Isnin, 13 Ogos 2012

Muslimeen United

Muslimeen United


Mahkamah tolak saman Umno Selangor terhadap Harakah

Posted: 13 Aug 2012 01:05 AM PDT


SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membuat keputusan menolak saman yang dibuat oleh Umno Selangor berhubung penerbitan satu artikel dalam akhbar Harakah yang didakwa memfitnah parti itu.

Hakim Datuk Ahmad Zaki Husin membuat keputusan tersebut setelah meneliti peruntukan yang terkandung di dalam Seksyen 9C Akta Pertubuhan.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang mengatakan, hanya penama yang dimasukkan dalam daftar pertubuhan sahaja berhak menyaman atau disaman oleh mana-mana pihak terhadap pertubuhan berkenaan.

Mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Datuk Abdul Rauf Jusof, Setiausaha Kerja Umno Pusat iaitu penjawat awam Umno
adalah penama yang berdaftar sebagai pendaftar pertubuhan dan hanya beliau yang berhak membuat pendakwaan.

Hakim juga turut memutuskan kedua-dua pihak menanggung kos masing-masing.

Plantif iaitu Setiausaha Pehubungan Umno Negeri Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed menamakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd, penyunting akhbar tersebut Ahmad Lutfi Othman dan wartawannya, Khairul Azlam Mohamad sebagai defendan.

Mustafa yang ditemui di lobi mahkamah menyatakan kes saman telah selesai dan ia berlangsung dalam masa yang singkat.

"Terima kasih kepada barisan peguam yang mengendalikan kes ini dan apa yang kita ketahui tadi ia telah selesai dengan baik.

"Hakim telah menolak permohonan dari Umno terhadap tindakan saman itu, syukur segalanya telah selesai," jelasnya.

Peguam yang mewakil defendan adalah Asmuni Awi, Zulhazmi Shariff dan Dr Dzulkarnain Lukman manakala plantif pula diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Turut hadir di mahkamah hari ini adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Dalam saman itu, Mohd Zin menuntut semua defendan membayar ganti rugi RM10 juta termasuk ganti rugi keterlaluan atau teladan untuk libel dan faedah empat peratus setahun.

Saman tersebut dibuat berhubung serbuan Jabatan  Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, pada 3 Ogos lalu. -Hrkh

[VIDEO] 50,000 Sambut Hari Belia Peringkat Negeri Selangor

Posted: 12 Aug 2012 03:39 PM PDT


Program Sambutan Hari Belia Antarabangsa peringkat Selangor berjaya mendapat sambutan hebat dengan hampir 50,000 orang menghadiri majlis diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini bermula dari pagi hingga lewat malam semalam.

Program tersebut dimulakan dengan pertandingan memasak bubur lambuk dan pertandingan catur Piala Menteri Besar serta yang lain dengan penampilan selebrtiti popular tanahair seperti Diana Amir, Yatt Hamzah, Ali XPDC, Abby Abadi, Faizal Tahir, Man Raja Lawak serta Penceramah Sejuta Umat, Ustaz Azhar Idrus.

Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya berpuashati dengan sambutan diberikan kepada program itu yang mana ianya memberi gambaran ianya bertepatan dengan kehendak golongan muda di negeri Selangor.

"Saya berpuashati dengan usaha semua pihak terutamanya Penggerak Belia Tempatan (BT) di seluruh Selangor bagi menjayakan program ini. Program memasak bubur lambuk juga berjaya dengan lebih daripada sasaran yang kita tetapkan iaitu dari 100 meningkat kepada 121 penyertaan.

"Kehadiran malam ini (Program sesi soal jawab bersama Ustaz Azhar Idrus) cukup baik dengan kemunculan beberapa artis yang tampil berubah dan ini memberi kekuatan kepada golongan belia bagi mencontohinya," katanya kepada media selepas program tersebut berakhir semalam.

Program Sesi Soal Jawab Agama Bersama Ustaz Azhar Idrus turut disertai Man Raja Lawak, Faizal Tahir dan Abby Abadi mendapat sambutan yang mana ia berlangsung penuh lawak jenaka dan santai.

Dr Ahmad Yunus berkata, Kerajaan Negeri sesungguhnya mahu golongan anak muda atau belia turut serta dalam pembangunan negeri ini kerana anak muda mempunyai kekuatan dan pemikiran yang bernas.

Beliau berkata, menerusi program dijalankan itu menyaksikan gabungan Kerajaan Negeri dan anak muda berjaya menghasilkan satu kesan yang memberangsangkan.

Ustaz Azhar Idrus pula berkata, anak muda memang meminati hiburan dan sebagainya tetapi mereka ingin terlibat sama dalam program yang membawa kebaikan kepada diri mereka.

"Contohnya apa yang dibuat Kerajaan Negeri ini ada solat terawih, ada masak bubur lambuk dan yang lain, anak muda yang datang. Kalau program begini dibuat di kampung-kampung, orang tua saja yang datang. Kita boleh tengok sambutannya macam mana dengan berpuluh ribu yang hadir. Sewajarnya program ini kita teruskan. Kerajaan patut memberi keutamaan dan rakyat pula sokong," katanya. -selangorku

Soalan Abby Abadi kepada Ustaz Azhar Idrus.
 
 

Usah 'jadi lembu' pengakhiran Ramadan ini

Posted: 12 Aug 2012 03:38 PM PDT



Oleh Lanh

PADA hari-hari menjelang Raya ini terkenang saya akan 'seni kerja tangan unik' orang tua-tua Melayu-Melaka yang sudah pupus. Jika pembaca anak Melaka yang membesar pada tahun-tahun 70-an atau lebih awal, mungkin perasaan kerja tangan mudah ini ketika berkunjung ke rumah-rumah orang veteran.

Ketika era 1960-an, saya cukup teruja dengan susunan botol-botol berisi air berwarna yang dipamerkan di rak-rak yang orang Melaka panggil para. Ada barisan air berwarna merah, hijau, biru dan sebagainya. Apabila botol-botol air warna yang sama bentuk dan saiznya disusun sedemikian rupa (mungkin 20 atau 30 botol), ia dengan serta-merta menjadi tarikan kanak-kanak seperti saya ketika itu. Ada kalanya ketika cahaya matahari menyimbah ke dalam rumah dan mengenai botol-botol berwarna itu, ia menghasilkan cahaya berwarna yang sungguh cantik (bagi sayalah ketika itu).

"Nek, nak air sirap tu!" pinta saya, tak tahan melihat 'godaan' air berkilauan itu. Tetapi sungguh memeranjatkan apabila tuan rumah yang saya panggil 'nenek' itu dengan lembut memberitahu saya bahawa air itu bukan untuk diminum. Ia hanya sebagai perhiasan saja! Sungguh menghairankan saya, 'air secantik' itu hanya menjadi hiasan, kalaulah boleh masuk ke dalam tekak saya, tentu sedappp!

Lama kemudian barulah saya tahu, 'air cantik' itu dihasilkan daripada air yang direndam dengan kertas warna. Air itu kemudian ditapis; sisa kertas warna dibuang manakala air dimasukkan dalam botol-botol berkenaan. Botol-botol itu kemudian disusun di para-para, biasanya para di atas sekatan ruang tamu dan dapur supaya tetamu dapatlah melihat dengan jelas keindahan botol-botol berisi air berwarna itu! Ya hasil seni ini cantik tetapi awas, airnya bukan untuk diminum!

Sekarang ini tiada satu pun rumah orang Melayu yang saya kunjungi pada hari raya ada dipamerkan air berwarna. Ia hanya berada dalam memori orang seangkatan saya atau orang lebih tua. Sempena kehadiran penghujung Ramadan ini, teringat juga saya 'kerja seni' orang lama Melayu-Melaka yang bermati-matian membuat kuih tradisional untuk sambutan hari raya. Antara kuih itu adalah dodol dan wajik.

Dodol seolah-olah hidangan kemestian pada hari raya. Hampir setiap rumah, anggota keluarganya akan terbabit membuat dodol. Kerja membuat dodol terutama mengacaunya amat berat dan lama. Berdasarkan pengalaman saya, sebaik saja selepas sahur, kuali besar sudah diletakkan di atas tungku, api mulai dinyalakan dan santan dituang dan dikacau. Kerja mengacau kelihatan mudah, tetapi awas, bahan dikacau itu semakin lama semakin pekat dan likat, maklumlah selepas dimasukkan gula melaka dan sebagainya. Kerja mengacau itu tersangat lama, mungkin hanya berakhir selepas zuhur atau asar!

Pertengahan waktu sebelum dodol masak adalah saat ditunggu kanak-kanak seperti saya (belum balighlah) kerana kami akan dipanggil beramai-ramai untuk makan dodol cair yang diseduk dan diletakkan di atas daun pisang. Ya, di kalangan keluarga kami, hanya kanak-kanak yang dibenarkan makan dodol cair itu, orang dewasa tidak sama sekali.

Namun saya dimaklumkan, di sesetengah tempat, ada orang tua pun mencuba dodol yang sedap itu apatah lagi mereka sudah berlalu penat, berhempas pulas 'mendayung' (mengacau) dodol dari subuh sampai asar. Mereka tak puasa pun. Ada yang tertinggal solat subuh, zuhur dan asar kerana leka membuat dodol.

Sama seperti 'seni' membuat 'air warna', 'seni' membuat dodol pun sudah mati. Sudah puluhan tahun, saya tidak lagi 'mengacau' dodol. Kalau teringin makan dodol 'order' saja atau pergilah ke gerai-gerai di tepi jalan. Tetapi semua itu tidak dapat menyaingi 'dodol cair' yang saya nikmati puluhan tahun lalu!

Kalau ada orang boleh tak puasa kerana dodol, hari membantai (bergotong royong menyembelih lembu, kambing) menjelang Aidilfitri juga menjadi penyebab segelintir orang tak puasa. Mereka berkata nak rasa daging baru. Namun sama seperti 'seni' membuat dodol, acara membantai juga kian pupus. Kebanyakan urusan sekarang dilakukan secara komersial.

Sekarang ini akan muncullah gerai-gerai menjual daging di tepi jalan menjelang hari berbahagia itu. Namun apa yang saya perhatikan, ada orang bagaikan 'sudah jadi lembu' dalam mengendalikan perniagaan. Siang malam dengan bisnes lembunya malah tengah hari Jumaat ketika orang sibuk ke masjid, mereka tetap tekun di gerai daging lembunya.

Demikian juga orang yang terbabit dalam bisnes lain dan para pembeli. Siang malam, berniaga dan 'bershopping' sakan untuk beraya. Tidak kira waktu sembahyang ke, malam ganjil 10 hari terakhir Ramadan ke, mereka tidak peduli. Yang penting hajat mereka untuk melaram raya ini tercapai.

Kesimpulannya, ingatlah wahai diri sendiri terutamanya dan semua, janganlah kita 'jadi lembu' pada hujung Ramadan ini dengan membuat perkara atau 'seni sia-sia' sebaliknya berusaha keras untuk mendapatkan tawaran istimewa Allah SWT termasuk dalam memburu Lailatulqadar-Nya!

DD

Pengalaman saya mengenali Datuk Tamrin

Posted: 12 Aug 2012 03:37 PM PDT


Alhamdulillah, malam tadi di KUIZM Taman Melewar, Dato' Tamrin serah borang menyertai PAS kepada YB Datouk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS.

Saya mula rapat dengan beliau setahun yang lalu dalam majlis makan tengahari bersama YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau kerap menghubungi saya kerana berminat dengan perjuangan membela warga Felda. Sarapan pagi, makan tengahari dan minum petang adalah rutin kami bila bertemu di KL.

Beliau juga memperkenalkan kepada saya ramai bekas pemimpin Umno dan tokoh-tokoh VIP yang ingin tahu mengenai isu Felda. Saya seronok bersahabat dengan beliau. Apapun persepsi orang mengenai beliau, saya punya keyakinan dan sangka baik yg mendalam kesedaran beliau memilih PAS sebagai wadah perjuangan.

Banyak yang beliau ceritakan mengenai sejarah perjuangan ayahndanya, Tun Ghafar Baba. Bahkan kisah silamnya pun dia bagi tau. Dia tak mahu hipokrit; seolah-olah masuk PAS ada agenda tertentu.

Saya mula cadangkan beliau sertai PAS sebulan setengah yang lalu. Walaupun dia dapat tawaran yg sama dari kekawan lain, dia setuju dengan pandangan saya.

Saya bertemu dengan beliau di Masjid Negara pada 11 Julai lalu dan menziarahi Maqam Pahlawan khususnya kubur Allayarham Tun Ghafar. Selepas itu ke rumahnya kerana beliau mengisi borang PAS di situ. Saya pencadang kepada borang keahlian beliau.

Saya cuma maklumkan hal ini kepada Dr Samsuri, Setpol Presiden PAS, Nasaie Ismail, SU Akhbar Presiden dan Sdr Adly Zahri Pesuruhjaya PAS Melaka agar dpt dibincangkan tarikh sesuai beliau sertai PAS. Borang beliau saya serah kepada Ust Md Khairul SU Kerja PAS Pusat.

Beliau maklumkan ujian nak sertai PAS. Ada pihak nak ugut beliau jika teruskan hasrat sertai PAS. Semlm lepas majlis buka puasa ANAK di Gombak, kami masih bincang lagi. Saya kata pada dia, PAS adalah parti yang memperjuangkan kebenaran dan Gerakan Islam. Sisa hidup kita;sumbang tenaga, idea dan wang ringgit utk ISLAM.

Tentulah saya gembira bila Dato' Tamrin masuk PAS. Masa dia isi borang PAS, menitis airmata saya terharu atas kesediaannya. Kalau ada orang nak perlekeh dan kutuk dia, terpulanglah. Kita bukan maksum, sempurna dari sebarang kesilapan...

Meskipun detik bersejarah malam ini, saya tidak dapat bersamanya, namun jauh di sudut hati saya timbul rasa bangga anak Bekas Timbalan Perdana Menteri bersama PAS. Alhamdulillah, syukur pada Allah!  -Hrkh

Sekali Lagi, "Tendangan" Kickdefella Mengena Diri Sendiri

Posted: 12 Aug 2012 03:36 PM PDT


Kickdefella mohon maaf kepada Ladang Rakyat

KOTA BHARU: Blogger mesra Umno, Syed Azidi Syed Abdul Aziz memohon maaf kepada Perbadanan Kemajuan Ladang Rakyat di atas fakta-fakta yang silap dalam bukunya "Ladang Rakyat Ladang Airmata Rakyat".

Beliau yang juga pemilik blog Kickdefella turut bersetuju membayar sejumlah kos kepada plaintif.

Permohonan maaf tersebut dibuat di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dalam kamar di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.

Ladang Rakyat diwakili peguam Azahir Surainie dan Azizan Ariff, manakala Aisha Mubarak mewakili defendan pertama. Pada prosiding hari ini Hafizulamin hadir bagi pihak plaintif.

Defendan kedua kes terbabit Wadah Bakat Sdn Bhd sebagai penerbit buku berkenaan.

Ladang Rakyat sebelum ini menyaman Syed Azidi dan Wadah Bakat Sdn Bhd kerana memaparkan fakta tidak tepat terhadap agensi berkenaan.

Sebelum ini isu berkaitan Ladang Rakyat sering diketengahkan media dan blogger pro Umno bagi menghodohkan kerajaan negeri.

Pernyataan mohon maaf itu antara lain menyebut kami, Syed Azidi Syed Abdul Aziz dan Wadah Bakat Sdn Bhd secara rela hati dan terbuka memohon maaf kepada Perbadanan Ladang Rakyat di atas kesilapan fakta dalam buku "ladang Rakyat, Ladang Airmata Rakyat".

"Kami menyedari terdapat beberapa elemen yang tidak mempunyai fakta-fakta tepat terhadap Ladang Rakyat dalam buku tersebut. Dan segala kehakiman di dalam buku tersebut amatlah dikesali.

"Dengan ini kami bersetuju menghentikan pengedaran buku berkenaan dan sesungguhnya menyatakan maaf di atas fakta-fakta yang silap dalam buku tersebut yang telah menjatuhkan reputasi plaintif sebagai sebuah perbadanan milik kerajaan negeri," katanya.

Blogger terbabit dan Wadah Bakat Sdn Bhd juga memohon maaf kepada Ladang Rakyat di atas segala kesulitan yang timbul akibat penulisan dan penerbitan buku "Ladang Rakyat, Ladang Airmata Rakyat".

Peguam Hafizulamin berkata, atas persetujuan tersebut, saman yang dikenakan terhadap kedua-dua defendan ditarik balik.

Tiada ulasan: