Jumaat, 7 September 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Rakyat biadab kerana Umno gurunya

Posted: 07 Sep 2012 02:02 AM PDT

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan, tindakan sesetengah pihak bertindak biadab sekarang adalah kerana diajar oleh Umno.

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, Pemimpin Umno lupa, budaya ini dimulai oleh pemimpin Umno dan merekalah gurunya.

"Rosak ikan bermula di kepala, rosak rakyat kerana pemimpinnya," kata beliau.

Atas dasar itulah, katanya, tidak hairanlah ada rakyat yang pijak gambar  pemimpin di dalam himpunan Janji Demokrasi 30 Ogos 2012 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Kenapa pemimpin Umno dan media Umno tanpa segan silu membelasah seolah-olah ini semua ajaran pemimpin pembangkang, soalnya.

Pada hal, katanya, tidak ada rekod pemimpin pembangkang yang berkelakuan biadab.

Katanya, rakyat masih ingat ketika penamaan calon Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sanggang pada 20  April 2000, di mana  Datuk Adnan Yaakob selaku Menteri besar Pahang menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong PAS.

"Apakah ini taraf seorang ketua Umno di negeri Pahang," katanya.

Begitu juga tindakan pemuda Umno dan puteri Umno yang tunjuk punggung dan isyarat lucah pada hari tersebut.

Ajaran biadab ini dilanjutkan lagi oleh Utusan Malaysia  dan penceramah Umno yang menunjuk gambar lucah kononnya ini adalah gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sdr Azmin Ali.

"Kenapa budaya ini tidak disekat malahan diberi galakan sehingga memalukan kita yang mempunyai anak-anak yang masih  bersekolah," soalnya.

Akhbar ini, katanya, sampai ke sekolah yang dibaca oleh pelajar-pelajar.

"Seolah-olah media Umno mendapat lesen untuk membuat sesuatu demi politik kotor mereka," katanya.

Beliau juga mempersoalkan, kenapa mereka yang pijak gambar Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang tidak diambil tindakan.

"Apakah beliau botol mineral, bukan manusia? Apakah beliau menjadi Ketua Menteri yang tidak sah?" soalnya lagi.

Treler sertai jelajah Merdeka Rakyat PKR

Posted: 07 Sep 2012 01:57 AM PDT

Harakahdaily Foto: SK,
PETALING JAYA: PKR hari ini melancarkan Treler Pentas Bergerak yang akan bergerak bersama bas Merdeka Rakyat dalam siri kedua jelajahnya yang bermula hari ini.

Pelancaran dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di perkarangan Ibu Pejabat parti itu pagi ini.

Treler dan bas itu akan bergerak ke Negeri Sembilan dalam penerusan siri kedua jelajah Merdeka Rakyat anjuran parti itu.

Dalam siri pertama jelajah mereka yang bermula 31 Ogos lalu, mereka telah menjelajah ke lima negeri bermula di Pahang, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, dan berakhir di Perlis.

Selepas Negeri Sembilan, konvoi akan diteruskan ke Melaka dan Wilayah Persekutuan merupakan destinasi terakhir untuk siri kedua ini.

Pada 1 September bas Merdeka Rakyat yang digunakan mereka diserang samseng ketika pasukan jelajah berada di Kelantan.

Bas tersebut disimbah cat merah dan cermin hadapan bas tersebut juga dipecahkan.

Mengulas perkara itu Wan Azizah pada sidang media selepas pelancaran pagi ini berkata, kawalan keselamatan akan dipertingkatkan untuk jelajah siri kedua ini.

"Kita telah meningkatkan kawalan keselamatan dengan memberi amaran kepada skuad AMK (Pemuda PKR ), sukarelawan supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjaga bas.

"Saya tak sangka, negara yang aman akan berlaku ancaman seperti ini," katanya sambil mengecam tindakan samseng yang merosakkan bas Merdeka Rakyat di Kelantan itu.

"Lebih baik anda buat bas sendiri dan jangan kacau bas kita. Saya harap bas dan treler ini akan selamat sepanjang program. Semoga peristiwa buruk itu tidak lagi berulang," kata beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut hadir berkata, penggunaan treler pada kali ini adalah untuk menjimatkan kos.

Treler tersebut akan digunakan sebagai pentas yang telah dilengkapi dengan sistem siaraya.

Tidak perlu menang untuk buat lebuhraya

Posted: 07 Sep 2012 01:55 AM PDT

Rizal Tahir,
KOTA BHARU: Exco Kelantan Datuk Husam Musa, mengingatkan, Umno tidak perlu menunggu peluang menawan Kelantan untuk membina lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai.

Katanya, sekarangpun sebagai sebuah kerajaan Pusat mereka telah berhak melaksanakan tanggungjawab itu dan tidak perlu menunggu peluang Umno menawan Kelantan.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung perkara itu selepas mesyuarat exco semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed, berkata kerajaan baru Kelantan akan membina lebuhraya sekiranya rakyat memberi mandat pada Umno pada PRU 13 nanti.

Bagaimanapun Husam juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, turut berkata, sebelum BN buat jalanraya itu, kerajaan Kelantan akan mebuatnya sebelum mereka menang lagi.

"Saya juga merasa hairan kenapa untuk membuat lebuhraya itu perlu BN menang terlebih dahulu, tetapi kenapa waktu kutip cukai tak fikir pula fasal kalah menang?"soalnya.

Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata, bagi Pakatan Rakyat pula, sekiranya menang di peringkat Pusat bayaran royalti pula akan dibayar pada negeri pengeluar minyak dan akan dibayar tanpa melalui jawatankuasa.

Royalti


Pada masa yang sama beliau memberitahu kerajaan Pakatan Rakyat juga akan membayar royalti sebanyak 20 peratus sebagaimana yang dicadangkan oleh kerajaan Sarawak dan Sabah baru-baru ini.

"Banyak lagi yang kita boleh buat kalau kita menang termasuk pendaratan gas di Kelantan berbanding kalau BN menang,"ujarnya.

Beliau turut memperingatkan Mustapha sekiranya beliau betul-betul ingin membantu rakyat Kelantan, beliau diminta berusaha untuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai lapangan terbang antarabangsa.

"Tak payah tunggu BN menang, kalau dia ikhlas dan betul-betul ingin menolong rakyat Kelantan sekarangpun dia boleh buat,"ujarnya.

Tambahnya, dengan cara itu Kelantan akan bertambah maju khususnya dari segi ekonomi dengan lebih cepat.

Husam seterusnya memberitahu, sekarang penerbangan domestik yang mendarat ke lapangan terbang ini mencecah 40 penerbangan sehari.

Sambungnya, cuba bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya kita mendapat penerbangan antarabangsa.

Mahfuz: PRU13 tak mungkin November, tapi...

Posted: 07 Sep 2012 01:53 AM PDT

Muhammad Faizal,
KUALA LUMPUR: PAS beranggapan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mungkin tidak diadakan pada November ini kecuali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat tekanan kuat dari Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, jika Najib tidak terkesan dengan tekanan Muhyiddin itu maka PRU13 akan diadakan pada tahun hadapan.

"Saya tidak nampak pilihanraya akan diadakan pada waktu terdekat walaupun sejak kebelakangan ini Najib menimbulkan andaian bahawa beliau akan bubar parlimen kerana banyak perkara yang menghalang.

"Namun beliau terpaksa membubarkannya jika Muhyiddin terus melakukan gerakkan untuk menjatuhkannya sebelum pilihanraya," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS pagi ini.

Katanya, mungkin Najib berpendapat adalah lebih baik beliau jatuh bersama-sama dengan barisan kabinet Umno pada pilihanraya nanti jika dibandingkan kejatuhan beliau disebabkan gerakan Muhyiddin tersebut sebelum PRU13.

Tambah Mahfuz lagi, gerakkan desakan yang dilakukan oleh Muhyiddin itu kemungkinan besar boleh berlaku kerana beliau sebelum ini juga pernah mendesak mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi sewaktu berada di Singapura agar Abdullah meletak jawatan dengan segera.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut membuat andaian jika tidak ada sebarang gerakan dilakukan adalah mustahil pilihanraya diadakan pada tahun ini kerana di sebabkan oleh faktor musim haji dan juga musim peperiksaan.

Empat rumah kedai hangus

Posted: 07 Sep 2012 01:38 AM PDT

HIDAYAH HAIROM

Empat rumah kedai hangus
Api merebak dengan cepat disebabkan ketiadaan dinding penebat kebakaran antara unit kedai berkenaan.
 
KUALA LUMPUR - Empat unit rumah kedai dua tingkat di Jalan Genting Klang, Setapak di sini terbakar dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

Kebakaran dipercayai bermula di tingkat satu, sebuah unit kedai gantian alat kereta, sebelum merebak ke unit kiri dan kanannya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.59 petang dan jentera pertama tiba tujuh minit kemudian.

Menurutnya, ketiadaan dinding penebat kebakaran antara unit-unit rumah kedai berkenaan menyebabkan api merebak dengan cepat.

"Api merebak dalam ruang siling dan kita juga menghadapi masalah tekanan air rendah menyebabkan kerja mengawal kebakaran mengambil masa.

"Api bagaimanapun berjaya dikawal satu jam setengah kemudian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sebanyak 12 jentera dari 10 balai bomba dengan kekuatan kira-kira 80 anggota bomba terlibat dengan kerja pemadaman api.

Ketika operasi memadam api, pihak bomba juga terpaksa memecahkan cermin tingkap termasuk memotong jeriji tingkap rumah kedai yang dibina pada awal 70-an itu, bagi memudahkan kerja memadam api.

Kebakaran tersebut juga menyebabkan bahagian siling dan bumbung 10 unit rumah kedai di deretan sama dipenuhi asap tebal.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, seorang pemilik butik yang terbakar, Sely, 39, berkata, ketika kejadian, dia bersama anaknya dan pembantunya berada di dalam butik di tingkat atas sebelum menyedari asap memasuki ruang butik.

Katanya, mereka bergegas turun ke bahagian bawah dan menjerit memberitahu ada kebakaran.

"Apabila bomba datang, saya naik ke butik mengambil barang yang sempat diambil.

"Saya baru sebulan memulakan perniagaan di sini, belum sempat dirasmikan.

Papan tanda kedai juga belum dinaikkan," katanya mengakui mengalami kerugian lebih RM10,000.

Bapa Angkasawan Negara meninggal dunia

Posted: 07 Sep 2012 01:36 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

Sheikh Mustapha  Sheikh Abdul Shukor
Allahyarham Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor (kiri) telah kembali ke rahmatullah jam 9.26 pagi tadi. 
 
KUALA LUMPUR - Bapa kepada Angkawasan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha telah kembali ke rahmatullah jam 9.26 pagi tadi.

Pembantu Peribadi Dr Sheikh Muszaphar, Wani Idris memberitahu Sinar Harian, Allahyarham Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Jenazah dibawa ke kediamannya di  Bangsar dan dijangka disemadikan di Seremban selepas solat Jumaat.

PKR: Pandangan peribadi Rahim Noor cubaan takutkan rakyat

Posted: 07 Sep 2012 01:35 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli
 
SHAH ALAM – Dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor bahawa  wujud gerakan yang mahukan kemerdekaan kali kedua, hanya pandangan berbentuk peribadi dan cubaan menakutkan rakyat.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, rumusan beliau daripada keadaan semasa itu tidak menggambarkan keadaan sebenar dengan hanya menerima maklumat melalui media arus perdana semata-mata.

Menurut Rafizi, adalah amat malang kenyataan Rahim Noor itu juga seolah-olah menunjukkan Pakatan Rakyat (PR) tidak menghormati kemerdekaan negara.

Katanya, dalam isu menukar Jalur Gemilang kepada Sang Saka Malaya yang dilakukan golongan muda sewaktu perhimpunan baru-baru ini juga tidak dipersetujui dalam kalangan pimpinan PR.

"Meskipun kata-katanya berlapik, beliau telah melontarkan pandangan bahawa kejadian itu didalangi PR dan itu jelas terbawa dengan politik yang cuba menimbulkan kemarahan rakyat terhadap PR," katanya kepada Sinar Harian.

Rafizi berkata, Pakatan sentiasa menghormati kemerdekaan negara ini yang sejak 1957 telah mencapai kemerdekaan.

Kelmarin, Rahim menggambarkan wujud satu gerakan mahu mahu memerdekakan negara buat kali kedua.

Ini rentetan daripada suara-suara yang menginginkan  Perlembagaan Negara  dan institusi Raja-Raja Melayu dihapuskan.

Gambaran itu juga diperkuatkan dengan tindakan memperkenalkan bendera 'Sang Saka Malaya'  pada Perhimpunan Janji Bersih sewaktu sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, 31 Ogos lalu.

Bagaimanapun, dalam hal itu Rafizi berkata, Pakatan melalui dasar bersama dan Buku Jingga  sentiasa menjunjung prinsip Perlembagaan Negara, dan menghormati raja-raja Melayu.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berpandangan, kenyataan Rahim  seperti mana sebelum ini dalam Bersih 3.0, hanyalah cubaan mewujudkan ketegangan serta mewujudkan kebencian kepada Pakatan.

2 pengurus Felda maut kenderaan tembung jip Jabatan Perhutanan

Posted: 07 Sep 2012 01:31 AM PDT

WAN JUHAIDA WAN HASSAN

2 pengurus Felda maut kenderaan tembung jip Jabatan Perhutanan
2 pengurus Felda maut kenderaan tembung jip Jabatan Perhutanan 
 
RAUB – Dua pengurus Felda Gugusan Tersang meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka bertembung dengan jip Jabatan Perhutanan di Kilometer 327 Jalan Raub-Tersang kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang setelah menghadiri majlis sempena meraikan bakal haji di samping sambutan Aidilfitri dekat Felda Lurah Bilut.

Pengurus Felda Tersang Dua, Abdul Rahim Mat Jabri, 50-an, mengalami kecederaan parah, tetapi sempat dibawa ke Klinik Kesihatan Tersang terlebih dahulu sebelum meninggal dunia di sana, sementara Pengurus Felda Tersang Tiga, Abd Jalil Jamaluddin, 40-an, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman  berkata, kenderaan dipandu Abdul Jalil bersama Abdul Rahim bertembung dengan jip dinaiki empat kakitangan Jabatan Perhutanan yang dalam perjalanan dari arah Tersang.

Menurutnya, pertembungan  dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa terbabas ke laluan bertentangan selepas melalui satu selekoh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dong, Datuk Shahiruddin Ab Moin yang tiba di pekarangan Rumah Mayat Hospital Raub ketika ditemui berkata, baru sahaja beberapa hari lalu beliau menemui mangsa dalam majlis keraian.

Katanya, berita kematian diterimanya itu amat mengejutkan dan tidak diduga, tetapi beliau pasrah dengan ketentuan ALLAH.

"Saya dimaklumkan Abd Rahim akan menunaikan ibadah haji pada pertengahan bulan ini, tetapi hasratnya tidak kesampaian.

"Kedua-dua mangsa juga difahamkan baru pulang daripada majlis sempena meraikan bakal haji di samping Sambutan Aidilfitri dekat Felda Lurah Bilut," katanya.

Beliau berharap keluarga kedua-dua mangsa tabah menghadapi dugaan itu dan dapat menempuhi hari mendatang dengan sabar.

Jenazah kedua-dua mangsa akan dikebumikan di Johor sebaik sahaja selesai bedah siasat.
Sementara itu, Penyelia Felda Tersang Dua, Mohd Izmi Deraman berkata, Abd Rahim seorang ketua berdedikasi dan komited terhadap sebarang tanggungjawab dipikulnya.

Menurutnya, setiap program yang memerlukan kehadiran dan perhatiannya pasti akan cuba dilaksanakan sebaik mungkin.

"Kami benar-benar kehilangan. Setiap ilmu serta pengalaman ketika bersamanya akan menjadi bekalan meneruskan amanah.

"Diharapkan roh kedua-dua ketua berdedikasi ini mendapat rahmat ALLAH dan bersama golongan mukmin," katanya.

Mohd Izmi berkata, lazimnya Abd Rahim akan memintanya memeriksa jadual aktiviti setiap hari dan memaklumkan semula untuk tindakan lanjut.

Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan ketuanya itu untuk memaklumkan program yang perlu dihadiri dekat Lurah Bilut.

"Saya ada memeriksa jadual dan mengesahkan terdapat program pada hari ini (semalam), lalu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memaklumkannya.

"Selalunya dia akan balas SMS saya walaupun pada sebelah malam, tetapi tidak pada malam tadi (kelmarin). Dia hanya senyap sehingga saya mendapat tahu mengenai kemalangan menimpanya," katanya.

Sinar Harian yang tiba di pekarangan rumah mayat Hospital Raub mendapati ramai tetamu terdiri daripada pemimpin setempat menziarahi jenazah termasuk Pegawai Daerah, Datuk Ismail Mohd Ali; Pengarah Hospital Raub, Dr Kamariah Ghazali dan Adun Batu Talam.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir, Pengurus Besar Felda Wilayah Mempaga, Jahya Janal; Timbalan Pengurus Besar Felda Wilayah Mempaga, Amir Hamdan Yusof dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian, Jariah Hashim.

Rayuan kes liwat Anwar ditimbang 23 Nov

Posted: 07 Sep 2012 01:29 AM PDT

SINAR HARIAN

PUTRAJAYA - Rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan ditetapkan untuk pengurusan kes pada 23 Nov.

Tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan N. Kanageswari hari ini.

Beliau menetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes selepas nota keterangan tidak lengkap oleh itu, rekod rayuan juga tidak lengkap.

Peguam Anwar, Ram Karpal Singh berkata pihak pendakwaan dan pembelaan memerlukan masa untuk meneliti rakaman perbicaraan sebelum menetapkan tarikh perbicaraan.

Pada 9 Jan lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, di sebuah unit di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Anwar, 65, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan 20 Jan lepas berhubung pembebasan ketua pembangkang itu daripada tuduhan meliwat.

Pada 9 Julai lalu, pendakwaan memfailkan petisyen rayuan yang mengandungi sembilan alasan.
Dalam penghakiman bertulis setebal 80 muka surat Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan berlaku penetrasi tetapi tiada bukti sokongan.

Beliau berkata adalah tidak selamat bagi mahkamah bergantung pada keputusan ujian DNA Mohd Saiful kerana sampel berkenaan boleh diusik sebelum sampai kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badarudin mewakili pihak pendakwaan.- Bernama

Bayangan PM tanda PRU13 Disember ini

Posted: 07 Sep 2012 01:20 AM PDT

Raziatul Hanum A Rajak

Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13 
 
SHAH ALAM - Para penganalisis yakin bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diramalkan Disember ini selepas dua kali dalam seminggu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi bayangan mahu membubarkan
Parlimen.

Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, apa yang dilahirkan oleh Najib semalam dan minggu lalu, susulan kepada beberapa kenyataan sebelum ini, bukan satu mainan politik.

"Tarikh PRU13 paling awal Disember ini. Saya rasa beliau (Najib) sudah ada idea dan ia bukan mainan politik semata-mata," kata Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM ini kepada Sinar Harian ketika dihubungi pagi tadi.

Najib memberi bayangan terbaru mengenai tarikh PRU-13 semalam di Kelantan dan minggu lalu ketika berucap di Baling, Kedah  di mana beliau secara berseloroh berkata sudah ada semangat untuk membubarkan Parlimen.
Azizuddin berkata: "Nak umum tarikh PRU13 ini kena ambil kira pelbagai faktor yang mempengaruhi."

"Antaranya Bajet 2013 yang dibentangkan hujung bulan ini dan musim cuti sekolah dan dalam masa sama musim haji Oktober–November ini. Kena lepas musim haji," kata beliau.

Tambah beliau, "mungkin tarikh isytihar bubar Parlimen November dan PRU13 Disember ini."

Menurutnya, Najib mengumumkan insentif atau bantuan rakyat yang mungkin dapat dinikmati hujung tahun ini, dan oleh itu, PRU13 wajar dijadakan dalam masa terdekat.

"Kalau buat PRU13 tahun depan, rakyat lupa, orang Malaysia cepat lupa. Jadi, wajar diumumkan dalam masa terdekat dengan tempoh rakyat menikmati insentif," katanya.

Jelas beliau, "ekonomi dunia tidak menentu. Tahun depan tidak terjamin lagi ekonomi negara kita stabil. Ia akan menjejaskan dari segi sokongan Barisan Nasional (BN)."

Selain itu, Azizuddin juga mengatakan bahawa lanjutan tarikh yang terlalu lama mungkin akan menimbulkan isu-isu baru, yang menjejaskan imej kerajaan.

Katanya, BN menerima saingan hebat daripada Pakatan Rakyat, namun peluang perikatan tersebut untuk menang dalam PRU13 ini memang ada.

Bagaimanapun katanya, sama ada BN akan meraih kemenangan besar belum pasti.

Menurutnya lagi, rakyat Malaysia sudah membuat keputusan parti mana yang bakal dipilih.

Fokus kini adalah terhadap pengundi baru yang jumlahnya agak besar dan terdiri daripada golongan muda yang membuat keputusan pada saat-saat akhir, kata beliau lagi.

"Dengan itu pelbagai isu dimainkan seperti harga kereta dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menarik golongan pengundi baru ini," katanya lagi.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Mohd Bustamam Abd Karim pula menyatakan bayangan itu merupakan kesungguhan Najib menghadapi PRU13.

Beliau juga menyifatkan apa yang berlaku sekarang kepada negara berpihak kepada BN terutama dari segi ekonomi.

"Faktor ekonomi sangat penting. Jika kita lihat ekonomi negara Cina telah menunjukkan penurunan. Pelabur lagi percaya negara kita. Ekonomi negara kian meningkat.

"Percaturan ideologi lain seperti isu hudud dan sebagainya itu permainan dalaman sahaja," katanya.

Selain faktor ekonomi yang menjadi indikator, musim cuti sekolah, haji dan perayaan juga menjadi ukuran terhadap pemilihan tarikh pilihan raya tersebut, tambah beliau.

Berikutan tarikh akhir mandat Kerajaan Pusat yang akan berakhir penghujung April depan, beliau juga meramalkan PRU13 bakal diadakan Disember ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Mohammad Agus Yusof pula berkata, BN sudah terlepas waktu keemasan untuk meraih undi.

"Tarikh terbaik untuk BN sebelum Jun 2012. Kini, sudah terlepas. Waktu keemasan itu sudah berlalu. Sudah tidak dapat 'catch the moment'," katanya ketika dihubungi.

Penganalisis ini menyifatkan BN berdepan dengan persaingan yang sengit di mana peluang kemenangan sama rata.

"Persaingan sangat sengit jadi peluang untuk menang 50-50 kerana saya tidak lihat bahawa golongan bukan Melayu kembali kepada BN dan saya tidak lihat isu-isu yang timbul dapat tarik golongan intelektual dan golongan muda.

"Saya sendiri sedang menimbang-nimbang. Mahu memerhatikan keadaan seterusnya," katanya.

Beliau menambah, isu-isu yang timbul tidak reda-reda ini menunjukkan kesilapan dalam menguruskan media, informasi dan imej.

Menurutnya, semakin lama masa diambil maka lebih banyak peluang masyarakat menilai.

Himpuan Janji Ditepati: Dua pelajar IPT menang kereta Preve, Chevrolet

Posted: 07 Sep 2012 01:19 AM PDT

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Dua orang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) muncul pemenang hadiah utama cabutan bertuah sempena "Himpunan 55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati" pada 31 Ogos lepas dengan masing-masing membawa pulang kereta Proton Preve dan Chevrolet Cruze.

Normazaitul Akma Che Daud, 21, pelajar Kimia Analisis di Universiti Malaysia Terengganu memenangi kereta Proton Preve dan Faizah Adam, 19,  pelajar Diploma Pengurusan Sumber Manusia di Kolej Cybernatics memenangi kereta Chevrolet Cruze, menerima hadiah masing-masing daripada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim di sini hari ini.

Normazaitul Akma yang sedang menjalani latihan praktikal di Jabatan Kimia, Petaling Jaya terkejut dengan hadiah yang diterimanya, dan merancang untuk membuat kejutan kepada ibu bapanya.

Beliau yang mempunyai lesen memandu tidak menyangka kehadirannya bersama rakan-rakannya untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan di Stadium Bukit Jalil membawa tuah kepadanya.

Bagi Faizah, hadiah yang dimenanginya itu akan dihadiahkannya kepada bapanya kerana beliau belum mempunyai lesen memandu.

Anak kedua daripada tiga beradik itu menghadiri perhimpunan itu dengan mengikuti rombongan Surau Al-Asma, Kajang yang seramai 30 orang, tidak menyangka kad yang diisinya pada majlis itu membawa tuah.

Sementara itu, Rais dalam ucapannya berkata kementerian mengucapkan penghargaan kepada para penaja hadiah iaitu DRB-HICOM, NAZA Motor Sdn Bhd, Malaysia Airlines System Berhad (MAS),  Tenaga Nasional Berhad (TNB), Celcom dan Axiata.

Cabutan bertuah yang julung kali diadakan itu telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan sebanyak 383,213 kad telah diterima daripada satu juta kad cabutan bertuah yang diedarkan di seluruh negara.

Selain kereta Proton Preve dan Chevrolet Cruze, hadiah lain berupa tiket penerbangan ke London dan Sydney, sebuah Motor Vespa Naza, sebuah motosikal 125cc, empat buah Motosikal Modenas, tiga buah telefon pintar Blackberry, 10 unit basikal Fixie dan 50 unit Huawei Tablet.- Bernama

Azhar tolak jadi calon Pas

Posted: 07 Sep 2012 01:14 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA TERENGGANU - Penceramah bebas, Azhar Idrus yang kini menjadi sandaran Pas memeriahkan ceramah politik parti itu menolak menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pesuruhjaya Pas negeri, Abdul Wahid Endut berkata, beliau difahamkan Azhar enggan terlibat secara langsung dalam politik kerana mahu terus berdakwah dengan cara sendiri.

"Beliau merupakan ikon khususnya dalam kalangan generasi muda, jika beliau berada di platform kita, ia sesuatu yang baik, tetapi awal-awal lagi beliau sudah menolak.

"Difahamkan, beliau menolak sebelum kami sempat membuat penelitian, lagi pun nama beliau tidak dikemukakan secara rasmi, cuma disebut-sebut di kalangan ahli parti," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan Pas negeri, di sini hari ini.-Utusan

Isu Nasharudin bukan perkara besar

Posted: 07 Sep 2012 01:13 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR. - Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, beliau tidak pernah membayangkan bahawa Nasharudin Mat Isa akan dipecat daripada Pas ekoran gesaan bekas Timbalan Presiden tersebut supaya parti itu mempertimbangkan semula hubungan dengan pakatan pembangkang sebelum ini.

Sambil mengulangi pendiriannya sebelum ini yang mempertahankan tindakan Nasharudin itu, Haron berkata, apa yang disarankan oleh Ahli Parlimen Bachok itu dianggap sebagai bukan satu perkara besar sehingga boleh menyebabkan berlakunya pemecatan terhadap ahli parti itu.

"Seperti saya katakan dahulu, saya tidak nampak itu sebagai satu perkara besar sehingga boleh berlaku pemecatan semata-mata kerana adanya pandangan peribadi yang mungkin dilihat sebagai bertentangan dengan perjuangan parti-Utusan

Barang kemas Imelda dipamer

Posted: 07 Sep 2012 01:11 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE

 MANILA- Filipina bercadang untuk mempamerkan barang kemas bekas isteri Presiden Ferdinand Marcos, Imelda, yang dirampas 26 tahun lalu dan berharap ia dapat menjadi daya tarikan pelancong.

Koleksi bernilai kira-kira AS$8 juta (RM25 juta) itu disimpan di peti besi di bank sejak berpuluh tahun selepas dirampas sebagai sebahagian aset yang disyaki dicuri oleh keluarga Marcos sebelum melarikan diri ke Amerika Syarikat pada 1986, selepas 20 tahun memerintah negara itu.

Pegawai Kanan Suruhanjaya Presiden Kerajaan Baik, Maita Gonzaga berkata, kerajaan bercadang untuk melelong barang kemas itu selepas mempamerkannya di sebuah muzium.

"Ia dapat menarik pelancong dan menjadi pengajaran yang tidak boleh dilupakan. Ini adalah bukti kukuh mereka mencuri," katanya.

Sebahagian daripada koleksi barang kemas itu ditemui oleh kerajaan AS ketika keluarga itu tiba di Honolulu, sementara yang lain dirampas daripada rakan Greek Marcos ketika cuba menyeludupnya keluar.- MT

Talam vs NFC: Ukuran prestasi kerajaan yang bakal dipilih rakyat

Posted: 07 Sep 2012 01:08 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


1. Sejak 3 Julai lalu, Dato' Chua Tee Yong telah melontarkan pelbagai tuduhan jahat terhadap kerajaaan negeri di bawah kepimpinan TS Khalid Ibrahim bahawa kerajaan negeri telah menggunakan dana negeri untuk membayar pemaju Talam Corporation RM1 bilion dengan membeli hartanah Talam dengan harga yang tinggi sekaligus menyelamatkanTalam daripada kebankrapan. Mereka juga membuat tuduhan tidak berasas bahawa akibat daripada pembelian aset ini, Talam terselamat daripada digantung Bursa Malaysia.

2. Kami telah membuktikan bahawa dakwaan tentang Talam yang mengalami permasalahan hutang dan tersenarai sebagai syarikat PN17 (bermasalah hutang), sebenarnya telah lebih awal sebelum kegiatan 'mengutip semula hutang-debt recovery exercise', meregulasasikan (menysusun semula) pembayaran hutang dan telah dapat mengeluarkan syarikat itu daripada tersenarai sebagai syraikat PN17 dalam Bursa Malaysia.

3. Namun CTY dan konco-konconya dalam Umno termasuk Ir Mohd Zain yang menggelar kes ini sebagai 'TalamGate' dan juga kawannya Noh Omar tidak henti-henti membuat kenyataan tentang kononnya kerajaan negeri telah melakukan satu 'bailout' dan 'merompak' duit rakyat sebanyak RM1 bilion.

4. Langkah bijak yang dijalankan oleh MB Selangor dengan melibatkan salah sebuah lima firma audit antarabangsa terbesar yakni KPMG untuk menjalankan satu siasatan 'due diligence' ke atas seluruh usaha yang 'mengutip semula hutang-debt recovery exercise', yang disebut sebagai 'rund-tripping dalam bahasa kewangan. Ini adalah bersesuaian dengan prinisp keterbukaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban yang didukungi kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat.

5. KPMG telah didedahkan semua dokumen untuk mereka lakukan 'due diligence' yang menyeluruh supaya rakyat dan pembayar cukai berpuas hati dengan prestasi dan kegiatan menyelematkan dana kerajaan negeri.

6. Semalam KPMG telah secara rasmi membuat pengisytiharan bahawa "Kerajaan Selangor telah memasuki dua perjanjian untuk melunaskan hutang Talam (Debt Settlement Agreement) bagi membolehkan kerajaan negeri mendapat jumlah hutang Talam yakni balik RM392 juta, iaitu pembayaran kepada kerajaan negeri adalah dalam pelbagai bentuk (termasuk tunai, assignment hutang, aset - tanah, hartanah, saham).

7. Kerajaan Negeri kemudian memasuki satu perjanjian Global Settlement Agreement (GSA), yang memberikan kedudukan yang baik untuk kerajaan negeri mendapat balik hutang, seandainya Talam mengalami kebankrapan.

8. Yang pentingnya adalah KPMG mengesahkan bahawa tiada bayaran yang dibuat kepada Talam, seperti tuduhan jahat yang dibuat oleh CTY dan kawan-kawannya. Satu 'bailout adalah ditakrif dalam kewangan sebagai 'bantuan kewangan yang diberikan kepada sebuah syarikat yang sakit atau akan mengalami kebankrapan sepert kes Perwaja, IWK dan MAS yang diberikan suntikan berbillion RM oleh kerajaan Pusat.

9. Yang lebih penting juga KPMG mengesahkan bahawa semua yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri adalah dalam memenuhi kepentingan rakyat negeri Selangor secara telus dan juga kerajaan negeri tidak mengalami apa jua kerugian seperti yang lazim dilakukan dalam amalan kewangan korporat bahawa pihak kreditor (pemberi hutang) terpaksa menanggung sedikit kerugian dengan bahasa 'hair-cut'.

10. Adalah amat memalukan MCA dan BN bahawa CTY masih lagi membuat insinuasi terhadap dapatan KPMG kononnya firma auditor ini tidak diberikan scope kerja yang menyeluruh dan pendedahan dokumen yang mencukupi dan cuba menyamakan keadaan ini dengan skandal Enron dan firma auditor Arthur Anderson.

11. Kami bertiga sebagai MP Paktan Rakyat (YB Tony Pua, YB William Leong dan saya) yang dilantik sebagai jurucakap rasmi Kerajaan Negeri Selangor dalam kes Talam ini, bersedia mengundang Datuk CTY dan kawan-kawan Umnonya untuk sama ada memilih Debat atau Wacana supaya isu dakwaan jahat mereka dapat kita tangani secara terbuka dan bersemuka, seandainya mereka masih tidak faham lagi atau mahu mempertikaian kerajaan negeri.

12. Kami juga dengan ini, mencabar dan menuntut PM Najib dan TPM Muhyiddin mededahkan dapatan kajian Pricewaterhousecooper (PwC) terhadap siasatan yang dibuat oleh firma audit antarabangsa itu ke atas Scandal RM250 juta NFC, seperti mana yang telah kerajaan negeri secara terbuka mendedahkan untuk tatapan semua rakyat dalam kes Talam Corporation.

13. Jelas bagi rakyat kini, Siapa yang Mengota Kata atau 'Walk The Talk' dan siapa yang sebenarnya tidak memenuhi slogannya sendiri 'Janji Ditepati? Ataukah benar kata anak muda Janji DiCepati saja?

14. Masa untuk berubah telah sampai….
-harakahdaily

Tindakan kolej pecat pelajar dahului mahkamah

Posted: 06 Sep 2012 06:36 PM PDT

Anis Nazri,
 
KUALA LUMPUR: Tindakan Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics (Cybernetics) membuang pelajarnya yang terlibat dengan perbuatan menghina pemimpin dilihat seolah-olah mendahului mahkamah.

Ia berikutan pelajar terbabit masih tidak didakwa atau dibicarakan di mahkamah bagi mensabitkan hukuman terhadapnya.

"Tindakan membuang pelajar terbabit adalah satu perbuatan yang mendahului mahkamah.

"Begitu juga dengan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menarik balik pinjaman pelajar terbabit," tegas Koordinator Aksi Mahasiswa Peduli, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham kepada Harakahdaily, hari ini.

Biarpun tidak bersetuju dengan perbuatan pelajar terbabit yang disifatkan sebagai 'budak nakal', tegas Ekhsan, perbuatan itu bermula dengan tauladan yang ditunjukkan sekumpulan veteran di hadapan kediaman seorang peguam, beberapa bulan lalu.

Dalam pada itu, Ekhsan berkata perbuatan pelajar itu juga boleh ditafsirkan sebagai tanda tidak puas hati, muak dan jelak anak muda terhadap pemimpin negara.

Hari ini, Lembaga Disiplin dan Lembaga Akademik kolej itu memutuskan untuk membuang pelajar terbabit yang dikatakan menunjuk punggung pada gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, pada malam ambang merdeka lalu.

Rogol statutori: Sangat malang kepada wanita

Posted: 06 Sep 2012 06:34 PM PDT

Salmiyah Harun,
KUALA LUMPUR: Keputusan mahkamah dalam dua kes rogol statutori baru-baru ini bukan sahaja memberi implikasi kepada agama tetapi nilai maruah yang mungkin akan diketepikan masyarakat.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Mumtaz Mohd Nawi tidak menyambut baik hukuman yang dikenakan terhadap pesalah dalam kes terbabit.

"Masyarakat akan keliru, seolah-olah kita banyak pendirian yang berubah-ubah khususnya dari sudut mencegah masyarakat daripada mengulangi perkara sama," katanya ketika dihubungi.

Malah katanya, peruntukan undang-undang harus saksama tidak kira darjat malah ia perlu menilai apakah hukuman itu boleh mencegah berulangnya perbuatan seperti itu.

"Kita mahu apa-apa yang dinikmati harus mengikut agama dan undang-undang," katanya.

Beliau melahirkan kekesalan dengan sikap kerajaan yang seolah-olah memandang mudah perkara itu dan memberi hukuman yang terlalu ringan.

"Misalnya kalau dia (pemain boling) buat baik kita boleh bagi bonus tapi kita tidak boleh maafkan kesilapan dia. Hukuman itu terlalu ringan," katanya yang juga pengamal undang-undang.

Tambahnya, apabila melibatkan perkara seksual ramai menganggap ianya adalah peribadi dan bergantung kepada kerelaan.

"Bila kerelaan dalam kes membabitkan budak bawah umur ianya tidak sah apatah lagi melibatkan soal maruah diri.  Misalnya dia rela tetapi tidak faham apa akibat daripada kerelaan itu.

"Sebab itu kita lihat negara barat penzinaan budak bawah umur satu kesalahan yang dikenakan hukuman mandatori walaupun bawah umur sebab kerelaan ini bukan kerelaan penuh kerana dia belum matang lagi," katanya.

Beliau juga kecewa, dahulu penzinaan akan dipandang satu kesalahan dosa besar sekarang ini masyarakat melihat ia seperti perkara biasa hanya disebut sebagai 'terlanjur'.

Situasi inilah katanya,  memberi implikasi besar kepada masyarakat hari ini apabila terlanjur akan anggap ia perkara enteng.

Hakikatnya, jelas Mumtaz ia membabitkan soal maruah dan jati diri, dara dan teruna akhirnya memberi kesan kepada hilangnya harga diri

Sementara itu, Ketua Penerangan Muslimat Pusat Aiman Athirah Al-Jundi berkata, keputusan mahkamah baru-baru ini dalam dua kes rogol statutori yang menurutnya "sangat malang kepada wanita Malaysia".

Katanya, perkembangan ini adalah suatu yang sangat malang kepada wanita Malaysia, apatah lagi di kala Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu sendiri diterajui oleh seorang Perdana Menteri.

"Bahkan ia jelas suatu yang sangat memalukan seluruh kaum wanita dan institusi wanita di seluruh negara," katanya.

Keputusan Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 28 Ogos lalu yang membebaskan seorang juruelektrik dengan ikat jamin RM25,000 dan bon jaminan berkelakuan baik atas tuduhan merogol gadis bawah umur.

Pemain boling kebangsaan Noor Afizal Azizan yang disabit di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah telah dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik kerana merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh Melaka pada 2009.

Urus pelabuhan: Kelantan hantar 34 pegawai ke Dubai

Posted: 06 Sep 2012 06:31 PM PDT

Salmah Mat Husain,
 
KOTA BHARU: Walaupun Pelabuhan Tok Bali belum beroperasi secara rasmi, namun pelabuhan berkenaan telah 'hidup' dengan aktiviti-aktivitinya yang tersendiri.
Pelabuhan itu kini sedang diurus oleh East Coast Terminal Sdn. Bhd sejak beberapa bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, menyedari keadaan itu kerajaan negeri telah meluluskan 34 orang wakilnya ke Dubai untuk mempelajari kaedah pengurusan pelabuhan.

Katanya, peserta  dari pegawai kerajaan negeri termasuk ahli Majlis Daerah Pasir Puteh mengadakan lawatan ke Dubai bagi mempelajari kaedah membina dan menguruskan pelabuhan.

Beliau berkata lawatan itu akan diketuai  Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim.

"Lawatan ini  penting sebagai persediaan kepada perjalanan Pelabuhan Tok Bali yang  bakal menjadi pelabuhan terpenting negara.

"Sekarang  inipun walau ianya belum siap sepenuhnya, pelancong sering mengunjungi Tok Bali untuk meninjau perkembangannya," ujarnya lagi.

Katanya, lawatan kerja itu juga untuk meninjau aspek pelabuhan termasuk menangani hakisan pantai di pelabuhan.

Pecah tanah tapak pelabuhan itu telah disempurnakan dengan rasmi oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada akhir Mac lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kota Darulnaim, di sini sempena majlis Aidilfitri Block 1, di sini kelmarin.

Bimbang ancaman pengganas 'syaitan yang dikenali'

Posted: 06 Sep 2012 06:30 PM PDT

Abdul Aziz Mustafa,
KUALA LUMPUR: Jika polis tidak mahu mengawal keselamatan rakyat yang bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) dari serangan demi serangan, lebih baik panggil pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengawal keamanan negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar melontarkan cadangan sinis itu ketika meluahkan kekesalannya terhadap sikap pihak polis yang bagaikan berpeluk tubuh terhadap serangan demi serangan yang dilakukan oleh gerombolan-gerombolan dari parti "syaitan yang kita kenali" terhadap rakyat yang bersama-sama PR.

"Bukan setakat serang ceramah-ceramah PR, serang pejabat parti-parti di dalam PR, tungging punggung ke arah pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), membakar rumah pemimpin PAS, hari ini sudah melarat kepada serangan ke atas masjid dan membaling selipar ke dalam rumah Allah itu.

"Tetapi seperti biasa, polis bagaikan tidak mahu bertindak apabila kezaliman dan penganiyaan dilakukan ke atas rakyat yang berada dalam PR.

"Kalau begitu, lebih baik panggil pasukan pengaman PBB untuk mengawal keamanan negara ini dan menjaga keselamatan rakyat," katanya.

Menurut Mahfuz, sebahagian besar rakyat kini bukan sahaja takut kepada penjenayah malah mereka juga semakin bimbang keselamatan mereka yang kian diancam oleh keganasan pengganas-pengganas parti "syaitan yang kita kenali".

"Lebih buruk lagi, polis seolah-olah memberikan perlindungan kepada pengganas-pengganas itu.

"Memberi perlindungan kepada pengganas-pengganas itu bermakna memberikan galakan kepada mereka untuk meningkatkan lagi keganasan mereka," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz mengingatkan, rakyat kini semakin terasa bahawa pihak polis seperti terlibat dalam konspirasi politik jahat untuk menyelamatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dari kejatuhan dan memburukkan PR.

"Kalau ada sedikit pun kesalahan dibuat oleh rakyat biasa ke atas pemimpin Umno BN, begitu pantas polis bertindak memburu, menangkap dan menggari mereka seperti penjenayah.

"Tetapi pengganas-pengganas dari parti 'syaitan yang dikenali' dibiarkan bermaharajalela untuk terus mengganas lagi," katanya.

Polis lebih sibuk memburu rakyat yang menolak pemerintahan Umno BN ketika indeks jenayah terus mengancam dan membimbangkan rakyat, kata Mahfuz.

"Ketika polis semakin gagal meyakinkan rakyat bahawa indeks jenayah berjaya mereka kurangkan, pada masa yang sama pengganas-pengganas dari parti 'syaitan yang dikenali' dibiarkan mengganasi rakyat," katanya.

Dua kejadian terakhir keganasan gerombolan parti 'syaitan yang dikenali' ialah serangan ke atas sebuah masjid dan ibu pejabat PKR.

Mahfuz menyifatkan keengganan polis bertindak tegas terhadap keganasan-keganasan itu meningkatkan lagi indeks jenayah di negara ini.

"Indeks jenayah yang menjadi-jadi dan menakutkan itu bukan dakwaan kita tetapi dibangkitkan oleh bekas Ketua Polis Negara sendiri," kata beliau.

Sebelum ini, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan bahawa kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat dan meminta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai.

Musa turut mengakui kadar jenayah di Malaysia pada hari ini berada di tahap yang membimbangkan.

Pas intai Raja Bahrin jadi calon

Posted: 06 Sep 2012 06:28 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

Raja  Bahrin
Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah 
 
KUALA Terengganu – Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah atau lebih dikenal sebagai Raja Bahrin berkemungkinan besar akan dicalonkan bertanding mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Walaupun belum pasti kesahihannya, namun desas-desus bertiup kencang sebelum ini hampir menjawab persoalan itu apabila Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mengesahkan Raja Bahrin antara nama yang sedang dinilai Pas untuk dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang.

Selain Raja Bahrin, penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus turut disebut-sebut sebagai calon, namun beliau memberitahu nama itudi luar penilaian pihaknya selepas difahamkan ikon agama itu tidak berminat menjadi calon.

"Raja Bahrin sedang dinilai, itu saya boleh terima. Nama dia telah dikemukakan kepada saya. Saya tidak boleh nafi, tetapi muktamadnya kita akan tentukan kemudian," katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Badan Perhubungan Pas Terengganu di pejabat parti itu di Jalan Sultan Omar, di sini.

Beliau turut memberitahu pihaknya belum membuat sebarang tawaran kepada Raja Bahrin memandangkan tiada keputusan muktamad mengenainya dan arkitek terkenal itu juga tidak pernah menawarkan diri menjadi calon.

Saya akan pertimbang: Raja Bahrin

Sementara itu Raja Bahrin ketika ditemui berkata, akan mempertimbang tawaran sebagai calon sekiranya ditawarkan Pas pada PRU13.

Bercakap kepada media di sini, semalam, Raja Bahrin menyifatkan ia satu penghormatan jika tawaran itu benar-benar berlaku, namun masih awal untuk memberi reaksi mengenai perkara itu.

Enggan mengulas jauh perkara itu, beliau bagaimanapun menganggap ia masih samar-samar walaupun Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mengesahkan nama beliau kini sedang dinilai sebagai calon bagi mewakili Pas pada PRU13.

"Jadi apa-apa yang berlaku selepas ini (tawaran sebagai calon), saya tidak dapat kata apa-apa sebab tiada perkara yang jelas. Saya tumpukan kerja dalam Amanah dahulu. Kita pun tidak tahu bila pilihan raya," katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, di sini, semalam.

Ditanya sama ada beliau bersedia menggalas tanggungjawab sekiranya dicalonkan kelak, Raja Bahrin menjelaskan bersedia memberi sumbangan dalam apa cara sekalipun.

Enam NGO laporan polis FB ugut PM

Posted: 06 Sep 2012 06:27 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

KUANTAN - Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun laman sosial Facebook yang didakwa mengeluarkan komen berunsur ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

NGO berkenaan terdiri daripada Pergerakan Pemuda Umno Paya Besar, Majlis Belia Felda Malaysia Wilayah Kuantan (MBFMWK), Majlis Belia Daerah, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kuantan, Persatuan Belia Kuantan dan Semangat Bakti.

Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan (MBFWK), Ahmad Saiful Romli berkata, pemilik akaun laman sosial yang menggunakan nama 'Aqyun Firdani' itu perlu disiasat pihak berkuasa kerana status yang ditulis akan mengganggu gugat keamanan negara apabila rakyat mula berani mengugut pemimpin negara.

Menurutnya, status yang berbaur ugutan bunuh itu tidak wajar ditulis oleh seorang warganegara yang baik.

"Dia tidak layak menjadi warganegara kerana tidak menghormati pemimpin negara, petualang sebegini perlu dikenakan tindakan setimpal seperti lucut kewarganegaraan.

"Kita juga bimbang jika media baru seperti Facebook dan laman blog dijadikan sebagai medium mencemuh pemimpin," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Paya Besar, Mohd Zulkifli Samsudin berkata, kenyataan pemilik laman sosial itu yang mengancam pemimpin negara dilihat sebagai kebudak-budakan dan mahu pihak polis melakukan siasatan secara mendalam.

Katanya, ia akan menjadi pengajaran kepada pihak lain yang cuba menimbulkan kekecohan.

"Kita tidak boleh menganggap ugutan ini sebagai perkara remeh kerana bimbang ia akan menjadi budaya kepada pihak yang tidak berpuas hati.

"Justeru, pihak berkuasa terutama polis harus telus dalam melakukan siasatan agar pemimpin negara tidak dihina sewenang-wenangnya," katanya.

Bagi Pengerusi Majlis Belia Daerah, Md Jamil Pauzi pula melahirkan rasa kesal apabila generasi belia sekarang terlalu mengikut emosi dalam bersuara.

Kertas siasatan insiden Janji Bersih ke Pejabat AG hari ini

Posted: 06 Sep 2012 06:21 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

 Insiden 30 Ogos
 
Insiden meletakkan gambar pemimpin negara dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya di kawasan Dataran Merdeka Khamis lalu. – Foto ihsan Gossip Rakyat
 
KUALA LUMPUR - Polis dijangka menghantar laporan siasatan penuh berhubung tindakan peserta Himpunan Janji Demokrasi di ibu negara 30 Ogos lalu kepada Pejabat Peguam Negara hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan) Kuala Lumpur, ACP Aziz

Zakaria berkata, laporan itu merangkumi tindakan peserta perhimpunan yang membawa bendera 'Sang Saka Malaya', memijak dan menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara.

"Laporan penuh itu dihantar untuk tindakan selanjutnya oleh Pejabat Peguam Negara," katanya kepada pemberita di sini.

Dipetik Bernama, beliau juga berkata, tiga lagi penganjur bersama perhimpunan itu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan selepas dua penganjur utama memberi keterangan hari ini.

Katanya, mereka ialah Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Hishamuddin Md Rais.

"Polis telah menghantar notis kepada mereka mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah, dan mereka juga telah bersetuju untuk hadir memberi keterangan kerana didakwa menganjurkan perhimpunan tanpa kebenaran, namun tarikh sebenar belum diputuskan," katanya.

Semalam, polis merakam percakapan Maria Chin Abdullah dan Sasterawan Negara A. Samad Said di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Mengulas permohonan maaf secara terbuka oleh seorang penuntut kolej swasta di Cheras kelmarin, yang ditahan kerana menunjuk punggung di khalayak ramai dalam insiden itu, Aziz berkata, polis tetap akan mengambil tindakan terhadap pelajar tersebut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Tindakan mereka yang terlibat adalah perbuatan yang biadap, dan ia menimbulkan kemarahan dan ketidakpuasan hati masyarakat menyebabkan lebih 250 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung perilaku mereka," katanya.

Isu tazkirah: Saya akan terus kaitkan Perkasa, kata Mahfuz

Posted: 06 Sep 2012 06:19 PM PDT

JAMILAH HAMZAH

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar 
 
SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar bertegas akan terus mengaitkan Perkasa Daerah Kota Setar terlibat dalam insiden membaling kasut ke arah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan tazkirah di Masjid Al-Hussain Seberang Pumpong, Alor Setar, Ahad lepas.

Menurutnya, walaupun bukti kejadian baling kasut tidak ditunjukkan dalam rakaman video yang dimuat naik di YouTube, namun ramai yang menyaksikan insiden itu.

"Kita bertegas akan ambil tindakan terhadap Perkasa walaupun bukti dalam rakaman tidak tunjuk ada insiden baling kasut itu.

"Kita sudah buat laporan polis dan imam masjid juga telah buat (aduan), kita tunggu laporan dan tindakan polis," katanya.

Kelmarin, Perkasa Daerah Kota Setar meminta Mahfuz supaya berhenti mengaitkan pertubuhan itu dengan insiden membaling kasut ke arah Anwar.

Pengerusinya, Datuk Yusoff Ismail berkata, dakwaan bahawa ahli Perkasa Kota Setar terlibat dalam kejadian itu adalah fitnah semata-mata kerana sehingga kini, Mahfuz tidak pernah memasukkan gambar kasut dan kejadian itu dalam blog atau YouTube.

Katanya, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena ada menyiarkan rakaman kekecohan di masjid itu tetapi gambar kasut yang didakwa itu tiada dan kerana itu beliau beranggapan ia satu pembohongan di pihak pemimpin Pas itu dan juga Anwar.

"Jadi kita minta Datuk Mahfuz kemukakan bukti (Perkasa Kota Setar terbabit dengan kejadian baling kasut itu) dan berhenti memfitnah kami. Kami belum bercadang ambil tindakan undang-undang tetapi jika ia berterusan, tidak mustahil kami akan berbuat demikian," katanya.

Mengulas lanjut, Mahfuz mengucapkan terima kasih kepada Perkasa daerah itu kerana secara terbuka mengaku kejadian tersebut didalangi oleh mereka.

"Apa pun saya ucap terima kasih kerana mereka (Perkasa) mengaku kejadian itu dilakukan oleh mereka.

"Kalau pun mereka dapati Anwar tak bertauliah, janganlah guna cara itu, guna cara yang betul," katanya lagi.

Kes Rogol Gadis Bawah Umur, PM Gagal Sebagai Pemangku Menteri Wanita

Posted: 06 Sep 2012 06:13 PM PDT




SHAH ALAM : Kerajaan perlu melantik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam tempoh terdekat berikutan kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku pemangku jawatan berkenaan.

Isu ini tercetus dan menjadi bualan umum disebabkan Najib didakwa gagal menjalankan tugas tersebut kerana tiada sebarang tindakan atau kenyataan diberi berhubung kes perogol gadis bawah umur yang dibebaskan Mahkamah Sesyen Pulau Pinang akhir Ogos lalu.

Mengulas perkara itu, Ketua Srikandi PKR, Siti Aisyah Shaik Ismail berkata adalah amat mengecewakan apabila perkara itu berlaku dengan tiada pembelaan dilihat bagi melindungi gadis bawah umur yang menjadi mangsa dalam kes berkenaan.

Lebih mendukacitakan, tambahnya, tiada sebarang tindakan diambil Perdana Menteri bagi mengangani perkara ini.

"Kita lihat tiada satu pun kenyataan daripada Perdana Menteri yang memangku jawatan tersebut yang secara lantang mengutuk dan mendesak segera agar kes ini dibuka serta hukuman setimpal dijatuhkan kepada pesalah.

"Sepatutnya kerajaan boleh menilai bahawa satu isu yang boleh dipandang serius tetapi jelas tidak hanya kerana ia tidak diberikan kepada seseorang yang berhak bagi menjaga kepentingan rakyat Malaysia iaitu wanita.

"Kita kesal kerana Perdana Menteri hanya disebabkan keangkuhannya yang tidak mahu melantik mana-mana pimpinan Wanita Umno dan BN sebaga orang yang menggalas tugas itu," katanya kepada TVSelangor ketika dihubungi di sini hari ini.

Najib bertindak sebagai pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berikutan berakhirnya tempoh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa 8 April lalu.

Dalam kes itu, Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membebaskan seorang juruelektrik, Chuah Guan Jiu, 22, dengan bon jaminan RM25,000 supaya berkelakuan baik atas kesalahan merogol teman wanitanya berusia 12 tahun sebanyak dua kali tahun lalu.

Mahkamah mengambil kira faktor Chuah yang masih muda dan kesalahan pertama serta hakikat bahawa perbuatan seksual adalah persetujuan bersama dan dia juga seorang murid tercicir.

Selain itu, kes lain berkaitan melibatkan pemain tenpin boling negara, Noor Afizal Azizan yang dibebaskan Mahkamah Sesyen Melaka pada 5 Julai 2010 dengan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun bernilai RM25,000 dengan seorang penjamin selepas mengaku salah merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka.

"Kalau kita teliti kedua-dua kes, kita melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan yang dikira luar jangka kerana kes yang melibatkan remaja itu harus dipandang penting dan juga harus diutamakan.

"Dalam kes ini disertakan dengan kenyataan seolah-olah memandang remeh pelakuan jenayah melibatkan remaja yang bakal mencorakkan sistem pentadibran dan kehidupan di negara ini. Ia sesuatu yang kita kesali," kata Siti Aisyah lagi.

PRU 13: Pas Terengganu mungkin letak calon wanita

Posted: 06 Sep 2012 06:10 PM PDT

SINAR HARIAN

Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13 
 
KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu mungkin meletakkan calon wanita pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), setelah tidak menurunkan calon wanita sejak 1959.
  
Pesuruhjaya Pas negeri Abdul Wahid Endut berkata Pas mahu meletakkan calon wanita pada pilihan raya kali ini bagi memastikan kumpulan itu turut diwakili di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
  
"Kita sedang beri perhatian khusus. Dewan Muslimat Pas Pusat juga telah meminta ada calon wanita di negeri ini. Sama ada Parlimen atau DUN kita tengok dulu," katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Terengganu di sini, hari ini.
  
Kali terakhir Pas Terengganu menurunkan calon wanita ialah pada pilihan raya Parlimen 1959 dengan meletakkan Khadijah Mohd Sidek bagi merebut kerusi Parlimen Dungun.
  
Khadijah mengalahkan Wan Salleh Abdul Kadir mewakili Front Sosialis dan Mohamed Adib Omar daripada Parti Perikatan, dan merupakan Anggota Parlimen wanita pertama Pas, dan wakil rakyat wanita pertama bagi Terengganu.

Menyentuh mengenai pembahagian kerusi antara Pas dan Parti Keadilan Rakyat di negeri ini, beliau berkata ia sudah selesai kecuali pembahagian 'satu atau dua' kerusi dan "kita tunggu keputusan daripada pusat."
  
Menyentuh mengenai DAP yang berhasrat bertanding di negeri ini, Abdul Wahid berkata walaupun parti itu menyatakan hasrat mereka, namun ia ditolak secara baik oleh Pas.
  
Mengulas mengenai Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah yang diuar-uarkan akan bertanding pada PRU-13 di negeri
ini, beliau berkata sama ada PAS akan menawarkan beliau bertanding sebagai calon Pas, masih belum dibincangkan.
  
Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen. Pada PRU tahun 2008, calon PKR bertanding di lima kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen manakala selebihnya ditandingi Pas.
  
Sementara itu, Raja Kamarul Bahrin Shah ketika ditemui pemberita di majlis itu berkata beliau bersedia untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, namun menegaskan tugasnya dalam Amanah menjadi keutamaan. - Bernama

Tiada ulasan: