. |
- Najib Rayu Agar Jangan Saman AG dan Bekas IGP?
- Lawatan PBT, Exco Dan Kakitangan Berkanun Kelantan Habiskan Duit
- Bila Kadir Menari Sumazau Depan Hj Hadi
- Jet Peribadi dan Kenyataan Mansor Othman
Najib Rayu Agar Jangan Saman AG dan Bekas IGP? Posted: 26 Sep 2012 09:14 PM PDT SELANG HARI Malam kelmarin sekali lagi saya berjumpa dengan seorang wakil rakyat ini. Beliau menceritakan sesuatu agak sulit yang boleh menjadi bahan atau isu politik yang berlengas. Kes ini ada kena mengena dengan bekas Pegawai Tinggi Polis yang dihadapkan mahkamah kemudian dilepaskan. Pegawai polis itu bercadang untuk menyaman Peguam Negara dan bekas Ketua Polis Negara untuk membela penganiayaan ke atas dirinya. Katanya Najib telah memanggil bekas pegawai tinggi ini dan merayu agar pegawai tinggi itu tidak mengambil tindakan waktu ini. Najib, katanya tidak menghalang tetapi biarlah selepas pilihan raya? Kita faham kenapa selepas pilihan raya. Tetapi apakah keperluan pegawai polis itu untuk akur dengan kehendak dan rayuan Najib. Apakah benafit yang beliau perolehi? Dan tidakkah bila memenuhi rayuan Najib itu ia dianggap membantu Najib? Bukankah dengan melengakan tindakan itu satu persubahatan besar melindung orang yang kita rasakan melakukan jenayah? Hendaknya cerita wakil rakyat itu benar dan dia akan persampaikan apa yang saya pertikaikan ini. Kalau kita sudah nekad untuk apa kita berundur lagi, teruskan. Rakyat sendiri menanti tindakan-tindakan berani ke atas orang yang juga berani. [wm.kl.12:11 t/hari 27/09/12] | ||
Lawatan PBT, Exco Dan Kakitangan Berkanun Kelantan Habiskan Duit Posted: 26 Sep 2012 08:50 PM PDT SINGGUNGAN PAGI Perkara ini sudah lama tersekang di dalam benak saya untuk mendapat penjelasan dimanakah relevannya perkara ini. Saya telah menghulur persoalan ini kepada beberapa orang tetapi jawaban yang diberikan tidak begitu memuaskan bahkan mengeliru apabila dibanding dengan apa yang dihasratkan. Semacam ada ketempangan mengenai perkara ini. Saya tidak pasti apakah perkara ini disedari atau tidak oleh pihak-pihak berwajib? Perkara yang saya maksudkan ini ialah mengenai kekerapan lawatan ke luar negeri oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ahli Majlis Daerah, anggota Exco Kerajaan Kelantan, wakil rakyat dan ahli lembaga pengarah syarikat atau badan-badan berkanun negeri Kelantan.
Persoalan ini bermain di dalam kepala saya sebab semacam ada perlumbaan di kalangan ahli Majlis Daerah di Kelantan khasnya dalam mengadakan lawatan atau rombongan ke luar negara. Perkara ini boleh diperhatikan setiap tahun hampir semua ahli Majlis Daerah dan juga ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) akan dibawa ke luar negeri. Kalaupun tidak ke luar negera tetapi setidak-tidaknya ke Sabah dan Sarawak. Alasan atau pun justifikasi lawatan berkenaan ialah untuk menambah ilmu bagi mempertingkatkan daya tadbir PBT masing-masing. Kononnya dengan adanya lawatan sambil belajar itu ahli majlis dapat mengambil iktibar dan contoh teladan dari apa yang dilihat semasa lawatan itu untuk diterapkan ke dalam PBT mereka. Itulah alasan paling afdal dan sepatutnya berlaku. Tetapi ada juga ayat-ayat atau cakap-cakap mengatakan lawatan diadakan kerana bagi menghabiskan peruntukan yang diberikan. Kerana kalau tidak peruntukan itu akan dibawa ke tahun depan, dan dimasukkan semula ke perbendaharaan negeri. Persoalannya pertamanya, sejauh manakah hasil dari lawatan itu diperolehi dan membantu meningkatkan tahap pentadbiran dan pengurusan PBT, atau badan berkanun atau syarikat berkenaan. Apakah hasil lawatan itu benar-benar membuahkan hasil diharapkan atau ia sekadar sebagai lawatan untuk makan angin saja? Tidak ada laporan dikeluarkan kepada umum mengenai keberkesanan lawatan-lawatan berkenaan. Saya harap ada sesetengah ahli majlis daerah atau MPKB sudah round ke seluruh dunia untuk tujuan itu. Seperti mana saya tahu setiap lawatan sedemikian tidak ada laporan atau taklimat diberikan kepada pihak berwajib untuk mengetahui keberhasilannya. Apa lagi rakyat bawahan. Dalam kata lain tidak ada pemantau atau pemeriksaan khusus berhubunng lawatan itu. Ia tidak cukup kalau ada sesetengah ahli rombongan itu membawa buah tangan kepada Tokguru sebagai membuktikan mereka mengadakan lawatan. Makanya adalah baik untuk masa depan setiap lawatan sebegitu diminta laporan mengenainya dan bukan dilepaskan begitu saja. Persoalan keduanya, lawatan itu tentulah ada peruntukan khas. Cakap-cakap mengatakan lawatan perlu diadakan untuk menghabiskan peruntukan agar tidak dibawa ke tahun depan menimbulkan konfius kepada saya. Apakah perlu ada sikap dan pemikiran seperti ini. Bukankah kedudukan kewangan Kelantan tidak berapa memberangsangkan dan semua pihak perlu berjimat cermat. Wang yang diperuntukan untuk lawatan itu juga jika tidak digunakan boleh disimpan dan dimasukkan semula ke dalam perbendaharaan negeri. Apakah ia menjadi kesalahan dan dosa bagi negeri seperti Kelantan? Wang itu boleh digunakan untuk mengurus negeri. Inilah saya kata diawal tadi senario itu bertentangan dengan apa yang dihasratkan. Tokguru MB bukan main lagi berhemah dan berjimat cermat tetapi pihak lain rakus memboroskan wang kerajaan. Nampaknya yang mengamalkan jimat cermat hanya Tokguru seorang saja tetapi yang lain buat 'sadin'. Seharusnya tanggungjawab dan perasaan untuk menjaga kewangan negeri bukan saja oleh Tokguru seorang tetapi yang lain juga. Orang lain juga sepatutnya lebih-lebih lagi bersikap jimat cermat. Walaupun wang yang dikumpul hasil jimat cermat itu tidak sebanyak mana, tetapi setidak-tidaknya ada sumbangan 'ikhlas' dari mereka yang diperuntukannya untuk membantu negeri dan Tokguru. Seperkara lagi mengenai lawatan ini, ada sesetengah ahli PBT atau ahli lembaga pengarah syarikat, atau badan berkanun lebih daripada sekali melawat ke luar negeri. Seolah-olah mereka ini 'berbadi' berlumba pula untuk mencatat rekod siapa paling banyak ke luar negara. Yang memeliknya juga yang pergi untuk lawatan sambil belajar bukan saja mereka yang berkaitan dengan sesuatu bidang tetapi yang tidak ada kena mengena juga ikut sama. Buat menatang apa? Situasi inilah menyebabkan orang akan menuduh lawatan itu hanya untuk makan angin saja. Misalnya lawatan untuk melihat projek automotif, janakuasa eletrik, industri air dan sebagainya bukan saja mereka bergelar jurutera tetapi pembantu am pejabat juga ikut sama pergi. Untuk apa? Seharusnya anggota rombongan yang hendak dibawa bagi tujuan penyelidikan dan latihan tertakluk kepada yang berkaitan saja. Yang tidak tahu 'wau buta' tidak payah pergilah. Terbaru katanya satu rombongan akan bertolak ke Mesir hanya untuk melihat bangunan yang akan dibeli oleh agensi kerajaan. Yang pergi bukan saja pengerusi, timbalan pengerusi tetapi semua ahli lembaga pengarah badan berkenaan ikut sama. Untuk apa? Biarlah mereka yang pakar dan ada pengetahuan dalam bidang bangunan saja yang pergi. Yang lain tidak payah menyibuk dan tumpang tui. Ada juga pergi bukan sangat urusan kerajaan tetapi nak jengok anak di sana? Kerajaan harus mengariskan protokol di dalam hal ini agar ia tidak membazirkan dan mencerminkan profesional sebuah kerajaan. Saya merujuk kepada pemergian rombongan membawa surat ucapan tahniah Tokguru kepada Ikhwan Muslimim Mesir baru-baru ini ekoran kemenangan Dr Mohamad Morsi. Satu gerobak pergi ke Mesir untuk membawa surat itu. Tidak praktikal langsung. Semacamlah surat itu berat sangat. Ia hanya patut dilakukan oleh seorang saja. Memalukan, Dr Morsi tidak pun ditemui. Mungkin ada alasan untuk menjelaskan perkara ini. Pemergian yang ramai itu bukan ditanggung semua oleh lembaga atau syarikat, atau oleh PBT, mereka keluar belanja sendiri. Tetapi kalau sudah pergi ramai-ramai macam hendak buat umrah, tujuan dan tugas awal itu akan tergganggu. Tarikan untuk melancung dan berpelesiaran itu lebih besar dari hendak laksanakan tugas. Untuk masa-masa akan datang perkara ini perlu diperbetulkan. Pihak berwajib hendaklah memantau. Laporkan khas setiap lawatan rasmi kerajaan perlu diadakan dan dedahkan kepada umum. Kalau perlu peruntukan untuk lawatan hujung tahun ditiadakan demi menjimatkan wang rakyat, tiadakanlah. Rasanya wang itu lebih baik dikumpulkan untuk membantu projek pembangunan dan sosial untuk rakyat dari berikan kepada mereka untuk makan angin. Begitu juga mengenai tugasan luar wakil rakyat dan Exco di luar negara. Pemergian mereka dibayar elaun oleh kerajaan. Apalah sangat hasil pemergiannya. Saya mendapat tahun ada wakil rakyat ke luar negeri 25 kali setahun campur yang rasmi kerajaan dan parti sekali. Ada yang ke Cina setiap bulan macam ada anak pinak di sana. Untuk apa? Kalau buka pusat perdagangan apa hasilnya? Adakalanya hampir separuh wakil rakyat berada di luar negeri, sampai tinggal Tokguru tercokal seorang diri. Mungkin mereka kata Tokguru benarkan.Iya benar, tetapi kena faham mantik Tokguru walaupun dia benar, tetapi kebenaran itu untuk difahami. Tokguru sebagai orang tua dia tidak akan melarang orang tua walaupun orang tua tak berapa cerdik. Kena faham sendiri. Apa yang dia lakukan kena dicontohi. Adakalanya anggota Exco silih berganti pergi dan balik. Hari ini Exco ini balik, esok lusa Ecxo lain pula dengan rombongan terbang ke luar negeri. Lagaknya sibuk sekali, kalah ahli kongres Amerika Syarikat. Eloklah kalau kerajaan mengadakan peraturan khas mengenai perkara ini. Dan soal pergi melawat ke luar negeri ini bukan tidak boleh diatasi, ataupun wakil rakyat bukan tidak boleh patuh. Dulu masa Pas memerintah hanya dengan dua kemudian satu kerusi boleh pula masing-masing menguncikan diri dalam negeri. Kenapa tidak diteruskan sikap itu? Bukan tidak boleh untuk ke luar negeri tetapi biarlah urusannya mustahak dan memberi faedah. Jangan kerana pergi semata-mata kerana dibayar dan dapat elaun...atau hendak menghabiskan peruntukan sedangkan faedahnya tidak seberapa. Masa yang dibuang diluar negeri itu lebih baik digunakan untuk mendekati rakyat, mendidik rakyat dan sebagainya. Semasa persidangan ahli-ahli parlimen di Colmbo baru-baru ini ada srorang wakil rakyat Pas bawa bini mudahnya ke sana. Untuk apa...untuk jadi pemerhati persidangan itu? Betul dia menggunakan wangnya sendiri, tetapi tidak payahlah dalam majlis official begitu kita bergambar dan tunjuk yang kita ada bini muda. Orang lain juga ada bini muda. Tirulah akhlak dan sunnah Tokguru bukannya setakat mendengar dan dijadikan modal dan bahan untuk ceramah, tetapi kena praktis. Kalau setakat dengar dan sebut tak guna sedikitpun habuk pun. [wm.kl.11:24 am 27/09/12] | ||
Bila Kadir Menari Sumazau Depan Hj Hadi Posted: 26 Sep 2012 07:06 PM PDT SELEPAS SUBUH Politik sekular membenarkan maksiat dan hak asasi mengizinkannya. Namun batas-batas dan hukum agama tidak membenarkan walaupun dalam keadaan apa dan untuk apa sekali pun. Ketegasan ini dikatakan rigid, oleh anti agama tetapi sebenarnya inilah istimewanya agama yang membezakan penganutnya dengan penganut agama lain.
Semasa kunjungan para pemimpin Pakatan Rakyat ke Sabah dan Sarawak baru-baru ini, dalam satu majlis di Tuaran, Sabah para hadirin khasnya para pemimpin Pakatan Rakyat dijemput untuk sama-sama menari Sumazau di pentas bersama beberapa orang jelitawan Kadazan Dusun yang putih melepak. Tarian atau komitmen pemimpin PR itu sebagai membuktikan mereka tidak memperkecilkan tarian tradisional Kadazan Dusun itu yang merupakan tarian meraikan tetamu yang menjadi amalan tradisi. Slog untuk tarian itu sebagai menjawab satu fitnah dilemparkan oleh blog yang menyamar atas nama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperkecil-kecil dan menghina tarian berkenaan sebagai tidak berakhlak dan tidak tamadun. Walaupun slog itu tidak perlu dalam majlis sambutan Hari Malaysia itu, tetapi itulah yang disediakan. Untuk menunjukkan semua sporting dipanggil semua pemimpin yang ada naik ke pentas. Sebegitu mendengar pengumuman itu saya yang berada agak jauh dari pentas mendekati kerusi-kerusi viip...di hadapan pentas, bukan teringin hendak menari, tetapi kerana timbul juga rasa bimbang manalah tahu ada pemimpin Pas yang berpinar biji mata naik ke atas. Di hadapan itu ada Abdul Hadi Awang, Muhammad Sabu, Husam Musa, Dr Mohd Hatta Ramli, Mustapa Ali dan lain-lain. Pemimpin PKR pula, ada Anwar Ibrahim, Mohamed Azmin Ali, Khalid Ibrahim, dan lain-lain. Alhamdulilah semua pemimpin Pas dan PKR beragama Islam tidak naik ke pentas dan tindakan mereka itu difahami oleh pihak penganjur. Persefahaman dan penghomatan kepada budaya dan agama masing-masing ada. Tetapi beberapa orang pemimpin PKR bukan Islam naik ke pentas. Tidak hairan sebab tidak ada apa-apa masalah dan halangan buat mereka. Namun yang sedikit merujakana saya apabila Kadir Sheikh Fadzil ikut sama naik ke pentas, mendepa tangan dan terhinjuk-hinjuk macam anak kucing kaki terpijak duri menari dengan jelitawan Kadazan Dusun. Untuk pengetahuan, Kadir bukan pemimpin PKR dia hanya menyelit dalam majlis atas kapasiti dirinya sendiri. Setahu saya tidak ada hubungan atau ikatan apa-apa dia dengan Pakatan Rakyat melainkan hadir atas kehendaknya sendiri. Nampak selamba saja Kadir dengan tarian itu. Seperti saya kata tadi itu adalah hak peribadi dan dibenarkan oleh hak asasi manusia. Tetapi Kadir seorang Islam adalah tidak wajar berbuat demikian. Kalau pun majlis sosial begitu biasa baginya tetapi dia perlu menghormati kepada pemimpin Melayu lain yang ada di bawah. Kalaupun bukan kepada Anwar dan Muhammad Sabu tetapi kepada Abdul Hadi Awang. Dia juga perlu sedar di mana beliau berada, di majlis Pakatan Rakyat. Janganlah gara-gara tindakan itu menyebabkan Pakatan Rakyat terpalit noda yang tidak diudang. Saya malas ulas panjang nanti timbul tanggapan lain pula. Cuma kepada Kadir kalau hendak berkawan dengan Pakatan Rakyat khasnya Pas ubahlah perangai dan budaya itu. Beliau kena studi Pas berbeza dengan parti lain. Wajar juga kalau selepas ini Pas memikir banyak kali untuk mengundang Kadir ke majlis ceramahnya. Kalau selepas ini Pas tidak mengundang Kadir diceramahnya jangan berkecil hati. Pas dalam keadaan apa jua keadaan parti itu perlu menjaga integritinya. Integriti Pas bukan saja individunya tetapi organ itu sendiri. Pas bukan Umno, Pas bukan DAP dan Pas bukan PKR. Pas adalah Pas yang dikatakan rigid tetapi pendirian dan dasarnya berlandaskan keyakinan apa yang diajarkan agama yang menjadi ideologinya. Kita tidak mahu Kadir masuk ke dalam majlis-majlis Pakatan Rakyat menjadi semak dan masalah kepada Pakatan Rakyat. Lagi pun pengaruh Kadir bukan besar sangat, hadirnya tak lebih dan tak kurang bagaikan melukut di hujung gantang saja. Sebagai melukut Kadir sepatutnya tahu sebesar mana bakul dan sebesar mana cupak. [wm.kl.9:55 am 27/09/12] | ||
Jet Peribadi dan Kenyataan Mansor Othman Posted: 26 Sep 2012 05:54 AM PDT MENYELAM MALAM Antara sebab kenapa saya tidak mahu melibatkan dalam parti politik secara rasmi ialah kerana melihat budaya politik Malaysia tidak ada standard atau tidak ada kelas. Sejak dari dulu lagi saya melihat orang Melayu bermain politik secara bodoh dan bangang. Mungkin beginilah ciri-ciri rakyat di sebuah negara yang berada di pre-kemerdekaan dan pre-tamadun. Saya menyifatkan orang Melayu separuh masak. Keadaan separuh masak ini serba salah, cerdik pun tidak bodoh sangat pun tidak. Saya masih ingat saya pernah menulis sebuah buku awal tahun 90-an menafikan yang negara ini merdeka dan rakyatnya tamadun. Buku itu berjudul "Merdeka Kedua". Saya akan cuba membawa cuplikan pandangan saya dalam buku itu satu hari nanti. Buku itu mendapat perhatian seorang naib presiden Umno yang kemudian membawanya kepada presiden parti. Kecut perut juga saya dengan kejadian itu. Kebodohan politik Melayu terbawa-bawa sampai ke hari ini. Saya tidak perlu mengulas hal ini, boleh disaksikan sendiri dan lihat dari juring mana kecacatan, kesumbangan dan kebodohannya. Usah difikirkan kepada matlamat dan kepentingan Melayu menerusi politik, tetapi tengoklah apa isu-isu yang dimainkan sudah memberi jawaban kepada kita. Isu yang ditimbulkan tidak sedikitpun boleh membangun bangsa dan negara. Politik adalah satu ruang besar untuk membina negara dan bangsa. Seharusnya perkara besar ini diolahkan secara berkualiti dan tidak dicampuri dengan soal-soal remeh temeh. Apa lagi orang Melayu akan marah kalau dikatakan dia tidak Islam, seharusnya politik ditangani dengan penuh ketertiban? Kita marah kalau kita dikatakan Islam tempelan dan tidak syumul. Tetapi itulah hakikatnya. Tanya kepada diri sendiri sejauh dan sedalam manakah Islam kita? Hampir semua isu-isu yang dicampak ke dalam ruang politik negara kini isu yang remeh dan bersifat peribadi. Kita banyak mengalamai kerugian dan damage kerana kebodohan itu. Tepatlah kalau ada pengkaji bangsa asing mengatakan orang Melayu kuat dengki, cemburu, jahat dan khianat sesama sendiri. Kita kena memperakui kajian itu. Perbuatan nasi tangas atau nasi kangkang, meletak racun dalam pulut, mengumpat adalah sifat-sifat dan kerja rutin orang Melayu. Mengumpat ini berlaku di mana-mana saja, pasar, pejabat, malahan atas angkasa pun berlaku. Sifat itu tidak pernah sunyi dari kehidupan, budaya dan tradisi orang Melayu. Fitnah bermaharajalela berlaku sepanjang 24 jam. Ia lebih pantas dan cepat lagi membawa manusia tertentu ke neraka dengan ada alat sebaran baru yang canggih dan modern. Perbuatan ini tidak tertakluk kepada mana-mana parti, semua melakukan kerja-kerja jahat atau mengamalkan standard politik busuk begitu. Bezanya bersaiz kecil atau besar. Perhatikan macam isu yang remeh tidak ada mutu atau kena mengena pun dengan maksud politik (filsafah) itu sendiri dipermainkan. Misalnya isu mengenai kenyataan timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Mansor Othman yang kononnya menghina Lim Guan Eng dipergajahkan begitu rupa. Saya tidak faham kenapa isu dimainkan setiap malam di tv? Tv itu satu hal bengong sampai ke belakang. Di manakah tanggungjawab atau pun responsibility pihak tv berkenaan? Apakah mereka masih boleh mengaku mereka sebenarnya masih manusia dan mengaku ada Tuhan? Apakah manfaatnya? Pelik... pihak batang tubuh (Lim Guan Eng) tidak pun mempertikaikan apa yang didakwa dikatakan oleh Mansor Othman itu. Tetapi pihak tv yang menjadi perkakas kepada UBN pula yang beriya-iya. Saya tidak faham bagaimana isu ini boleh mencerdikkan rakyat? Saya tahu ia bertujuan hendak memecah belahkan PKR dengan DAP, tetapi yakinlah apa yang diungkitkan itu tidak akan meretakkan kepaduan kedua-dua parti itu malahan makin kuat dan kemen. Sebab mereka sudah lama menghidu kebusukan dan kejahatan tv berkenaan. Begitu juga dengan isu Anwar Ibrahim naik jet peribadi. Kenapa diperbesarkan. Naik jet atau kapal terbang ini bukan sesuatu yang dibanggakan lagi. Kalau di negara yang bertamadun dan lama merdeka ia bukan sesuatu yang pelik dan istimewa. Kalau di barat naik kapal terbang dan jet seperti naik bas mini sahaja. Tidak pun menjadi isu.... Itulah saya katakan orang Melayu masih belum tamadun, masih terkejut beruk kalau melihat orang naik jet. Sebabnya mudah kerana masih ada baik orang politik Umno, Pas dan PKR (Melayu) menunggang kerbau. Mungkin orang barat dan negara yang bertamadun akan gelak terbahak-bahak sampai terkencing bila melihat Melayu bermain politik. Cara kita menimbulkan isu. Apa lagi kalau mereka melihat perbalahan dan penimbulan isu itu dari kalangan dua puak iaitu Melayu. Rasanya ada penerbit filem di barat memilemkan politik bodoh orang Melayu ini. Dulu kita marah bila ada orang barat kata Melayu masih duduk atas pokok kayu. Sebenarnya apa yang orang Melayu lakukan hari ini lebih teruk berada di atas pokok. Yang menghairankan saya juga, yang menimbulkan isu-isu remeh kelas tahi ini bukan saja budak-budak penyepak kertas yang menjadi barua untuk cari makan, atau untuk beli handphone baru atau gadget baru tetapi para pemimpin atau ahli parlimen juga bersikap demikian. Bodoh! (Tiru nada Azhar Idrus). Bila saya sebut ini - kebodohan dan kebangangan kerana memainkan isu-isu remeh dan peribadi secara melampau bukan saja tertakluk kepada pihak UBN, tetapi pihak pembangkang juga lebih kurang sama saja. Adakalanya isu-isu yang ditaburkan pembangkang lebih busuk dan tidak bertanggungjawab dari apa yang dilontarkan oleh UBN. Cuma bernasib baik di sebelah pembangkang mereka tidak mengkomersialkan isu-isu busuk itu dalam tv dan akhbar. Dalam pilihan raya nanti marilah duhai orang-orang cerdik membuat pilihan terbaik. Pilihlah orang yang cerdik, ada kelas untuk menjadi wakil rakyat dan pemimpin negara. Marilah kita sama-sama 'tohok' politik tidak bermoral, politik adu domba melampau dan cuba pertingkatkan kualiti dan mutu politik kita. Kaum lain sudah bergerak terlalu jauh kita masih lagi bermain dalam kelontong nyiur. Selama mana kita semua harus menjadi 'gogat' sementara sayap tumbuh? [wm.kl. 8:52 pm 26/09/12] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan