Ahad, 2 September 2012

:: @ AL-BAKISTANI @ ::

:: @ AL-BAKISTANI @ ::


[WACANA RANG UNDANG-UNDANG HUDUD KELANTAN 5] DEFINISI MURTAD

Posted: 02 Sep 2012 02:34 AM PDT


PERBAHASAN TIGA : HUKUMAN MURTAD

Dalam perbahasan di sini, dibahaskan dalam beberapa perkara, iaitu seperti berikut;

PERKARA SATU : DEFINISI

Dalam klausa 23 (1) Rang Undang-Undang Hudud Kelantan menyatakan;
"Irtidad ialah apa-apa perbuatan yang dilakukan dan perkataan yang disebutkan oleh seorang islam yang mukallaf yang mana perbuatan atau perkataan itu mengikut hukum syarak adalah menjejaskan atau berlawanan dengan aqidah ugama Islam:

Dengan syarat bahawa perbuatan itu dilakukan atau perkataan itu disebutkan dengan niat, dengan sukarela dan dengan pengetahuan dan tanpa apa-apa paksaan oleh sesiapa atau oleh keadaan"

Dalam klausa 23 (2) pula menyatakan;
"perbuatan-perbuatan atau perkataan-perkataan yang menjejaskan aqidah itu ialah perbuatan-perbuatan atau perkataan-perkataan mengenai atau bersabit dengan perkara asas yang dianggap mesti diketahui dan dipercayai oleh tiap-tiap orang Islam sebagai pengetahuan umumnya kerana dia orang islam seperti perkara rukun islam, rukun iman dan perkara-perkara halal dan haram"

Definisi ini seiras-iras dengan apa yang termaktub dalam Qanun Jinayah Syar'iyah, Karangan Bekas Mufti Sabah. Dalam Fasal keenam, perkara 84 dinyatakan;
"(murtad) Ialah sesuatu perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan oleh seseorang islam yang mukallaf di mana perbuatan atau perkataan itu menyebabkan seseorang tadi keluar dari agama Islam.

Dalam perkara 85 (a)(b)(c) pula menyatakan;
"seseorang islam boleh menjadi murtad ialah disebabkan salah satu dari perkara-perkara berikut;
(a)   Disebabkan iktiqad (kepercayaan)
(b)   Disebabkan perbuatan yang sengaja.
(c)    Disebabkan perkataan yang sengaja.

Dalam definisi murtad dalam rang undang-undang hudud kelantan ini, dapat difahami bahawa ia adalah seperti berikut;
1-      Murtad juga adalah orang yang menggunakan perbuatan dan perkataannya yang boleh menjejaslan aqidah Ugama Islam
2-      Mempertikai perkara yang DIANGGAP DAN DIPERCAYAI diketahui dalam agama secara pasti oleh umum orang islam.
3-      Dalam definisi ini juga, orang yang menggunakan perkataan dan perbuatannya untuk bermain-main dan menghina perkara agama boleh dikira sebagai murtad.
4-      Murtad itu adalah seseorang yang mengiktiraf dirinya keluar dari Islam dengan pengetahuan dirinya dan tanpa dipaksa.

Dalam hal ini, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan, iaitu;
1-      Apakah munafiq, pelaku bidaah dan pelaku khurafat dikira sebagai murtad atau tidak?

Ini kerana, nifaq adalah sifat yang terlahir dalam bentuk perkataan dan perbuatan yang boleh menjejaskan Aqidah. Menurut Fakhr al-Din al-Razi, nifaq ini ada dua bentuk, iaitu nifaq dari sudut I'tiqad atau aqidah yang diletakkan pada empat ketagori, iaitu iktiqad disertai pengetahuan atau taqlid atau kejahilan atau sememangnya hatinya kosong. Dan satu lagi adalah nifaq dari sudut perkataan atau lisan yang diletakkan pada tiga ketagori, iaitu Iqrar, ingkar dan diam. (al-Tafsir al-Kabir, jld 1, hlmn 329)

أعلم أن الكلام في حقيقة النفاق لا يتخلص إلا بتقسيم نذكره فنقول : أحوال القلب أربعة ، وهي الاعتقاد المطابق المستفاد عن الدليل وهو العلم؛ والاعتقاد المطابق المستفاد لا عن الدليل وهو اعتقاد المقلد ، والاعتقاد الغير المطابق وهو الجهل ، وخلو القلب عن كل ذلك . فهذه أقسام أربعة ، وأما أحوال اللسان فثلاثة : الإقرار؛ والإنكار ، والسكوت

Jika diperhatikan dalam al-Quran, khususnya dalam surah al-Baqarah, Allah SWT sendiri menyatakan bahawa orang Munafiq itu sebenarnya tidak beriman, yang sudah pasti rosak aqidahnya. Dalam ayat, Allah SWT nyatakan bahawa mereka mendakwa bahawa mereka beriman dengan Allah dan hari akhirat, tetapi sebenarnya mereka tidak beriman. (Surah al-Baqarah, ayat 8)

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آَمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ

Allah SWT juga nyatakan bahawa sifat mereka adalah bermain-main dengan hukum Allah dan menghinanya. Ini sepertimana dalam surah al-Baqarah, ayat 14.

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آَمَنُوا قَالُوا آَمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَى شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ

Sepertimana kita tahu, orang munafiq didefinisikan sebagai orang yang kufur dalam hatinya, tetapi dilihat sebagai islam. Kadangkala, dalam keadaan tertentu, perkataannya terzahir dengan cara mereka bercakap. Sepertimana Allah SWT nyatakan dalam surah Muhammad, ayat 30;

وَلَوْ نَشَاءُ لَأَرَيْنَاكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُمْ بِسِيمَاهُمْ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ

Juga, terhadap pelaku bidaah dan khurafat, apakah boleh dikira sebagai murtad. Ini kerana, amalan bidaah dan khurafat, sudah pasti dikira sebagai tindakan yang disifatkan sebagai menyanggahi agama sehinggakan ia disifatkan nabi SAW sebagai sesat. (Sunan Abi Daud, hadis no : 3991, Sunan Nasai, hadis no : 1560)

فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Secara pastinya yang diketahui umum bahawa orang munafiq tidak dikenakan hukuman murtad.

2-      Aqidah aliran mana?

Apabila disebut aqidah ugama Islam, ia sudah pasti melibatkan dengan perbincangan teologi. Ekoran itu, apakah tafsiran aqidah yang dimaksudkan, tidak dinyatakan dalam klausa ini. Apakah semua yang menyanggahi aqidah asyairah, atau aqidah maturidiyyah, atau salafiyyah, atau wahabiyyah mujassimah dan sebagainya itu dikira sebagai murtad.

Ini kerana, sifat dalam klausa tersebut menyebut aqidah islam secara umum. Tidak ditentukan aqidah mana. Makanya, ia akan melahirkan polemik. Iaitu dibimbangi kalau kerajaan itu diperintah oleh pemimpin asyairah, memungkinkan klausa ini digunakan untuk menghukum murtad kepada orang salafiyyah wahabiyyah; kalau kerajaan itu diperintah oleh pemimpin salafiyyah wahabiyyah, dihukum murtad kepada orang yang beraqidah asyairah dan sebagainya. ini kerana, semua aliran-aliran ini mendakwa bahawa mereka beraqidah dengan aqidah ugama Islam.

Makanya, perlu dinyatakan lebih nyata dan jelas seperti menyatakan maksud dengan aqidah itu adalah perkara yang aqidah yang disepakati oleh umat Islam atau seumpamanya, supaya tidak menjadikan undang-undang ini sebagai cara untuk melakukan kezaliman kepada pihak yang tidak sehaluan.

3-      Orang jahil tentang agama ekoran dikelirukan.

Dalam klausa itu juga ada menyatakan bahawa dikira sebagai orang yang murtad bagi orang menggunakan perbuatan-perbuatan atau perkataan-perkataan yang menjejaskan aqidah itu ialah perbuatan-perbuatan atau perkataan-perkataan mengenai atau bersabit dengan perkara asas yang dianggap mesti diketahui dan dipercayai oleh tiap-tiap orang Islam sebagai pengetahuan umumnya kerana dia orang islam.

Apabila digunakan kalimah "dianggap" dan "sebagai pengetahuan umum", ia akan melahirkan polemik yang agak rumit juga. Iaitu, melibatkan orang islam yang tidak kenal Islam, tetapi mengeluarkan pendapat yang menyanggahi Islam dari pengetahuan umum, sudah pasti dia sudah dikira sebagai orang yang murtad. Dia mengeluarkan pendapatnya itu, sama ada disebabkan pandangan intelektualnya atau disebabkan keraguan-keraguan yang sedang bermain-main dalam dirinya.

Makanya, dalam rang undang-undang hudud, ia diselesaikan dengan klausa 23 (3) yang menyatakan;
            "sesiapa yang disabitkan melakukan kesalahan irtidad, hendaklah sebelum dijatuhkan hukuman ke atasnya dikehendaki oleh mahkamah supaya bertaubat dalam tempoh yang tidak kurang daripada tiga hari setelah dia didapati bersalah.

Dalam klausa 23(4) pula;
            "sekiranya dia enggan bertaubat dan masih lagi berterusan dengan pendiriannya terhadap perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan itu, maka mahkamah hendaklah mengisytiharkan hukuman bunuh ke atasnya dan memerintahkan supaya hartanya sama ada diperoleh sebelum atau selepas dia melakukan kesalahan itu dirampas untuk dipegang bagi keperluan baitul Mal"

Melihat kepada kluasa ini, kita akan dapati ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan, iaitu;
1-      Apakah dengan menyuruh dia bertaubat selama lebih tiga hari itu sudah menyelesaikan masalah?

Ini kerana, secara pengalamannya sudah banyak kita berjumpa dengan manusia sukar untuk memahami sesuatu perkara yang walaupun belajar lebih 40 tahun dan seumpamanya. Keadaan ini membenarkan apa yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadis bahawa tugas Nabi SAW itu adalah menyampaikan ilmu, sedangkan mencampak kefahaman itu adalah tugasan Allah SWT. (saheh al-Bukhari, hadis no : 69)

مَنْ يُرِدْ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ وَاللَّهُ يُعْطِي

Apabila ini berlaku, ia memungkinkan dikenakan hukuman bunuh kepada orang yang dilahirkan sebagai "bodoh" dan "tidak bijak" yang dilahirkan dari keluarga muslim atas kesalahan murtad. Ia sudah pasti, melahirkan problem yang selanjutnya, iaitu islam adalah agama yang tidak meraikan kelemahan sememangnya wujud diri seseorang manusia, sedangkan Islam tidak sekali-kali begitu.

KESIMPULAN

Definisi murtad ini, wajar diperhalusi balik dan perlu diberikan definisi yang lebih kemas dan tidak boleh membuahkan tafsiran yang tidak sewajarnya, kerana bimbang hukuman bunuh akan dikenakan kepada mereka yang tidak bersalah dengan menggunakan alasan klausa-klausa ini.

PERKARA DUA : HUKUM BUNUH MURTAD

Bersambung ….. (smile, peace…. :D )








Tiada ulasan: