Sabtu, 22 September 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Skandal Shafie-Zahida, MP Ampang Masih Tunggu Saman

Posted: 22 Sep 2012 12:31 AM PDT

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin menempelak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana sehingga kini tidak mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Shafie Apdal yang didakwa membiayai artis terkenal Zahida Rafik RM1.5 juta.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, SPRM perlu menyiasat perkara itu bagi memastikan Menteri dan artis tersebut tidak menggunakan wang rakyat untuk kegunaan peribadi.

"Kita masih menunggu hasil laporan tetapi malangnya tiada apa-apa yang dilakukan oleh SPRM dalam kes ini.

SPRM membisu kerana orang yang terlibat adalah Menteri di kalangan Umno BN," katanya ketika dihubungi Keadilan Daily.

Pada 18 April lalu, Zuraida mendedahkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu memberi hampir RM1.5 juta kepada Zahida dalam tempoh empat bulan.

Pendedahan itu dibuat susulan laporan polis oleh bekas pemandu Zahida, Noor Azman Azemi yang turut menyatakan secara terperinci semua transaksi bank sejak Oktober 2011 hingga Februari 2012.

Ekoran itu, Pada Jun lalu, Wanita KEADILAN membuat laporan menggesa SPRM menyiasat dari mana Shafie memperoleh RM1.5 juta untuk membiaya Zahida.

Mengulas lanjut Zuraida berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada SPRM dalam masa terdekat bagi mendesak suruhanjaya itu memaklumkan hasil siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida berkata, pihaknya tidak mendapat apa-apa maklum balas mengenai tindakan saman yang dibuat oleh Zahida dan Shafie ekoran pendedaha itu.

"Saya masih menunggu saman daripada mereka.

Setakat ini tiada apa-apa tindakan pun terhadap saya.

Saya bersedia kalau mereka nak ambil tindakan undang-undang," tegasnya.

Zahida melalui peguamnya pada 23 April lalu menuntut supaya Zuraida berhenti membuat kenyataan media berkenaan isu berkenaan dan menarik balik kenyataan terdahulu serta meminta maaf.

Jika gagal berbuat demikian dalam masa tujuh hari, Zuraida berdepan prosiding undang-undang.

Dari Seorang Penjual Kelapa Salai, Akhirnya Menjadi MB Selangor

Posted: 21 Sep 2012 11:04 PM PDT

Memandang dengan wajah yang sayu, anak itu tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rumah salai kelapa yang dibina bersama neneknya dari rentung dijilat api.

Pada hari itu, bukan sahaja salah satu punca pendapatan keluarganya hilang, malah dia harus mencari jalan melangsaikan upah yang perlu dibayar kepada beberapa orang perkerja.

Tertekan dengan kejadian itu, semangatnya tidak patah, malah dia mampu berdiri di hadapan keluarganya bagi menyatakan kesediaannya untuk bertanggungjawab atas kejadian tersebut, sedangkan ketika itu dia cuma berusia 12 tahun.

Akibatnya, anak itu kehilangan biasiswa persekolahan dan terpaksa membuat kerja sambilan dengan mengajar matematik kepada anak-anak seorang tauke Cina yang bersekolah di darjah tiga dan empat.

Akhirnya, hasil titik peluh anak kampung itu, beliau berjaya meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarganya.

Peristiwa kebakaran rumah salai itu memberi kesan sangat mendalam di hati kecil anak itu dan masih kekal dalam ingatanya.

Pada 1979, 21 Tahun selepas kejadian kebakaran rumah salai neneknya, anak kecil yang pernah menjual kelapa salai itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Permodalan Nasional Berhad.

Dua tahun kemudiannya, nama penjual kelapa salai itu menjadi sebutan masyarakat dan korporat antarabangsa.

Ini atas kejayaan mengetuai operasi 'dawn raid' di Bursa Saham London dengan 'membawa pulang' syarikat ladang kelapa sawit gergasi Malaysianized Guthrie (kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd).

Dua puluh tujuh tahun selepas kejayaan 'dawn raid', anak itu dinobatkan pula sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-14.

Demikian antara liku-liku kehidupan pernah ditempuhi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sempat dirakamkan beliau dalam buku sulongnya, 'Fearless: From Kampung Boy To CEO'.

Buku tersebut dilancarkan oleh isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Sunway Pyramid hari ini.

Selain menceritakan pengalaman beliau ketika meningkat dewasa, Abdul Khalid turut menyelitkan tips-tips berguna dalam mengejar impiannya untuk dikongsikan bersama masyarakat.

Antara pengajaran penting yang dikongsikan Khalid dalam buku setebal 76 halaman ini, beliau amat menitikberatkan sikap bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.

Selain isi kandungan yang padat dengan pengalaman perit dan lucu buku ini bertambah menarik kerana dipersembahkan dengan gaya penyampaian seolah-olah Abdul Khalid berkomunikasi secara intim dan mesra dengan pembaca.

Ketika ditemui semasa pelancaran, Abdul Khalid memberitahu, buku yang dihasilkannya ini merupakan perintis kepada penulisan bacaan yang lebih berat.

"Banyak kali rakan-rakan saya minta saya tulis buku pengalaman saya sebagai ahli korporat.

"Jadi saya hasilkan buku ini dahulu sebagai permulaan kepada penulisan yang lebih berat, lebih bersifat akademik," katanya kepada media selepas pelancaran buku tersebut.

Menurut Abdul Khalid, hasil jualan buku yang berharga RM25 senaskhah ini akan disumbangkan ke rumah-rumah kebajikan.

Buku ini sudah pun berada di pasaran dan boleh didapati di kedai-kedai terkemuka.





UM Izinkan 7 Calon Tak Layak Bertanding, Pro-M UM Buat Laporan Polis

Posted: 21 Sep 2012 08:03 PM PDT

Pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) kesal berikutan pentadbiran universiti itu menyalah guna kuasa dalam proses pencalonan Pilihan Raya Kampus (PRK).

Pengerusi Pro-Mahasiswa UM, Edikuop Lakip Sediyanto, berkata ia berikutan pentadbiran UM menerima pencalonan Pro-Aspirasi walaupun mereka tidak layak bertanding.

Bercadang mendapatkan injuksi mahkamah bagi membatal pencalonan itu, beliau ketika bercakap kepada Suara Keadilan, berkata, tujuh calon Pro-Aspirasi yang dicalonkan sudah memasuki pengajian tahun akhir.

"Mengikut Tatacara Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPP-UM), calon yang bertanding mestilah mempunyai baki sekurang-kurangnya setahun pengajian atau dua semester.

"MPP perlu dilantik selama setahun.

Calon Pro-Aspirasi akan tamat pengajian pada Jun 2013 manakala penggal MPP kali ini tamat pada September 2013.

Ini bermakna mereka berkhidmat tidak sampai setahun "Apabila calon tamat pengajian, ia akan memberi masalah kerana tiada siapa yang berkhidmat untuk mahasiswa," katanya selepas membuat laporan di balai polis Pantai, tengah hari ini.

Laporan itu dibuat bersama Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Pro-Mahasiswa Nasional dan Solidariti Mahasiswa Malayisa (SMM).

Kata Edikuop, Pro-Mahasiswa sebelum ini membuat bantahan kepada Jawatankuasa Bantahan dan Rayuan tetapi hanya satu diterima manakala enam bantahan lagi ditolak.

Katanya, jawatankuasa memberi alasan 'tafsiran' buku Tatacara Pemilihan MPP sudah berubah dan menerima pencalonan walaupun mahasiswa sudah memasuki tahun akhir pengajian.

"Jawatankuasa juga mengatakan mereka berhak menerima atau menolak sesuatu bantahan atas budi bicara.

"Tindakan jawatankuasa itu bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), Perkara 48 (4) yang menyatakan setiap MPP perlu dilantik selama setahun," katanya.

Pengasas Utama Pertubuhan Warisan Ketuanan Melayu Didakwa Membunuh

Posted: 21 Sep 2012 06:26 PM PDT

Pengasas Utama Pewaris Malaysia Dato' Seri Jaafar Shaari bersama Tan Sri Omardin di Majlis yang dianjurkan oleh Penawar Satu Malaysia
Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang peniaga air bulan lepas.

Datuk Seri Jaafar Shaari, 50, dan anaknya Ahmad Jiwari Jaafar, 23, secara bersama didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Azahari Sidek, 44, di Downtown The Mines, Seri Kembangan, Selangor, antara 3.40 pagi dan 5.30 pagi pada 13 Ogos lepas.

Jaafar dan Ahmad Jiwari yang juga ahli perniagaan didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Ab Rashid menawarkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Peguam Datuk Abd Halim Yahya yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon mahkamah agar wang jaminan dikurangkan kerana penjamin bagi Jaafar iaitu isterinya merupakan seorang pekerja kilang manakala penjamin bagi Ahmad Jiwari pula adalah ibu saudaranya.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Okt untuk tarikh sebutan. - Bernama




SIAPA DATUK SERI JAAFAR B SHAARI?



Datuk Seri Jaafar b Shaari @ Ayah Pak merupakan Pengasas Utama Pertubuhan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia, sebuah pertubuhan yang mesra-UMNO.

Beliau sebelum ini pernah meminta Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya berundur daripada arena politik dan memberi peluang kepada generasi muda dalam parti itu membuktikan kemampuan mereka.

Dengena keceluparannya mengungkapkan Nik Abdul Aziz sewajarnya meletakkan semua jawatan sama ada dalam parti atau sebagai Menteri Besar Kelantan kerana beliau sudah terlalu tua untuk terus berpolitik.

Sila baca:




Kini orang yang meminta Nik Aziz meletakkan jawatannya itu rupa-rupanya adalah suspek utama kes bunuh!

Kebenaran dan keadilan terserlah lagi: Ada pembunuh dalam parti itu!

[VIDEO] Puak Syiah Cuba Ambil Kesempatan Berarak Sama

Posted: 21 Sep 2012 04:57 PM PDT

Di dalam perarakan umat Islam membantah dan mengecam filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad saw, ada pula puak Syiah yang cuba mengambil kesempatan dan cuba membuat onar dengan membawa bendera tertera "Ya Husin".

Namun ada peserta Unit Amal yang perasan dan berlaku sedikit pergelutan bagi gpemuda Syiah itu daripada cuba untuk mengeruhkan keadaan dan menimbulkan kekecohan.

TAHNIAH UNIT AMAL



Isu Gambar Superimposed: Khalid Samad Menang Lagi Kes Ke Atas Adun Umno

Posted: 21 Sep 2012 07:24 AM PDT

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan Exco Kerajaan Negeri Perak dan juga ADUN Sungai Rapat, Perak, Hamidah Osman dengan kos bagi mengenepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam yang diberikan pada 1 Jun yang lalu.

Dalam keputusannya hari ini Mahkamah Rayuan yang dianggotai oleh Hakim Datuk Ramly Haji Ali, Datuk Zaharah Ibrahim dan Datuk Anantham Kasinather memutuskan bahawa mereka bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Mahkamah Sivil dan bukannya Mahkamah Syariah yang mempunyai bidangkuasa bagi mendengar kes tort.

Pada 1 Jun yang lalu Hakim Datuk Haji Zainal Azman telah menolak permohonan Hamidah bagi membatalkan saman Khalid Samad ke atas beliau atas tulisan yang mengandungi tuduhan fitnah ke atas Khalid Samad di blog Hamidah http://hamidahosman.blogspot.com/ pada atau sekitar Januari 2010.

Antara lain di dalam blognya, Hamidah menyiarkan gambar super imposed Khalid Samad sebagaimana di atas.

Dan beliau juga menulis antara lain "Golongan yang menyokong pengunaan ini terdiri daripada golongan Islam Liberal dan menariknya Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad menyokong kehendak Mubaligh Kristian mengantikan perkataan 'God' kepada didalam Bible kepada perkataan Allah. Kak Midah yakin kekesalan pasti bersarang jauh disudut hatinya dengan keputusan mahkamah ini."

Beliau juga menulis "Sekalung tahniah buat parti PAS kerana melalui pembesarnya iaitu Khalid Samad, isu penggunaan nama Allah ini tercetus dan menaikkan semangat pihak kafir untuk menjahanamkan iman umat Islam di negara ini."

Atas tulisan beliau di blog tersebut Khalid telah melalui peguamnya, Tetuan Mohamed Hanipa & Associates memfailkan writ saman ke atas Hamidah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kausa tindakan fitnah.

Pada pendengaran rayuan hari ini Khalid Samad diwakili oleh Cik Azhana binti Mohd Khairudin dari Tetuan Mohamed Hanipa & Associates manakala Hamidah diwakili oleh Datuk Hafarrizam Haron dari Tetuan Hafarizam Wan & Aishah Mubarak.

Dengan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut kes ini akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 dan 21 November 2012.




Laporan sebelum ini
klik untuk baca

Kawalan Udara Tak Berfungsi, Syarikat Anak Jamaluddin Jarjis Bertanggungjawab

Posted: 21 Sep 2012 05:05 AM PDT

Subang: Pusat kawalan udara di ibu negara tidak berfungsi minggu lalu ekoran kegagalan sistem radar di Pusat Kawalan Trafik Udara Subang, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata, fungsi radar dan radio tergendala selama dua jam menyebabkan semua penerbangan dibatalkan dan kawalan ruang udara diserahkan kepada negara jiran.

Beliau mendedahkan laporan interim Jabatan Penerbangan Awam (DCA) oleh kontraktor penyelenggaraan sistem pada 12 September, jam 2.50 pagi bagi membuktikan perkara itu.

Menurut Izzah, syarikat bertanggungjawab mengawalselia sistem terbabit adalah Advanced Air Traffic Systems Sdn Bhd (AAT) yang dimiliki anak bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Jamaluddin Jarjis.

"Pelbagai kenyataan media, permintaan penjelasan dan audit bebas terhadap sistem yang dibangun dan diselenggara SELEX Sistemi Integrati dan AAT dibuat.

"Namun Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tidak mengendahkan, malah memperkecil catatan sistem yang menelan belanja 26.05 juta Euro (RM128.4 juta)," katanya pada sidang media di hadapan DCA, di Subang hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Naib Presiden Keadilan, N Surendran dan Ketua Biro Keselamatan Keadilan, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab.

Justeru, beliau persoal bagaimana Kementerian Pengangkutan dan DCA boleh melulus dan membenarkan sistem tersebut beroperasi tanpa sokongan sistem interim dan lewah (redundancy).

Tegasnya, kegagalan sistem ini menimbulkan syak jutaan ringgit yang dibelanja dalam pembangunan sistem di KLIA2 mungkin mengalami nasib sama yang menjejaskan keselamatan orang ramai.

"Kita mesti pastikan semua projek berkaitan keselamatan dalam sektor penerbangan tidak dianugerah kepada syarikat tidak memiliki kemampuan teknikal, pada waktu ini dan masa hadapan," kata Izzah.

Tiada ulasan: