Khamis, 16 Ogos 2012

pemuda cheh

pemuda cheh


Nasharudin Kejar Jawatan, Pangkat

Posted: 16 Aug 2012 08:55 AM PDT

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa faktor jawatan dan pangkat menjadi punca utama bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa bertindak membelakangkan parti.
Malah Khalid menyifatkan pendirian Nasharudin sejak kebelakangan ini yang dilihat bertentangan dengan dasar PAS turut didorong perasaan kecewa apabila gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden pada pemilihan lalu.

"Bagi saya, Nasharudin memang kecewa apabila PAS tidak mahu bersama dengan Umno dan seperti Hasan Ali (bekas Pesuruhjaya PAS Selangor), dia telah hilang peluang untuk memegang jawatan yang lagi besar kerana kalau PAS bersama dengan BN (Barisan Nasional) mungkin dapat jawatan diperingkat pusat.
"Itulah (peluang dapat jawatan) yang dia lihat terlepas. Pada masa yang sama dia kecewa bila kalah dalam pemilihan timbalan presiden hingga menyebabkan dia tidak seperti dahulu," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Shah Alam di sini, Khamis.
Nasharudin baru-baru ini menggesa PAS menyatakan pendirian tegas berhubung penghinaan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hukum hudud yang akhirnya disambut dengan perasaan marah pemimpin parti itu.
Berikutan itu Nasharudin juga menggesa PAS keluar daripada pakatan pembangkang ekoran pendirian DAP dalam isu hudud.
Lebih mencetuskan kontroversi ialah apabila media massa menyiarkan gambar Nasharuddin sedang duduk bersebelahan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Arab Saudi baru-baru ini.
Dalam pada itu Khalid menegaskan pendirian PAS berhubung isu hudud tidak pernah berubah walaupun menyedari sekutu mereka dalam pembangkang iaitu DAP menolak perlaksanaannya.
"Benda yang kita lakukan dulu dia pun setuju, bukan benda baru...yang berubah hanya jawatan dia, yang lain tetap sama," katanya.
Mengulas lanjut Khalid berkata, Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok sengaja mencetuskan kontroversi demi mengejar populariti politik menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
"Sekarang (Nasharudin) nampak semakin rapat dengan pimpinan Umno malah di Parlimen pun. Ia merupakan kenyataan yang diduga dan mungkin menunggu masa untuk memaksimumkan impak terhadap PAS dan Pakatan Rakyat agar dia lebih lantang dan ke depan dalam pilihan raya," katanya.

Tiada ulasan: