DIALOG RAKYAT |
- Belum ambil alih : Selangor berjaya selesaikan masalah bekalan air
- Penempatan Sementara Di sedia Untuk Pelajar Unisel
- Apa masalahnya kalau DAP menang bersama PAS, PKR?
- MB Selangor: Unisel beroperasi tanpa CF
- Yang perlu anda tahu tentang Zakat Fitrah
- Bajet 2013 banyak 'gula-gula' pilihan raya?
- NUJ sokong SOP elak wartawan dikasari
- Kit Siang: Tajuk Utusan galak curiga antara agama
- Timbermine: Tok Guru mohon rakyat solat syukur
- DAP: Dokumen tunjuk Noh Omar terlibat projek udang
- SPR nafi pekerja asing jadi pemilih guna Kod 71
- Air S'gor: Umno buat silap besar, kata Rani
- JK Royalti: Tok Guru sudah menghadap Sultan
- Tak perlu baiah, kata bekas pengarah JSJ
- Perkembangan kes rakyat Malaysia diculik di Nigeria dipantau
- Nik Aziz: Kami tak boikot panel, duit mahu cepat
- Ku Li: Selesai segera isu royalti
- Umno ada calon MB lebih baik dari Khalid
- 1,436 wanita tempatan ditipu ‘Awang Hitam’
- Berita BERNAMA Sahkan Rumah Adun Ajil Musnah Dalam Kebakaran
- Sebuah Negara Ada Empat Tema Merdeka
- Cadang Guna Semula loji Jelutong Untuk Tingkat Kapasiti Air
- (Info) Lokasi Speedtrap Di Kawasan Lebuhraya PLUS
- Barisan Nasional Nak Berhentikan Air Percuma -Apa Kata Rakyat Selangor?
- Terjejas Pendapatan, Lebih 150 Nelayan Bantah Kolam Udang Miliki Noh Omar
Belum ambil alih : Selangor berjaya selesaikan masalah bekalan air Posted: 08 Aug 2012 06:53 AM PDT SHAH ALAM : Walaupun hanya melibatkan diri sebagai jawatankuasa pemantau, Kerajaan Negeri Selangor sudah berjaya menyelesaikan masalah gangguan air di beberapa tempat yang selama ini tidak dapat ditangani Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas). Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dengan penyertaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi di dalam operasi Syabas, masalah air terawat di Balakong, Serdang dapat diselesaikan. Ini juga diusahakan di beberapa lokasi di kawasan Cheras, di mana pegawai Kerajaan Negeri menolong Syabas meningkatkan tekanan air di beberapa kawasan perumahan. Kedua-dua kejayaan ini mencerminkan keupayaan Kerajaan Negeri dalam mengurus industri air di Selangor walaupun hanya diberikan sedikit kuasa menerusi jawatankuasa memantau. "Datuk Khusrin mempunyai masa terhad kerana terpaksa memantau (pengerusi eksekutif Syabas) Tan Sri Rozali Ismail untuk selesaikan masalah air. "Balakong yang dulu tiada air, kini sudah selesai. Tiada masalah lagi," Abdul Khalid berkata di sidang media selepas mesyuarat exco di sini. Sebelum ini, Kerajaan Selangor memasukkan jawatankuasa yang diketuai Khusrin ke dalam Syabas bagi memantau operasi syarikat yang mengurus bekalan dan agihan air terawat itu di Selangor. Jawatankuasa ini dimasukkan ke dalam Syabas kerana Kerajaan Negeri tidak berpuashati dengan cara ia mengendalikan industri tersebut. Misalnya, Syabas pernah meminta untuk bekalan air terawat di Selangor dicatu kerana mendakwa tidak cukup untuk menampung permintaan pengguna di Lembah Klang. Akan tetapi, kajian yang dilakukan oleh Unit Perancang Ekonomi Selangor menunjukkan bahawa kapasiti untuk loji-loji membekalkan air terawat adalah 4,809 juta liter sehari (MLD). Manakala permintaan pengguna di Lembah Klang adalah 2,944 (MLD). Di satu taklimat berkenaan isu air baru-baru ini Timbalan Pengarah UPEN, Nor Azmi Diron berkata jawatankuasa tersebut membuat beberapa perubahan pada sistem agihan Syabas supaya lebih banyak air dapat disalurkan kepada Balakong, Seri Kembangan dan Cheras. "Bila kita semak pelan agihan, ada ruang untuk kita bawa lebih banyak air dari Sungai Labu dengan disokong oleh Sungai Semenyih bagi kawasan Cheras. "Sebab itu 2-3 hari ini masalah di Cheras dapat kita selesaikan," katanya. | ||
Penempatan Sementara Di sedia Untuk Pelajar Unisel Posted: 08 Aug 2012 06:47 AM PDT SHAH ALAM, : Bagi menyelesaikan isu penempatan asrama pelajar, Universiti Selangor (Unisel) mengambil alternatif dengan menyediakan penginapan sementara di Asrama Kota Puteri, Bestari Jaya, Kuala Selangor. Demikian ujar Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dalam Mesyuarat Exco, di Bangunan SUK hari ini. Menurut Halimah, penginapan sementara ini hanya untuk menempatkan sebilangan kecil pelajar yang mendaftar awal di Unisel sebelum Lembaga Unisel menilai masalah ini secara terperinci. "Sekiranya syarikat kontraktor Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) masih lagi tidak membenarkan hostel itu diduduki pelajar selepas menjelangnya cuti Aidilfitri, maka Unisel akan mengadakan mesyuarat untuk selesaikan masalah berkenaan . "Kita tidak akan biarkan pelajar Unisel ini terganggu pembelajarannya berikutan cara sebuah syarikat membina bangunan (asrama) tujuan pembelajaran tidak memuaskan," katanya. Sementara itu, dalam sidang media lain, Naib Canselor Unisel, Profesor Dr Anuar Ahmad menyifatkan isu itu sengaja diada-adakan untuk menjatuhkan imej serta kredibiliti universiti kerajaan negeri. Beliau berkata, pihak pengurusan telah memaklumkan kepada pelajar bahawa tarikh pendaftaran pelajar lama bagi semester ini adalah pada 27 Ogos, iaitu selepas Aidilfitri. "Jadi tidak timbul isu mengatakan kesemua pelajar ini tidak dibenarkan tinggal di asrama atau dihalau keluar. Saya cukup kecewa dengan isu penginapan yang dimainkan oleh pelbagai pihak. "Mujurlah pelajar Unisel cukup matang dalam mendepani semua isu sebegini, mereka bukan dari kalangan yang mudah terpengaruh dengan andaian buruk," katanya. Sebelum ini, timbul dakwaan yang mengatakan lebih 3,000 pelajar Unisel bakal berhadapan masalah mendapatkan tempat tinggal berikutan pengurusan kolej kediaman institusi itu enggan membenarkan mereka menduduki asrama masing-masing. Masalah itu didakwa berlaku kerana Unisel tidak melunaskan kos pengurusan kolej kediaman kepada pihak syarikat konsesi sejak 15 bulan bagi pembayaran kampus induk dan tujuh bulan pengurusan asrama. | ||
Apa masalahnya kalau DAP menang bersama PAS, PKR? Posted: 08 Aug 2012 06:39 AM PDT Aspan Alias Kali ini saya kembali menyebut satu isu yang pada saya sepatutnya menjadi satu isu basi dan tidak lagi diperbesarkan. Isunya ialah isu penyertaan saya dan beberapa orang Melayu dalam Parti Tindakan Demokratik, DAP. Saya tahu ini merupakan isu yang tidak berapa laku lagi sekarang kerana orang ramai tahu yang momokan Umno dan penyokongnya dalam isu ini semakin hari semakin pudar dan sudah tidak diterima oleh rakyat yang ramai. Saya tidak berminat untuk melayan momokan ini, tetapi terlalu ramai sahabat dan rakan-rakan yang menyokong saya menyertai DAP ini meminta saya menyebutnya sekali lagi, setidak-tidaknya buat kali terakhir. Mereka yang menyokong saya meliputi penyokong-penyokong saya dari seluruh negara dan ramai di antara mereka meminta saya menulisnya lagi. "Penyokong Umno ini malas berfikir. You mesti beritahu mereka selalu, kalau tidak mereka lupa. Orang yang malas berfikir mesti diperingati selalu sebab mereka payah untuk memahami isu-isu penting ini. Mereka ini tidak pernah dilatih untuk berfikir sebaliknya dilatih untuk mengangguk sahaja," kata beberapa orang yang menyokong saya menyertai DAP walaupun mereka ini hanya sekadar penyokong yang akan memberikan undi kepada DAP. Sebenarnya apa yang hendak saya sebutkan lagi kerana semuanya sudah disebut banyak kali. Apakah benar yang DAP itu adalah parti Cina? Mungkin DAP itu disertai oleh ramai orang Cina tetapi ia bukan parti Cina. DAP adalah parti berbilang kaum yang memperjuangkan nasib semua bangsa. Parti ini memperjuangkan kebersihan dalam pentadbiran kerajaan yang sangat kotor pada masa kini. DAP memperjuangkan ketelusan dan menolak isu rasuah yang banyak berlaku dalam kerajaan dan pimpinan BN sekarang ini. Di mana-mana saya pergi, dari utara ke selatan, dari timur ke barat saya berjumpa dengan ribuan orang dan tidak ramai yang membangkang saya setelah saya berikan "rationale" kenapa kita tidak perlu takut untuk memberi sokongan kepada DAP yang merupakan salah satu komponen dalam Pakatan Rakyat ini. Saya bukannya duduk di rumah berdiam diri. Saya selalu meninggalkan rumah untuk pergi ke merata-rata daerah dan tempat dalam negara ini. Saya dijemput untuk berceramah dan memberikan penerangan kenapa kita tidak perlu gusar untuk memberikan sokongan kepada DAP. Barisan Nasional khususnya Umno memang begitu takut dengan pengaruh DAP tetapi sebesar mana pun pengaruh DAP itu ia tidak akan menguasai kerajaan dan Putrajaya jika Pakatan menduduki Putrajaya itu. DAP akan menurunkan hanya seramai lebih kurang 50 kerusi sahaja dalam pilihanraya yang akan datang. Jika DAP menang kesemuanya, parti yang saya anggotai ini tidak akan terjadi apa yang dikhuatiri oleh segelintiran orang Melayu. Takkanlah nak buat kiraan yang senang ini pun mereka (penyokong BN totok) tidak mampu? Tetapi jika DAP menang semua kerusi, ia memang penting untuk perjuangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Pertamanya, parti ini mempunyai rekod ketelusan dalam pentadbiran, Pulau Pinang misalnya. Jika DAP bersama-sama dengan PAS dan PKR menguruskan Putrajaya itu sudah pasti DAP akan memainkan peranan untuk keadilan ini. Yang pentingnya kita mempunyai kerajaan yang bersih daripada noda rasuah yang menggila dan menjadi benteng kepada perompak harta rakyat seperti yang lazim berlaku sekarang ini. Saya menjadi ahli Umno selama 40 tahun dan di dalamnya saya telah menjerit dan berbuat segala-galanya untuk mengingatkan parti itu supaya berbuat yang baik dan jauhi segala kemungkaran terhadap politik dan ekonomi negara. Tetapi saya siapa? Tidak ada siapa yang mendengarnya kerana saya hanya seorang picisan dalam Umno yang begitu kuat budaya mengampu dan membodek ini. Saya yakin dengan sebenar-benarnya yang kebaikan itu tidak akan datang malahan hanya kerosakan sahaja yang akan wujud, "from bad to worse". Maka saya bertindak untuk bersama DAP dan, "I want to grow old with this party". Saya merasakan bahawa parti ini juga boleh memperbaiki diri saya kerana saya telah begitu lama dalam Umno dan saya memerlukan parti yang boleh memperbaiki sikap dan nilai dalaman saya dalam perjuangan politik negara ini. Bunyinya besar tetapi saya tetap seperti dahulu, bukannya orang yang mempunyai apa-apa kedudukan dan tidak bergelar serta bernama seperti rakan-rakan yang lain yang mengampu ke hulu dan ke hilir itu. Saya sebutkan kita mesti menyertai parti yang boleh memperbaiki diri kita dan saya merasakan DAP telah pun sedikit sebanyak memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada sedikit sebanyak di dalam diri saya. Kalau saya masih berada di dalam Umno saya tidak akan memperbaiki diri saya kerana Umno tidak terjumpa nilai-nilai kemanusiaan yang baik dalam perjuangan selain daripada memperjuangkan nasib peribadi mereka semata-mata. Bermacam-macam yang saya alami sejak menyertai DAP. Ada sahabat karib yang meninggalkan saya terus kerana marah-marah kerana mereka percaya pada momokan Umno dan BN. Tetapi saya mendapat penyokong baru yang begitu ramai dan mereka tidak putus-putus menghubungi saya dan bertukar-tukar fikiran sesama kita. Alhamdulillah, usaha saya itu berbaloi dan ramai orang Melayu yang akan bersama saya untuk mendokong DAP sebagai sebuah komponen dalam Pakatan Rakyat. Saya sekarang yakin bahawa PAS, DAP serta PKR akan mendapat dokongan rakyat dalam pilihanraya kali ini dan saya tidak sabar juga untuk melihat perubahan untuk kebaikan itu dalam pilihanraya kali ini. Saya akan bergembira melihat perubahan untuk kebaikan ini berlaku semasa saya masih hidup dan bernyawa ini. Kepada rakan-rakan saya yang berada jauh dan dekat, ayuh kita teruskan usaha kita dan kepada mereka yang tidak gemar oleh kerana momokan Umno itu, biarkan sahaja mereka di sana. Kita wajar memandang ke hadapan tanpa menoleh kebelakang lagi. Yang penting negara kita ini kita ubah untuk kebaikan bersama. Sekarang apa masalahnya lagi? Pemimpin yang rasuah sekarang mungkin bermasalah, tetapi rakyat tidak ada masalah. aspanaliasnet.blogspot.com | ||
MB Selangor: Unisel beroperasi tanpa CF Posted: 08 Aug 2012 06:32 AM PDT SHAH ALAM— Menteri Besar (MB) Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mengakui bukan hanya asrama pelajar, bahkan keseluruhan bangunan Universiti Selangor (Unisel) milik kerajaan negeri itu tidak mempunyai CF. Khalid (gambar) ketika sidang media selepas merasmikan mesyuarat exco di sini berkata, terdapat banyak faktor yang menyebabkan institusi pengajian tinggi itu tidak memperoleh CF, antaranya termasuklah sistem kumbahan yang tidak sempurna. "Ada kebenarannya beberapa perkara yang tidak dapat diselesaikan kerana pembinaan asrama itu tidak lengkap ... kita telah buat kajian dan mendapati bukan setakat asrama, (tapi) Unisel sendiri tiada CF. "Ada banyak faktor ... tapi salah satunya adalah saluran kumbahan yang tidak sempurna," katanya ketika menjelaskan kegagalan Unisel memperoleh CF dan isu hutang RM15 juta antara Unisel dengan Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB). Menurut Khalid, pihaknya bukan sengaja enggan membayar hutang berkenaan, namun "dalam perjanjian yang ditandatangani sebelum 2008, sama ada orang duduk atau tidak, 100 peratus sewa penginapan kita kena bayar." "Kita nampak ini sebagai berat sebelah untuk Unisel. Orang cuti pun kena bayar," tambahnya lagi. Jelas Khalid lagi, JSNB sengaja membangkitkan isu hutang berkenaan, namun sebenarnya syarikat itu tidak menyelesaikan masalah mereka dan turut terhutang kepada Unisel apabila tidak menyelenggara bangunan asrama dengan sempurna. "Kalau mereka tidak siapkan bangunan itu kita kena persetujui. Sekarang dia (JSNB) kata tak ada duit untuk membetulkan semua asrama tersebut dan Unisel sudah menawarkan akan menyiapkan bangunan berkenaan. "Namun, bila Unisel nak buat, maknanya hutang itu dibayar oleh Unisel dengan cara membuat asrama tersebut. "Bagi pandangan mereka hutang, tapi bagi pandangan Unisel itu beban. Jadi kita kena ada perjanjian offset. Selepas ada perjanjian offset barulah kita selesaikan," kata Khalid lagi. Justeru, Khalid telah mencadangkan untuk ianya dibincangkan dan mewujudkan timbang tara antara Unisel dengan Jana Niaga dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Khusrin Munawi dipilih sebagai penimbang tara seperti yang dijanjikan dalam perjanjian pembinaan asrama untuk Unisel. "Mesti ada mesyuarat dan perjanjian. Saya suruh selesaikan isu ini. Ia tak boleh selesaikan cara media, tetapi perlu diselesaikan secara perjanjian ... tulis semula perjanjian. Itu paling penting," katanya. Buat masa ini, pelajar-pelajar Unisel ditempatkan sementara di kawasan perumahan di Kota Puteri, berhampiran kampus Unisel yang dimiliki oleh anak syarikat negeri di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui pelan kecemasan Unisel kerana asrama mereka tidak boleh diduduki. Khalid juga turut menjelaskan, sekiranya perjanjian yang dibuat menunjukkan berlakunya ketidak adilan, perjanjian itu perlu dikaji semula. "Semua perjanjian dengan kerajaan negeri adalah berterusan. Tapi kalau kita boleh buktikan wujud ketidakadilan, dan tidak menjalankan tanggungjawab, ia perlu dilihat semula, seperti setiap lima tahun perlu kaji. "Kita tak rasa kerajaan negeri perlu tamatkan perjanjian," tambahnya. | ||
Yang perlu anda tahu tentang Zakat Fitrah Posted: 08 Aug 2012 06:26 AM PDT
Ramai umat Islam yang masih keliru tentang kewajipan zakat fitrah, bukan keliru status hukumnya, tetapi bagaimana melaksanakannya. Inilah antara Q&A yang diharap mampu menjelaskan kekeliruan itu. Selamat membaca. Soalan 1: Apakah makna zakat fitrah dan siapakah yang diwajibkan ke atasnya? Jawapan: Zakat fitrah bermakna zakat badan atau zakat jiwa. Semua orang Islam diwajibkan, sama ada lelaki, perempuan, orang tua, kanak-kanak, bayi, orang gila, merdeka mahu pun hamba sahaya. Dalilnya, Abu Hurairah r.a menyatakan: "Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan kepada orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki dan perempuan, anak-anak, dewasa, fakir atau kaya – daripada kalangan kaum muslimin," (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim) Fuqaha memang berbeza pendapat tentang siapakah yang perlu mengeluarkannya, sama ada diri sendiri ataupun wali nasab, yakni orang yang wajib menanggung nafkah. Amalan di Malaysia, zakat fitrah ini dikeluarkan oleh wali bagi semua tanggungannya. Dalam hal ini ada sebuah hadis: "Bayarlah zakat fitrah daripada semua orang yang menjadi tanggungjawab kalian." (Hadis riwayat Imam Baihaqi). 2. Bagaimana dengan anak angkat, anak yatim dan anak tiri? Jawapan: Perkara paling asas, fuqaha menyatakan orang yang wajib menanggung nafkah itulah wajib memberikan zakat fitrah tanggungannya. Di sini, yang wajib ialah mereka yang dinamakan sebagai wali nasab (sedarah daging) atau penanggung nafkah, iaitu bapa, datuk, bapa saudara dan sebagainya lagi. Jika anak angkat, andai sudah tiada wali nasab yang boleh dihubungi, maka penjaganyalah yang wajib membayarkan zakat fitrahnya. Ada juga pandangan, jika sudah dibuat perjanjian dengan bapa kandungnya bahawa bapa angkat akan menanggungnya, maka terlepaslah kewajipan bapa kandungnya. Andai anak yatim, sama juga jika sudah tidak berjumpa dengan mana-mana wali nasab, maka penjaganya yang wajib membayarkannya. Jika anak tiri, pun masih kena lihat, andai sudah tiada wali nasabnya, maka bapa tirinyalah yang wajib mengeluarkannya. Namun, jika kesemua mereka sudah ada kemampuan sendiri, misalnya walau masih belajar namun mendapat biasiswa atau wang hasil kerja sampingan, maka mereka lebih berhak mengeluarkannya sendiri. Tetapi, penjaga yang bukannya wali nasab masih boleh mengeluarkannya dengan syarat memaklumkan dahulu kepada anak-anak jagaannya itu. 3. Adakah anak-anak perempuan yang sudah bekerja dikira masih tanggungan bapanya? Jawapan: Anak yang sudah bekerja sendiri, sama ada lelaki dan perempuan, maka mereka lebih berhak mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya. Bahkan, jika mereka mahu mengeluarkan zakat fitrah ibu bapa juga boleh, dan mereka perlu memaklumkannya kepada ibu bapa. 4. Bagaimana pula dengan waktu menunaikan zakat fitrah? Jawapan: Adalah harus mengeluarkan zakat fitrah sejak bermulanya satu Ramadan. Hadis daripada Umar menyatakan: "Telah mewajibkan Rasulullah saw zakat fitrah pada bulan Ramadan." Walau bagaimanapun, ulama berbeza pendapat mengenai waktu wajibnya. Imam Syafie dan Malik menyatakan, ia menjadi wajib apabila terbenamnya matahari pada akhir Ramadan. Manakala Abu Hanifah pula menyatakan, ia wajib setelah terbit fajar satu syawal. Untuk memudahkan kita, ulama fikah telah membahagikan waktunya seperti berikut, iaitu harus sejak awal Ramadan, menjadi wajib atau paling utama sebelum solat Aidilfitri dan makruh setelah menunaikan solat Aidilfitri. Sesiapa yang tidak menunaikan zakat fitrah sehingga terbenam matahari satu syawal, maka dia dianggap berdosa dan wajiblah segera mengeluarkannya dan kala itu ia dianggap qada. 5. Apakah yang perlu dilakukan jika terlupa menunaikannya? Jawapan: Islam telah menyediakan satu ruang waktu yang amat luas bagi umatnya menunaikan zakat fitrah dan tidak sepatutnya ada orang boleh terlupa. Selalunya orang terlupa bila sengaja menunggu sehingga ke saat akhir. Jadi, jangan bertangguh. Mungkin ada orang berhujah, mereka mahu menunggu ke saat akhir menunaikan zakat fitrah, demi mendapatkan pahala yang lebih besar. Berkenaan pahala ini, fuqaha tidak pula beranggapan menunaikannya lebih awal akan kurang pahalanya berbanding menunaikannya saat-saat akhir, lagi pun ia adalah tergantung kepada Allah SWT yang menentukannya. Orang yang terlupa wajib segera mencari mana-mana fakir miskin dan serahkanlah zakat fitrah pada waktu itu juga dan fuqaha menyatakan ia sudah menjadi qada. Iringi juga dengan taubat dan berazam untuk tidak melalaikan lagi zakat fitrah selepas ini. 6. Ada orang berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat fitrah, apa hukumnya? Jawapan: Menunaikan zakat fitrah adalah wajib dan berpuasa juga wajib, maka mengabaikannya adalah berdosa. Ibnu Umar r.a meriwayatkan: "Rasulullah saw telah memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah sebelum orang-orang keluar melaksanakan solat Idul Fitri," (Riwayat Bukari dan Muslim). Ulamak fikah menyatakan, orang yang enggan berzakat kerana kesengajaan dan mengingkari kewajipannya, maka dia boleh jatuh kepada kekufuran, na'uzubillah. 7. Adakah orang miskin juga wajib membayar zakat fitrah? Jawapan: Zakat fitrah diwajibkan kepada semua orang Islam, tanpa mengira sama ada mereka kaya, miskin, merdeka atau hamba sahaya. Syaratnya, mereka mesti ada makanan yang cukup bermula dari malam satu Syawal hingga tamat satu Syawal. Orang miskin yang memenuhi syarat ini, wajib mengeluarkan zakat. Cuma ada sebahagian fuqaha menyatakan, jika orang miskin itu menjadi mampu disebabkan bantuan zakat, maka mereka tidak dibebani untuk mengeluarkan zakatnya, kerana punca hartanya adalah dari zakat juga. 8. Ada orang mahu membayar zakat fitrah dengan beras bukan wang, apa komen ustaz? Jawapan: Mengikut ketetapan asal, zakat fitrah memang begitu. Tetapi, sebahagian fuqaha berpendapat adalah harus mengeluarkan zakat fitrah dengan harga (wang). Pada zaman Umar bin Abdul Aziz r.a, baginda berfatwa zakat fitrah boleh dibayar dengan nilai wang. Memandangkan penggunaan wang lebih sesuai pada hari ini, maka ia lebih diraikan demi kemaslahatan ummah seluruhnya. 9. Ada orang berkata, jika tidak keluarkan zakat fitrah maka pahala puasa akan tergantung. Benarkah? Jawapan: Terdapat sebuah hadis mengenai persoalan ini, iaitu: "(Ibadah) bulan Ramadhan digantungkan antara langit dan bumi dan tidak diangkat kepada Allah kecuali dengan zakat fitrah," (Riwayat Ibn Asakir). Tetapi, para ulama hadis mempertikaikan kesahihan hadis ini, kerana ada di antara perawinya yang tidak dikenali (majhul) dan ia juga bercanggah dengan mafhum hadis lain mengenai keutamaan beribadah khususnya di bulan Ramadan. Bagi saya, fokuskan untuk melaksanakan setiap ibadah, sama ada solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya. Setelah ia ditunaikan dengan sempurna dan sah, maka serahlah kepada Allah SWT, sama ada mahu menerima atau menolaknya. 10. Adakah zakat fitrah hanya untuk fakir miskin sahaja? Jawapan: Hal ini adalah khilaf dalam kalangan ahli fikah. Sebahagian menyatakan ia hanya untuk fakir dan miskin dan sebahagian yang lain menyatakan, zakat fitrah juga sama seperti zakat harta dan lapan asnaf masih boleh menikmatinya. Malahan ada ulama' yang menyatakan seorang kafir zimmi di dalam Negara Islam juga berhak mendapat zakat fitrah jika mereka adalah golongan fakir. Perbincangan ini boleh dirujuk ke dalam kitab Bidayatul Mujtahid, Juz 1, hal. 584; Fikih Sunnah, Jilid 3, hal. 129, Hukum Zakat, hal. 964 dan Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Jilid 2, hal. 190. 11. Apakah majikan wajib membayar zakat fitrah pembantu rumahnya? Jawapan: Majikan tidak wajib, kerana pembantu itu bukan tanggungan yang wajib dinafkahinya. Pembantu itu ada gajinya sendiri dan dia wajib menjelaskan zakat fitrahnya sendiri. Namun, jika majikan mahu menjelaskannya juga, perlu memberitahu kepada pembantunya, sebagai tanda minta izin daripadanya. 12. Apakah anak yang lahir pada waktu Maghrib hari terakhir Ramadan wajib zakat fitrah juga? Jawapan: Tidak wajib, kerana anak itu hanya hidup pada waktu Syawal sahaja. Bukan sekadar itu, orang yang hidup sepanjang Ramadan dan meninggal dunia sebelum masuknya waktu Syawal, maka tidak wajib juga zakat fitrah. Ini kerana, hanya orang yang hidup pada dua waktu, Ramadan dan Syawal sahaja wajib zakat. 13. Apakah anak yang dikandung sudah cukup bulan tapi belum lahir hingga masuk Syawal wajib zakat juga? Jawapan: Tidak wajib, Cuma sunat muakkad sahaja. Islam tidak mengambil kira semasa bayi masih berkeadaan janin (dalam rahim ibu) dan inilah pendapat yang kuat sebagaimana yang disebut oleh Dr. Yusuf al- Qaradawi, di dalam kitabnya, Hukum Zakat. Soalan 14: Adakah seorang muallaf (saudara baru) juga wajib bayar zakat fitrah? Jawapan: Jika muallaf itu masih kecil (belum akil baligh misalnya), maka orang yang menaunginyalah yang mengeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi, jika sudah dewasa atau remaja, maka jika mereka mampu mereka keluarkan sendiri. Jika tidak mampu, maka tidaklah wajib zakat fitrah ke atasnya. Soalan 15: Bolehkah ustaz jelaskan hikmah zakat fitrah? Jawapan: Pertama, zakat fitrah menjamin kegembiraan kepada penerimanya, seperti mana nabi menjanjikan dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, iaitu waktu berbuka (termasuk berhari raya) dan ketika menatap wajah Allah (hadis Muslim). Maka, bagaimana orang miskin boleh gembira jika tiada bantuan di hari raya. Kedua, zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi. Ketiga, membersihkan orang yang berpuasa daripada dosa. Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin." (Hadis Riwayat Abu Daud). Keempat, menjadi bukti ketaatan manusia beriman kepada Allah SWT. Ini kerana, jika mereka berpuasa tetapi enggan berzakat, maka jelaslah kualiti keimanannya di tahap mana? Kelima, zakat fitrah itu menjadi kemuncak kepada amalan di bulan Ramadan, yakni berkongsi sedikit kekayaan. Andai jumlah RM7 itu masih dipertikaikan, maka bagaimana pula seseorang itu mampu berkongsi sesuatu yang lebih besar dalam hidupnya dengan orang lain. Soalan 16: Apakah boleh kita menunaikan zakat harta selain fitrah di bulan Ramadan? Jawapan: Memang boleh bahkan dianjurkan sangat-sangat. Ini kerana, mafhum daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah daripada Salman al-Farisi, bahawa setiap amalan sunat dalam bulan Ramadan diganjari pahala wajib dan satu amalan wajib diganjari 70 kali ganda pahalanya. Maka, andai kita berzakat RM1 ribu, maka pahalanya seolah-olah kita sudah berzakat RM70 ribu! Orang yang haul zakatnya belum tiba, boleh berniat mendahului haul zakat dan di sisi Islam, ia memang diharuskan. Soalan 17: Soalan terakhir saya, kenapakah kadar zakat fitrah di Malaysia berbeza-beza antara setiap negeri? Jawapan: Panjang jawapannya, namun ringkasnya saya boleh katakan, ada dua sebab kenapa berbeza. Pertama, pentadbiran zakat di Malaysia adalah tertakluk kepada bidang kuasa negeri. Maka, setiap negeri mempunyai jawatankuasa fatwanya sendiri yang akan memutuskan harga zakat fitrah yang sesuai di negeri masing-masing. Pengasingan kuasa ini telah digazetkan di dalam Perlembagaan Malaysia, iaitu di dalam Jadual Kesembilan (Perkara 74, 77) Senarai Perundangan, Senarai II – Senarai Negeri. Kedua, boleh jadi harga sekilogram beras adalah berbeza antara negeri-negeri. Ada negeri yang agak mahal, ada yang agak murah dan ia adalah sesuai dengan kondisi sosio-ekonomi rakyat negeri berkenaan. Maka, harga zakat fitrah di Selangor adalah sesuai dengan harga beras di Selangor (yakni RM7.00). Manakala di negeri lain, sesuailah dengan negeri mereka pula. Wallahua'lam. Ustaz Hamizul Abdul Hamid ialah Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) http://www.hamizul.com/ | ||
Bajet 2013 banyak 'gula-gula' pilihan raya? Posted: 08 Aug 2012 06:25 AM PDT
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat menjangkakan banyak gula-gula pilihan raya akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2013 hujung September ini. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bajet yang akan dibentang dalam suasana bahang pilihan raya ini sudah tentu bersifat mencari undi dari rakyat. "Sudah pasti belanjawan kali ini sudah pasti lebih banyak gula-gula imbuhan diberikan dalam mencari undi serta penghargaan dari rakyat," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini semalam. Bagaimanapun beliau mengingatkan, dalam kegairahan Najib yang juga menteri kewangan mencari undi, bajet kali ini jangan sampai menambah beban negara yang sedia terbeban dengan hutang yang tinggi. "Dengan hutang negara yang semakin teruk ini, maka kami dari Pakatan Rakyat tampil untuk memberi peringatan kepada Menteri Kewangan. "Malah Najib perlu fikir kedudukan negara jangan sampai mengorbankan kepentingan jangka panjang yang boleh menyebabkan kestabilan ekonomi tergugat," katanya. | ||
NUJ sokong SOP elak wartawan dikasari Posted: 08 Aug 2012 06:23 AM PDT
Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Chin Sung Chew (gambar) berkata, SOP polis terhadap petugas media amat penting bagi mengelakkan mereka dikasari polis ketika menjalankan tugas. "NUJ berasa gembira dan meraikan keputusan PDRM ini kerana dengan adanya SOP boleh mengurangkan peristiwa yang tidak diingini seperti yang berlaku di perhimpunan sebelum ini," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini. Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memaklumkan bahawa SOP itu akan diumumkan sebulan daripada sekarang dan akan dirangka dengan mengambil kira pandangan dan cadangan petugas media yang pernah membuat liputan di perhimpunan seperti perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu. Sehubungan itu, PDRM akan memanggil wakil media untuk duduk berbincang mengenai SOP itu dan mahu mana-mana petugas media yang dicederakan tampil memberikan pandangan mereka. Mengulas perkara itu, Chin berkata ianya akan dibawa ke mesyuarat NUJ pada Jumaat ini. "NUJ akan bermesyuarat Jumaat ini jadi saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat dan mungkin kita akan berhubung dengan polis lebih awal untuk menyatakan kesediaan menghantar wakil untuk berbincang," katanya. Sebelum ini, Panel Siasatan Bebas mengenai perhimpunan Bersih 3.0 mendapati tiadanya SOP di kalangan pasukan polis menjadi punca berlakunya insiden wartawan dan jurugambar mendapat kecederaan. Pada Perhimpunan Bersih 3.0, dua wartawan dimasukkan ke hospital akibat dipukul polis manakala beberapa wartawan dan jurugambar dikasari termasuk kad memori kamera mereka dirampas dan dilarang mengambil gambar. | ||
Kit Siang: Tajuk Utusan galak curiga antara agama Posted: 08 Aug 2012 06:22 AM PDT MALAYSIA KINI Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata tindakan Utusan Malaysia menyiarkan pandangan seorang guru pondok yang mendakwa "haram sokong DAP" hanya menggalakkan perasaan curiga di kalangan agama.Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata akhbar milik Umno itu juga "menghasut konflik agama" dengan membesar-besarkan isu di muka hadapan seperti itu. Lim berkata, sebagai akhbar nasional, Utusan perlu lebih bertanggungjawab dan tidak memilih tajuk yang bertentangan dengan dasar 1Malaysia perdana menteri. Beliau mendakwa akhbar itu hanya dibenarkan untuk melakukan perkara "tidak bertanggungjawab" itu dengan menyerang DAP dan bukannya parti komponen BN MCA, MIC atau Umno. "(Jika ia menyerang parti BN) Kementerian Dalam Negeri tentu telah bertindak cepat untuk mengharamkah akhbar itu. "Namun di sini kita lihat perdana menteri, menteri dalam negeri dan (BN) membiarkan, jika tidak menyokong penerbitan yang tidak bertanggungjawab, bersifat keji dan menghasut," katanya. Beliau mengulas laporan Utusan hari ini yang memetik kenyataan pengasas pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah yang mendakwa DAP "secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud." Bagaimanapun, MCA yang lantang menentang hukum hudud disifatkan Abdullah sebagai "bukan kafir harbi kerana tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umatnya". MCA malah pernah mengugut untuk meninggalkan BN sekiranya Umno cuba melaksanakan hukum hudud - rancangan yang disifatkan MCA sebagai cadangan yang "hilang akal". | ||
Timbermine: Tok Guru mohon rakyat solat syukur Posted: 08 Aug 2012 06:16 AM PDT
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, memohon pemimpin dan rakyat negeri ini menunaikan solat sunat syukur berikutan keputusan mahkamah dalam kes saman Timbermine terhadap Kelantan kelmarin. Perkara itu disampaikan Tuan Guru melalui Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan kepada Harakahdaily hari ini. "Saya mewakili kerajaan negeri dan PAS Kelantan mengucapkan terma kasih kepada jawatankuasa bertindak kes ini dan juga team peguam yang bertungkus-lumus mempertahankan kerajaan negeri,"ujarnya. Isnin lalu Mahkamah Rayuan Malaysia telah mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang mengarahkan Kelantan membayar RM560 juta (RM1.2 bilion termasuk faedah) kepada Syarikat Timbermine Sdn Bhd. Pada awal tahun lepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan kerajaan negeri membayar membayar RM800 juta kepada Timbermine sebagai ganti rugi termasuk RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat dalam kawasan pembalakan seluas 112,000 hektar. Selain itu ganti rugi khas RM13.6 juta, bayaran gaji pekerja yang diberhentikan (RM1.74 juta), faedah lapan peratus sejak 2004 berjumlah RM240 juta dan kos sebanyak RM200,000. Syarikat mengemukakan saman ekoran perjanjian yang dibuat pada 1964 dibatalkan pada Mac 1975 oleh Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohamed Nasir. Ekoran itu kerajaan Kelantan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. | ||
DAP: Dokumen tunjuk Noh Omar terlibat projek udang Posted: 08 Aug 2012 06:14 AM PDT DAP mendedahkan dokumen yang didakwa membuktikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar terlibat dalam satu perusahaan kolam ternakan udang di Tanjung Karang, Selangor. ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim hari ini menunjukkan satu salinan akuan sumpah bertarikh 11 Januari 2011 dan satu dokumen permohonan kaveat bertarikh sama ke atas tanah yang disewa syarikat itu daripada Noh Omar. "Saya ada dokumen Syarikat Pristine Agrofood yang dalam akuan sumpahnya menyatakan syarikatnya ada usaha sama dengan Noh bin Omar. "Surat kaveat yang saya ada, syarikat ini (juga) bersetuju mengusahakan tanah itu bersama Noh Omar. "Ini (adalah) usaha sama. Beliau tak nafikan akuan sumpah ini," kata Ng selepas mengetuai satu demonstrasi di hadapan tapak projek tersebut pagi ini. Menurut Ng, kaveat berkenaan bertujuan untuk menghalang Noh daripada menjual tanah berkenaan selama perjanjian itu berkuatkuasa. Ng mendakwa surat akuan sumpah itu membuktikan Noh Omar terlibat dalam projek itu lebih daripada sebagai pemilik tanah yang menyewakan tanahnya. "Syarikat tersebut telah bersetuju mengusahakan hartanah bersama dengan Noh bin Omar [nombor kad pengenalan dan alamat disertakan] dengan jaminan harga sekurang-kurangnya RM25,200 sahaja setahun. Sesalinan perjanjian usahasama bertarikh 5 Januari 2011 dilampirkan di sini," surat itu dipetik. Katanya, "usahasama" yang disebut dalam dokumen itu menimbulkan "keraguan yang munasabah" dan definisi istilah itu juga sangat luas. "Jadi kita mahu pihak berkuasa siasat. Sama ada (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak), polis atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya. Beliau memberi contoh, seorang menteri perumahan boleh membeli rumah tetapi menteri berkenaan tidak boleh terlibat dalam mana-mana syarikat perumahan. Justeru, prinsip yang sama katanya diguna pakai dalam kes projek udang yang membabitkan Noh Omar, katanya. "Noh Omar boleh makan udang termasuk otak udangnya tetapi dia tak boleh ternak udang. Ini salah guna kuasa. "Orang yg kononnya nak jadi menteri besar Selangor ini wajib tampil ke depan dan jawab (dakwaan ini)," kata Ng lagi. Pengarah syarikat Pristine Agrofood, Chu Bak Teck ketika dihubungi hari ini menegaskan sekali lagi bahawa Noh Omar hanyalah tuan tanah dan tidak terlibat dalam operasi kolam udang itu. Lindungi kepentingan Chu juga mengakui bahawa beliau menggunakan istilah "usahasama" dalam surat tersebut, namun beliau menjelaskan bahawa tindakan itu hanyalah untuk melindungi kepentingan syarikatnya. "Perjanjian itu sebenarnya satu perjanjian penyewaan, tapi kita tulis seperti satu perjanjian usahasama. Ini untuk melindungi kedua-dua pihak. "Kita mahu ikat Noh Omar (kiri), supaya dia tidak jual tanah ini dan menyebabkan kerugian kepada kita," katanya kepada Malaysiakini. Noh pula pada 14 Julai lalu dilaporkan mengakui mempunyai pegangan dalam satu perniagaan penternakan udang di Tanjong Karang, dan menegaskan tidak ada salahnya berbuat demikian. Akhbar Sin Chew Daily pada hari itu melaporkan, Noh mendakwa masih belum dilantik sebagai menteri ketika tanah seluas 30 ekar di Bagan Tengkorak itu dimilikinya. Bagaimanapun, dua hari kemudian beliau menafikan mempunyai sebarang pegangan kewangan dalam projek penternakan udang di Tanjung Karang yang diuruskan oleh Pristine Agrofood Sdn Bhd. "Pegangan" yang dimaksudkannya, seperti dilaporkan Sin Chew, jelas Noh, tidak lebih daripada bermaksud tanah yang dipajakkannya kepada syarikat. Isu berhubung projek ternakan udang tersebut pertama kali dibangkitkan Ng ketika membentangkan satu usul di DUN Selangor bagi menyekat wakil rakyat Selangor dan ahli majlis di negeri tersebut daripada membeli tanah semasa tempoh khidmat mereka. Malaysiakini sedang mendapatkan komen susulan daripada Noh. | ||
SPR nafi pekerja asing jadi pemilih guna Kod 71 Posted: 08 Aug 2012 06:03 AM PDT SINAR HARIAN KOTA KINABALU - Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof hari ini menafikan bahawa ramai pekerja asing dimasukkan ke dalam senarai daftar pemilih menggunakan kod pengenalan '71' yang merujuk kepada rakyat Malaysia lahir di luar negara. Beliau berkata perkara itu tidak harus dipertikaikan kerana setakat ini hanya 171,023 pemilih berdaftar yang direkodkan mempunyai kad pengenalan di bawah kod itu. Sebelum tahun 2001, kod '71' digunakan pada nombor kad pengenalan individu rakyat Malaysia yang lahir di luar negara dan warganegara asing yang mendapat status pemastautin tetap (PR). Bagaimanapun selepas 2001, semua warganegara asing yang mendapat PR tidak lagi dirujuk dengan kod '71', sebaliknya menggunakan kod berdasarkan negara kelahiran masing-masing, contohnya Singapura (66) dan Indonesia (61). Abdul Aziz mengulas perkara itu kepada media kerana ada pihak mempertikai penggunaan kod '71' itu kononnya digunakan untuk mendaftarkan pekerja asing sebagai pengundi setelah beberapa nama yang mempunyai kod '71' di tengah-tengah nombor kad pengenalan mereka dikesan tersenarai dalam daftar pemilih. Beliau berkata mengikut rekod Daftar Pemilih Induk (DPI) SPR, seramai 8,743 pemilih berdaftar di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mempunyai kod 71 dan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi seramai 32,485 orang.- Bernama | ||
Air S'gor: Umno buat silap besar, kata Rani Posted: 08 Aug 2012 05:56 AM PDT
SHAH ALAM: PAS menyifatkan tindakan Umno Barisan Nasional (BN) yang cuba mensabotaj Selangor dengan menimbulkan isu krisis air di negeri itu sebagai kesilapan besar. Bercakap kepada Harakahdaily, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman berkata, kini rakyat Selangor boleh menilai sikap kerajaan Pusat dan BN negeri dalam isu itu. "Rakyat lebih cerdik dan sedar dengan apa yang telah ditimbulkan oleh Umno-BN dalam soal krisis air, walaupun terdapat sabotaj telah dilakukan oleh pihak Syabas Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd (Syabas). "Ini merupakan satu kesilapan besar mereka kerana segala apa yang dilakukan itu akan memberi impak kepada politik mereka," katanya. Beliau turut berpendapat, dengan isu air yang dimainkan oleh Umno-BN, belum pasti parti itu dapat merampas kembali Selangor dari Pakatan Rakyat. "Umno-BN ingat dengan memperbesarkan isu air ini mereka dapat mengambil balik Selangor, itu tidak akan berlaku kerana rakyat negeri ini mengetahui keadaan yang sebenarnya. "Malah rakyat juga tahu Umno-BN berada dalam keadaan yang terdesak sebab itulah mereka terpaksa mereka cipta isu air walaupun pada hakikatnya ia sebaliknya," sambungnya lagi. Tambahnya lagi, tinjauan rambang yang dilakukan menunjukkan rakyat negeri ini tidak termakan momokan Umno BN malah akan terus bersama mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. "Rakyat akan terus mempertahankan kerajaan Pakatan yang terus menjaga kebajikan terutama dalam soal pemberian air percuma bukannya kerajaan yang menyusahkan rakyat demi kepentingan agenda politik mereka," tambah beliau lagi. Dalam isu air Selangor, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim secara terbuka telah menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan kerajaan pusat. Namun sehingga sekarang tidak ada sebarang jawapan diperolehi dari kerajaan pusat mahupun pemimpin Umno-BN untuk berdebat isu tersebut. Menurutnya lagi, Akhbar Sinar Harian sanggup menganjurkan prgram debat tersebut jika pihaknya mendapat jawapan kesanggupan dari pihak kerajaan untuk berdebat dengan Khalid dalam isu krisis air di Selangor. | ||
JK Royalti: Tok Guru sudah menghadap Sultan Posted: 08 Aug 2012 05:54 AM PDT
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau telah menghadap Sultan Kelantan untuk membincangkan wakil negeri itu yang akan dicadang menganggotai jawatankuasa khas bayaran tunai royalti. Bagaimanapun beliau memaklumkan, belum mengemukakan cadangan siapakah individu yang bakal menduduki jawatankuasa itu nanti kerana ianya belum dibincangkan diperingkat kerajaan negeri. "Kita tak bincang lagi, mesyuarat exco hari ni pun tak bincang," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Projek Pembangunan Tanah Anak Muda Kelantan, di Dewan Teratai petang tadi. Penubuhan jawatankuasa khas itu sebelum ini diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi mengkaji isu bayaran tunai petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur. Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan. Mengulas cadangan beberapa pihak agar Tengku Razaliegh Hamzah dipilih menyertai jawatankuasa itu, Tuan Guru berkata ia boleh dicadang, tetapi tidak semestinya dipilih. Sementara itu, ketika diminta mengulas cadangan agar Kelantan memboikot jawatankuasa itu pula, Tuan guru berkata pihaknya tidak bercadang untuk berbuat demikian namun berharap agar banyarannya dipercepatkan dan bukan menunggu tempoh enam bulan. "Tak ada sebab nak dilambatkan, sebab ia hak Kelantan," katanya. Berhubung masaalah air yang terputus di Pasir Mas, menteri besar berkata ianya berpunca daripada musim kemarau dan bukannya masaalah pengurusan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB). Katanya, hujan yang jarang berlaku sekarang membuatkan air sungai menjadi kering. "Peralatan canggih macamana sekalipun tidak mampu mengatasi masalah kekurngan air akibat kemarau. "Masalah air bukan saja berlaku di Kelantan. Tetapi negeri lain juga sebagaimana yang dilaporkn dalam akhbar baru-baru ini," katanya. | ||
Tak perlu baiah, kata bekas pengarah JSJ Posted: 08 Aug 2012 05:53 AM PDT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak perlu sehingga meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbaiah dengan kerajaan kerana tugas anggota polis sememangnya menjaga keselamatan awam dan negara. Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari berkata, jika anggota polis memahami kerja mereka satu ibadah, mereka harus bekerja dengan jujur, amanah dan bersungguh-sungguh. "Itu hak perdana menteri untuk membuat seruan tapi sememangnya penjawat awam khususnya anggota polis yang faham konsep ibadah, mereka akan bekerja dengan bersungguh-sungguh," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini. Namun katanya, anggota polis harus faham bahawa mereka hanya bertanggungjawab terhadap kerajaan dalam soal tugas namun berhak membuat pilihan untuk memilih parti mana untuk menerajui kerajaan. "Memang kerja kena ikut pertauran yang ditetapkan oleh kerajaan tapi anggota polis kena tahu bezakan kerajaan dan parti. "Kalau bab mengundi, hak mereka untuk memilih parti mana yang difikirkan lebih baik," katanya yang menyertai PAS Mei lalu. Semalam, Najib berkata sekiranya kerajaan membantu PDRM, PDRM akan membantu kerajaan dan negara. | ||
Perkembangan kes rakyat Malaysia diculik di Nigeria dipantau Posted: 08 Aug 2012 05:46 AM PDT SINAR HARIAN Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay berkata setakat ini belum ada perkembangan terkini berhubung kes itu yang menyaksikan warga Malaysia dan tiga lagi warga asing diculik, susulan serangan maut ke atas kapal milik sebuah syarikat perkhidmatan minyak di Teluk Guinea. "Kedutaan Malaysia di Abuja sedang memantau rapi perkembangan kes ini," katanya kepada pemberita selepas upacara menaikkan bendera sempena Hari Asean ke-45, di sini hari ini. Agensi berita asing melaporkan sekumpulan lelaki bersenjata api menyerang dua kapal milik Sea Trucks Group yang menyediakan perkhidmatan kapal sokongan untuk syarikat minyak dan gas di Nigeria, kira-kira 35 batu nautika dari Delta Nigeria, kawasan pantai yang kaya minyak. Kawasan delta itu yang sebelum ini sinonim dengan serangan ganas penjenayah serta insiden culik dilihat semakin tenang susulan program pengampunan oleh kerajaan beberapa tahun tahun lepas. Ketika serangan awal pagi Sabtu itu, dua anggota tentera laut yang mengawal kapal berkenaan terbunuh, dua lagi cedera manakala dua selamat. Selain rakyat Malaysia, seorang masing-masing rakyat Indonesia, Iran dan Thailand diculik kumpulan itu. Jurucakap Sea Trucks Group, Corrie van Kessel dilapor berkata syarikat itu menumpukan usaha untuk membebaskan tebusan. Biro Maritim Antarabangsa dalam laporannya bulan lepas menyatakan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sebanyak 32 insiden serangan lanun di Teluk Guinea direkodkan berbanding 25 kes tahun lepas. -Bernama | ||
Nik Aziz: Kami tak boikot panel, duit mahu cepat Posted: 08 Aug 2012 05:44 AM PDT KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menegaskan tidak sesekali akan memboikot penubuhan Jawatankuasa Bayaran Royalti sebaliknya meminta bayaran royalti, yang menjadi hak negeri itu, disegerakan. Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, setakat ini Kerajaan Negeri tidak pernah berbincang untuk memboikot jawatankuasa yang diketuai, bekas Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad itu. "Kita tidak boikot jawatankuasa ini, apa yang kita mahu duit ini diberikan kepada kita dan kalau boleh diberikan dengan cepat. "Ini kerana harta itu adalah milik Kelantan, tidak perlu banyak bercakap, ia merupakan hak negeri ini," katanya kepada media. Terdahulu beliau menyampaikan Surat Aku janji Projek Pembangunan Tanah Anak Muda Negeri Kelantan kepada enam penerima di Dewan Teratai di Kompleks Kota Darul Naim, semalam. Nik Aziz juga memberitahu, beliau sudah menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad IV berhubung perkara tersebut. | ||
Ku Li: Selesai segera isu royalti Posted: 08 Aug 2012 05:43 AM PDT SHAH ALAM - Tengku Razaleigh Hamzah berharap isu tuntutan royalti minyak Kerajaan Negeri Kelantan akan diselesaikan segera kerana ia bukan rumit dan tidak melibatkan Kerajaan Pusat. Bekas Pengerusi Petronas berkata, isu berkenaan timbul hanya kerana Petronas tidak menunaikan hak Kerajan Negeri Kelantan seperti yang termaktub dalam perjanjian semasa Kelantan menyerahkan sepenuhnya hak milik Petroleum kepada syarikat minyak negara itu. Beliau beberapa kali menekankan bahawa isu royalti lima peratus itu adalah antara Kerajaan Negeri dan Petronas. "Jadi sekarang Petronas yang bertanggungjawab menyelesai perkara ini dengan kerajaan negeri, jadi tak berbangkit lagi soal pertikaian antara sesiapa pun cuma kelemahan Petronas kerana tidak membayar kepada kerajaan negeri," katanya dalam temu bual dengan Astro Awani hari ini. Bekas Menteri Kewangan ini mengulas penubuhan Jawatankuasa Tuntutan Royalti Negeri-negeri Pantai Timur yang diumumkan Perdana Menteri, Sabtu lalu. Jawatankuasa itu akan dianggotai wakil kerajaan Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan sultan masing-masing. Ia akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad. Tengku Razaleigh juga berharap semua pihak yang terlibat dalam jawatankuasa itu dapat mencari penyelesaian yang terbaik demi kepentingan rakyat. "Saya harap dengan ikhlaslah cuba selesaikan tuntutan rakyat ini kerana ini adalah hak dan milik mereka jadi kalau kita berlengah-lengah susahlah semua pihak dan saya percaya kerajaan mahu jawatnkuasa khas ini bekerja bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan perkara ini. "Bagi saya kerjanya mudah sangat, rujuk balik kepada akta dan perjanjian itu saya rasa selesailah," katanya. Beliau juga menyatakan kesediaan menawarkan khidmat nasihat sekiranya diminta oleh jawatankuasa berkenaan. Tengku Razaleigh adalah Pengerusi Petronas yang menandatangani perjanjian tersebut dengan Kerajaan Negeri Kelantan pada 1975. Dalam wawancara dengan Astro Awani baru-baru ini, beliau mahu kerajaan BN menyelesaikan isu royalti sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Dalam pada itu, Tengku Razaleigh membidas sikap pihak tertentu yang didakwa suka berdolak dalih dalam itu royalti minyak Negeri Kelantan. Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam Facebooknya kelmarin mempersoalkan "Mengapa kita masih suka berdolak-dalik dalam perkara yang begitu jelas seperti yang termaktub dalam akta dan perjanjian yang telah ditandatangani dan dipersetujui?" Beliau menghubungkan komen tersebut kepada muka hadapan Akta 144 - Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang menyatakan dengan jelas kedudukan royalti minyak untuk Kelantan dan lain-lain negeri. Najib telah menghantar surat kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menghantar nama wakil kerajaan negeri untuk menyertai jawatankuasa tersebut. | ||
Umno ada calon MB lebih baik dari Khalid Posted: 07 Aug 2012 11:21 PM PDT Ramai pemimpin dan wakil rakyat Umno Selangor sekarang matang dan kelulusan hingga peringkat ijazah sarjana baik dari universiti tempatan atau luar negara. PETALING JAYA: Ketua Umno Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, Umno Selangor mempunyai calon Menteri Besar yang lebih baik dari Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. "Ramai pemimpin dan wakil rakyat Umno Selangor sekarang matang dan kelulusan hingga peringkat ijazah sarjana baik dari universiti tempatan atau luar negara. "Saya menolak dakwaan bahawa Umno Selangor tidak mempunyai calon untuk menjadi Menteri Besar dalam pilihan raya umum 13. "Datuk Seri Noh Omar ada ijazah, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed ada Ir (jurutera) dan saya sendiri pun ada ijazah," kata Ismail. Ismail yang juga ADUN Lembah Jaya berkata, tohmahan Umno negeri itu tidak mempunyai calon Menteri Besar sebagai merendah-rendahkan pemimpin parti itu di Selangor. Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo dilaporkan sebagai berkata Umno setakat ini tidak mampu menghasilkan calon yang berkebolehan mencabar Menteri Besar sedia ada. Dr Mohd Khir berkata, terlalu sukar untuk beliau memberitahu siapa calon Menteri Besar Selangor dari Umno. Penghulu jadi MB "Tidak mungkin dalam begitu ramai pemimpin Umno di Selangor tidak ada seorang pun yang boleh menjadi Menteri Besar. Masing-masing ada kebolehan sendiri. "Tan Sri Ahmad Razali Ali yang menjadi Menteri Besar Selamngor pada era 80-an iaitu dari 1982 hingga 1986 hanya seorang penghulu. "Bagaimanapun, untuk jawatan Menteri Besar biarlah diserahkan kepada pucuk pimpinan dan Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri)," kata beliau lagi. Ahmad Razali merupakan adik ipar kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. BN pimpinan Umno memerintah Selangor sejak merdeka sebelum kalah kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008. Bagaimanapun, parti itu bertekad merampas semula kerajaan negeri dalam pilihan raya ke 13. | ||
1,436 wanita tempatan ditipu ‘Awang Hitam’ Posted: 07 Aug 2012 11:16 PM PDT Terjerat dengan pujukan lelaki warga Afrika yang mengakibatkan kerugian RM87.6 juta dalam tempoh tiga tahun terakhir. PETALING JAYA: Seramai 1,436 wanita tempatan terjerat dengan pujukan lelaki warga Afrika yang mengakibatkan kerugian RM87.6 juta dalam tempoh tiga tahun terakhir, kata Ketua II Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Ridwan Mohd Yusof. "Ia meningkat dari 514 pada 2010 menjadi 671 pada tahun lalu," kata beliau. Wanita berkenaan menjadi mangsa 'Awang Hitam' melalui laman sosial kemudian memujuk mangsa supaya mengirimkan wang. Mohd Ridwan menambah, sepanjang Januari hingga Mei lalu, 251 orang wanita tempatan menjadi mangsa. Kerugian yang dicatatkan mencapai RM20 juta ringgit pada 2010, RM50 juta (2011) dan dalam lima bulan pertama tahun ini ialah RM17.6 juta. "Data JSJK juga mencatat 834 kes penipuan yang melibatkan warga Afrika itu pada 2010, 1,117 (2011) dan 417 pada Januari-Mei tahun ini," katanya. Menyamar sevagai mahasiswa Menurut hasil penyelidikan, sindiket tersebut menyamar sebagai mahasiswa universiti swasta dan menjerat mangsa melalui laman sosial Facebook, Twitter, dan Tagged. Sindikat itu juga menggunakan berbagai cara pendekatan, termasuk penipuan dengan modus penghantaran barang, serta memaparkan foto kacak bagi memperdaya mangsa. Mereka biasanya memperkenalkan diri sebagai lelaki tampan berkulit putih serta berpangkat tinggi dan berasal dari England. Mohd Ridwan berkata, 504 dari 653 tertuduh yang ditahan dalam kes-kes penipuan tersebut adalah warga Nigeria. Menurutnya, mereka sudah memiliki skrip rayuan cinta yang dikarang secara standard untuk memperdaya para wanita. Katanya, anggota sindiket dalam sehari mengirim ratusan email dan pesanan melalui laman sosial kepada mangsa secara rambang. | ||
Berita BERNAMA Sahkan Rumah Adun Ajil Musnah Dalam Kebakaran Posted: 07 Aug 2012 11:13 PM PDT KELAB GREENBOC Hulu Terengganu - Rumah kediaman anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil Datuk Rosol Wahid musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 23, di sini, malam tadi. Kejadian pada 10.15 malam itu memusnahkan hampir 90 peratus struktur rumah berkenaan. Gambar: Anggota Bomba dan Penyelamat memadamkan sisa-sisa kebakaran rumah milik Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Datuk Rosol Wahid yang musnah terbakar di Kampung Batu 23. Rosol berkata ketika kejadian, kesemua anggota keluarganya tiada di rumah kerana berbuka puasa dan bertarawih di luar. Menurutnya, beliau hanya dimaklumkan kejadian itu oleh isterinya Toh Puan Halipah Ahmad yang pulang daripada berbuka puasa di rumah kakaknya di Kampung Baung, di sini. "Sebaik dia membuka pintu rumah isteri melihat kepulan asap dan api marak dari bahagian dapur rumah lantas menelefon saya memaklumkan insiden itu," katanya ketika ditemui malam tadi. "Ketika kejadian saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama Yayasan Pembangunan Usahawan di Kuala Terengganu. Saya minta isteri supaya tenang dan jangan masuk ke dalam rumah, bimbang kejadian lebih buruk akan berlaku," katanya. Menurutnya, beliau reda dengan kejadian yang berlaku namun terkilan kerana lebih 2,000 buah buku yang dikumpulkan sejak 10 tahun lalu turut hangus dijilat api. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd Zazuli Badru berkata ketika pasukan bomba tiba di lokasi, api sedang marak dan mereka mengambil masa 30 minit untuk memadam kebakaran. Dua jentera bomba dari Balai Bomba Kuala Berang dan Balai Bomba Wakaf Tapai dihantar ke tempat kejadian bersama 14 anggota dan pegawai. Turut ke lokasi kejadian selepas mendapat berita kebakaran itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Adun Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said dan Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam. - Bernama klik untuk baca | ||
Sebuah Negara Ada Empat Tema Merdeka Posted: 07 Aug 2012 11:09 PM PDT MSO Hendak jadi apa negaraku - Malaysia, sebuah negara ada empat tema merdeka. Mungkin inilah keunikkan Malaysia atau pun cara pemimpin politik negara ini hendak memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Negara hanya sebesar jantung pisang tanduk dengan penduduk seramai 27 juta tetapi tema hari kemerdekaanya ada empat jenis melambangkan empat puak dan cita rasa. Malaysia memang begitu kaya dengan puak-puak dan pasukan sehinggakan sesama sendiri pun ada puak dan pasukan. Perhatikan tiadak ada entiti (Ngo) tunggal di dalam negara ini yang memperjuangkan sesuatu idealisme atau pun agama dan bangsa, tetapi ia timbul dengan berbagai-bagai nama dan jenama. Mungkin kalau diadakan pertandingan mencari negara yang mempunyai banyak tema hari kemerdekaan untuk tahun 2012 ini ia akan dimenangi mudah oleh Malaysia. Begitu juga kalau diadakan pertandingan mencari negara mana yang mempunyai banyak puak dan pasukan ia akan dirangkul oleh Malaysia. Maka elok kalau takdir Malaysia menjadi tuan rumah sukan olimpik acara kepuakan ini wajar dimasukkan. Kerajaan memilih kata-kata atau perkataan "Janji Ditepai" sebagai tema hari kemerdekaan tahun ini. Tema itu bagaimana pun tidak disetujui oleh Pakatan Rakyat atas alasan ia berbau politik. Ada logik juga bantahan Pakatan Rakyat itu. Kenapa tema atau slogan digunakan untuk program politik UBN digunakan untuk sambut kemerdekaan. Perlu ada pengasingan di antara negara dengan parti politik. Sekali lagi pemain politik negara ini tidak profesional dan melambangkan pemikiran siasah kelas satu. Dalam erti kata lain dalam setiap apa juzu kehidupan, aktiviti kehidupan dimasukkan unsur politik. Sara rasa para petani dan pekebun juga ikut memasukkan unsur politik dalam pupuk untuk tamanam mereka sebaba itu hasilnya tidak menjadi. Ini terbukti ya apabila kepala sawit sejak ianya disenaraikan di Bursa Malaysia tidak begitu berbuah. Mungkin para peneroka sudah memasukkan unsur-unsur politik dalam baja kepala sawit mereka selain ia juga berkebetulan musim ini musim mengawas. Gara-gara bangkangan itu Pakatan Rakyat memilih tema dan tajuk lain. Satu peraduan diadakan untuk mencari tema kemerdekaan dan kata-katanya sekali. Maka terpilihlah kata-kata berbunyi; Sebangsa Sejiwa Senegara. Lalau dianjurkan peraduan mereka bentuk tema berkenaan. Sebanyak 12 logo diterima Pakatan Rakyat dan salah satunya akan dipilih dan diumumkan dalam masa terdekat. Saya malas hendak komen mengenai relevansi akan tema berbunyi; Sebangsa Sejiwa Senegara itu. Tetapi apa yang hendak diungkitkan di sini dan merasa pelik dan ganjil sedikit negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat tidak semua menerima tema dan seruan berkenaan. Kedah menggunakan tema dan seruan yang dibuat sendiri berbunyi; Terus Berbakti, manakala Kelantan menggunakan tema yang diperbuat sendiri berbunyi; Menerajui Perubahan. Sementara negeri Selangor dan Pulau Pinang menggunakan tema kebangsaan Pakatan Rakyat berbunyi; Sebangsa Sejiwa Senegara. Pelik.. kenapa negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak dapat bersatu dalam memilih tema berkenaan. Alasan mengatakan Kedah dan Kelantan terlebih dahulu memilih tema berkenaan dan sudah diputuskan oleh Exco masing-masing tidak boleh diterima. Apapun dasar dan polisi walaupun telah diluluskan tetapi kalau ia tidak menunjukkan kesepakatan boleh dirubah. Keputusan Exco bukan Quran. Dalam konteks ini negeri-negeri Pakatan Rakyat perlu menunjukkan mereka bersatu, sepakat dan sehati sejiwa. Kalau tema pun berubah mengikut naluri dan budaya masing-masing mudahlah ia akan diserang oleh UBN mengatakan Pakatan Rakyat pakatan yang rapuh dan pakatan gulai kawah. Namun dalam pada itu ada logiknya juga kalau Kedah dan Kedah mengekalkan tema berkenaan kerana mereka lebih awal menentukannya. Ada pun penentuan tema dan logo kebangsaan Pakatan Rakyat itu terbit kemudian selepas ada pihak tidak puas hati dengan logo dan seruan kemerdekaan kerajaan UBN; Janji Ditepi. Bayangkan kalau tertakdirlah Pakatan Rakyat mempunyai beberapa kerajaan negeri lagi, mungkin jumlah tema itu akan bertambah lagi. Maka negeri Pakatan Rakyat akan jadilah negeri teme-tema. Apa boleh disimpulkan disini Pakatan Rakyat tidak mempunyai idea pun untuk menyambut kemerdekaan dengan tema dan logonya sendiri. Kalau mereka ada idea dan azam sudah tentu mereka akan berbuat dan memikirkannya awal-awal dan tidaklah pula payah negeri Kedah dan Kelantan mereka dan mencari temanya sendiri. Hendak tanya sikit (jangan marah) kalau Pakatan Rakyat mahukan tema yang bersifat universal dan tidak mempunyai elemen politik seperti Janji Ditepai, apakah tema yang digunakan oleh Kelantan dan Kedah itui bukan berunsur politik? Kalau ia berunsur politik maka tidak adalah salah besar kalau UBN juga memilih tema yang digunakan dalam program Umno. Bukankah Umno itu pendirian kerajaan ini? Cadangan saya lain kali kalau Pakatan Rakyat juga bersemangat hendak sambut kemerdekaan, fikirlah awal-awal jangan difikir setelah melihat kepincangan orang lain yang kita rasakan. Dan mengenai tema dan seruan; Sebangsa Sejiwa Senegara itu simpanlah untuk dijadikan tema kemerdekaan tahun depan tatkala Pakatan Rakyat memerintah Malaysia. InsyaAllah | ||
Cadang Guna Semula loji Jelutong Untuk Tingkat Kapasiti Air Posted: 07 Aug 2012 11:07 PM PDT SHAH ALAM : Kerajaan Negeri mempertimbangkan cadangan menggunakan semula Loji Air Bukit Jelutong sebagai langkah alternatif untuk meningkatkan kapasiti air untuk kegunaan pengguna di Selangor. Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN) Nor Azmi Dir0n menjelaskan, jika loji ini kembali beroperasi, dijangkakan mampu menghasilkan 50 juta liter air sehari. "Loji Air Bukit Jelutong tidak digunakan sejak tahun 1995. Jika digunakan ia mampu menjana air sehingga 50 juta liter sehari. Dahulunya loji ini ditutup kerana mempunyai kadar racun yang tinggi. Maka kita sedang mengkaji dan mencari langkah terbaik agar loji ini dapat beroperasi semula," katanya dalam reaksi ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Penyelaras DUN Permatang, Yahya Saari. Selain itu, Kerajaan Negeri merancang untuk menggunakan teknologi membran dan menerokai sumber air bawah tanah yang boleh digunakan untuk meningkatkan penjanaan air di loji terawat sedia ada. Sebelum ini, Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar menyatakan Kerajaan Negeri sedang mengkaji untuk membelanjakan antara RM200 juta hingga RM300 juta untuk meningkatkan kemampuan rawatan air dengan menggunakan teknologi membran. Berhubung persediaan penggunaan air menjelang musim perayaan, Nor Azmi memaklumkan, pihaknya akan memantau Standard Operation Prosedur (SOP) yang disediakan bnagi mengelakkan sebarang gangguan yang tidak diingini. "Berdasarkan rekod dan pengalaman perayaan yang lepas, penggunaan air berkurangan sehingga 20 peratus memandangkan ramai pengguna pulang ke kampung ditambah dengan cuti panjang," katanya ketika taklimat isu air dan hutang Talam di SACC di sini. | ||
(Info) Lokasi Speedtrap Di Kawasan Lebuhraya PLUS Posted: 07 Aug 2012 10:56 PM PDT BERITA SEMASADah dekat dua minggu sahaja lagi kita akan menyambut Aidilfitri, rasa-rasanya ramai juga yang sedang bersiap-siap membeli-belah, buat kuih, dan tak juga yang mengemas rumah. Masalah speedtrap di lebuhraya ni, ada orang yang suka, dan ada orang yang tidak suka.Biasalah. Namun begitu, disini, kami ingin kongsikan kepada anda pembaca beritasemasa, senarai lokasi kawasan speedtrap yang ada di lebuh raya.Info ini bertujuan untuk mengingatkan anda, bukan bermakna anda boleh mengeksploitasi maklumat ini. Lebuhraya PLUS( Arah Utara)
Lebuhraya PLUS (Ke Selatan)
Elite Central Link East/North Bound
Elite Central Link West/South Bound
NKVE East/North Bound
NKVE West/South Bound
Kesas East Bound
Kesas West Bound
Klang
East Coast
SPEED TRAPS IN JOHOR South Bound
SPEED TRAPS IN PERLIS, KEDAH AND PENANG
SPEED TRAPS IN PERAK North Bound Semoga dengan info lokasi kawasan speedtrap lebuhraya ini, pemandu-pemandu kereta dapat lebih berhati-hati dan jangan memandu melebihi had laju yang ditetapkan. Ikutlah peraturan.Lebih-lebih lagi, dalam musim perayaan ini.Ingatlah orang yang tersayang. | ||
Barisan Nasional Nak Berhentikan Air Percuma -Apa Kata Rakyat Selangor? Posted: 07 Aug 2012 10:51 PM PDT Sedar tak sedar, dah lebih 4 tahun rakyat negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat menerima air percuma 20 meter padu setiap bulan. Rata-ratanya, ramai yang menikmati kaedah air percuma ini. Namun begitu, ada ura-ura mengatakan sekiranya Barisan Nasional berjaya merampas Selangor dari Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum-13 yang semakin hampir ini, dasar pemberian air percuma akan dihentikan dan diganti dengan kadar tarif air yang tidak membebankan. Kita sudah sedia maklum, kena faham dengan ayat-ayat orang politik ini.Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menempelak kerajaan Pakatan Rakyat kerana menolak projek Loji Rawatan Air Langat 2, yang kosnya mencecah 8 bilion kerana mendakwa bahawa air terawat di Selangor dalam keadaan kritikal oleh kerana loji rawatan sedia ada yang tidak berfungsi dengan efisien. Kami meletakkan keputusan di tangan anda? Mahu air percuma atau mahu kadar tarif air tidak membebankan.Buat pilihan anda. Mana Satu Yang Menjadi Pilihan Anda? | ||
Terjejas Pendapatan, Lebih 150 Nelayan Bantah Kolam Udang Miliki Noh Omar Posted: 07 Aug 2012 10:48 PM PDT TANJONG KARANG : Kira-kira 150 petani dan nelayan mengadakan perhimpunan aman di hadapan pintu masuk projek kolam udang yang didakwa dimiliki oleh Datuk Seri Noh Omar di mana kewujudan kolam berkenaan menjejaskan sumber pendapatan mereka. Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berucap dalam bantahan itu berkata, Noh selaku Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani tidak wajar terlibat dalam projek penternakan udang itu kerana ia akan mewujudkan percanggahan kepentingan. Suee Lim mendakwa memiliki dokumen yang menunjukan Noh memiliki tanah kerajaan semasa pentadbiran BN sedangkan rakyat Tanjong Karang dan Sungai Burong sukar untuk mendapatkan tanah bagi membina rumah. "Tetapi ada pemimpin dapat tanah bukan satu dua ekar tetapi dapat 30 ekar iaitu Noh Omar yang merupakan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang, apa keistimewaan Noh Omar rakyat hendak tanya"? soal Suee Lim. Menurut Suee Lim, beliau mendesak Noh tampil memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung kaitannya dengan projek kolam itu pada kadar segera. "Kalau Noh gagal menjawab persoalan yang kita bangkitkan kenapa beliau boleh mendapatkan 30 ekar tanah dan apakah keistimewaan beliau, maka beliau perlu meletakkan jawatannya," tegas Suee Lim. Dakwanya lagi, dalam dokumen yang perolehinya itu menunjukkan adanya akuan bersumpah yang menunjukkan adanya kerjasama antara Noh dengan syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd yang melaksanakan projek penternakan udang itu. Sementara itu, Naib Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Misran Serman berkata kawasan itu tidak wajar diterokai kerana ia adalah tanah simpanan hutan kayu bakau yang dijadikan sebagai pemampan daripada berlakunya hakisan pantai. "Sebelum ini apabila penduduk kampung membuat penerokaan hutan akan ditangkap oleh Jabatan Hutan. "Dalam jarak 100 meter daripada pantai tidak boleh dilakukan aktiviti pertanian dan ini menyalahi akta alam sekitar," katanya. Misran mendakwa sejak kewujudan kolam udang ini disyaki hasil kerang dan laut berkurangan sehinggakan menjejaskan pendapatan nelayan. "Saya anggarkan yang terjejas daripada kewujudan kolam udang ini lebih daripada 1,000 orang,sekarang ini mereka tidak dapat pergi ke laut untuk mencari hasil," katanya. Sebelum ini, petani Manan Osman,54, mendakwa sebelum wujudnya kolam udang ini pendapatan para petani di kawasan ini agak lumayan berbanding sekarang ekoran kehadiran monyet-monyet yang banyak memasuki kawasan pertanian ekoran penerokaan hutan yang menjadi habitat hidupan liar itu. "Saya memang membantah sekeras-kerasnya projek ini.Sikap Noh Omar tidak memahami hati rakyat,petani terlalu risau memikirkan bagi mengatasi masalah yang dihadapi kami sekarang," ujarnya. Sehingga berita ini ditulis, usaha Selangor Kini menghubungi Setiausaha Politik kepada Noh iaitu Datuk Mohammed Shafie Asnami untuk mendapatkan respon berkenaan bantahan petani berkenaan belum berhasil kerana beliau diberitahu masih berada dalam mesyuarat. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan