:: @ AL-BAKISTANI @ :: |
Posted: 19 Sep 2012 12:33 PM PDT Isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad menerusi filem ternyata menguji umat islam. Apakah umat islam ambil sikap marah, atau umat islam mampu memanfaatkan penghinaan untuk memperkenalkan islam kepada manusia? Jika kita tengok sendiri filem tersebut, memang secara spontan akan lahir perasaan marah; mulut terus membebel ayat-ayat makian bagi kaki maki; mulut akan keluar ungkapan istighfar bagi mereka yang lidah tidak pernah putus dengan ungkapan zikrullah. Marah memang marah, kerana itu adalah hakikat bagi manusia yang menyayangi. Orang yang terlalu sayang kepada ibubapanya, akan marah jika ibubapanya itu dihina; orang yang sayangkan gurunya yang didoktrin keramat juga akan marah, jika guru yang dianggap keramat itu dihina. Hakikat sayang, boleh melahirkan benci bagi menyalahi benda yang disayangi. Marah adalah perkara emosi. Ia tidak boleh disalahkan kerana ia sememangnya wujud dalam diri manusia. Yang salahnya apabila manusia itu emosional, iaitu marah yang melampaui batasan yang sepatutnya. Marah itu jadi bagus, jika ia dapat memberi kebaikan. Tetapi marah akan jadi buruk, jika ia dijadikan sebagai alat untuk melakukan tindakan luar dari rasional kemanusiaan. Isu hina Nabi Muhammad SAW, sewajarnya wujud perasaan marah yang boleh mendatangkan kebaikan. Dengan maksud, kemarahan itu tidak melampau, disamping ia memotivasikan diri kita untuk melakukan pendekatan yang lebih hemah dalam memperkenalkan islam kepada manusia. Tetapi, jika tindakan kita keterlaluan sehingga berlaku pertumpahan darah, penafian mutlak terhadap hak kebebasan, ia akan mengundang pandangan buruk kepada Islam itu sendiri. Sememangnya, pandangan buruk ini amat disukai oleh musuh-musuh Islam. Filem itu dibikin, mungkin dengan tujuan provokasi. Ia sengaja diwujudkan untuk menaikkan kemarahan umat Islam yang seterusnya pihak pembikin filem mahu tengok pertumpahan darah dilakukan di pihak islam. Apabila ini berlaku, ia merupakan modal dan model terbaik untuk dijadikan bahan persepsi masyarakat lain untuk memburukkan islam di masa akan datang. Ekoran itu, kita perlu berhikmah dalam hal ini. Kita berdemonstrasi, pastikan demonstrasi yang mendatangkan natijah yang baik. Kawal emosi, jangan sampai emosional. Kawal akal, agar bertindak rasional. Unsur keganasan hendaklah dijauhi, agar ia tidak dijadikan modal dan model untuk memburukan islam di masa akan datang. Isu ini tidak rumit diselesaikan jika diselesaikan dengan rasional, tetapi akan menjadi rumit jika mahu diselesaikan dengan emosional. Tariklah rambut dalam tepung itu dengan segala kebijaksanaan, supaya tepung tak berselerak, rambut tidak putus. Wallahu 'Alam. |
You are subscribed to email updates from :: @ AL-BAKISTANI @ :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan