Sabtu, 29 September 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Belanjawan Rakyat, Tapi Rugi RM28 bilion?

Posted: 28 Sep 2012 05:59 PM PDT

malaysiadaily 

Sebaik mana pun belanjawan dibentangkan, ia tidak berguna kepada rakyat kalau perlaksanaan penuh penyelewengan dan rugi RM28 bilion setahun, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Saya tidak boleh kata belanjawan yang dibentangkan oleh (Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) adalah belanjawan yang baik dan bertanggungjawab kepada negara dan generasi akan datang sebab (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri kaitkan Najib dengan perbuatan beli undi.

"Tetapi, kalau Najib mempunyai kebolehan untuk membentangkan belanjawan yang baik sekalipun, ia tidak berguna kepada rakyat apabila Ketua Audit Negara sendiri dedahkan negara mengalami kerugian sehingga RM28 bilion setahun yang diakibatkan oleh kelemahan pengurusan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN)," katanya.

Mohamad bersetuju dengan pandangan ramai bahawa belanjawan yang dibentangkan oleh Najib hari ini adalah "belanjawan beli undi".

Dr Mahathir sebelum ini mengakui bahawa tindakan pentadbiran Najib memberi wang tunai kepada rakyat menghampiri kepada pembelian undi.

Bagi Mohamad, pembelian undi adalah rasuah terang-terangan tetapi lebih buruk lagi penyelewengan dalam perlaksanaan apa yang dibentangtkan dalam belanjawan.

"Dalam belanjawan hanya nyatakan hendak beli peralatan tentera. Itu baik.

"Tetapi dalam perlaksanaannya, gasak duit rasuah dalam pembelian kapal selam malah sehingga berbunuh-bunuh," katanya.

Ayat-ayat hendak minta duit dalam belanjawan, katanya, boleh dikatakan hampir semuanya manis-manis belaka.

"Tetapi dalam perlaksanaan, beli pemutar skru lima kali daripada ganda harga biasa," katanya sambil menyatakan contoh itu hanya contoh terlalu kecil dari pelbagai perbuatan khianat kepada negara yang menyebabkan negara mengalami kerugian sehingga RM28 bilion seperti yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara.

Mohamad juga menggelar belanjawan Najib sebagai belanjawan sembunyi fakta berikutan keengganan kerajaan membentang laporan Ketua Audit Negara bersama belanjawan.

Pada kebiasaannya, laporan audit tahunan itu dibentangkan bersama dengan belanjawan.

Tetapi, dalam pemerintahan Najib, iaitu bermula tahun lalu, laporan audit dibentangkan selepas belanjawan.

Dalam perkembangan berkaitan, Reuters melaporkan, belanjawan yang dibentangkan oleh Najib dijangka akan menggula-gulakan pengundi kerana kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang lebih diutamakan dari menangani hutang negara yang semakin meningkat. -DD

Bajet 2013: Bukti Malaysia mengalami krisis hutang, pendapatan berkurangan, kata Tony Pua

Posted: 28 Sep 2012 05:55 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Bajet 2013 yang bernilai RM251.6 billion yang dibentangkan Putrajaya hari ini - berbanding RM252.4 billion — menunjukkan pendapatan kerajaan semakin berkurangan, dan Malaysia bakal terdedah dengan krisis hutang seperti di Sepanyol, kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua hari ini.

Beliau mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana gagal untuk menggunakan kemahuan politik yang diperlukan untuk mengelakkan dari mengalami krisis kewangan yang sama.

"Bajet ini menunjukkan tidak ada kemahuan politik dari kerajaan persekutuan untuk mengubah struktur untuk menguruskan bajet.

"Kita dapat lihat penurunan perbelanjaan dalam pembangunan," katanya lagi dalam kenyataannya.

Beliau juga mengkritik pentadbiran Najib, dengan berkata tidak serius dalam menangani hutang kerajaan persekutuan yang semakin meningkat.

"Ini merupakan pelaburan lebih rendah oleh Kerajaan berdasarkan hasilnya sekarang dan akan mengakibatkan pulangan rendah buat ekonomi pada masa akan datang," kata Pua yang mengatakan pendapatan tahun ini hanya berjumlah RM208.6 billion, manakala hutang dijangka terus meningkat sebanyak RM502 billion, meningkat 107.4 peratus dari hutang lapan tahun lalu.

Beliau berkata dari 2003 hingga 2008, hutang negara bertambah dari 21.9 peratus, dari RM10.5 billion, kepada RM12.8 billion, tetapi melonjak dalam masa lima tahun sebanyak 73.4 peratus.

Hutang kerajaan persekutuan juga dijangka meningkat memandangkan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari 51.8 peratus kepada 53.7 peratus, di bawah 55 peratus dari had hutang kerajaan persekutuan, kata Pua.

Menurut setiausaha publisiti DAP itu, kerajaan juga telah secara terus menerus memotong perbelanjaan untuk pembangunan "yang akan memberi kesan kepada ekonomi".

"Apa yang menakutkan ialah, liabiliti kerajaan dijangka meningkat pada tahun 2013 kerana projek MRT sebanyak RM53 billion dan juga projek mega infrastruktur yang lain," katanya lagi.

Beliau juga memberi perhatian terhadap Sepanyol, di mana negara Eropah itu berhutang 68.5 peratus dari KDNK dan masih mengalami masalah krisis ekonomi dan perlu ditebus hutang sebanyak ratusan billion Euro, yang menyebabkan kehancuran ekonomi kerana menanggung liabiliti dan tebus hutang bank.

"Kita mesti tidak terjerumus dalam masalah yang sama," kata Pua lagi.

Posted: 28 Sep 2012 05:53 PM PDT

MB Selangor dakwa bajet 2013 bukti BN takut hilang kuasa

 
KUALA LUMPUR— Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib pada hari ini membuktikan Barisan Nasional (BN) takut kehilangan kuasa di Putrajaya.

Dalam kenyataan medianya, Abdul Khalid menyifatkan keutamaan dan fokus BN dalam pembentangan bajetnya hanya semata-mata untuk kekal ditampuk kuasa tetapi bukannya mementingkan rakyat.

"Perbezaan antara bajet Pakatan Rakyat (PR) dan BN ialah isu fokus dan keutamaan yang mana Najib lebih tertumpu untuk mengekalkan  Putrajaya," katanya.

Keutamaan PR menurut MB Selangor itu adalah mengurangkan beban menanggung kos sara rendah yang meningkat setiap hari tetapi sebaliknya yang berlaku apabila BN bersikap mempertahankan polisi seperti permit AP, penswastaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan 1Malaysia Development Berhad.

Menurut beliau lagi, berbanding dengan BN yang suka berbelanja besar dalam bajet mereka serta mengakibatkan banyak ketirisan dan amalan rasuah, PR lebih mementingkan pengurusan sumber manusia.

"Ini penting untuk kita terjemahkan pengurusan sumber manusia secara berkesan dan berhemat dan boleh membawa manfaat rakyat. PR mampu melakukannya kerana kita yakin boleh mengurangkan ketirisan dan amalan rasuah.

"Sekiranya negara diurus secara telus dan bertanggungjawab, amalan rasuah mampu dikurangkan dan lebih banyak peruntukan dapat disalurkan kepada rakyat," katanya.

MB Selangor tersebut juga memberi contoh rakyat di Selangor dan Pulau Pinang keberkesanan perkara ini dan sudah dibuktikan menerusi laporan audit yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara.

"Di Selangor, misalnya, kita menyelamatkan 20-30% daripada kos operasi apabila kita memansuhkan golongan rentier dalam pengurusan sampah," katanya.

Dalam pembentangan bajet pada hari ini yang dianggap sebagai yang terakhir sebelum parlimen dibubarkan, Najib telah mengumumkan banyak insentif dan gula-gula khasnya kepada penjawat awam dan orang ramai bagi memancing undi.

Najib menawarkan "gula-gula" dalam Bajet 2013 hari ini, menggunakan RM3 bilion wang pembayar cukai untuk pemberian wang tunai kepada keluarga berpendapatan kurang daripada RM3,000 dan bonus 1.5 bulan untuk 1.4 juta penjawat awam dalam apa yang dilihat sebagai bajet pilihan raya sebelum pilihan raya akan datang yang perlu diadakan menjelang pertengahan 2013.

Perkasa: Bajet 2013 BN lebih baik dari bajet PR

Posted: 28 Sep 2012 05:51 PM PDT


KUALA LUMPUR — Bajet 2013 yang dibentangkan Putrajaya hari ini adalah lebih baik daripada bajet alternatif yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat (PR), kata Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali (gambar) hari ini.

Menurut ahli parlimen Pasir Mas itu, bajet ini adalah bajet "pukul habis" kepada PR kerana banyak manfaat yang diberikan kepada rakyat.

"Bajet ini lebih baik kerana tidak ada cukai baru, bahkan lebih banyak penurunan cukai, selain dari peningkatan pelaburan asing dan ekonomi yang lebih baik.

"Bajet ini jelas menenggelamkan bajet yang dibentangkan PR, dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Najib Razak atas bajet ini," kata Ibrahim lagi.

Katanya, beliau tidak kisah bahawa ini adalah bajet untuk memenangi pilihan raya.
"Tidak ada salahnya untuk membuat bajet untuk memenangi pilihan raya.

"Memang tujuannya untuk memenangi pilihan raya, asalkan bajet itu memberi manfaat kepada rakyat, itu tidak menjadi masalah.

"Lagipun, pilihan raya berlangsung 4-5 tahun sekali, apa masalahnya," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider melalui telefon selepas Bajet 2013 dibentangkan di Parlimen hari ini.

Menurut Ibrahim lagi, bajet kali ini menyentuh semua kaum dan masyarakat, tetapi pembahagian kek ekonomi yang adil adalah fokus utama Perkasa.

"Kalau kita lihat, lebih banyak fokus diberikan terhadap Bumiputera, dan ini dapat membantu Bumiputera untuk mencapai kek ekonomi 30 peratus seperti yang disasarkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB)."
Menurut beliau, sebagai contohnya projek MRT yang berharga RM9 billion, di mana 43 peratus daripadanya dijalankan oleh syarikat bumiputera.

Najib juga memberikan RM250 bagi yang belum berkahwin dan berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM2,000, yang membentuk seramai 3 juta pengundi baru dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Putrajaya juga mengurangkan satu peratus cukai pendapatan bagi yang berpendapatan RM50,000 pendapatan bercukai setahun, menyediakan bantuan kecil kepada 1.2 juta pembayar cukai dalam negara yang mempunyai rakyat seramai 28 juta.

Kerajaan juga akan membelanjakan RM1.9 bilion untuk membina 123,000 unit perumahan untuk mereka yang berpendapatan antara RM3,000 dan RM5,000.

"Bagi saya, semua cadangan yang diberikan adalah untuk memberikan impak yang lebih baik untuk rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah," kata Ibrahim lagi.

Pemanis Bajet mungkin tidak akan memaniskan PRU 13 BN, kata penganalisis

Posted: 28 Sep 2012 05:41 PM PDT





KUALA LUMPUR — Pengundi Malaysia sudah lebih matang dan tidak mudah terpengaruh dengan insentif tunai dan lain-lain faedah pemberian "one off" untuk mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang kata penganalisis politik apabila ditanya tentang kesan pembentangan Bajet 2013 semalam.

Pemerhati politik yang ditemuramah oleh The Malaysian Insider keseluruhannya bersetuju bahawa RM251.6 bilion yang diumumkan semalam yang menjanjikan pemberian wang tunai dan potongan cukai tersebar di seluruh lembaga bertujuan untuk merayu kepada kumpulan-kumpulan demografi utama menjelang PRU ke-13, tetapi berkata pengundi telah menjadi semakin licik dan mampu menilai keuntungan peribadi jangka pendek terhadap kesan jangka panjang fiskal kepada ekonomi negara.

"Hanya dua perkataan untuk menggambarkan ia — bajet pilihan raya," kata pensyarah sains politik Universiti Monash, Dr James Chin.

Beliau berkata perdana menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak telah "menarik keluar semua sentimen pengundi terhadap mereka, untuk membiarkan mereka berfikir dua kali tentang mengundi pembangkang "dalam pilihan raya yang mesti akan diadakan pada April depan selepas mandat lima tahun yang BN menangi Mac 2008 tamat.

"Orang ramai akan membandingkan bajet Pakatan Rakyat dan juga akan melihat bagaimana pusingan kedua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ini akan merangsang inflasi," tambah beliau.

Pakatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang ditubuhkan empat tahun lalu dalam selepas kemenangan dalam PRU 2008 telah berjanji untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat Malaysia dalam set cadangan Bajet alternatif hanya dua hari sebelum pentadbiran Najib mengumumkan cadangan rasmi untuk perbelanjaan dan cukai.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendapatan boleh guna akan meningkat melalui langkah pembaharuan fiskal seperti memotong cukai import bagi kereta buatan asing, pemansuhan tol dan pengecualian pinjaman pelajar, sebagai usaha PR untuk menggagalkan pengumuman Bajet Najib.

Anwar berkata kerajaan PR dapat membayar untuk langkah-langkah yang dicadangkan tidak melalui menaikkan cukai tetapi dengan mengurangkan ketirisan yang timbul akibat ketidakcekapan dan rasuah.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr Arnold Puyok berkata, gula-gula yang diumumkan bagi golongan muda dan bujang "adalah satu petunjuk bahawa parti pemerintah bersedia untuk memenangi hati dan minda pengundi kali pertama dalam pilihan raya akan datang".

Beliau berkata ia masih terlalu awal untuk memberitahu jika pemanis itu akan menyebabkan pilihan raya sengit itu akan memihak kepada BN.

"Orang-orang muda tidak mudah tertarik kepada insentif kewangan terutama apabila berkaitan dengan politik pilihan raya. Mereka mungkin menganggap gula-gula sebagai satu bentuk bantuan kerajaan. Akan tetapi, sama ada ini akan diterjemahkan sebagai undi masih belum dapat dilihat," kata Dr Arnold
Penganalisis lain, Dr Faisal Hazis, percaya pengundi telah lebih bijak semenjak pilihan raya 2008.

"Pengundi sekarang ini lebih bijak, tidak lagi mudah untuk digula-gulakan seperti dulu," kata ketua jabatan sains politik dan hubungan antarabangsa, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

"Pemberian tunai seperti BR1M ini tidak dapat menjanjikan sokongan kekal, sepertimana yang ditunjukkan dalam tinjauan Merdeka Center beberapa bulan dahulu dimana peratus sokongan terhadap Najib meningkat selepas pemberian BR1M tetapi menurun tidak beberapa lama selepas itu," kata Dr Faisal.

Menurut pengumpul suara bebas Merdeka Center, perincian kelulusan peribadi PM susut empat peratus dalam kaji selidik yang terakhir Mei dari 69 per peratus kepada 65 peratus pada Februari, berikutan pertempuran ganas tahun lepas antara polis dan penunjuk perasaan dalam perhimpunan pada 28 April bagi menuntut daftar pemilih dibersihkan.

Herizal Hazri, timbalan wakil negara The Asia Foundation (TAF), sebuah NGO Amerika Syarikat yang berusaha untuk meningkatkan tadbir urus, undang-undang, dan isu-isu masyarakat sivil melalui dasar berkata bajet mesra rakyat yang menjurus ke arah membantu golongan berpendapatan rendah adalah satu langkah positif untuk meningkatkan pendapatan boleh guna dan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik, akan tetapi menekankan kekurangan kawalan untuk memantau perbelanjaan kerajaan.

"Apa yang membimbangkan dalam bajet ini adalah bahawa tidak ada perbincangan mengenai kaedah untuk memantau pelaksanaan belanjawan, sama ada ia benar-benar akan dijalankan secara telus atau sebaliknya," katanya.

Prof Dr Jayum A Jawan pensyarah politik dan kerajaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkongsi pandangan sama dengan Dr Faisal, menerangkan pemberian 'one-off' sebagai aksi populis untuk memancing undi di kalangan kumpulan yang kurang politik sedar biasanya di kawasan luar bandar, terutamanya pedalaman kedua-dua negeri Malaysia timur merentasi Laut China Selatan yang masih sebahagian besarnya hutan.

"Peruntukan untuk pengangkutan, infrastruktur awam, nelayan, petani dan kepada orang-orang di Sabah dan Sarawak adalah sangat dialu-alukan. Satu perkara yang membimbangkan ialah bagaimana akan semua ini akan dihantar? Semua cadangan akan mencapai lelaki di kawasan pedalaman di sana?" tanya timbalan dekan pengajian siswazah di fakulti ekologi manusia, UPM.

"Pemberian 'one-off' adalah hanya sementara dan akan mempunyai kesan terhad pada sesetengah orang," katanya.

Dr Jayum berkata beliau bimbang bajet itu terlalu tertumpu pada kos operasi dan mengingatkan bahawa kerajaan diperlukan untuk memastikan peningkatan tahap produktiviti di kalangan tenaga perkhidmatan awam untuk mengimbangi kos operasi yang terlalu tinggi.

Seperti Dr Jayum, Dr Chin dari Monash University itu adalah juga teragak-agak untuk mengatakan bahawa itu cadangan mesra rakyat untuk mengurangkan peningkatan kos hidup Najib yang diletakkan dalam Bajet 2013 akan mengakibatkan pengundi kembali memihak kepada BN di peti undi yang mana ia adalah perkara-perkara paling penting.

"Ujian muktamad bajet adalah reaksi pasaran saham pada hari Isnin, ia pasti akan naik dan juga akan memberi kesan  kepada tawaran permulaan awam (IPO) Astro. Ia semua sesuai untuk masuk.
"Jika beliau (Najib) tidak memanggil pilihan raya sekarang, beliau gila," kata Dr Chin.

Surat cinta Anwar, tongkat Nik Aziz antara dilelong

Posted: 28 Sep 2012 05:32 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Lelongan barangan kenangan pemimpin Pakatan Rakyat (PR), antaranya tongkat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan 'surat cinta' Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjana RM182,000 untuk tabung Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) perikatan itu.

Lelongan diadakan pada majlis makan malam perdana PR di sini malam tadi.

Harga lelongan tertinggi dibayar kepada surat cinta Anwar, Ketua Pembangkang, kepada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang ditulis beliau dari penjara.

Ia dibeli dengan RM50,000 oleh Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, pemimpin dari Sabah yang bulan lalu meninggalkan Umno dan BN.

Ia diikuti oleh kartun dilukis secara 'live' oleh Kartunis Zunar yang bertajuk 'Kuasa Rakyat' yang dibeli dengan harga RM32,000, lapor Harakahdaily.

Pen yang digunakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang ketika dalam penjara, dibeli dengan harga RM23,000 oleh Exco Selangor, Ronie Liu.

Gambar santai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta terendak nelayannya dibeli dengan harga RM17,000. Ia dibeli oleh Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong Pas Selangor, Sri Jalaraman.

Selain itu, barangan dan gambar milik Datuk Fadzil Nor, bekas Presiden Pas, berjaya dilelong dengan harga RM11,000, gambar asal graduasi Dr Syed Husin Ali (RM15,000) dan tongkat Nik Aziz (RM12,000) dan poster filem Karpal Singh (RM12,000).

Di samping kutipan melalui lelongan itu, majlis itu berjaya mengutip lebih RM22,000 melalui jualan meja.

"Ini bermakna, lebih RM200,000 kita berjaya kutip malam ini," kata Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr Hatta Ramli.

Bajet 2013: Rayuan Najib, sindirian Anwar

Posted: 28 Sep 2012 05:26 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

Parlimen Bajet 2013
Ahli-ahli Parlimen pembangkang mengangkat laporan Bajet Pakatan Rakyat 2013 sebaik tamatnya pembentangan belanjawan oleh Najib Tun Abdul Razak petang tadi. - Foto Bernama
 
Najib

KUALA LUMPUR - Sementara Datuk Seri Najib Tun Razak mengakhiri ucapan Bajet 2013 dengan menegaskan masanya hampir tiba apabila rakyat akan membuat pilihan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mendakwa pembentangan bajet kali ini oleh Perdana Menteri adalah untuk menaikkan popularitinya.

Anwar berkata, pembentangan bajet itu hanya memberi kekayaan ekonomi kroninya sahaja.

Katanya, "ya, dekat pilihan raya, isu untuk menjadikannya (bajet) populariti itu betul, kalau kecil-kecil tak mengapa."

"Tapi Najib perlu menyatakan isu-isu berkaitan harga barang keperluan dan perkhidmatan (GST) perlu difokuskan bukannya dengan hanya memberi insentif," katanya kepada pemberita di luar bangunan Parlimen petang ini.

Sebelum ini, ramai pihak termasuklah pemimpin PR mengatakan Najib akan menggunakan Bajet 2013 sebagai menaikkan kembali popularitinya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini pernah berkata, bajet yang akan dibentangkan Najib hari ini akan menjadikannya sebagai platform untuk meraih kembali popularitinya.

Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, kemungkinan trend semasa akan naik semula memandangkan Najib akan mengumumkan Bajet 2013 hari ini.

Justeru, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, bajet yang dibentangkan Najib bersifat gimik politik dan bukan untuk rakyat.

Tambahnya, pembentangan bajet tersebut hanya mengetengahkan ekonomi negara yang kukuh tetapi tidak menekankan cara untuk meningkatkan pendapatan negara.

Dalam ucapannya, Najib yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, masanya hampir tiba apabila rakyat akan membuat pilihan bagi menentukan masa depan mereka dan anak-anak mereka sambil menggesa rakyat memberikan mandate kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada.

Perdana Menteri berkata persoalan yang perlu ditanya semasa membuat keputusan ialah sama ada kehidupan mereka hari ini lebih baik berbanding semalam dan sama ada hari esok menjanjikan harapan yang sarat dengan peluang serta potensi.

"Jika jawapannya ya, maka tanpa ragu-ragu berilah mandat kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada," katanya ketika membentangkan Bajet 2013 berjumlah RM251.6 bilion di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib yang mengumumkan bahawa Bajet 2013 sebagai yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, berkata ia merupakan antara siri-siri belanjawan yang akan mendorong negara tercinta ke arah pencapaian wawasan nasional.

"Sebagai parti yang telah dimandatkan, kami menyeru rakyat menilai secara kritikal dan rasional akan titipan rekod kejayaan yang dimiliki oleh Barisan Nasional (BN). Kerajaan BN dan sebelum itu perikatan telah selama 55 tahun mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata, hakikat rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan BN sebanyak 12 kali tanpa putus sejak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh kerajaan sedia ada.

"Kita tahu ada pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan. Secara berlapang dada, dalam sebuah negara yang demokratik, kita faham tidak salah menawarkan diri, kerana mereka juga ada hak,  namun pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan siapa akan mendapat mandat melalui peti undi," kata beliau.

Sambil memetik madah pujangga, bumi mana tak ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak, Najib turut mengakui bahawa kerajaan BN tidak bebas daripada kekhilafan tetapi yang membezakan BN dengan pakatan pembangkang ialah mereka tidak mempunyai ketawadu'an untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan penuh gempita menyalahkan orang lain.

Najib berkata, pucuk pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini juga perlu dinilai catatan rekod mereka.

"Kerana mereka bukan tidak dikenali rakyat Malaysia. Malah, ada di kalangan mereka pernah diamanahkan sebagai kepimpinan tertinggi yang mengurus khazanah negara. Tidak cukup dengan itu, hari ini di beberapa negeri mereka juga mengepalai kerajaan.

"Kalau hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus bertanya, apabila kerajaan berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan.

"Hakikatnya, jika kita berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang," katanya.

"Bukankah apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini dibuatnya?" kata beliau.

Katanya jika kini, di negeri-negeri yang ditadbir mereka, apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun masih tinggal janji, mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa.

"Ini berbeza dengan kerajaan BN. Apabila berjanji, ditepati. Bahkan sebelum berjanji pun lagi, kita bersikap bertanggungjawab, dengan menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan atau tidak. Bukannya mengambil sikap asal menang, segala-galanya sanggup dipertaruhkan. Sebaliknya bila menang, janji hilang entah ke mana."

Najib berkata, kerajaan BN juga pada hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala kepada rakyat sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan terhadap segala masalah mereka.

Memetik kata-kata seorang ahli falsafah Yunani "The measure of a man is what he does with power" Najib berkata justeru pada hari ini, untuk berkuasa, ada sesetengah pihak sanggup mengadu domba antara agama dan bangsa,  sanggup menggadai segala-galanya hatta prinsip sekalipun demi kerakusan kuasa.

Katanya, kerajaan BN dibimbing prinsip "fastabiqul khairat" seperti yang terkandung dalam ayat al-Quran yang dibacanya di awal ucapannya, iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Beliau turut membidas sikap pihak tertentu yang mencadangkan supaya keseluruhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan dan menyifatkannya sebagai perbuatan yang amat tidak  bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, rakyat Malaysialah yang akan terbeban menanggung lebih RM30 bilion hutang PTPTN.

Katanya, pada hakikatnya kerajaan BN adalah perintis kepada perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional tetapi pihak lain yang ingin menjadi kerajaan merintis kekuatan melalui konflik dan kebencian dan kerajaan  difitnah serta dituduh semahunya.

"Maka, saya menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi Kerajaan BN dengan amal perbuatan bukannya retorik. Marilah bersama-sama saya dan rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi yang ada bagi membina  sebuah negara yang boleh kita banggakan. Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda dikasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati  dan yang berbakat digilap.

"Sesungguhnya kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global. Mudah-mudahan dengan izin-Nya  dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina sebuah realiti dari impian.

Kepada ALLAH kita berserah," katanya mengakhiri ucapan pembentangan Bajet 2013 itu.

Tiada ulasan: