Blog-list Malaysia |
- Kerajaan Bayar Gaji Polis.. Duit Tu Duit Umno Ke?
- BN yakin menang 22 kerusi di P.Pinang, tawarkan lebih banyak ‘ganjaran’ menjelang PRU 13
- Shahrizat: 'Saya dizalimkan, dianiaya, diaibkan'
- Krisis Air Selangor - Muhyiddin Perlu Pilih Antara Rakyat Atau Kroni
- Shahrizat Tak Tahu Menahu Tentang Projek NFC
Kerajaan Bayar Gaji Polis.. Duit Tu Duit Umno Ke? Posted: 06 Aug 2012 06:53 PM PDT Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari berkata, anggota polis mengundi BN kerana bimbang dianggap "derhaka dan tidak bersyukur" sekiranya mengundi pembangkang. Fauzi yang menyertai PAS Mei lalu berkata perkara itu timbul kerana "keterikatan" anggota polis kepada kerajaan yang membayar gaji dan elaun kepada anggota pasukan terbabit. "(Ramai anggota polis) berpandangan gaji, elaun dibayar oleh kerajaan. (Mengikut) fahaman kita, kerajaan adalah tak boleh selain daripada BN. "Lantaran itu, (mengikut) fahaman kita, dalam keadaan mengundi, siapa yang tidak mengundi BN itu... akan dianggap sebagai derhaka, atau tidak berterima kasih atau bersyukur kepada orang (kerajaan) yang beri elaun, gaji beri kita makan," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini. Tegasnya, kerajaan dan parti adalah dua perkara yang perlu dibezakan dan anggota polis berhak membuat pilihan masing-masing bagi memilih parti tertentu untuk menerajui kerajaan dalam pilihan raya. "Kita boleh pilih mana-mana (parti), yang lebih baik, telus, jujur, berpegang amanah, tidak menekan (dan) tidak rasuah. "Jadi, jangan ada kekhuatiran, kita nak sokong parti lain, (menyebabkan) kita akan dilabel khianat, derhaka. Tidak timbul sama sekali. Sepatutnya semangat sebegini ada," katanya. Ditanya sekiranya kerajaan memberi tekanan kepada anggota polis supaya menyokong BN dalam pilihan raya, bekas ketua polis Selangor itu berkata perkara itu tidak berlaku. Namun, selagi anggota polis atau penjawat awam lain bekerja dalam kerajaan, mereka perlu mematuhi peraturan, garispanduan operasi atau perintah yang telah ditetapkan, katanya. Jika anggota polis menyatakan sokongan politik secara terbuka kepada parti tertentu pula, mereka juga dianggap "mengingkari peraturan umum", katanya. "Kerajaan mengikat kamu, kamu kena patuh, kena berkhidmat. Tetapi dalam berkhidmat, tidak ada unsur-unsur supaya memihak. Tidak (ada). (Polis berkhidmat) untuk semua rakyat, (dengan) adil. Jadi kita kena adil," katanya. Sepanjang 32 tahun perkhidmatannya dalam pasukan polis, Fauzi juga pernah menjadi ketua polis Sarawak. - Mkini |
BN yakin menang 22 kerusi di P.Pinang, tawarkan lebih banyak ‘ganjaran’ menjelang PRU 13 Posted: 06 Aug 2012 05:21 PM PDT KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Barisan Nasional (BN) yakin akan mengambil alih Pulau Pinang dari Pakatan Rakyat (PR) dengan memenangi 22 daripada 40 kerusi dewan undangan negeri (Dun) - lima lagi kerusi berpeluang menang dan bakal menawarkan lebih banyak lagi "ganjaran" menjelang pilihan raya akan datang, kata satu sumber. The Malaysian Insider diberitahu, laporan dibawah menunjukkan perubahan ini disebabkan oleh kepimpinan setiausaha agung Gerakan, Teng Chang Yeow dalam BN Pulau Pinang dan juga serangan media terhadap ketua menteri, Lim Guan Eng terhadap pembangunan di cerun bukit serta kelemahan parti komponen utama PR iaitu PKR. "BN yakin menang 22 kerusi Dun dan boleh menang lagi lima kerusi dengan sedikit lagi kesungguhan kerana Teng telah berjaya membawa semua parti komponen untuk berkerja bersama-sama," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider dengan menambah kerusi boleh menang adalah yang disandang oleh PKR dan PAS. Umno sekarang mempunyai 11 kerusi Dun berbanding PR yang memenangi 29 kerusi — DAP 19, PKR sembilan dan PAS 1 dari 40 kerusi Dun. Pulau Pinang jatuh ketangan pakatan pembangkang DAP, PKR dan PAS dalam PRU 2008 apabila Gerakan, parti yang memerintah negeri tersebut hampir 40 tahun semenjak 1969 kalah semua kerusi. "Umno boleh menang semua kerusi yang disandang PKR dan PAS. Selebihnya terpulanglah kepada Gerakan, MCA dan MIC untuk merampasnya dari DAP," tambah sumber tersebut lagi. Perdana menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak masih belum membubarkan parlimen, akan tetapi Lim bertegas tidak perlu mengikut BN untuk mengadakan pilihan raya serentak. Mandat kedua-duanya akan tamat pada bulan April 2013. Dalam pilihan raya akan datang, Umno akan bertanding 15 kerusi Dun, Gerakan 13, MCA 10 dan MIC dua. Satu lagi sumber memberitahu, kepimpinan BN negeri gembira kerana Lim terlalu sibuk dengan hal di Pulau Pinang kerana bertahan dari serangan BN dan media mereka dalam isu tanah sehingga menyebabkan setiausaha agung Dap yang popular itu tidak dapat berkempen untuk PR. Baru-baru ini Lim tidak jadi ke Sabah untuk program DAP dimana beliau kebiasaannya akan didengar oleh ribuan orang dalam ceramah. "Media tidak membantu Lim. Dia perlu bertahan di Pulau Pinang untuk menjawab kembali isu yang dimainkan oleh media seperti pembangunan di cerun bukit, perumahan untuk rakyat miskin dan keadaan trafik yang begitu teruk," tambah sumber itu lagi. Media milik Umno, Media Prima Bhd TV3 dan New Straits Times bersama-sama The Star yang dimiliki MCA telah menjadi media utama dalam menyerang Lim di Penang, yang telah mengalami pembangunan hartanah utama dan pertumbuhan perniagaan sejak beliau mengambil alih negeri tersebut pada Mac 2008. BN Pulau Pinang telah mencadangkan beberapa inisiatif untuk merampas kembali semula negeri tersebut, seperti mencadangkan mengembalikan status pelabuhan bebas yang diambil dari negeri pada tahun 1970-an. BN negeri juga mempersoalkan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang kepada jutawan logistik,Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang mana Seaport Terminal Sdn Bhd menerima restu bagi pengambilalihan baru-baru ini. Sumber berkata, BN sedang merancang lebih banyak "ganjaran" bagi Pulau Pinang, negeri zon pembuatan elektronik dengan kilang-kilang yang terletak di pulau itu dan tanah besar yang dihubungkan dengan satu jambatan lain yang akan siap tahun depan. "BN mempertimbangkan konsesi tol untuk pengguna motosikal, berkemungkinan mengecualikan tol untuk mereka. Lebih banyak yang akan diumumkan apabila pilihan raya bermula," kata sumber kepada The Malaysian Insider. Dalam temuramah bersama The Malaysian Insider baru-baru ini, Teng memuji Najib atas perubahan total bagi BN berbanding sebelum ini, menyebabkan pengundi memikirkan semula sikap anti-BN mereka. "Melihat program Najib, ia membuktkan Najib adalah PM yang ikhlas untuk membantu segenap lapisan masyarakat. Masyarakat tahu yang beliau mencuba sedaya upaya untuk memulihkan ekonomi negara," katanya. "Jadi ini adalah cara kami berlawan dalam perang — tentang apa yang akan kami (BN) akan tawarkan, berbanding mengutuk PR. Kami akan lawan polisi dengan polisi, idealisme dengan idealisme. Sekiranya kita melibatkan diri dalam pergaduhan remeh-temeh seperti salah menyalahkan, ianya tidak akan berakhir," tambah Teng dalam temuramah tersebut. Najib telah menunjukkan keyakinan untuk merampas semua negeri yang diperintah oleh PR dan akan mendapatkan kembali majoriti dua pertiga BN di parlimen dalam pilihan raya akan datang. Selain daripada Pulau Pinang, negeri-negeri lain ialah Kelantan, Kedah dan Selangor. BN telah memulakan kempen pilihan raya dengan Najib mengetuai Jelajah Janji Ditepati dan media arus perdana telah mula menyiarkan kempen "Saya Pilih Malaysia" yang membariskan ketua eksekutif syarikat dan penulis blog pro-kerajaan — dikatakan berhubungkait rapat dengan kempen pilihan raya BN. -TMI |
Shahrizat: 'Saya dizalimkan, dianiaya, diaibkan' Posted: 06 Aug 2012 06:56 AM PDT Bekas menteri Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Makamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjelaskan secara terperinci penghinaan yang dialaminya apabila digelar "menteri lembu" oleh ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin. Tiada sesiapapun yang patut digelar sedemikian, kata bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu kepada Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Vazeer Alam Mydin Meera. Shahrizat memberi keterangan hari ini berhubung saman fitnah RM100 juta yang difailkannya pada 19 Januari lalu. "Saya rasa saya dizalimkan, dianiaya dan diaibkan dengan tohmahan dan fitnah yang tak berasas," kata Shahrizat. Katanya lagi, tiada sesiapa yang patut diaibkan sedemikian rupa dan kenyataan itu melampau batas "gurauan politik". Nyata sekali Zuraida menyedari bahawa gelaran "lembu" itu merupakan kenyataan yang menghina dan bermaksud bodoh dalam percakapan bahasa Melayu, kata Shahrizat. Shahrizat menjelaskan bahawa kata-kata berkenaan bermaksud untuk memalukannya dan mencemarkan reputasinya sebagai seorang wanita dan melampaui batas, walau dalam arena politik. Zuraida didakwa mengeluarkan kata-kata demikian semasa persidangan perwakilan PKR pada tahun lalu, kata Shahrizat dalam saman yang difailkan ke atas MP tersebut dan juga pengarah strategi PKR Rafizi Ramli kerana mengaitkannya dengan isu National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd. Rafizi dan Zuraida masing-masing telah mengemukakan saman balas ke atas bekas menteri terbabit. |
Krisis Air Selangor - Muhyiddin Perlu Pilih Antara Rakyat Atau Kroni Posted: 06 Aug 2012 05:12 AM PDT KUALA LUMPUR 6 Ogos: Kerajaan Selangor memberi kata dua kepada kerajaan Persekutuan sama ada mahu menjaga kroni atau rakyat dalam isu air yang dijadikan modal Umno Barisan Nasional (BN) memburukkan negeri Pakatan Rakyat (PR). Menurut Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, usaha kerajaan untuk melaksanakan penyusunan semula industri air Selangor adalah sejajar dengan peraturan yang termaktub dalam Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA). "Kalau Timbalan Perdana Menteri (TPM), Muhyiddin Yassin ingin rakyat Selangor mendapat kebaikan daripada penyusunan semula air, dia mesti meninggalkan rakannya iaitu Tan Sri Rozali dari Puncak Niaga. "Ini pilihan yang ada kepada kerajaan Persekutuan. Sama ada bersama Pengerusi Puncak Niaga ataupun memilih bersama rakyat Selangor," katanya kepada Keadilan Daily pada majlis berbuka puasa bersama media di Hotel Holiday Villa, Subang Jumaat lalu. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok menegaskan, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor, Muhyiddin pasti jelas mengenai penyusunan semula yang dipersetujui sejak 2008 antara kerajaan Pusat dan Syabas. "Maklumat-maklumat itu kita dah ada. Saya sudah siap menyediakan surat kepada Timbalan Perdana Menteri untuk menunjukan proses perbincangan mengenai perkara ini. "Saya rasa jawatankuasa yang baru ditubuhkan dan dipengerusikan Muhyiddin bersama Menteri Air (Peter Chin) dan Noh Omar tahu proses-proses ini," katanya. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=34040 |
Shahrizat Tak Tahu Menahu Tentang Projek NFC Posted: 06 Aug 2012 01:36 AM PDT Ketika memberi keterangan dalam kes saman fitnah RM100 juta yang difailnya terhadap dua pemimpin PKR, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata beliau tidak tahu yang suaminya membida untuk projek Pusat Fidlot Nasional. Beliau menyaman Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berhubung pelbagai komen yang didakwa mengaitkannya dalam kemelut National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd. Shahrizat memfailkan saman tersebut pada 19 Januari berhubung pendedahan Rafizi dan Zuraida mengenai NFC yang telah mengaitkan suaminya Datuk Seri Mohd Salleh Ismail. Beliau memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau tidak memegang apa-apa jawatan dalam NFC atau di Agroscience Industries Sdn Bhd. Shahrizat mendakwa Rafizi dan Zuraida telah menggunakan isu itu sebagai sasaran utama dalam usaha untuk memburuk-burukkan dan memfitnahnya sebagai seorang menteri persekutuan. |
You are subscribed to email updates from BlogList Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan