Jumaat, 17 Ogos 2012

MiLo SuaM

MiLo SuaM


Jom "hangout" bersama Dato Seri Anwar malam ini

Posted: 17 Aug 2012 01:10 AM PDT

DATO' Seri Anwar Ibrahim akan menjadi ahli politik pertama di Malaysia serta Asia Tenggara untuk dipaparkan dalam acara "Google Hangout on Air".

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan juga Perdana Menteri Australia, Julia Gillard, telah pun menggunakan Google Hangout untuk berinteraksi bersama rakyat.

Acara julung kali ini akan diadakan pada hari Jumaat, 17 Ogos 2012 pada pukul 10:30 malam.

Ia boleh ditonton secara langsung di http://www.youtube.com/user/anwarhangout/featured.

Setakat ini, lebih daripada 700 orang telah pun menandakan kehadiran mereka di halaman Facebook dan dijangka akan meningkat semakin tinggi lagi.

Orang ramai boleh mengemukakan soalan-soalan mereka melalui Twitter dengan menggunakan hashtag #BorakAnwar atau secara bertulis di halaman Google Plus Events (http://is.gd/borakanwar) dan Facebook (http://tiny.cc/borakanwar,) .

Sekumpulan rakyat Malaysia akan muncul sebagai tetamu online melalui Google Hangout dari rumah masing-masing. 6 tetamu ini akan mengambil giliran untuk bertanya soalan dan masing-masing akan menjadi paparan utama apabila sedang berucap. 40% daripada soalan akan ditanya oleh ahli panel, 40% daripada soalan bertulis online manakala 20% selebihnya datang daripada  soalan yang dikemukakan semasa acara sedang berlangsung.

Pengarah Operasi di Pejabat Setiausaha Agung KEADILAN, Puan Sharifah Shahidah, akan menjadi moderator bagi Google Hangout kali ini. 

Acara Dato Seri Anwar Ibrahim ini akan disiarkan secara langsung dari studio di TV Selangor.
Sent from my BlackBerry®

Perutusan MB Selangor sempena Aidilfitri dan kemerdekaan

Posted: 17 Aug 2012 12:50 AM PDT

 
Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
 
Terlebih dahulu selawat dan salam buat junjungan nabi Muhammad S.A.W., ahli keluarga, dan sahabat baginda. Merafak kesyukuran kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnian-Nya dapatlah kita menyempurnakan bulan Ramadhan Al-Mubarak dengan penuh kesabaran, keimanan dan ketakwaan.
Masa berlalu dengan begitu pantas.

Tanpa disedari kita sudah hampir selesai melaksanakan tuntutan Rukun Islam ke-3 dalam satu perjalanan spiritual dan menguji ketahanan fizikal.
Hari Raya Aidilfitri diraikan sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran kita di atas segala pengorbanan dan penyempurnaan ibadah puasa dan amalan-amalan lainnya sepanjang Ramadhan.

Di samping kita sibuk dengan persiapan menjelang hari lebaran yang bakal tiba, janganlah kita lalai dengan kewajipan sebagai umat Islam khususnya membayar zakat fitrah. Kewajipan itu, merupakan pelengkap kepada amal ibadah yang telah kita lakukan sepanjang Ramadhan.

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, saya menyeru agar kita tidak keterlaluan dalam merayakan hari mulia ini dan sentiasa mengamalkan sikap bersederhana dan tidak bermegah-megah serta mengelak pembaziran.

Pada tahun ini, kita bertuah kerana belum habis perayaan Hari Raya Aidilfitri diraikan, kita bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-55 pada 31 Ogos 2012.
Kedua-dua perayaan ini adalah  keistimewaan kepada negara kita yang mempunyai kepelbagaian agama dan bangsa tetapi mampu hidup aman dan harmoni. Dalam kita bergembira menyambut perayaan Aidilfitri, janganlah kita lupa jasa dan pengorbanan pejuang dalam menuntut kemerdekaan.

Kemerdekaan dalam erti kata lain turut menuntut kepentingan rakyat untuk bersatu padu, berjuang atas prinsip kebebasan dan keadilan.

Berlandaskan kepercayaan ini, Kerajaan Negeri Selangor optimis bahawa perubahan akan terus berlaku, khususnya di peringkat negeri Selangor ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang maju, adil dan berdaya saing.

Dalam mencapai hasrat tersebut, Kerajaan Negeri Selangor pada hari ini beriltizam dalam memastikan jentera pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar seiring dengan prinsip-prinsip ketelusan, memerangi jenayah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan melaksanakan reformasi dalam urus tadbir secara komprehensif.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi menyeru agar setiap rakyat Malaysia, khususnya di negeri Selangor untuk berfikir secara matang dan terbuka bagi meningkatkan kefahaman dan penghayatan tentang erti kemerdekaan yang sebenar.

Pada kesempatan ini, Kerajaan Negeri Selangor menyeru setiap lapisan masyarakat bersama-sama memanfaatkan dwi-perayaan untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim, memupuk semangat muhibbah dan persaudaraan sesama rakyat Malaysia.

Akhir kata, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Negara yang ke-55. Sambutlah perayaan ini dengan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan.
 Sekian,

Wabillahi taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.
Sent from my BlackBerry®

Tiada ulasan: