Ahad, 9 September 2012

.

.


Majlis Syura Tidak Perlu Bincang Hal Nasharudin

Posted: 08 Sep 2012 04:46 PM PDT

SESUDAH SUBUH

Malam ini Majlis Syura Ulamak akan mengadakan mesyuarat rutin bulanannya. Mesyuarat itu akan dipengerusi Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kini sudah berada di ibu kota. Mesyuarat malam ini sudah pasti menjadi tumpuan dan dinanti-nanti media massa. Begitu juga ia sedang ditunggu oleh musuh-musuh Pas yang mahu melihat keputusan mesyuarat itu nanti akan membuahkan sesuatu yang kurang manis untuk dijadikan modal politik menghentam Pas. Itulah yang didoakan mereka.

Nasharudin: Biar dia pilih jalan sendiri.
Musuh Pas sangat berharap isu bekas timbalan presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang baru-baru ini 'sengaja' mendampingi perdana menteri Najib Razak semasa PM itu berjumpa dengan dua orang Mesir berjanggut di Makkah akan dibincang dan seterusnya diambil tindakan. 

Penampilan Nasharudin dengan PM menyebabkan beberapa hari peristiwa itu menjadi bahan berita. Termasuk beberapa orang anggota majlis syura juga turut 'disampuk hantu' mengulas isu yang sengaja dimainkan oleh media massa itu. Dua tiga orang anggota majlis itu memberi komen mempertahankan sikap Nasharudin dan memberi isyarat agar ia tidak dipengapa-apakan.

Pendirian awal anggota majlis syura itu dilihat tidak wajar dan mempengaruhi apa-apa perbincangan terhadap Nasharudin Mat Isa malam ini kalau diadakan. Kenapa tidak wajar kerana mereka selaku badan kehakiman tidak sepatutnya mengulas sesuatu isu yang mungkin dibincangkan. Inilah masalah berlaku di kalangan pemimpin Pas mereka selalunya dihidapi penyakit suka bercakap. Kalau boleh semua pihak cubalah berpuasa mulut dalam mengulas isu-isu yang boleh menyenakkan parti.

Jadi kerana kesampukan itu adalah elok sekali kalau majlis syura ulamak yang akan bersidang malam ini tidak membincangkan isu mengenai Nasharudin. Sebaiknya jangan disentuh dan diulas langsung. Juga tidak perlu diadakan sidang akhbar bagi menjawab mengenai perkara itu. Pastikan nama Nasharudin Mat Isa tidak disebut pun dalam sepanjang mesyuarat itu. Semua ahli majlis syura jangan sesekali membawa keluar apa juga butiran atau pun sikap ahli majlis syura di sepanjang mesyuarat itu. Jagalah rahsia dan bersikap amanahlah.

Tindakan ini lebih baik untuk menutup kes berkenaan agar ia tidak menjadi panjang dan diecerkan. Nescaya kalau isu Nasharudin dibincangkan malam ini ia membuka semula isu berkenana yang kini sudah hampir dilupakan kepada umum dan akan menjadi makanan lazat media massa. Media massa yang menjadi penjilat buntut akan eksploi isu berkenaan dan menghidupkan semula soal Nasharudin ini. Ini mereka nanti-nantikan.

Semua pihak kena faham musuh Pas suka kalau soal Nasharudin itu dibincangkan kerana mereka ada modal untuk mengungkitnya kembali. Hari ini Nasharudin tidak menjadi isu lagi. Jika ia dibuka semula malam ini Nasharudin akan terus menjadi isu. Dalam saat pilihan raya makin dekat Pas dari semua sudut dan oleh semua orang hendaklah lebih berhati-hati dan bersikap waras. Emosi yang berlebihan akan membawa parah.

Kalau isu Nasharudin ini tidak disebut dan dibicnangkan pun ia tidak menjadi masalah ia tidak akan memberi apa-apa kesan kepada Pas, untung pun tidak rugi pun bukan. Paling-paling Nasharudin atau media yang menyokongnya akan mengulas Pas takut kepada Nasharudin setakat itu saja... dan biarkanlah.

Untuk memstikan ini... jangan masukkan isu Nasharudin di dalam agenda mesyuarat dan jangan ada sesiapa bangkit dalam agenda hal-hal lain. Jangan ada juga sesiapa di kalangan anggota majlis syura gatal mulut untuk bercakap mengenai Nashardin dan kalau hendak bercakap juga biarlah sepakat dengan keputusan kita jangan pedulikan dia.

Paling afdal ialah tutup mulut dari menyebut namanya, habis cerita. Sama ada Nasharudin hendak kekal dalam Pas, hendak mengkritik Pas memuji Umno terpulang kepadanya. Pas bukan baru sekarang hendak merasai kehilangan bekas pemimpin tertingginya tetapi sudah acap kali. Jadi apa perlu dibimbangi.

Nasharudin hanya sebutir benih yang pernah disemai di dalam Pas tetapi sudah mula membakut hanya disebabkan semusim kemarau. Benih yang kuat dan ulit itu akan sanggup dibahan kemarau berdekad bahkan berabad sebelum ia akan tumbuh menjadi pokok yang besar, gagah dan berbuah.  [wm.kl.7:19 am 09/09/12]

Mahadzir Khir Yang Rendah Diri Bersifat Melayu Tulen

Posted: 08 Sep 2012 09:47 AM PDT

BELASUNGKAWA

Saya sepatutnya telah menyiapkan catatan balesungkawa Allahyarham Mahadzir Mohd Khir, 67 bekas timbalan menteri pendidikan yang telah kembali ke Rahmatullah tiga hari lalu akibat serangan jantung. Namun disebabkan kerana terganggu dengan kesibukan lain, catatan itu dilewatkan. Maaflah kepada mereka yang menanti untuk membaca catatan belasungkawa ini.

Pertemuan dengan Allayarham dua tahun lepas di Petaling Jaya.
Saya perhati dalam beberapa blog lain takut-takut ada sesiapa yang membuat catatan balesungkawa atau mengenang Allahyarham. Tetapi tidak ada.. atau pun tidak tersuluh oleh ainun saya. Catatan mengenangi  seseorang selalu dibuat apabila seseorang itu telah dipanggil menghadap Ilahi. Cacatan sebegni adalah sebagai penghormatan dan kenangan terakhir kita kepada seseorang yang kita kenali dan telah pergi itu.

Saya akan cuba mengungkitkan sedikit kenangan saya bersama Allahyarham sebagai mengisi cacatan balesungkawa yang dijanjikan. InsyaAllah.

Nama Mahadzir Khir saya sudah lama mengenalinya sebelum saya bertemu dan bersalam dengannya. Saya kenal dia sebagai seorang penulis atau kolomnis di akhabr. Dia banyak menulis mengenai isu sosial politik, budaya, pendidikan dan sejarah. Tulisan dan pandangannya mencerminkan hasrat peribadi beliau sebagai seorang Melayu dari konteks ahli akademik. Semasa menjadi tokoh akademik dia banyak mengkritik dasar dan polisi kerajaan secara ringan dan halus di mana sikap itu menyebabkan saya berfikir beliau berfikiran condong ke kiri atau anti estblishment?

Namun itu memberi kefahaman bahawa tidak semua dia bersetuju dengan dasar kerajaan khsusunya dalam soal pendidikan, pembahagian ekonomi kepada orang Melayu termasuklah hal-hal kronisme dan  diskriminasi serta pengabaian kepada budaya bangsa. Mahadzir juga seorang yang semi redikal Melayu tetapi sikap rasisnya terselindung di sebalik ketokohan beliau sebagai seorang akademik yang mencapai taraf Prof Madya.

Dalam pergaulan dan bersosial dia merendah diri dan menyenang semua orang serta tidak tahu membangga dia sebagai seorang profesor yang berpendidikan di luar negara. Dia menghormati semua orang tidak kita darjat dan keturunan. Bagi saya beliau seorang Melayu tulen yang penuh dengan tatabudi, tatabahasa dan tatabudaya dan berfikir sedikit agak kritikal.

Pertama kali saya bertemu dengannya ialah pada akhir tahun 80-an di satu majlis politik di Kota Bharu Kelantan. Beliau hadir dalam majlis politik itu sebagai pemerhati dan pencatat sejarah. Kalau tidak silap majlis itu anjuran Parti Melayu Semangat 46 di bawah pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Tanpa ramai orang mengetahui Mahadzir adalah penyokong dan pengkagumi Tengku Razaleigh.

Hari itu saya nampak dia membidik kamera besar siap dengan zom panjang. Dia mengambil gambar sendiri dan berjalan dalam kumpulan orang ramai. Dari sini memberi tahu saya bahawa beliau seorang yang merendah diri dan senang bergaul. Saya menghampirinya dan memperkenalkan diri. "Oh Sayuti... you yang menulis dalam Watan ke?" dia seakan terkejut dan tercengang. "Iya..," balas saya sambil dengan  merasa bangga dan bertuah kerana orang sepertinya yang saya kira jauh jarak status dari saya memembaca tulisan saya.

"I baca tulisan you, bagus..., " balasnya menjadikan saya sedikit terasa.

Itulah pertemuan pertama dan ia berangkaian apabila saya melebarkan sayap perjuangan berhijrah dan mencari makan di Kuala Lumpur sebagai seorang penulis dan wartawan dalam tempoh itu juga. Allahyarahm menjadi lebih kenal lagi apabila saya mula menulis buku-buku politik picisan. Setiap kali berjumpa saya dia akan memberi tahu yang dia membaca buku saya dan bertanya buku apa pula selepas ini. Dia tidak mengomen apa yang saya tulis.

Walaupun tidak kerap berjumpa dan minum tea tarik, tetapi pengenalan kami di arena penulisan menyebabkan kami akrab di antara satu sama lain. Saya menjadi lebih hormat dan bangga kepadanya apabila beliau sering menghubungi saya bertanyakan mengenai isu-isu politik semasa, atau pun meminta ulasan dan pandangan dari perspektif saya yang dilihat sebagai pro-pembangkang. Apalah saya berbanding dengan beliau yang di menara gading.

Lata ini menyebabkan saya merasa banga dan sekaligus menjadi lebih berhati-hati dalam penulisan kerana buku picisan saya juga diteliti oleh beliau. Sebagai ketua di Unit Jabatan Pengajian Sejarah UM di mana turut sama terlibat mengenai pengajian media massa, beliau sering memberi tugas kepada anak didinya menemui saya khasnya yang terlibat dalam bidang penulisan. Beberapa orang anak muridnya datang menemui saya dalam menyiapkan assingment mereka.

Pengenalan kami lebih rapat dan kerab lagi apabila beliau menjadi ahli Parlimen, dilantik menjadi setiausaha parlimen dan kemudian timbalan menteri pelajaran. Perlantikan itu bagi saya wajar kerana pengalaman luas beliau dalam bidang pendidikan. Sebagai orang Melayu tulen yang berhemah, nilai atau ragam hidupnya tidak berubah mengikut status dan darjat. Mahadzir seperti biasa, tidak berubah kandati sudah bergelar timbalan menteri sedang saya tetap masih penulis cabuk.

Setiap kali terserempak di parlimen beliau akan bertanya khabar dan kalau tidak sibuk akan membimbing tangan saya ke kantin atau masuk ke cafe ahli parlimen untuk minum.

Satu hari saya ke pejabatnya di Bukit Damansara Kuala Lumpur untuk satu tujuan. Untuk berjumpanya tidak payah membuat temu janji, cukup telefon dan kalau beliau kebetulan ada luang terus pergi dan jumpa.

Sebelum sempat memberi salam, sebaik tersembung di muka pejabatnya Allahyarham sudah mengajak ke kantin untuk minum air tanpa sempat bertanya apa hajat dan tujuan.

"Hang nak minta tolong apa?" tanya beliau selepas membuat pesanan di kantin.Saya masih ingat lagi hari itu beliau oder 'kopi O'.

"Ini ada anak orang kampung, nak masuk universiti tetapi tak leh..."? kata saya.

"Ini mesti anak orang Pas ni..," samputnya sambil menatap slip reslut periksa anak orang kampung saya yang saya hulurkan kepadanya.

"Orang Pas ni kalau kita tolong dia, dia tak nak tolong kita...," runggutnya gurau sambil meneliti reslut berkenaan sambil mencebek mulut dan mengenyitkan kening.

"Jangan kira anak siapa Datuk, asalkan Melayu kena tolong... mana tahu besok dia akan undi Umno," balas saya terasa juga dengan guruannya itu. Dia hanya tersenyum.

Slip result itu dimasukkan ke dalam poketnya selepas itu kami berbicara soal lain. Biasalah dia bertanya buku saya yang baru serta mengenai masalah Umno dan Pas. Allahyarham juga berminat kalau masalah politik Melayu Pas dan Umno dikurangkan untuk membolehkan tumpuan kepada pembangunan negara. Pernah beliau bertanya kepada saya apakah sudah tidak ada cara untuk kita membawa Umno dan Pas duduk di satu saf.

Allahyaraham tidak memberi apa-apa jaminan dengan bantuan yang saya pinta itu. Seminggu selepas itu anak orang kampung saya menerima surat tawaran dan mendaftar diri di Uitm Cawangan Dungun. Begitulah mudah "ba'sa"nya Allahyarham dalam memberi bantuan.

Hubungan persahabatan kami agak terputus, malah terputus terus apabila beliau tidak lagi menjadi ahli parlimen. Sehinggalah satu hari saya mengetahui beliau sakit dan terlantar di hospital selepas operasi jantung. Beliau berhari-hari tidak sedarkan diri dan menurut rakan yang menziarahinya harapan untuk hidup sangat tipis. Saya tidak sempat untuk melawatnya dalam keadaan koma kerana sebaik saya tahu beliau sudah pun keluar hospital.

Allah s.w.t. masih sayangkan beliau, tanpa sesiapa menduga Allahyarham 'segar degar' semula. Tetapi beliau sudah semakin jauh dengan dunia politik. Tidak ada komenter mengenai politik, tidak ada tulisan mengenai siasah Melayu. Sehingga pada satu Ramadhan ketika menjadi tetamu berbuka puasa Tengku Razaleigh kami berjumpa di rumah Tengku di Ampang. Perjumpaan itu telah menyambung kembali perkenalan kami yang terputus.

Wajah dan perwatakannya masih sama, tenang melemparkan tutur, cuma saya sedikit terkejut melihat rambutnya yang panjang terikat kemas di belakang. Dari rambut itu dapat saya membaca bahawa jiwa halus dan seninya begitu menebal. Semasa di rumah Tengku Razaleigh saya duduk semeja dengannya dan sempat berbual soal politik Umno yang baginya semakin 'semarawut'.

Lanjutan itu saya membuat temujanji untuk lebih lama berbicara dengannya mengenai politik dan nasib Melayu waktu ini. Beliau menetapkan tarikh dan kami berjumpa di sebuah restoran mamak di Petaling Jaya. Dalam pertemjuan itu beliau meluahkan rasa gusar dan terkilan dengan cara pembawaan Umno hari ini. Baginya Umno sudah menyimpang jauh dari perjuangan asal untuk mendaulatkan Melayu.

Apa yang dapat diselami dari patah-patah katanyahari itu Allahyaraham tidak yakin lagi dengan Umno hari ini sekiranya ia terus ditadbirkan oleh pemimpin dengan corak yang ada hari ini menurutnya Umno bakal hancur.

Pada 5 September jam kira-kira 5:00 petang Mahadzir Khir telah diminta pulang oleh Tuhan kita ke sisinya dengan meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak dan seorang cucu. Al Fatihah. [wm.kl.8:21 pm 09/09/12]

Tiada ulasan: