Sabtu, 22 September 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Audit PKR di Selangor ada unsur penipuan, kata SPR

Posted: 22 Sep 2012 06:22 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


PUTRAJAYA, — Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini mendedahkan tentang terdapatnya unsur penipuan yang berlaku dalam audit daftar pemilih yang dilakukan oleh PKR di negeri Selangor.

Menurut Abdul Aziz (gambar), penipuan dikesan sewaktu dijemput dalam sebuah program radio Bernama bersama-sama setiausaha agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini.

"Dalam program tersebut Saifuddin menunjukkan kepada wartawan gambar sebuah 'Dangau' yang dikatakan terdapat 18 orang pengundi berdaftar di Kampung Sungai Pusu, Gombak.

"Saya minta dia tunjukkan gambar tersebut, gambar tersebut kami ambil untuk buat kajian.

"Namun apabila SPR turun dilapangan, rupa-rupanya, Dangau itu adalah tempat letak motosikal dan sebenarnya terdapat 32 buah keluarga tinggal kampung tersebut, gambar tersebut sebenarnya di crop.

"Ini salah satu bukti penipuan dalam audit yang dilakukan oleh PKR," kata Abdul Aziz kepada pemberita.

Dangau adalah merujuk kepada pondok di dalam loghat Kedah yang digunakan oleh Saifuddin.

"Sebab itu apabila terdapat kekeliruan atau tidak jelas tentang sesuatu perkara, datang berjumpa SPR.

"Jangan terus dedah kepada media kerana ini akan mengelirukan orang ramai," kata pengerusi SPR itu lagi.

Abdul Aziz turut menunjukkan gambar-gambar hasil penyiasatan yang dilakukan oleh pasukan penyisat SPR Selangor ke Kampung Sungai Pusu yang menunjukkan 32 keluarga yang menetap di kampung tersebut menggunakan satu alamat yang terletak di pondok tersebut.

Baru-baru ini kerajaan negeri Selangor mengumumkan tidak akan membubarkan dewan undangan negeri (DUN)serentak dengan pilihan raya umum (PRU) oleh kerana daftar pemilih yang tidak bersih.

Dalam statistik terbaru SPR digazet pada 16 Ogos yang dihantar kepada The Malaysian Insider, SPR merekodkan jumlah pemilih berdaftar seramai 13,052,374 orang di mana 12,778,127 orang adalah pengundi biasa dan 274,247 orang adalah pengundi tidak hadir yang terdiri daripada tentera, polis dan pengundi luar negara.

Selangor mempunyai pengundi luar negeri yang paling tinggi iaitu 597 orang manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai jumlah pengundi tidak hadir paling tinggi iaitu seramai 40,543 orang.--The Malaysian Insider

Belanjawan, Pilihan Raya Bakal Hangatkan Sidang Parlimen Kali Ini

Posted: 22 Sep 2012 06:19 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR-- Persidangan Dewan Rakyat yang membuka tirai Isnin ini dijangka menjadi tumpuan umum bukan sahaja kerana pembentangan Belanjawan 2013, tetapi juga bagi membaca tarikh pilihan raya umum ke-13.

Spekulasi bahawa ini mesyuarat terakhir kembali hangat setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berseloroh menyatakan sudah teringin mengumumkan pilihan raya ketika melawat Machang, Kelantan awal bulan ini.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mandat kerajaan yang ada sekarang akan tamat pada 28 April 2013, dan menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Parlimen akan terbubar secara automatik jika Yang di-Pertuan Agong tidak membubarkannya sebelum tarikh itu.

"Selepas itu SPR diberi tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya umum bagi membentuk kerajaan baharu. Perkara sama terpakai untuk dewan undangan negeri kecuali Sarawak," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Mesyuarat ketiga penggal kelima ini akan berlangsung selama 34 hari hingga 27 Nov dan pastinya spekulasi pilihan raya umum menjuruskan mata rakyat kepada Belanjawan 2013 yang akan dibentang Najib pada Jumaat ini.

Rakyat secara keseluruhan pasti menunggu apakah 'khabar gembira' untuk mereka terutama dalam menangani kenaikan harga barang, manakala bagi 1.4 juta penjawat awam pula ternanti-nanti pengumuman penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia.-- BERNAMA

Surat palsu PM: Pensyarah UiTM buat laporan polis

Posted: 22 Sep 2012 06:17 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


MELAKA - Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Lendu di sini, Muhammad Anwar Fahmi Abdullah membuat laporan polis berhubung penyebaran surat mengenai pelantikan Datuk Prof. Madya Dr. Mizan Hitam sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Muhammad Anwar berkata, laporan polis itu dibuat kerana penyebaran surat palsu yang turut mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas nama Presiden UMNO tersebut adalah berunsur fitnah.
"Saya melihat ada cubaan pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi pelantikan Mizan yang sebelum ini Rektor UiTM cawangan Lendu.

"Penyebaran surat palsu ini sebenarnya bermotifkan usaha memburuk-burukkan kepimpinan Najib selain cuba memalukan Mizan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Anwar membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah kira-kira pukul 12.30 tengah hari.- UTUSAN

Sebelum kalah, Najib guna helah gambar untuk MENIPU rakyat & musuh Umno?

Posted: 22 Sep 2012 06:12 AM PDT

Maria Begum, Malaysia Chronicle


Sejak akhir-akhir ini, sungguh ketara betapa goyahnya kedudukan PM Najib Razak di dalam partinya sendiri, UMNO. Penipuan terbarunya melibatkan gambar yang telah diubah untuk menampakkan dirinya mendapat sokongan yang begitu hebat dari apa yang sebenarnya.

Walaupun cepat tidak mengaku bahawa gambar itu telah diubah oleh Bernama, pengkritik percaya bahawa peristiwa ini akan meninggalkan kesan yang tidak diingini dan juga menaikkan kemarahan rakan-rakannya dalam Umno dengan cubaan terbaru untuk menyembunyikan hakikat sebenar.

"Kelemahan utama Najib adalah keangkuhannya. Malah ada yang berkata ini digalakkan oleh isterinya Rosmah Mansor dan atas sebab itu, semasa pentadbiran Najib, Pejabat Perdana Menteri telah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk hubungan awam dan perunding imej untuk memberi gambaran imej yang palsu bagi diri mereka.

Sama ada ia dilakukan untuk memberi semangat kepada diri mereka atau menunjuk-nunjuk kepada rakyat, saya rasa ada diantara perunding luar ini telah dikenalpasti, dikecam dan juga sedang disiasat di negara mereka sendiri," Naib presiden PKR, Chua Jui Meng memberitahu Malaysia Chronicle.

"Sekarang, Najib dituduh menggunakan khidmat Bernama untuk mengubah gambar Raya dimana ia nampak seperti 100,000 orang telah berkunjung ke majlis rumah terbuka itu. Sudah tentu ini akan menjadikan panglima Umno marah tidak terhingga. Bagi saya sendiri, menggunakan taktik sebegini adalah perbuatan tidak masuk akal. Dia menjadikan dirinya seperti keluarga Kim di Korea Utara. Ketara palsu dan tersangat 'Bolehland'"

Sejak menjawat jawatan tertinggi kerajaan pada April 2009, Najib telah membayar berates-ratus juta ringgit kepada syarikat media termasuk APCO yang ada kaitan dengan ShinBet dan juga FBC Media dari UK. Terbaru, PM Malaysia tersipu-sipu apabila kolumnis pro-Israel, Joshua Trevino telah dipecat daripada The Guardian kerana memetik kata Najib tanpa memaklumkan bahawa dia merupakan "seorang perunding bagi sebuah agensi tajaan Malaysia dan mengendalikan sebuah laman web Malaysian Matters"

Tercetusnya perang suadara dalam Umno


Sememangnya gambar itu begitu ketara seperti sudah diubah. Seorang pemimpim pembangkang telah menyedari hal ini sejurus selepas ia dikeluarkan di surat-surat khabar. Tambah pula, akhbar-akhbar ini turut melaporkan bahawa hanya 10,000 orang pengunjung menghadiri rumah terbuka timbalan Najib, Muhyiddin Yassin.

Ini membuktikan khabar angin yang menyatakan bahawa ada perebutan kuasa sedang berlaku dalam Umno, parti politik terbesar negara yang juga Boss pakatan BN, sedang meletus. Dan puncanya? Najib yang menagguh-nagguhkan PRU ke-13.

Kedua-dua Najib dan isterinya yang cukup berpengaruh, Rosmah seperti mahukan pilihanraya diadakan pada tahun hadapan apabila mandat 5 tahun BN akan berakhir.

Namun Muhyiddin, bekas pm, Mahathir Mohamad dan panglima UMNO yang lain sedang mendesak agar pilihanraya diadakan lebih awal, dan penyokong Muhyiddin telah dengan terang-terangan mendesak agar PRU ke-13 diadakan pada bulan ini juga. Spekulasi bahawa poster yabg digantung di beberapa tempat strategik di Johor, negeri kelahiran Muhyiddin, mendesak agar MP Pagoh itu untuk menggantikan Najib sebagai presiden Umno dan juga PM berlaku akibat ketidakpuasan hati mereka.

Poster-poster itu berlatar belakangkan bendera Malaysia dengan tulisan 'Kami Mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin Sebagai PM Sebelum PRU 13' dan juga 'Selamatkan Barisan Nasional' "Mereka menyalahkan Najib kerana menagguhkan pilihanraya sehingga sekarang apabila sudah jelas bahawa BN sudah kehilangan taringnya dn mereka semua terpaksa bergelut dan berjuang untuk mempertahankan kerusi," kata Jui Meng lagi.

Tidak lagi dimahukan:Ujian Asid- adakah anda suka akan Najib?

Dalam pada itu, semasa menafikan bahawa gambar itu diubah, Ketua Pengarang Bernama, Yong Soo Heong mengaku bahawa jurugambar telah menggunakan kreativitinya dalam menampakkan bahawa orang ramai berpusu-pusu kearah pasangan pertama negara, yang populariti sebenarnya diragui walaupun banyak usaha telah dilakukan oleh media kawalan kerajaan untuk menggambarkan mereka sebagai pasangan yang disayangi oleh rakyat.

Masa merupakan sesuatu yang amat berharga bagi organisasi seperti Bernama dan kita tidak masa agak terhad bagi kami untuk melakukan sesuatu yang tidak rasional," Bernama memetik Yong.



Mengikut Yong, bahagian gambar baru sahaja dibekalkan dengan kamera dan lensa yang canggih dan terkini tahun ini. Jurugambar tersebut, Harry Salzman Abu Bakar juga pernah mengambil gambar Ketua Setiausaha Pertubuhan Bangsat-bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon, Perdana Menteri British, David Cameron dan Setiausaha Kerajaan AS, Hilary Clinton tanpa masalah.

Pada kali ini, Salzman telah menggunakan kreativitinya untuk mengambil gambar pengunjung yang ramai, tambah Yong.

Tidak boleh dinafikan bahawa Datuk Seri Najib menarik perhatian orang ramai, bukan sahaja pada rumah terbuka Aidilfitri, malah dimana-mana keramaian kerana di dalam mana-mana gambar dan video dari pelbagai organisasi surat khabar akan mengakuinya," kata Yong lagi.Malaysia Chronicle

30 ajaran sesat dikesan guna nama badan lain

Posted: 22 Sep 2012 06:06 AM PDT

asyraf muhammad

30 ajaran sesat
Abdu Majid (kiri) menerima cenderahati daripada AJK Kampung Seri Kedah ketika Program Rakyat Bersama Mufti, semalam.
 
SEKINCHAN - Sebanyak 30 ajaran berselindung di sebalik pelbagai persatuan telah difatwakan sesat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS).

Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar berkata, beberapa pendekatan telah diambil untuk memastikan penularan ajaran sesat di negeri ini tidak terus berleluasa dan dapat dibanteras.

Katanya, masyarakat Islam perlu berhati-hati kerana kebanyakan ajaran sesat terbabit berselindung di sebalik nama persatuan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Sebagai contoh, kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Al Hidayah Madrasah Al Taqwa di Batu 14 Hulu Langat pada tahun telah membongkar kes ajaran sesat Juruzon yang berselindung di sebalik nama anak yatim bagi penyebaran ajaran mereka.

"Selepas siasatan dijalankan pihak berkuasa dan jabatan mufti, kami dapati kumpulan berkenaan menjalankan kegiatan tersebut dengan menggunakan madrasah berkenaan sebagai tempat menyebarkan ajaran," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Program Rakyat Bersama Mufti di Masjid Kampung Seri Kedah, semalam.

Menurutnya, mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri yang bersidang pada 20 September tahun lalu memutuskan bahawa ajaran yang dibawa oleh pengasas ajaran itu adalah menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.

"Kebanyakan individu terlibat dalam ajaran sesat ini hadir (bertemu JMNS) dan menyatakan penyesalan mereka di samping berharap saudara-mara kandung yang menyertai ajaran sesat supaya insaf dan bertaubat," katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Majid berkata, Program Rakyat Bersama Mufti adalah sebahagian pendekatan digunakan jabatan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat umum mengenai ajaran yang telah difatwakan sesat.

"Perjalanan program ini adalah bagi memberi penekanan terhadap ajaran sesat kepada masyarakat agar mereka faham dan menggelakkan perkara ini," katanya.

Menurutnya, masyarakat perlu sama-sama membantu dengan membuat laporan kepada jabatan agama jika terdapat ajaran mencurigakan.

"Jika terdapat ajaran yang mencurigakan, penduduk diharap segera membuat laporan agar penyiasatan segera dapat dilakukan," katanya .

Pada majlis sama, turut diadakan sesi dialog bersama jabatan mufti di mana penduduk boleh bertanyakan sebarang kesangsian mengenai Islam bagi mendapatkan jawapan yang benar.

BN Johor tekad pertahan 26 kerusi Parlimen

Posted: 22 Sep 2012 06:05 AM PDT

SINAR HAIRIAN

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman
 
JOHOR BAHRU -  Barisan Nasional (BN) Johor bertekad mempertahankan 26 kerusi parlimen di negeri ini yang sekaligus memberi sumber kekuatan kepada BN untuk mengekalkan perkhidmatan kepada rakyat.
  
Menegaskan demikian, pengerusinya Datuk Abdul Ghani Othman berkata usaha sudah dilakukan dengan menggerakkan tenaga di peringkat akar umbi.
  
Ini termasuk menggabungkan jentera parti komponen di 922 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan meletakkan lebih 160,000 anggota parti bersiap siaga di bawah pelbagai portfolio di pusat-pusat daerah mengundi.
  
"Denyut nadi keyakinan sudah pun dirasai di setiap peti undi. Hampir separuh daripada 1.5 juta pengundi di negeri ini adalah anggota parti BN. Inilah sumber asas kekuatan kita.
  
"BN Johor menaruh keyakinan yang tinggi untuk meraih sokongan yang kuat di semua kerusi parlimen melalui sokongan asas anggota BN dan diperkukuhkan pula oleh perpaduan Melayu yang utuh di segenap ceruk negeri," katanya.
  
Abdul Ghani yang juga Menteri Besar Johor berucap pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan berkelompok Umno bahagian-bahagian Johor oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, hari ini.

Beliau berkata BN Johor yakin rakyat negeri ini mampu menilai masa depan agama, bangsa dan tanah air yang tidak boleh diserahkan kepada pakatan yang palsu serta tidak rela masa depan anak cucu mereka diperjudikan kepada suatu pakatan yang tidak sepakat perjuangannya.
  
Menurut Abdul Ghani sokongan rakyat Johor terhadap BN kukuh sejak dahulu lagi apabila memenangi 232 daripada 234 kerusi parlimen yang dipertandingkan sejak 1959.
  
Katanya, rekod itu mencerminkan Johor merupakan kubu kuat BN yang bukan datang dengan sendirinya tetapi menerusi perpaduan, kegiatan bersama rakyat sepanjang tahun, kerja keras dalam setiap pilihan raya serta perkhidmatan yang amat meyakinkan rakyat.
  
"Kita (BN Johor) sudah menempuh 12 pilihan raya umum sejak merdeka. Hanya dua kali kita kehilangan kerusi parlimen iaitu di Kluang pada 1978 dan Bakri pada 2008.
  
"Di Dewan Undangan Negeri, kita turut cemerlang dengan memenangi 459 kerusi daripada 576 yang dipertandingkan sepanjang tempoh itu," tegasnya. - Bernama

Kanak-kanak sembilan tahun dicabul datuk tiri warga Indonesia

Posted: 22 Sep 2012 06:03 AM PDT

SINAR HARIAN

JERANTUT - "Harapkan pagar, pagar makan padi" seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas dipercayai mencabul cucu tirinya yang berusia sembilan tahun.

Kejadian cabul itu berlaku di rumah nenek mangsa dekat Felda Sungai Tekam di sini.

Menurut Ketua Polis daerah Jerantut, Supt Azid Ismail kejadian tersebut dimaklumkan abang mangsa yang berusia 12 tahun kepada ibunya, 32, yang pulang ke rumah berkenaan sebelum laporan polis dibuat semalam.

"Kedua-dua beradik itu menetap bersama neneknya di sini, manakala ibunya pula bekerja di Kelantan. Kejadian dipercayai berlaku sejak Jun lepas," katanya di sini hari ini.

Azid berkata suspek berusia 40-an bekerja sebagai penoreh getah dan berkahwin dengan nenek mangsa, berusia 50-an sejak 13 tahun lepas.

Katanya suspek ditahan polis 3 petang semalam di rumahnya dan kini ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis daerah Jerantut selama empat hari bagi membantu siasatan.-Bernama

DAP: 'Ngeh sudah minta maaf, tak akan kita nak hapus dia'

Posted: 22 Sep 2012 06:00 AM PDT

JAMILAH HAMZAH

Dr Tan Seng Giaw
Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw
 
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - DAP dilihat tidak akan melayan desakan Umno agar Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, yang kini berhadapan dengan kontroversi mesej Twitter, agar dilucutkan kesemua jawatan dalam parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu.

Menurut Timbalan Pengerusinya, Dr Tan Seng Giaw, Koo Ham akan diberi nasihat dan diambil tindakan susulan yang wajar dan adil memandangkan pemimpin itu telah pun memohon maaf.

Seng Giaw berkata, permohonan maaf  Koo Ham sendiri menggambarkan pemimpin DAP Perak itu mendengar nasihat yang diberikan parti.

"Kita sudah bagi nasihat pun sebelum ini supaya sentitif terhadap perkara yang berkaitan agama. Tapi jika perkara itu berlaku, seperti Ngeh (Koo Ham), kita akan fikirkan tindakan yang sewajarnya serta adil," kata beliau kepada Sinar Harian Online pagi ini.

Ahli Parlimen Kepong ini juga dilihat memberi gambaran agar semua pihak perlu bersikap terbuka untuk memaafkan Koo Ham dan tidak wajar terus meminta dikenakan tindakan tegas, sebagaimana didesak oleh Umno, kerana beliau telah pun meminta maaf kelmarin.

"Beliau pun sudah mohon maaf, apa lagi kita boleh buat, tak akan kita nak hapuskan dia pula, dan saya yakin Islam agama yang murah hati," katanya.

Menurutnya, Koo Ham, yang juga Ahli Parlimen Beruas, akan terus diberi nasihat dan akan dikenakan tindakan sewajarnya atas keterlanjuran beliau mempertikaikan langkah umat Islam mengadakan bantahan menentang filem Innocence of Muslims ketika mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat minggu depan.

Semalam, ramai pihak mendesak DAP mengambil tindakan tegas terhadap Koo Ham termasuk melakukan siasatan.

Dalam pada itu, ada juga yang mengatakan permohonan maaf tidak cukup bagi membersihkan dirinya dan menggesa DAP memecat dari parti itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung laporan polis yang dibuat orang ramai yang membantah kenyataan Koo Ham.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi Kelab Putera 1 Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendesak DAP mengambil tindakan tegas termasuk perlu dilucutkan kerana ucapan maaf yang diucapkan tidak mencukupi.

Azeez membuat desakan itu pada himpunan aman anjuran Pemuda Umno di Kampung Baru semalam.
Justeru, Seng Giaw berkata, DAP sentiasa mengambil kira semua perkara yang melibatkan sentiviti termasuk agama, kaum dan sebagainya.

Tambahnya, keterlanjuran Koo Ham dalam mengeluarkan kata-kata yang menghina agama lain memang tidak wajar, namun hukuman yang sepatutnya dikenakan adalah keatas pengeluar filem kontroversi tersebut.

"DAP sentiasa bertegas dengan perbuatan yang menghina agama, kaum orang lain, tapi orang perlu dihukum dan dipersalahkan sekarang adalah pembuat filem tersebut.

"Kita juga tidak suka agama orang lain dihina sebegitu rupa, dan sasaran kita yang tepat adalah pembuat filem itu," katanya lagi.

Pro-M dakwa enam calon di UM tak layak tanding

Posted: 22 Sep 2012 05:49 AM PDT

RAZIATUL HANUM A. RAJAK

Pilihan Raya Kampus.
Pilihan Raya Kampus. 
 
SHAH ALAM – Kumpulan Pro-Mahasiswa mendakwa enam calon yang bertanding pilihan raya kampus  Universiti Malaya (UM) sesi 2012/2013 tidak layak bersaing kerana status mereka bercanggah dengan syarat pemilihan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhamad Safwan Anang berkata, mereka membantah penerimaan pencalonan enam pelajar, dari kumpulan Pro-Aspirasi, atas alasan gagal mematuhi syarat pengajian.

"Syarat universiti mengatakan calon yang bertanding mesti mempunyai baki semester setahun penuh, tetapi Hal Ehwal Pelajar UM telah meluluskan enam calon yang tidak mempunyai baki semester yang mencukupi.

"Enam calon itu bakal menamatkan pengajian Jun atau Julai depan dan malangnya ketika perkara ini dibangkitkan, Hal Ehwal Pelajar menyatakan bahawa ini adalah tafsiran baru undang-undang UM," katanya kepada Sinar Harian Online.

Menurutnya, sejak pilihan raya kampus diadakan di UM, undang-undang yang diguna pakai tidak pernah berubah.

Perkara tersebut sudah dilaporkan kepada polis semalam.

Maklumat terbaru diperoleh dari laman web UM menunjukkan seramai 70 pelajar layak bertanding kali ini.

"Laporan dibuat supaya polis menyiasat penyalahgunaan kuasa oleh jawatankuasa pilihan raya kampus yang telah meluluskan calon-calon yang tidak cukup syarat," jelasnya.

Safwan yang juga bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Malaysia UM berkata, proses bantahan Jumaat lalu yang sepatutnya berakhir jam 2 petang berlanjutan sehingga jam 9 malam.

"Kami dimaklumkan oleh Hal Ehwal Pelajar dan jawatankuasa pilihan raya kampus bahawa bantahan akan dijawab pada malam itu juga tetapi kemudiannya kami diberitahu, jawapan akan diumumkan keesokan pagi (semalam).

"Bagi mendapatkan penjelasan berkenaan bantahan itu, kami cuba mendapatkan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Datuk Dr Rohana Yusof namun gagal," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto mengesahkan perkara itu dan menegaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa perkara tersebut ke peringkat lebih tinggi.

"Kami akan bawa perkara ini ke mahkamah jika enam calon tersebut terus diterima oleh jawatankuasa pilihan raya," katanya.

Khamis lalu, UM mengadakan penamaan calon bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2012/2013 dengan memperkenalkan sistem zon.

Sebanyak 43 kerusi dipertandingkan, sembilan daripadanya untuk kategori umum dan selebihnya peringkat fakulti.

Kami akan kekal dalam PR, Pas jawab Khairy

Posted: 22 Sep 2012 05:44 AM PDT

JAMILAH HAMZAH
SHAH ALAM - Pas menolak desakan Umno sambil menegaskan pihaknya akan kekal dalam Pakatan Rakyat (PR), dan menerima permohonan maaf secara terbuka Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Hamberhubung 'tweet' yang dikeluarkan awal minggu ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas menerima langkah Koo Ham yang telah memohon maaf atas kenyataan beliau.

Menurutnya, Pas tidak sebarang sebab dan alasan untuk meninggalkan PR memandangkan apa yang dikatakan oleh Koo Ham"lebih bersifat peribadi."

"Bagi Pas, kenyataan Koo Ham itu pandangan peribadi beliau, Pas terima permohonan maaf daripada beliau yang dibuat secara terbuka," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.


Semalam, Pemuda Umno yang mengadakan himpunan aman di  Masjid Jamek Kampung Barumendesak Pas keluar dari PR berikutan tindakan pemimpin DAP, salah satu parti dalam perikatan tersebut, yang disifatkan menghina agama Islam.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, Pas gagal mendapat sokongan daripada sekutunya walaupun hanya dalam perkara asas iaitu agama.

"Saya amat kesal. Di mana pada satu keadaan agama kita dikecam, Nabi Muhammad dihina tetapi mereka (Pas) tidak mendapat sokongan daripada parti yang katanya rakan seperjuangan.

"Apa lagi nak tunggu? Bagi saya, itu adalah isyarat yang cukup jelas bahawa mereka (Pas) perlu tinggalkan parti pembangkang," tegas Khairy.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahimyang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, perhimpunan yang diadakan semalam tidak seharusnya diselitkan dengan isu-isu politik yang lari daripada tujuan asal iaitu untuk membantah filem dan karikatur menghina kesucian Islam.

Sementara itu, pendirian Pas untuk terus kekal berada dalam PR turut ditegaskan oleh Naib Presidennya, Salahuddin Ayub.

Katanya, PR yang mempunyai pemimpin yang berbeza kaum dan agamanya lebih terbuka dan menerima langkah yang diambil seperti perhimpunan aman di Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

"Kami tak mahu layan suara suruh kita keluar PR… soal nak keluar PR, tak ada relevan pun.

"Semalam dalam perhimpunan di Kedutaan AS, Tian Chua dan N.Surendran (kedua-duanya Naib Presiden PKR) turut hadir, mereka lebih menerima dengan apa yang kita buat.

"Saya rasa dalam himpunan Pemuda Umno semalam tak ada kelibat MIC dan MCA," katanya.

Sehubungan itu, kedua-dua pemimpin Pas tersebut yakin perkara yang melibatkan pemimpin DAP itu tidak akan menjejaskan undi kepada PR pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU-13).

UM Izinkan 7 Calon Tak Layak Bertanding, Pro-M UM Buat Laporan Polis

Posted: 22 Sep 2012 05:36 AM PDT

KELAB GREENBOC
Pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) kesal berikutan pentadbiran universiti itu menyalah guna kuasa dalam proses pencalonan Pilihan Raya Kampus (PRK).

Pengerusi Pro-Mahasiswa UM, Edikuop Lakip Sediyanto, berkata ia berikutan pentadbiran UM menerima pencalonan Pro-Aspirasi walaupun mereka tidak layak bertanding.

Bercadang mendapatkan injuksi mahkamah bagi membatal pencalonan itu, beliau ketika bercakap kepada Suara Keadilan, berkata, tujuh calon Pro-Aspirasi yang dicalonkan sudah memasuki pengajian tahun akhir.

"Mengikut Tatacara Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPP-UM), calon yang bertanding mestilah mempunyai baki sekurang-kurangnya setahun pengajian atau dua semester.

"MPP perlu dilantik selama setahun.

Calon Pro-Aspirasi akan tamat pengajian pada Jun 2013 manakala penggal MPP kali ini tamat pada September 2013.

Ini bermakna mereka berkhidmat tidak sampai setahun "Apabila calon tamat pengajian, ia akan memberi masalah kerana tiada siapa yang berkhidmat untuk mahasiswa," katanya selepas membuat laporan di balai polis Pantai, tengah hari ini.

Laporan itu dibuat bersama Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Pro-Mahasiswa Nasional dan Solidariti Mahasiswa Malayisa (SMM).

Kata Edikuop, Pro-Mahasiswa sebelum ini membuat bantahan kepada Jawatankuasa Bantahan dan Rayuan tetapi hanya satu diterima manakala enam bantahan lagi ditolak.

Katanya, jawatankuasa memberi alasan 'tafsiran' buku Tatacara Pemilihan MPP sudah berubah dan menerima pencalonan walaupun mahasiswa sudah memasuki tahun akhir pengajian.

"Jawatankuasa juga mengatakan mereka berhak menerima atau menolak sesuatu bantahan atas budi bicara.

"Tindakan jawatankuasa itu bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), Perkara 48 (4) yang menyatakan setiap MPP perlu dilantik selama setahun," katanya.

Skandal Shafie-Zahida, MP Ampang Masih Tunggu Saman

Posted: 22 Sep 2012 05:31 AM PDT


KELAB GREENBOC

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin menempelak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana sehingga kini tidak mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Shafie Apdal yang didakwa membiayai artis terkenal Zahida Rafik RM1.5 juta.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, SPRM perlu menyiasat perkara itu bagi memastikan Menteri dan artis tersebut tidak menggunakan wang rakyat untuk kegunaan peribadi.

"Kita masih menunggu hasil laporan tetapi malangnya tiada apa-apa yang dilakukan oleh SPRM dalam kes ini.

SPRM membisu kerana orang yang terlibat adalah Menteri di kalangan Umno BN," katanya ketika dihubungi Keadilan Daily.

Pada 18 April lalu, Zuraida mendedahkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu memberi hampir RM1.5 juta kepada Zahida dalam tempoh empat bulan.

Pendedahan itu dibuat susulan laporan polis oleh bekas pemandu Zahida, Noor Azman Azemi yang turut menyatakan secara terperinci semua transaksi bank sejak Oktober 2011 hingga Februari 2012.

Ekoran itu, Pada Jun lalu, Wanita KEADILAN membuat laporan menggesa SPRM menyiasat dari mana Shafie memperoleh RM1.5 juta untuk membiaya Zahida.

Mengulas lanjut Zuraida berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada SPRM dalam masa terdekat bagi mendesak suruhanjaya itu memaklumkan hasil siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida berkata, pihaknya tidak mendapat apa-apa maklum balas mengenai tindakan saman yang dibuat oleh Zahida dan Shafie ekoran pendedaha itu.

"Saya masih menunggu saman daripada mereka.

Setakat ini tiada apa-apa tindakan pun terhadap saya.

Saya bersedia kalau mereka nak ambil tindakan undang-undang," tegasnya.

Zahida melalui peguamnya pada 23 April lalu menuntut supaya Zuraida berhenti membuat kenyataan media berkenaan isu berkenaan dan menarik balik kenyataan terdahulu serta meminta maaf.

Jika gagal berbuat demikian dalam masa tujuh hari, Zuraida berdepan prosiding undang-undang.

Nik Aziz: Boikot produk Yahudi

Posted: 21 Sep 2012 04:43 PM PDT

ROSMIZA KASIM

Nik Abdul Aziz Nik
Nik Aziz berucap semasa demonstrasi bantahan yang diadakan di Dataran Ilmu, hari ini.
 
KOTA BHARU - Bukan setakat berdemonstrasi memprotes penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW menerusi filem Innocence of Muslims, tetapi Pas Kelantan turut mengajak umat Islam di negara ini memboikot barangan keluaran Yahudi sebagai tanda bantahan.

Bagi tujuan itu, Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap selepas demonstrasi yang diadakan serentak di Kuala Lumpur hari ini, oleh Pemuda Pas dan Pemuda Umno, satu jawatankuasa dapat ditubuhkan untuk melaksanakan boikot barangan Yahudi secara serius.

Nik Aziz berkata, kerja membuat bantahan itu bukan tanggungjawab kerajaan sahaja, tetapi sebagai umat Islam ia perlu dilakukan apabila wujudnya penghinaan agama.

"Tidak padan dengan demonstrasi ini, ada benda yang kita kena buat iaitu boikot barangan dia (Yahudi), makanan, pakaian dan jawatankuasa di peringkat pusat kena senaraikan barangan-barangan tersebut.

"Dalam pada itu, mereka perlu menyatakan juga sebab-sebab produk-produk tersebut perlu diboikot," katanya ketika Demo Bantahan Terhadap Filem Menghina Rasullulah SAW di Dataran Ilmu, hari ini.

[LAYARI BANCIAN ONLINE: Nik Aziz syor rakyat Malaysia boikot produk Yahudi sebagai tindak balas ekoran filem hina Islam: Ia]

Sebagai tanda bantahan dan kemarahan terhadap filem Innocence of Muslims yang secara jelas menghina Muhammad SAW terbabit, kira-kira 2,000 umat Islam di negeri ini termasuk Exco Kerajaan Negeri berhimpun secara aman di Dataran Ilmu di sini.

Semasa demonstrasi anjuran Dewan Pemuda Pas negeri, yang diadakan kira-kira jam 10.30 pagi selepas kuliah mingguan Nik Aziz bersama Ketua Pemuda Pas Negeri, Abdul Latiff Abdul Rahman serta yang lain turut membakar replika cakera padat filem Innocence of Muslims dan turut diselangi dengan laungan Hidup! Hidup! Hidup Islam.

Demonstrasi hampir satu jam tersebut turut dihadiri artis terkenal tanah air, Wan Aisyah Wan Ariffin dan sebelum itu beliau mengambil peluang mendengar kuliah mingguan yang disampaikan Nik Aziz serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Dalam perkembangan sama, Abdul Latiff juga meminta Malaysia menekan kerajaan Amerika supaya penerbit filem tersebut meminta maaf secara terbuka dan menarik balik filem yang mengguris hati seluruh umat Islam.

"Kami juga mahu Presiden Amerika, Barack Obama memerhatikan segala bentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, sekiranya tidak kita berdoa supaya orang yang menghina Nabi Muhammad SAW dilaknat ALLAH SWT," katanya.

Katanya, himpunan tersebut dilaksanakan sebagai membantah filem penghinaan terhadap Islam dan menunjukkan kebencian kepada pihak yang mengkhianati Islam serta merendah-rendahkan Nabi Muhammad SAW.

Himpunan Aman Umno mahu DAP pecat Ngeh

Posted: 21 Sep 2012 04:34 PM PDT

JAMILAH HAMZAH

 Himpunan Aman Umno mahu DAP pecat Ngeh
Sebahagian peserta himpunan aman anjuran Pemuda Umno di pekarangan Masjid Kampung Baru hari ini. - Foto EPA
 
KUALA LUMPUR -  Himpunan aman anjuran Pemuda Umno hari ini mengecam tindakan menghina agama oleh pemimpin-pemimpin politik di Malaysia sambil menggesa DAP memecat Datuk Ngeh Koo Ham.

Koo Kam kini merupakan Pengerusi DAP Perak. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Beruas dan Ahli Dewan Undangan Negeri Setiawan.

Pengerusi Kelab 1Malaysia, Datuk Azeez Rahman mengutuk keras tindakan Khoo Ham, yang didakwa menghina perhimpunan diadakan oleh umat Islam.

Menurutnya, kenyataan Koo Ham awal minggu ini menerusi Twitter perlu dikenakan tindakan tegas dan dikeluarkan dari DAP.

"Kita kecam tindakan Koo Ham itu yang menghina tindakan umat Islam untuk mengadakan bantahan berhubung isu penghinaan agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

"Kita bagi tempoh tujuh hari untuk DAP lucutkan jawatan Koo Ham itu, kalau tak dilucutkan kita anggap DAP sokong perbuatan hina agama lain," katanya ketika berucap pada demonstrasi bantahan filem Innocence of Muslims di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru di sini selepas selesai solat Jumaat.

Sebelum ini, Twitter yang dikeluarkan oleh Koo Ham menjadi perhatian ramai pihak dan Khairy telah menyoalkan pendirian Pemuda Pas berhubung rancangan bantahan yang akan dibuat oleh umat Islam pada hari ini.

DAP dijangka membincangkan isu itu pada mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusatnya minggu hadapan.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno dan Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin berkata, Koo Ham perlu diambil tindakan tegas oleh DAP.

Katanya, musuh orang Islam bukan rakyat Amerika Syarikat (AS) tetapi orang yang menghina agama lain dan tidak menghormati agama seperti yang dilakukan pemimpin DAP itu.

"Kalau Koo Ham kata jangan buang masa, tapi lebih baik kita buang mereka.

"Kita berhimpun bukan untuk bermusuh dengan orang bukan Islam atau rakyat AS tapi untuk menentang kebiadapan orang yang menghina agama termasuk Koo Ham dan DAP perlu ambil tindakan terhadapnya," katanya.

Sehubungan itu, Khairy juga menyatakan ucapan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan politik yang bersama bersolidariti pada hari ini.

Seramai 3,000 orang hadir termasuk 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  dalam himpunan aman bantahan filem kontroversi dan karikatur yang dikeluarkan oleh Perancis beberapa hari lalu.

Himpunan berakhir kira-kira pukul 2.30 petang tanpa sebarang provokasi.

Kerajaan kaji semula Skim Rumah Pertamaku

Posted: 21 Sep 2012 04:27 PM PDT

SINAR HARIAN

SUBANG JAYA - Kerajaan kini sedang dalam proses mengkaji semula "Skim Rumah Pertamaku" pada tahun depan bagi golongan dewasa muda memiliki rumah pertama masing-masing dengan menjadikannya lebih menarik, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.
  
"Wujud isu-isu berkaitan tanah tetapi kita akan memuktamadkannya tidak lama lagi supaya skim itu boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman web Kumpulan Syarikat Job Hunt.
  
Beliau enggan menjelaskan lebih lanjut semasa ditanya bila skim itu akan dilaksanakan sepenuhnya, kecuali menyatakan "Kami mempunyai satu jawatankuasa yang bertanggung jawab bagi tujuan itu. Kementerian kita akan membantu di segi pinjaman bank."
  
"Skim rumah Pertamaku" pertama kali diumumkan semasa pembentangan Bajet 2011 bagi membantu golongan dewasa muda yang baru sahaja menyertai pasaran pekerjaan dan mendapat pendapatan RM3,000 sebulan atau kurang bagi memiliki rumah pertama masing-masing.
  
Skim itu membolehkan golongan dewasa muda mendapatkan pembiayaan 100 peratus dari institusi kewangan, yang akan membolehkan mereka memiliki rumah pertama tanpa perlu membayar pendahuluan 10 peratus.
  
Beliau berkata kerajaan juga komited untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2010 kepada kurang daripada 3.0 peratus pada 2015.
  
"Kita berharap unjuran di dalam cadangan Bajet 2013 akan kurang daripada angka sekarang," katanya.  - Bernama

Mahkamah tolak permohonan pelakon filem hina Nabi

Posted: 21 Sep 2012 04:26 PM PDT

SINAR HARIAN

 Cindy Lee Garcia
Pelakon filem 'Innocence of Muslim', Cindy Lee Garcia
 
LOS ANGELES - Mahkamah Tinggi Los Angeles semalam menolak permohonan pelakon Innocence of Muslims, Cindy Lee Garcia agar treler filem itu ditarik balik dari laman YouTube.

Hakim Mahkamah Tinggi, Luis Lanvin enggan menerima permintaan yang dikemukakan oleh peguam yang mewakili Garcia.

Garcia, salah seorang daripada tiga pelakon muncul dalam filem itu, berbuat demikian atas alasan dia telah ditipu oleh penerbitnya, yang dikenali sebagai Nakoula Basseley Nakoula.

Nakoula juga dikatakan menggunakan nama Sam Bacile.

Garcia berkata dia telah diperdaya kerana semasa penggambaran filem itu, ia merupakan sebuah cerita bertajuk Desert Warriors, berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat padang pasir serta nama watak utama itu dikenali sebagai George, bukannya Muhammad.

"Permintaan untuk mendapatkan perintah menghalang sementara dinafikan," kata Lanvin.

Peguam yang mewakili pihak Google telah membantah keras cadangan yang diusulkan pelakon wanita itu.

Sementara itu, peguam Garcia, Cris Armeta berkata, pihaknya akan membalas balik bantahan itu dengan memohon injunksi baru untuk terus menghalang penayangan treler berdurasi 14 minit itu di Internet.

Garcia berkata jika dia tahu filem itu sengaja dibikin untuk menaikkan kemarahan umat Islam, sudah pastinya tidak akan bersetuju untuk terbabit dalam produksi filem terbabit.

Pelakon itu turut menambah, kesan daripada lakonannya itu, dia telah menerima banyak ugutan bunuh dan sekarang dia menyatakan sangat risaukan keselamatan diri serta keluarganya berada dalam keadaan terancam.

Dia juga telah dibuang kerja sejak penayangan klip treler itu tersebar minggu lalu sehingga menimbulkan banyak bantahan serta demonstrasi jalanan yang diadakan di banyak negara khususnya di negara-negara Islam.

Ahmad Husni: Ada pendekatan baru dalam bajet 2013

Posted: 21 Sep 2012 04:25 PM PDT

SINAR HARIAN
Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah.
Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah.

ALOR SETAR - Belanjawan 2013 bakal menyaksikan beberapa pendekatan baharu dalam usaha meningkatkan kekuatan ekonomi negara di samping memastikan kebajikan rakyat terbela.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, namun menegaskan kerajaan akan terus menjaga kebajikan rakyat seperti sebelum ini.

"Kita sedang memperkemas (belanjawan) di peringkat akhir... kita akan mengetengahkan pendekatan baru demi kebajikan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Kedah, dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau meluluskan peruntukan RM100,000 kepada bahagian itu bagi membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata bagi menghadapi pilihan raya umum kali ini, usaha perlu dilipat gandakan dan tumpuan perlu diberikan kepada pengundi terutamanya yang pertama kali akan mengundi.

Husni berkata, walaupun sudah banyak kali menghadapi pilihan raya, kali ini semua pihak perlu berusaha lebih daripada yang pernah dibuat dalam sejarah pilihan raya sebelum ini.

"Bagi negeri-negeri di bawah pembangkang, kita kena kerja lebih kuat, kena tawan balik kerana kita nak menuju kepada negara berpendapatan tinggi, ini adalah hasrat kerajaan persekutuan.

"Jadi mesti pastikan semua negeri ikut proses yang sama, kita tidak mahu ada negeri ketinggalan," katanya. - Bernama

Pas kesal layanan buruk Kedutaan AS

Posted: 21 Sep 2012 04:23 PM PDT

NURUL AINI MOHAMED ALI DAN ARASHY AZIM

Pas kesal layanan buruk Kedutaan AS
Peserta Himpunan Aman berdoa sebelum berarak ke Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak, hari ini. - Foto Sinar Harian Muhammad Zulfadhli Ahmad Zaki
 
Pas kesal layanan buruk Kedutaan AS
Sebahagian peserta Himpunan Aman anjuran Pemuda Pas membawa kain rentang bagi membantah filem dan karikatur anti-Islam. - Foto Sinar Harian Muhammad Zulfadhli Ahmad Zaki
 
KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan kesal dengan layanan buruk yang diberikan oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) kerana memorandum bantahan berhubung filem Innocence of Muslims hanya diterima oleh ketua pengawal keselamatan kedutaan itu.

Menurut Nasrudin, tiada seorangpun wakil kedutaan yang mahu menerima memorandum, yang diserahkan oleh wakil dari Pas, PKR dan wakil badan bukan kerajaan.

"Kami kesal kerana kedutaan hanya menghantar ketua pengawal keselamatan untuk menerima memorandum.

"Kita berharap memorandum itu akan sampai kepada wakil kedutaan," kata Nasrudin ditemui pemberita selepas penyerahan memorandum kira-kira jam 2.45 petang.

Katanya, kerajaan AS yang mengamalkan demokrasi sepatutnya mendengar luahan dan perasaan rakyat Malaysia hari ini.

Nasrudin berkata,  umat Islam negara ini kecewa dengan tindakan yang jelas membuktikan sikap kerajaan AS yang menghina Nabi Muhammad SAW dalam filem anti-Islam Innocence of Muslims.

"Ini merupakan satu provokasi yang melampau mencetus kemarahan umat Islam di seluruh dunia," katanya.

Katanya, umat Islam tidak pernah menghina dan memperlekehkan agama lain yang sedia maklum jika dilakukan akan mengundang huru-hara di dalam negara.

"Kami umat Islam sendiri tidak pernah  menghina agama lain," katanya lagi.

Beliau berkata, tindakan yang tidak menghormati isu sensitiviti agama lain boleh mengundang kekacauan di seluruh negara.

Antara lima wakil lain yang bersama-sama dalam penyerahan memorandum ialah Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; dua Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua dan Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (Teras) Azmi Abdul Hamid.

Peserta mula bersurai pada pukul 3.20 petang.

Pemuda Pas, Umno selesai adakan himpunan aman

Posted: 21 Sep 2012 04:20 PM PDT


SINAR HARIAN
 Pemuda Pas, Umno selesai adakan himpunan aman
Antara kain rentang yang dibawa peserta himpunan aman di Masjid Kampung Baru hari ini.
 
 Pemuda Pas, Umno selesai adakan himpunan aman
Khairy Jamaluddin sedang berucap. Hadir sama pemimpin Jati dan Perkasa.
 
Pemuda Pas, Umno selesai adakan himpunan aman
Antara yang menyertai bantahan secara aman di Masjid Putra Kangar semalam.
 
Pemuda Pas, Umno selesai adakan himpunan aman
Lebih 500 umat Islam berhimpun secara aman bagi membantah filem Innocence of Muslims di hadapan Masjid Jamek Taman Perling, Johor Bahru hari ini.
 
Pemuda Pas, Umno selesai adakan himpunan aman
Pemuda Pas, Umno selesai adakan himpunan aman
 
Pemuda Pas, Umno selesai adakan himpunan aman
Hujan tidak menghalang ratusan umat Islam di Pulau Pinang berhimpun bagi membantah tindakan menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam.
 
Pemuda Pas, Umno selesai adakan himpunan aman
Sebahagian daripada para jemaah mengaminkan bacaan doa setelah menunaikan solat sunat hajat, hari ini.
 
[DIKEMAS KINI, 7 PETANG] KUALA LUMPUR - Pemuda Pas dan Pemuda Umno mengadakan himpunan aman memprotes filem dan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam di dua lokasi berbeza petang ini, sekali gus membaw ribuan rakyat berbilang kaum dan agama.

Himpunan yang berlangsung kira-kira sejam, di Masjid Kampung Baru dan pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) berakhir tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Demonstrasi protes juga diadakan di beberapa bandar utama di seluruh negara.

Di KAMPUNG BARU, seramai 3,000 orang peserta himpunan aman termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut serta dalam himpunan aman anjuran Pemuda Umno di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru.

Penganjurnya, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua umat Islam dan bukan Islam yang turut serta dalam bantahan aman untuk mengecam tindakan pihak yang menghina agama sekaligus melanggar prinsip kebebasan bersuara yang diamalkan.

Menurutnya, perhimpunan tesebut bukan untuk mengecam rakyat Amerika Syarikat (AS) tetapi masyarakat yang tidak menghormati agama lain termasuk Islam, Hindu, Buddha dan juga Kristian.

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang hadir untuk bersoladariti mengecam perbuatan biadap ini tanpa kira agama dan fahaman politik termasuk Pemuda Pas yang turut membuat himpunan hari ini.

"Kita berhimpun hari ini bukan nak bermusuh dengan orang bukan Islam dan rakyat AS tapi untuk mengutuk orang yang menghina agama sekaligus melanggar hak kebebasan bersuara.

Sementara itu, Lokman dan beberapa NGO lain termasuk Kelab Putera 1Malaysia,Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim,  Mursyidul Am Tibai Zahid Md Arip, dan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia, Datuk Ibrahim Ali juga dalam ucapannya  mengecam tindakan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang menghina usaha umat Islam bagi membantah filem kontroversi tersebut.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berkata penyatuan umat Islam dan masyarakat Malaysia hari ini membentuk perpaduan ummah dan tidak takut untuk membantah serta mengecam tindakan jahat daripada pihak tidak bertanggungjawab mempersendakan agama.

"Kita hari ini berkumpul bukan dalam kumpulan kecil tapi kumpulan-kumpulan yang membentuk ummah bagi menentang musuh Islam dan orang yang menghina agama.

"Kita tak takut untuk bertindak dengan penghinaan itu," katanya yang juga Presiden Jati.

Perhimpunan aman itu turut dihadiri 13 NGO lain dan berkahir pada pukul 2.30 petang tanpa sebarang provokasi.

Pada pukul 1 tengh hari, ketibaan petubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di pekarangan masjid bagi menurunkan tandatangan pada kain rentang yang bertulis "Kami membantah filem Innocence of Muslims" yang digantung pada pagar masjid.

Pada pukul 1.15 tengah hari, peserta mula mengambil tempat untuk mengerjakan solat Jumaat yang ternyata jemaah lebih ramai berbanding hari-hari biasa.

Selepas itu pada pukul 1.40 petang wakil bagi setiap NGO mula mengambil tempat di atas kenderaan bergerak yang digunakan sebagai pentas.

Ucapan permulaan dimulai oleh Exco Pemuda Umno, Lokman Adam yang juga jurucakap pada himpunan tersebut.

Beliau banyak menyentuh isu tujuan perhimpunan diadakanan.

Katanya,"jangan jadikan rakyat Amerika Syarikat (AS) sebagai musuh, kita perlu hormati setiap agama tak kira Islam, Buddha, Kristian atau Hindu.

"Hari ini kita kecam Google dan YouTube yang keluarkan video klip filem tersebut,".

Sementara itu, pada pukul 1.50 petang Mursyidul Am Tibai, Zahid Md Arip turut menyatakan kecaman terhadap penghinaan yang dilakukan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang dikatakan menghina usaha umat Islam untuk mengadakan bantahan terhadap penghinaan agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Dalam pada masa sama, poster yang bertulis "The United States Government has the responsibility to punish the markers of Innocence of Muslims" diedarkan kepada peserta himpunan aman.

Selepas itu, pada pukul 2 petang, Ibrahim menyatakan kebiadapan yang dilakukan oleh pemimpin DAP Perak tidak boleh dimaafkan.

Katanya, di Malaysia juga terdapat ejen-ejen yang mahu merosakkan agama Islam dan perkara itu perlu dibanteras segera.

Di himpunan bantahan aman, Khairy mengambil tempat bagi bersama menyatakan pendiriannya.

Pada pukul 2.40 petang peserta yang bersama NGO seramai 3000 orang bergerak meninggalkan perkarangan masjid sambil melaungkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dengan keadaan aman tanpa sebarang provokasi berlaku.

Kawasan mulai lengang dan keadaan lalu lintas di kawasan masjid mula bergerak seperti biasa pada pukul 3 petang.

Di JALAN TUN RAZAK, Perhimpunan Ekspresi Hijau Kasih Nabi, yang dianggarkan disertai seramai 5,000 peserta berlangsung dengan aman bagi menunjukkan rasa tidak puas hati dan marah terhadap filem yang telah dihasilkan oleh penerbit filem kelahiran Mesir-Amerika Syarikat, Nakoula Basseley Nakoula.

Peserta yang telah berhimpun seawal jam 12 tengah hari di pekarangan masjid Tabung Haji itu telah mula berarak sehingga Kedutaan AS.

Bagaimanapun, kawalan ketat polis sejak dari awal lagi telah menyekat penyokong daripada menghampiri lebih dekat kedutaan AS.

Sebaik sahaja peserta perhimpunan yang telah berarak kira-kira 1 kilometer dari masjid, mereka telah melaungkan takbir serta selawat ke atas Nabi bagi menunjukkan kemarahan.

Sambil itu, peserta juga telah membawa sepanduk dan kain rentang bagi menentang dan mengutuk tindakan penerbit filem Innocence of Muslim dan karikatur dalam majalah satira Perancis Charlie Hebdo yang menghina Nabi dengan lukisan Nabi Muhammad serta dua karikatur yang menunjukkan baginda berbogel.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata, pihaknya menganggarkan hanya kira-kira 3,000 peserta yang hadir pada himpunan tersebut.

Beliau yang mengetuai operasi itu memberitahu bahawa pihaknya berpuas hati dengan himpunan dianjurkan Pemuda Pas hari ini kerana peserta dikawal dengan baik oleh parti itu dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh polis.

"Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku," ujarnya.

Malah beliau menyangkal dakwaan bahawa keadaan trafik di Jalan Tun Razak sesak akibat penutupan beberapa jalan susulan daripada demonstrasi terbabit.

"'Kita dah melencongkan laluan kenderaan kepada beberapa jalan, malah keadaan trafik masih terkawal," ujarnya lagi.

Di KANGAR, Pas Perlis menuntut Kerajaan Negeri mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk mengeluarkan resolusi mengutuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW melalui filem Innocence of Muslims.

Timbalan Persuruhjayanya, Mohd Anuar Tahir turut memohon Kerajaan Malaysia menunjukkan prihatin dengan memanggil sidang tergempar di Parlimen untuk menunjukkan bantahan terhadap isu berkenaan.

Menurutnya, penghinaan itu tidak sepatutnya berlaku bukan sahaja terhadap Islam malah agama lain kerana ia adalah isu sensitif bagi semua penganut agama di seluruh dunia.

Turut hadir Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Idris Yaacob.

Di JOHOR BAHRU, lebih 500 umat Islam berhimpun secara aman bagi membantah filem 'Innocence of Muslims' di hadapan Masjid Jamek Taman Perling, hari ini.

Perhimpunan selepas solat Jumaat itu juga membantah tindakan sebuah majalah Perancis, 'Charlie Hebdo' yang menerbitkan kartun memaparkan Nabi Muhammad SAW.

Turut serta dalam perhimpunan itu adalah barisan kepimpinan dan ahli Pas negeri ini, Dewan Himpunan Penyokong Pas Johor, PKR, DAP Johor, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Sekretariat Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera.

Timbalan Pengerusi DAP negeri, Norman Fernandez berkata, penyertaannya bersama ahli DAP lain yang bukan beragama Islam jelas membuktikan parti itu bukan anti-Islam seperti didakwa sesetengah pihak.

"Hari ini, kita bersama orang Muslim membantah dan mengecam penghinaan ke atas Islam dan kita perlu bersama tanpa mengira perbezaan agama mahupun politik.

"Saya seorang Kristian dan saya malu dengan tindakan pengarah filem, Sam Bacile ini. Kebebasan menganut agama tidak seharusnya disalah guna untuk menghina agama lain," katanya ketika ditemui pada perhimpunan itu.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, pihaknya berbangga dengan penyertaan umat Islam dan bukan Islam yang turut sama mengecam filem terbabit.

"Kita semua tidak dapat terima apa yang sudah dilakukan oleh pengarah filem ini. Jadi hari ini saya berbangga dengan kehadiran umat Islam berhimpun menyatakan rasa tidak berpuas hati terhadap apa yang sedang berlaku.

"Umat Islam tidak pernah menghina agama lain. Selaku umat Nabi Muhammad SAW, kita sendiri tidak pernah mencaci Nabi-Nabi lain. Saya mengucapkan syabas kerana kehadiran umat Islam ke perhimpunan ini," katanya.

Sementara itu, bagi wakil Sekretariat Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera, Mohd Nazari Mokhtar berkata, penyertaannya dalam bantahan itu bertujuan menyuarakan kekesalan mereka apabila masyarakat Barat tidak prihatin terhadap sensitiviti umat Islam.

"Kami terpanggil untuk bersama dalam perhimpunan ini kerana mereka tidak menghormati agama lain. Kita mahu pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang terlibat agar perkara ini tidak berulang pada masa akan datang," katanya.

Perhimpunan yang bermula seawal jam 2 petang itu berakhir sejam kemudian dengan tindakan membakar bendera Amerika Syarikat dan Israel simbolik terhadap bantahan dibuat.

Di PULAU PINANG, ratusan umat Islam berkumpul di tiga masjid bagi memprotes filem dan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam.

Kira-kira 100 umat Islam dari pelbagai badan bukan kerajaan dan parti politik termasuk Pas dan Umno berhimpun di perkarangan Masjid Sheikh Eussof,Jalan Datuk Keramat bagi meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kebiadapan Koo Ham, penerbit filem dan sebuah majalah menghina Nabi Muhammad SAW.

Di Masjid Kapitan Keling, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Liga Muslim Pulau Pinang terus menggesa Kerajaan AS dan Perancis mengambil tindakan terhadap kumpulan yang terlibat menghina agama Islam.

Difahamkan, satu lagi perhimpunan aman juga dilakukan di Masjid Jamek Jelutong yang turut disertai  bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Di IPOH, lebih 300 warga bandar raya mengaminkan bacaan doa setelah setelah selesai menunaikan solat hajat di dewan solat utama, Masjid Negeri Sultan Idris Shah II di Ipoh.

Solat hajat yang dilaksanakan sejurus selepas solat Jumaat itu difahamkan bertujuan untuk memohon perlindungan serta bantuan daripada ALLAH SWT untuk terus memelihara kesucian Islam daripada terus dihina serta diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam.

Selain itu solat hajat berkenaan juga dibuat demi untuk memohon keselamatan serta kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia seperti di Kashmir, Palestin, Myanmar, Selatan Thailand, Afghanistan dan lain-lain.

Di KOTA BHARU,  seramai 2,000 hadir pada demonstrasi membantah tindakan menghina Nabi Muhammmad SAW diadakan di Dataran Ilmu pada jam 10.30 pagi tadi anjuran Pemuda Pas Negeri manakala Pas Kok Lanas turut menganjurkannya di Masjid Kok Lanas jam 2 petang tadi.

Di MELAKA, gambar dan patung Koo Ham turut dibakar di pekarangan Masjid Al Azim selepas solat Jumaat ketika kira-kira 100 orang mengadakan perhimpunan membantah filem Innocence Of Muslims.
Perhimpunan disertai pemimpin Umno negeri, Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Perkasa, Persatuan Sidang-Sidang serta NGO dari negeri ini.

Di NEGERI SEMBILAN, ahli Masjid Kariah Seberang Batu Hampar, Rembau turut tidak ketinggalan mengadakan himpunan aman dan bantahan filem Innocence of Muslims, selepas solat Jumaat. Malam tadi, ahli kariah turut mengadakan bacaan Yasin bagi memohon kesejahteraan umat Islam seluruh dunia berikutan kewujudan filem propaganda menghina Nabi Muhammad SAW.

IPO: Astro dijangka kumpul RM4.56 bilion

Posted: 21 Sep 2012 04:14 PM PDT

SINAR HARIAN

IPO: Astro dijangka kumpul RM4.56 bilion
Najib Tun Razak ketika majlis pelancaran Prospektus Astro hari ini. Turut hadir Rais Yatim Pengerusi Astro Tun Zaki Tun Azmi,Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan
 
KUALA LUMPUR – Astro Malaysia Holdings Bhd dijangka mengumpul RM4.5549 bilion kutipan kasar dari Tawaran Awal Permulaannya (IPO).

IPO itu melibatkan 1,518,300,000 saham biasa, yang bersamaan dengan 29.2 peratus daripada modal saham biasa yang diterbitkan dan berbayar syarikat itu, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Astro Malaysia hari ini.

IPO itu juga terdiri daripada terbitan awam 474,300,000 saham biasa baharu dan tawaran untuk jualan sehingga 1,044,000,000 saham sedia ada.

Harga indikatif tawaran runcit itu ialah RM3 sesaham. Antara pelabur utamanya ialah Permodalan Nasional Bhd, Standard Pacific Capital, Great Eastern Life Assurance, Corston-Smith Asset Management, Nomura Asset Management and Universities Superannuation Scheme, yang telah memberikan persetujuan untuk mengambil alih 430 juta saham atau lebih dua per tiga daripada tawaran institusi secara keseluruhannya.

Menurut prospektusnya, hasil kasar yang diraih dari terbitan itu sebanyak RM1.4229 bilion akan digunakan bagi pembayaran balik pinjaman bank, perbelanjaan modal, modal kerja dan fi serta perbelanjaan bagi IPO dan penyenaraiannya.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak berkata sambutan baik terhadap IPO itu mencerminkan keyakinan kukuh para pelabur.

"Pihak pengurusan akan melakukan majlis penerangan bergerak di seluruh dunia dan kami telah mengatur pertemuan dengan pelabur utama di seluruh dunia," kata Nazir pada taklimat media selepas pelancaran prospektus itu hari ini.

CIMB Investment Bank adalah Pengurus Transaksi IPO itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Datuk Rohana Rozhan berkata fokus Astro yang tidak mengenal penat lelah ialah untuk menawarkan nilai yang betul kepada setiap rakyat Malaysia dengan menawarkan kandungan tempatan, serantau dan antarabangsa yang terbaik.

Astro hari ini menyediakan perkhidmatan kepada 3.1 juta isi rumah yang semakin berkembang, 15 juta penonton TV dan lebih 13 juta pendengar radio.

Pengerusi Astro Datuk Seri Zaki Tun Azmi berkata, melalui IPO itu, Astro akan memperkenalkan semula kepada pasaran ekuiti tempatan serta pelabur institusi asing dan tempatan, perniagaan Malaysia syarikat itu yang dicergaskan semula.

"Kami telah membuat pelaburan yang besar sejak dua tahun lepas dan telah berkembang. Astro Malaysia kini berada pada kedudukan untuk meneruskan trajektori pertumbuhan itu yang menghasilkan aliran tunai yang kukuh dan stabil," katanya pada majlis pelancaran prospektus itu.

Rohana berkata, pada 2009, satu keputusan dibuat untuk beralih kepada platform teknologi Astro B.yond yang baharu yang merupakan perkhidmatan berdefinisi tinggi.

Kini , katanya daripada keseluruhan 3.1 juta pelanggan TV berbayar, 1.6 juta sedah beralih ke platform B.yond dan lagi 1.5 juta berpotensi beralih ke platform itu.

Rohana berkata Astro berpeluang mencatatkan pertumbuhan dari dua pelaung iaitu pelanggan baharu serta pelanggan sedia ada yang boleh melanggan perkhidmatan bernilai tambah seperti B.yond serta Astro On-the-Go.  

Pasca IPO, Khazanah Nasional Bhd akan memiliki kira-kira 20.8 peratus kepentingan di dalam Astro.-Bernama

Tiada ulasan: