Selasa, 14 Ogos 2012

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Gesaan Mansuhkan Seksyen 114 Akta Keterangan, Akta Keterangan 1950 Perlulah Di Semak Semula !

Posted: 14 Aug 2012 12:51 AM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Ogos - Satu pasukan petugas interim perlu ditubuhkan bagi merangka Kertas Putih dan kajian untuk melakukan semakan terhadap pindaan Akta Keterangan 1950. Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee (foto), dalam satu kenyataan berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menubuhkan pasukan petugas untuk menangani kebimbangan terhadap pindaan kepada Akta Keterangan. Pindaan terhadap Akta Keterangan diluluskan pada April dan diwartakan pada 31 Jun lalu namun wujud kontroversi bagi Seksyen 114 (a) akta tersebut. Pelbagai pihak mendakwa bahawa seksyen itu memberi lebih kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap komen yang dilakukan di internet walaupun ia dibuat oleh pihak lain. Selain itu, pihak yang didakwa di bawah akta tersebut perlu mengemukakan bukti bagi menyangkal dakwaan salah laku terhadap mereka walaupun komen-komen berkenaan dibuat oleh penggodam. Sebelum ini dilaporkan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati dengan pindaan tersebut merancang untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar mengkaji semula akta tersebut. Malah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut dilaporkan berkata mereka akan melobi pihak kerajaan agar menukar seksyen kontroversi itu. Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia menggesa orang ramai untuk mengambil bahagian dalam 'hari tanpa internet' hari ini (Selasa) untuk mewujudkan kesedaran mengenai isu itu. Lim berkata, Seksyen 114 (a) akta tersebut perlu dimansuhkan kerana ia mengandungi anggapan bahawa mana-mana pengguna berdaftar sesuatu perkhidmatan rangkaian adalah penerbit bagi setiap penerbitan yang dihantar melalui komputer yang dihubungkan dengan perkhidmatan rangkaian internet. "Seksyen itu akan mewujudkan suatu anggapan bahawa pemilik kedai kopi yang menawarkan WiFi percuma boleh dianggap telah menerbitkan satu penerbitan dalam talian dari sesuatu komputer menggunakan kemudahan WiFi," katanya

Tragedi Menjelang Ketibaan 'Hari Raya Aidil Fitri', Ribut Landa Rumah Peneroka Di Jengka Semalam

Posted: 13 Aug 2012 09:41 PM PDT

MARAN, 14 Ogos - Satu kejadian ribut taufan yang cukup dasyat melanda beberapa buah keluarga peneroka di Jengka semalam. Kejadian yang berlaku di Felda Jengka 12 dan Felda Jengka 21 itu telah menyebabkan dua puluh tujuh buah rumah peneroka dan sebuah warung makan (restoran) di Jengka 12 dan Jengka 21 itu rosak teruk. Kejadian yang menimpa peneroka terbabit menjelang Aidil Fitri ini haruslah diberikan perhatian oleh pihak yang berkenaan. Harapan mereka untuk menyambut raya kini musnah dengan. Menurut laporan Sinar Harian Pahang hari ini Kejadian ini merupakan insiden paling teruk pernah berlaku sejak lebih 30 tahun lalu. Difahamkan sebanyak 16 rumah di Jengka 12 rosak dan 11 rumah kediaman di Jengka 21 turut mengalami nasib sama. Lebih memilukan apabila sebahagian daripada mereka sudah berhabisan wang ringgit membuat persiapan untuk menyambut ketibaan 1 Syawal, Ahad ini. Salah seorang mangsa di Jengka 12 terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian hampir RM20,000 apabila keseluruhan atap tingkat atas rumahnya diterbangkan ribut. Tidak hanya atap, malah hujan lebat malam semalam menyebabkan keseluruhan barangan tingkat atas rumah kedai tersebut dibasahi air. Pemilik rumah terbabit, Mariam Ibrahim, 59, tidak menyangka kejadian tersebut akan menimpa dirinya lebih-lebih lagi di saat orang lain sedang sibuk melakukan persiapan Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi. "Saya tidak sangka perkara ini akan terjadi saya. Lebih menyedihkan, saya baru sahaja pulang dari mengerjakan umrah seminggu yang lalu. "Tidak habis lagi kepenatan pulang dari mengerjakan umrah, kini saya diduga pula dengan ujian sebegini," katanya. Reda dengan ketentuan Tuhan, Mariam bagaimanapun bersyukur kerana terselamat dari kejadian ribut terbabit. "Ketika ribut itu berlaku, saya dan anak-anak berada di Temerloh kerana membeli barangan kelengkapan menyambut Aidilfitri. "Sekitar jam 7.15 malam semalam, saya dihubungi jiran yang mengatakan atap rumah saya habis diterbangkan ribut," tambahnya. Baca seterusnya Di Sini

Tiada ulasan: