekalipun berlaku keganasan terhadap konvoi melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan parti peringkat pusat dan negeri, konvoi itu kemudian meneruskan perjalanan.

Mengikut jadual, mereka akan hadir Rumah Terbuka AidilFitri KEADILAN Melaka di Jalan Cempaka Off Taman Peringat Jaya, Melaka dan Rumah Terbuka keadilan PKR Tangga Batu pada jam 8 malam.

Konvoi kemudian akan bertolak ke Tanjong Minyak, Tangga Batu, Melaka untuk acara Ceramah Perdana di Batu 25, Kg Ramuan China Kechil, Lubok Cina, Melaka, antara jam 9 hingga 12 tengah malam.

Pada waktu sama, konvoi juga akan berada di Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Food Court Pearl Park, Pekan Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka. _KD

BAS jelajah Anwar disimbah cat lagi

Bas yang digunakan bagi program Jelajah Merdeka Rakyat anjuran PKR melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim disimbah cat lagi di Jasin, Melaka hari ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata, bas tersebut disimbah cat merah kira-kira jam 3.30 petang ketika dalam perjalanan menghadiri jamuan Aidilfitri di kawasan itu.

"Bas datang dalam jam 3.30 petang di Kampung Rim untuk hadiri program Aidilfitri. Tiba-tiba kami didatangi kira-kira 20 samseng BN yang halang laluan bas kami.

"Kami tahu itu BN kerana ada salah seorang ahli jawatankuasa Umno Jasin berada bersama mereka," dakwanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, beliau berada dalam bas itu bersama Anwar dan pemimpin PKR negeri ketika kejadian.

Menceritakan detik cemas itu, Shamsul memberitahu, insiden bermula apabila bas yang dinaiki mereka dihalang daripada melalui jalan di kampung tersebut, sehingga mendorong berlaku perbalahan antara petugas AMK dan kumpulan itu.

''Memang ada pergelutan antara skuad AMK dengan mereka. Tetapi akhirnya mereka beri laluan. Selain cat, mereka juga balik objek lain. Tapi saya tak pasti objek apa," kata Shamsul.

Anwar: Samseng makin berani & biadap

Sehubungan itu, Shamsul berkata, PKR Jasin akan membuat laporan polis terhadap kejadian tersebut selepas majlis jamuan Aidilfitri selesai, dijangka lewat petang ini.

''PKR Jasin akan membuat laporan polis selepas ini. Tetapi apa yang kita kesalkan ialah, pihak polis hanya tiba selepas setengah jam kejadian. Baru mereka datang," katanya lagi.

Kejadian ini merupakan kejadian kedua selepas Sabtu lalu, bas sama disimbah dengan cat merah di Kota Bharu, Kelantan kira-kira jam 4.20 pagi ketika bas tersebut diparkir di hadapan Pasar Siti Khadijah.

Sementara itu, Anwar Ibrahim di laman Facebooknya mengecam insiden itu.

''Minggu lepas di Kelantan, kali ini di Melaka. Tindakan samseng makin berani dan biadap!'' tulis Anwar.
-mk















Nurul Syuhada Letak Jawatan Pengacara Sepenuh Masa, Masih Kekal Separuh Masa

Posted: 08 Sep 2012 02:09 AM PDT

SShah Alam - Pengacara terkenal TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin, 28, yang menjadi bahan kontroversi berkaitan dengan kenyataan mengenai Bintulu minggu lalu, semalam menjelaskan dia masih berkhidmat sebagai pengacara sambilan stesen televisyen itu.

Dia meletakkan jawatan sepenuh masa TV3 semalam.

Nurul Syuhada berkata dia membuat keputusan untuk bersama TV3 hanya sebagai kakitangan separuh masa untuk mengacarakan rancangan Malaysia Hari Ini (MHI).

Peletakan jawatannya itu dikatakan berkait rapat dengan kontroversi yang melanda dirinya ketika mengendalikan siaran langsung sambutan Hari Kemerdekaan pada pagi 31 Ogos lalu.

Mengikut laporan media hari ini, Nurul Syuhada berkata, keputusan itu sudah dibuat sebulan lalu dan menegaskan ia tidak kaitan dengan isu Bintulu.

"Saya pasti ramai yang akan memberi persepsi peletakan jawatan saya ini berkaitan dengan kontroversi baru-baru ini, tetapi saya ingin tegaskan ia memang tidak berkaitan langsung dengan apa yang telah berlaku.

"Lagipun saya sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada pihak pengurusan sebulan yang lalu dan hari ini merupakan hari terakhir saya sebagai kakitangan sepenuh masa dengan TV3," katanya.

Menerusi laman Twitter hari ini, juara program realiti TV, Malaysian Top Host 2005 itu menerima pertanyaan daripada peminatnya yang keliru dengan isu peletakan jawatannya.

Nurul Syuhada bersama rakan pengacara Fedtri Yahya dan Ally Iskandar. - Foto ihsan Twitter Nurul Syuhada

Sehubungan itu katanya, "still with MHI, keep supporting (masih bersama MHI, teruskan sokongan)."

Jawapan Nurul Syuhada itu jelas mendapat reaksi gembira peminatnya.

Antaranya, Kim Hanna menulis, "salam kak Nurul Syuhada, tak sangka kak Nurul Syuhada sudah resign (letak jawatan)... tak best la, tak ada akak kat MHI nanti."

Seorang lagi peminatnya, Cik Honney pula menulis, "akak... betul ke akak nak berhenti... ala tak dapat tengok akak kat MHI lagi lepas ini."

Kemudian Ciput Ex5 menulis, "Nurul Syuhada tak mengacara MHI lagi ke? sedih."

Membalas jawapan Nurul Syuhada, Cik Honney menulis, "really? yeahhhh happy sangat... all the best kak."

Menurut anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu, selain mahu memberi lebih tumpuan kepada keluarga, dia juga bercadang untuk menyambung pengajian peringkat sarjana sama ada dalam bidang psikologi atau tamadun Islam.

Nurul Syuhada mengakhiri zaman bujangnya apabila mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya Julai tahun lalu dan berhasrat untuk menimang cahaya mata selepas enam tahun bergiat aktif dalam bidang kewartawanan dan pengacaraan.

Sebelum ini, Nurul Syuhada dan stesen TV3 meminta maaf berhubung kenyataan yang dibuat pengacara itu sewaktu siaran secara langsung di mana dia merujuk Bintulu sebagai kawasan daif.

Kenyataan dikeluarkan pada 1 September lalu di laman sosial Facebook yang didaftarkan atas nama Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin .

Permintaan maaf itu berbunyi, "to my fellow Malaysians brethren of Bintulu origin, to clarify, yesterday's (31 Ogos) statement of "daif" needs to be understood in the context that it was said i.e benefiting from the transformation programme. As an anak Jati Malaysia, I would never critisize my native soil or any of her great territories. To those who were offended, I apologise, to those who are attempting to sow hatred and fitnah, ALLAH almighty will be the judge of you."

Sementara itu, Unit Perhubungan Awam TV3 dalam kenyataannya menyatakan, isu itu timbul ekoran salah tafsir sesetengah pihak mengenai ulasan pengacara MHI itu.

"Bagi pihak TV3, kami ingin menerangkan bahawa terdapat salah tafsiran terhadap penyampaian oleh pengacara kami, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin ketika merujuk kepada pemilihan Bintulu sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia tahun ini semasa siaran lintas langsung Perarakan Hari Kemerdekaan ke-55 pada Jumaat lepas.

"Kami meminta maaf jika salah tafsir ini menyinggung mana-mana pihak. Nurul Syuhada dan TV3 tidak mempunyai sebarang niat untuk memburukkan bandar tersebut," jelasnya.

Ekoran kesilapan itu, laman Twitter milik Nurul Syuhada dibanjiri kenyataan daripada peminat-peminatnya yang rata-rata kecewa serta marah terhadap apa yang berlaku.

Peminat, Atifa Arissa menulis, "kak..kenapa cakap Bintulu daif?"

Azimah Zainal pula menulis, "kecewa dengan kenyataan pengacara TV3, Nurul Syuhada yang mengatakan Bintulu itu daerah daif. Apa yang awak maksudkan saudari?"

Nurul Syuhada membalas dengan menulis, " Ya Allah dik, akak tersasul tadi. Things happen. Maafkan kekhilafan saya hanya manusia biasa."

Pengacara itu mengaku kesilapannya yang tidak disengajakan itu, " terima kasih atas teguran. Saya mengaku kesilapan saya yang tidak disengajakan. Things happen during live show." -SH

Tiada ulasan: