Selasa, 21 Ogos 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


ABU Akan Menentang Pengganti Umno Yang Zalim

Posted: 21 Aug 2012 02:38 AM PDT





PUCHONG  : Rakyat harus memilih pemerintah yang mempunyai integriti dan kredibiliti pentadibiran agar hak mereka terjamin tidak kira daripada mana-mana parti politik.

Aktivis gerakan Asal Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim menjelaskan, fokus utama kini adalah menumbangkan pentadbiran Umno-BN di Putrajaya bagi membolehkan negara menyaksikan pemerintah baru.

Akan tetapi, perkara sama juga akan dibuat jika pemerintah baru gagal memenuhi aspirasi rakyat.
"Kita sudah bertekad dalam PRU-13 (pilihanraya ke-13) Umno akan ditumbangkan. Satu kerajaan baru akan ditubuhkan di Putrajaya.

Objektif gerakan itu, iaitu untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional, dikritik kerana ia seolah-olah hanya tertumpu kepada kesalahan parti itu tetapi membisu terhadap keburukkan parti lain.

"Kalau kerajaan itu tidak telus dan ikhlas, yang penting rakyat akan belajar daripada PRU-13, kuasa bersama dengan rakyat," ujar Haris.

"Kalau hari ini kita tumbangkan Umno, esok mana-mana kerajaan yang bertempat di Putrajaya kalau tidak mentadbir secara terbuka, rakyat boleh tumbangkan," tegasnya dalam program wawancara Terus Terang terbitan TV Selangor baru baru ini.

ABU mula dilancarkan pada 15 Disember 2011 dengan memberi fokus terhadap empat kepincangan pemerintahan Umno-BN iaitu kenaikan harga barang, undang-undang zalim, politik perkauman dan pembinaan loji nadir bumi Lynas.

Ujar beliau lagi, ABU sama sekali tidak pernah menentang pembela hak orang Melayu.


Sebaliknya ABU menentang pihak yang sekian lama berselindung di belakang slogan 'kita membela hak orang Melayu' namun merompak dana kekayaan negara.

"Orang kena faham ABU bukannya perjuangan kaum, ini adalah perjuangan rakyat yang selama ini tertindas, miskin dan ketinggalan.

"Walaupun kononnya Mahathir (bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed) mengatakan Malaysia pada 2020 akan menjadi negara membangun walhal rakyat masih ketinggalan.

"Kita menentang Umno bukan sebab kononnya Umno membela hak Melayu. Umno bersama kroni-kroni sudah sekian lama rampas kekayaan negara. Kita bukan menentang hak mana-mana kaum," ujar Haris.

Wanita Yang Bertudung, Ingatlah Sebelum Kena

Posted: 21 Aug 2012 02:30 AM PDT

KELAB GREENBOC

Dalam kerancakan masa sekarang, kita banyak mendengar perubahan dan hijrah yang dilakukan oleh seseorang demi untuk memperbaiki kehidupan kita ke arah yang lebih baik.

Rata-rata dari kita, ternyata dan pastinya akan mendapat hidayah dari Allah S.W.T untuk melakukan perubahan yang baik.

Semuanya akan berlaku sama ada dengan cepat atau lambat yang kita sendiri tidak ketahui.

Kadang-kadang, apabila melakukan hijrah diri, kita perlu untuk memahami niat dan beberapa konsep yang diajar dalam agama Islam.

Bagi yang terdetik untuk mendalami ilmu agama dan ingin meninggalkan perkara yang buruk termasuklah dari segi pemakaian baju, itu sesuatu yang patut kita syukuri.

Itu adalah kisah ingin berhijrah.

Penulis terjumpa satu blog yang boleh dikatakan memalukan dan mengaibkan diri seseorang.

Di blog http://tudung-candid.blogspot.com/ (blog ini sudah dipadamkan oleh tuanpunya -GB), terlalu banyak gambar yang dipaparkan yang boleh mendatangkan perasaan marah dan geram.

Semuanya adalah gambar wanita yang bertudung bermacam-macam jenis dan fesyen yang digayakan mengikut perkembangan zaman sekarang ini.

Terlalu banyak entri menulis tentang wanita yang bertudung ditulis beserta lengkap dengan gambar-gambar wanita bertudung.

Tajuk-tajuknya juga terlalu 'pedas' dan menusuk hati kalau dibaca.

Mungkin si penulis blog itu mempunyai niat untuk menegur wanita-wanita yang bertudung zaman sekarang untuk bertudung mengikut hukum Islam.

Cuma, bagi penulis, cara dan ayat yang digunakan adalah sama sekali tidak sesuai.

Malah, gambar-gambar yang ditangkap dan dimuat naik juga adalah secara 'candid'. Jadi, mudahlah si penulis blog untuk menulis entri yang 'tajam' seperti itu.

Nak-nak lagi, menulis blog dan membuat blog itu adalah terlalu bebas diamalkan pada masa ini.

Jadi, bagi wanita-wanita yang diluar sana yang memakai tudung, sama-samalah kita mengingatkan diri kita tentang hukum-hukum cara bertudung dan berpakaian.

Supaya, tidak menjadi mangsa kritik bagi sesetengah pihak.

Yang baik itu datang dari Allah S.W.T, yang buruk itu lahirnya dari diri kita sendiri. -mynewshub




Menteri Besar Johor jelaskan isu penempatan semula kubur

Posted: 21 Aug 2012 02:19 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

JOHOR BAHARU — Menteri Besar Johor hari ini menjelaskan bahawa perkuburan Islam tidak dipindahkan untuk memberi laluan pembinaan projek Kompleks Besepadu Penapisan dan Petrokimia (Rapid) bernilai RM60 bilion di Pengerang.

Datuk Abdul Ghani Othman (gambar) turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri bekerjasama erat dengan persatuan-persatuan Cina untuk mencari penyelesaian terbaik bagi penempatan semula tanah perkuburan Cina.

Abdul Ghani berkata demikian dalam kenyataan di sini hari ini bagi mengulas laporan akhbar yang memetik kenyataan timbalan pengerusi MCA Johor Datuk Hoo Seong Chang semalam mengenai projek Rapid dan penempatan semula tanah perkuburan Cina.

Chang ketika ditemui pemberita berkata MCA Johor akan bertemu anggota keluarga 3,000 kubur Cina yang akan terjejas dengan penempatan semula perkuburan itu.

Mengenai laporan akhbar yang mengatakan 100 laporan polis diterima oleh polis Kota Tinggi daripada penduduk Pengerang berhubung isu penempatan semula tanah perkuburan itu, Abdul Ghani berkata ia bukan hanya mengenai isu tanah perkuburan, tetapi termasuk mengenai perkara lain berkaitan pembangunan minyak dan gas Pengerang. — Bernama

Anwar: Umno cemburu Pas-DAP akrab

Posted: 21 Aug 2012 02:14 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
PERMATANG PAUH - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno BN sangat takut dengan keakraban komponen parti dalam Pakatan Rakyat khususnya antara Pas dan DAP.

Menurutnya, selagi keakraban antara parti-parti ini kuat, selagi itu Umno BN takut untuk mengumumkan tarikh pilihan raya umum.

Ketua Umum PR melahirkan pendirian ini ketika ketiga-tiga anggota perikatan - PKR, DAP dan Pas berhadapan dengan serangan bertubi-tubi.

Sebab itu katanya, Umno BN sekarang ini sedang sedaya upaya cuba memecahbelahkan kedua-dua parti ini dengan memainkan pelbagai isu yang boleh menimbulkan pertentangan.

"Umno BN menanti perpecahan dalam Pakatan rakyat diantara DAP dengan Pas atau PKR baru mereka dapat menyusun semula strategi sepertimana lazimnya," kata beliau dipetik Harakahdaily, hari ini.

Anwar berkata, berbaga-bagai isu dicanangkan, namun tidak merosakan benteng antara DAP dan Pas.

"Itulah kekuatan kita yang terjalin atas sikap tanggungjawab terhadap kestabilan negara," katanya.

Tambah beliau, pemimpin Pakatan Rakyat tidak perlu untuk mengikut 'tarian' perkauman Umno-BN, sebaliknya melipat gandakan usaha mewujudkan suasana harmoni kalangan kaum.

"Jika kita tidak melatah, apa (jua) isu yang dibangkitkan Umno BN akan mati begitu sahaja.

"Biarkan Umno BN menari seorang dengan berbagai gaya, kita jangan ikut sebaliknya memerhati dengan serius mudah-mudahan mereka letih sendiri.

"Pakatan Rakyat teruskan usaha mendekati rakyat di samping kemaskan jentera di semua peringkat, " tegasnya.

MCA Kedah setuju hudud

Posted: 21 Aug 2012 02:11 AM PDT

MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI

Datuk Chong Itt Chew
Datuk Chong Itt Chew
 
ALOR SETAR - Ini sesuatu yang amat mengejutkan. Di sebalik kelantangan pucuk pimpinannya membantah sebarang cadangan untuk melaksanakan hudud di negara ini, MCA Kedah tiba-tiba sahaja membuat kenyataan yang menongkah arus - bersetuju - dengan undang-undang Islam itu.

Pengerusinya, Datuk Chong Itt Chew berkata, rasionalnya mudah, hudud tidak melibatkan orang bukan Islam.

"Sekiranya pelaksanaan undang-undang itu (hudud) membawa kebaikan kepada rakyat dan negara, ia tidak akan jadi masalah termasuk kepada orang bukan Islam. DAP juga tidak patut membantah," katanya di sini, semalam.

Itt Chew berkata, dalam keadaan sekarang, Pas yang memperjuangkan pelaksanaan hudud sejak penubuhannya, harus menimbang semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat (PR) apabila DAP yang menjadi rakan sekutunya dalam pakatan itu berterusan menolak hudud.

"Pas mesti buat keputusan yang lebih baik dengan meninggalkan PR.

Selagi bersama PR, Pas tidak akan berjaya melaksanakan hudud," katanya.

Dalam situasi begini, kata Itt Chew, Pas harus menyertai Umno dan BN untuk membina sebuah negara Islam yang lengkap.

"MCA Kedah akan setuju jika Pas ingin menjalin kerjasama dengan Umno untuk meneruskan perjuangan Pas. Pas harus menerima setiap polisi yang ditetapkan parti dan tidak meletakkan sebarang syarat.

"Saya melihat gabungan Umno dan Pas adalah satu tindakan yang baik demi masa depan rakyat dan negara," katanya.

Beberapa hari lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Umno boleh melaksanakan hudud jika Pas sedia bergandingan dengan parti itu untuk membangunkan sebuah negara Islam.

Menurutnya, Umno amat mengalu-alukan kerjasama Pas jika ia berpisah dari PR.

"Pelaksanaan hudud hanya dapat dilakukan jika Pas menyertai Umno untuk bersama-sama membina negara dan menggubal perundangan Islam," katanya.

Sebelum itu, anggota Majlis Syura Ulama Pas, Nasharudin Mat Isa menyatakan sudah sampai masa bagi parti itu menimbang kedudukannya dalam PR berikutan penolakan berterusan oleh DAP terutama pengerusinya, Karpal Singh terhadap undang-undang hudud

DAP desak A-G gunakan seksyen 114A terhadap Pemuda Umno

Posted: 21 Aug 2012 02:04 AM PDT


KUALA LUMPUR— Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) hari ini medesak peguam negara (AG), Tan Sri Abdul Ghani Patail agar menggunakan pindaan seksyen 114A, Akta Keterangan untuk mendakwa pemuda Umno berhubung dengan satu gambar yang dipapar dalam laman Facebook rasmi pergerakkan tersebut mengatakan bahawa undi untuk Pakatan Rakyat (PR) akan menyebabkan agama Kristian menggantikan Islam sebagai agama persekutuan.

Menurutnya, ini bagi membuktikan bahawa pindaan akta tersebut akan digunakan terhadap semua pihak dan bukan hanya kepada musuh politik Barisan Nasional (BN).

"Kami mendesak AG, oleh kerana beliau mempertahankan pindaan Akta Keterangan agar mendakwa pemuda Umno diatas paparan gambar tersebut.

"Selepas akta tersebut dipinda, seseorang yang dituduh bersalah terlebih dahulu sebelum diberi peluang membela diri," katanya dalam rakaman audio yang dikirim kepada The Malaysian Insider hari ini.

Pemuda Umno melalui ketua pemuda Taman Tun Dr. Ismail, Ibdillah Ishak walaubagaimanapun telah membuat satu laporan polis semalam menafikan laman Facebook tersebut milik mereka.

Lim juga menjelaskan beliau tidak menyokong pindaan seksyen 114A, Akta Keterangan akan tetapi mahu melihat sejauh mana kerajaan tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam melaksanakan pindaan akta tersebut.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sebelum ini menyatakan mereka tidak lakukan perkara tersebut.

"Mereka cakap sejak 2009 mereka sudah tak aktif.

"Kalau mengikut undang-undang ini, beban untuk membuktikan sama ada mereka bersalah atau tidak adalah ke atas pihak yang diadu dan bukan kepada pihak pendakwaraya.

"Biasanya dalam kes-kes mahkamah pendakwaraya mesti buktikan mereka bersalah bukan yang didakwa tetapi selepas pindaan ke atas Akta Keterangan sekyen 114A, sekarang beban terletak diatas mereka yang didakwa, sudah terbalik dan sebab itulah ia dibantah oleh semua peguam dan juga masyarakat Madani sebagai suatu ancaman atau pencabulan kepada kebebasan maklumat dan kebebasan berinternet," katanya.

Pindaan seksyen 114A, Akta Keterangan telah mendapat tentangan hebat daripada pembangkang, NGO dan beberapa ahli parlimen dan senator BN.

Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mesejnya di Twitter menyatakan bahawa kerajaan akan mengkaji semula pindaan akta tersebut.

Walaubagaimanapun menteri penerangan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata seksyen 114A akan diteruskan untuk melindungi pengguna internet di Malaysia.

Chong Wei mahu tubuh yayasan bantu anak yatim

Posted: 21 Aug 2012 02:01 AM PDT

MALAYSIA KINI
 
Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berhasrat menubuhkan sebuah yayasan kebajikan bagi membantu anak yatim dan golongan yang memerlukan.
  
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2012 London itu berkata yayasan sempena namanya akan didaftarkan dalam masa terdekat.
  
Bercakap kepada Bernama TV di majlis rumah terbuka bekas ratu pecut negara Datuk Mumtaz Jaafar di ibunegara semalam, Chong Wei berkata: "Saya memang berhasrat menubuhkan yayasan itu sejak sebelum Olimpik lagi.
  
NONE"Namun, hasrat itu terpaksa ditangguhkan buat seketika bagi memberi lalulan kepada temasya sukan Olimpik agar fokus untuk mendapatkan pingat emas tidak terganggu."
  
Tambah Chong Wei, penubuhan sebuah yayasan bukan satu perkara mudah kerana memerlukan khidmat ramai tenaga kerja.
  
"Ini adalah impian saya sejak dulu lagi. Ini memerlukan perancangan yang rapi dan bantuan dari ramai orang. Abang dan kawan-kawan saya akan membantu saya melaksanakan hasrat saya," katanya.
  
Pemain kelahiran Bukit Mertajam itu berkata kini merupakan masa yang paling sesuai untuk melaksanakan tanggungjawab sosialnya bagi meringankan beban anak-anak yatim serta golongan yang memerlukan bantuan.
  
"Yayasan ini adalah cara saya untuk kembali berjasa kepada masyarakat yang sentiasa mendoakan kejayaan saya serta menyokong saya di pentas badminton dunia," kata Chong Wei.
  
Walaupun serius di gelanggang badminton, aktiviti kebajikan bukanlah satu perkara baru untuk pemain badminton yang berjiwa rakyat ini.
  
Sebelum ini, Chong Wei pernah terlibat dalam mengumpul dana amal 'Hope and Smile' bagi membantu mangsa tsunami dan gempa bumi Jepun melalui perlawanan kebajikan tahun lalu.- Bernama

Air mata Syawal, persiapan hangus menjelang 1 Syawal

Posted: 21 Aug 2012 01:59 AM PDT

RUBIAH OMAR

KUALA TERENGGANU - Ketika umat Islam lain begitu teruja membuat persiapan menyambut 1 Syawal bersama ahli keluarga, sepasang suami isteri hanya mampu mengalirkan air mata melihat segala persiapan Aidilfitri mereka musnah sama sekali dalam satu kejadian kebakaran rumah di Kampung Banggol Karah, Serada di sini, Sabtu lalu.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu bukan sahaja kelengkapan hari raya pasangan Abdul Aziz Embong, 52, dan isterinya Noraini Salleh, 54, hangus, tetapi lebih menyedihkan kediaman dua tingkat mereka turut musnah sepenuhnya.

Menceritakan semula kejadian, Abdul Aziz berkata, sebelum itu, dia sedang duduk berehat di ruang tamu rumah sementara menunggu waktu berbuka puasa sebelum ternampak percikan api dari ruang atas rumah.

"Ketika itu, saya, isteri bersama empat anak dan seorang menantu yang baru pulang semata-mata ingin menyambut Aidilfitri, berada di rumah.

"Kami tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda termasuk persiapan hari raya serta dokumen-dokumen penting kerana api merebak terlalu cepat," katanya sebak.

Bagaimanapun, Abdul Aziz bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Pegawai Kanan Bomba 11, Badrul Hisham Othman berkata, sebanyak dua jentera dengan kekuatan 14 anggota berjaya mengawal keadaan dalam tempoh 10 minit walaupun sebelum itu terpaksa berdepan masalah kesesakan lalu lintas melampau.

Katanya, punca kejadian dipercayai akibat masalah lintas pintas dan kerugian dianggarkan kira-kira RM20,000.

Jalan sesak akibat kemalangan

Sementara itu, seorang maut manakala dua cedera parah dalam satu kemalangan melibatkan pertembungan tiga buah kereta di KM17 Jalan Terengganu/ Kelantan di Tepoh, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kejadian kira-kira jam 4.10 petang itu melibatkan sebuah kereta jenis Naza Citra, sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback serta sebuah kereta Perdana.

"Mangsa yang berasal dari Bukit Payung, Marang yang merupakan pemandu kereta Naza Citra maut di lokasi kejadian kerana dipercayai luka parah di kepala, manakala empat lagi ahli keluarganya hanya mengalami cedera ringan dan mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ), disini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurut Zamri, dua mangsa yang cedera parah berasal dari Alor Jambu, merupakan penumpang kereta Proton Perdana, manakala dua lagi penumpang lain hanya cedera ringan dan kesemua mereka menerima rawatan di HSNZ.

"Kedua-dua mangsa melibatkan seorang bapa dan seorang anak dan kini kedua-dua beranak itu sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSNZ.

"Bagaimanapun penumpang Proton Wira Aeroback tidak cedera," katanya.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu menurut Zamri, keadaan lalu lintas agak sesak di lokasi kejadian berpunca daripada sikap kurang prihatin pemandu lain yang memperlahankan kenderaan semata-mata ingin melihat kejadian itu.

"Namun lalu lintas berjaya dikawal selepas ketiga-tiga kenderaan terbabit dialihkan," katanya.

KJ: 'Kami akan bukti FB bukan Pemuda Umno kendali'

Posted: 21 Aug 2012 01:57 AM PDT

RAZIATUL HANUM A. RAJAK

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
 
SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan, pihaknya akan membuktikan laman sosial Facebook kontroversi, yang didakwa membawa mesej berbaur hasutan, bukan dikendalikan oleh pihaknya.

Menjawab siri pertanyaan dan respons daripada pengikut Twitternya, Khairy berkata, pihaknya juga akan menyiasat sama ada wujud unsur sabotaj.

Buat hari kedua berturut-turut semalam, Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) menegaskan, akaun yang menjadi tumpuan ramai tidak dikendali atau diuruskan oleh sayap muda Umno itu.

Sebelum ini, Pemuda Umno Pusat menafikan bahawa akaun 'fan page' yang didaftarkan atas nama Pemuda Umno Malaysia itu dikendalikan pergerakan tersebut.

Seorang pengikut, Geminianeyes berkata:  "It's hard to buy 'unsanctioned' page excuse when FB link on your official site points to profile that likes said page."

Khairy menjawab: "Laman FB ini tidak disekat dan tidak ditadbir oleh Pemuda Umno."

Kemudian Geminianeyes mempersoalkan: "Jika ia bukan sesuatu yang dibenarkan, mengapa ia dipaut 'Liked' menerusi profil FB dari laman anda? Melainkan  http://www.pemudaumno.org.my/ bukan milik anda," katanya.

Seorang pengikut yang lain, Dinesh Nair mengaitkan dengan isu Seksyen Akta Keterangan, dengan antara lain mengatakan bahawa, "di bawah (Seksyen) 114A, beban adalah pada Pemuda.
Langkah baik anda melahirkan bantahan ke atasnya."

Khairy, Ahli Parlimen Rembau, sebelum ini telah meminta agar kerajaan mengkaji semula Seksyen 114A, yang diluluskan oleh Parlimen April lalu.

Khairy berkata, susulan laporan polis yang sudah dibuat petang semalam, tiada masalah bagi Pemuda Umno dan BN untuk membuktikan perkara berkenaan bukan dilakukan oleh pihaknya.

Sekali lagi Dinesh Nair menimbulkan persoalan kemungkinan ia perbuatan sabotaj dalaman.

Khairy membalas respons dengan mengatakan bahawa perkara itu akan disiasat tetapi beliau percaya tiada seorang pun di Pemuda Umno Pusat yang mengendalikan akaun Facebook tersebut.

Semalam Sinar Harian melaporkan Pemuda Umno Pusat mahu pihak polis menyiasat kewujudan satu akaun laman sosial Facebook kontroversi, yang membawa mesej undi kepada Pakatan
Rakyat (PR) bermakna sokongan kepada usaha menjadikan Kristian sebagai agama persekutuan, "seolah-olah" dikendalikan oleh pergerakan itu.

Laporan dibuat oleh Setiausaha Kerja Pemuda BN, Ibdillah Ishak di Balai Polis Tun H S Lee.

Laman itu memaparkan wajah Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di bahagian utama dan disusuli dengan siri laporan berkaitan dengan aktiviti pemimpin-pemimpin Umno khususnya dari Selangor.

Poster yang kontroversi itu membawa mesej bahawa "Jika anda setuju untuk jadikan KRISTIAN sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia, teruskan sokongan anda kepada Pakatan Rakyat. 'God bless you my son' (Tuhan berkatimu, anakKu)."

Akaun itu masih aktif tetapi poster berkenaan telah dialihkan Ahad lalu.

Aidilfitri bantu kempen PAS Kelantan?

Posted: 21 Aug 2012 01:54 AM PDT

Jimadie Shah Othman & Abdul


Kedatangan Aidilfitri pastinya dinanti-nantikan seluruh umat Islam; bagaimanapun bagi PAS Kelantan, manisnya mungkin berganda.

Ini kerana, sebagai parti pemerintah, mereka lebih berpeluang menganjurkan pelbagai program sambutan menjelang dan semasa Hari Raya, termasuk mendekati anak negeri yang berperantauan.

Bagi pemerhati politik, keadaan ini amat menguntungkan, lebih-lebih lagi jika pilihan raya berlangsung tidak lama selepas hari raya Aidilfitri.

Dalam pilihan raya umum lalu, parti Islam itu berjaya bangkit daripada kemenangan tipis pada 2004 dengan meninggalkan BN hanya enam daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Sebuah lagi kerusi dimenangi sekutunya PKR.

Kejayaan itu dianggap pelbagai pihak ekoran kejayaan mereka mendekati golongan muda dan pengundi luar negeri Cik Siti Wan kembang itu.

"Setelah belajar daripada 2008, strategi ini mungkin digunakan kembali. Sebabnya, pengundi dalam negeri, di kampung-kampung dapat dicula dengan mudah. Siapa memang dan jumlah undinya sudah tahu.

"Tetapi ini tidak boleh dibuat terhadap pengundi yang baru pertama kali mengundi dan pengundi luar daripada Kelantan," kata penasihat eksekutif Ilham pusat tinjauan bebas Ilham Center Hisomuddin Bakar.

Hisomuddin berkata, golongan itu amat penting didekati kerana mewakili kira-kira 30 peratus daripada seluruh pengundi negeri itu.

Katanya, walaupun program sambutan perayaan hanya mampu menambahkan sokongan paling banyak sehingga 5 peratus, tetapi ia penting bagi PAS untuk mengekalkan sokongan sedia ada, sekitar 70 peratus daripada pengundi luar.

BN boleh ambil pendekatan sama


Malah, terdapat cakap-cakap bahawa Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat kini terpaksa bertungkus lumus menemui seramai mungkin pengundi luar menjelang pilihan raya yang dijangka tidak lama lagi dengan mengambil peluang sempena ketibaan Hari Raya.

Bagaimanapun, menurut seorang aktivis persatuan anak negeri, tindakan yang sama juga mungkin diguna pakai musuh politiknya daripada BN.

"BN pun mungkin sudah belajar daripada kesilapan pada 2008. Dulu mereka tak kisah pun dengan persatuan anak negeri (Kelantan di perantauan)," kata Penasihat Persatuan Anak Darul Naim Selangor dan Kuala Lumpur (PERSADA), Wan Johari Wan Omar.

Ditanya tentang isu utama yang boleh mempengaruhi undi golongan itu, Wan Johari berkata, ia masih berkitar soal kemudahan akses ke negeri itu, termasuk pembinaan lebuh raya.

"Isu lapangan terbang, kena banyak penerbangan, jalan nak balik mesti mudah dan bila dah sampai sana mesti tak sesak. Itu sebab menteri besar sebelum ini umum projek Lebuh Raya Rakyat baru-baru ini," katanya lagi.

PERSADA adalah antara NGO yang aktif selain Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan) yang dianggap sebagai "badan payung".
PAS Kelantan nafi sokongan merosot

PAS Kelantan ketika dihubungi Malaysiakini bagaimanapun menolak tanggapan bahawa PAS kini lemah sehingga terpaksa menggunakan sambutan hari raya untuk berkempen.

Sebaliknya, sokongan rakyat termasuk di perantauan kepada kepimpinan Nik Aziz dikatakan semakin bertambah sejak berjaya menekan kerajaan pusat dalam isu royalti minyak dan gas yang dituntutnya.

"Itu (sokongan merosot) tidak betul. PAS Kelantan dan Pakatan Rakyat mendapat sokongan daripada rakyat secara menyeluruh.

"Ini kerana isu-isu tempatan seperti royalti, bukan kerajaan negeri sahaja yang tuntut, tetapi rakyat sendiri kini juga menuntut," kata ketua penerangannya Dr Mohd Fadzli Hassan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Temangan itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ia "memberi kesan" kepada PAS dan Pakatan Rakyat sekiranya majoriti anak Kelantan tidak pulang untuk mengundi.

"Mereka ingin mengetahui suasana politik di Kelantan seperti mereka buat (majlis berbuka puasa) baru-baru ini di Karangkraf (di Shah Alam).

"Kita buat sekerap mungkin untuk penduduk luar Kelantan mengetahui suasana politik," katanya lagi.

Sementara itu, seorang pemimpin kanan yang enggan namanya disebut berkata, kebimbangan terhadap kemerosotan sokongan anak negeri hanya tanggapan yang sentiasa ditimbulkan apabila pilihan raya semakin hampir, yang didakwanya menjadi trend sejak 1990.

"Bagi saya kebimbangan itu sentiasa wujud disebabkan konfrontasi parti politik sebagai permainan fikiran untuk menarik sokonga rakyat," katanya.

Umno takut keakraban PAS-DAP - Anwar

Posted: 21 Aug 2012 01:50 AM PDT

Mohd Sabri Said,

PERMATANG PAUH: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno BN sangat takut dengan keakraban komponen parti dalam Pakatan Rakyat khususnya antara PAS dan DAP.

Menurutnya, selagi keakraban antara parti-parti ini kuat, selagi itu Umno BN takut untuk mengumumkan tarikh pilihan raya.

Sebab itu katanya, Umno BN sekarang ini sedang sedaya upaya cuba memecahbelahkan kedua-dua parti ini dengan memainkan pelbagai isu yang boleh menimbulkan pertentangan.

"Umno BN menanti perpecahan dalam Pakatan rakyat diantara DAP dengan PAS atau PKR baru mereka dapat menyusun semula strategi sepertimana lazimnya.

"Berbagai isu dicanangkan namun tidak merosakan benteng antara DAP dan PAS.  Itulah kekuatan kita yang terjalin atas sikap tanggungjawab terhadap kestabilan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumah terbuka Aidil Fitri  Parlimen Permatang Pauh dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti di halaman Pejabat Pusat Khidmat Dun Penanti semalam.

Tambah beliau lagi, pemimpin Pakatan Rakyat tidak perlu untuk mengikut 'tarian' perkauman Umno BN sebaliknya melipat gandakan usaha mewujudkan suasana harmoni kalangan kaum.

Jika kita tidak melatah katanya, apa isu yang dibangkitkan Umno BN akan mati begitu sahaja.

"Biarkan Umno BN menari seorang dengan berbagai gaya, kita jangan ikut sebaliknya memerhati dengan serius mudah-mudahan mereka letih sendiri.

"Pakatan Rakyat teruskan usaha mendekati rakyat di samping kemaskan jentera di semua peringkat, " tegasnya.

Amaran keras MCA: Di mana suara ulama Umno, mufti

Posted: 21 Aug 2012 01:45 AM PDT

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri umat Islam di negara ini dicemari dengan penghinaan-penghinaan terhadap Islam.
Demikian kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor ekoran Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim yang telah mengeluarkan satu kenyataan kelmarin dengan berkata jika Selangor dan negeri-negeri lain di negara ini dikuasai atau kekal di bawah pemerintahan BN, ia tidak akan menjadi negara Islam.

"Saya menganggap kenyataan Pengerusi MCA Selangor ini amat keras dan keterlaluan serta jelas berbaur anti Islam," ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, dalam keadaan negara ini yang diiktiraf sebagai sebuah negara Islam, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.

"Beliau seolah-olah merendah-rendahkan kedudukan agama Islam di negara ini.

"Apakah beliau lebih berkuasa daripada perlembagaan negara serta majoriti rakyat di negara ini?" ujarnya.

Dalam keadaan demikian, kata beliau tidak sedikitpun pemimpin Umno yang kononnya juara Islam bangkit mengecam pemimpin MCA tersebut.

Katanya lagi, Barisan Nasional bukan baharu tahun ini ditubuhkan, tetapi ia sudah menjangkau puluhan tahun lamanya.

Beliau berkata, Umno yang mengaku sebagai parti Islam dan pemimpin sebuah gabungan parti-parti di negara ini yang bernama Barisan Nasional, ternyata gagal mendakwahkan parti komponennya supaya menghormati Islam.

Tambahnya, selama berpuluh tahun Umno sanggup membiarkan MCA dan parti-parti lainnya jahil terhadap Islam malah sehingga sanggup menghina agama Islam.

Riduan menambah, agak menjengkelkan kerana ada pihak terlalu kuat menghentam DAP yang dikatakan anti Islam sehingga ada kenyataan menyatakan haram mengundi DAP dalam pilihanraya umum.

Tambahnya, tetapi apabila MCA secara jelas dan bangga menyatakan pendiriannya menolak sebuah negara Islam, tiada seorang pun ulama Umno yang bersuara.

"Di mana suara para mufti dan ulama dalam hal demikian?" soal Riduan.

Malah, ujarnya Presiden MCA pernah mengugut untuk berpisah dengan Umno jika Umno mahu laksanakan hudud.

"Apakah hukumnya mengundi parti yang secara berterus-terang menolak negara Islam di negara ini?" katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta para ulama Umno mengeluarkan kenyataan dan pendirian jelas berhubung kenyataan terbaru.

Riduan juga meminta para ulama termasuk para mufti menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan pemimpin MCA ini.

"Saya juga mencabar supaya Presiden Umno menyatakan pendiriannya dan memberi amaran keras terhadap MCA, jika tidak pun terus menyingkir keluar MCA dari BN," tegasnya.

PRU13: Anwar sah pertahan Permatang Pauh

Posted: 21 Aug 2012 01:43 AM PDT

SINAR HARIAN

Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
BUTTERWORTH - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sah akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Beliau yang juga Ketua Umum PRR membuat pengesahan tersebut ketika ditanya mengenai calon PKR yang akan dikemukakan oleh parti itu pada pilihan raya umum nanti.

"Tiada sebarang pengesahan siapa akan bertanding di kerusi Parlimen atau Dewan Undang Negeri (Dun) mana, kecuali saya yang sah akan bertanding di Permatang Pauh," katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, di Pusat Khidmat PKR Guar Perahu di sini hari ini.

Pada 2008, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkang kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding pada pilihan raya kecil untuk kerusi tersebut.

Pada pilihan raya kecil itu, Anwar mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Arif Shah Omar Shah daripada Umno dan Hanafi Mamat daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) dengan majoriti 15,671 undi.

Dalam pada itu, Mansor berkata PKR Pulau Pinang akan mengemukakan 30 peratus muka baharu sebagai calon pada PRU13.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bilangan dan identiti calon terbabit, sambil menyifatkan mereka dipilih berdasarkan sifat tanggungjawab untuk berjuang dan berkhidmat demi masyarakat.

Mansor juga enggan mengulas sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Dun Penanti dan bertanding kerusi Parlimen Nibong Tebal.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Nenek 76 tahun kena cabul

Posted: 21 Aug 2012 01:04 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

Nenek kena cabul
Loo Moi (kanan) ditemani Pengerusi Rukun Tetangga, Tan Seong Fatt (kiri) dalam sidang media, semalam.
 
IPOH – Rutin harian seorang nenek mengambil angin pada awal pagi bertukar menjadi pengalaman pahit apabila wanita berusia 76 tahun itu menjadi mangsa cabul di kawasan Pasir Pinji,  Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, Kuan Loo Moi dalam perjalanan pulang selepas selesai melakukan senaman pagi bersama rakan-rakannya di taman berhampiran.

Menurutnya, dia yang ketika itu berjalan sendirian menuju ke rumah, merasakan ada seseorang mengekorinya.

"Tiba-tiba seorang lelaki memeluk saya dari belakang dan meraba- raba di setiap bahagian badan," katanya dalam satu sidang media bersama Pengerusi Rukun Tetangga Taman Bunga Raya, Taman Pinji dan Taman Melor, semalam.

Loo Moi berkata, dia menjerit untuk menarik perhatian jiran-jiran berhampiran.

"Pada masa sama, saya berusaha melepaskan pegangan daripada lelaki itu namun pegangannya sangat kuat.

"Tidak lama selepas itu, dia melepaskan dan berjalan tenang ke motosikal yang diletakkan bersebelahan dengan rumah saya," katanya.

Loo Moi berkata, ia merupakan kejadian pertama yang dialaminya dan difahamkan ia merupakan kejadian ketiga berlaku di kawasan perumahannya.

"Anak-anak saya telah meminta saya untuk pindah, tetapi saya dan suami berkeras untuk tinggal disebabkan kemudahan yang terdapat di kawasan ini.

"Kejadian ini tidak mematah semangat saya untuk meneruskan rutin harian berjalan pagi dan meminta semua penduduk berhati-hati," katanya.

Nik Abduh: 'Jika Karpal tentang, apa beza dengan Tun'

Posted: 21 Aug 2012 01:01 AM PDT

MOHD ZAILANI ABD RAHMAN

Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Abduh Nik Abdul Aziz
 
KOTA BAHRU- Tindakan DAP yang berterusan menolak pelaksanaan hukuman hudud bukanlah suatu yang di luar jangkaan Pas, kata Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Sebaliknya beliau berkata, hubungan Pas dengan DAP di dalam Pakatan Rakyat banyak membantu parti itu meyakinkan masyarakat bukan Islam dengan kebenaran dan keadilan hukum Islam.

"Jika secara rasminya mereka masih menolak, tetapi ramai di antara mereka (bukan Islam) yang mula menerima dan tidak menentang perlaksanaannya ke atas masyarakat Islam," katanya ketika menulis dalam blog http://nikabduh.com.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kecaman dari Pengerusi DAP, Karpal Singh yang berterusan mengkritik tindakan Pas yang mahu  melaksanakan hukum hudud.

Nik Abduh yang juga anak kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, penyebab utama lambatnya penerimaan masyarakat terhadap hukum hudud adalah Umno.

"Daripada kata-kata buruk terhadap hukum-hukum Islam oleh para pemimpinnya sehinggalah amaran bertulis oleh Tun Dr Mahathir kepada kerajaan negeri Kelantan suatu ketika dulu, semua itu memberi kesan negatif yang menakutkan masyarakat untuk menerima hukum dan syariat Islam secara menyeluruh.

"Justeru hujah-hujah yang dihulurkan kepada Karpal, itulah yang dihulurkan buat Tun Mahathir. Jika Karpal  terus menentang, apa bezanya dengan Tun? Bahkan apa bezanya dengan Umno? 

Bahkan lagi, selama mana DAP menentang hudud, udara keruh berjerebu itu akan dihirup oleh Umno," katanya.

Justeru, katanya, Pas akan terus menyeru kepada pelaksanaan syariat Islam yang menyeluruh dengan memberi keadilan, kesaksamaan dan keharmonian yang diimpikan oleh rakyat seluruh negara.

Malah katanya, sokongan kepada perlaksanaan hukum hudud dan syariat Islam semakin bertambah, malah masyarakat bukan Islam Islam semakin terbuka untuk bertanya dan berbicara mengenai Islam dan kesaksamaan.

Irfan gembira sambut Aidilfitri

Posted: 21 Aug 2012 12:58 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

logo nur irfan
logo nur irfan
 
SHAH ALAM - Adik Muhammad Nur Irfan Abdul Shukor, 3, yang menghidap salur injap jantung sempit sejak lahir, menyambut Aidilfitri dengan penuh kemeriahan.

Ibunya, Wahiedah Abdul Wahid, 43, berkata, sambutan raya tahun ini beri kegembiraan buat anaknya berbanding tahun sebelum ini.

Menurutnya, tahun lalu, Irfan menghidap demam panas ditambah dengan penyakit jantungnya yang semakin serius, Aidilfitri juga disambut dengan kesedihan memandangkan waktu itu kesihatan Irfan semakin membimbangkan.

"Sejak kebelakangan ini kesihatannya semakin baik, Irfan juga semakin aktif bermain, hari ini (semalam), kami beraya di Bukit Gambir Muar rumah neneknya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, walaupun persiapan raya dibeli saat akhir, tapi kemeriahan beli baju raya masih terasa keseronokannya.

Ditanya mengenai tarikh baru pembedahan Irfan, katanya, mereka masih menunggu keputusan Institut Jantung Negara berhubung tarikh pembedahan anaknya.

"Saya berharap selepas Aidilfitri ini, kami dapat mengetahui tarikh pembedahan dengan cepat. Kami sekeluarga tidak sanggup melihat Irfan semakin menderita dengan penyakit
yang dihadapinya," katanya.

Orang ramai yang prihatin dengan penderitaan adik Irfan, boleh salur sumbangan di akaun Maybank tertera.

Dirempuh, diragut penyamun

Posted: 21 Aug 2012 12:53 AM PDT

NORRIZAH BAHARUDIN

Wanita dilanggar dan diragut
Wanita dilanggar dan diragut
 
 ALOR GAJAH - "Kenapa ni? Kenapa ni? Itulah ayat yang pada mulanya disangka mangsa mahu membantunya selepas dirempuh kereta, sebaliknya hanya alasan si penyamun untuk bertindak
kejam dengan meragutnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang sehari sebelum Aidilfitri itu, mangsa, Siti Zabedah Saad, 41, yang menunggang motosikal jenis Modenas dirempuh sebuah kereta Perodua MyVi bewarna hijau dari arah belakang.

Menurutnya, ketika itu dia dalam perjalanan pulang dan tidak sedar diekori kereta terbabit.

"Saya baru selesai membeli juadah untuk berbuka puasa dan melalui jalan kampung untuk pulang ke rumah.

"Tiba-tiba sewaktu mahu masuk ke simpang jalan menuju ke rumah di sebuah taman di Rembia, saya dirempuh dari belakang menyebabkan saya hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan, sebelum terseret hampir 50 meter," katanya, semalam.

Zabedah berkata, dua lelaki terbabit segera keluar dari kereta dan mendekatinya.

 "Kedua-duanya berkulit gelap.

Mereka yang kelihatan panik berpura-pura  bertanyakan keadaan saya.

"Sambil bertanya, mereka ragut rantai leher saya tetapi tidak sedar buah rantai tersebut tercampak jauh," katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Cheng.

Menyedari dua lelaki terbabit bukan mahu membantunya, dia cuba bangun melawan penyamun terbabit.

"Ketika itu mereka masih lagi mencari-cari barangan untuk dicuri tetapi gagal. Walau sakit, saya kuatkan semangat mengejar mereka yang segera memecut kereta, tetapi malangnya motosikal saya rosak selepas dirempuh,"katanya.

Zabedah berkata, dia bernasib baik kerana dompet yang dibawa berisi empat bentuk cincin, seutas rantai tangan dan wang RM200 terselindung di sebalik motosikal yang terjatuh.

"Kebetulan ketika itu, sebuah kereta peronda polis melalui jalan berkenaan dan membantu membawa saya ke Hospital Alor Gajah mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan," katanya yang cedera di kaki dan tangan sebelah kiri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Permai, Rembia sebelum dilanggar dan diragut dua lelaki menaiki kereta.

"Mangsa tercampak dan terseret selepas dilanggar dua lelaki terbabit yang kemudiannya berpura-pura bertanya keadaannya sebelum meragut rantai leher yang dipakai, dianggarkan bernilai RM2,500.

"Mangsa cedera dan membuat laporan polis di Balai Polis Rembia sebelum kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Tiada ulasan: