Sabtu, 4 Ogos 2012

SIASAH

SIASAH


'Arakan jadi Gaza kedua'

Posted: 04 Aug 2012 02:13 PM PDT

Wilayah Arakan (Rakhine) yang didiami oleh etnik Rohingya di Burma (Myanmar) kini menjadi seakan-akan wilayah Gaza di Palestin, yang terkepung dan dizalimi oleh pemerintah, pihak keselamatan dan juga penduduk tempatan, kata Mohd Azmi Abdul Hamid, setiausaha agung Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Shura, dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mapim.

Tegasnya, kesungguhan yang ditunjukkan melibatkan isu kepungan ke atas Gaza perlu ditunjukkan sekali lagi dalam menangani isu kezaliman ke atas minoriti Rohingya di Burma.

"Wilayah Arakan yang didiami etnik Rohingya yang beragama Islam kini terkepung, seakan-akan kepungan yang dilakukan oleh Zionis Israel terhadap Gaza," tegas Mohd Azmi.

Beliau yang baru pulang dari Burma untuk lawatan tinjauan dan menggerakkan bantuan kepada etnik Rohingya menegaskan bantuan perlu segera dihantar dan menggesa semua yang prihatin menghulurkan bantuan dan turut menggesa peranan lebih aktif kerajaan Malaysia.

Dalam satu wacana isu Rohingya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur semalam, Mohd Azmi memberitahu hasil tinjauan di Burma mendapati kes-kes tangkapan dan pembunuhan Muslim Rohingya kini berada pada tahap yang kritikal, malah mereka yang terselamat atau menjadi pelarian berdepan suasana hidup atau mati ekoran kekurangan makanan dan keperluan asas lain.

Jelasnya lagi, kekejaman dan kempen membenci etnik Rohingya yang beragama Islam didasari atas satu sentimen keagamaan penganut Buddha di Burma, yang melihat minoriti Muslim di sana sebagai satu ancaman demografik sehingga sami Buddha turut terlibat dalam kempen anti-Muslim Rohingya.

Dasar menghapuskan minoriti Muslim Rohingya merupakan sesuatu yang terus dijalankan oleh pemerintah Burma, walaupun kononnya telah menjadi semakin terbuka, kata Mohd Azmi lagi.

"Perubahan yang dilakukan oleh kerajaan Burma pada masa ini tidak lebih daripada satu tindakan yang kosmetik," tegas Mohd Azmi.


Lebih memburukkan keadaan, pelarian dihalang daripada memasuki negara jiran Bangladesh dan kerajaan negara itu kini mengharamkan badan-badan bukan kerajaan daripada membantu pelarian Rohingya yang memasuki Bangladesh, atas alasan menggalakkan pelarian Rohingya memasuki negara jiran Burma itu.

Menurutnya, pilihan utama sekarang ialah menghantar sendiri dan mengedarkan makanan kepada mangsa kempen penghapusan di Burma, yang dijangka akan berdepan pelbagai halangan daripada pihak berkuasa negara itu.

Beliau menggesa sumbangan untuk segera memulakan misi menghantar bantuan makanan ke Arakan untuk menangani krisis kemanusiaan yang sedang melanda minoriti Muslim di sana.

Bantuan boleh disampaikan kepada akaun Bank Islam 12047010037282, milik Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia.

Tiada ulasan: