Khamis, 27 September 2012

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Penuntut Kolej Bawa Teman Lelaki ke Rumah Setiap Hujung Minggu Dicekup Khalwat

Posted: 26 Sep 2012 09:26 PM PDT


[SH] DUNGUN - Tindakan seorang penuntut kolej membawa pulang teman lelaki ke rumah sewa setiap hujung minggu sehingga mendatangkan syak wasangka dalam kalangan jiran tetangga sehingga perbuatan tidak bermoral itu berjaya dihidu pihak berkuasa.

Susulan itu, satu serbuan dilakukan penguat kuasa syariah kira-kira jam 10.45 malam Ahad lalu, berjaya menahan sepasang kekasih yang berada berdua-duaan di sebuah rumah flat, dekat sini.

Ketika ditahan, gadis berusia 21 tahun yang sedang menuntut di salah sebuah kolej swasta itu difahamkan hanya berseluar pendek dan memakai baju singlet tanpa pakaian dalam.

Ketika serbuan, pasangan itu mengaku mempunyai hubungan sebagai sepupu, namun setelah disoal siasat kedua-duanya tidak mempunyai hubungan muhrim.

Gadis berasal dari Bukit Tunggal dikatakan sedang menjalani latihan amali di Pejabat Kesihatan Dungun, manakala teman lelakinya yang berasal dari Padang Nenas, Kuala Terengganu, kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk diambil keterangan selepas diikat jamin oleh keluarga masing-masing.

Pasangan yang mengaku bakal mengikat tali pertunangan itu akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun, 29 Oktober nanti atas dakwaan khalwat mengikut Seksyen 31(a) (b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


[Video] Pembetangan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 oleh Anwar Ibrahim

Posted: 26 Sep 2012 08:39 PM PDT


[HD] KUALA LUMPUR: Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 meletakkan tujuh fokus sebagai teras utama agar ia selari dengan matlamat mengawal defisit dan menurunkan hutang negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan bertema Ekonomi Rakyat Negara Berkat tersebut menegaskan antara tujuh perkara teras itu adalah mengangkat martabat wanita.

"Kita ingin meningkatkan martabat kaum wanita dan atas usaha itu kita (Pakatan Rakyat) akan melaksanakan Caruman Wanita Nasional untuk suri rumag membabitkan peruntukan RM3 bilion setiap tahun.

"Selain itu juga kita akan memastikan reformasi dan ketelusan pada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dengan antara lain kita akan membubarkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana mempunyai fungsi yang sama dengan Khazanah Nasional" jelas beliau di Bilik Taklimat di Parlimen.

Tambahnya lagi, melalui belanjawan kali ini juga Pakatan Rakyat turut mewujudkan bina dayasaing demi pertumbuhan dengan mengubal undang-undang anti-monopoli dan Suruhanjaya Anti Monopoli demi menggalakan pertumbuhan syarikat bersaiz sederhana dan merombak herotan ekonomi.

Hasil minyak untuk negeri turut diutamakan dengan menubuhkan syarikat-syarikat minyak PetroSabah, PetroSarawak, PetroTerengganu untuk menyertai pembangunan lapangan kecil (marginal field) yang kini diboloti oleh syarikat kroni.

"Skim khusus diwujudkan agar Petronas menaungi syarikat-syarikat ini supaya dapat bersaing di peringkat antarabangsa dalam tempoh 10 tahun.

"Mengenai perumahan rakyat, penubuhan Perbadanan Perumahan Negara untuk menjalankan amanah menyediakan perumahan mampu milik secara besar-besaran," kata beliau.

Tambahnya lagi, melalui perumahan rakyat ini program pemilikan bersama (50:50) di antara kerajaan dan rakyat bagi perumahan terpilih.

Selain penurunan harga kereta menjadi teras utama, reformasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga diberi perhatian dengan mengalihkan sumber manusia dan kewangan kepada kegiatan membanteras jenayah.

Malah kenaikan gaji sebanyak 5 peratus kepada anggota juga turut akan diumumkan, tidak ketinggalan juga pengumuman kenaikan gaji 20 peratus kepada kakitangan perubatan.

Belanjawan yang meletakkan jumlah perbelanjaan RM233 bilion iaitu jumlah lebih kecil dari jumlah yang dijangka diumumkan oleh kerajaan iaitu melepasi RN250 bilion tetapi terus meningkat sebanyak RM13 bilion berbanding Belanjawan Pakatan Rakyat 2012.

Selain itu juga pertumbuhan ekonomi pengikut penganalisis dan ramalan ekonomi kekal optimistik pada kadar 5.2 peratus berbanding kerajaan yang menggunakan unjuran 5 hingga 6 peratus.

Dalam pada itu sasaran yang lebih drastik pada defisit belanjawan apabila Pakatan Rakyat mensasarkan 3.5 peratus jika dibandingkan pada belanjawan yang dibuat pada Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 yang meletakkan 4.4 peratus.

Walaubagaimana pun, kerajaan dijangkakan mengumumkan defisit sekitar 4 peratus kerana angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah disemak kembali menggunakan asas harga tahun 2005.

 



Malaysia Negara Paling Selamat...2 Amuk Depan Pondok Polis

Posted: 26 Sep 2012 08:23 PM PDT

Sekadar hiasan. Foto: FMT

[HM] PETALING JAYA: Dua lelaki yang tidak berpuas hati apabila mangsa dibelasah mereka lari bersembunyi dalam Pondok Polis Desa Mentari, Sungai Way, di sini, bagi mendapatkan perlindungan bertindak mengamuk di depan premis itu menggunakan rantai besi, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, kedua-dua lelaki terbabit bertindak samseng apabila menjerit memanggil nama mangsa berusia 25 tahun dan cuba menceroboh masuk ke pondok polis itu untuk mendapatkan mangsa.

Bagaimanapun, tindakan kedua-dua lelaki terbabit mengundang padah apabila mereka segera diberkas anggota polis yang berkawal di pondok itu, manakala senjata dirampas.
Menurut sumber, pergaduhan antara dua lelaki terbabit dan mangsa bermula setengah jam sebelum kejadian apabila mangsa yang menetap di Shah Alam dibawa ke Desa Mentari, Jalan Klang Lama, di sini.

"Mangsa yang berada di rumahnya didatangi dua lelaki itu sebelum dibawa ke sebuah flat di Desa Mentari kononnya untuk berbincang.

"Seorang daripada lelaki terbabit menuduh mangsa cuba mengganggu teman wanitanya dan dia mahu berbincang bagi mendapatkan penjelasan mangsa," katanya.

Sumber berkata, sebaik tiba di flat berkenaan, lelaki terbabit tiba-tiba memarahi mangsa dan memukul kepalanya dengan rantai besi sehingga berdarah menyebabkan mangsa yang ketakutan melarikan diri kerana bimbang dibelasah dengan lebih teruk.

"Mangsa berlari ke arah Pondok Polis Desa Mentari bagi mendapatkan perlindungan. Ketika dia cuba dibantu anggota polis pondok itu tiba-tiba dua lelaki yang menyerangnya datang sambil menjerit.
"Kedua-dua lelaki terbabit kemudian membuat kecoh di depan pondok polis itu dan cuba masuk ke dalam untuk menyerang semula mangsanya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, mengesahkan pihaknya menahan dua lelaki berusia 19 dan 25 tahun kerana melakukan serangan terhadap mangsa di depan pondok polis berkenaan.


P/s: Baca:



 

Kes Khalwat Ungguli Carta Jenayah Syariah di Pahang

Posted: 26 Sep 2012 05:46 PM PDT

[Bernama] KUANTAN - Sebanyak 1,797 kesalahan jenayah syariah dicatat di Pahang dalam tempoh hampir sembilan bulan pertama tahun ini.

Kesalahan khalwat dicatat paling tinggi dengan jumlah sebanyak 948 kes, diikuti berjudi (677 kes), tidak menghormati bulan Ramadan (62), kesalahan meminum minuman memabukkan (39), perbuatan tidak sopan di tempat awam (11) dan kesalahan-kesalahan lain (60).

Menurut Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (MUIP) Datuk Seri Wan Wahid Wan Hassan, MUIP akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membanteras gejala sosial daripada terus menular.

"MUIP akan mempertingkatkan kerjasama bersama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam membanteras kesalahan jenayah syariah membabitkan penganut agama Islam di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemahaman Undang-undang Kesalahan dan Tatacara Jenayah Syariah Pahang di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya kini sedang melantik pegawai-pegawai masjid di sebagai penguatkuasa dalam usaha memantapkan lagi penguatkuasaan kesalahan jenayah syariah.

Sementara itu Ketua Penolong Pengarah Kanan Penyelaras Undang-undang Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yahya Mohd Zin berkata bengkel selama tiga hari bermula hari ini itu bertujuan mempertingkatkan lagi pengetahuan undang-undang jenayah syariah di kalangan umat Islam dan penguatkuasa agama.

"Menerusi bengkel ini, kita nak bagi penjelasan kepada semua pihak termasuklah pegawai masjid, imam, siak makna tentang hal berkaitan penguatkuasaan.

"Dari segi undang-undangnya dari tahap mana dan apa yang perlu dibuat apabila sudah ada tangkapan dan apa yang perlu buat selepas itu mengikut enakmen kesalahan syariah dan enakmen tatacara jenayah syariah di Pahang," katanya.

Beliau berkata menerusi bengkel berkenaan, penguatkuasaan kesalahan jenayah di negeri ini diharap akan lebih efisien.


P/s: Statistik itu berdasarkan kes yang melibatkan pasangan yang berjaya dicekup. Yang tidak dicekup, berganda-ganda daripada jumlah yang dipaparkan di atas.

Cuba tanya MB Pahang tentang cara untuk mengurangkan kes seks bebas dan maksiat di negerinya!

 

 


Tiada ulasan: