Rabu, 29 Ogos 2012

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Jawapan TGNA Kepada Fathul Bari

Posted: 28 Aug 2012 10:10 PM PDT

KOTA BHARU - "Tidak payah guna surat untuk mengajak saya berbincang isu hudud ini. Siapa dia, saya tidak kenal dia, dia pun tidak kenal saya.

Demikian luahan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung surat rasmi dihantar Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya kepadanya bagi membincangkan isu hudud.

Nik Aziz mempertikaikan tindakan Fathul Bari yang disifatkan lebih gemar membuat bising di akhbar mengenai surat rasmi tersebut.


Beliau berkata, sewajarnya Fathul Bari perlu bersemuka secara terus dengannya sekiranya ikhlas untuk membincangkan isu hudud secara terperinci dan bukannya membuat kecoh dalam media arus perdana itu.

"Kalau dia (Fathul Bari) hendak jumpa saya, dia patut jumpa saya secara seorang tidak payah buat bising dalam surat khabar," katanya selepas menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri, semalam.Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Selain itu, Nik Aziz berkata, sehingga kini beliau sendiri belum menerima dan membaca lagi isi kandungan surat rasmi itu.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Ilmu telah menghantar surat rasmi untuk bertemu Nik Aziz bagi tujuan membincangkan isu hudud secara serius dan profesional, bukannya bertikam lidah.

Dalam laporan itu, Pengerusinya, Fathul Bari berkata bagaimanapun pihaknya belum mendapat sebarang maklum balas daripada Nik Aziz.

Sinar Harian


Mahathir Disaran Bertaubat

Posted: 28 Aug 2012 08:03 PM PDT

Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad harus bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan yang merosakkan akidah dirinya dan umat yang percaya kepada kata-katanya.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Dr Haron Din berkata, tulisan Dr Mahathir dalam blognya berbunyi Better the devil you know than the angel you don't yang membawa maksud lebih baik syaitan yang anda kenali daripada malaikat yang anda tidak dikenali' adalah pegangan yang silap.

Menurutnya, tiada istilah atau ayat di dalam al-Quran yang menjelaskan malaikat lebih buruk berbanding dengan syaitan.


"Malaikat adalah makhluk yang tidak pernah derhaka kepada ALLAH dan melakukan apa sahaja yang diperintahkan. Kenyataan (Dr Mahathir) itu seolah-olah ada malaikat yang lebih teruk daripada syaitan.

"Oleh itu, umat Islam tidak boleh mengambil pepatah Inggeris itu kerana ia boleh merosakkan akidah," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kenyataan Dr Mahathir itu ternyata memakan diri sendiri kerana umum terutamanya umat Islam mengetahui syaitan itu adalah makhluk ALLAH yang paling kejam dan derhaka.

Sebagai bekas pemimpin tertinggi negara dan pernah mengetuai Umno-BN untuk tempoh yang lama, tambahnya, adalah amat tidak wajar Dr Mahathir membuat kenyataan sedemikian rupa dengan melabelkan sesuatu pihak atau pertubuhan dengan nama seburuk itu.

"Di dalam Al Quran juga tidak terdapat ayat yang mengatakan malaikat sama ada dikenali atau tidak dikenali sebagai makhluk Allah yang lebih buruk atau derhaka kepada perintah Allah.

"Malaikat dijadikan Allah sebagai makhluk yang patuh dan tidak derhaka akan perintah-Nya. Mereka akan kekal begitu sejak dari awal hingga ke akhirnya.

"Ia berlawanan dengan sifat syaitan kerana mereka memang diakui sebagai makhluk yang jahat dan derhaka kepada perintah Allah," katanya.

Beliau mengulas kenyataan dibuat bekas Perdana Menteri itu yang ditulis dalam blognya yang berharap rakyat tidak memberi mandat kepada Pakatan Rakyat (Pakatan) dalam pilihanraya akan datang.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi wartawan hari ini bagi menjelaskan kenyataan malaikat yang tidak dikenali itu lebih buruk berbanding syaitan yang dikenali.

"Tiada istilah atau ayat di dalam Al Quran yang menjelaskan begitu", katanya.

Dalam tulisannya, Dr Mahathir menulis "Better the devil you know than the angel you don't" yang membawa maksud "Lebih baik syaitan yang anda kenali daripada malaikat yang anda tidak kenali".

"Ia berlawanan dengan sifat syaitan kerana mereka memang diakui sebagai makhluk yang jahat dan derhaka kepada perintah ALLAH," katanya.

Pada 22 Ogos lalu, dalam entri blog Dr Mahathir di chedet.cc/blog/ bertajuk 'Change' atau 'berubah' ada menyebut 'lebih baik syaitan yang dikenali daripada malaikat yang tidak dikenali' yang menggesa pembaca supaya tidak menyokong Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, yang disifatkannya sama dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Pada sambutan rumah terbuka sempena Hari Raya baru-baru ini, Dr Mahathir dilaporkan berkata, syaitan yang dimaksudkannya dalam blog itu merujuk kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).


Siapa Pemimpin Pembangkang Yang Ditahan Kerana Sumbang Mahram?

Posted: 28 Aug 2012 06:19 PM PDT

JERANTUT - Seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang dan anak lelakinya ditahan bagi membantu polis berhubung satu kes sumbang mahram.

Pemimpin utama sebuah parti baru itu bersama anak lelakinya yang berumur 14 tahun ditahan reman pada 22 Ogos lepas bagi membantu siasatan apabila anak perempuannya yang berumur 15 tahun melahirkan seorang bayi lelaki.

Mereka dibebaskan semalam.


Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut DSP Zakaria Kasim, mangsa, 15, melahirkan seorang bayi lelaki tiga hari lepas di sebuah pusat bersalin di Cheras, Kuala Lumpur.

"Kedua-dua suspek, bapa dan anak itu bagaimanapun dibebaskan semalam atas jaminan pihak polis," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata polis juga mengambil sampel DNA kedua-dua suspek dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh seminggu.

Suspek yang juga saudara terdekat kepada seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang tanah air, pernah bertanding pada pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun, suspek yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri di Pahang pada pilihan raya umum lepas itu kalah kepada calon Barisan Nasional. - Bernama


Editor Utusan mohon maaf pada Karpal Singh

Posted: 28 Aug 2012 04:32 AM PDT

Seorang wartawan Utusan Melayu hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau menulis artikel mengenai Pengerusi DAP Karpal Singh, empat tahun lalu tanpa sebarang niat jahat.

Zulkifli Jalil, 40, yang kini memegang jawatan sebagai pengarang berita di syarikat Utusan Melayu (M) Bhd mengakui wujud ketidaktelitian dan salah faham di dalam artikel bertajuk 'DAP diingat jangan bakar perasaan Melayu'.


Pengarang berita itu, yang memberi keterangan berhubung saman fitnah RM10 juta yang difailkan oleh Karpal Singh terhadap Utusan Melayu (M) Berhad, turut menyatakan bahawa ketika kejadian beliau tidak tahu bahawa wujud perbezaan antara perkataan menolak negara Islam dan menolak agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Zulkifli turut mengakui bahawa beliau tidak menghubungi Karpal Singh untuk mendapatkan penjelasan ketika menulis artikel tersebut dan penulisannya bergantung kepada pengalaman serta laporan berita lain mengenai Karpal Singh yang ada kalanya membidas perjuangan PAS untuk membentuk negara Islam.

Sepanjang memberi keterangan, beliau beberapa kali memohon maaf kepada Karpal Singh dan memberitahu hanya menyedari artikel itu tidak tepat selepas Utusan Melayu menyiarkan 'ralat' pada 26 Ogos 2008 untuk menarik balik dan membuat permohonan maaf.

Sementara itu, Karpal Singh, menerusi kenyataan saksinya berkata perkataan itu (bahawa beliau menolak Islam sebagai agama rasmi negara ini) adalah tidak benar dan beliau tidak pernah berkata demikian.

Beliau berkata Islam ialah agama rasmi Malaysia seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan bebas untuk mengamalkan agama-agama lain secara aman dan harmoni, dan beliau secara konsisten menyatakan pendirian itu dalam ucapan-ucapan beliau dan di Parlimen selama 26 tahun lepas.

"Disebabkan oleh artikel ini, orang ramai telah mula menganggap saya sebagai antiIslam dan seseorang yang sengaja mahu mewujudkan rasa benci di kalangan pelbagai bangsa di negara ini. Ini telah memberikan impak buruk yang serius terhadap maruah saya secara peribadi dan sebagai seorang profesional dan ahli politik," katanya.

Karpal Singh, yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor, memfailkan saman tersebut pada 19 September 2008 kerana mendakwa penerbit akhbar Utusan Malaysia menyiarkan artikel berunsur fitnah berhubung ucapannya pada Kongres Kebangsaan DAP ke-15 pada Ogos 2008 bertajuk 'DAP diingat jangan bakar perasaan Melayu' pada 25 Ogos tahun yang sama.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan 24 September untuk sebutan kes.

Defendan diwakili peguam B. Mohana Kumar manakala Sangeet Kaur bagi pihak Karpal Singh.

-Bernama


Tiada ulasan: